BAB 3
BAS Plusliner yang dinaiki oleh Durrah tiba di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Durrah terjaga dari tidurnya setelah melalui 6 jam perjalanan. Menggalas tas tangan dan terus turun dari bas tersebut. Menuju ke arah konduktor bas yang sudah siap menunggu di tempat memunggah bagasi. Semasa hendak melangkah turun dari bas tersebut, sekali lagi Durrah terpijak kain baju kurungnya dan hampir-hampir jatuh tersembam di atas tanah tetapi tangan Durrah sempat disambar oleh seseorang. Sempat menggumam sendirian memarahi kain baju kurungnya itu dan melipat kain tersebut supaya senang untuk dia berjalan. Selepas dia dapat mengimbangkan diri, Durrah berpaling ke arah orang yang menolongnya itu. Ingin mengucapkan terima kasih. Durrah tersengih. Rupa-rupanya pemandu bas gantian yang dinaiki Durrah itu telah menolong dia.
“Terima kasih ya, Bang.” Ucap Durrah, ikhlas.
Pemandu bas itu tersenyum dan mengangguk perlahan. Tangan Durrah masih belum dilepaskan oleh pemandu bas tersebut. Durrah ingin menarik tangannya tapi pemandu bas itu masih belum melepaskan pegangan tangan Durrah. Gadis itu menjuih ke arah tangannya. Pemandu bas itu mengerutkan dahi. Tanda tidak faham. Sekali lagi Durrah menjuih. Mulut pemandu bas itu ternganga. Betul-betul tidak faham dengan apa yang cuba dikatakan oleh gadis dihadapannya itu.
“Tangan saya.” Ujar Durrah ringkas.
Barulah pemandu bas itu mengerti dan melepaskan tangan Durrah. Tersengih pada Durrah. Gadis itu senyum sekilas dan berjalan meninggalkan pemandu bas tersebut. Memunggah bagasinya dan menarik bagasi beroda itu.
Durrah menuju ke arah perhentian teksi. Sebentar tadi, baru sahaja seorang penumpang menaiki teksi terakhir. Terpaksa menunggu teksi seterusnya untuk datang. Durrah melabuhkan punggung di kerusi perhentian tersebut. Sambil menunggu, Durrah sempat membaca majalah yang dibelinya di Terminal Bas Shahab Perdana. Tetapi hanya sebentar sahaja apabila bacaannya diganggu. Durrah mengangkat muka dan memandang orang di sebelahnya itu. Durrah mengerutkan dahi.
“Baru datang dari kampung?” tanya lelaki itu. Rupanya pemandu bas gantian tadi. Kenapalah dia ikut sehingga ke sini? Durrah tersenyum sekilas.
“A’ah.” Jawab Durrah ringkas. Kembali tunduk menekur majalah di tangan.
“Saya, Hakim.” Ujar lelaki itu sambil menghulurkan tangannya. Gadis itu hanya tersenyum dan mengangguk.
“Durrah.” Gadis itu menjadi kurang selesa apabila berhadapan dengan lelaki tersebut. Teksi yang ditunggu sejak setengah jam tadi, tiba dihadapan Durrah. Terus sahaja Durrah bangun dan membuka pintu belakang teksi tersebut.
“Nak kemana, Cik?” tanya pemandu teksi itu. Durrah mengeluarkan sehelai kertas dari tas tangannya. Mengangkat muka memandang pemandu teksi yang sedang tersenyum.
“Saya…saya nak ke…Ukay Perdana, Hulu Kelang.” Durrah memberitahu. Pemandu teksi itu mengangguk perlahan.
“Berapa ya tambangnya?” soal Durrah. Dia perlu tahu kerana duit yang dibawa untuk dibuat tambang tidaklah sebanyak mana.
“Bayar ikut meter, Cik.” Jawab pemandu teksi itu.
Diunjuk ke arah meter yang terpasang dihadapannya. Durrah mengangguk perlahan. Pemandu teksi tersebut membuka but keretanya dan memunggah masuk bagasi Durrah. Terus sahaja Durrah melangkah masuk ke dalam perut kereta. Sebelum teksi itu bergerak meninggalkan perhentian bas tersebut, sempat Durrah berpaling untuk seketika ke arah Hakim yang masih duduk tercegat disitu. Memandang gerak-geri Durrah. Takut gadis itu dibuatnya. Tersenyum kecil pada Hakim. Laju teksi itu memecut meninggalkan Hentian Jalan Duta. Durrah melepaskan keluhan perlahan. Lega dapat melarikan diri daripada lelaki yang tidak dikenalinya itu.
