BAB 27
BIBIRNYA sedari tadi asyik mengukirkan senyuman. Mata menala ke arah langit yang cerah. Ditangan memegang sekeping peta yang dijadikan arah petunjuk jalan. Durrah tahu Adam selalu juga ke Korea atas urusan kerja. Sudah pasti lelaki itu lebih arif akan jalan-jalan yang terdapat di Seoul itu. Tetapi Durrah mahu berdiri di atas kakinya sendiri. Dia mahu belajar berdikari dan tidak mahu terlalu bergantung harap pada orang yang tidak sudi. Mati senyumannya apabila teringatkan layanan dingin Adam daripada sebelum hari pernikahan sehinggalah majlis persandingan di pihak lelaki. Hanya sepatah dua kata sahaja yang keluar dari mulut Adam. Berat sangatkah untuk berbicara dengannya? Durrah melabuhkan punggung dikerusi yang ada di dalam taman berdekatan dengan hotel yang didiami mereka. Dia memandang hadapan dengan pandangan kosong. Orang yang sibuk lalu-lalang dihadapannya langsung tidak perasan akan kehadiran mereka. Permintaan Adam dirasakan terlalu berat. Mereka akan tinggal sebumbung tetapi bukan menjadi teman sebilik. Apakah erti sebuah perkahwinan jika mereka tidak dapat melunaskan tanggungjawab masing-masing? Selama ini, Durrah menyimpan rasa terhadap Adam. Tidak akanlah sedikit pun Adam tidak punya perasaan terhadap dia. Durrah bingkas bangun. Perlahan kakinya melangkah tanpa ketahui destinasi yang pasti. Baju yang dipakai berlapis-lapis tebalnya. Kesejukan terasa menusuk masuk hingga ke tulang hitam.
Mata Durrah meneliti pula peta yang masih di tangan. Tiba-tiba matanya tertancap pada satu bangunan. Bibir mengukirkan senyuman. Pantas langkah diatur menuju ke stesen keretapi bawah tanah. Tiba sahaja dihadapan kaunter, Durrah menunjukkan bangunan yang ada di dalam peta kepada lelaki di kaunter tiket tersebut. Lelaki itu mengangguk dan menyerahkan sekeping tiket kepada Durrah. Lalu ditunjukkan platform yang harus Durrah menunggu untuk tiba di stesen.
“Chungmuro Station.” Ujar lelaki itu dalam bahasa pelat Inggerisnya.
Durrah mengangguk perlahan. Mengeluarkan buku bahasa Korea yang dibelinya semasa bersiar-siar tadi dari dalam beg galas.
“Gam...gamsa...gamsahab...nida.” tergagap Durrah mengucapkan terima kasih.
Lelaki itu mengangguk dan tersenyum sehingga matanya menjadi sepet. Durrah mengatur langkah menunggu di platform Line 3 seperti yang diunjukkan oleh lelaki tadi. Menunggu Metro untuk tiba di stesen. Setelah itu, Durrah berpusu-pusu menaiki keretapi yang baru sahaja tiba bersama penumpang-penumpang lain.
10 minit kemudian, keretapi yang dinaiki Durrah tiba di Stesen Chungmuro. Dengan pantas, Durrah melangkah turun. Tidak mahu terlepas stesen. Takut nanti sesat pula. Durrah mendaki anak tangga untuk keluar dari platform tersebut. Matanya sudah tertuju ke arah bangunan yang berdiri gah. Dahulunya dikenali sebagai bangunan tertinggi di Asia, Namsan Tower menghidangkan panorama seluruh Seoul dan kelihatan juga Gunung Namsan. Durrah hanya memerhatikan bangunan itu dari luar sahaja. Tidak berani masuk ke dalam. Gayat jika berada di ketinggian melebihi 10 tingkat. Leka Durrah bersiar-siar di sekeliling Namsan Tower. Terbang sudah semua masalah yang melanda diri tika itu. Melangkah masuk, menuju ke Muzium Teddy Bear yang terletak di dalam bangunan tersebut. Comel sungguh anak-anak patung beruang. Bermacam rupa bentuk, berwarna-warni. Fikirannya melayang. Teringat anak patung beruang pertama pemberian Nizam.
