BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 9, 2009

Dan Sebenarnya....39

BAB 39

“ASSALAMUALAIKUM, Mas.” Ucap Dizyan pada Mastura.
Hanya senyuman lebar sahaja yang menghiasi bibirnya pagi itu. Mastura menjawab salam Dizyan tetapi dalam pada masa yang sama, keningnya bertaut. Pelik melihat wajah Dizyan yang berseri-seri sahaja. Seketika kemudian, Faizal pula menyusul. Juga turut tersenyum lebar. Pelik melihat dua manusia ini yang asyik tersenyum sahaja. Mastura menjungkitkan bahu dan meneruskan kerjanya. Dizyan melabuhkan punggung di tempat duduknya. Menghidupkan suis komputer dan meneruskan kerja yang terbengkalai pada hari Jumaat lepas. Menyediakan kertas kerja yang diminta oleh Faizal. Dizyan mengangkat wajah apabila mejanya diketuk perlahan. Kelihatan Faizal tersenyum dan mengenyitkan mata sebelum beredar ke biliknya. Dizyan tersenyum kecil dan menggelengkan kepala perlahan. Leka Dizyan memerhatikan skrin komputer. Papan kekunci diketuk perlahan. Merangka ayat di dalam kepalanya. Tiba-tiba ideanya terbantut. Sekali lagi mejanya diketuk tetapi kali ini kuat sehingga mengejutkan pekerja-pekerja yang berada di sekeliling meja Dizyan.
“Yan, betul ke aku dengar kau dan bos ada affair?” tanya Fatehah atau lebih dikenali sebagai Teha. Mulut Dizyan terkunci. Apa yang harus diperkatakan lagi? Memang benar. Tetapi Faizal tidak memberikan kebenaran untuk dia berkata apa-apa tentang hubungan mereka itu.
“Mana kau dengar ni, Teha? Mengarut jelah. Memang aku dan bos ada hubungan. Tapi sebagai pekerja dan ketua je. Tak lebih daripada tu lah.” Dizyan mencipta penjelasan. Fatehah memandang tidak percaya. Disilangkan lengan ke dada.
“Kak Annie lah cerita. Dia kata dia jumpa kau orang kat kedai makan.” Fatehah berkata lagi. Dizyan menelan air liur. Tetapi dia harus bertenang. Tidak boleh nampak terlalu gelabah. Nanti lagi orang lain akan syak yang bukan-bukan.
“Salah ke aku keluar makan dengan bos aku sendiri? Dah dia yang insist nak belanja.” Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut Dizyan untuk soalan Fatehah.
“Tapi kedai makan tu area rumah bos. Jauh dari office.” Kali ini Dizyan tergamam. Tidak langsung terfikir akan jawapan yang sesuai.
“Dah dia hantar dokumen untuk saya sign. Saya ajaklah makan. Salah ke? Yang awak ni, Teha, tak pergi buat kerja, asyik nak menyibuk tepi kain orang ni, kenapa?” tiba-tiba sahaja Faizal yang muncul entah dari mana, menyampuk perbualan mereka. Fatehah menelan air liur. Tidak menyangka bahawa Faizal akan muncul.
“O....o...oka....okaylah, bos. Yan, aku mintak diri dulu.” Tergagap Fatehah meminta diri. Faizal tidak memberikan respon sebaliknya memandang tajam. Dalam diam, Dizyan mengucapkan syukur. Dia tersenyum kecil.
“Tu sebabnya aku tak suka kau berkawan dengan dia orang.” Faizal berkata-kata sebelum beredar dari situ. Dizyan memerhatikan bayangan Faizal hilang di sebalik pintu biliknya.
Dizyan menunduk kembali dan menyiapkan kerjanya. Tidak sedar waktu berlalu begitu pantas. Kebanyakan pekerja sudah mula beransur pulang. Fateen tidak datang ke kerja hampir 3 hari kerana demam panas. Yalah, kalau sudah selalu berjemur di lokasi penggambaran yang panas, bagaimana tidak demam? Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Sekejap hujan, sekejap panas.
Ian Khalif yang baru sahaja pulang dari lokasi penggambaran di luar negara, terus menyapa Dizyan yang sedang tekun melakukan kerjanya.
“Yan...” panggil Ian Khalif. Dizyan mengangkat wajah memandang Ian Khalif yang tersenyum manis. Membalas kembali senyuman itu.
“Bos ada?” tanya Ian Khalif. Dizyan mengangguk perlahan.
“Nak jumpa bos.” Ujar Ian Khalif lagi. Dizyan menekan interkom dan bercakap dengan Faizal setelah panggilannya bersahut. Setelah Faizal memberikan arahan masuk, Ian Khalif melangkah laju ke arah bilik Faizal. Diketuk perlahan pintu tersebut dan dikuak luas. Dia menutup semula pintu kayu itu.
“Hah, how’s Luxembourg?” tanya Faizal sebaik sahaja Ian Khalif melabuhkan punggungnya kerusi menghadap Faizal itu.
“Nice and beautiful.” Ujar Ian Khalif sambil mengetuk jari jemarinya di atas meja.
“Ada problem ke kat sana?” Faizal bertanya lagi. Matanya menghadap skrin laptop. Sekali-sekala menggerakkan tetikus.
“Setakat ni, tak adalah.” Jawab Ian Khalif ringkas.
“So, Aaron Aziz dan Lisa Surihani tak adalah bagi masalah pada kau?” mata Faizal masih lagi menekur di hadapan skrin laptop tersebut. Ian Khalif terjenguk-jenguk mencari wajah Faizal. Sibuk benar ketuanya yang seorang itu.
“Nope.” Sekali lagi Ian Khalif menjawab ringkas.
“Bila nak start shooting kat K.L?” banyak betul soalan yang ditanya oleh Faizal mengenai perkembangan drama terbaru terbitan Rufa Grand Million Productions, Dari K.L ke Luxembourg yang dilakonkan oleh Aaron Aziz dan Lisa Surihani sebagai watak utama.
“Lusa.”
“Apasal lambat sangat?” berkerut-kerut dahi Faizal. Ian Khalif sekali lagi menjenguk. Masih tidak nampak wajah Faizal yang tunduk menghadap skrin laptopnya. Entah apa yang sedang diusahakannya itu. Ian Khalif turut berkerut dahi.
“Come on lah, kawan. Bagilah dia orang rest kejap. Penat tak hilang lagi, kot. Crew aku tu pun, perlukan rest tau.” Ujar Ian Khalif. Dia mengetuk jari jemarinya perlahan.
“Apa benda yang kau sibukkan sangat tu?” Ian Khalif bertanya. Akhirnya, Faizal mengangkat muka memandang ke arah lelaki dihadapannya itu. Tersenyum Ian Khalif memandang Faizal.
“Sejak bila kau pakai specs ni?” tanya Ian Khalif sekali lagi. Faizal membetulkan bingkai kacamata yang melurut ke bawah.
“Macam mana aku tak pakai specs? Hari-hari menghadap skrin komputer dan laptop aku ni, sampai rabun. Itulah kena pakai jugak.” Ian Khalif hanya mengangguk mendengarkan kata-kata Faizal.
“Okaylah. Aku pun malas nak ganggu kau dah. Aku nak balik tidur. Lepas tu, nak pergi recce tempat dengan Erika.” Ian Khalif sudah berdiri dan bersalaman dengan Faizal yang juga turut berdiri. Sahabatnya itu tersenyum sinis. Dahi Ian Khalif sudah berkerut.
“Aik?! Pergi recce tempat dengan Erika je?” usik Faizal. Ian Khalif membalas senyuman sinis itu.
“Bukanlah aku dengan Erika je. Ramai lagi yang pergi sama. Tapi dah tentu aku dan Erika yang buat kerja. Yang lain tu, kerjanya menyibuk je.” Ujar Ian Khalif. Membetulkan baju yang sedikit berkedut.
“Aih....tuan director pun kena buat kerja jugak?” Faizal berkata. Kembali melabuhkan punggung di kerusi empuk miliknya.
“Mestilah. Aku kan kuli. Bukannya bos macam kau. Duduk dalam office memanjang.” Sindir Ian Khalif. Faizal tersengih.
“Kau nak pergi recce dengan Erika tu, buat kerja tau. Jangan nak main mata pulak. Nanti mampus kau kena kejar dengan Tanty pakai parang.” Faizal memerli. Ian Khalif mencebik. Kemudian, mereka sama-sama tertawa kecil.
“Okaylah. Aku blah dulu.” Ian Khalif menuju ke pintu dan membuka pintu tersebut. Faizal mengangguk perlahan. Sebaik sahaja pintu tersebut tertutup kembali, Faizal menekur pandangannya ke arah skrin laptop.
Seketika kemudian, pintu bilik Faizal sekali lagi diketuk. Arahan masuk diberikan. Dizyan melangkah masuk dengan membawa satu fail yang dijinjingnya. Diletakkan dihadapan Faizal. Setelah Faizal menandatangani, Dizyan mengambil semula fail tersebut.
“Kau tolong buat ni sekali.” Arah Faizal sambil memberikan beberapa helai kertas. Dizyan mengambilnya tanpa banyak soal. Dan terus keluar dari bilik Faizal itu.
Sejak 2-3 hari ini, mereka masing-masing sangat sibuk di tempat kerja sehingga tiada masa untuk berbual panjang. Begitu juga semasa di rumah. Samada Faizal atau Dizyan yang akan pulang sehingga lewat malam. Tiada masa untuk bersua muka apatah lagi berbicara. Itulah sebabnya Faizal mengambil peluang untuk bersarapan dengan Dizyan. Risau juga Datin Rubaiyah melihat keadaan anak dan menantunya itu. Suami isteri lain juga bekerja tetapi tidaklah seperti mereka berdua. Pernah disuarakan kerisauannya itu kepada Datuk Farid. Tetapi suaminya hanya berkata tiada apa yang perlu dirisaukan. Biasa! Ada masanya mereka akan sibuk dan ada masanya mereka akan punya waktu senggang.
Dizyan melabuhkan punggung di tempatnya dan melihat helaian kertas di tangan. Meneliti apa yang dikehendaki oleh Faizal. Dizyan mengeluh perlahan.
“Lagi, lagi proposal. Alamatnya, lewat lagi aku balik malam ni.” Keluh Dizyan. Segera dicapai gagang telefon dan mula mendail nombor rumah. Kedengaran bunyi deringan dan panggilannya bersahut. Suara Sutinah menyapa gegendang telinga.
“Bik, Mama ada?” tanya Dizyan lembut.
“Ada. Bentar, ya.” Ujar Sutinah dan segera memanggil Datin Rubaiyah yang berada di ruang tamu. Sedang menonton televisyen seorang diri. Suami, anak serta menantu belum lagi pulang. Itu sahaja yang boleh dibuat oleh Datin Rubaiyah untuk menghabiskan waktu senggangnya.
“Hello.” Suara Datin Rubaiyah pula menyapa telinga Dizyan.
“Ma, Yan ni. Malam ni Yan balik lewat sikit, ya. Ada kerja perlu diselesaikan.” Dizyan berkata. Terdengar dengusan kuat di talian sebelah sana. Tahu Datin Rubaiyah pasti akan risaukan dirinya yang kebelakangan ini asyik pulang lewat sahaja.
“Kalau boleh, baliklah cepat sikit. Mama tak sukalah Yan balik lewat sangat. Mama risau.” Luah Datin Rubaiyah. Dizyan tersenyum.
“Yalah, Ma. InsyaAllah.” Itu sahaja yang mampu Dizyan berjanji. Tidak mahu berjanji lebih-lebih. Dia sendiri tidak pasti bila akan selesai kertas kerjanya itu. Selepas itu, mereka sama-sama mematikan talian telefon.
Setengah jam kemudian, Faizal keluar dari biliknya dengan menjinjing beg bimbit. Melintasi meja Dizyan tanpa berkata sepatah perkataan pun. Dizyan mengangkat muka. Hanya sempat melihat bayangan Faizal menghilang di sebalik kaunter penyambut tetamu. Dilepaskan keluhan perlahan. Kembali menyambung kerjanya.
Lebih kurang pukul 11 malam, kerja yang dilakukannya sudah siap. Dizyan menutup suis komputer dan mengemas meja yang sedikit berselerak. Dizyan tertunduk-tunduk mencari kasut tumit tingginya yang terselit di bawah meja. Mencangkung dan menyelinap masuk ke bawah meja. Ketukan kuat di mejanya membuatkan Dizyan tersentak. Terkejut dan cuba untuk keluar dari bawah meja tersebut secepat mungkin. Entah apa silapnya, kepala Dizyan terhantuk di meja itu.
“Adoi!” Dizyan mengaduh. Diusap kepala yang terasa sakit dan mukanya berkerut. Melihat orang dihadapannya yang menekup mulut melihat gelagat Dizyan. Gadis itu berdiri dan bercekak pinggang melihat senyuman yang terukir di bibir Syed Ezra.
“Ez ni kan suka sangat bagi terkejut oranglah.” Dizyan berkata. Tangannya masih mengusap kepala. Syed Ezra tersenyum kecil melihat gelagat Dizyan yang kelam kabut.
“Tak balik lagi?” tanya Syed Ezra. Matanya melilau melihat sekeliling. Kebanyakan pekerja sudah lama pulang. Hanya tinggal 2-3 orang yang masih ada untuk menyiapkan kerja mereka. Dizyan tersenyum.
“Nak baliklah ni.” Ujar Dizyan. Dicapai tas tangan yang ada di dalam laci mejanya. Syed Ezra mengangguk.
“Jom.” Syed Ezra mengajak. Dizyan mengangguk perlahan dan berjalan beriringan dengan Syed Ezra menuju ke lif. Rancak bersembang sehingga tidak sedar mereka sudah berada di Basement.
“Here we are.” Ujar Syed Ezra. Dizyan menekan alat penggera keretanya dan memasukkan tas tangan ke tempat penumpang.
“Okaylah, Yan mintak diri dulu.” Dizyan berkata. Baru sahaja hendak melangkah masuk ke dalam kereta, kaki Dizyan terhenti melangkah.
“Dinner?” tanya Syed Ezra. Dizyan tersenyum. Dia tahu sudah banyak kali Syed Ezra bertanyakan perkara sama berkali-kali.
“Ez, Yan....” belum sempat Dizyan berkata sesuatu, wajah mereka berdua disuluh oleh lampu kereta. Dikecilkan sedikit mata yang silau. Faizal keluar dari Mazda MX-5 miliknya. Syed Ezra melihat gerangan pemilik kereta tersebut.
“Kau tak malu ke, Ez? Asyik mengacau isteri orang je.” Nada suara Faizal keras. Syed Ezra mengerutkan dahi. Gelabah Dizyan dibuatnya. Kata tak mahu orang tahu, detik hati Dizyan.
“Isteri orang?” Syed Ezra menggumam perlahan. Dikerutkan sedikit dahinya. Perlahan-lahan mengalih pandang ke arah Dizyan yang menunduk. Kemudian, beralih ke arah Faizal.
“Siapa isteri orang?” Syed Ezra bertanya sambil memandang ke arah Dizyan dan Faizal silih berganti. Dizyan semakin menggelabah.
“Dialah.” Unjuk Faizal ke arah Dizyan. Tidak senang duduk gadis itu jadinya.
“Awak dah kahwin?” Syed Ezra bertanya. Dizyan memandang Syed Ezra dan Faizal silih berganti. Syed Ezra setia menanti jawapan yang akan keluar dari mulut Dizyan. Perlahan-lahan dia mengangguk. Syed Ezra tercengang. Akhirnya, dia mengangguk tanda mengerti.
“Sorry, I didn’t know.” Ucap Syed Ezra. Dizyan memandang wajah lelaki di hadapannya itu.
“Maafkan saya, Ez. Saya tak bermaksud nak merahsiakan perkara sebenarnya dari awak.” Dizyan berkata. Tidak mahu Syed Ezra salah faham.
“No, it’s okay. Tak apalah, Yan....Zal. Ez balik dulu.” Tukas Syed Ezra. Tidak mahu berlama disitu. Patutlah selama ini, Dizyan beria-ia tidak mahu keluar makan bersamanya. Faizal tersenyum sinis dapat melihat reaksi Syed Ezra. Puas hatinya dapat membuatkan Syed Ezra mematikan segala anganan untuk memiliki Dizyan.
Syed Ezra segera meminta diri dan menuju ke arah keretanya. Terus memasuki ke dalam perut kereta dan memecut keluar dari Basement tersebut. Dizyan hanya melihat bayangan kereta Syed Ezra menghilang dari pandangan.
“Apa lagi yang kau tercegat kat situ? Balik.” Faizal berkata. Dizyan menjeling tajam.
“Awak sendiri kata tak nak orang lain tahu tentang hubungan kita. Sekarang ni, apa dah jadi?” Dizyan berkata, geram melihat sikap yang tidak menentu Faizal itu.
“Sekarang ni, aku suka nak beritahu orang lain yang kau tu isteri aku.” Faizal berkata selamba. Dizyan mendengus.
“Hish...malas layan awak.” Dizyan terus masuk ke dalam kereta. Faizal tersenyum sinis. Menderum kereta MyVi meninggalkan Basement tersebut. Kereta Mazda MX-5 mengikuti kereta milik Dizyan dari belakang.
Dizyan memarkirkan keretanya ke dalam garaj. Faizal pula meletakkan keretanya di belakang kereta Dizyan. Laju sahaja langkah kaki Dizyan melangkah masuk ke dalam rumah selepas alat penggera kereta dibunyikan. Salam diberikan oleh Dizyan kepada kedua mertuanya. Dijawab salam tersebut serentak. Faizal muncul kemudian. Menyertai kedua ibubapanya yang berada di ruang tamu. Dizyan menuju ke tingkat atas untuk membersihkan diri. Seketika kemudian, Faizal masuk ke dalam kamar tidurnya. Terlihat Dizyan yang sudah selesai bersolat Isya’. Dizyan melipat sejadah dan telekungnya. Tanpa berkata sepatah perkataan pun, Dizyan merebahkan diri ke atas sofa. Faizal tidak berpuas hati apabila tidak mendengar suara Dizyan.
“Kau marah kat aku ke?” Faizal bertanya. Suaranya sedikit kuat. Dizyan tidak menjawab apa-apa. Tidak juga memberikan respon.
“Kau marah kat aku ke?” sekali lagi Faizal bertanya. Masih juga tiada respon. Faizal mendekati Dizyan yang membelakangkannya. Menjenguk ke arah wajah yang tidur menghadap dinding.
“Laa...tidur rupanya.” Faizal tersenyum melihat wajah ayu itu. Menggeleng sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Berjalan semula ke arah katil. Dilabuhkan punggung di atas katil. Kemudian, berbaring. Entah bila masa dia terlelap kerana terlalu asyik teringatkan wajah cemberut Dizyan sebentar tadi.

