BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 31, 2009

ISTIQAMAH CINTA BAB 2

BAB 2

HAJAH Husna menghidangkan sarapan pagi. Dibantu oleh Izzah. Tersenyum kepada Idham yang baru sahaja turun ke tingkat bawah. Segak berseluar jeans berwarna hitam dan berkemeja T lengan pendek, berjalur biru melintang. Idham menolong Hajah Husna dengan membawa mangkuk bihun goreng dan dihidangkan di atas meja. Mereka melabuhkan punggung di tempat masing-masing. Izzah menceduk bihun goreng dan dihulurkan pinggan itu kepada Idham. Pinggan tersebut bersambut. Dihulurkan juga sepinggan kepada Hajah Husna. Izzah menghulur pula garfu kepada Hajah Husna dan Idham. Leka mereka menjamu selera sarapan pagi itu.
“Hari ni Ham balik lambat lagi ke?” soal Hajah Husna. Idham yang sedang menikmati sarapannya itu, mengangkat kepala memandang ibunya.
“Tak tahu lagi. Kenapa Mak tanya?” Idham pula bertanya. Hajah Husna melepaskan keluhan perlahan. Kembali tunduk menghadap sarapannya.
“Mak…ada apa-apa hal penting ke yang perlu Ham balik awal?” Idham bertanya lembut.
Izzah hanya memerhatikan perbualan di antara Hajah Husna dan Idham. Hajah Husna mengangguk perlahan.
“Malam ni, Ku Dara ajak kita semua pergi makan malam kat rumah dia.” Sela Hajah Husna.
Idham mengerutkan dahi. Tengku Khaldun tidak pula berkata apa-apa kepadanya. Jika tidak, tentu Tengku Khaldun sudah memaklumkan kepada Idham bahawa malam ini mereka dijemput makan malam di rumah banglo 3 tingkat milik keluarga Tengku Khaldun.
“Ku Dun tak kata apa-apa pun pada Ham yang dia jemput kita dinner malam ni.” Tukas Idham. Hajah Husna tersenyum.
“Memanglah. Sebab Ku Dara yang jemput. Ku Dun tak tahu pun. Macamlah Ham tak biasa dengan Ku Dara. Apa yang dia buat mesti takkan dibincangan dengan Ku Dun dulu.” Sela Hajah Husna. Idham mengangguk. Mengiakan kata-kata Hajah Husna.
“Pukul berapa, Mak?” soal Izzah pula. Hajah Husna mengalih pandang ke arah anak bongsunya.
“Pukul 8 malam.” Jawab Hajah Husna ringkas. Lama Idham mendiamkan diri seperti memikirkan sesuatu. Kemudian, dengan perlahan kepalanya dianggukkan.
“Yalah, Mak. Nanti Ham balik ambil Mak dan Zah.” Ujar Idham. Hajah Husna tersenyum senang.
“Hmm…mesti Ku Dun nak jodohkan Abang Ham dengan Karmila.” Izzah melirik pandang ke arah Hajah Husna dengan senyuman.
“Janganlah Izzah nak berangan mempunyai kakak ipar dari kaum kerabat mereka. Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan mereka. Kita berdiri tak sama tinggi, duduk pun tak sama rendah. Takkan enggang terbang bersama pipit.” Berkias sekali Idham berkata. Izzah menundukkan wajah. Menghadap semula sarapan yang terhidang di hadapan mata. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja seleranya mati. Tersentap apabila disyarah sebegitu oleh abangnya.
“Kita mungkin tak sama darjat dengan mereka, Ham. Tapi kita semua tetap manusia biasa. Melakukan kesilapan adalah perkara biasa. Yang hanya membezakan kita adalah pangkat dan gelaran.” Hajah Husna meningkah. Tidak suka Idham membezakan pangkat dan darjat yang menjadi penghalang hubungan seseorang.
“Mungkin betul cakap Mak tu.” Kata Idham.
