BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, September 12, 2009

Dan Sebenarnya....34

BAB 34

RUMAH banglo 2 tingkat kelihatan sunyi sahaja. Semasa Dizyan tiba dihadapan rumah banglo itu, jam baru menunjukkan pukul 9 malam. Diparkir keretanya di dalam garaj. Melangkah turun dari kereta. Membuka pintu utama rumah dan terjengul wajah Dizyan dari sebalik pintu. Menjenguk ke arah ruang tamu. Televisyen tidak terpasang. Kemanakah semua orang?
“Assalamualaikum.” Salam diberi. Tiada sesiapa pun yang menjawab. Dahinya dikerutkan. Salam sekali lagi diberi. Masih juga tiada jawapan. Dizyan mendaki tangga untuk ke tingkat atas. Dibuka pintu bilik dan melangkah masuk ke dalam. Meletakkan tas tangan di atas sofa. Mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diri. Lama dia berendam di dalam bilik mandi.
Seketika kemudian, Dizyan keluar dari bilik air dengan berkemban setelah dia pasti Faizal masih belum pulang. Dia berdiri menghadap meja solek. Leka menyisir rambut yang basah. Tanpa disedari, Faizal telah membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam. Dizyan terjerit kecil. Faizal memanggung wajah melihat gadis yang bertuala itu dihadapannya. Dizyan menyilangkan lengannya menutupi dada. Lama dia memerhatikan Dizyan yang berada dalam keadaan begitu. Leka dia meneliti seluruh badan Dizyan. Gadis itu menggigit bibir.
“Apa yang awak pandang tu?” suara Dizyan sedikit meninggi apabila pandangan Faizal tidak seperti selalu.
Faizal segera membelakangkan Dizyan. Tidak sangka akan nampak ‘pemandangan yang indah’ sebegitu. Kelam-kabut Faizal memulas tombol pintu tetapi terasa seperti susah pula untuk membuka pintu. Kuat dia menarik pintu tersebut. Selepas dapat dibuka, Faizal terus meluru keluar dari bilik itu dan menutup semula pintu biliknya dengan segera. Tangan masih ditombol pintu, Faizal bersandar ke pintu biliknya.
Dalam bilik, turun naik dada Dizyan menahan nafas. Dia beralih pandang ke arah meja solek. Memerhati wajah yang sudah memerah di cermin. Dizyan menggigit bibir. Segera dia berpakaian sebelum Faizal masuk semula ke dalam bilik. Selepas siap berpakaian, Dizyan keluar dari bilik dan melintasi bilik bacaan. Terlihat Faizal yang sudah bersandar keletihan di kerusi empuk yang diletakkan di dalam bilik bacaan tersebut. Tersenyum kecil. Dipulas tombol pintu bilik bacaan itu. Melangkah masuk dan mendekati Faizal yang sedang memejamkan mata.
“Awak....” panggil Dizyan lembut. Faizal bergerak sedikit. Membuka mata luas tetapi dikecilkan semula apabila lampu menyuluh mata. Digosok mata yang masih ada sisa kantuk.
“Hurmm....” sahut Faizal. Mata sebelah kanan dikecilkan sambil memandang Dizyan. Kemudian, dia melihat sekilas jam di tangan. Jam 10.30 malam. Menguap.
“Pergilah mandi. Awak nak makan ke? Saya sediakan.” tanya Dizyan. Sekali lagi Faizal menguap. Hanya mengangguk untuk menjawab soalan Dizyan itu.
“Awak nak makan apa?” Dizyan hanya memerhatikan gerak-geri Faizal itu. Faizal berdiri dan menanggalkan jamnya.
“Apa-apa jelah. Asalkan bukan nasi.” Ujar Faizal. Dizyan mengerutkan dahi. Diet mengalahkan perempuan. Aku yang perempuan ni pun, malam mesti makan jugak nasi walaupun sikit. Desis hati Dizyan. Dia mengangguk perlahan.
“Awak pergilah mandi. Kejap lagi dah siap saya panggil awak.” Dizyan berkata. Faizal melangkah longlai keluar dari bilik bacaan itu dan menuju ke biliknya. Dizyan turun ke tingkat bawah untuk memasak sedikit makanan buat mereka berdua bersantap makanan malam.