BERSAMBUNG......

Sunday, October 4, 2009

Publish Dan Sebenarnya?

Salam semua,

Pertama kali disini saya ingin mengatakan yang idea untuk menyiapkan Dan Sebenarnya sudah datang. Tapi D.S belum lagi tiba di penghujung. Tidaklah begitu jauh perjalanan endingnya. Cuma belum pasti hingga bab ke berapa. Ini pun sudah sampai ke klimaks (belum tiba di puncaknya....heheh). Harap semua sabar menunggu, k.

Ramai juga yang memberikan komen kepada saya untuk mempublishkan e-novel Dan Sebenarnya ini. Dan....untuk pengetahuan semua, saya sedang usaha untuk menyiapkan bab anti klimaksnya. InsyaAllah, kalau tiada apa-apa aral melintang cadangan dan usulan tuan2 dan puan2 semua akan saya pertimbangkan.

Thanx 4 ur support, guys!!! Hope sampai bila-bila pun u guys akan support, k! Next e-novel is on the way....Watak-watak dalam e-novel seterusnya ini, banyak sekali berkaitan dengan novel-novel saya yang sebelumnya. Saya takkan beritahu novel yang mana satu. Cubalah teka di antara Dari K.L ke Luxembourg, Kasih Aisyah Najyha atau Dan Sebenarnya! (Tapi bukan sequel). Cuma episode seterusnya dalam kehidupan mereka yang berkaitan.

Don't worry! Saya akan habiskan dulu e-novel Dan Sebenarnya ini sebelum saya menyambung e-novel yang seterusnya ini. (Saje je kan nk bagi adrenalin korg sume excited)! Kehkehkeh.....

Oklah, nak sambung menulis kembali bab seterusnya D.S ini....Ceria2 selalu dan teruskan menyokong....

p/s: Sila undi poll di sebelah, ye!

Saturday, October 3, 2009

Dan Sebenarnya....38

BAB 38

DATIN Rubaiyah menceduk bihun goreng ke dalam pinggan Dizyan dan Faizal. Diserahkan kepada anak serta menantunya itu. Datin Rubaiyah memandang Datuk Farid dan memberikan isyarat mata. Untuk menyampaikan hasrat tetamu-tetamu yang datang semalam. Datuk Farid menghirup sedikit air kopi yang masih berasap. Dizyan menghulurkan cawan Nescafe yang dibancuhnya kepada Faizal. Dihirup sedikit. Datuk Farid berdehem perlahan.
“Fik....” panggil Datuk Farid. Fikhri mengangkat muka memandang wajah tua dihadapannya itu.
“Papa dan Mama dah setuju. Lepas Fik konvo, kami akan tunangkan Fik dan Iman. Fik setuju?” Datuk Farid bertanya untuk kepastian walaupun dia tahu apa yang Fikhri ingin berikan jawapannya. Fikhri tersengih.
“Fik ikut je cadangan Mama dan Papa.” Malu-malu Fikhri berkata. Fathiq menepuk bahu Fikhri kuat. Dizyan dan Faizal tersenyum.
“Dan juga tunangkan, Fathiq dan Vee.” Datuk Farid menyambung. Datin Rubaiyah segera mengalihkan wajah memandang wajah suaminya. Fathiq meminta kepastian dari Datuk Farid dengan wajah tidak percayanya. Mencerlung sahaja mata Datin Rubaiyah. Datuk Farid masih berwajah selamba. Dizyan mengalih pandang ke arah Fathiq. Membalas senyuman adik iparnya itu.
“Apa yang Abang cakapkan ni? Saya tak pernah setuju nak tunangkan Fathiq dan perempuan tu.” Datin Rubaiyah berkata geram. Diketap giginya. Bagaimana suaminya boleh membuat keputusan tanpa berbincang apa-apa pun dengan dia?
“Rubi...” Datuk Farid tidak mahu Datin Rubaiyah mengeruhkan keadaan.
“Perempuan tu ada nama, Ma. Nama dia Vee...Vee Esmeralda.” Fathiq bersuara perlahan. Datin Rubaiyah memandang tajam ke arah Fathiq.
“Kenapa pasal perempuan tu, Fathiq dah sanggup nak melawan Mama. Apa perempuan tu dah buat? Dulu Fathiq tak macam ni tau. Fathiq anak yang dengar cakap walaupun Mama tahu Fathiq memberontak dalam diam. Tapi semenjak Fathiq kenal perempuan yang nama Vee...tu, Fathiq dah berani nak melawan kehendak Mama.” bermacam tuduhan yang keluar dari mulut Datin Rubaiyah. Fathiq tidak sanggup mendengarnya.
“Ma....” Fathiq menghentikan Datin Rubaiyah dari terus berkata-kata.
“Rubi....” belum sempat Datuk Farid menyambung kata, Datin Rubaiyah mencelah.
“Dahlah, Bang. Saya dah penat nak bergaduh. Suka hati Abanglah kalau Abang nak kahwinkan jugak Fathiq dan perempuan tu. Tapi, jangan libatkan saya. Saya tak mahu masuk campur.” Ujar Datin Rubaiyah dan segera meninggalkan meja makan.
Faizal yang malas mahu masuk campur, masih meneruskan suapan. Lebih baik dia makan, daripada sibukkan hal yang tiada kena-mengena dengan dirinya. Fikhri mengurut perlahan belakang adiknya. Dizyan yang melihat Faizal seakan tidak ambil peduli akan situasi yang sedang berlaku dihadapan matanya, menyiku perlahan pinggang Faizal. Tersedak lelaki itu dibuatnya. Memandang tajam ke arah isterinya. Dizyan menjeling.
“Pa, Yan pergi pujuk Mama, ya.” Ujar Dizyan. Datuk Farid menggeleng.
“Tak guna jugak, Yan. Mama tengah ‘panas’ tu. Kalau Papa yang pergi pujuk pun belum tentu Mama nak ‘sejuk’.” Datuk Farid menghalang niat Dizyan itu. Tidak mahu Dizyan pula yang menjadi mangsa amukan Datin Rubaiyah. Dizyan mengangguk.
“Makanlah. Kita pujuk Mama kejap lagi.” Datuk Farid menyambung. Mereka yang lain mengangguk lemah dan meneruskan suapan.


MAKAN tengah hari sudah siap dihidangkan di atas meja. Dizyan memanggil bapa mertua serta adik-adik iparnya di ruang tamu. Memanjat tangga dan memanggil pula Faizal yang sedang sibuk menyiapkan kertas kerjanya di dalam bilik bacaan. Dizyan dan Faizal turun beriringan ke tingkat bawah. Masih tidak kelihatan Datin Rubaiyah di mana-mana.
“Mama mana, Pa?” tanya Faizal apabila dia juga perasaan akan ketiadaan Datin Rubaiyah.
“Ada kat taman.” Ujar Datuk Farid ringkas. Faizal melabuhkan punggung di kerusinya.
“Yan pergi panggil Mama, ya.” Tukas Dizyan. Segera dia berlalu menuju ke halaman rumah.
Kelihatan Datin Rubaiyah leka melayani pokok-pokok bunga yang ada di situ. Diambil gunting yang dikhaskan untuk berkebun. Dibuang daun-daun bunga yang sudah dimakan ulat. Jika Datin Rubaiyah punya masa lapang, dia lebih suka mencantikkan pokok bunga-bungaan yang memenuhi taman rumahnya. Dizyan mendekati Datin Rubaiyah.
“Ma...” panggil Dizyan. Datin Rubaiyah mengangkat muka memandang wajah menantunya itu.
“Makan tengah hari dah siap.” Ujar Dizyan. Datin Rubaiyah mengangkat punggungnya dan dilabuhkan di salah sebuah kerusi yang terletak di bawah gazebo. Membuka topi yang menutupi kepalanya dan mengibaskan topi tersebut. Bertujuan untuk menyejukkan badan yang berpeluh.
“Yan pergilah makan. Mama tak ada selera.” Ucap Datin Rubaiyah lemah. Dizyan mengeluh perlahan. Apakah cara terbaik untuk mengajak ibu mertuanya turut serta di meja makan?
“Ala...rugilah, Mama. Bibik dah masak ikan keli masak cili.” Tukas Dizyan. Datin Rubaiyah menelan air liur. Ikan keli? Salah satu lauk yang boleh membuatkan Datin Rubaiyah bertambah sampai dua pinggan nasi.
“Kamu ni tahu-tahu je kan. Mama ni kalau ikan keli memang ‘langkah tak lepas’.” Datin Rubaiyah berkata. Mengundang tawa kecil dari Dizyan.
“Tapi Mama tetap tak ada selera nak makan.” Datin Rubaiyah berkata lemah. Dizyan melepaskan keluhan. Dia tahu apa yang menganggu fikiran ibu mertuanya itu.
“Ma...Yan tahu Mama tak setuju Papa nak satukan Fathiq dan Vee.” Dizyan berkata sambil melabuhkan punggung di sebelah Datin Rubaiyah.
“Tapi, Ma....” Dizyan mendekatkan sedikit kerusinya dengan kerusi Datin Rubaiyah. Mencapai jari jemari Datin Rubaiyah. Digenggam erat.
“....Vee dah masuk Islam setahun yang lepas.” Sambung Dizyan. Datin Rubaiyah mencebik.
“Mama tak nak dia masuk Islam kerana Fathiq. Mama nak dia masuk Islam kerana keinginan dan kerelaan dia. Bukan kerana siapa-siapa.” Datin Rubaiyah pula berkata. Dizyan tersenyum kecil.
“Setahun yang lepas, Fathiq belum kenal dengan Vee. Sebenarnya, Fathiq baru kenal dengan Vee, 3 bulan yang lepas.” Datin Rubaiyah ternganga mendengar penjelasan daripada Dizyan.
“Baru kenal 3 bulan, Fathiq dah yakin yang Vee adalah memang ditakdirkan untuk dia?” Datin Rubaiyah bertanya. Dizyan tersenyum. Datin Rubaiyah sudah mula memanggil nama Vee. Tiada lagi istilah ‘perempuan tu’.
“Kenapa Mama tak tanya sendiri dengan Fathiq? Mungkin ada sebab kenapa Fathiq yakin sangat yang Vee memang adalah untuk dia.” Sela Dizyan. Ada benarnya juga kata-kata Dizyan itu. Datin Rubaiyah melepaskan keluhan perlahan. Lama mereka mendiamkan diri. Sama-sama pandangan mereka ditebarkan ke taman rumah yang ditumbuhi bunga-bungaan bermacam warna.
“Jomlah kita masuk. Mama pun dah lapar ni.” Ujar Datin Rubaiyah tiba-tiba. Dizyan mengangguk dan mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Menuju ke meja makan.
Datuk Farid, Faizal, Fikhri dan Fathiq yang sedang berselera menjamu selera, terus berhenti dari menjamu. Empat pasang mata melekap ke arah Datin Rubaiyah dan Dizyan yang menuju ke arah mereka. Datin Rubaiyah melabuhkan punggungnya menghadap Fathiq. Dizyan menghulurkan sepinggan nasi kepada ibu mertuanya. Mereka yang lain hanya menantikan butir bicara dari wanita elegan itu. Dengan wajah selamba, Datin Rubaiyah menceduk lauk-pauk yang terhidang ke dalam pinggan. Masih menanti kata-kata keramat yang akan keluar dari bibir wanita itu. Datin Rubaiyah menyuap makanan ke mulutnya. Perut yang lapar harus diisi.
“Siapa nama dia?” tanya Datin Rubaiyah tetapi tidak memandang ke wajah Fathiq. Datuk Farid melepaskan keluhan lega. Fathiq tersenyum. Memandang ke arah Dizyan. Memberikan isyarat mata. Tanda berterima kasih yang amat sangat terhadap kakak ipar yang satu itu. Dizyan membalas isyarat mata itu kembali.
“Mama tanya ni, siapa nama dia?” Datin Rubaiyah mengangkat muka memandang tepat ke arah Fathiq. Anak muda itu menarik nafas sedalamnya sebelum memberikan jawapan.
“Vee Esmeralda, Ma.” Jawab Fathiq. Datin Rubaiyah menggeleng pantas.
“Mama tak nak nama orang putih tu. Mama nak nama Islam dia.” Datin Rubaiyah berkata lagi. Mata Fathiq membulat. Bagaimana Mamanya tahu Vee sudah menganut agama Islam? Kening Datin Rubaiyah dijungkitkan.
“Vee Nur Amina.” Fathiq menjawab lagi. Datin Rubaiyah mengangguk.
“Mama nak jumpa dia dulu masa konvo kamu nanti. Masa tu, baru Mama beritahu keputusan Mama.” Datin Rubaiyah menyambung kata. Fathiq melepaskan satu keluhan lega. Dia bersyukur yang teramat sangat kerana Datin Rubaiyah sudi membukakan pintu hatinya untuk menerima Vee menjadi sebahagian daripada keluarga mereka walaupun belum mendapat kata putus dari Mamanya itu.


