BAB 17
DURRAH masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Menolong Hasanah menyediakan masakan untuk tengah hari. Durrah mencapai pisau yang tersangkut di tepi tingkap dan juga papan pemotong. Diletakkan di atas meja makan yang terletak di tengah-tengah ruang dapur. Leka Durrah memotong sayur. Selesai menggoreng ikan, Hasanah membawa pinggan yang berisi ikan keli itu lalu diletakkan di atas meja makan.
“Bila depa nak mai?” soal Hasanah tiba-tiba. Durrah mengangkat kepala memandang Hasanah.
“Esok, Mak.”
“Pukui berapa?” sekali lagi Hasanah menyoal. Durrah cuba mengingati kembali waktu yang dijanjikan oleh Datin Aisyah.
“Pagi, kata Datin.” Jawab Durrah lagi. Kepalanya menunduk memotong sayur-sayuran dihadapan.
Sebenarnya sejak dari minggu lepas lagi, hati Durrah tidak keruan apabila mendapat berita daripada Datin Aisyah sendiri bahawa mereka akan menghantar rombongan peminangan ke rumah Durrah.
“Kalau hang dah jadi nak kahwin nanti, hang punya cita-cita macam mana?” Hasanah bertanya lagi. Memandang tajam ke arah anak gadisnya itu.
“Mak...” Durrah meletakkan pisau pemotong sayur. Membetulkan duduk menghadap wajah tua itu.
“...cita-cita Dura untuk sambung belajar, Dura takkan abaikan. Dura janji Dura tetap akan sambung jugak. Cuma buat masa sekarang, Dura nak tumpukan dulu tugasan Dura sebagai seorang isteri. Bila Dura rasa Dura dah dapat seimbangkan kedua-duanya, barulah Dura akan sambung belajar.” Jelas Durrah panjang lebar. Sememangnya itu yang pernah dikatakan kepada Hasanah semasa dia masih menjadi tunangan Nizam lagi.
“Hmm...tak pa lah kalau hang kata lagu tu. Ni...Mak nak tanya ni.” Hasanah ingin meluahkan apa yang bermain di fikirannya sejak Durrah mengkhabarkan bahawa ada rombongan peminangan yang akan dihantar oleh majikan Durrah.
Durrah mengangkat mangkuk yang penuh dengan sayur-sayuran yang sudah siap dipotong. Menuju ke sinki. Dibuka paip air lalu dibasuh sayur-sayuran yang baru sahaja dipotongnya itu. Durrah menyalakan stove tersebut. Diletakkan periuk dan menuang sedikit minyak sayuran ke dalam periuk. Setelah periuk sedikit panas, dicampakkan bawang merah dan bawang putih untuk menumis. Setelah bawang itu kekuningan, dimasukkan pula sedikit air dan juga beberapa lada hitam. Sambil menunggu air di dalam periuk mendidih, Durrah menyambung kerja dengan mencuci pinggan mangkuk yang bertimbun di dalam sinki.
“Apa yang Mak nak tanya?” Durrah menyoal apabila tiada reaksi yang diberikan oleh Hasanah selepas berkata begitu.
“Hang nak kahwin ni sebab hangpa sama-sama bercinta atau...hang cuba nak elakkan diri dan lupa tentang Nizam?” Hasanah cuba mengorek rahsia hati anaknya itu.
Diantara adik beradik Durrah yang lain, Durrah adalah anak yang paling susah untuk diketahui rahsia hatinya. Terhenti sebentar kerja-kerja yang dilakukan Durrah. Tetapi dia langsung tidak mengalihkan pandangan ke arah Hasanah.
“Apa maksud Mak ni? Dura tak paham.” Ujar Durrah. Menyembunyikan rasa hati yang bergelora. Perlahan sahaja gerakan tangannya mencuci pinggan kotor.