Setengah jam kemudian, Dizyan sudah siap memasak spagetti bolognese kegemaran Faizal. Ditabur Mozzarella Cheese ke atas spagetti tersebut. Dizyan tersenyum kecil. Dia menjenguk ke tingkat atas. Masih tiada tanda-tanda bahawa Faizal akan turun. Dengan perlahan, Dizyan memanjat tangga ke tingkat atas. Memulas tombol pintu. Terlihat Faizal yang meniarap di atas katil. Dizyan menggeleng.
“Bukannya nak pergi mandi. Pergi tidur pulak balik.” Gumam Dizyan. Mendekati Faizal. Mengejutkan suaminya perlahan-lahan.
“Awak...” panggil Dizyan. Faizal mengalihkan badan. Wajahnya berpeluh-peluh. Dahi Dizyan berkerut. Wajah Faizal sangat pucat.
“Awak....awak tak apa-apa ke?” Dizyan bertanya cemas. Faizal menggeleng sambil menggawang-gawangkan tangannya.
“Aku tak apa-apa. Pening sikit je.” Ujar Faizal. Cuba menyandarkan diri ke kepala katil. Dizyan rasa tidak sedap hati. Ditekapkan telapak tangannya ke dahi Faizal. Panas! Faizal menepis tangan Dizyan lembut. Dizyan hanya memandang Faizal dengan simpati. Dizyan mendekati Faizal dan mula membuka butang bajunya.
“Kau nak buat apa ni?” tanya Faizal lemah tetapi memandang dengan kerutan di dahi.
“Bukalah baju awak tu. Dah basah dengan peluh. Awak pergi mandi dulu, ya. Saya sediakan air suam. Lepas tu, makan sikit. Then, ambil Uphamol. Kalau dibiarkan melarat, nanti lagi teruk.” Faizal hanya membiarkan Dizyan membuka bajunya.
“Kau takut aku kena H1N1?” soal Faizal dengan mata yang dilirik nakal.
“Hish....apa yang awak merepek ni. Amit-amit jabang baik(minta-minta dijauhkan). Simpang malaikat 44. Itulah awak kan? Suka fikir yang bukan-bukan.” Bebel Dizyan seorang diri. Faizal tersenyum kecil. Menarik selimut ke paras dada.
“Sejak kau berkawan dengan Bibik ni, dah pandai kau cakap macam dia.” Usik Faizal lemah. Dizyan tersenyum sambil menggeleng. Dia bangun dan menuju ke bilik air. Membuka paip air panas dan dicampur dengan air sejuk. Dizyan keluar semula dari bilik air dan memandang ke arah Faizal yang tersandar lemah.
“Awak pergi mandi dulu, ya. Saya pergi ambil spagetti untuk awak.” Kata Dizyan. Faizal mengangguk. Setelah memastikan Faizal sudah masuk ke bilik air untuk membersihkan diri, barulah Dizyan melangkah keluar dari bilik tidur mereka.
Dizyan turun semula ke tingkat bawah dan menuju ke arah dapur. Mengambil mangkuk dan garfu. Dimasukkan spagetti ke dalam mangkuk tersebut. Menuju ke almari dan mengambil sebiji Uphamol serta segelas air kosong. Diletakkan di atas dulang. Kemudian, DIzyan memanjat semula tangga untuk ke tingkat atas. Diketuk pintu bilik tersebut perlahan. Tombol pintu dipulas. Terlihat Faizal yang sudah siap berpakaian, bersandar di kepala katil. Dizyan meletakkan dulang tersebut di atas katil. Dihulurkan mangkuk berisi spagetti itu kepada Faizal. Perlahan-lahan Faizal menyuap masuk spagetti tersebut ke mulutnya. Selesai menjamu selera, Dizyan menghulurkan sebiji Uphamol dan segelas air kosong kepada Faizal. Kemudian, Faizal menghulurkan semula gelas yang sudah kosong itu kepada Dizyan. Gadis itu menyambutnya dan meletakkan di atas dulang.
“Awak berehatlah dulu, ya. Saya nak tunggu Papa dan Mama pulang dulu.” Ujar Dizyan yang menerima anggukan perlahan dari Faizal. Dizyan menatang semula dulang tersebut dan dibawa turun ke dapur. Faizal kembali merebahkan badan dan menyelimuti dirinya sehingga ke paras dada. Penghawa dingin tidak dipasang. Sebaliknya, Dizyan memasang kipas siling.