PEJAM celik, sudah hampir 2 bulan Fikhri dan Fathiq berada di Malaysia. Tiba masanya untuk mereka pulang semula ke Switzerland bagi menyambung semester yang masih berbaki setahun lebih. Berat rasanya hati Datin Rubaiyah ingin melepaskan mereka berdua pergi. Setiap hari pasti Fikhri akan bermanja dengan Datin Rubaiyah. Fathiq pula tidak habis-habis dengan lawak ‘kering’ yang dilakukannya untuk menghiburkan hati Datin Rubaiyah. Pasti ada sahaja bahan yang hendak dijadikan lawaknya. Fikhri dan Fathiq bergilir-gilir tunduk menyalami Datuk Farid dan Datin Rubaiyah. Kemudian, mereka beralih pula pada Dizyan dan Faizal yang berdiri di sebelah ibu bapa mereka. Pengumuman penerbangan ke Switzerland sudah diumumkan. Setelah mengucapkan selamat tinggal, Fikhri dan Fathiq melangkah masuk ke balai berlepas. Sempat melambai ke arah ibubapa serta abang dan kakak ipar mereka. Lambaian dibalas. Baru sahaja menjejakkan kaki ke balai berlepas, sudah dirindui masakan Sutinah. Semasa mereka dirumah, Sutinah sudah mengucapkan selamat tinggal.
Datuk Farid memandang Faizal. Dizyan memeluk bahu Datin Rubaiyah. Sedih apabila anak kembar itu kembali ke perantauan untuk menimba ilmu.
“Zal tak kerja hari ni?” tanya Datuk Farid.
“Kerja, Pa.” Jawab Faizal ringkas. Lelaki tua itu menganggukkan kepalanya. Walaupun sudah mencecah di usia 60-an, Datuk Farid masih lagi kekal segak bergaya. Dengan rambut yang hanya sedikit sahaja beruban, berkumis nipis dan berwajah kacak, pasti menjadi idaman gadis-gadis di waktu mudanya. Datuk Farid memandang pula ke arah Dizyan.
“Yan kerja?” Datuk Farid bertanya pula kepada menantunya itu.
“Kerja, Pa.” Dizyan juga menjawab ringkas. Datin Rubaiyah mengelap airmata yang masih menuruni pipinya.
“Kami pergi dulu, Pa.” Ujar Faizal. Dizyan terpinga-pinga. Bukankah Faizal tidak suka jika Dizyan naik kereta yang sama dengannya ke pejabat? Takut pula jika menjadi bahan bualan pekerja-pekerja di pejabat itu nanti. Datuk Farid mengangguk. Dengan segera, Faizal menarik tangan Dizyan untuk membuntutinya.
Sampai sahaja di tempat letak kereta, Faizal melepaskan tangan Dizyan. Gadis itu mengerutkan dahi. Alat penggera kereta berbunyi nyaring, bergema di tempat letak kereta itu.
“Masuk.” Arah Faizal. Bertambah-tambah kerutan di dahi Dizyan. Tetapi tanpa bertanya, Dizyan masuk juga ke dalam perut kereta. Kereta itu menderum pergi meninggalkan KLIA. Tergaru-garu Dizyan ingin bertanya. Dia menggigit bibir. Faizal tenang memandu di sebelah. Sesekali jari jemarinya mengetuk stereng mengikut rentak irama lagu yang beralunan perlahan di radio.
“Kita nak pergi office sama-sama ke?” tanya Dizyan, akhirnya. Tiada respon dari Faizal. Dizyan melepaskan keluhan. Melontarkan pandangan ke luar.
“Tak. Aku hantar kau balik rumah. Kau ambil kereta kau pergi office.” Ujar Faizal.
Dizyan tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Hanya mengiakan kata-kata Faizal dalam hati. Dia memang sudah agak bahawa Faizal akan menghantarnya balik ke rumah dahulu. Mana mungkin mereka sama-sama kelihatan di dalam satu kereta menuju ke pejabat. Bukankah Faizal sudah berkata bahawa dia tidak mahu sesiapapun tahu akan hubungan mereka. Dizyan menguak rambutnya ke belakang. Lagu I’m Yours nyanyian Jason Mraz ke udara. Faizal menguatkan sedikit volume suara radio itu. Dia turut bernyanyi-nyanyi kecil. Dizyan tahu lagu I’m Yours itu adalah lagu kegemaran Faizal. Sampaikan nada dering untuk telefonnya juga lagu itu. Dari awal sampai akhir, Faizal menyanyikan lagu itu. Dia hafal lagu tersebut. Sedap juga suaranya, hati Dizyan berdetik. Sesekali mata Faizal melirik ke arah Dizyan. Gadis itu leka memandang pemandangan luar.
“I’m yours.” Faizal berkata di tepi telinga Dizyan. Gadis itu berpaling ke arah Faizal sambil mengerutkan dahi. Faizal meneruskan pemanduan dengan wajah selamba. Dizyan menggeleng perlahan. Kembali menebarkan pandangan ke luar. Tamat sahaja lagu itu, Faizal kembali memperlahankan volume radio.
“Jom breakfast kat luar hari ni?” Ajak Faizal. Dizyan memandang Faizal dengan tanda tanya diwajahnya. Mata Faizal masih fokus kepada pemanduannya.
“Bibik dah masak kat rumah.” Tukas Dizyan. Faizal tersenyum.
“Itu aku tahu. Tapi aku rasa teringin pulak nak makan luar hari ni.” Faizal berkata lagi.
“Suka hati awaklah. Saya ikut je.” Dizyan berkata pula.
Faizal terus membelokkan keretanya ke arah kedai mamak yang berdekatan dengan rumah mereka. Restoran Subaidah menjadi pilihan mereka untuk menjamu selera pagi itu. Mereka sama-sama melangkah turun dari kereta dan masuk ke dalam restoran tersebut. Sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung, pelayan restoran mamak tersebut mendekati mereka berdua.
“Ane, roti telur bawang lebih satu. Nescafe tarik une.” Faizal memesan apa yang ingin dijamahnya pagi itu. Pelayan tersebut menggolekkan kepalanya tanda mengerti.
“Untuk saya, roti canai garing dan teh tarik.” Dizyan pula memesan. Sekali lagi pelayan itu menggolekkan kepalanya. Satu khidmat pesanan ringkas baru sahaja masuk ke dalam telefon bimbit Faizal. Dibuka blackberry miliknya itu dan leka membalas SMS tersebut. Dizyan memadang ke sekeliling.
“Eh, Yan. Encik Faizal....” dan tanpa disangka oleh mereka berdua, mereka disapa oleh orang yang dikenali. Dizyan memandang ke arah orang itu. Matanya membulat. Lidah terkelu. Tidak tahu hendak berkata apa. Faizal juga turut mengangkat muka tetapi kembali menunduk menghadap telefonnya. Orang itu memandang jelek ke arah Faizal.
“Kak Annie buat apa kat sini?” tanya Dizyan sekadar berbasa-basi.
“Kak Annie makan dengan suami dan anak-anak.” Ujar Annie dengan gaya makcik kepoh nya. Dizyan mengangguk perlahan.
“Yan dengan Encik Faizal buat apa pulak kat sini?” Annie seperti dapat menghidu sesuatu yang berlaku terhadap dua insan dihadapannya itu. Seperti suatu hubungan.
Dizyan berdehem perlahan. Tidak tahu hendak berkata apa. Dipandangnya Faizal yang masih berwajah selamba. Dizyan mengurut leher. Annie masih menunggu jawapan daripada gadis dihadapannya itu. Dizyan menendang perlahan kaki Faizal. Lelaki itu mengaduh kecil. Mengurut kaki yang menjadi mangsa tendangan Dizyan. Mencerlung memandang ke arah Dizyan. Isterinya memberikan isyarat mata untuk menjawab soalan Annie. Faizal mengerti akan isyarat itu, segera memandang ke arah Annie yang sudah tersenyum sinis.
“Makanlah. Takkan main kriket pulak.” Jawab Faizal selamba. Annie segera menguak rambutnya ke belakang. Terasa dipermainkan.
“Tak apalah, Encik Faizal....Yan. Saya minta diri dulu.” Annie berkata dan ingin segera beredar. Wajah terasa membahang. Dizyan mengangguk sambil tersenyum kecil. Memerhatikan bayangan Annie hilang di sebalik kereta Grand Livina milik keluarganya. Dizyan mengalih pandang semula ke hadapan. Terkejut apabila Faizal memandangnya tajam.

“Kau jangan bercampur sangat dengan orang macam tu. Aku tak suka. Orang macam tu selagi tak hancurkan hidup orang atau menganggu kehidupan orang lain yang tenang, manusia macam tu memang tak sah. Dia macam tak boleh hidup.” Tajam sekali Faizal berkata-kata. Dengan perlahan, Dizyan menganggukkan kepalanya. Tetapi keningnya dikerutkan. Sejak bila Faizal mengambil berat dengan siapa dia berkawan? Bibir Dizyan mengukirkan senyuman kecil.

BERSAMBUNG.......