“Mak ni bukannya apa, Dura. Mak tak mau hang terima pinangan Datin tu nanti, sebab hang nak balas dendam apa yang Sal dah buat kat hang. Ataupun hang nak lari daripada Nizam, hang kahwin ja dengan budak Adam ni. Mak tak mau hang menyesai kemudian hari. Kalau hang nak kahwin, biarlah hang betui-betui ada perasaan kat dia.” Panjang lebar Hasanah menyampaikan syarahannya. Durrah melepaskan keluhan.
Benarkah dia cuba melarikan diri daripada Nizam? Durrah menutup pili air yang mencurah laju itu. Terfikir kembali akan kata-kata Hasanah. Hati Durrah masih cuba untuk menafsir perasaannya.
-Tidak! Aku sudah mula menyukai Adam, hati Durrah meningkah.
+Tetapi suka dan cinta tidak sama, satu lagi kata hati berkata-kata.
-Apa yang tidak samanya?
+Suka, apabila kita berasa selesa dengannya. Cinta, apabila kita rasa tidak boleh kehilangannya. Kedengaran keluhan kuat yang dari mulut Durrah. Ada benarnya juga kata-kata itu.
“Ya Allah, budak ni. Dah kering ayaq(air)nya.” Hasanah menjenguk sayur yang dimasak oleh Durrah dalam periuk.
Kelam kabut Durrah menadah air paip dengan gelas, kemudian dituang masuk ke dalam periuk. Hasanah menggeleng melihat Durrah yang termenung jauh itu. Dimasukkan sayur-sayuran yang telah dipotong ke dalam periuk selepas air mendidih.
“Malam ni kita masak sedap-sedap sikit, na. Semua adik beradik hang nak mai bincang pasai rombongan esok tu.” Ujar Hasanah.
Durrah mengangkat muka. Dahinya berkerut. Dia hanya memerhatikan gerak-geri Hasanah yang ke hulu ke hilir untuk menumis kuah pindang. Jika kesemua adik beradiknya akan hadir untuk perbincangan malam ini, sudah tentu Nizam juga ada bersama. Hati Durrah bertambah tidak keruan.
KECOH rumah Karim dan Hasanah dengan kehadiran anak-anak menantu serta cucu-cucu. Tidak ketinggalan juga Pak Chaq Satar dan Mak Chaq Rani serta Pak Su Hanafi dan Mak Su Dilah yang diminta oleh Karim untuk menjadi wakil mereka. Durrah menolong Murfiqah dan Zuhairah di dapur. Menyediakan minuman dan kudapan untuk tetamu yang hadir. Murfiqah membawa sepinggan karipap dan kuih seri muka. Manakala Zuhairah menatang dulang berisi cawan-cawan minuman. Durrah pula membawa dua teko berisi air kopi dan juga teh ke ruang tamu. Selepas menuang minuman ke dalam cawan-cawan yang tersedia, Durrah duduk berteleku di sebelah Hasanah yang duduk di atas kerusi. Meletakkan lengan ke atas peha Hasanah.
“Macam mana, Karim? Hang setuju ka dengan cadangan kami?” soal Pak Chaq Satar kepada Karim apabila dilihat adiknya itu diam seribu bahasa. Langsung tidak menyampuk perbualan mereka sebentar tadi.
“Saya ni tak kisah sangat, Bang Chaq. Tanya si Nah lah. Saya ikut ja kata dia.” Karim menjuihkan bibir ke arah Hasanah yang sudah mengerutkan dahi.
“Eh...eh Abang ni. Tanya Nah pulak. Tapi bagi Nah, Nah ikut jelah kata Bang Chaq dan Kak Chaq. Tapi kalau tempoh 2 bulan tu, tak singkat sangat ka? Kami ni bukannya orang berduit. Nak buat kenduri ni pun nak la kena kumpui dulu. Sekurang-kurangnya nak kena tumbang sekoq lembu.” Hasanah berkata. Karim hanya mengangguk mendengarkan kata-kata Hasanah itu.