“Orang tu kacau Cik ke?” tanya pemandu teksi tersebut. Durrah mengangkat muka memandang wajah tua itu yang sekali-sekala menjenguk dia dari cermin pandang belakang.
“Hah?” Durrah pula bertanya, bingung.
“Maksud Pak Cik, orang kat bus stop tadi tu. Dia kacau Cik ke?” sekali lagi pemandu teksi itu membetulkan ayatnya.
“Taklah. Dia cuma nak berkenalan dengan saya.” Ujar Durrah. Pak Cik itu menganggukkan kepalanya yang memakai kopiah putih.
“Si budak Hakim tu, memang macam tu. Pantang nampak perempuan yang baru datang dari kampung. Tambahan yang cantik dan sopan pulak tu. Semuanya dia nak berkenalan.” Sela Pak Cik itu. Durrah mengerutkan dahi. Seperti Pak Cik itu sudah lama mengenali pemandu bas gantian bernama Hakim sebentar tadi. Melihat kerutan di dahi Durrah, Pak Cik itu menyambung kata.
“Pak Cik dah lama kenal dia. Tu sebabnya Pak Cik tahu perangai dia yang satu tu.” Durrah menganggukkan kepala perlahan. Durrah hanya tersenyum.
“Boleh Pak Cik tahu apa tujuan Cik ke Kuala Lumpur? Kalau Cik tak keberatan untuk bercerita. Boleh juga menceriakan suasana sementara nak sampai ke destinasi Cik ni.” Pemandu teksi itu berseloroh. Durrah melepaskan keluhan perlahan. Melemparkan pandangan ke luar.
“Tak usahlah ber Cik dengan saya, Pak Cik. Panggil je saya Dura.” Ujar Durrah memulakan bicara. Pemandu teksi itu mengangguk perlahan.
“Saya ke sini untuk bekerja, Pak Cik. Saya nak berikan kesenangan pada keluarga saya. Dah banyak ibubapa saya berkorban untuk sekolahkan kami 7 beradik.” Durrah berkata. Tiba-tiba ingatannya melayang pada keluarga di kampung.
‘Ah, Durrah! Baru sahaja 8 jam kau meninggalkan mereka. Sudah terasa rindu?’ Hatinya berdetik. Sekali lagi dilepaskan keluhan. Sesekali pemandu teksi itu menjenguk melalui cermin pandang belakang. Entah apalah yang difikirkan oleh gadis itu.
“Untuk mencari ketenangan juga selepas putus tunang.” Durrah menyambung. Lelaki tua itu mengerutkan dahi.
“Kenapa putus tunang?” pemandu teksi itu bertanya. Sedaya-upaya Durrah cuba mengukirkan senyuman yang paling manis, tetapi dapat dirasakan senyuman itu sangat hambar.
“Perbuatan orang ketiga.” Sela Durrah ringkas.
Tidak mahu membuka aib adiknya sendiri. Untuk apa memalukan darah dagingnya sendiri. Pemandu teksi itu mengangguk perlahan. Tidak mahu bertanya lebih. Tetapi dia tahu, pasti ‘orang ketiga’ itu adalah orang yang begitu dekat sekali dengan Durrah. Jika tidak, wajah Durrah tidak akan berubah reaksinya semasa menyebut perkataan ‘orang ketiga’.
“Baguslah tu, Dura. Niat kita ke sini haruslah menjadi pembakar semangat untuk kita terus bekerja dengan lebih kuat.” Nasihat pemandu teksi itu.
Terangguk-angguk Durrah mendengarnya. Kemudian, mereka sama-sama diam membisu. Pandangan Kuala Lumpur petang itu agak sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu untuk pulang ke rumah masing-masing.
“Dah berapa lama Pak Cik bawa teksi ni?” tanya Durrah seketika kemudian. Pemandu teksi itu yang sedang leka melayani radio yang terpasang itu, menjenguk melalui cermin pandang belakang.
“Dah dekat 10 tahun. Lepas Pak Cik pencen dari askar.” Durrah mengangguk perlahan.
‘Begitu tabah pak cik tua itu memandu ke sana sini untuk mencari sesuap nasi buat keluarga tersayang. Apalah salahnya kau berkorban sedikit demi keluarga? Atau kau ke sini untuk melarikan diri dari kenyataan hidup, dari Nizam?’ hatinya bermain kata. Satu keluhan kuat dilepaskan. Matanya dilarikan ke pandangan yang terpampang di hadapan mata. Memandang semula ke dalam teksi itu. Tiba-tiba matanya tertancap pada satu gambar yang terletak elok di atas dashboard. Durrah mengerutkan dahi. Cuba melihat gambar tersebut dengan lebih jelas.