Friday, September 25, 2009

Dan Sebenarnya....37

BAB 37

DATUK Farid dan Datin Rubaiyah sedang duduk menonton televisyen di ruang tamu sambil menunggu kedatangan tetamu-tetamu mereka. Fikhri pula berada di dalam bilik bacaan. Hendak melayari internet, katanya. Loceng yang berbunyi nyaring, mengejutkan seisi penghuni rumah. Faizal yang berada di bilik bacaan bersama adiknya, turun ke tingkat bawah untuk melihat tetamu yang datang. Dizyan dan Sutinah yang berada di dapur, juga turut keluar untuk menyambut tetamu yang baru sampai itu. Sutinah membuka pintu utama dan menjemput tetamu-tetamu tersebut masuk. Tetamu yang ditunggu-tunggu sudah sampai. Datuk Farid dan Datin Rubaiyah hanya berdiri di ruang tamu. Sutinah menjemput mereka semua ke ruang tamu. Tersenyum lebar Datuk Farid dan Datin Rubaiyah melihat tetamu-tetamu mereka itu.
Faizal yang baru turun ke tingkat bawah, terlanggar bahu dengan Dizyan. Gadis itu terdorong ke belakang. Sempat Faizal memaut pinggang gadis itu. Mata mereka bertaut. Sutinah berdehem perlahan. Menyedarkan mereka berdua. Tetapi pautan di pinggang Dizyan tetap tidak dilepaskan. Dizyan melepaskan diri dari pautan itu. Mendekati Datin Rubaiyah.
“Welcome to Malaysia.” Ucap Datuk Farid. Sahabatnya itu dengan perlahan menumbuk bahu Datuk Farid. Mereka sama-sama tergelak.
“Kau memang dari dulu sampai sekarang asyik nak perli aku je, kan.” Ujar sahabat Datuk Farid yang dikenali sebagai Abdul Aziz itu.
“Yelah, kau kan dah lama duduk luar negara. Sampai dah tak ingat nak balik Malaysia.” Nada suara Datuk Farid seperti memerli sahabat lamanya itu.
“Let me introduce to you. This is my wife, Nasimah.” Abdul Aziz memperkenalkan isterinya yang berasal dari negara China itu. Nasimah tersenyum sehingga sepet matanya. Datin Rubaiyah menyalami wanita itu.
“Ima, this is Farid, my old dearest friend and his wife....” Abdul Aziz menunggu untuk Datuk Farid memperkenalkan isterinya pula.
“Rubi.” Ringkas Datuk Farid berkata. Nasimah mengangguk. Fikhri yang sedang sibuk membalas mesej pesanan ringkas daripada sahabat, tidak perasaan akan satu kelibat manusia yang berdiri dihadapannya. Dia terlanggar seseorang.
“Oppss....sorry.” ucap Fikhri tanpa mengangkat wajah.
“Fikhri?” suara gadis yang amat dikenalinya itu menyapa gegendang telinga. Fikhri mengangkat muka memandang wajah dihadapannya. Terkesima Fikhri sebentar. Betulkah apa yang dilihatnya kini? Fikhri menggosok mata perlahan. Sah! Memang tidak silap lagi.
“Iman?” Fikhri pula berkata. Tanpa dia sedar, bibirnya mengukir senyuman. Gadis itu membalas senyuman Fikhri. Dizyan mengerutkan dahi melihat wajah gadis bertudung itu. Manis sekali rupanya.
“So, this is your son?” tanya Abdul Aziz sambil menepuk perlahan bahu Fikhri. Tepukan itu menyedarkan Fikhri dari lamunannya. Tersengih melihat pandangan tajam Datin Rubaiyah.
“Ya, Fikhri. And this is.....” ayat Datuk Farid tergantung dan mengalih pandang ke arah Nuriman yang tertunduk malu.
“My daughter, Iman.” Abdul Aziz memeluk bahu Nuriman. Fikhri tidak lepas dari memandang Nuriman. Wajah gadis itu memerah apabila ditenung begitu. Segan untuk mengangkat muka. Tetapi dia tetap tunduk menyalami Datin Rubaiyah. Tersenyum lebar wanita itu melihat keperibadian yang ada dalam diri Nuriman.
“So, jadi lah?” tanya Datuk Farid. Abdul Aziz tergelak besar. Nasimah juga mengangguk perlahan sambil tersenyum. Hanya Datin Rubaiyah sahaja yang terpinga-pinga.
“Apa yang jadi?” Datin Rubaiyah bertanya. Memandang wajah orang-orang dihadapannya silih berganti. Dikerutkan dahinya.
“Nak satukan Fikhri dan Iman.” Ujar Datuk Farid lagi.
“Sejak bila Abang dah pandai jadi matchmaker ni? Selalunya saya yang jadi ejen pencari jodoh.” Usik Datin Rubaiyah. Mereka yang lain tergelak kecil.
“Datuk...Datin...makanannya udah siap.” Sutinah berkata sebaik sahaja muncul dari dapur.
“Hah, jom! Lebih baik makan sambil bersembang.” Tukas Datuk Farid. Memeluk bahu sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. Abdul Aziz mengangguk. Datin Rubaiyah berjalan beriringan dengan Nasimah sehingga ke meja makan.
“Silakan.” Fikhri berkata malu-malu. Nuriman mengangguk perlahan sambil tersenyum.
Faizal berniat ingin mengusik. Ditolak perlahan kepala adiknya itu. Tersengih sahaja Fikhri dibuatnya. Dibetulkan rambut yang sedikit kusut. Dizyan menyaingi langkah Nuriman untuk ke meja makan. Tetapi dia terdorong semula ke belakang apabila terasa lengannya ditarik seseorang. Mengangkat wajah melihat Faizal sedang tersenyum.
“Apa awak buat ni? Lepaslah.” Dizyan cuba meronta untuk melepaskan tangannya.
“Kau jalan dengan aku.” Faizal berkata. Genggaman tangan Dizyan semakin kuat sehingga gadis itu mengaduh perlahan.
“Lepaslah.” Dizyan masih meronta untuk melepaskan diri. Mata Faizal tajam menikam wajah Dizyan. Akhirnya, gadis itu mengalah. Dilepaskan keluhan kuat. Mencebikkan bibir.
“Elok sangatlah tu. Boleh sangkut baju kat mulut kau tu.” Bisik Faizal di tepi telinga Dizyan. Gadis itu menjeling tajam. Dizyan melabuhkan punggung di sebelah Faizal. Nuriman yang duduk menghadap Fikhri hanya menundukkan wajah. Malu untuk menatap wajah lelaki yang bisa menggetarkan jiwanya itu. Fikhri tidak habis-habis dengan sengihannya.
“Eh, Rubi. Awak kata awak nak masak Wanton Soup. Ni lontong.” Datuk Farid memandang dengan pelik makanan dihadapannya itu.
“Memanglah. Tapi saya rasa Nasimah mesti tak pernah makan lontong kan?” Datin Rubaiyah mengalih pandang ke arah Nasimah. Wanita elegan itu mengangguk perlahan. Hanya senyuman sahaja yang menghiasi bibirnya.
“Bagus jugak ni, Farid. Aku pun dah lama tak merasa masakan Malaysia.” Tukas Abdul Aziz. Selama 25 tahun, dia merantau ke luar negara dan menetap di Beijing, inilah baru dia hendak merasa kembali masakan Malaysia.
“Jemputlah makan.” Dengan berselera, mereka semua menjamu makanan yang sudah terhidang. Bukan sahaja Datin Rubaiyah menyediakan lontong, tetapi disediakan juga kuih-muih dan kek keju serta kustard pisang. Menaikkan selera tetamu-tetamunya.
“Awak, lepaslah. Saya nak makan ni.” Tingkah Dizyan perlahan. Cuba dilepaskan tangan yang kemas berada dalam genggaman lelaki disebelahnya.
“Makan pakai tangan sebelah sana.” Ujar Faizal. Dizyan menggigit bibir. Geram yang teramat sangat dengan Faizal. Apa kena dengan dia ini? Demam ke? Getus hati Dizyan. Datin Rubaiyah memandang pelik ke arah Dizyan dan Faizal. Seorang makan pakai tangan kiri, yang seorang lagi hendak menceduk lauk pun, asyik menggunakan tangan kanan.
“Yan...kenapa Yan makan pakai tangan kiri?” tanya Datin Rubaiyah. Kesemua mata yang ada di meja itu mengalih pandang ke arah Dizyan dan Faizal. Gadis itu tidak tahu hendak menjawab apa.
“Tangan dia sakit, Ma.” Faizal menjawab bagi pihak Dizyan. Datin Rubaiyah tersenyum sinis. Mengangguk perlahan tanda mengerti ‘kesakitan’ yang dialami oleh Dizyan. Sekali lagi Dizyan menggigit bibir. Fikhri ketawa perlahan, sinis. Mata Faizal mencerlung ke arah Fikhri. Segera dia menekup mulut.
Leka mereka menjamu selera. Selepas itu, Datuk Farid mengajak Abdul Aziz ke ruang tamu. Datin Rubaiyah dan Nasimah mengusul kemudian. Nuriman leka bersembang dengan Dizyan. Manakala Fikhri sudah hilang di sebalik bilik bacaan. Faizal pula entah kemana. Lebih kurang jam 9 malam, tetamu-tetamu yang datang pun meminta diri untuk pulang ke hotel tempat mereka menginap. Fikhri sempat melambai ke arah Nuriman. Lambaian itu dibalas. Hati Fikhri bersorak gembira. Datuk Farid dan Datin Rubaiyah yang ingin masuk semula ke dalam rumah, tersenyum melihat gelagat Fikhri yang tidak habis-habis lagi dengan lambaiannya di muka pintu.
“Sudah-sudahlah tu, Fik.” Sindir Datuk Farid. Fikhri sekali lagi tersengih.
Lampu kereta yang menyuluh masuk ke perkarangan rumah, membuatkan mereka memandang ke arah pintu pagar. Kelihatan Fathiq melangkah turun dari kereta BMW Z4. Selepas mematikan enjin, Altaf turun dari keretanya dan berjalan beriringan dengan Fathiq masuk ke halaman rumah.
“Auntie...Uncle.” ucap Altaf. Kemudian, dia tunduk menyalami kedua orang tua dihadapannya itu. Menyalami pula Fikhri dan Faizal yang juga berada di muka pintu.
“Hah, Taf. Baru hari ni nampak batang hidung kamu.” Ujar Datuk Farid. Anak muda itu hanya tersenyum. Datuk Farid faham akan tuntutan kerja anak muda itu. Jadualnya selalu penuh.
“Sibuk sikitlah, Uncle. Tak ada masa nak enjoy.” Ujar Altaf, agak malu-malu. Datuk Farid mengangguk perlahan.
“Kamu bila lagi?” tanya Datin Rubaiyah tiba-tiba.
“Bila lagi apa, Auntie?” Altaf bertanya kembali, kurang mengerti akan kata-kata wanita dihadapannya itu.
“Nak kahwin lah. Orang sebelah kamu tu, belajar pun tak habis, dah fikir nak kahwin. Kamu yang dah kerja ni, tak terfikir lagi ke?” Dalam diam, Datin Rubaiyah menyindir Fathiq. Datuk Farid berdehem perlahan. Fathiq menelan air liur yang terasa tersekat di kerongkong. Mereka yang lain hanya mendiamkan diri.
“Eh, tak apa, Auntie. Dia dah ada calon. Saya belum lagi. Kan bagus kalau cepat-cepat kahwin, elakkan maksiat.” Altaf berkata, berniat untuk mempertahankan sahabatnya. Sudah Fathiq ceritakan dari mula sehingga habis, perihal yang berlaku antara dia dan Datin Rubaiyah. Altaf hanya mampu memberikan nasihat yang terbaik untuk Fathiq fikirkan.
“Betul kata kamu tu, Taf.” Datuk Farid juga mengiakan kata-kata Altaf. Anak muda itu menelan air liur apabila terlihat wajah cemberut Datin Rubaiyah.
“Auntie...Uncle. Saya minta diri dululah. Dah malam ni. Esok pagi kena fly.” Ujar Altaf meminta diri dengan sopan.
“Hah, kirim salam kat parents kamu.” Ujar Datuk Farid. Altaf mengangguk. Sekali lagi tunduk menyalami mereka semua yang ada disitu. Ingin segera beredar dari situ sebelum dia pula yang menjadi mangsa serangan kata-kata oleh Datin Rubaiyah. Fikhri dan Fathiq menemani Altaf sehingga ke pintu pagar. Altaf membuka pintu kereta.
“Thanks, Taf. Sebab kau backing aku.” Ucap Fathiq, ikhlas. Altaf menepuk bahu Fathiq.
“Sekarang ni, bolehlah aku backing kau. Nanti kau kena backing diri kau sendiri pulak lepas ni. Aku tahu kau boleh convince kan Mama kau. Dia tak susah. Aku kenal Mama kau dah lama. Dia wanita yang baik.” Pesan Altaf. Sudah berkali-kali Altaf menasihatkan perkara yang sama. Fathiq mengangguk.
“Okay, Fik. Aku balik dulu.” Ucap Altaf.
“Kirim salam kat Alfie.” Ujar Fikhri yang lebih rapat dengan abang kembar Altaf, Alfie. Alfie juga sibuk dengan urusannya sebagai seorang doktor dan berkhidmat di PPUM. Altaf mengangguk dan terus masuk ke dalam perut kereta. Menderum pergi meninggalkan kawasan perumahan banglo itu.



JAM loceng yang berdering kuat pada pagi itu, mengejutkan Dizyan. Segera ditutup jam loceng tersebut. Tidak mahu menganggu tidur Faizal yang masih nyenyak. Almaklumlah, hari minggu Faizal suka tidur lebih lama. Untuk menjana semula tenaga yang sudah kehabisan semasa hari bekerja. Dizyan tidak segera bangun seperti selalu. Dia masih berbaring dan mengiring ke kiri dan ke kanan. Keadaan yang uzur menyebabkan Dizyan malas hendak bangun awal. Tetapi jam hampir 6.30 pagi. Faizal masih belum bangun untuk menunaikan solat Subuh. Dengan malas, Dizyan bangun dan teragak-agak hendak menyentuh bahu Faizal. Wajah Faizal yang lena, sangat mendamaikan. Dizyan duduk mencangkung dan menghadap wajah Faizal yang sedang tidur mengiring itu. Jemarinya menguak rambut Faizal yang jatuh di dahi. Kelihatan Faizal bergerak sedikit. Menyapu wajah yang tiba-tiba sahaja terasa gatal. Dizyan menarik semula jarinya. Tersenyum kecil. Sengaja disentuh telinga Faizal. Dia tahu lelaki itu sensitif di bahagian telinga. Kepala Faizal bergerak. Dizyan menekup mulut. Kemudian, Dizyan menongkat dagu di atas katil. Menjamah segenap inci wajah Faizal.
“Kau dah jatuh cinta pada aku ke?” pertanyaan yang keluar dari mulut Faizal itu membuatkan mata Dizyan terbelalak. Dia terus jatuh terduduk di atas punggungnya. Terkejut dengan sergahan itu. Faizal perlahan-lahan membuka matanya dan memandang Dizyan dengan senyuman sinis.
“Adoi!” Dizyan berkata dan menggosok punggungnya perlahan. Memasamkan wajah. Faizal bangun dan duduk di atas katil. Memandang wajah Dizyan. Gadis itu menggumam perlahan.
“Perasanlah. Siapa yang jatuh cinta pada awak?” Dizyan bertanya kembali. Faizal menjungkitkan bahu. Dizyan segera berdiri.
“Pergilah solat Subuh. Dah lambat ni. Karang terlepas pulak.” Ujar Dizyan. Diambil tuala yang ada di tempat penyidai dan dilemparkan ke arah Faizal yang tersengih seperti kerang busuk. Dizyan hendak kembali berbaring tetapi tidak jadi apabila Faizal berkata sesuatu.
“Apa lagi yang awak nak?” tanya Dizyan. Matanya ingin kembali tertutup.
“Kot ye pun kau dah jatuh cinta kat aku, tak payahlah towel kau pun, kau bagi kat aku.” Faizal menggawangkan tuala milik Dizyan tersebut. Dizyan mendengus dan menarik kasar tuala tersebut dari tangan Faizal. Kali ini dipastikan betul-betul bahawa tuala yang akan dibalingnya itu milik Faizal. Lelaki itu terkekeh ketawa sambil melangkah masuk ke dalam bilik air.
Selepas Faizal selesai membersihkan diri, giliran Dizyan pula untuk mandi. Usai berpakaian, Dizyan turun ke tingkat bawah untuk menolong Sutinah menyediakan sarapan. Siap menghidang, muncul kembar itu di meja makan. Diikuti oleh Datuk Farid dan Datin Rubaiyah.
“Mana Faizal?” tanya Datuk Farid kepada Dizyan. Mereka yang lain sudah mula menjamu selera. Perut yang lapar sudah tidak tertahan.
“Papa makanlah dulu. Yan pergi panggil Zal.” Datuk Farid mengangguk perlahan.
Dizyan menuju ke tingkat atas. Mencari Faizal di dalam bilik. Tiada. Keluar dari kamar tidur, Dizyan mencari pula Faizal di bilik bacaan. Juga tiada. Kemana pula dia ini pergi? Semasa Dizyan menukar pakaian, Faizal sudah tiada di bilik. Dengan perlahan, Dizyan menapak turun ke tingkat bawah sambil otaknya ligat berfikir kemanakah Faizal menghilang. Tiba-tiba mata Dizyan menghala ke arah pintu utama yang terkuak sedikit. Mungkin Faizal berada di halaman rumah. Meninjau ke arah halaman rumah. Dizyan ternampak sesusuk badan sedang berdiri mundar-mandir dihadapan kolam ikan koi. Sedang bercakap telefon. Dizyan mengerutkan dahi. Berjalan perlahan-lahan menuju ke arah Faizal yang tidak sedar akan kehadirannya itu.
“Come on, babe. This is Sunday, okay! I need my rest.” Ujar Faizal. Masih berjalan ke hulu dan ke hilir. Kerutan di dahi Dizyan bertambah-tambah.
“Zhety, you kena faham. I perlukan rehat. I perlu rehatkan otak I ni.” Sekali lagi Faizal berkata. Terdengar dia mendengus perlahan. Barulah Dizyan tahu kini dengan siapa Faizal sedang berbual. Hati Dizyan tiba-tiba terasa sakit. Rasa seperti ingin menjerit. Terasa seperti hendak mencekik dan menampar wajah ‘tepung gomak’ milik perempuan tidak tahu malu itu.
“You tanya I kenapa I berubah? I tak pernah berubahlah, Zhety. I masih Faizal yang dulu.” Faizal berkata. Sekejap duduk dan sekejap berdiri. Benarkah dia sudah berubah? Tetapi Faizal rasa dia masih Faizal yang dulu. Disilangkan lengan ke dada.
“Zhety, please. Don’t be too demanding. I dah pernah cakap dengan you. Jangan expect apa-apa dari hubungan kita ni. Sebab I tak expect apa-apa dari you. And now, you nak I beritahu you kemana I sebab I malas nak keluar dengan you semalam?” Faizal mengurut dahi yang tiba-tiba terasa pening dengan karenah perempuan ini.
“Dahlah, Zhety. I dah malas nak explain apa-apa pada you. You nak anggap yang bukan-bukan tentang I, suka hati you. Please do not disturb me after this. As I said, I need my rest.” Faizal mematikan talian dan segera memadamkan telefon. Bukan dia tidak tahu yang Ku Zhety akan cuba untuk menelefonnya buat kali kedua. Malas mahu menjawab panggilan itu. Lebih baik dimatikan sahaja telefon bimbitnya. Disimpan telefon bimbit itu ke dalam kocek seluarnya. Berpaling dan melihat wajah cemberut Dizyan. Faizal tersentak.
“Breakfast.” Hanya itu sahaja yang dikatakan oleh Dizyan. Keras bunyi nadanya. Kemudian, dia berpaling dan ingin segera melangkah masuk. Tetapi Dizyan terdorong semula ke belakang apabila Faizal menarik lengannya. Memandang tajam wajah Faizal.
“Aku tak call dia, tapi dia call aku.” Jelas Faizal. Dizyan mencebik.
“Like I care.” Ringkas Dizyan berkata. Satu senyuman sinis terukir di bibir Faizal.
“Marah nampak?” sengaja Faizal ingin mengusik Dizyan. Turun naik dada Dizyan menahan nafas.
“Mestilah. Awak kan suami saya.” Dizyan terlepas kata. Segera dia menekup mulut. Senyuman di bibir Faizal semakin melebar. Dizyan berpaling dan membelakangkan Faizal.
“Jadi, kau sayanglah kat aku?” bisik Faizal di tepi telinga Dizyan. Hati Dizyan jadi tidak keruan.
“Dahlah. Dari melayan awak, lebih baik saya isi perut yang kosong ni.” Ujar Dizyan. Dia terus masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Faizal yang masih dengan senyuman di bibir. Comel pula melihatkan wajah Dizyan yang tidak keruan itu. Lucu! Faizal meraup rambutnya ke belakang. Sah! Kau dah jatuh cinta pada dia, hati Faizal berkata.

BERSAMBUNG.....