“Itu hang toksah dok risau. Aku dengan kak hang ni, boleh uruskan.” Tukas Pak Chaq Satar. Mereka yang lain hanya mendengar setiap butir bicara orang tua dihadapan mereka itu.
Diam membisu sahaja Durrah. Hanya memerhatikan gelagat orang-orang tua dihadapannya berbincang. Dia tidak kisah berapa lama hendak bertunang pun. Yang pentingnya, adalah akad. Ijab kabul yang sah adalah yang terutama. Pandangan Nizam tajam menikam seluruh wajah Durrah. Sudah lama tidak melihat senyuman itu. Senyuman yang membuatkan siang dan malamnya asyik dibuai mimpi. Durrah perasan akan renungan itu. Jiwanya jadi gelisah. Tidak tenteram Durrah dibuatnya. Cuba mengelak dari wajahnya menjadi ratahan mata Nizam tetapi dia tetap kalah. Memang Durrah akui, dia turut merindui renungan itu. Salina memandang ke sebelah apabila dilihatnya Durrah seperti orang yang diamuk resah. Kuat Salina menyinggung lengan Nizam sehingga lelaki itu mengaduh kecil. Dia merenung kemudian menjeling tajam ke arah Nizam. Shahrul Najmi yang berada di dukungan diserahkan kepada Nizam. Salina bingkas bangun dan menuju ke dapur. Durrah hanya memerhatikan gerak-geri adiknya itu. Dia tahu, pasti Salina tidak senang dengan renungan Nizam ke arah dirinya.
“Tak pa lah, na. Kami balik dulu. Dah malam ni. Esok pagi depa mai pukui berapa, Dura?” soal Pak Su Hanafi kepada Durrah. Gadis itu tersentak dan terpinga-pinga dengan soalan yang diajukan oleh pak sunya itu.
“Er...pagi, kata Datin.” Jawab Durrah tergagap.
“Yalah...pagi tu pukui berapa? Sebelum Subuh, lepas Subuh?” Mak Chaq Rani bertanya. Seolah-olah memerli. Yang lain hanya mentertawakan soalan yang keluar secara spontan dari mulut wanita tua itu.
“Dalam pukui 11 pagi.” Sekali lagi Durrah menjawab.
Mereka semua mengangguk. Segera meminta diri untuk pulang ke rumah masing-masing. Begitu juga dengan anak-anak menantu Karim dan Hasanah.
TEPAT jam 6 pagi, Durrah sudah bangun untuk bersolat Subuh. Mencapai tuala yang tersangkut di birai katil dan melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri sebelum mula bersolat. Sebagai orang Islam, kebersihan diri haruslah dijaga kerana Allah S.W.T menyukai orang yang menjaga kebersihan. Usai bersolat, Durrah keluar dari biliknya dan menuju ke dapur apabila terdengar keriuhan suara-suara wanita yang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Kelihatan Murfiqah dan Zuhairah sibuk bersembang sesama sendiri. Manakala Salina dan kakak iparnya, Melati, isteri kepada Hussin, juga sibuk bersembang di antara mereka. Seketika kemudian, mereka berbisik dan akhirnya meletus ketawa dari mulut mereka. Hasanah yang berada di satu sudut, sedang menggoreng karipap sardin. Memandang sekilas ke arah Salina dan Melati. Kemudian, menggeleng perlahan.
“Ati, tolong angkat ni sat.” Murfiqah memberi arahan.
Dengan malas, Melati melangkah ke arah Murfiqah. Perlahan-lahan Durrah menuruni anak tangga menuju ke dapur. Melabuhkan punggung di sebelah Salina. Wanita itu baru perasan akan kehadiran Durrah disitu. Dia hanya menjeling meluat. Durrah membalas jelingan itu dengan senyuman.
“Najmi mana?” soal Durrah lembut. Sejak dari tadi tidak kelihatan bayangan anak saudaranya itu.
“Ada kat rumah. Dengan Abang Zam. Abang Zam nak mai tadi. Sal kata tak payah. Buat apa dia nak menyibuk kat sini.” Jawab Salina kasar. Murfiqah dan Zuhairah saling berpandangan. Satu keluhan keluar dari mulut Durrah.