“Pejam mata Dura. Zam ada benda nak bagi ni.” Pinta Nizam. Durrah mengerutkan dahi.
“Pejamlah.” Paksa Nizam lagi. Durrah menggeleng pantas.
“Tak mau. Tunjuk dulu apa yang Zam nak bagi. Kalau dak, Dura tak mau pejam.” Durrah mengugut.
Nizam masih berwajah selamba. Tidak mahu menyerahkan hadiah yang dibelinya semalam dari pekan. Durrah menjelirkan lidah. Akhirnya dipejamkan jua mata. Perlahan Nizam mengeluarkan hadiah yang disorok di belakangnya.
“Buka mata.” Arah Nizam lagi. Perlahan Durrah membuka mata.
Matanya yang mengecil mula terbuka luas apabila kelihatan seekor anak patung beruang berwarna coklat kehitaman. Anak patung beruang itu memakai baju merah. Warna kegemaran Durrah. Pantas Durrah mengambil anak patung beruang tersebut dari genggaman Nizam. Didakapnya sekuat hati.
“Terima kasih, Zam.” Ucap Durrah tulus. Nizam tersenyum kecil.
“Ini hadiah pertama yang Zam bagi kat Dura. Nanti bila kita dah kahwin, tiap-tiap hari Zam akan bagi teddy bear kat Dura.” Usik Nizam apabila dilihatnya Durrah tidak habis-habis memeluk dan mencium anak patung beruang tersebut.
“Hii...perasan. Siapa kata nak kahwin dengan dia?” Durrah mencebik. Hatinya senang mendengar kata-kata yang diluahkan oleh Nizam itu.
“Aik?! Bukan semalam ka Dura dah setuju nak kahwin dengan Zam.” Nizam mengusik lagi. Mata Durrah terbelalak.
“Mana ada.” Suara manja Durrah, meninggi. Dicubit pinggang Nizam sehingga lelaki itu mengaduh kesakitan.
“Adui! Nanti mesti lebam-lebam Zam bila kahwin dengan Dura. Asyik kena cubit ketam ja.” Durrah tertawa mendengar kata Nizam. Begitu juga Nizam.
Ahh...bahagianya tika itu! Tetapi kebahagiaan itu sekelip mata sahaja dirampas. Tanpa sempat dirancang, tanpa sempat menduga. Alangkah indahnya jika Durrah dapat kembali ke saat itu. Menjadi kekasih dan tunangan kepada lelaki yang dicintainya. Kerna dia pasti Nizam juga mencintai dirinya. Kini, dia harus pandang ke hadapan. Terus melangkah dan melangkah jauh sehingga akhir, kakinya tidak dapat lagi melangkah. Tetapi hanya mampu memandang. Mimpi indah berarak pergi. Meninggalkan dirinya terkapai-kapai dalam lautan gelora.
Tiba-tiba bibirnya mengukirkan lagi senyuman. Sudahlah. Perkara itu pun sudah 2 tahun berlalu. Untuk apa diingatkan kembali. Mengeluh. Kakinya terus berjalan dan berjalan lagi sehingga sudah tidak tahu ke mana arah destinasi yang ditujuinya. Siang melabuhkan tirainya. Berganti malam. Kaki Durrah berhenti melangkah. Dipandang ke kiri dan kanan. Di manakah dia berada? Hatinya tertanya sendirian. Durrah mengelilingi tempat itu. Setahu Durrah, baru sebentar tadi dia berada di Namsan Tower. Sekarang di mana pula? Fikirannya bingung. Durrah mengelilingi tempat yang terasa asing itu. Dadanya turun naik. Airmata sudah bertakung di tubir mata. Dia berhenti melangkah. Memegang kepala yang terasa pusing. Sudah 2-3 kali dia pusing di tempat yang sama. Masih tiada jawapan dimana dia berada. Terjelepuk Durrah terduduk di atas lantai. Laju sahaja airmatanya menuruni pipi. Dia sudah sesat. Entah dimana dia berada kini. Apa yang perlu dilakukan? Sewaktu hendak keluar tadi, Durrah lupa hendak membawa telefon bimbit yang ditinggalkan di atas meja solek. Durrah memeluk lututnya. Teresak-esak menangis. Orang yang lalu-lalang melihat keadaannya itu, sudah tidak dipedulikan lagi. Kedengaran esak tangisnya. Tiba-tiba bahu Durrah disentuh. Perlahan Durrah mengangkat muka. Memandang orang yang memegang bahunya itu. Dilap airmata yang mengaburi matanya. Barulah jelas kelihatan wajah lelaki dihadapannya.