Wednesday, September 16, 2009

Dan Sebenarnya....36

Okaylah.....disebabkn nk raye nie,sye ngan baik hatinye nk bg lg satu post.....tp br abes wat bab nie jer....bab seterusnya x mule pon lg.....dlm next week maybe......tggu yer....hehehe

BAB 36

KERETA Faizal menyusuri perlahan masuk ke garaj. Sesekali matanya beralih ke arah laman rumah. Kelihatan tiga lembaga sedang bergelak sakan disitu. Hatinya mendongkol geram. Dizyan yang sedang seronok bergelak ketawa, tidak sedar akan kepulangannya itu. Diparkir keretanya ke dalam garaj. Mengambil beg bimbit dan kot yang diletakkan di kerusi sebelah. Berjalan melintasi halaman rumah. Fikhri yang terperasan akan kepulangan abangnya itu, mengangkat wajah.
“Eh, Abang.” Panggil Fikhri. Langkah kaki Faizal terhenti. Memandang ke arah mereka bertiga.
“Hmm…” Faizal menaikkan sedikit kot yang sudah melurut dari lengannya. Dizyan tersenyum.
“Awak baru sampai? Saya tak perasan pun.” Ujar Dizyan. Faizal mengalihkan badannya.
“Mana nak perasan kalau awak asyik bergelak je dengan dia orang.” Faizal berkata. Ada nada cemburu dalam suaranya. Fathiq menjungkitkan keningnya. Tersenyum sinis.
“Jealous ke?” tanya Fathiq. Faizal melonggarkan tali leher yang menjerut lehernya. Membuka butang baju. Terasa membahang wajahnya.
“Tak ada masa aku nak jealous. Dahlah. Abang dah penat. Aku masuk dulu.” Tukas Faizal dan segera melangkah masuk ke dalam. Fikhri dan Fathiq ketawa mengekeh melihat wajah cemberut Faizal. Dizyan menyorot pandangannya memerhatikan bayangan Faizal yang menghilang di sebalik pintu. Dikerutkan sedikit dahinya. Dijungkitkan sedikit bahu. Beralih ke arah adik-adik iparnya. Mereka bertiga terus bersembang.
“Fik pula macam mana?” usik Dizyan dengan senyuman. Fikhri menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Segan apabila Dizyan bertanya mengenai perihal hidupnya.
“Fik single lagilah, Kak. Fik tak pandai nak ‘ayat’ perempuan. Nak cakap-cakap manis ni, bukan Fik lah. Bukan macam mat romeo ni.” Fikhri berkata sambil menepuk perlahan bahu adiknya. Fathiq menepis tepukan itu. Fathiq tersengih memandang Dizyan.
“Apa pulak? Dulu Mariati nak dengan Abang Fik, Abang Fik ‘bolayan’. Sekarang ni, dah Mariati kahwin, melopong lah Abang Fik.” Tukas Fathiq. Fikhri tersengih.
“Bukan Abang tak nak dengan Mariati tu, tapi Abang tak bersedia lagi masa tu.” Ujar Fikhri membela diri.
“Siapa Mariati?” tanya Dizyan tiba-tiba. Lupa pula mereka pada kakak ipar yang turut serta dalam perbualan mereka itu.
“Kawan sekolah Abang Fik. Mariati tu dulu, punyalah gilakan Abang Fik. Tapi, dia buat tak layan je, Kak. Sakit hati perempuan tu.” Bersungguh-sungguh Fathiq bercerita. Dizyan tergelak kecil sambil menggeleng. Kalau hendak dilihatkan, memang Fikhri agak pendiam, berbanding Fathiq. Fikhri juga seorang yang pemalu. Bukan macam Faizal.
“Fik tak ada hati lagi ke nak mendirikan rumah tangga?” pertanyaan Dizyan itu membuatkan Fathiq ketawa mengekeh sambil menekan-nekan perutnya. Dizyan mengerutkan dahi melihat gelagat Fathiq itu.
“Rasanya lah Kak, Fathiq yang akan kahwin dulu. Sebab Abang Fik ni memang tak pandai ‘ayat’ perempuan. Pernah kat U kita orang, adalah perempuan ni, Chinese Muslim from Beijing. Cantik sangat. Nama dia Nuriman. Iman ni memanglah nak kat Abang Fik. Tapi Abang Fik macam tak layan je.” Fathiq membuka kisah yang terjadi setahun yang lalu. Fikhri mengeluh.
“Fik pun suka kat dia. Tapi, ada mamat orang putih ni memang dah lama tackle dia. So, Fik back off lah. Malas nak gaduh dengan mamat tu. Sebab dia asyik datang gertak Fik kat kampus.” Ujar Fikhri pula. Terbeliak biji mata Fathiq. Tidak pernah tahu akan kisah itu. Abang kembarnya tidak pernah pula mahu mengkhabarkan kepada dia.
“Kenapa Abang Fik tak beritahu dengan Fathiq? Boleh Fathiq belasah dia.” Ujar Fathiq sambil mengepal penumbuk. Fikhri tersenyum hambar.
“Inilah sebabnya Abang Fik malas nak beritahu Fathiq. Asyik nak bergaduh dengan orang je.” Fathiq menurunkan semula penumbuknya apabila mendengarkan kata-kata Fikhri. Tiba-tiba sahaja telefon bimbit Fathiq berdering kuat. Segera dikeluarkan telefon bimbit yang berada di dalam poket seluar treknya. Melihat nama yang muncul di skrin telefon, bibir Fathiq mengukirkan senyuman lebar.
“Hello.” Jawab Fathiq. Fikhri dan Dizyan hanya memerhatikan gerak-geri Fathiq itu.
“Er....babe, hold on.” Arah Fathiq kepada pemanggilnya. Menekup telefon bimbit dengan tapak tangan, memandang ke arah dua orang di kiri dan kanannya itu.
“Minta diri kejap, ya.” Ujar Fathiq.
“Vee?” tanya Fikhri. Fathiq mengangguk pantas.
“Pergilah.” Dizyan pula berkata. Fathiq tersenyum dan segera berlalu dari situ. Dizyan memerhatikan gelagat Fathiq bercakap telefon. Kadangkala tersenyum dan kadangkala tertawa kecil. Mesti ada perkara yang menarik hati. Agaknya inilah rupa orang dilamun cinta. Fikhri memandang wajah kakak iparnya itu sedari tadi. Dizyan yang perasan akan renungan itu, beralih pandang ke arah Fikhri.
“Kenapa Fik pandang Akak macam tu?” tanya Dizyan dengan senyuman manis.
“Betul ke Fik dengar yang Zhety masih pergi office cari Abang?” pertanyaan itu menyentap jantung Dizyan. Apakah alasan yang terbaik untuk diciptanya?
“Betullah tu. Kenapa Fik tanya?” tidak elok rasanya Dizyan berbohong. Lambat-laun penghuni rumah itu akan tahu juga.
“Dan Abang keluar juga kalau Zhety ajak, walau dalam waktu apa sekalipun Zhety datang?” sekali lagi Fikhri bertanya. Dizyan tidak menjawab. Dia hanya selesa mendiamkan diri.
“Yang terbaru ni, pasal kes pengusaha perfileman dari Hollywood tu datang. Kes Zhety serang Akak kat office?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Fikhri yang inginkan jawapan daripada Dizyan. Gadis itu mengeluh perlahan.
“Mana Fik dengar semua cerita ni?” tanya Dizyan. Tersenyum dalam kepayahan.
“Kak...Fik mungkin seorang adik yang pendiam. Fik tak lantang bercakap macam Fathiq. Fik turutkan je. Walaupun orang tu salah. Tapi, kalau dalam kes ni, Fik tak setuju jugak. Akak isteri Abang. Akak lebih berhak terhadap Abang.” Fikhri meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap abang kesayangan. Mungkin dia terlalu menyayangi abangnya sehinggakan Fikhri tidak sanggup melihat Faizal terjatuh dalam perangkap yang dicipta oleh Ku Zhety.
“Fik...hubungan kami, okay. Tak ada apa-apa. Fik tak perlulah risaukan kami.” Tukas Dizyan. Fikhri mengangguk perlahan.
“Sekarang ni, Fik fikir macam mana nak dapatkan seorang perempuan untuk bertakhta di hati Fik ni.” Sambung Dizyan sambil menepuk perlahan dada Fikhri. Lelaki muda itu tersengih. Fathiq yang sudah selesai bersembang bersama pemanggilnya, berjalan ke arah mereka berdua yang duduk di halaman rumah.
“Dah? Dah habis bersembang dengan ‘marka’ Fathiq?” tanya Fikhri. Fathiq tersengih seperti kerang busuk.
“Mestilah. Rindu, kot. Dah dekat sebulan lebih tak jumpa.”
“Sabarlah. Tinggal 2 minggu je lagi kita kat sini.” Fikhri berkata sambil menepuk bahu Fathiq.
Datuk Farid menjenguk ke halaman rumah. Terlihat anak-anak dan menantunya sedang leka bersembang disitu. Dia melangkah ke arah mereka bertiga. Datuk Farid berdehem kecil. Memandang ke arah mereka. Mereka bertiga mendongakkan kepala.
“Kat sini rupanya kamu semua.” Ujar Datuk Farid. Dilabuhkan punggung menghadap Dizyan.
“Papa cari kami ni, kenapa?” tanya Fathiq. Sedikit pelik. Dikerutkan dahi memandang Papanya yang membetulkan kaca mata yang sedikit melurut dari hidung.
“Begini. Esok kamu semua ada kat rumah kan?” tanya Datuk Farid. Fikhri mengangguk. Dizyan tersenyum. Fathiq tidak memberikan jawapan. Memikirkan samada esok dia punya temujanji atau tidak.
“Esok, Fathiq tak bolehlah, Pa. Fathiq ada janji dengan Altaf.” Fathiq berkata.
“Pergilah. Kamu pun dah lama tak jumpa Altaf. Sibuk memanjang je budak tu sejak dah jadi pilot ni. Nanti karang tak ada peluang nak jumpa lagi dah. Minggu satu lagi, kamu berdua dah nak balik Switzerland.” Ujar Datuk Farid memberikan kebenaran.
“Tapi, Yan dengan Fik ada kan?” Datuk Farid memandang Fikhri dan Dizyan silih berganti. Mereka berdua mengangguk serentak.
“Esok kawan Papa dari overseas nak datang. Katanya, anak perempuan dia pun bercuti jugak sekarang ni.” Ujar Datuk Farid. Mengalih pandang ke arah Fikhri.
“Aik? Selalunya Mama yang bertindak jadi matchmaker ni. Sekarang dah berjangkit pada Papa pulak?” usik Fathiq. Dizyan tersenyum kecil.
“Kamu jangan masuk campur. Kamu uruskan dulu hal kamu dengan Mama ni. Macam mana nak convince kan Mama.” Datuk Farid menuding jari ke arah Fathiq. Fathiq menekup mulut tetapi mulutnya tetap tertawa kecil.
“Kamu tengoklah dulu. Kalau kamu suka, Alhamdulillah. Papa teruskanlah jugak niat nak satukan kamu dengan dia. Kalau kamu tak suka, Papa nak buat macam mana lagi.” Fikhri serba salah mendengar kata-kata Datuk Farid. Serba salah juga jika tidak diikuti.
“Yalah, Pa. InsyaAllah. Tapi Fik tak janji tau.” Fikhri memberitahu. Datuk Farid mengangguk dan tersenyum. Datuk Farid mengetuk meja laman rumah itu, perlahan.
“Okaylah. Papa masuk tidur dulu.” Ujar Datuk Farid, meminta diri. Mereka memandang langkah Datuk Farid sehingga menghilang di sebalik pintu kayu. Fathiq tidak habis-habis mengusik Fikhri. Dapatlah dia merasa nasi minyak abang kembarnya dahulu. Dizyan hanya tertawa melihat gelagat kembar itu. Seorang pemalu dan seorang lagi kaki mengusik.


FAIZAL meletakkan beg bimbitnya ke dalam bilik bacaan yang terletak bersebelahan dengan bilik mereka. Kot juga disangkutkan ke rak penyangkut kot. Melepaskan keluhan perlahan.
“Jealous? Aku jealous?” Faizal tertanya sendirian. Menggaru kepala yang tidak gatal. Cemburu ke aku ni? Hatinya pula tertanya. Tangannya disilangkan ke dada. Kenapa hanya satu perkataan itu yang disebut oleh Fathiq membuatkan hati Faizal tidak senang. Mundar-mandir Faizal di dalam bilik bacaan itu. Sekejap duduk dan sekejap berdiri. Benarkah dia cemburu? Benarkah dia ada perasaan pada Dizyan? Perasaannya keliru. Seketika kemudian, Faizal meluru keluar dari bilik bacaan tersebut dan menuju ke bilik tidurnya. Menyelak tirai yang menutupi balkoni dan membuka pintu balkoni itu. Menjenguk ke bawah. Kelihatan Dizyan sedang seronok bersembang bersama Fikhri dan Fathiq. Faizal meletakkan tangannya ke atas railing balkoni. Melihat gelak ketawa Dizyan menyakitkan hatinya. Semasa Dizyan bersamanya, tidak pernah Dizyan ketawa sebegitu rupa. Senyum pun kadangkala payah hendak melihat terukir di bibir gadis itu. Matanya mencerlung memandang ke arah mereka bertiga. Kelihatan Dizyan sudah bangun dan meminta diri dari dua adik iparnya itu. Faizal menjadi gelabah. Segera dia masuk ke dalam dan menutup semula pintu balkoni serta tirai tersebut. Kelam-kabut dia mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air. Segera membersihkan diri yang sudah melekit.
Selesai membersihkan diri, Faizal keluar dari bilik air dengan tuala separas pinggang dan mencari-cari wajah Dizyan. Tiada. Bukankah dia sudah masuk ke dalam rumah sebentar tadi? Menyelak tirai. Menjenguk ke bawah. Tiada. Fikhri dan Fathiq juga sudah tiada di laman rumah. Kemanakah Dizyan? Ditutup semula tirai tersebut. Faizal berdiri di sebelah katilnya dan menghadap balkoni. Berkerut-kerut dahinya cuba memikirkan kemungkinan Dizyan berada.
Pintu bilik terkuak perlahan. Dizyan melangkah masuk ke dalam. Hatinya tertanya-tanya. Kenapa lampu bilik tidak dipasang? Faizal sudah keluarkah? Tetapi tiada tanda-tanda menunjukkan Faizal sudah keluar. Keretanya masih tersadai di garaj. Dizyan meraba dinding untuk mencari suis lampu bilik yang terletak berdekatan dengan pintu bilik air. Hatinya mendongkol geram. Kenapalah suis lampu tidak diletakkan berdekatan dengan pintu bili? Tanpa Dizyan sedari, dia terlanggar sesuatu dan badannya terdorong ke belakang.
“Aaaa.....” jerit Dizyan.
Serentak dengan itu, sepasang tangan kekar menyambut badan Dizyan dari terjatuh. Dizyan berpaut pada lengan gagah itu. Tetapi, Faizal tidak sempat mengimbangi badannya dan mereka sama-sama terjatuh. Faizal jatuh terhempap di atas Dizyan. Dalam kesamaran cahaya yang menerobos masuk melalui tirai balkoni yang tidak ditutup rapat, Faizal dapat melihat wajah Dizyan. Wajah mereka hanya seinci jauh sahaja. Dizyan terpaku. Terdengar deru nafas Dizyan yang naik turun. Dada yang menahan debaran. Leka mata Faizal menjamah seraut wajah Dizyan. Kemudian, matanya jatuh ke bibir yang merah merekah itu. Entah kenapa, pada saat itu, teringin sekali dia menjamah bibir mungil itu. Makin lama makin dekat wajah Faizal dengan wajah Dizyan. Bibir Faizal tidak sampai seinci dari bibir Dizyan.
Mata Dizyan membuntang. Memori Dizyan kembali memutarkan saat pada malam kejadian yang berlaku di antara dia dan Aneeq. Nafas Dizyan terasa tersekat. Dia rasa seperti tidak boleh bernafas. Makin lama, deru nafas Faizal terasa seperti menjamah lehernya.
“NO!” Dizyan menjerit dan menolak badan Faizal. Dia segera berdiri dan memetik suis lampu. Faizal juga turut segera berdiri. Memandang pelik wajah Dizyan. Dahinya dikerutkan. Dada Dizyan masih lagi turun naik. Terkebil-kebil matanya memandang Faizal. Kenapa memori malam itu terlalu sukar untuk dilupakan? KENAPA??!!! Hatinya menjerit ingin tahu.
Faizal mendekati Dizyan apabila dilihatnya gadis itu berpeluh-peluh. Sesekali mata Dizyan ditekur ke lantai. Perasaan bersalah menerjah benak Faizal. Cuba memegang lengan Dizyan tetapi dengan pantas Dizyan menepis. Mulutnya terkumat-kamit.
“No...No....No....” Dizyan menjauhi Faizal. Dia segera menuju ke pintu dan dipulas tombol pintu tersebut. Terkaku sebentar disitu.
‘Maafkan saya, Zal. Saya bukan perempuan yang selayaknya untuk awak. Saya kotor.’ Hati Dizyan berkata-kata. Dizyan menutup semula pintu tersebut. Membiarkan Faizal terpinga-pinga keseorangan di dalam bilik. Faizal menggigit bibir. Memegang dada yang berdegup kencang. Digaru kepala yang tidak gatal.
‘Apa kena dengan kau ni, Zal? Angau ke?’ Faizal bertanya sendirian. Berkali-kali dia menepuk dahi sambil tersenyum sendirian. Tiba-tiba senyumannya mati.
‘Sah! Kau ni dah angau.’ Sekali lagi hatinya berdetik. Menggelengkan kepalanya pantas. Menyelak tirai yang menutup walk-in wardrobenya. Mencapai kemeja T dan seluar trek. Disarungkan ke badannya. Berdiri menghadap cermin panjang. Faizal bercekak pinggang. Mulutnya mengukirkan senyuman. Teringatkan wajah Dizyan sebentar tadi. Hanya seketika. Kemudian, dahinya dikerutkan. Kenapa wajah Dizyan pucat saat dia ingin menjamah leher itu tadi? Faizal menjungkitkan bahunya. Menutup suis lampu almari dan berjalan keluar. Menutup semula tirai yang terselak.