TELEVISYEN di ruang tamu dipasang. Dizyan menukar siaran kegemarannya. Sambil menunggu kepulangan kedua mentuanya, Dizyan melayan cerita kegemaran yang sedang bersiaran di AXN. Matanya ditala ke peti televisyen yang terpasang. Leka melayani cerita CSI:Miami. Entah kenapa dia begitu suka akan watak Horatio Caine yang dilakonkan oleh David Caruso. Watak Horatio Caine sangat cool. Semasa hendak menangkap penjenayah pun, masih lagi dikekalkan watak lelaki machonya itu. Juga watak Calleigh Duquesne yang dilakonkan oleh Emily Procter. Dengan perwatakan dan percakapan yang lemah-lembut, begitu juga rambut yang panjang mengurai berwarna kuning keemasan.
“Cantiklah Calleigh ni.” Dizyan bercakap seorang diri. Sambil itu, tersenyum-senyum.
“Kalau aku nak blonde, cantik tak?” Dizyan berkata. Kemudian, dipegang rambutnya itu. Dia menggeleng pantas.
“Gila! Mau sakit jantung kalau Abah tengok. Dahlah tangkap basah ni pun, separuh pengsan Abah dibuatnya.” Repek Dizyan seorang diri. Dizyan tergelak kecil.
“Apa yang kau merepek sorang-sorang ni?” satu suara menyapa gegendang telinga Dizyan. Mata Dizyan membulat. Dipandang ke kiri dan ke kanan.
“Kau ingat kau bercakap dengan hantu ke?” suara itu berbisik di telinganya. Hampir terlompat Dizyan dari sofa yang didudukinya. Memandang tajam ke arah Faizal yang ketawa terkekeh sambil memegang perut.
“Awak!” terjerit kecil Dizyan. Memasamkan wajah.
“Apasal awak turun? Bukan tadi awak tidur ke?" bertubi soalan yang keluar dari mulut Dizyan. Dilabuhkan semula punggungnya ke atas sofa.
“Tak boleh tidur. Tetiba pulak rasa dahaga.” Ujar Faizal. Juga turut melabuhkan punggung di sebalah Dizyan. Badan Faizal bersentuhan dengan lengan Dizyan. Dupp! Jantung Dizyan terasa seperti berhenti. Faizal adalah lelaki kedua yang berdiri dekat sebegini dengan Dizyan. Tetapi lelaki pertama yang punya hubungan sah dengannya.
“Aaa....Er....awak nak Nescafe?” tanya Dizyan tergagap. Faizal memandang ke sebelah.
“Boleh buat?”
“Boleh. Tak ada masalahlah.” Ujar Dizyan seraya bangun dari sofa tersebut.
Dizyan menuju ke dapur. Mencapai cawan yang tergantung di rak. Sudu yang terletak elok di dalam bekas utensil, diambil dan mula membancuh Nescafe. Menceduk sesudu dua gula dan Nescafe. Kemudian, ditambah creamer Coffee Mate. Dituang air panas sehingga gelas itu penuh. Dikacau perlahan-lahan. Sebaik sahaja berpaling, sekali lagi rasanya jantung Dizyan hampir gugur. Kelihatan Faizal tersengih. Diurut dadanya perlahan.
“Awak boleh tak jangan terkejutkan saya lagi?” luah Dizyan, geram.
“Boleh....” ujar Faizal dengan senyuman yang meleret.
“.....boleh blah!” Faizal mengenakan Dizyan. Terkekeh Faizal ketawa. Gadis itu hanya mencebik. Diletakkan cawan tersebut dihadapan Faizal. Dizyan berkira-kira hendak beredar dari situ.
“Kau nak pergi mana?” tanya Faizal. Memandang Dizyan yang teragak-agak hendak melangkah.
“Saya nak pergi tengok tv lah.” Dizyan berkata. Dia berdiri tercegat di pintu dapur.
“Alahh....tv tu lain-lain kali boleh tengok. Kau temankan aku minum?” terkebil-kebil Faizal memandang Dizyan. Cuba meraih simpati gadis itu. Dizyan mengeluh. Tetapi kakinya tetap melangkah keluar dari dapur.
“Kau nak pergi mana pulak tu?” sekali lagi Faizal bertanya.
“Err....saya nak pergi tutup tv.”
“Tak payah. Aku dah tutupkan.” Faizal berkata selamba. Dizyan mencebik. Dilabuhkan punggung berhadapan Faizal. Lama mereka diam membisu. Dizyan leka mengamati wajah Faizal yang sedikit pucat itu. Bila Faizal sakit, dia terasa kasihan. Tetapi kalau Faizal sihat, rasa seperti hendak dicekik-cekik manusia dihadapannya itu.
“Kau dulu belajar apa kat Australia?” tiba-tiba Faizal bersuara.
“Mass Comm.” Jawab Dizyan ringkas. Faizal mengangguk perlahan. Kemudian, dipicit dahi yang terasa pening.
“Awak pergilah berehat. Saya tengok awak macam letih je.” Usul Dizyan. Faizal menggeleng. Dizyan mengetuk jari jemarinya di atas meja, perlahan.
“Malaslah. So....kau ceritalah sikit pasal kehidupan kau masa kat sana. Aku dengar kau satu U dengan Aneeq.” Kata-kata Faizal itu membuatkan Dizyan mengalih pandang. Terkejut! Tergamam!
“Betul ke?” tanya Faizal lagi.
“Aaa...Hmm....Mana awak...tahu?” Dizyan kembali bertanya. Soalan dibalas soalan.
“Aneeq pernah beritahu.” Ujar Faizal. Dizyan menelan air liur tetapi rasa tersekat di kerongkong.
“Ya....Dia...senior saya.” Jawab Dizyan lemah.
“Dahlah tu cerita pasal saya. Awak ceritalah pulak pasal awak.” Dizyan mengubah topik. Tidak mahu cerita lama dibangkitkan. Semakin lama, terasa seperti rahsia besar itu akan terbongkar.
“Aku? Mmm....kalau kau orang ada kat Adelaide, aku tak jauh la. Dekat Perth je. Tapi lepas aku habis belajar, aku ingat malaslah nak balik sini dah. Aku kerja dengan auntie aku kat sana. Tapi biasalah. Papa ni jenis yang tak boleh tengok hidup aku senang sikit, dia panggil aku balik untuk uruskan company tu.” Ujar Faizal. Dizyan menggeleng sambil tersenyum kecil.