“Pak Cik, siapa tu?” unjuk Durrah ke arah gambar tersebut.
Pemandu teksi itu tersenyum hambar. Diambil gambar itu dan dihulurkan kepada Durrah. Gadis itu menyambutnya dan meneliti gambar tersebut. Seorang gadis lebih kurang sebaya Durrah sedang tersenyum di dalam pelukan seorang lelaki tua. Lelaki tua itu ialah pemandu teksi tersebut.
“Anak sulung Pak Cik, Hafizah. Mungkin lebih kurang baya Dura sekarang ni.” Ujar pemandu teksi itu. Durrah mengangkat wajah. Memandang wajah tua yang sedang dalam kesedihan itu.
“Anak Pak Cik ni pergi sambung belajar ke?” tanya Durrah.
Matanya masih tidak lepas dari memandang gambar itu. Rupa gadis tersebut sangat menawan. Memiliki kulit kuning langsat, mata bundar, bulu mata yang melentik tanpa perlu meletakkan maskara dan senyuman yang sangat manis. Sesiapa yang terpandangkan gadis itu, pasti terpikat.
“Tak. Dia dah kahwin. Lepas SPM.” Lemah sahaja nada pemandu teksi itu berkata. Durrah pasti. Tentu ada satu cerita yang tersirat di sebalik kata-katanya itu.
“Ohh...dia dah ada anak?” soal Durrah lagi. Pemandu teksi itu mengangguk perlahan. Tetapi wajahnya tidak seceria tadi.
“Boleh saya tahu kenapa Pak Cik macam tak gembira je bila bercakap tentang anak Pak Cik ni? Saya tak kisah kalau Pak Cik tak nak cerita.” Durrah menukas. Pemandu teksi itu tersenyum hambar.
“Anak Pak Cik kahwin dengan anak Tan Sri Halid. Pada mulanya Pak Cik tak benarkan dia berkahwin. Pak Cik nak dia sambung belajar tetapi dia yang beria-ia. Pak Cik dan Mak Cik tak boleh buat apa-apa. Dia juga pernah berjanji nak menjaga Pak Cik dan Mak Cik setelah berkahwin. Dia dah tak mahu tengok kami susah. Tapi sampai sekarang, bila kami pergi menjenguk Hafizah di rumah Tan Sri, dia buat kami ni macam tetamu biasa. Yalah, kami sedar siapa diri kami ni. Dah tua, miskin pula tu.” Panjang lebar pemandu teksi itu menceritakan perkara yang terjadi ke atas dirinya serta isteri. Durrah hanya menggelengkan kepala mendengarkan cerita lelaki tua itu.
“Mana pergi semua janji-janji yang dia katakan kepada kami dulu? Pak Cik tak minta untuk dia memberikan wang kepada kami. Apa yang Pak Cik dan Mak Cik buat selama ini pun dah cukup untuk kami anak beranak. Tak perlukan bantuan dia lagi dah. Tapi ingatlah kami sebagai orang tuanya yang menatang dia macam minyak yang penuh.” Durrah mengangguk tanda mengiakan kata-kata pemandu teksi itu. Menggeleng perlahan mendengarkan perangai Hafizah itu. Mintalah disimpangkan dari sifatnya sebegitu. Tidak mahu Durrah menderhaka terhadap kedua ibubapa dia.
“Sabarlah, Pak Cik.” Durrah mententeramkan hati tua yang sudah banyak kali terluka dengan perbuatan anak sulungnya itu.
“Maafkan Pak Cik, Dura. Terlebih beremosi.” Ujar pemandu teksi itu sambil mengelap airmata yang menuruni pipinya.
“Bukan niat Pak Cik untuk membuka pekung anak Pak Cik.” Sambung pemandu teksi itu lagi. Durrah mengangguk perlahan. Diserahkan gambar lapuk yang berada di dalam genggamannya kepada pemandu teksi itu semula.
“Ingatlah, Dura. Kalau Dura berniat baik terhadap ibubapa Dura, Insya-Allah apa sahaja yang Dura hajati pasti termakbul. Jangan sesekali menderhaka kepada mereka berdua. Kalau suami atau kekasih mahupun sahabat, kita boleh cari ganti. Tetapi ibubapa, hanya ada satu sahaja di atas muka bumi ini.” Pesanan dan nasihat lelaki tua itu, tidak akan dilupakan sampai bila-bila pun. Durrah tersenyum kecil.