PAGI itu, Dizyan menolong Sutinah menyediakan sarapan. Pelik Sutinah melihat Dizyan. Fikiran gadis itu bukan berada disitu. Sebaliknya melayang-layang entah ke mana. Leka dia mengacau Nescafe. Airmata menuruni pipi gebunya. Kenapa sanggup Aneeq buat begitu kepadanya? Tidak cukupkah hanya lafaz cinta yang diberikan oleh lelaki itu. Kenapa sampai meninggalkan kesan yang mendalam dalam sejarah hidupnya? Apakah selama ini lafaz-lafaz itu hanyalah sekadar permainan? Airmata Dizyan tidak berhenti menuruni pipinya. Hati dia sudah mula mengaku sayang akan Faizal. Tapi, sanggupkah Faizal mendengar coretan hitam yang berlaku dalam hidupnya? Sanggupkah Faizal menerima dia seadanya? Sesekali diseka airmata itu. Sutinah menepuk perlahan belakang Dizyan.
“Ngapain, Yan? Ada apa-apa yang menganggu fikiran kamu?” tanya Sutinah, mengambil berat akan masalah gadis itu. Dizyan mengelap hidung yang berair. Digeleng perlahan.
“Tak ada apa-apalah, Bik. Masalah pejabat je.” Ujar Dizyan berselindung. Mana mungkin dia menceritakan masalah sebenar kepada Sutinah. Wanita tua itu mengangguk. Tidak mahu menganggu Dizyan. Biarlah dia menyelesaikan masalahnya sendirian. Dizyan membawa teko yang berisi kopi serta cawan dan secawan Nescafe yang dibancuh khas untuk Faizal ke meja makan. Disusun di atas meja tersebut. Datuk Farid dan Datin Rubaiyah turun beriringan. Mereka sama-sama melabuhkan punggung di meja makan tersebut. Dizyan menghulurkan pinggan berisi nasi lemak kepada kedua mertuanya itu. Datin Rubaiyah menyambut huluran pinggan tersebut dan diletakkan dihadapan suaminya. Kemudian, menyambut sepinggan lagi yang dihulurkan oleh Dizyan.
“Kawan Abang tu nak datang pukul berapa?” tanya Datin Rubaiyah sambil menceduk sambal ke dalam pinggan Datuk Farid.
“Dalam tengah hari, katanya. Awak nak masak apa?” Datuk Farid pula bertanya. Datin Rubaiyah berfikir sebentar sebelum menjawab pertanyaan itu.
“Ermm...saya ingat nak masak Wanton Soup. Rasa-rasanyalah kan, lebih sedap pakai mee kuning atau kuey teow?” Datin Rubaiyah memandang wajah suaminya dan menagih jawapan daripada lelaki itu. Datuk Farid mengerutkan dahi.
“Hish...manalah saya nak tahu. Awak yang masak. Suka hati awaklah nak pakai yang mana pun.” Jawab Datuk Farid. Bab masak-memasak ini, dia kurang reti. Semuanya diserahkan kepada Datin Rubaiyah atau Sutinah.
“Hmmm....Yan rasa mana lagi sedap?” tiba-tiba sahaja Datin Rubaiyah mengalih pandang ke arah menantunya yang sedang berdiri.
“Aaaaa???” Dizyan terpinga-pinga. Tidak tahu apa yang sedang dibualkan oleh mertuanya.
“Ish...budak ni! Kita tanya dia, dia berangan pulak.” Kata Datin Rubaiyah. Diceduk sebiji telur goreng dan dimasukkan ke dalam pinggan suaminya.
“Hhmm...tak apalah. Pakai kuey teow lah.” Datin Rubaiyah menjawab kepada persoalan yang ditanyanya sebentar tadi apabila tidak mendapat jawapan daripada Datuk Farid dan Dizyan.
“Assalamualaikum, Ma....Pa.” kedua kembar itu memberi salam seraya duduk di kerusi masing-masing. Dizyan menghulurkan sepinggan nasi lemak. Datin Rubaiyah sudah tidak marah akan Fathiq lagi setelah berkali-kali dinasihati oleh Datuk Farid. Tetapi masih tidak mahu bercakap dengan anaknya.
“Uihh...sedapnya! Dah lama tak merasa nasi lemak Bibik.” Puji Fathiq. Sutinah yang muncul dari sebalik pintu dapur hanya mampu tersenyum melihat telatah anak-anak muda dihadapannya itu.
“Assalamualaikum, Ma...Pa.” Faizal pula memberi salam sebaik sahaja menuruni anak tangga dan menuju ke arah meja makan. Dilabuhkan punggung menghadap Datuk Farid yang duduk di kepala meja. Dizyan menelan air liur. Terasa seperti tersekat di kerongkong. Dia menceduk nasi lemak yang masih berasap itu ke dalam pinggan dan dihulurkan kepada Faizal. Jari Faizal menyentuh jemari Dizyan semasa dia hendak mengambil pinggan yang dihulurkan itu. Dengan pantas, Dizyan menarik semula jemarinya. Dia kegelisahan.
“Kenapa Yan berdiri lagi tu?” ujar Datin Rubaiyah. Segera Dizyan melabuhkan punggungnya bersebelahan ibu mertuanya dan menghadap Fathiq. Adik iparnya itu perasan akan perubahan wajah Dizyan yang agak ketara. Memandang sekilas ke arah abang yang menjamu selera dengan selamba. Apakah yang berlaku? Benak Fathiq ditujah dengan persoalan.

BERSAMBUNG......


Tuesday, September 15, 2009

Dan Sebenarnya....35

Oleh disebabkan atas permintaan ramai, saya dengan suka hatinya hendak mengepost satu lagi bab untuk minggu ini. Tapi next post, anda kena tunggu minggu depan,ya. Well, enjoy reading! Dan di kesempatan ini, ingin saya ucapkan 'Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.' Kepada yang balik kampung tu, semoga selamat sampai di destinasi masing-masing. Saya tak balik kampung tahun ni. Kesian kan? Uhuks....raya kat K.L je. Tapi tak mengapa....Demi anda semua, saya akan usaha untuk siapkan juga manuskrip ini.....

BAB 35

“ASSALAMUALAIKUM.” Ucap Faizal yang baru sahaja turun ke tingkat bawah untuk bersarapan. Dizyan yang baru keluar dari dapur, memandang ke arah tangga. Melihatkan senyuman Faizal, Dizyan memandang ke arah lain. Hatinya tidak henti berdegup pantas. Faizal melabuhkan punggung berhadapan Fikhri. Datuk Farid sudah lama menunggu di meja makan. Dizyan menghulurkan sepinggan makaroni goreng. Dihulurkan juga secawan Nescafe. Semasa Faizal hendak menyambut huluran cawan Nescafe tersebut, tangannya bersentuhan dengan Dizyan. Dengan pantas Dizyan menarik semula tangannya. Faizal tersenyum. Fikhri hanya memerhatikan gelagat abang dan kakak iparnya itu. Kemudian, bertukar pandangan dengan Datuk Farid. Mereka sama-sama tersenyum.
“No, Fathiq. Mama tak setuju!” kuat suara Datin Rubaiyah membentak. Faizal, Dizyan dan Fikhri mengalih pandang ke tingkat atas. Datuk Farid masih meneruskan suapannya. Sudah agak akan reaksi isterinya itu nanti tentang perkhabaran yang ingin disampaikan oleh Fathiq. Semalam Fathiq sudah datang berjumpa dengan Datuk Farid di pejabat. Sudah diceritakan segala-gala yang ingin disampaikan tentang tujuan kepulangannya ke Malaysia kali ini.
“Ma....please. Dengar dulu apa yang Fathiq nak cakapkan ni.” Ujar Fathiq, separuh merayu.
“NO!!!” bertambah kuat suara Datin Rubaiyah. Datuk Farid yang berada di meja makan hanya menggelengkan kepalanya yang sudah beruban itu. Mereka yang ada di meja makan tersentak. Begitu juga dengan Sutinah yang berlari keluar dari dapur. Terkejut mendengar sergahan itu.
“Ma, you can’t judge Vee like that. Dia tak sama dengan orang lain.” Terdengar lagi suara Fathiq yang merayu lembut. Masih mengharapkan hati Datin Rubaiyah sejuk mendengar suaranya itu.
“Kenapa tu, Pa?” tanya Faizal. Fikhri dan Dizyan memerhatikan seraut wajah lelaki tua itu. Datuk Farid tidak memberikan sebarang respon. Hanya senyuman sahaja yang diberikan sebagai balasan.
“I don’t want to hear anything.” Datin Rubaiyah memekup telinganya. Fathiq menarik lengan Mamanya itu. Masih mengharapkan Datin Rubaiyah memahami kehendaknya.
“Ma...Vee is very special to me. Takkan ada perempuan lain dapat menggantikan tempat dia di hati Fathiq ni, Ma.” Sedaya-upaya Fathiq cuba menyakinkan hati seorang wanita bernama Datin Rubaiyah. Wanita elegan itu menepis kasar tangan Fathiq.
“Shut up! Get out from my room. Get out!” halau Datin Rubaiyah. Ditolak badan Fathiq sekuat mungkin. Fathiq yang duduk melutut dihadapannya, ditarik. Fathiq hanya mengikut langkah kaki Datin Rubaiyah. Sebaik sahaja kaki Fathiq berada di luar bilik tidur utama milik Datuk Farid dan Datin Rubaiyah, pintu itu dihempas kuat. Nasib baik tidak tersepit jari Fathiq yang cuba menahan daripada Datin Rubaiyah menutup pintu tersebut.
“Vee?” tanya Faizal sambil memandang wajah Fikhri dihadapannya. Lambat-lambat Fikhri mengangguk. Faizal menggeleng perlahan. Vee? Siapa pula wanita yang bernama Vee ini? Hati Dizyan digaru pertanyaan demi pertanyaan.
“Memang cari nahas si Fathiq ni. Bukan dia tak tahu yang Mama tak suka Vee.” Ujar Faizal pula.
“Faizal!” keras sahaja nada suara Datuk Farid memanggil namanya. Faizal terdiam. Fikhri menggeleng. Dizyan juga turut menggeleng. Longlai langkah kaki Fathiq menuruni anak tangga menuju ke arah meja makan. Dilabuhkan punggungnya di sebelah Fikhri.
Fikhri menepuk perlahan bahu adik kembarnya itu. Datuk Farid juga turut menepuk bahu anaknya. Fathiq mengeluh kuat. Dizyan menjenguk ke atas. Tiada tanda-tanda bahawa Datin Rubaiyah akan turun bersarapan dengan mereka.
“Yan pergi panggil Mama, ya.” Ujar Dizyan kepada Datuk Farid. Lelaki tua itu mengangguk sambil tersenyum. Dizyan memanjat naik ke tingkat atas. Mengetuk perlahan pintu bilik utama.
“Ma....Ma...” panggil Dizyan sambil mengetuk perlahan pintu itu. Pintu dikuak dari dalam. Datin Rubaiyah kembali melabuhkan punggungnya di atas katil. Termenung! Tidak pernah Dizyan lihat ibu mertuanya itu termenung. Pasti ada yang menganggu fikirannya.
“Ma, jom kita turun breakfast. Bibik masak makaroni goreng. Favourite Mama.” Pancing Dizyan. Masih mencari respon Datin Rubaiyah. Wanita itu tidak menjawab sebaliknya mengeluh perlahan.
“Tak nak lah, Yan. Mama tak ada selera.” Tolak Datin Rubaiyah lembut.
“Alah...jomlah, Ma. Nanti Mama sakit pulak.” Ajak Dizyan. Menarik lengan Datin Rubaiyah.
“Mama kata Mama tak nak, Mama tak naklah. Yan tolong jangan paksa Mama.” Tiba-tiba suara Datin Rubaiyah sedikit meninggi. Dizyan tersentak.
“Biarkan Mama berehat. Mama nak bersendirian. Tolong tinggalkan Mama.” Datin Rubaiyah tersedar yang dia telah memarahi Dizyan tanpa sebab. Kerana terlalu marahkan Fathiq, perasaan marah itu terbawa-bawa. Rasa bersalah mencengkam perasaan.
“Maafkan, Mama. Tapi Mama benar-benar perlu bersendirian.” Datin Rubaiyah menggenggam tangan Dizyan. Gadis itu mengangguk. Dia faham. Ibu mertuanya itu perlu bersendirian dan mungkin ada benda yang mengganggu fikirannya.
“Yalah. Mama berehatlah. Yan turun dulu.” Dizyan menepuk perlahan tangan Datin Rubaiyah. Ibu mertuanya tersenyum kecil. Dizyan melangkah keluar dari bilik tidur utama dan turun ke tingkat bawah. Menyertai bapa mertua, suami serta adik-adik iparnya di meja makan.
“Mama tak nak turun?” tanya Datuk Farid. Dizyan menggeleng lemah. Wajahnya ditundukkan. Dizyan meletakkan jari jemarinya ke atas peha. Faizal menepuk perlahan jari jemari Dizyan itu.
“Bagilah Mama masa. Mama mungkin terkejut dengan kata-kata Fathiq tu.” Ujar Datuk Farid beralih ke arah anak lelakinya. Fathiq hanya mengangguk. Fikhri mengiakan kata-kata Papanya itu.
“Okaylah. Papa dah lambat. Papa pergi office dulu.” Ujar Datuk Farid. Dia mengelap mulutnya dan meletakkan tisu ke dalam pinggan kotor. Bangun dan menyalami Fikhri dan Fathiq.
“Abang pun mintak diri dululah.” Ujar Faizal kepada kedua adik kembarnya. Dihirup pantas Nescafe yang masih berasap itu. Dizyan mengemas meja dan membawa pinggan-pinggan kotor ke dalam dapur. Dicuci dahulu pinggan mangkuk yang kotor sebelum berangkat pergi ke kerja. Puas sudah dihalang oleh Sutinah tetapi Dizyan masih tetap mahu mencuci pinggan kotor dalam sinki. Selepas itu, Dizyan beredar untuk ke tempat kerja.


