BAB 18
ADAM duduk menongkat dagu di halaman rumah. Pelik dengan sikap Adam semenjak kebelakangan ini, Zurin berjalan mendekati Adam yang sedang membelakanginya. Sudah jarang Adam pulang ke rumah. Kembali dengan perjanjian lama. 2 minggu sekali baru Adam pulang ke rumah. Itu pun setelah berkali-kali Zurin memaksanya untuk pulang. Datin Aisyah juga tidak lagi menelefon Adam untuk selalu pulang ke rumah. Dahi Zurin berkerut. Adam seperti orang yang bermasalah. Berat benar masalah yang difikirkannya itu sehingga tidak sedar kehadiran Zurin di sebelah. Perlahan Zurin menyentuh jemari Adam. Terkejut dengan tindakan Zurin, Adam pantas menarik jemarinya. Perasaan Adam membuak marah. Mengangkat muka memandang wanita di sebelah. Wajah Adam bertukar serba-salah apabila melihat wajah keruh Zurin. Adam menyangkakan bahawa dia berada di rumah ibubapanya. Dan wanita yang memegang jemarinya itu adalah Durrah. Tetapi ternyata Adam silap. Dia kini berada di rumahnya sendiri dan wanita yang berada di sebelah dia itu adalah Zurin.
“Maafkan Am, Rin. Am tak tahu yang Rin....” ayat Adam tergantung. Dia meraup wajahnya dan melepaskan keluhan sekuat hati.
“Kenapa dengan Am ni? Am ada masalah?” soal Zurin lembut. Cair hati Adam mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Zurin. Ahh...hati wanita itu terlalu baik untuk dilukai.
“Rin...Am ada benda nak beritahu Rin ni.” Adam sudah membetulkan duduknya.
Menghadap Zurin yang ternyata kelihatan bingung dengan sikap Adam yang cepat sangat berubah laku. Adam menarik dan menghela nafas perlahan. Perlukah diberitahu perkara sebenar? Sampaikah hatinya untuk melihat Zurin bersedih? Tetapi perkara ini harus juga dikhabarkan kepada Zurin dari mulutnya sendiri. Tidak sanggup melihat Zurin mengetahui hal ini daripada orang lain. Mungkin pembawakan cerita orang lain itu nanti, ditokok tambah. Almaklumlah untuk menyedapkan jalan cerita.
“Hei, kenapa ni?” Zurin memegang pipi Adam yang sudah terasa basah.
Zurin mengerutkan dahi. Segera memanggung kepala Adam untuk melihatnya. Wajah itu basah kuyup dengan airmata.
“Maafkan Am, Rin. Maafkan Am!” Adam merintih.
Lalu memeluk Zurin. Terpinga-pinga Zurin di dalam pelukan Adam. Zurin mengusap belakang Adam. Dilonggarkan sedikit pelukan yang merimaskannya itu.
“Kenapa ni, Am? Cuba cerita dengan Rin.” Zurin masih memujuk. Adam menyeka airmata yang tidak henti menuruni pipinya.
“Mama...” jawab Adam sepatah. Bertambah-tambah kerutan di dahi.
“Kenapa dengan Mama?” sekali lagi Zurin menyoal.
Adam mengalihkan badannya dan bangun dari duduknya. Membelakangi Zurin yang nyata tidak mengerti akan situasi yang berlaku. Zurin turut berdiri.
“Minggu depan, Am akan berkahwin dengan gadis pilihan Mama.” Hanya ayat itu sahaja yang meluncur dari mulut Adam, cukup untuk membuatkan hati Zurin hancur dan luluh.
Jatuh terduduk Zurin dibuatnya. Digenggam kerusi yang didudukinya sekuat hati. Sampai hati ibu mertuanya hendak mengahwinkan Adam dengan pilihan hati? Tetapi bila difikirkan kembali, Datin Aisyah langsung tidak mengenali Zurin dan tidak pernah tahu bahawa Adam sudah berkahwin. Tidak boleh disalahkan seratus peratus. Ini adalah salah mereka. Salah mereka kerana merahsiakan perkahwinan ini. Airmata yang menuruni pipi seakan-akan tidak mahu berhenti. Adam mengalihkan badannya untuk menghadap Zurin. Tidak sampai hati melihat wajah itu dibasahi air mutiara jernih.