“Awak tak baik tau cakap macam tu pasal Papa. Papa panggil awak balik untuk uruskan syarikat dia sebab awak kan anak sulung. Dan awak nanti akan waris jugak company tu. Kalau dia tak suruh awak yang uruskan, siapa lagi.” Panjang lebar Dizyan mempertahankan bapa mertuanya itu daripada menjadi serangan kata-kata Faizal.
“Fikhri dan Fathiq kan ada.” Ujar Faizal, tidak mahu mengalah.
“Memang. Tapi Papa lebih percayakan awak.” Lembut sekali Dizyan berkata.
“Orang kanan Papa kan ada. Encik Kamal tu. Dia dah lama kerja dengan Papa. Sejak first day lagi company tu ditubuhkan.” Tingkah Faizal. Dizyan menggeleng perlahan.
“Susahlah bercakap dengan orang macam awak ni yang tak faham konsep ‘anak sendiri’ dan ‘orang luar’.” Luah Dizyan, kesal. Faizal tergelak kecil melihat wajah cemberut Dizyan.
“Okay....okay....Change topic. Kau ceritalah pasal family kau. Aku tengok dia orang sangat sayangkan kau.” Faizal menghirup sedikit Nescafe yang sudah sejuk.
“Mestilah. Saya kan satu-satunya anak perempuan kepada Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa.” Kata Dizyan sambil tersenyum.
“Aik? Bukan yang datang hari tu, kakak kau?” tanya Faizal.
“Taklah. Yasmin kan kakak ipar saya.”
“Yasmin tu aku kenallah. Yang lagi satu tu.” Ujar Faizal. Cuba mengingati wajah wanita yang pernah datang ke rumah mereka untuk makan malam hari itu.
“Ohh...Kak Syifa. Dia bukan kakak saya. Tapi saya anggap dia macam kakak kandung.” Jelas Dizyan. Berkerut-kerut dahi Faizal.
“Hah?” Dizyan tertawa perlahan melihat raut wajah Faizal yang kebingungan.
“Dia anak angkat. Macam mana saya nak cakap, ya? Ermm....Dia...anak...anak....” Dizyan cuba mengingati kembali status diri Asyifa yang pernah diberitahu oleh Puan Hajjah Karissa.
“....bestfriend Abah.” Baru Dizyan teringat. Terkejut juga Dizyan dan Izham apabila diberitahu perkara sebenar. Mereka sangkakan sememangnya Asyifa adalah anak Umi dan Abah kerana Asyifa ada iras-iras wajah kedua ibubapa mereka itu. Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa menjaga Asyifa sejak dari bayi lagi. Benarlah kata orang, jika kita menjaga seorang kanak-kanak sejak dari bayi, pasti dia akan mengikut iras muka kita.
“Bestfriend Abah tu tak boleh jaga sendiri ke? Orang susah?” Faizal menyilangkan lengan ke dada. Memeluk tubuh.
“Macam mana nak jaga? Dia dan wife dia dah ‘pergi tak kembali’.” Tersirat Dizyan berkata. Lama otak Faizal cuba memproses kata-kata Dizyan. Seketika kemudian, terlihat Faizal mengangguk perlahan.
“Sorry. I didn’t know.” Bersalah pula kerana menuduh yang bukan-bukan. Dizyan tersenyum. Manis sekali wajahnya. Dizyan tunduk. Sesekali tangannya sibuk membetulkan alas meja yang berkedut.
Lama Faizal merenungnya. Bibir gadis itu yang merah merekah. Sesekali tersenyum tanpa sebab. Pipi yang kemerah-merahan. Rambut yang ikal mayang dikuak lembut ke belakang. Alis mata yang panjang dan lebat. Melentik pula. Matanya bulat dan anak mata hitam pekat. Membulat jika ada yang menyindirnya. Hidungnya kecil sahaja. Tetapi mancung. Cuma....hmmm apa yang kurangnya, ya? Faizal masih lagi meneliti Dizyan dari atas hingga ke bawah. Oh, ya. Badan dia. Kalau kurus sedikit, pasti lagi cantik. Macam Ku Zhety. Apalah yang hendak dibandingkan antara Dizyan dan Ku Zhety? Jauh beza!
‘Ahh....kau. Badannya begini pun, hari-hari kau teringatkan dia, walaupun ketika itu kau bersama Zhety’, hatinya mula mengarut. Tangan sebelah kanan disilangkan ke dada dan tangan kiri mengusap bibirnya. Masih lagi memerhati Dizyan tanpa berkelip.
Terasa dirinya ditenung, Dizyan mengangkat muka memandang Faizal. Dahinya berkerut. Turut merenung kembali Faizal. Kemudian, Dizyan tersenyum sinis.
“Apa yang awak berangankan tu?” Dizyan melirik nakal. Faizal masih merenung Dizyan.
“Aku tengah berangan tentang.....” ayat Faizal tergantung tetapi matanya asyik menjamah tubuh Dizyan yang berisi itu. Dizyan turut memandang ke arah yang ditenung oleh Faizal. Mata Dizyan membulat. Segera disilangkan lengannya ke dada.
“Awak!” Dizyan terjerit kecil. Faizal tersenyum nakal. Mendekati Dizyan yang semakin menyandar ke kerusi meja makan di dapur tersebut. Wajah Faizal dan wajah Dizyan hanya seinci jauh sahaja. Redup mata Faizal mendamaikan. Lama mereka bertentang mata.
“Jom.” Ajak Faizal. Mata Dizyan sekali lagi membulat. Dia menolak badan Faizal sehingga lelaki itu kembali terduduk di kerusinya. Dizyan segera bangun dan berlari-lari anak ke tangga. Terdengar Faizal terkekeh kuat dalam dapur. Dizyan mendaki naik ke tingkat atas sambil menggelengkan kepala perlahan. Senyuman kecil menghiasi bibirnya.
“Gila!” gumam Dizyan.