“Memang betul cakap Mak.” Tingkah Hajah Husna pula. Izzah hanya memandang ibu dan abangnya itu. Kembali meneruskan suapan mereka.
Tiba-tiba telefon rumah berdering nyaring. Kesemua mata tertancap ke arah telefon tersebut. Izzah segera bangun dan menuju ke arah telefon itu. Diangkat gagangnya dan bercakap dengan pemanggil yang menelefon. Seketika kemudian, kembali semula ke arah meja makan. Melabuhkan semula ke atas kerusi meja makan tersebut.
“Siapa, Zah?” tanya Hajah Husna. Izzah tersenyum kecil.
“Abang Iffat. Dia kata minggu ni dia tak balik, Mak. Sebab ada assignment yang perlu diselesaikan.” Izzah menyampaikan apa yang diperkatakan oleh Iffat di dalam talian sebentar tadi.
Iffat Hilman, adik kepada Idham Hilal yang sedang menyambungkan pembelajarannya di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terletak di Sintok, Kedah. Hajah Husna mengangguk. Dia tahu Iffat sedang berusaha untuk menghabiskan pelajarannya dan kini dia berada di semester terakhir.
“Biarlah. Tak lama lagi dia nak exam akhir. Biar dia selesaikan apa yang perlu dibuat.” Hajah Husna menukas.
Kedua anaknya sama-sama mengangguk. Idham melihat jam di tangan. Jarum panjang berada di angka 6 dan jarum pendek di angka 8. Waktu sudah menunjukkn jam 8.30 pagi. Segera Idham meneguk air kopi yang masih berasap itu dan mengelap mulutnya dengan tisu yang diambil dari kotak tisu berdekatan Izzah.
“Mak, Ham pergi dulu. Nanti kita pergi sama-sama rumah Ku Dun.” Idham berkata seraya menyalami tangan Hajah Husna.
Hajah Husna hanya mengangguk perlahan. Izzah mencapai tangan Idham dan menyalami abangnya itu. Memang sudah menjadi kebiasaan mereka adik beradik. Itulah juga nilai-nilai yang diterapkan oleh Hajah Husna di dalam diri anak-anaknya.


TENGKU Khaldun dan Tengku Darayani sudah bersiap sedia menunggu anak-anak mereka di meja makan. Sebentar kemudian, muncul Tengku Afdal Khaizuran dari tangga. Menuju ke arah kedua ibubapanya. Melabuhkan punggung di tempat kebiasaannya. Shima, pembantu rumah yang setia melayani Khaizuran. Setiap penghuni rumah tersebut mempunyai pembantu masing-masing. Shima menuang air Nescafe tersebut ke dalam cawan Khaizuran. Dihadiahkan sebuah senyuman sebagai balasan kepada Shima. Gadis itu hanya membalas kembali senyuman tersebut dengan perasaan malu. Menghulurkan pula semangkuk bijirin kepada Khaizuran. Diletakkan mangkuk tersebut dihadapan Khaizuran. Tipah yang baru sahaja ke turun ke tingkat bawah, ingin terus ke dapur. Tetapi langkah kakinya terhenti apabila Tengku Khaldun bertanya sesuatu.
“Mana Mila, Tipah?” soal Tengku Khaldun, tegas. Perlahan-lahan Tipah mengalihkan badannya memandang Tengku Khaldun.
“Ku Mila tengah mandi, Ku Dun. Kejap lagi dia turun.” Tengku Khaldun hanya mengangguk mendengarkan kata-kata Tipah. Segera Tipah berlalu semula ke dapur.
“Apa lagi yang Mila dah buat semalam, Bang?” tanya Tengku Darayani. Tengku Khaldun mendengus kasar.
“Apa lagi kalau bukan balik semalam dalam keadaan mabuk.” Tengku Khaldun berkata. Khaizuran tidak ambil peduli akan perbualan kedua orang tuanya. Masih sibuk menikmati sarapan pagi.
“Alah, Bang...Biasalah. Budak-budak muda.” Ujar Tengku Darayani. Mencerlung mata Tengku Khaldun memandang isterinya.