“Rin, Am minta maaf.” Adam meluru ke arah Zurin. Merangkul wanita itu di dalam pelukannya.
“Am pernah cakap dengan Rin kan? Walau apapun yang terjadi, Rin jangan lagi menangis. Am tak sanggup tengok Rin terluka.” Bisik Adam di telinga Zurin.
Tiba-tiba sahaja lutut Zurin menjadi lemah. Perasaan hiba menyelubungi hati. Jiwanya terasa kosong. Badan Zurin hampir-hampir terjelepuk di tanah tetapi Adam memeluk badan itu dengan erat.
“Am benar-benar minta maaf.” Sekali lagi Adam berbisik. Dengusan Adam terasa damai. Menusuk masuk ke dalam jiwa yang kacau.
DATIN Aisyah sedang sibuk menyediakan barang hantaran sambil dibantu oleh Laily dan anak-anak saudaranya yang lain. Pembantunya juga ada datang menolong sekali-sekala sementelah mereka lagi sibuk dengan majlis perkahwinan untuk para pelanggan yang sudah menempah. Leka Laily melakukan kerjanya. Membantu Datin Aisyah menghias pelamin. Kesemuanya dilakukan oleh Datin Aisyah. Tidak mahu memilih pereka majlis kahwin yang lain. Baju-baju yang digunakan untuk akad nikah dan juga bersanding, semuanya ditempah khas daripada butik pengantin milik Datin Aisyah. Kelihatan Amar menapak turun dari anak tangga. Menuju ke arah Datin Aisyah. Dilabuhkan punggungnya di sebelah mama tersayang. Tangannya mengusik barang hantaran tersebut. Berkali-kali Datin Aisyah menampar lembut tangan Amar.
“Hish...kacaulah budak ni. Pergi sana. Mama sibuk nak buat barang ni cepat-cepat, boleh lagi dia datang mengacau.” Datin Aisyah menolak badan Amar perlahan. Anak lelakinya itu hanya tersengih panjang.
“Alaa...Ma. Amar tengok Along kahwin, teringin pulak Amar nak kahwin.” Ujar Amar bersahaja. Laily yang sedang menghias pelamin, teralih kepalanya ke arah Amar.
“Kamu nak kahwin dengan siapa?” soal Datin Aisyah. Sekali-sekala memandang Laily yang sedang tersipu malu.
“Atikah.” Jawab Amar ringkas. Dahi Datin Aisyah berkerut.
“Atikah? Ohh...budak yang kamu tengah kenal sekarang ni ke?” Datin Aisyah menyoal. Dilihatnya Amar mengangguk pantas. Mata Datin Aisyah tertala ke arah Laily. Berubah langsung wajah gadis itu.
“Cubalah kenal hati budi dia dulu. Seelok-eloknya biarlah setahun. Barulah buat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.” Nasihat Datin Aisyah. Tidak mahu anaknya itu terburu-buru membuat keputusan.
“Tapi Along kenal Dura tak sampai 6 bulan pun, dah boleh kahwin?” Amar mempersoalkan keputusan Adam itu.
“Dalam hal Along pula, Mama yang setuju nak jodohkan Along dengan Dura. Lagipun, Mama dah kenal Dura. Macam Atikah, Mama belum kenal dia lagi. Nanti Amar bawak baliklah Atikah untuk kenalkan dengan Mama.” Cadang Datin Aisyah.
Amar hanya mengangguk. Ada benar juga kata-kata Mamanya itu. Sebenarnya, Datin Aisyah tetap mahukan Laily menjadi menantu rumah itu. Isteri kepada Amar. Dia mahu Amar memikirkan keputusannya itu dengan wajar. Dari pandangan mata Datin Aisyah, Laily dan Amar saling menyukai. Tetapi entah apakah halangan yang menyebabkan mereka berjauhan.
“Mama suruhlah Laily kahwin dulu. Baru Amar kahwin.” Tiba-tiba Amar berkata sebegitu. Membeliak mata Laily memandang Amar.
“Eh...eh. Kenapa pulak orang yang kena kahwin dulu?” Laily mencebik. Malas mahu melayan Amar. Kembali menghias pelamin yang hanya tinggal sedikit sahaja lagi untuk dihias.
“Kalau Laily dengan Abang Amar pun, okay jugak.” Usik Natrah yang turut mendengar perbualan mereka bertiga sedari tadi.