DIZYAN pulang awal malam itu kerana Datin Rubaiyah menelefon Dizyan di pejabat. Dia mahu makan masakan Dizyan. Kasihan pula jika tidak dituruti. Nanti merajuk pula. Dizyan membeli barang-barang yang diperlukan untuk memasak soto ayam kegemaran Datin Rubaiyah. Sebaik sahaja meletakkan tas tangan di dalam bilik dan menukar pakaian, Dizyan terus turun ke bawah untuk menyediakan soto ayam. Fikhri yang baru sahaja pulang dari bermain bola, terus ke dapur. Aroma masakan menusuk hidung.
“Bik....” panggil Fikhri. Dizyan berpaling.
“Oppss....sorry, Kak. Ingatkan Bibik.” Ujar Fikhri. Dizyan tersenyum.
“Fathiq mana?” tanya Dizyan. Selalunya, kemana-mana pun Fikhri pasti akan bersama Fathiq. Langsung tidak boleh dipisahkan.
“Kejap lagi dia balik. Tengah sibuk bersembang dengan kawan lama kita orang kat padang bola sana.” Ujar Fikhri. Dizyan mengangguk perlahan.
“Ehm...Fik nak makan soto dengan Mama ke?” tanya Dizyan. Fikhri menjenguk ke dalam kuali yang berisi sup soto. Terliur pula. Segera dia mengangguk.
“Pergilah mandi. Lepas tu, panggil Mama sekali.” Fikhri mengangguk pantas dan terus berlalu ke tingkat atas untuk membersihkan diri.
Seketika kemudian, Fathiq pulang. Badan yang melekit dan basah dengan peluh perlu segera dibersihkan. Busuk pula baunya. Dikepit bola di lengannya. Dizyan yang sedang sibuk menghidangkan makanan di meja, disapa oleh Fathiq.
“Akak masak apa ni?” tanya Fathiq. Menjenguk ke arah meja makan yang sudah terhidang dengan sup soto, cebisan ayam, bergedil, kacang goreng, cili kicap, suhun goreng, nasi impit dan taugeh.
“Soto.” Jawab Dizyan ringkas. Dia masuk semula ke dalam dapur dan membawa mangkuk serta utensil yang akan digunakan. Diletakkan senduk ke dalam sup soto tersebut.
“Sedapnya.” Fathiq berkata. Kecur air liurnya sebentar. Dizyan tersenyum.
“Fathiq naik mandi dululah. Tak sabar nak makan.” Ujar Fathiq dan berlalu naik ke tingkat atas. Dizyan menggeleng perlahan.
Setengah jam kemudian, Datin Rubaiyah turun bersama Fikhri. Tersenyum pada menantunya. Melabuhkan punggung di kerusinya. Dizyan meletakkan dua tiga keping nasi impit ke dalam mangkuk. Kemudian, di bubuh juga bahan-bahan yang ada di atas meja ke dalam mangkuk. Disenduk sup soto. DIhulurkan pula kepada Datin Rubaiyah dan Fikhri. Fathiq pula menyusul kemudian. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Fikhri. Hanya dua tiga suap sahaja Datin Rubaiyah menjamu soto tersebut. Selebihnya, ditinggalkan. Tanpa berkata sepatah pun, Datin Rubaiyah terus berlalu. Fathiq yang terasa akan perbuatan Mamanya itu, rasa tidak berselera untuk meneruskan suapan. Dizyan hanya memerhatikan Fikhri dan Fathiq silih berganti. Kemudian, dipandang ke arah tangga. Apakah yang membuatkan Datin Rubaiyah langsung tidak mahu duduk semeja dengan Fathiq? Benaknya digaru dengan pertanyaan.


KAKI Dizyan laju melangkah ke arah kolam ikan koi Jepun. Perasaannya tenang sekali apabila dapat duduk menenangkan fikiran di taman rumah banglo tersebut. Angin yang bertiup perlahan, mendinginkan badan. Lagu kegemarannya seperti terngiang-ngiang di tepi telinga.

Oh bulan...
Enggan melayan diriku lagi

Dizyan mendongak memandang bulan yang jauh. Terasa ingin menggapai tetapi tangan tidak sampai.

Pabila airmata membasahi pipi
Dan lagu-lagu di radio seolah-olah memerli aku
Pabila kau bersama yang lain

Sakitkah hatinya bila Faizal selalu keluar bersama Ku Zhety? Ya, memang sakit! Siapa tidak marah jika suami sendiri keluar bersama perempuan lain atau lebih dikenali sebagai musuh ketatnya? Dizyan menyilangkan lengan ke dada.

Adakah perasaan benci ini sebenarnya cinta
Yang masih bersemadi untukmu

Dizyan tersenyum. Apakah perasaan ini? Dia sudah jatuh cinta kepada lelaki yang sangat dibencinya suatu ketika dulu. Tetapi adakah Faizal mempunyai perasaan yang sama?


Dan sebenarnya ku mengharapkan
Di sebalik senyuman mu itu
Kau juga merindui aku

Ya, dia juga mengharapkan Faizal mempunyai perasaan yang sama. Tetapi semenjak dua menjak ini, Faizal sudah berubah sikapnya. Tidak lagi memarahi dia tanpa sebab semasa di pejabat. Tidak juga load dia dengan kerja yang tidak berkesudahan.

Ku enggan
Berpura-pura ku bahagia
Ku enggan
Melihat kau bersama si dia

Memang Dizyan tidak suka Faizal keluar selalu bersama Ku Zhety. Tapi siapalah dia untuk menghalang Faizal dari berbuat demikian? TIDAK! Kau isterinya. Kau mesti buat sesuatu, desis hati Dizyan.

Oh ku akui cemburu
Mula menular dalam diri
Pabila kau bersama yang lain

Adakah perasaan benci ini sebenarnya cinta
Yang masih bersemadi untukmu
Dan sebenarnya ku mengharapkan
Di sebalik senyuman mu itu
Kau juga merindui aku

Pabila kau merenung matanya
Ku rebah jatuh ke bumi
Di saat kau benar-benar mahu pergi
Seperti ku bernafas dalam air

Dizyan tersenyum kemudian menggeleng. Dia melepaskan keluhan perlahan. Matanya masih ditala ke arah bulan yang bulat dan terang menyinari alam. Fathiq yang berdiri di pintu utama, memandang ke arah kakak iparnya. Saban malam, Dizyan asyik menunggu Faizal pulang dari tempat kerjanya. Kasihan pula Fathiq melihat Dizyan begitu. Memang dasar tidak berhati perut betullah Abang ni, detik hati Fathiq. Dia menggeleng perlahan. Tiba-tiba satu idea muncul di benak Fathiq. Mungkin Dizyan boleh menolong dia menyelesaikan masalah yang sedang berlaku di antara dia dan Datin Rubaiyah. Berjalan menuju ke arah Dizyan.
“Kak...” panggil Fathiq. Dizyan tersedar akan kehadiran salah seorang adik iparnya disitu, mengangkat muka memandang ke arah Fathiq. Dia tersenyum. Fathiq membalas senyuman itu.
‘Bukan tak cantik Kak Yan ni, tapi entah apalah yang dipandangnya pada Zhety, perempuan gedik tu’, hati Fathiq berdetik. Dizyan memerhatikan gerak-geri Fathiq dengan sedikit perasaan pelik. Digawangkan tangannya dihadapan wajah Fathiq.
“Fathiq....Fathiq...” giliran Dizyan pula memanggil. Fathiq tersedar. Dia tersenyum sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Kak, Fathiq perlukan pertolongan Akak lah.” Ujar Fathiq. Dilabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Dizyan. Gadis itu mengerutkan dahinya.
“Pertolongan apa?” tanya Dizyan kembali.
“Akak tahu kan pasal pagi tadi yang Mama marahkan Fathiq?” Fathiq bertanya. Dizyan cuba mengingat kembali peristiwa pagi tadi. Perlahan-lahan dia mengangguk. Mula merangka ayat yang sedap untuk diperdengarkan kepada Dizyan.
“Cakaplah, Fathiq. Apa masalahnya?” ujar Dizyan. Fathiq masih tidak tahu hendak memulakan bicara. Dia seperti orang yang kegelisahan.
“Kalau Akak tanya, Fathiq jangan terasa pulak.” Kata Dizyan. Fathiq mengangguk perlahan.
“Siapa Vee yang Mama tak suka tu?” tanya Dizyan lagi.
“Ermm...Sebenarnya, Kak....Vee yang Mama maksudkan tu...” ayat Fathiq tergantung.
“Siapa?”
“.... girlfriend Fathiq. Nama sebenarnya, Vee Esmeralda.” Dizyan sekali lagi mengangguk mendengar kata-kata Fathiq.
“Tapi Mama tak suka kat dia sebab....sebab....” tergagap Fathiq mahu menjelaskan permasalahan sebenar. Fathiq menelan air liur. Susahnya mahu bercerita. Dizyan masih setia menunggu butir bicara Fathiq.
“Sebab apa?” sekali lagi Dizyan bertanya. Fathiq tersengih.
“....sebab dia orang putih, Kak.” Fikhri menyambung. Entah dari mana dia muncul, terus sahaja melabuhkan punggung di sebelah Fathiq. Pantas kepala Fathiq mengiakan kata-kata abangnya itu.
“Ohh....jadi?”
“Fathiq nak mintak tolong Akak pujuk Mama. Sebab Fathiq tahu Mama pantang sikit dengan bangsa asing ni.” Rayu Fathiq. Kasihan pula Dizyan melihat wajah Fathiq yang separuh mengharap itu. Dilepaskan keluhan perlahan.
“Manalah tahu Mama termakan kata-kata Kak Yan.” Fikhri berkata. Sekali lagi Fathiq mengangguk pantas seperti burung belatuk. Melihatkan wajah adik iparnya yang seperti mengharap persetujuan dari dia, Dizyan tidak sampai hati.
“Fathiq bukan tak kenal Mama tu macam mana.” Tukas Dizyan. Wajah Fathiq sudah seperti orang yang kehampaan. Dizyan tersenyum kecil.
“Tapi, Insya-Allah Kak Yan janji Kak Yan akan tolong cakap dengan Mama. Tapi Kak Yan tak janji samada Mama akan termakan kata-kata Kak Yan.” Sambung Dizyan kemudiannya. Penjelasan Dizyan itu sudah cukup melegakan hati Fathiq. Dia melepaskan keluhan lega. Fikhri menepuk bahu adiknya sambil tersenyum dan menggeleng.
“Haaa....merasalah Abang Fik makan nasi minyak Fathiq.” Usik Fikhri.
“Hish...mana ada. Belum confirm lagilah.” Wajah Fathiq memerah apabila diusik sebegitu.
“Kalau belum confirm, takkanlah beria-ia suruh Kak Yan cakap dengan Mama.” Dizyan pula mengusik. Fathiq tersenyum malu. Fikhri tergelak besar melihat wajah adiknya yang malu ala-ala kucing Parsi itu. Dizyan turut tergelak.

BERSAMBUNG....

Saturday, September 12, 2009

Dan Sebenarnya....34

BAB 34

RUMAH banglo 2 tingkat kelihatan sunyi sahaja. Semasa Dizyan tiba dihadapan rumah banglo itu, jam baru menunjukkan pukul 9 malam. Diparkir keretanya di dalam garaj. Melangkah turun dari kereta. Membuka pintu utama rumah dan terjengul wajah Dizyan dari sebalik pintu. Menjenguk ke arah ruang tamu. Televisyen tidak terpasang. Kemanakah semua orang?
“Assalamualaikum.” Salam diberi. Tiada sesiapa pun yang menjawab. Dahinya dikerutkan. Salam sekali lagi diberi. Masih juga tiada jawapan. Dizyan mendaki tangga untuk ke tingkat atas. Dibuka pintu bilik dan melangkah masuk ke dalam. Meletakkan tas tangan di atas sofa. Mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diri. Lama dia berendam di dalam bilik mandi.
Seketika kemudian, Dizyan keluar dari bilik air dengan berkemban setelah dia pasti Faizal masih belum pulang. Dia berdiri menghadap meja solek. Leka menyisir rambut yang basah. Tanpa disedari, Faizal telah membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam. Dizyan terjerit kecil. Faizal memanggung wajah melihat gadis yang bertuala itu dihadapannya. Dizyan menyilangkan lengannya menutupi dada. Lama dia memerhatikan Dizyan yang berada dalam keadaan begitu. Leka dia meneliti seluruh badan Dizyan. Gadis itu menggigit bibir.
“Apa yang awak pandang tu?” suara Dizyan sedikit meninggi apabila pandangan Faizal tidak seperti selalu.
Faizal segera membelakangkan Dizyan. Tidak sangka akan nampak ‘pemandangan yang indah’ sebegitu. Kelam-kabut Faizal memulas tombol pintu tetapi terasa seperti susah pula untuk membuka pintu. Kuat dia menarik pintu tersebut. Selepas dapat dibuka, Faizal terus meluru keluar dari bilik itu dan menutup semula pintu biliknya dengan segera. Tangan masih ditombol pintu, Faizal bersandar ke pintu biliknya.
Dalam bilik, turun naik dada Dizyan menahan nafas. Dia beralih pandang ke arah meja solek. Memerhati wajah yang sudah memerah di cermin. Dizyan menggigit bibir. Segera dia berpakaian sebelum Faizal masuk semula ke dalam bilik. Selepas siap berpakaian, Dizyan keluar dari bilik dan melintasi bilik bacaan. Terlihat Faizal yang sudah bersandar keletihan di kerusi empuk yang diletakkan di dalam bilik bacaan tersebut. Tersenyum kecil. Dipulas tombol pintu bilik bacaan itu. Melangkah masuk dan mendekati Faizal yang sedang memejamkan mata.
“Awak....” panggil Dizyan lembut. Faizal bergerak sedikit. Membuka mata luas tetapi dikecilkan semula apabila lampu menyuluh mata. Digosok mata yang masih ada sisa kantuk.
“Hurmm....” sahut Faizal. Mata sebelah kanan dikecilkan sambil memandang Dizyan. Kemudian, dia melihat sekilas jam di tangan. Jam 10.30 malam. Menguap.
“Pergilah mandi. Awak nak makan ke? Saya sediakan.” tanya Dizyan. Sekali lagi Faizal menguap. Hanya mengangguk untuk menjawab soalan Dizyan itu.
“Awak nak makan apa?” Dizyan hanya memerhatikan gerak-geri Faizal itu. Faizal berdiri dan menanggalkan jamnya.
“Apa-apa jelah. Asalkan bukan nasi.” Ujar Faizal. Dizyan mengerutkan dahi. Diet mengalahkan perempuan. Aku yang perempuan ni pun, malam mesti makan jugak nasi walaupun sikit. Desis hati Dizyan. Dia mengangguk perlahan.
“Awak pergilah mandi. Kejap lagi dah siap saya panggil awak.” Dizyan berkata. Faizal melangkah longlai keluar dari bilik bacaan itu dan menuju ke biliknya. Dizyan turun ke tingkat bawah untuk memasak sedikit makanan buat mereka berdua bersantap makanan malam.
Setengah jam kemudian, Dizyan sudah siap memasak spagetti bolognese kegemaran Faizal. Ditabur Mozzarella Cheese ke atas spagetti tersebut. Dizyan tersenyum kecil. Dia menjenguk ke tingkat atas. Masih tiada tanda-tanda bahawa Faizal akan turun. Dengan perlahan, Dizyan memanjat tangga ke tingkat atas. Memulas tombol pintu. Terlihat Faizal yang meniarap di atas katil. Dizyan menggeleng.
“Bukannya nak pergi mandi. Pergi tidur pulak balik.” Gumam Dizyan. Mendekati Faizal. Mengejutkan suaminya perlahan-lahan.
“Awak...” panggil Dizyan. Faizal mengalihkan badan. Wajahnya berpeluh-peluh. Dahi Dizyan berkerut. Wajah Faizal sangat pucat.
“Awak....awak tak apa-apa ke?” Dizyan bertanya cemas. Faizal menggeleng sambil menggawang-gawangkan tangannya.
“Aku tak apa-apa. Pening sikit je.” Ujar Faizal. Cuba menyandarkan diri ke kepala katil. Dizyan rasa tidak sedap hati. Ditekapkan telapak tangannya ke dahi Faizal. Panas! Faizal menepis tangan Dizyan lembut. Dizyan hanya memandang Faizal dengan simpati. Dizyan mendekati Faizal dan mula membuka butang bajunya.
“Kau nak buat apa ni?” tanya Faizal lemah tetapi memandang dengan kerutan di dahi.
“Bukalah baju awak tu. Dah basah dengan peluh. Awak pergi mandi dulu, ya. Saya sediakan air suam. Lepas tu, makan sikit. Then, ambil Uphamol. Kalau dibiarkan melarat, nanti lagi teruk.” Faizal hanya membiarkan Dizyan membuka bajunya.
“Kau takut aku kena H1N1?” soal Faizal dengan mata yang dilirik nakal.
“Hish....apa yang awak merepek ni. Amit-amit jabang baik(minta-minta dijauhkan). Simpang malaikat 44. Itulah awak kan? Suka fikir yang bukan-bukan.” Bebel Dizyan seorang diri. Faizal tersenyum kecil. Menarik selimut ke paras dada.
“Sejak kau berkawan dengan Bibik ni, dah pandai kau cakap macam dia.” Usik Faizal lemah. Dizyan tersenyum sambil menggeleng. Dia bangun dan menuju ke bilik air. Membuka paip air panas dan dicampur dengan air sejuk. Dizyan keluar semula dari bilik air dan memandang ke arah Faizal yang tersandar lemah.
“Awak pergi mandi dulu, ya. Saya pergi ambil spagetti untuk awak.” Kata Dizyan. Faizal mengangguk. Setelah memastikan Faizal sudah masuk ke bilik air untuk membersihkan diri, barulah Dizyan melangkah keluar dari bilik tidur mereka.
Dizyan turun semula ke tingkat bawah dan menuju ke arah dapur. Mengambil mangkuk dan garfu. Dimasukkan spagetti ke dalam mangkuk tersebut. Menuju ke almari dan mengambil sebiji Uphamol serta segelas air kosong. Diletakkan di atas dulang. Kemudian, DIzyan memanjat semula tangga untuk ke tingkat atas. Diketuk pintu bilik tersebut perlahan. Tombol pintu dipulas. Terlihat Faizal yang sudah siap berpakaian, bersandar di kepala katil. Dizyan meletakkan dulang tersebut di atas katil. Dihulurkan mangkuk berisi spagetti itu kepada Faizal. Perlahan-lahan Faizal menyuap masuk spagetti tersebut ke mulutnya. Selesai menjamu selera, Dizyan menghulurkan sebiji Uphamol dan segelas air kosong kepada Faizal. Kemudian, Faizal menghulurkan semula gelas yang sudah kosong itu kepada Dizyan. Gadis itu menyambutnya dan meletakkan di atas dulang.
“Awak berehatlah dulu, ya. Saya nak tunggu Papa dan Mama pulang dulu.” Ujar Dizyan yang menerima anggukan perlahan dari Faizal. Dizyan menatang semula dulang tersebut dan dibawa turun ke dapur. Faizal kembali merebahkan badan dan menyelimuti dirinya sehingga ke paras dada. Penghawa dingin tidak dipasang. Sebaliknya, Dizyan memasang kipas siling.





