BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, May 18, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 12

BAB 12


TELEFON bimbit milik Zurin berbunyi lagu Lenka, Trouble Is A Friend. Lantas Zurin mencapai telefon bimbit tersebut. Melihat nama di skrin lalu ditekapkan ke telinganya. Bibirnya mengukirkan senyuman sebaik sahaja terdengar suara seseorang melalui corong telefon. Si pemanggil memberikan salam dan salam tersebut dijawabnya. Sudah lama tidak mendengar khabar si pemanggil setelah Zurin dan Adam berangkat pulang ke Malaysia.
“Kau tengah buat apa tu?” soal si pemanggil. Zurin membaringkan diri ke atas sofa. Matanya menala ke siling.
“Tengah lepak kat rumah. Kenapa kau tanya, Ziela?” soal Zurin kembali. Jemarinya bermain dengan rambut. Rambut panjang mengurai itu dipintal-pintalnya.
“Tak adalah. Aku ingat nak ajak kau keluar malam ni.” Ujar pemanggil yang dikenali dengan nama Ziela itu. Dahi Zurin berkerut.
“Kau dah balik Malaysia ke?” sekali lagi Zurin bertanya. Terdengar suara Ziela ketawa di hujung talian.
“Sebab dah balik ke Malaysia lah, itu sebabnya aku ajak kau keluar.” Ziela menghabiskan sisa tawanya.
Ziela tahu, pasti Zurin terkejut dengan kepulangannya ke Malaysia kerana dia sudah menyatakan keputusannya untuk menetap di London selepas berkahwin dengan seorang ahli perniagaan terkenal, Sir Arthur Locke. Tetapi apakah yang menyebabkan keputusan Ziela berubah? Adakah Sir Arthur juga turut mengikut Ziela pulang ke Malaysia. Zurin hanya mendiamkan diri. Tidak tahu hendak berkata apa-apa.
“Kenapa? Terkejut?” Ziela masih lagi mengekeh. Zurin berdehem perlahan.
“Tapi kenapa kau balik Malaysia? Bukan ke kau kata kau....” ayat Zurin tergantung. Tidak jadi meneruskan kata-kata apabila ayatnya dipintas oleh Ziela.
“Aku nak stay London sampai bila-bila? Aku ada benda nak story dengan kau ni. Tu sebabnya aku nak ajak kau keluar.” ajak Ziela lagi. Satu keluhan kecil keluar dari mulut Zurin. Bukan dia tidak mahu keluar bersama Ziela tetapi dia sudah ada hal.
“Babe, bukan aku tak nak keluar malam ni dengan kau. Tapi aku dah ada hal.” Tolak Zurin lembut. Tidak mahu mengecilkan hati sahabat yang banyak mendengar cerita suka dan dukanya selama bercinta dengan Adam.
“Elehh...bukan aku tak tahu. Hari ni kan wedding anniversary kau orang. Nak pergi celebrate lah tu.” Usik Ziela. Zurin tersenyum kecil. Entah kenapa, sejak dari pagi lagi hati dia terasa tidak enak.
“Tak sangkakan. Dah setahun aku kahwin.” Ujar Zurin. Begitu cepat masa berlalu. Setahun dirasakan berlalu dalam sekelip mata.
“Hmm....kalau kita tak boleh jumpa malam ni, esok boleh?” soal Ziela selepas seketika mereka masing-masing mendiamkan diri. Zurin cuba berfikir sesuatu.
“Esok aku tak ada apa-apa.” Jawab Zurin.
“Okay. See you tomorrow.” Kemudian mereka sama-sama mematikan talian. Zurin meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja kopi.