“Abang?” soal Durrah pelik.
Seingat Durrah, Adam masih lagi berbaring di bilik sewaktu dia keluar tadi. Bila masa Adam berada disini? Adam menolong Durrah bangun. Gadis itu kelihatan terpinga-pinga.
“Macam mana Abang tahu Dura ada kat sini?” soal Durrah kebingungan. Adam tersenyum hambar.
“Abang tengok phone Dura atas meja tadi. Abang tahu Dura mesti tak biasa dengan kawasan ni. Jadi, Abang ikutlah Dura senyap-senyap.” Ujar Adam berterus-terang. Durrah mengukirkan senyuman lebar. Nampaknya Adam tidak sampai hati juga membiarkan dia keseorangan tercari-cari arah sendirian.
“Jomlah kita balik hotel. Dura mesti dah lapar kan? Seharian berjalan tak makan langsung.” Sela Adam lagi.
Pantas Durrah mengangguk. Membuntuti Adam menaiki teksi yang menunggu mereka sejak tadi. Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, Durrah mencuri pandang ke arah Adam dalam kesamaran cahaya malam yang merembes dari lampu jalan. Tersenyum melihat wajah serius Adam itu. Perasaan gembira menyelinap masuk ke dalam diri. Gembira kerana ada juga perasaan risau Adam terhadap Durrah.
“SAL nak cerai...Ceraikan, Sal.” Jerit Salina seperti orang yang kerasukan. Anak Salina, Shahrul berdiri di luar pintu bilik ibubapanya. Suaranya menangis meninggi seperti suara Salina. Nizam yang duduk di birai katil menekur pandangan ke lantai. Sudah tidak tahu hendak berkata apa-apa. Apakah salahnya sehingga Salina beria-ia mahu meminta cerai?
“Pasaipa Sal nak cerai ni? Cuba Sal bagitau dengan Abang.” Mata Nizam memanah ke wajah Salina.
“Abang dah ada pompuan len.” Luah Salina.
Habis lintang-pukang bilik tidur mereka kerana dek amukan Salina. Dahi Nizam berkerut. Nasib baik hampir setahun mereka sudah berpindah ke rumah sendiri. Malu juga jika ibubapa Nizam melihat kelakuan Salina itu.
“Pompuan mana pulak ni?” Nizam berkata lemah. Sakit kepalanya memikirkan kerenah Salina yang tidak berubah ini.
“Si Yati janda anak dua tu la.” Terjuih mulut Salina berkata. Bertambah kerutan di dahi Nizam. Cuba mengingati wanita yang dinyatakan oleh isterinya itu.
“Bila masa pulak Abang ada hubungan dengan Yati?” soal Nizam perlahan. Dia meraup rambutnya ke belakang.
“Hari tu, Sal nampak Abang bawak anak-anak Yati naik kereta Abang. Lepas tu, orang kampung nampak Abang bawak Yati naik kereta.” Salina menjelaskan bukti-bukti tanpa pasti yang didengarinya daripada mulut orang kampung. Nizam melepaskan keluhan. Menggeleng berkali-kali.