TELEVISYEN di ruang tamu dipasang. Dizyan menukar siaran kegemarannya. Sambil menunggu kepulangan kedua mentuanya, Dizyan melayan cerita kegemaran yang sedang bersiaran di AXN. Matanya ditala ke peti televisyen yang terpasang. Leka melayani cerita CSI:Miami. Entah kenapa dia begitu suka akan watak Horatio Caine yang dilakonkan oleh David Caruso. Watak Horatio Caine sangat cool. Semasa hendak menangkap penjenayah pun, masih lagi dikekalkan watak lelaki machonya itu. Juga watak Calleigh Duquesne yang dilakonkan oleh Emily Procter. Dengan perwatakan dan percakapan yang lemah-lembut, begitu juga rambut yang panjang mengurai berwarna kuning keemasan.
“Cantiklah Calleigh ni.” Dizyan bercakap seorang diri. Sambil itu, tersenyum-senyum.
“Kalau aku nak blonde, cantik tak?” Dizyan berkata. Kemudian, dipegang rambutnya itu. Dia menggeleng pantas.
“Gila! Mau sakit jantung kalau Abah tengok. Dahlah tangkap basah ni pun, separuh pengsan Abah dibuatnya.” Repek Dizyan seorang diri. Dizyan tergelak kecil.
“Apa yang kau merepek sorang-sorang ni?” satu suara menyapa gegendang telinga Dizyan. Mata Dizyan membulat. Dipandang ke kiri dan ke kanan.
“Kau ingat kau bercakap dengan hantu ke?” suara itu berbisik di telinganya. Hampir terlompat Dizyan dari sofa yang didudukinya. Memandang tajam ke arah Faizal yang ketawa terkekeh sambil memegang perut.
“Awak!” terjerit kecil Dizyan. Memasamkan wajah.
“Apasal awak turun? Bukan tadi awak tidur ke?" bertubi soalan yang keluar dari mulut Dizyan. Dilabuhkan semula punggungnya ke atas sofa.
“Tak boleh tidur. Tetiba pulak rasa dahaga.” Ujar Faizal. Juga turut melabuhkan punggung di sebalah Dizyan. Badan Faizal bersentuhan dengan lengan Dizyan. Dupp! Jantung Dizyan terasa seperti berhenti. Faizal adalah lelaki kedua yang berdiri dekat sebegini dengan Dizyan. Tetapi lelaki pertama yang punya hubungan sah dengannya.
“Aaa....Er....awak nak Nescafe?” tanya Dizyan tergagap. Faizal memandang ke sebelah.
“Boleh buat?”
“Boleh. Tak ada masalahlah.” Ujar Dizyan seraya bangun dari sofa tersebut.
Dizyan menuju ke dapur. Mencapai cawan yang tergantung di rak. Sudu yang terletak elok di dalam bekas utensil, diambil dan mula membancuh Nescafe. Menceduk sesudu dua gula dan Nescafe. Kemudian, ditambah creamer Coffee Mate. Dituang air panas sehingga gelas itu penuh. Dikacau perlahan-lahan. Sebaik sahaja berpaling, sekali lagi rasanya jantung Dizyan hampir gugur. Kelihatan Faizal tersengih. Diurut dadanya perlahan.
“Awak boleh tak jangan terkejutkan saya lagi?” luah Dizyan, geram.
“Boleh....” ujar Faizal dengan senyuman yang meleret.
“.....boleh blah!” Faizal mengenakan Dizyan. Terkekeh Faizal ketawa. Gadis itu hanya mencebik. Diletakkan cawan tersebut dihadapan Faizal. Dizyan berkira-kira hendak beredar dari situ.
“Kau nak pergi mana?” tanya Faizal. Memandang Dizyan yang teragak-agak hendak melangkah.
“Saya nak pergi tengok tv lah.” Dizyan berkata. Dia berdiri tercegat di pintu dapur.
“Alahh....tv tu lain-lain kali boleh tengok. Kau temankan aku minum?” terkebil-kebil Faizal memandang Dizyan. Cuba meraih simpati gadis itu. Dizyan mengeluh. Tetapi kakinya tetap melangkah keluar dari dapur.
“Kau nak pergi mana pulak tu?” sekali lagi Faizal bertanya.
“Err....saya nak pergi tutup tv.”
“Tak payah. Aku dah tutupkan.” Faizal berkata selamba. Dizyan mencebik. Dilabuhkan punggung berhadapan Faizal. Lama mereka diam membisu. Dizyan leka mengamati wajah Faizal yang sedikit pucat itu. Bila Faizal sakit, dia terasa kasihan. Tetapi kalau Faizal sihat, rasa seperti hendak dicekik-cekik manusia dihadapannya itu.
“Kau dulu belajar apa kat Australia?” tiba-tiba Faizal bersuara.
“Mass Comm.” Jawab Dizyan ringkas. Faizal mengangguk perlahan. Kemudian, dipicit dahi yang terasa pening.
“Awak pergilah berehat. Saya tengok awak macam letih je.” Usul Dizyan. Faizal menggeleng. Dizyan mengetuk jari jemarinya di atas meja, perlahan.
“Malaslah. So....kau ceritalah sikit pasal kehidupan kau masa kat sana. Aku dengar kau satu U dengan Aneeq.” Kata-kata Faizal itu membuatkan Dizyan mengalih pandang. Terkejut! Tergamam!
“Betul ke?” tanya Faizal lagi.
“Aaa...Hmm....Mana awak...tahu?” Dizyan kembali bertanya. Soalan dibalas soalan.
“Aneeq pernah beritahu.” Ujar Faizal. Dizyan menelan air liur tetapi rasa tersekat di kerongkong.
“Ya....Dia...senior saya.” Jawab Dizyan lemah.
“Dahlah tu cerita pasal saya. Awak ceritalah pulak pasal awak.” Dizyan mengubah topik. Tidak mahu cerita lama dibangkitkan. Semakin lama, terasa seperti rahsia besar itu akan terbongkar.
“Aku? Mmm....kalau kau orang ada kat Adelaide, aku tak jauh la. Dekat Perth je. Tapi lepas aku habis belajar, aku ingat malaslah nak balik sini dah. Aku kerja dengan auntie aku kat sana. Tapi biasalah. Papa ni jenis yang tak boleh tengok hidup aku senang sikit, dia panggil aku balik untuk uruskan company tu.” Ujar Faizal. Dizyan menggeleng sambil tersenyum kecil.
“Awak tak baik tau cakap macam tu pasal Papa. Papa panggil awak balik untuk uruskan syarikat dia sebab awak kan anak sulung. Dan awak nanti akan waris jugak company tu. Kalau dia tak suruh awak yang uruskan, siapa lagi.” Panjang lebar Dizyan mempertahankan bapa mertuanya itu daripada menjadi serangan kata-kata Faizal.
“Fikhri dan Fathiq kan ada.” Ujar Faizal, tidak mahu mengalah.
“Memang. Tapi Papa lebih percayakan awak.” Lembut sekali Dizyan berkata.
“Orang kanan Papa kan ada. Encik Kamal tu. Dia dah lama kerja dengan Papa. Sejak first day lagi company tu ditubuhkan.” Tingkah Faizal. Dizyan menggeleng perlahan.
“Susahlah bercakap dengan orang macam awak ni yang tak faham konsep ‘anak sendiri’ dan ‘orang luar’.” Luah Dizyan, kesal. Faizal tergelak kecil melihat wajah cemberut Dizyan.
“Okay....okay....Change topic. Kau ceritalah pasal family kau. Aku tengok dia orang sangat sayangkan kau.” Faizal menghirup sedikit Nescafe yang sudah sejuk.
“Mestilah. Saya kan satu-satunya anak perempuan kepada Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa.” Kata Dizyan sambil tersenyum.
“Aik? Bukan yang datang hari tu, kakak kau?” tanya Faizal.
“Taklah. Yasmin kan kakak ipar saya.”
“Yasmin tu aku kenallah. Yang lagi satu tu.” Ujar Faizal. Cuba mengingati wajah wanita yang pernah datang ke rumah mereka untuk makan malam hari itu.
“Ohh...Kak Syifa. Dia bukan kakak saya. Tapi saya anggap dia macam kakak kandung.” Jelas Dizyan. Berkerut-kerut dahi Faizal.
“Hah?” Dizyan tertawa perlahan melihat raut wajah Faizal yang kebingungan.
“Dia anak angkat. Macam mana saya nak cakap, ya? Ermm....Dia...anak...anak....” Dizyan cuba mengingati kembali status diri Asyifa yang pernah diberitahu oleh Puan Hajjah Karissa.
“....bestfriend Abah.” Baru Dizyan teringat. Terkejut juga Dizyan dan Izham apabila diberitahu perkara sebenar. Mereka sangkakan sememangnya Asyifa adalah anak Umi dan Abah kerana Asyifa ada iras-iras wajah kedua ibubapa mereka itu. Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa menjaga Asyifa sejak dari bayi lagi. Benarlah kata orang, jika kita menjaga seorang kanak-kanak sejak dari bayi, pasti dia akan mengikut iras muka kita.
“Bestfriend Abah tu tak boleh jaga sendiri ke? Orang susah?” Faizal menyilangkan lengan ke dada. Memeluk tubuh.
“Macam mana nak jaga? Dia dan wife dia dah ‘pergi tak kembali’.” Tersirat Dizyan berkata. Lama otak Faizal cuba memproses kata-kata Dizyan. Seketika kemudian, terlihat Faizal mengangguk perlahan.
“Sorry. I didn’t know.” Bersalah pula kerana menuduh yang bukan-bukan. Dizyan tersenyum. Manis sekali wajahnya. Dizyan tunduk. Sesekali tangannya sibuk membetulkan alas meja yang berkedut.
Lama Faizal merenungnya. Bibir gadis itu yang merah merekah. Sesekali tersenyum tanpa sebab. Pipi yang kemerah-merahan. Rambut yang ikal mayang dikuak lembut ke belakang. Alis mata yang panjang dan lebat. Melentik pula. Matanya bulat dan anak mata hitam pekat. Membulat jika ada yang menyindirnya. Hidungnya kecil sahaja. Tetapi mancung. Cuma....hmmm apa yang kurangnya, ya? Faizal masih lagi meneliti Dizyan dari atas hingga ke bawah. Oh, ya. Badan dia. Kalau kurus sedikit, pasti lagi cantik. Macam Ku Zhety. Apalah yang hendak dibandingkan antara Dizyan dan Ku Zhety? Jauh beza!
‘Ahh....kau. Badannya begini pun, hari-hari kau teringatkan dia, walaupun ketika itu kau bersama Zhety’, hatinya mula mengarut. Tangan sebelah kanan disilangkan ke dada dan tangan kiri mengusap bibirnya. Masih lagi memerhati Dizyan tanpa berkelip.
Terasa dirinya ditenung, Dizyan mengangkat muka memandang Faizal. Dahinya berkerut. Turut merenung kembali Faizal. Kemudian, Dizyan tersenyum sinis.
“Apa yang awak berangankan tu?” Dizyan melirik nakal. Faizal masih merenung Dizyan.
“Aku tengah berangan tentang.....” ayat Faizal tergantung tetapi matanya asyik menjamah tubuh Dizyan yang berisi itu. Dizyan turut memandang ke arah yang ditenung oleh Faizal. Mata Dizyan membulat. Segera disilangkan lengannya ke dada.
“Awak!” Dizyan terjerit kecil. Faizal tersenyum nakal. Mendekati Dizyan yang semakin menyandar ke kerusi meja makan di dapur tersebut. Wajah Faizal dan wajah Dizyan hanya seinci jauh sahaja. Redup mata Faizal mendamaikan. Lama mereka bertentang mata.
“Jom.” Ajak Faizal. Mata Dizyan sekali lagi membulat. Dia menolak badan Faizal sehingga lelaki itu kembali terduduk di kerusinya. Dizyan segera bangun dan berlari-lari anak ke tangga. Terdengar Faizal terkekeh kuat dalam dapur. Dizyan mendaki naik ke tingkat atas sambil menggelengkan kepala perlahan. Senyuman kecil menghiasi bibirnya.
“Gila!” gumam Dizyan.

BERSAMBUNG.....