RIUH sekali rumah Datuk Hafiz pada malam itu. Dengan gelak ketawa dari seisi rumah yang sedang bergembira. Meja makan menjadi medan pertempuran dengan kata-kata. Amar mengusik Natrah dan Aida manakala Adam hanya memerhatikan sahaja gelagat adik beradiknya itu. Durrah menolong Jamilah memotong buah-buahan di dapur. Leka sekali dia melakukan kerjanya.
“Kak Milah buah ni nak...” ayat Durrah tergantung apabila sebaik sahaja dia mengangkat muka hendak memandang ke arah Jamilah, wanita itu tiada di dalam dapur. Durrah melepaskan keluhan.
“Need some help?” soal Natrah. Durrah sekali lagi mengangkat muka memandang ke arah pintu dapur.
“Tak apa, Dura boleh buat sendiri.” Ujar Durrah. Dilihatnya gadis itu terangguk-angguk. Entah bila masa Natrah beredar, tidak pula Durrah menyedarinya.
Adam melangkah masuk ke dalam dapur dengan membawa pinggan kotornya. Diletakkan pinggan tersebut ke dalam sinki dan mula membuka paip. Niat dihati ingin mencuci pinggan yang digunakannya sendiri.
“Eh, tak apa, Tuan. Biar Dura buat.” Ujar Durrah. Tidak selesa pula apabila majikannya terpaksa melakukan sendirian. Adam mengukirkan senyuman.
“Tuan? Tak pernah orang panggil saya Tuan. Saya tak selesalah. Panggil saya Adam je.” Ujar Adam lembut.
Suara Adam yang garau membuatkan Durrah tidak senang duduk. Semenjak dari hari Durrah terpandangkan wajah Adam di rumah Dr. Hanita lagi, hatinya senantiasa berdebar-debar. Berdenyut pantas. Jantungnya bagaikan dipam. Tetapi langsung tidak diberitahu kepada sesiapapun. Fikir Durrah mungkin ini hanyalah mainan perasaan. Tidak mungkin secepat itu dia mempunyai perasaan pada orang lain. Sedangkan baru setahun lebih sahaja dia putus tunang.
“Tak...tak...takkan panggil Adam je. Tak eloklah.” Tergagap Durrah berkata-kata. Adam mengukirkan senyuman manis. Terkedu Durrah seketika. Tidak jadi untuk terus memotong buah. Tiba-tiba sahaja hatinya berdegup pantas.
“Kalau macam tu, awak panggil saya Abang Adam lah. Because judging by your face, I think you’re much more younger than Natrah. Am I right?” tanya Adam. Terangguk-angguk Durrah seperti burung belatuk. Pandai juga dia ini menilik wajah orang, desis Durrah dalam hati.
Pinggan yang sudah bersih dicuci disangkutkan ke atas tempat penyidai pinggan. Berkerut dahi Durrah. Bila masanya Adam sempat mencuci pinggan? Adam memicit sabun pencuci tangan dan digosok ke seluruh tapak tangan. Adam selalu ingat akan pesanan dari kementerian untuk selalu mencuci tangan selepas melakukan sebarang aktiviti. Almaklumlah, sekarang ini gejala H1N1 semakin merebak teruk. Dan untuk menghalang daripada berlakunya penyebaran tersebut, haruslah menjaga kebersihan. Dalam Islam juga digalakkan untuk menjaga kebersihan.
Adam sedar dirinya diperhatikan. Mengangkat muka memandang Durrah. Dijungkitkan kening dan kepalanya sedikit. Durrah kembali menunduk meneruskan kerjanya. Perasaan malu menerpa diri. Adam tersenyum sambil bernyanyi-nyanyi kecil membasuh tangannya menggunakan air paip yang mencurah laju. Adam berlalu meninggalkan Durrah yang masih leka melakukan kerja-kerjanya. Usai menyiapkan kerjanya, Durrah menuju ke ruang tamu dengan menatang seteko Nescafe dan juga cawan-cawan daripada corak yang sama dengan teko tersebut. Dituang air yang masih berasap itu ke dalam cawan-cawan yang tersedia elok tersebut. Durrah beredar dari ruang tamu. Melintasi pintu utama yang terkuak luas. Hati Durrah terdetik.