BERSAMBUNG.....

8 tukang komen paling setia:

alom said...

haaa..mesti xlma lg yan n faizal akn together2..hahaha..besh2..akak.. lap u, u r d best laaa.. tq 4 new n3..ejas r bia 2x smgu hehehe:p jgn mare: ))

aL-HaNis said...

suke bace karya ecah. flow dia best. rilex je. keep it up bebeh. cte ni nt kuar novel tak?

keSENGALan teserlah.. said...

kak ecah..
sgt suke dis entry..
seyesly..
faizal makin kuat mengacau..
haha..
tak lama lagi,,da bersatu la dorang nieh..
haha..so sweet..ske gle..
cpt la sambung..
xsaba nk taw next n3..hehe..

ecah hamzah said...

alom: ble nk buku tu?buku dh smpi....

hanis: tgh usaha utk dibukukn....nk blk nnt,ckp taw,blh nk order buku....

kesengalan terserlah:tenkiu2....ekekeke

bunga kekwa said...

so sweet..
kak ecah keep it up..

keSENGALan teserlah.. said...

kak ecah..second round bace nieh..
hehe..

sgtla comey mereka berdua..
nk request nieh..
post cpt sket boley?
ari sabtu mggu dpn da nk raya..
blk kg woo..nnty ta dpt bce..hehe..

aLooHa said...

ecah...tersgt la best citer ni...cepat2 la smbg n mskkan N3 bru chah....bt la 2 or 3 N3 skali dis week,anggap as bg 'duit raya' kt kitorg nih...heheheheh...chah,make sure citer ni dibt novel...gerenti sold out punye chah... ;)

alreinsy said...

nice n3... suka la... best2... faizal smkn lembut dgn yan.. cinta sudah berputik... suka la... sweet je diorg ni... x de gaduh2 dah... x sbr nk tau kisah seterusnya...

if dibukukan, dun worry, akak sure beli nyer... sokong abis citer nih... huhuhu