“Haaa...dah bangun pun anak dara sorang ni.” Murfiqah memerli. Dahi Durrah berkerut. Melihat jam di dinding. Jarum panjang baru sahaja menginjak ke angka 7.
“Meh tolong ni. Sat lagi bakal mertua hang nak mai.” Zuhairah memanggil Durrah. Dia bingkas bangun.Laju sahaja langkah gadis itu menuju ke arah Zuhairah.
“Ish...apa Kak ni. Orang belum setuju lagi la.” Ujar Durrah tersipu-sipu malu. Tangannya pantas melakukan kerja dipinta oleh Zuhairah.
“Setuju je la, Kak. Cepat sikit kahwin. Tak payah dah dok nak menyusahkan orang len. Buat sakit hati ja.” Salina berkata selamba.
Tersentap hati Durrah mendengar kata-kata Salina itu. Zuhairah bercekak pinggang memandang Salina. Hasanah hanya menggeleng. Malas mahu ikut campur. Dia terus mendaki tangga dan menuju ke ruang tamu sambil membawa sepiring karipap sardin yang masih panas.
“Hang ni kalau tak menyakitkan hati orang tak buleh ka? Daripada hang tu. Dari sebelum kahwin sampai dah lepas kahwin, sampai dah beranak pinak pun, asyik menyusahkan Mak ja. Tak dak pulak kami kata apa-apa.” Bidas Zuhairah. Murfiqah menahan tawa. Dilihatnya Salina mengetap gigi.
“Menyusahkan Mak? Bila masa Sal menyusahkan Mak?” soal Salina lantang. Murfiqah memandang sinis ke arah Salina.
“Tu anak hang tu. Siapa yang jaga kalau bukan Mak. Konon nak pi cari gheja la bagai. Tapi Kak tengok sampai sekarang hang dok goyang kaki lagi kat ghumah.” Murfiqah memulangkan paku buah keras. Terdiam Salina dibuatnya.
“Itu dulu. Sekarang Sal dah gheja. Kak Iqa dan Kak Irah pun apa kurangnya. Selalu ja hantaq anak-anak kat Mak.” Jawab Salina lagi. Zuhairah mencebik.
“Hei...aku hantaq bukan hantaq saja tau. Aku bagi duit kat Mak tiap-tiap bulan. Barang-barang makanan dalam rumah ni Kak Iqa yang beli. Hang bagi apa, beli apa? Tak dak kan. Jadi hang jangan kata apa-apa.” Zuhairah mengungkit keluar segala cerita. Durrah mengurut belakang Zuhairah. Dada kakaknya itu sudah naik turun menahan geram melihat perangai Salina yang tidak berubah.
“Apa yang dok bising-bising kat dapuq ni? Lekaih sikit buat gheja. Sat lagi orang nak mai dah ni.” Muncul Mak Chaq Rani di muka pintu dapur.
Segera mereka menyelesaikan kerja yang tertangguh akibat pergaduhan mulut yang berlaku sebentar tadi. Melati membawa kuih karipap yang sudah siap digoreng semuanya ke ruang tamu. Durrah menolong Zuhairah menghidangkan bihun goreng. Dipotong telur dadar yang digoreng dan dihiris nipis. Lalu ditaburkan ke atas bihun goreng tersebut. Dibawa keluar bawang goreng dari peti ais dan ditaburkan ke atas bihun goreng dan juga cili merah. Salina pula menatang dulang yang berisi kuih seri muka dan dibawa ke ruang tamu.
Durrah duduk bersimpuh ke atas lantai dan menyusun gelas serta pinggan-pinggan untuk makan di atas kain yang dihamparkan di satu sudut ruang tamu. Disusun pula gelas-gelas yang baru sahaja dihulurkan oleh Murfiqah. Sibuk mereka melakukan kerja-kerja sehingga tidak sedar jam sudah hampir menunjukkan pukul 11 pagi.