“Biasa, awak kata? Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni. Kita ni orang Melayu. Islam pulak tu. Ada pegangan agama.” Meninggi sahaja suara Tengku Khaldun. Isterinya itu hanya menjeling. Khaizuran mendongakkan kepala. Memandang ibubapanya silih berganti.
“Ran tahu, Pa. Mesti Joe yang pengaruh Mila.” Sampuk Khaizuran tiba-tiba. Mata Tengku Khaldun dan Tengku Darayani mengalih pandang ke arah Khaizuran.
“Johan. Anak Tan Sri Maidin.” Jawab Khaizuran.
Berkerut dahi Tengku Khaldun. Cuba memikirkan siapakah gerangannya si Johan itu. Kemudian, wajah Johan terlintas di ruang fikiran Tengku Khaldun. Memandang wajah Tengku Darayani yang sudah berubah reaksinya.
“Ohh...bukan ke budak Johan tu awak nak jodohkan dengan Mila?” Tengku Khaldun menyoal. Tengku Darayani pura-pura tidak mendengar soalan suaminya itu.
“Kalau macam ni lah gayanya, Abang lebih rela kahwinkan Mila dengan tukang sapu sampah.” Selamba sahaja pertuturan keluar dari mulut Tengku Khaldun. Mata Tengku Darayani terbeliak.
“Abang jangan cakap sesuka hati je, tau. Ini boleh menjadi satu doa.” Ugut Tengku Darayani. Tengku Khaldun tersenyum sinis.
“Kalau si tukang sapu sampah tu bagi Mila makan dan pakai dengan cukup, bimbingan agama pun cukup, apa lagi yang perlu saya minta untuk jadi menantu saya?” Tengku Khaldun meningkah. Tengku Darayani mencebik.
“Apasal bincang pasal perkahwinan Mila pulak?” Karmila bertanya seraya melabuhkan punggung dihadapan Khaizuran.
Tanpa dapat dikawal, Khaizuran menghamburkan tawanya. Karmila memandang pelik ke arah abangnya. Karmila tidak mempedulikan tawa Khaizuran itu. Tipah yang baru sahaja muncul dari dapur, segera menuju ke arah Karmila dan menghidangkan minuman serta makanan dihadapan Karmila. Khaizuran masih tidak berhenti ketawa.
“Yang kau ni dah, kenapa? Dah tak betul pakai sunglasses dalam rumah? Abang tak nampak pun matahari dalam rumah ni. Kalau kat luar rumah, adalah.” Khaizuran menyindir. Sekali lagi ketawa berdekah-dekah tanpa memikirkan perasaan Karmila.
Karmila memandang tajam ke arah abangnya tetapi dia tahu pasti Khaizuran tidak perasan akan tenungannya kerana dia berkaca mata hitam.
“Mila, buka sunglass tu.” Arah Tengku Khaldun. Karmila masih selamba menyuapkan bijirin Cornflakes ke dalam mulutnya.
“Mila, this is an order. Take off your sunglasses.” Arah Tengku Khaldun kali ini lebih keras.
Karmila melepaskan dengusan kuat dan menarik cermin mata hitamnya dengan kasar. Dicampak ke atas meja makan. Menguak rambut panjangnya ke belakang. Khaizuran menahan ketawanya.
“Dah macam beruang panda terlepas dari Zoo kat China tu, Abang tengok kau ni.” Dan untuk kesekian kalinya, Khaizuran menghamburkan lagi tawa. Menekan perut yang kesakitan akibat ketawa melebihi batas. Karmila merenung tajam ke arah Khaizuran.
“Suka hati, Mila lah. Yang Abang sibuk, kenapa? Abang jaga hal Abang. Mila jaga hal Mila. Abang tak pernah dengar ke perkataan, M.Y.O.B? Mind your own business.” Karmila berkata kasar. Khaizuran menghabiskan sisa tawanya dan langsung tidak ambil peduli akan kata-kata Karmila itu.