“Hish...mengarut jelah, Nat ni.” Laily terus beredar dan menuju ke dapur. Natrah dan Datin Aisyah saling berpandangan, kemudian memandang ke arah Amar.
“Kenapa pandang Amar pulak ni?” Amar bertanya dengan kerutan di dahi. Tidak memahami pandangan yang dilemparkan oleh kedua orang tersayangnya itu.
“Apa salahnya kalau Amar dengan Laily, kan?” Datin Aisyah memandang dengan senyuman yang sukar ditafsirkan.
“Apalah Mama ni. Kalau orang tak sudi, takkan pulak kita nak terhegeh-hegeh.” Amar turut beredar dari situ. Sudah malas mahu melayan Mama dan adiknya itu. Datin Aisyah dan Natrah tergelak kecil. Kembali menyambung tugasan masing-masing.
HANYA tinggal lagi seminggu lebih sahaja Adam akan sah bergelar suami kepada Durrah. Awal-awal lagi Durrah sudah meminta cuti untuk pulang ke kampung bagi menyediakan barang hantaran perkahwinannya. Kedua kakak Durrah, Murfiqah dan Zuhairah sangat kreatif dalam menghias barang hantaran perkahwinan. Semasa mereka hendak bernikah dahulu pun, barangan itu semua disediakan oleh mereka sendiri. Sebenarnya, Datin Aisyah telah memberikan Durrah cuti 2 minggu sebelum tarikh perkahwinan Durrah dan Adam. Tetapi Durrah berasa tidak sedap hati jika cuti terlalu lama. Siapalah yang hendak menolong Datin Aisyah menguruskan keperluan penghuni di rumah itu jika bukan Durrah?
Tengah hari itu, Laily berkunjung ke rumah Datin Aisyah. Niat dihati ingin menolong apa-apa yang patut menyediakan barang hantaran perkahwinan abang sepupunya itu. Sebaik sahaja Laily melangkah masuk ke dalam rumah banglo yang tersergam indah itu, dia disapa oleh Amar yang berada di muka pintu. Lelaki itu sedang menyarungkan kasut sneakers.
“Abang siap elok-elok ni nak pergi mana?” Laily bertanya. Sekadar ingin tahu.
Amar mengangkat muka memandang Laily yang tercegat di hadapan pintu dengan senyuman.
“Pergi mana lagi? Nak jumpa girlfriend baru lah tu.” Sampuk Natrah yang baru sahaja menuruni anak tangga. Sentap hati Laily mendengarkan ayat yang meluncur dari mulut Natrah.
“Bila Abang ada girlfriend ni? Tak beritahu pun.” Sengaja Laily mengusik. Mahu menyembunyikan gelora di hati. Amar berjalan mendekati Laily.
“Abang baru je kenal hati budi dia. Belum serius pun lagi. Bila dah serius, dah jadi nak kahwin, baru Abang heboh kat semua orang. Orang pertama yang akan tahu adalah Laily.” Amar memegang kepala Laily dan menggosok kepala itu dengan kasar.
Habis kusut rambut Laily. Tetapi itu Laily tidak hairan sangat. Hati Laily lebih kusut dari rambutnya. Laily tersenyum paksa.
“Hah...dah sampai pun. Mari, Laily. Tolong Mak Long.” Datin Aisyah menyela sebaik sahaja muncul dari dapur.
Natrah membuntuti Datin Aisyah ke ruang tamu. Laily masih tercegat di pintu utama. Memerhatikan bayangan Amar hilang ke dalam kereta Honda Civic miliknya. Terasa ingin menangis di situ juga. Tetapi dia masih dapat memunasabahkan dirinya bahawa dia berada di rumah orang. Belum sempat kaki Laily hendak melangkah ke ruang tamu, badannya terdorong ke belakang. Terasa seperti ada tangan gagah yang menariknya. Nasib baik tidak terjatuh. Laily mengangkat muka memandang wajah lelai dihadapannya itu. Muram dan buntu sahaja Adam kelihatan. Laily mengerutkan dahi. Selalunya orang yang hendak berkahwin, pasti ceria selalu.
“Kenapa ni, Long?” soal Laily.