“Siapa pulak yang buka pintu ni?” belum sempat tangan Durrah mencapai tombol pintu untuk menutup pintu utama itu, mata Durrah sudah tertuju ke arah sesusuk tubuh yang duduk di tengah laman rumah. Dahi Durrah berkerut. Durrah berpaling dan menuju ke arah dapur. 10 minit kemudian, Durrah keluar dari dapur dengan menatang secawan Nescafe.
Semasa Durrah melintasi ruang tamu, kelihatan Jamilah dan Datin Aisyah sedang leka bersembang. Manakala Datuk Hafiz dan Amar sedang menonton perlawanan bola sepak yang ditayangkan di siaran Astro Sports. Perlahan-lahan Durrah berjalan melepasi pintu utama. Berjalan mendekati Adam yang duduk membelakanginya. Durrah berdehem perlahan. Lelaki itu leka memandang ke langit yang terbentang luas dan bintang-bintang angkasa bertaburan di langit. Tersedar dari lamunan apabila terdengar seseorang berdehem. Adam mengalih pandang ke arah Durrah. Gadis itu tersenyum kecil. Diletakkan cawan Nescafe yang masih berasap itu dihadapan Adam. Adam membalas senyuman Durrah.
“Dura masuk dulu lah, ya.” Ujar Durrah. Berkira-kira hendak beredar dari situ. Tetapi langkahannya terhenti apabila Adam berkata sesuatu.
“Dura, nanti. Duduklah dulu.” Pelawa Adam. Durrah gelisah. Digigit bibirnya. Maniskah duduk berdua-duaan bersama anak bujang Datin Aisyah di taman? Durrah berdiri statik. Langsung tidak bergerak. Adam yang sedar akan keadaan itu, memandang Durrah yang masih tidak berganjak dari tempatnya.
“Duduklah. Takkan takut kena tangkap basah, kut? Kan ramai lagi orang kat dalam rumah tu.” Jawapan Adam masih tidak dapat melegakan hati Durrah.
Berat sahaja kaki Durrah melangkah dan melabuhkan punggungnya di sebelah Adam. Tetapi masih mengekalkan jaraknya. Adam membisu. Durrah membungkam. Tiada kata-kata yang keluar dari mulut mereka berdua. Hanya cengkering sahaja yang berlagu riang. Berkali-kali keluhan keluar dari mulut Adam. Durrah mengerutkan dahi. Dipeluk tubuhnya yang tiba-tiba kedinginan.
“Enc…Ab…Abang…Abang ada masalah ke?” tergagap lidah Durrah menyebut perkataan Abang.
Tidak pernah memanggil orang luar dengan panggilan Abang. Jika Yusof dan Husin tidak mengapalah, mereka berdua itu sememangnya abang kandung Durrah. Pandangan Adam masih ditala ke langit. Hatinya gundah. Perlukah berterus-terang?
“Problem ni bukannya problem Abang. Tapi problem kawan Abang.” Adam membuka mulut. Meluahkan apa yang terbuku dihatinya. Kerutan bertambah di dahi Durrah. Jika masalah ini bukan masalah miliknya, kenapa harus bergundah gulana? Hati Durrah bermain kata.