“Dura pi siap lekaih. Dah dekat pukui 11 ni.” Ujar Hasanah. Ditolak badan anaknya untuk masuk ke dalam bilik dan bersiap.
“Assalamualaikum.” Kedengaran suara seorang lelaki memberi salam di muka pintu. Majid berdiri, menjenguk melalui jendela.
“Ayah, depa dah sampai.” Ujar Majid, suami kepada Murfiqah.
Segera Karim menjenguk. Salam dijawab berserta huluran tangan untuk bersalaman dengan tetamu yang baru sampai.
“Mai la masuk.” Jemput Hasanah yang baru muncul di muka pintu. Mereka bersalaman dengan tetamu-tetamu yang ada.
“Duduklah. Rumah kami rumah buruk ja. Duduk atas lantai ja. Minta maaflah Datuk...Datin.” Karim merendah diri. Datuk Hafiz menepuk perlahan bahu Karim.
“Haish...apa pulak kata begitu? Kami tak kisahlah, Bang Karim.” Datuk Hafiz berkata. Tetamu-tetamu yang hadir menganggukkan kepala tanda mengiakan kata-kata Datuk Hafiz itu.
Mereka melabuhkan punggung ke atas lantai kayu. Pada mulanya Salina yang berada di ruang tamu, ingin mendengar perbincangan mereka semua tetapi ditarik oleh Murfiqah untuk menuju ke ruang dapur.
“Hang toksah dok sibuklah.” Murfiqah berkata keras. Salina menjeling tajam.
“Orang nak dengaq jugaklah apa yang depa bincang. Berapa hantaran, mas kahwin? Lepaih tu nak tengok jugak yang mana satu bakal abang ipaq.” Salina sengaja berkata kuat sedangkan dia tahu Nizam berada di luar pintu dapur.
Hasanah yang melabuhkan punggung di muka pintu dapur, hanya menjenguk ke bawah. Menjegilkan mata ke arah Salina kerana suaranya yang kuat itu. Mundar-mandir Nizam di luar. Tidak senang duduk dibuatnya. Kenapalah hatinya sangat resah? Seperti tidak mahu melepaskan Durrah untuk menjadi milik orang lain. Sedangkan dirinya juga sudah berpunya. Satu perasaan menyusup masuk. Dia yakin sangat bahawa lelaki yang bakal menjadi suami Durrah pasti tidak akan membahagiakan Durrah sepertimana yang Nizam telah janjikan dahulu. Kedengaran seorang lelaki sedang membacakan doa untuk memberkati majlis mereka itu.
“Bang, masuklah. Depa dah nak sarung cincin. Cepatlah pi tengok. Bekas kekasih Abang tu dah nak jadi milik orang len.” Salina menyindir pedas. Terasa terhiris hati Nizam mendengarkan kata-kata Salina.
“Apa yang Sal cakapkan ni?” marah Nizam perlahan. Nada suaranya dikawal. Tidak mahu terlalu ketara wajah tegangnya.
“Manalah tau. Kot-kot boleh sempat selamatkan bekas kekasih Abang tu dari jadi milik lelaki len. Abang kan masih dok ada hati dengan dia.” Salina menyambung lagi sindirannya. Nizam mengetap gigi.
“Jangan merepeklah, Sal.” Nizam terus berlalu ke ruang tamu. Meninggalkan Salina dengan hati yang panas di dapur, keseorangan.
BERSAMBUNG....
Saturday, August 14, 2010
SEINDAH AL-HAMRA BAB 17
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 8/14/2010 11:48:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 tukang komen paling setia:
nizam nih mengade2 la....kalo ade hati ngan durrah, yang dok kawen salina betina mulut jahat tuh apasal? skang bile durrah nak kawen plak, nak dok mundar-mandir....pentingkan diri btol la si nizam nih...
salina...salina.......tak puas-puas hati lagi...............
Post a Comment