Teksi yang dinaiki Durrah tiba dihadapan rumah banglo yang tersergam indah di Ukay Perdana itu. Durrah tergamam. Disinikah Mak Lang Piah bekerja? Perlahan-lahan langkah kaki Durrah melangkah keluar dari perut kereta. Pemandu teksi itu awal-awal sudah keluar dan memunggah bagasi pakaian Durrah yang berada di but kereta.
“Terima kasih, Pak Cik.” Ucap Durrah. Ditarik tas tangan yang tersangkut di bahu. Dibuka dan dikeluarkan not RM15 dari tas tangannya. Dihulurkan ke arah pemandu teksi itu.
“RM10 je sudahlah, Dura. Pak Cik bagi diskaun RM5.” Lelaki tua itu berseloroh. Durrah menjadi tidak senang hati.
“Mana boleh macam tu, Pak Cik. Ini kan rezeki Pak Cik.” Ujar Durrah. Pemandu teksi itu menggelengkan kepalanya.
“Tak apalah, Dura. Pak Cik dah anggap kamu macam anak Pak Cik sendiri. Cuma...” ayat pemandu teksi itu tergantung. Diseluk poket bajunya dan dikeluarkan sekeping kad.
“Kalau Dura perlukan apa-apa atau nak naik teksi ke bandar, jangan lupa telefon je Pak Cik. Nanti sampailah Pak Cik.” Lelaki tua itu menghulurkan kad itu kepada Durrah. Gadis tersebut menyambutnya dan mengangguk perlahan sambil tersenyum manis.
“Yalah, Pak Cik. Terima kasih, ya.” Ucap Durrah sekali lagi.
Pemandu teksi itu mengangguk dan masuk semula ke dalam perut kereta. Sebelum beredar dari situ, sempat dibunyikan hon. Durrah melambai ke arah teksi yang sudah bergerak meninggalkan kawasan perumahan banglo itu. Durrah berpaling semula menghadap pintu pagar yang lebih tinggi daripadanya. Jarinya perlahan menuju ke loceng yang ada di pintu pagar tersebut. Ditekan butang tersebut satu kali. Durrah menunggu. Tiba-tiba pintu pagar itu terbuka dengan sendirinya. Terkejut Durrah dibuatnya dan mengundurkan sedikit langkah ke belakang. Kelihatan Safiah keluar dari pintu utama dengan senyuman melebar.Terus sahaja memeluk Durrah. Sudah lama tidak berjumpa dengan anak saudaranya itu.
“Dura apa habaq?” tanya Safiah sambil mengusap belakang Durrah.
“Baik ja, Mak Lang.” Durrah berkata.
Safiah melonggarkan pelukan dan mengusap pipi Durrah pula. Rindunya menggunung pada Durrah. Memang sejak dari kecil, Durrah rapat dengan dia. Selalu sahaja Durrah berkunjung ke rumahnya jika hati dia sedang gundah gulana atau bergaduh dengan Salina. Kata Durrah, tidak mahu membuatkan kedua ibubapanya susah hati apabila melihat mereka bergaduh. Tetapi sejak lepas SPM, Safiah sudah ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Entah pada siapalah, Durrah mencurahkan isi hati. Baru sahaja tahun lepas, Safiah pulang ke kampung untuk melihat majlis pertunangan Durrah dan Nizam. Kini, Safiah dikhabarkan oleh adiknya, Zawiyah, bahawa Nizam telah pun dikahwinkan dengan Salina sebab mereka berdua ditangkap sedang berkhalwat oleh orang kampung. Safiah tidak tahu bagaimana Durrah berjaya menghadapi semuanya. Pada ketika itu, ingin sahaja Safiah pulang ke kampung tetapi majikannya ke luar negara atas urusan kerja manakala anak-anak majikannya terpaksa tinggal di Malaysia kerana anaknya yang sulung sedang menghadapi ujian akhir semester pertama. Risau pula jika meninggalkan mereka berdua di dalam rumah tanpa jagaan orang dewasa walaupun anak majikannya yang sulung itu sudah menjangkau usia 21 tahun.
“Mak Lang...” panggil Durrah. Mengembalikan Safiah ke alam nyata. Tersenyum sahaja melihat anak saudaranya itu.
“Meh lah masuk.” Jemput Safiah.
Durrah mengheret bagasi berodanya itu. Sebaik sahaja Durrah menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah tersebut, terpegun seketika Durrah melihat keindahan perabot-perabot dan cara susun atur dalam rumah itu. Mesti majikan Safiah ini seorang yang mempunyai citarasa yang tinggi.