“Bila masa pulak Abang tumpangkan Yati naik kereta Abang? Tapi memang betui Abang tumpangkan anak-anak Yati naik kereta. Kesian kat budak-budak tu. Abang tumpang sampai ke sekolah ja. Basikal depa rosak hari tu. Itu ja. Mana ada Abang tumpangkan Yati. Sal ada bukti nak tuduh Abang?” suara Nizam semakin lama semakin meninggi. Tidak puas hati dituduh yang bukan-bukan.
“Ahh...Sal tak mau dengaq.” Salina menepis kata-kata yang masuk ke dalam telinga. Pantas tangannya mencapai beg pakaian yang diletakkan di dalam almari baju. Diperosok 2-3 helai bajunya ke dalam beg.
“Ni Sal nak pi mana pulak?” Nizam menyoal. Bingung melihat tindakan Salina yang tidak berkesudahan itu.
“Sal nak balik ghumah Mak. Abang duduklah dengan janda tu kat ghumah ni.” Usul Salina. Segera mengangkat beg pakaiannya dan mendukung Shahrul yang terduduk di luar bilik itu.
“Astaghfirullahilazim.” Itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Nizam. Memerhatikan sahaja badan Salina menghilang di sebalik pintu utama.
Terkejut Hasanah melihat kereta Salina berhenti di halaman rumah. Menjenguk melalui jendela yang terbuka luas. Tidak pernah Salina ke rumah mereka di malam hari. Salina melangkah turun dari kereta dengan membawa sebuah beg pakaian dan ditangan kanan sibuk mendukung Shahrul. Hasanah turun ke bawah untuk melihat jelas anak dan cucunya itu. Sebaik sahaja ternampak kelibat Hasanah, terkapai-kapai tangan Shahrul ingin pergi kepada neneknya.
“Ala...cucu Tok ni.” Shahrul terus bertukar tangan.
Berada di dalam dakapan Hasanah terasa lebih selamat daripada dukungan ibu sendiri. Shahrul mengalih pandangan. Langsung tidak mahu melihat wajah Salina yang bengis itu. Hasanah menepuk perlahan belakang Shahrul. Menenangkan anak yang baru sahaja ingin mengenali dunia perkahwinan ibubapanya.
“Jom kita naik. Tunggu Tok Jantan balik na.” Hasanah mengagah Shahrul sehingga dia tertawa kecil.
Hasanah mengalih pandang ke arah Salina. Ke atas dan ke bawah sahaja memandang Salina dengan pelik.
“Yang hang ni pasaipa pulak, Sal?” soal Hasanah apabila dilihatnya Salina seperti orang tidak terurus. Seperti baru sahaja lepas bertengkar dengan Nizam.
“Sal nak cerai dengan Abang Zam.” Ujar Salina tanpa riak bersalah. Terkejut Hasanah mendengar kenyataan yang baru keluar dari mulut Salina.
“Pasaipa pulak?” soalnya lagi. Salina mendengus kasar dan terus melangkah masuk ke dalam rumah. Hasanah hanya membuntuti anaknya itu.
“Dia dok main cinta dengan si janda hujung kampung, nu.” Menjuih sahaja mulut Salina. Geram dengan sikap ‘baik hati’ Nizam. Salina menghempaskan punggungnya ke atas kerusi rotan yang diletakkan di ruang tamu itu.
Hasanah mengerutkan dahi. Janda mana pula yang menjadi sebutan anaknya kali ini? Ini bukan kali pertama Salina ingin meminta cerai dari Nizam sejak mereka berkahwin 3 tahun dahulu. Sudah masuk kali ke-4. Dahulu, Salina menuduh Nizam sengaja mahu kembali bersama dengan Durrah. Kemudian, dituduh pula bermain cinta dengan anak dara Hajjah Saniah kampung sebelah. Untuk kali ketiganya, dituduh pula mempunyai hubungan dengan Adirah, sepupu Nizam sendiri. Dan kini, dituduh dengan seorang janda yang langsung Hasanah tidak tahu siapakah gerangannya.