Adam tidak berkata apa-apa. Sebaliknya memberikan isyarat mata untuk Laily membuntuti dia. Laily hanya mengangguk dan mengikuti langkah Adam tanpa sebarang soal. Mereka menuju ke halaman rumah. Adam memilih untuk bersantai di bawah pondok. Jauh dari pandangan ahli keluarga mereka. Laily sudah melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi. Manakala Adam lebih selesa berdiri. Pandangannya dilemparkan ke arah kolam ikan koi. Sesekali terdengar keluhan kasar yang keluar dari mulut lelaki itu. Bertambah-tambah kerutan di dahi Laily.
“Cuba Along cerita dengan Laily. Kenapa Along nampak macam tak happy je ni? Selalunya orang nak kahwin, mestilah happy. Tapi kan, Long...Laily tak sangka betullah yang Along nak kahwin dengan Dura.” Sela Laily sedikit teruja apabila menerima berita daripada Durrah bahawa dia akan berkahwin dengan abang sepupu Laily.
Selama ini, Laily sendiri tidak menyangka Durrah dan Adam bercinta. Bila masa mereka bercinta? Durrah tidak pernah khabarkan pada dia pun? Laily melurut dagunya. Durrah tidak pernah juga beritahu bahawa mereka berkahwin atas dasar cinta. Apakah penyebabnya mereka berkahwin? Terlanjur? Tidak mungkin! Durrah sangat menjaga tatatertib dan kehormatan diri. Otak Laily ligat memikirkan kemungkinan Durrah dan Adam berkahwin. Adam mengalihkan badannya memandang Laily yang seperti sedang berfikir sesuatu.
“Memang Along tak happy. Along kahwin dengan Dura pun bukan atas sebab Along nak. Tapi Along kena paksa dengan Mama.” Akhirnya terluah juga dari mulut Adam perkara yang disimpan di dalam hati.
Bertambah kerutan di dahi Laily. Terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Adam. Patutlah sedari tadi, wajah Adam asyik muram sahaja. Laily berdehem.
“Along kahwin dengan dia bukan sebab cinta. Along tak cintakan dia.” Sambung Adam bersungguh-sungguh. Laily melepaskan keluhan.
“Tapi, Long...walaupun Along berkahwin bukan disebabkan cinta, still Along boleh pupuk perasaan tu lepas kahwin.” Nasihat Laily. Dia sudah berdiri dan menuju ke arah Adam yang kembali membelakanginya. Adam memejamkan mata serapat yang mungkin. Menarik dan melepaskan nafas.
“Along tak mungkin dan tak akan cintakan dia.” Balas Adam bersungguh-sungguh. Pelik! Sungguh pelik Laily melihat keadaan Adam kini.
“Kenapa Along dengan yakin sekali kata Along tak mungkin cintakan dia? Laily tengok tak ada apa kurangnya Dura tu. Cantik, lemah lembut, sopan orangnya.” Segala sifat Durrah sudah diluahkan kepada Adam supaya lelaki itu dapat membuka mata dan menilai sifat sebenar yang ada dalam diri Durrah.
“Bukan itu semua sebabnya. Tapi sebab Along...hati Along.” Jawab Adam lirih. Laily menggigit bibir. Hati? Kenapa dengan hati lelaki itu?
“Kenapa? Along sakit hati?” tanya Laily seperti orang bodoh. Tidak memahami sepatah pun kata Adam.
“Hati Along ni...dah lama Along serahkan pada orang lain. Dan, Along tak mungkin serahkan hati Along pada Dura.” Adam berkata dalam kiasan lagi. Laily sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Haish...cubalah berterus-terang.
“Sejak Along serahkan jiwa dan raga Along pada seseorang, Along tak pernah dapat balik. Dan Along takkan minta daripada dia kerana Along tahu dia berhak terhadap hati dan cinta Along.” Sambung Adam lagi.
Semakin berkerut dahi Laily. Tetapi serba sedikit dia mulai faham akan kata-kata yang ingin disampaikan oleh Adam. Memandang Adam dengan rasa simpati. Satu keluhan dilepaskan.
BERSAMBUNG....
Saturday, September 4, 2010
SEINDAH AL HAMRA BAB 18
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 9/04/2010 10:23:00 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 tukang komen paling setia:
huhu.. sambung la cepat2. nk tau cm ne durrah jalani kehidupan bermadu dia.
Post a Comment