“Duduklah dulu, Dura. Mak Lang pi buat ayaq(air) sat na.” Ujar Safiah dan terus berlalu ke dapur. Durrah melabuhkan punggungnya di atas sofa mewah yang berada di ruang tamu itu.
Tiba-tiba mata Durrah tertancap pada satu potret keluarga yang tergantung di ruang tamu. Kelihatan mereka semua tersenyum manis di dalam gambar itu. Seketika kemudian, Safiah muncul semula di ruang tamu dengan menatang satu dulang. Di atasnya ada segelas air jus oren dan sepiring kek moist coklat. Diletakkan di atas meja kopi. Durrah masih lagi leka memerhatikan potret yang tidak bergerak itu. Safiah tersenyum dan berdiri di sebelah Durrah.
“Tuan Faiz dan Puan Ita. Ini anak-anak dia, Wafa Laily dan Wafiy Uzair.” Jelas Safiah tanpa dipinta oleh Durrah. Terangguk-angguk gadis itu mendengarnya.
“Apa kerja Tuan Faiz dan Puan Ita?” soal Durrah. Jika hendak dikatakan mereka ini kerja biasa sahaja, tidak mungkinlah rumah sebesar ini. Dari cara pemakaian mereka pun, mereka ini bukanlah calang-calang orang.
“Dua-dua pensyarah. Tapi Tuan Faiz kat UM, Puan Ita kat UiTM.” Safiah berkata dan berjalan menuju ke sofa. Dilabuhkan punggungnya disitu.
“Ohh...professor lah ni?” Durrah menyoal lagi. Mengalih pandang ke arah Safiah yang sudah mencuit sedikit kek coklat itu dan disuapkan ke mulutnya.
“Iya. Professor Dr. Faiz dan Professor Dr. Hanita.” Panjang lebar Safiah menjelaskannya. Kadangkala sampai berbelit lidahnya hendak menerangkan kepada sesiapa sahaja yang ingin tahu pekerjaan majikan dia.
“Anak-anak dia masih belajar?” banyak betul soalan yang keluar dari mulut Durrah.
“Laily dah masuk universiti tapi baru semester pertama. Tua 2 tahun dari Dura. Tapi rasanya Dura tak ada masalah kot nak bergaul dengan dia. Peramah dan periang, budaknya.” Sela Safiah. Durrah mengangguk perlahan. Dicapai gelas yang ada di atas meja dan disuakan ke mulut. Dahaga yang ditahan dari tadi, sudah lega apabila air sejuk itu menuruni tekaknya.
“Uzai pulak nak SPM tahun ni. Lepak je kerja dia. Keluar dengan kawanlah, itulah...inilah. Mak Lang tak tahu bila masa dia belajar. Sampai naik berbuih mulut Puan Ita marah dia. Ini pun keluar jumpa kawan. Kalaulah Tuan Faiz tahu, membebel dia seminggu.” Safiah berkata-kata sambil menggelengkan kepala mengingatkan sikap Wafiy Uzair yang tidak pernah berubah itu. Durrah memandang ke sekeliling rumah. Sunyi sahaja rumah itu di waktu petang begini.
“Kosong je rumah ni, Mak Lang. Dia orang ke mana?” Durrah masih bertanya. Safiah menyandarkan dirinya ke sofa empuk itu.
“Tuan Faiz dan Puan Ita pergi jemput anak saudara mereka yang baru je balik dari London kat KLIA. Laily pun ikut sama. Malam nanti balik lah tu.” Ujar Safiah. Durrah mengangguk perlahan.
“Dura mesti penat kan? Jomlah. Mak Lang tunjuk bilik Dura.” Safiah menarik lengan Durrah dan gadis itu membuntuti wanita yang berumur separuh abad tersebut.
BERSAMBUNG....
Friday, November 27, 2009
SEINDAH AL-HAMRA BAB 3
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 11/27/2009 09:30:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 tukang komen paling setia:
best..msti hero die anak puan ita yg bru blik dr london..best2..nk lg..
mmg stp ari jumaat je ek ade n3??
anak saudara puan ita...hehe takot nnt silap info.....
yup....every friday only....hehe tgguuuuuuuuuu.............
aisha ...
kalau ranking profesor kan ... prof madya tu kira bawah tau ... yang paling atas profesor, profesor pun ada gred ... gred A, B atau C .. kira C tu yg paling bawah lah ... just sharing apa yg i tau ...
emmm bukan ke title proffesor tu lagi tinggi dari proffesor madya..
mgkn tersilap je kan kat atas tu...
tp paper pun cter ni best...
hey..
i love this story, best!! :D
keep it up..
& visit our blog..
http://pioneerwriters.blogspot.com
Post a Comment