“Janda mana pulak ni?” berkerut dahi Hasanah. Salina mendengus lagi.
“Yati, janda berhias tu.” Ajuk Salina. Hasanah menggeleng. Bukankah Yati bersahabat baik dengan Salina? Dilepaskan keluhan.
“Hmm...Mak tak tau nak kata apa lagi dah. Jom Arul, ikut Tok. Kita pergi makan nasi.” Hasanah mendukung Shahrul dan turun ke tingkat bawah. Menuju ke dapur.
Seketika kemudian, telefon rumah itu berdering. Perlahan Salina mengangkat punggungnya malas, menuju ke telefon tersebut. Diangkat gagang lalu didekatkan ke telinga. Terdengar suara halus si pemanggil.
“Assalamualaikum.” Si pemanggil menyahut.
“Waalaikumussalam.” Salina menjawab malas. Sudah tahu siapakah yang memanggil itu.
“Eh, Sal. Kenapa Sal balik rumah Mak? Ada sesuatu yang terjadi ka?” soal Durrah cemas.
“Dak aih. Saja nak balik ghumah. Sal dengaq yang Kak pi bulan madu ke Korea, betui ka?” Salina menyoal ingin tahu.
“Mana Sal tau ni?” Durrah bertanya bingung.
“Ada la. Ooo...bestla kan. Kak pi bulan madu kat Korea. Sal bulan madu kat kampung ni ja. Patutla Kak tak kisah lepaskan Abang Zam kat Sal. Sebab tau hidup dengan suami sekarang ni lebih baik. Almaklumlah, orang kaya.” Sindir Salina tanpa mempedulikan perasaan Durrah.
“Awat Sal kata lagu tu? Sudahlah, Sal. Kak malas nak cakap lagi dah. Assalamualaikum.” Durrah mahu segera mematikan talian.
“Nanti sat. Sal ada benda nak bagitau dengan Kak ni.” Salina berkata. Durrah berdehem perlahan.
“Apa dianya?” Durrah bertanya lemah.
“Sal dah nak cerai dengan Abang Zam. Mesti Akak sukakan?” sinis sekali Salina berkata. Durrah terlalu terkejut dengan kenyataan yang keluar dari mulut Salina. Sehinggakan tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi.
“Kenapa pulak Akak kena suka?” Durrah menyoal lemah.
“Yelah. Boleh rampas Abang Zam balik.” Salina menyindir. Durrah melepaskan keluhan. Baru sahaja Durrah ingin menyambung kata, Salina terlebih dahulu mematahkan ayat seterusnya.
“Dahlah. Sal cuma nak beritahu je. Assalamualaikum.” Terus Salina mematikan talian dengan senyuman sinis.
Puas hatinya dapat mengenakan Durrah kembali. Dendam kesumatnya masih belum terlerai. Tidak puas hati melihat Durrah dapat menikah lelaki yang lebih kaya dari suaminya, Nizam.
“Sapa yang talipon tu, Sal?” laung Hasanah dari dapur.
“Tak ada sapa-sapa, Mak. Salah nombor.” Salina menjawab laungan itu. Satu dengusan dilepaskan. Puas hati!
BERSAMBUNG.....
Monday, April 4, 2011
SEINDAH ALHAMBRA BAB 27
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 4/04/2011 02:17:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 tukang komen paling setia:
cik writer buzy ye? huhu. sebulan skali je update entri..
cik ecah, make sure nanti akan ade balasan yg setimpal utk saline tuh ye! toloooooooooooooooooonnnnnngggggg laa jangan last2 nti durrah maafkan salina tuh cmtu je...benci la penghujung kalo camtuh....
kurang2 pon nanti kasi la si salina tuh jadi bisu ker hape ke sbb mulut die lancang sangat...smue yg kuar dr mulut die,sumenye dosa belake....
tolonggggg la sesangat ye...aish geram nih!
ahhh...sakit otak btol la si salina ni.~
Post a Comment