“Kawan Abang kahwin dengan gadis pilihan hati dia tanpa pengetahuan keluarga. Lama dia orang stay kat London. Tapi baru-baru ni, family dia panggil balik Malaysia. So, dia baliklah. Hari ni wedding anniversary dia orang. Kawan Abang dah janji nak bawa wife dia celebrate kat luar. Sekarang ni dia bergaduh pulak dengan wife dia sebab terpaksa mungkir janji.” Cerita Adam. Durrah mengerutkan dahi. Masalah besar juga yang dialami oleh ‘kawan’ Adam itu.
“Sebab apa dia mungkir janji?” soal Durrah. Adam mendengus.
“Dia janji dengan family dia yang tiap-tiap 2 minggu sekali, mesti balik rumah. Dia kena turuti lah janji yang disyaratkan oleh emak dia. Sebab dia yang beria-ia sangat nak pindah rumah dan duduk sendiri. Wife dia dah tak tahan hidup macam ni. Jadi, wife dia suruh kawan Abang ni berterus-terang dengan family dia.” Jawab Adam lagi. Kepala Durrah terangguk-angguk seperti burung belatuk. Adam memandang Durrah di sebelah. TIada jawapan daripada gadis itu membuatkan Adam ingin menyambung kata.
“Dura beritahulah Abang. Apa yang patut Abang buat?” Adam terlepas kata. Mata Durrah menala pantas ke arah Adam dengan kerutan di dahi.
“Ermm…maksud Abang, apa yang patut Abang nasihatkan kawan Abang.” Adam membetulkan ayatnya.
“Bagi Dura, perempuan tu harus faham akan keadaan kawan Abang tu. Bagi dia masa untuk berterus-terang. Mungkin ini bukan masanya. Tapi kawan Abang jugak harus faham, selama mana dia orang nak terus berbohong. Kena cari masa yang sesuai. Mungkin lagi 3-4 bulan. Ambil masa untuk terangkan satu persatu. Takkanlah emak kawan Abang tu kejam sangat sampai nak suruh bercerai, kut. Betul tak?” soal Durrah. Adam melepaskan keluhan. Mengangguk mengiakan kata-kata Durrah. Mereka sudah berkahwin. Mustahil ibunya kejam untuk meminta dia menceraikan isteri yang sudah sah dikahwini. Sedikit lega dengan jawapan yang diterima.
“Kalau Dura jadi wife kawan Abang tu, apa yang Dura mahu suami Dura tebus kesalahan dia?” Adam bertanya lagi. Durrah menala pandangan ke langit sambil berfikir sesuatu. Apakah yang dia mahu dari suaminya?
“Kalau Dura, hanya kata-kata maaf dah cukup buat Dura. Dura tak minta lebih. Sebab biasalah kan, lelaki ni kan egonya menggunung. Jadi, kalau dia dah sudi minta maaf, Dura dah tak kisah perkara lain. Kalau perempuan lain tak tahulah. Tapi perempuan suka jugak bunga, coklat. Mungkin teddy bear. Atau kata-kata ingatan dan juga a simple candlelight dinner would be enough.” Jelas Durrah panjang lebar. Adam mengangguk. Benar juga kata-kata Durrah. Lelaki ini egonya tinggi menggunung. Apa salahnya meminta maaf? Tiba-tiba Durrah menekup mulut. Perlahan matanya mengalih ke arah Adam yang sedang memikirkan kata-katanya itu.
“Sorry, bang. Bukan semua lelaki ada ego tinggi.” Ujar Durrah. Dia menggigit bibir. Adam mengangkat muka memandang Durrah sambil tersenyum kecil.
“Faham...faham. Dan, Abang juga tak nafikan yang ego lelaki memang tinggi.” Jawab Adam.
Durrah mengangguk. Mereka sama-sama melemparkan pandang ke langit yang nun jauh berada di angkasa. Tanpa mereka sedari, sepasang mata memerhatikan mereka dari jauh bersama sebuah senyuman.