“Sudahlah tu, Mila...Ran. Depan rezeki ni. Tak baik bergaduh.” Lembut sahaja Tengku Darayani berkata. Karmila terus bangun. Sempat dicapai cermin mata hitamnya jenama Marc Jacobs itu.
“Mila, duduk dulu. Mama ada benda nak cakapkan ni.” Tengku Darayani berkata. Karmila kembali melabuhkan punggungnya. Tetapi mangkuk bijirin ditolak jauh darinya.
“Ada apa hal yang penting sangat ni, Ma?” Khaizuran bertanya setelah tawanya reda.
“Mama jemput Mak Cik Husna sekeluarga datang makan malam kat sini.” Ujar Tengku Darayani. Tengku Khaldun memandang isterinya itu dengan kerutan di dahi.
“Awak tak cakap pun dengan Abang?” Tengku Khaldun menyoal.
“Lupalah, Bang. Semalam memang saya nak cakap kat Abang. Tapi masa Abang balik dari jumpa client tu, saya dah tidur. Tu yang pagi ni, ingat nak sampaikan sekali. Depan anak-anak.” Tengku Darayani meningkah. Dilihatnya kepala Tengku Khaldun mengangguk.
“Idham pun adalah, Ma?” tanya Khaizuran, teruja.
Sudah lama tidak bersua muka dengan sahabatnya yang satu itu semenjak Idham sibuk dengan kerja. Tengku Darayani mengangguk dan tersenyum. Tidak sabar pula hendak bertemu dengan Idham. Karmila hanya memandang malas ke arah Tengku Darayani.
“Malaslah, Ma. Malam ni, Mila ada janji dengan kawan-kawan Mila.” Karmila berkata.
“Just cancel it.” Tengku Khaldun mengarah. Karmila mengalih pandang ke arah ayahnya.
“What?! Mila tak boleh batalkan. Dah lama Mila janji dengan kawan-kawan Mila.” Bantah Karmila. Dihentak meja makan dengan kuat. Terkejut Tengku Darayani dan Khaizuran. Tetapi Tengku Khaldun masih berwajah tenang.
“Kalau setakat Lela, Marisa dan Erni tu, selalu sangat Mila berjumpa dengan mereka. Just postponed it.” Sekali lagi arahan keluar dari mulut Tengku Khaldun.
“Mila bukan nak berjumpa dengan mereka malam ni. Mila nak berjumpa dengan kawan-kawan Mila satu kampus di Australia dulu.” Tukas Karmila. Tengku Khaldun membetulkan cermin mata yang melurut turun dari hidungnya.
“Just postponed it to another day.” Tengku Darayani pula menyampuk. Mulut Karmila terbuka. Matanya mengecil memandang kedua ibubapanya.
“Penting sangat ke untuk Mila jumpa dengan Mak Cik Husna tu? She’s just our maid. Tak penting pun bagi Mila.” Sarkastik sekali Karmila berkata.
Tengku Khaldun sudah berdiri. Tangannya sudah meninggi tetapi sempat dihalang oleh Tengku Darayani. Kecut juga Karmila melihat Papanya begitu. Belum pernah Tengku Khaldun memukul dia. Walaupun sekali.
“She’s not just our maid. She’s more than that. Dia lebih kepada sebahagian keluarga ni. Pastikan Mila berada di rumah malam ni.” Tegas arahan yang keluar dari mulut Tengku Khaldun sebelum dia beredar dari meja makan. Sudah tidak berselera meneruskan suapan.