“APA yang awak terjenguk-jenguk kat tingkap tu?” soal Datuk Hafiz apabila dilihatnya sedari tadi Datin Aisyah asyik menjenguk melalui tingkap ke arah halaman.
Natrah dan Aida sudah lama menghilang ke bilik masing-masing. Manakala Amar leka menonton televisyen bersama ayahnya. Datin Aisyah berjalan menuju ke arah suaminya dan dilabuhkan punggung di sebelah lelaki itu.
“Saya suka betul tengok Dura tu.” Ujar Datin Aisyah. Disandarkan badannya ke sofa empuk tersebut. Datuk Hafiz mengalih pandang sekilas ke arah isterinya.
“Kenapa?” soal Datuk Hafiz. Datin Aisyah mengerutkan dahi dan memandang ke sebelah. Tidak faham dengan soalan yang diajukan Datuk Hafiz.
“Kenapa apa?” giliran Datin Aisyah pula menyoal.
“Kenapa awak suka dengan dia? Dia kerja kat sini tak sampai seminggu lagi.” Jelas Datuk Hafiz panjang lebar. Datin Aisyah mencapai cawan minuman yang terletak di atas meja kopi. Dihirup sedikit Nescafe yang berasap itu.
“Saya memang suka kat dia sejak dia kerja kat rumah Ita lagi. Lemah lembut budaknya, bang. Pemalu pulak tu. Lagipun anak Kak Nah. Tu yang saya suka tu. Kita dah kenal keluarga dia.” Datin Aisyah menerangkan satu persatu sifat yang ada di dalam diri Durrah diatas pemerhatian Datin Aisyah selama seminggu. Datuk Hafiz berdehem. Menolak cermin mata yang sudah melurut turun dari hidung.
“Berterus terang jelah, Syah. Apa yang ada dalam fikiran awak tu.” Sindir Datuk Hafiz. Wanita itu tersenyum simpul.
“Apa kata kalau saya kahwinkan Dura dengan...” ayat Datin Aisyah tergantung. Amar yang sedang berbaring terus duduk menegak memandang ke arah kedua ibubapanya. Hati Amar gelisah. Dia berdiri dan melabuhkan punggungnya di sebelah Datin Aisyah.
“Ma...Amar belum bersedia nak kahwin lagi. Lagipun, Amar belum capai lagi apa yang Amar nak sebagai seorang peguam.” Lantang Amar membantah. Datuk Hafiz tergelak besar. Datin Aisyah mencebik.
“Hei, jangan perasanlah anak mama seorang ni.” Datin Aisyah mencuit hidung Amar. Anak muda itu terpinga-pinga.
“Mama bukan nak jodohkan Dura dengan Amar tapi tu....dengan Along.” Juih Datuk Hafiz ke arah pintu yang terbuka. Datin Aisyah tersenyum. Kelihatan Amar melepaskan nafas kelegaan.
“Mama ni...buat Amar takut je.” Diurut dadanya perlahan. Datin Aisyah mengusap rambut Amar.
“Apa kata Abang?” tanya Datin Aisyah. Mengalih pandang ke arah suaminya.
“Kenapa awak terburu-buru sangat nakkan si Adam tu kahwin?” soalan berbalas soalan. Datin Aisyah melepaskan keluhan.
“Adam tu bukannya makin muda. Umur dah meningkat 30 tahun. Kita pun bukannya makin muda. Teringin juga saya nak merasa mengendong cucu sebelum saya menutup mata. Abang tak teringin ke?” perli Datin Aisyah. Kelihatan Datuk Hafiz mengangguk perlahan.
“Tapi kita kena tanya dulu Adam. Setuju ke dia dengan cadangan kita ni? Tanya jugak Dura. Manalah tahu, dia dah ada orang yang menunggu dia di kampung tu. Awak kena tanya Adam tu betul-betul. Almaklumlah, baru balik dari London. Dah 6 tahun kat sana. Takkan lah tak ada yang tersangkut kat sana.” Satu persatu nasihat yang keluar dari mulut Datuk Hafiz.
Amar kembali mengubah posisi kedudukannya dan berbaring semula. Datin Aisyah membetulkan duduknya.
“Saya yakin Dura tak ada siapa yang menunggu. Dan untuk Adam pula, saya tahulah anak saya. Saya tahu macam mana nak uruskannya.” Jawab Datin Aisyah penuh yakin. Datuk Hafiz menggeleng perlahan.
“Hmm...suka hati awaklah.” Sudah malas mahu berkata apa-apa.

BERSAMBUNG....

3 tukang komen paling setia:

aqilah said...

baik padankan durar dgn amar.......kan adam dah kahwin!!
apapun, best!!!

aqilah said...

camne nak gi kat novel Tasbih cinta terakhir???? please................thanks!!!

Aishah Hamzah said...

rasenye ada 4 bab baru Tasbih Cinta Terakhir....sye blum ade kesempatan nk letak link lagi....kene cari kat archive la....thanks!