Sememangnya dari dulu lagi Hajah Husna tidak dianggap sebagai orang gaji tetapi lebih kepada sebahagian dari keluarga mereka. Hajah Husna berkerja dengan keluarga Tengku Khaldun sebelum dia berkahwin lagi. Sehingga Tengku Khaldun berkahwin pun, Hajah Husna tetap bekerja dengannya. Tetapi Hajah Husna terpaksa berhenti kerja selepas suaminya kemalangan dan disahkan lumpuh separuh badan. Tengku Khaldun terpaksa melepaskan Hajah Husna. Sudah terbiasa dengan kehadiran Hajah Husna sehinggakan pembantu rumahnya yang baru pun akan dipanggil dengan panggilan Kak Hus. Tengku Darayani juga menganggap Hajah Husna seperti kakaknya sendiri. Hajah Husna sempat menjaga Khaizuran sehingga umurnya mencecah 17 tahun manakala Karmila hanya berumur 15 tahun ketika itu sebelum Hajah Husna berhenti. Tetapi sehingga kini, Hajah Husna tetap berhubung dengan keluarga Tengku Khaldun.
“Hiiii....tak penting pun untuk Mila jumpa dengan dia.” bentak Karmila. Dia mendengus kasar. Tengku Darayani dan Khaizuran menggeleng, serentak.
“Bukan ke dulu Mila berkawan baik dengan Izzah?” Khaizuran bertanya. Karmila mencebik.
“Itu dulu. Sebelum dia rampas Shahrul dari Mila.” Karmila meningkah. Khaizuran menggeleng.
“Itu kan cerita lama. Lagipun Shahrul sendiri cakap dengan Mila kan yang dia sayangkan Mila hanya sebagai kawan. Tak lebih dari tu. Apa lagi yang Mila nak berdendam dengan Izzah?” Khaizuran terus sahaja beredar dari meja makan.
Malas mahu bertekak lagi dengan Karmila. Entah apalah yang didendamkan sangat dengan Izzah. Tengku Darayani juga turut beredar dari situ. Karmila mengetap gigi.
“Sampai mati aku takkan maafkan kau, Izzah.” Karmila menggumam sendirian. Jemarinya digenggam erat.




“SHAH...kenapa you tak boleh cintakan I?” soal Karmila.
Shahrul berpaling memandang Karmila yang sedang melabuhkan punggung di bawah pokok. Karmila memandang wajah Shahrul dengan sugul. Shahrul melepaskan keluhan perlahan. Turut melabuhkan punggung di sebelah Karmila tetapi masih mengekalkan jarak badannya di antara mereka berdua. Tidak manis jika dipandang orang duduk berduaan di taman tersebut.
“I tak boleh cintakan you, Mila. Perasaan I hanya lah sebagai kawan je pada you. Tak lebih dari tu.” Shahrul melepaskan dengusan.
“Kenapa?! Kenapa you tak boleh cintakan I?” Karmila memaksa lagi. Shahrul menggeleng.
“I hanya anggap you kawan. Tak lebih dari tu. I cintakan Izzah. Pertama kali I pandang dia, I dah jatuh cinta. Perasaan I pada you tak sama dengan perasaan I pada Izzah.” Shahrul menerangkan perkara sebenar.
Mata Karmila membeliak. Giginya diketap. Masih Karmila ingat pertama kali dia memperkenalkan Izzah kepada Shahrul. Tidak pernah Karmila sangka bahawa Shahrul dan Izzah mempunyai perasaan yang sama.
“Tapi Izzah kata, dia tak sanggup nak lukakan hati you sebab dia kata you cintakan I. I katakan pada dia yang I anggap you sebagai kawan. Tak lebih dari tu. Tetapi cinta I hanya untuk dia sahaja. Maafkan I, Mila. I tak boleh cintakan you.” Shahrul melemparkan pandangan ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain galah panjang.Karmila tidak berkata apa-apa, sebaliknya mencapai tas tangan tanpa tali itu dan berjalan meninggalkan Shahrul. Tidak sempat untuk Shahrul menahan Karmila. Dia tidak mahu hubungannya dengan Karmila sebagai sahabat terputus di situ sahaja. Sudah lama mereka bersahabat sejak dari sekolah rendah lagi. Tetapi Karmila juga harus faham bahawa hati dan perasaan tidak boleh dipaksa. Sekali lagi Shahrul melepaskan keluhan.

BERSAMBUNG....

0 tukang komen paling setia: