BAB 23
JAM loceng Faizal berdering nyaring tepat jam 6 pagi. Dizyan mengeliat. Meregangkan sendi-sendi yang kendur akibat tidur di tempat yang kurang selesa. Dia menggosok mata yang kabur. Sempat lagi Dizyan duduk di atas sofa tersebut dan termenung. Faizal menekup mukanya dengan bantal. Belum pernah dia bangun seawal jam ini. Siapa pula yang pandai-pandai ubah waktu jam locengnya berdering? Dizyan mematikan jam loceng yang bunyinya semakin kuat. Dizyan melihat wajah Faizal yang berada di bawah bantal. Wajah lelaki itu sangat tenang di dalam tidurnya. Kalau dia terjaga, mulutnya itu yang membuatkan sesiapa sahaja akan berasa sakit hati. Leka Dizyan memerhatikan seraut wajah Faizal itu. Kadangkala dia tersenyum kecil.
“Handsome sangat ke aku ni sampai kau tengok tak berkelip?” tiba-tiba terdengar Faizal berkata sesuatu. Dizyan tersentak dari lamunan. Kegelisahan gadis itu dibuatnya.
“Hish...perasanlah. Keling botol lagi handsome dari awak tau.” Dizyan melipat gebar yang dijadikan selimutnya itu. Faizal tersenyum kecil tetapi matanya tidak dibuka luas. Dia hanya memandang Dizyan melalui mata yang dibuka kecil.
“Masalahnya, kau tak kahwin dengan keling botol. Kau kahwin dengan aku.” Faizal berkata lagi. Dizyan mencebik. Malas mahu melayan Faizal, dia terus mencapai tuala yang berada di dalam beg pakaiannya. Sejak semalam belum sempat untuk dia menyimpan pakaiannya di dalam almari.
Selesai membersihkan diri, Dizyan mengambil wuduk untuk bersolat Subuh. Usai bersolat, dia melipat sejadah dan telekung digantung di tempat penyidai baju. Memandang ke arah katil. Faizal masih lagi bergelumang di atas katil. Dizyan menggelengkan kepalanya perlahan. Dia mendekati Faizal dan teragak-agak dia menyentuh Faizal. Tetapi jika tidak digerakkan nanti, Faizal akan tertinggal Subuh. Gerakkan sahajalah. Kalau dia marah, pekakkan sahaja telinga.
“Awak...bangun awak. Subuh dah nak habis dah ni. Cepatlah bangun.” Dizyan berkata perlahan. Masih tiada respon daripada Faizal. Dizyan menelan air liur. Sekali lagi dia menyentuh bahu Faizal.
“Awak...bangunlah.” kali ini Dizyan menggoncangkan bahu Faizal lebih kuat. Faizal mengeliat dan menepis tangan Dizyan.
“Kacaulah. Kejap lagi aku bangun.” Faizal mengambil bantalnya dan menekup muka. Dizyan menggigit bibir. Kemudian, tersenyum sinis. Dia bangun dari katil dan menuju ke bilik air. Terkapai-kapai Faizal bangun kerana disangkanya dia sedang lemas apabila Dizyan mencurahkan segayung air ke muka Faizal. Dilap muka yang basah kuyup itu. Memandang Dizyan dengan tajam.
“Saya dah suruh bangun. Awak tak nak bangun. Inilah padahnya orang yang malas nak bangun solat Subuh.” Dizyan berkata sambil menggawangkan gayung air tersebut dihadapan wajah Faizal. Dia membawa semula gayung air itu ke dalam bilik air.
“Nanti kau. Tak apa...tak apa....Ini hari kau. Esok-esok hari aku.” Ujar Faizal perlahan. Dizyan yang melangkah keluar dari bilik air menuju ke pintu bilik, mengalih pandang ke arah Faizal.
“Jangan lupa solat pulak. Saya nak turun buat sarapan ni.” Ujar Dizyan. Terus memulas tombol pintu dan menutup semula pintu bilik tersebut setelah keluar dari bilik yang dahulunya milik Faizal itu. Faizal mendengus geram. Tiba-tiba terlintas satu idea di fikirannya. Dia tersenyum sinis. Kemudian, Faizal melompat turun dari katilnya dan mencapai tuala. Dia melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri sebelum bersolat.
KELIHATAN Sutinah sedang sibuk menyediakan sarapan pagi di dalam dapur. Dizyan yang baru sahaja turun dari tingkat atas terus mencapai teko serta sudu untuk membancuh kopi. Dipanaskan air yang berada di dalam teko pemanas. Dimasukkan 5 sudu besar gula dan 2 sudu besar serbuk kopi. Sutinah yang baru perasan akan kehadiran Dizyan itu tersenyum lebar melihat anak gadis yang dahulunya datang sebagai pembantu rumah. Kini, sekali lagi datang di rumah banglo itu tetapi sebagai menantu kepada majikannya.
“Nggak apa-apa, Yan. Bibik bisa ngurusin sendirian. Kamu pergi liat(lihat) aja samada Ijal itu udah siap atau belum.” Sutinah berkata. Serba-salah Dizyan dibuatnya.
“Tak apa, Bik. Biar saya bancuh air dulu.” Ujar Dizyan.
Sebaik sahaja suis teko pemanas sudah berdetik, Dizyan menuang air panas yang masih mendidih itu ke dalam teko. Berasap sahaja. Dikacau bancuhan kopi tersebut dan diletakkan cawan-cawan yang sedondon dengan teko tersebut ke atas dulang. Kemudian, diletakkan di atas meja makan. Setelah itu, Dizyan melangkah semula ke tingkat atas untuk melihat Faizal samada sudah siap atau masih berulit di atas katil. Dibuka pintu bilik itu perlahan. Terkejut besar Dizyan melihat bilik yang semak seperti tongkang pecah. Faizal yang baru sahaja keluar dari walk-in wardrobe nya, memandang Dizyan dengan senyuman yang sukar dimengerti. Tali leher yang masih belum diikat, tergantung dileher Faizal. Dia mendekati Dizyan dan hanya menunggu untuk gadis itu mengikat tali lehernya. Dizyan melepaskan keluhan perlahan. Tetapi diikatkan juga tali leher itu.
“Kemas bilik ni. Aku tak nak tengok semak macam ni. Selagi tak kemas, kau tak boleh turun.” Ugut Faizal semasa Dizyan sedang mengikat tali lehernya itu. Hati Dizyan mendongkol geram. Sengaja diketatkan ikatan tali leher tersebut sehingga menjerut tengkuk Faizal.
“Woi...kau nak cekik aku ke?” Faizal berkata keras. Dia melepaskan diri dari tangan Dizyan yang masih mencengkam tali lehernya itu.
“Baiklah, Encik Faizal.” Dizyan berkata mengejek. Faizal tersenyum sinis.
“Bagus! Malam nanti, kau jangan tidur awal. Aku ada benda nak bincangkan dengan kau.” Ujar Faizal lagi. Dizyan hanya mencebik. Malas melayan karenah Faizal yang tidak menentu itu.
Setelah Faizal keluar dari bilik tersebut, Dizyan melepaskan keluhan kuat. Semaknya! Dizyan mula kemas almari pakaian Faizal dan katil yang berselerak dengan bantal yang jatuh ke atas lantai itu. Kemudian, mengemas pula meja solek. Habis barang keperluan penjagaan asas muka Dizyan itu berselerak. Dia bergerak pula ke bilik air setelah dilihatnya kesemua barang sudah disusun atur dengan elok. Bathtub yang masih penuh dengan air, ditarik penyumbat lubang air itu supaya air dapat menuruni lubang tersebut dengan cepat. Syampu dan sabun mandi gel yang berterabur di atas lantai, diletakkan semula di atas rak khas yang memang ada di dalam bilik air tersebut. Berus gigi dan ubat gigi yang berselerak di atas sinki, diletakkan semula di tempatnya.
Faizal turun ke bawah untuk bersarapan bersama ibu dan bapanya. Ditarik kerusi dan duduk menghadap Datin Rubaiyah yang sudah lama berada di meja makan itu.
“Morning, Ma.” Ucap Faizal. Tersenyum pada ibunya.
“Morning, sayang.” Datin Rubaiyah menjawab. Diambil pinggan dan dicedukkan bihun goreng ke dalam pinggan. Air kopi yang masih berasap dituang di dalam cawan. Datin Rubaiyah ingin bertanya sesuatu. Dahinya dikerutkan.
“Isteri Zal mana?” tanya Datin Rubaiyah. Faizal mendongak memandang wajah Mamanya.
“Tu ada kat atas. Tidur lagi.” Bohong Faizal. Berkerut marah wajah Datin Rubaiyah. Faizal tersenyum dalam diam. Dia memang tahu Datin Rubaiyah memang pantang jika seorang isteri bangun lambat dari suaminya dan tidak menyediakan keperluan untuk sang suami sebelum si suami berangkat ke tempat kerja. Datin Rubaiyah mendengus marah.
“Hish...apa nak jadi dengan perempuan zaman sekarang ni? Pemalas.” Ujar Datin Rubaiyah sebelum meneruskan suapan.
“Papa mana, Ma?” Faizal bertanya apabila tidak kelihatan bayangan Datuk Farid sejak dari tadi.
“Papa outstation. Ada urgent meeting kat Singapore. Lepas Subuh tadi, Pak Leman dah datang ambil Papa.” Jelas Datin Rubaiyah. Faizal mengangguk perlahan.
Dizyan memandang sekeliling bilik. Berpuas hati dengan susun atur di dalam bilik itu, dia melangkah ke tangga untuk turun ke tingkat bawah. Datin Rubaiyah sedang enak bersarapan bersama anak lelakinya. Faizal memandang ke arah tangga apabila terperasan akan bayangan gadis itu yang baru melangkah turun dari tangga. Dia berdehem kecil. Dizyan mendekati meja makan tersebut.
“Assalamualaikum, Mama.” Ucap Dizyan pada Datin Rubaiyah. Wanita itu langsung tidak mengalih pandang ke arah menantunya. Salam Dizyan hanya dijawab di dalam hati. Tiada jawapan daripada Datin Rubaiyah, Dizyan terus sahaja ingin ke dapur. Tetapi kata-kata Datin Rubaiyah membuatkan langkah kaki Dizyan terhenti.
“Selamat pagi, tuan puteri. Awal tuan puteri bangun.” Perli Datin Rubaiyah. Dizyan tersentak. Apa maksud Datin Rubaiyah itu?
“Dah pukul berapa ni baru nak bangun? Kamu ni isteri jenis apa ha. Bangun lambat dari suami. Sepatutnya kamu dah kena ada kat bawah, sediakan sarapan. Biarpun ada Bibik tapi tugas kamu sebagai isteri tetap kamu kena laksanakan.” Panjang lebar Datin Rubaiyah berceramah. Dizyan hanya menundukkan wajah.
“Entahlah, Ma. Macam mana Zal boleh dapat isteri pemalas macam ni.” Faizal turut menyokong kata-kata Mamanya itu. Dizyan menjeling tajam ke arah Faizal.
“Tapi Ma, Yan dah lama bangun. Yan....” belum sempat Dizyan menghabiskan ayatnya, sudah dipintas oleh Datin Rubaiyah yang memandangnya tajam.
“Pandai pulak kamu nak melawan cakap Mama, ya. Tanggungjawab isteri tu, haruslah kamu laksanakan dengan baik. Tak adalah nanti orang nak cakap buruk tentang menantu Datin Rubi dan Datuk Farid. Isteri kepada Fezrull Faizal. Kalau kamu tak fikir tentang diri kamu tu, fikirlah tentang kami. Kebaikan keluarga kami, jaga maruah suami dan jaga nama baik kami.” Dizyan terasa disindir dengan kata-kata Datin Rubaiyah itu. Sedangkan, baru hari pertama dia bergelar menantu di rumah itu. Dizyan sudah tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi.
“Zal pergi dulu, Ma.” Ujar Faizal. Diambil tangan Datin Rubaiyah dan tunduk menyalami Mamanya itu. Datin Rubaiyah mengusap perlahan kepala Faizal. Semasa Faizal melintasi Dizyan, sempat dia mengalih pandang ke arah gadis itu dan tersenyum sinis.
“Apa lagi yang tercegat kat situ tu? Pergilah hantar suami kamu sampai pintu pagar. Itupun nak kena cakap ke. Jangan lupa. Salam tangan Zal tu.” Datin Rubaiyah berkata geram. Dizyan mengangguk perlahan dan membuntuti Faizal sehingga ke keretanya. Faizal membunyikan alat penggera keretanya. Dimasukkan beg bimbit serta kot ke dalam kereta. Dizyan hanya berdiri tercegat tanpa berkata sepatah perkataan pun. Faizal memandang Dizyan sekilas dan bersedia untuk masuk ke perut kereta.
“Awak...” panggil Dizyan. Pergerakan Faizal terhenti. Dizyan menghulurkan tangan. Huluran tangan Dizyan disambut lambat-lambat. Terus sahaja Dizyan tunduk menyalami Faizal. Dengan pantas, Faizal menarik semula tangannya.
“Buat baik dengan Datin Rubi tu. Apa yang dia kata dengar je. Jangan melawan. Dia tak suka orang melawan cakap dia.” Pesan Faizal. Serba-salah pula Faizal apabila melihat wajah keruh isterinya itu. Dizyan mengangguk perlahan dan mengukirkan senyuman kecil. Enjin kereta Faizal menderu bunyi meninggalkan perkarangan rumah banglo itu. Dizyan melangkah semula masuk ke dalam rumah.
KEHADIRAN Faizal di pejabat pagi itu, mengejutkan para pekerjanya yang tahu dia masih bercuti untuk berbulan madu. Ian Khalif yang baru sahaja tiba di lobi, turut terkejut. Dia menepuk bahu Faizal yang baru sahaja hendak masuk ke dalam lif.
“Aku ingatkan kau masih honeymoon. Baru semalam selesai majlis kau. Hari ni dah kerja balik?” Ian Khalif berkata. Faizal hanya tersenyum. Malas mahu mengulas panjang kerana para pekerja yang sememangnya kaki penyibuk juga turut berada di dalam lif. Ian Khalif faham akan tindakan Faizal itu.
“Kau tak pergi location?” Faizal pula yang bertanya.
“Pergi. Tapi ni aku tertinggal barang. Tu yang kena balik office kejap ni.” Ujar Ian Khalif. Sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat 10, Ian Khalif melangkah keluar. Sempat menunjukkan isyarat bahawa dia akan menelefon kepada Faizal. Sahabatnya itu hanya mengangguk.
Faizal melintasi meja Hartanty. Gadis itu sedang sibuk berada di talian. Wajahnya juga mempamerkan reaksi terkejut melihat kehadiran Faizal. Ketuanya sempat tersenyum dan mengenyitkan mata ke arah Hartanty. Faizal memulas tombol pintu bilik dan masuk ke dalam bilik itu yang terasa nyaman dan damai itu. Berada di rumah dan sebilik dengan Dizyan membuatkan Faizal terasa sesak nafas. Terasa ingin tinggal sahaja di pejabat. Pintu bilik Faizal diketuk perlahan. Arahan masuk diberikan. Terjengul wajah Hartanty dengan membawa segelas Nescafe yang masih berasap. Hartanty meletakkan gelas tersebut ke atas meja.
“Maaf, bos. Saya tak tahu bos kerja hari ni. Jadi, saya tak buat air pun.” Ujar Hartanty takut-takut. Faizal ingin tergelak melihat reaksi Hartanty itu. Tetapi wajahnya tetap diseriuskan.
“Kenapa awak tak buat air saya? Kalau saya pecat awak, awak nak?” Faizal bertanya dengan wajah serius. Hartanty terus mendongakkan wajah dengan mata yang terbeliak.
“Pe...pe...pe...pec...pecat?” tergagap-gagap Hartanty bertanya. Kemudian, Faizal tertawa kecil. Makin lama, berdekah-dekah.
“Sudahlah, Tanty. Saya pun memang tak beritahu yang saya start dah kerja hari ni. Lagipun, malaslah duduk rumah lama-lama.” Faizal menukas. Ditarik laci yang disimpan komputer ribanya. Diambil dan dicucukkan adaptor ke komputer riba itu sebelum menekan suis on. Hartanty mengangguk perlahan. Dahinya dikerutkan. Setahu dia, Datuk Farid sudah memesan bahawa Faizal akan bercuti selama seminggu kerana berbulan madu. Alih-alih, Faizal muncul di tempat kerja.
“Ada apa-apa lagi ke?” tanya Faizal apabila dilihatnya Hartanty menggarukan kepala yang tidak gatal. Hartanty memandang Faizal dan dengan pantas menggeleng.
“So, hari ni saya ada apa-apa appointment?” Faizal sekali lagi bertanya.
“Disebabkan Datuk Farid beri arahan yang bos cuti seminggu, selama seminggu ni lah bos tak ada apa-apa appointment.” Ujar Hartanty.
“Okay. Cuba check schedule Aaron Aziz dan Elly Mazlein. Saya nak berjumpa dengan dia orang. Nak discuss pasal drama bersiri untuk Astro Prima tu.” Arahan pertama yang diberikan oleh Faizal setelah kembali bekerja. Hartanty mengangguk. Dia tidak membawa sekali organizer untuk catitan. Jadi, disimpan data-data itu ke dalam otaknya.
“Lagi, bos?”
“Bila Encik Aneeq free, suruh dia datang jumpa saya. Saya nak tanya dia pasal progress slot Cerekarama tu. Dengar kata, ada problem dengan pelakon.” Arahan kedua pula diberikan. Sekali lagi Hartanty terangguk-angguk seperti burung belatuk.
“Ada apa-apa lagi, bos?”
“Okay, that’s all for now. Cuma saya nak follow up cepat sikit daripada Encik Aneeq.” Faizal berkata lagi. Hartanty mengangguk dan beredar dari bilik Faizal setelah menerima arahan-arahan yang perlu dilaksanakannya secepat mungkin.
LEKA Faizal melakukan kerja-kerja yang terbengkalai sehingga tidak sedar waktu sudah tengah hari. Pintu bilik diketuk. Selepas arahan masuk diberikan, Hartanty terus meluru masuk ke dalam bilik pejabat Faizal itu.
“Yes, Tanty?” Faizal bertanya. Matanya masih tidak lepas dari memandang skrin komputer riba.
“Cik Zhety nak berjumpa dengan bos.” Ujar Hartanty teragak-agak. Terus Faizal mendongak. Terkejut dengan perkhabaran itu. Memandang wajah Hartanty.
“Dia dah ada kat luar. Marah-marah, kata Mas.” Ujar Hartanty lagi. Diberitahu kepada Faizal apa yang baru didengarinya daripada Mastura. Faizal mengeluh kecil. Sebelah tangan disilangkan ke dada, sebelah lagi melurut dagu.
“Suruh dia masuk.” Ucap Faizal perlahan. Hartanty mengangguk pantas. Segera dia keluar dari bilik Faizal itu dan menuju ke kaunter penyambut tetamu. Kelihatan Ku Zhety sedang duduk sambil menyilangkan lengannya. Kaki yang panjang dan putih melepak itu, disilangkan. Wajahnya mencuka masam. Hartanty dan Mastura sama-sama berpandangan. Mastura menjuihkan bibirnya ke arah Ku Zhety. Wajah Hartanty juga kelat. Dia mendekati Ku Zhety.
“Cik Zhety, bos sedang tunggu Cik Zhety.” Ujar Hartanty. Ku Zhety memandang tajam ke arah penolong peribadi kekasihnya itu. Dia mendengus kuat dan bangun dari kerusi yang diduduknya. Dicapai tas tangan Louis Vitton miliknya. Hartanty mencebik ke arah Mastura apabila melihat pakaian yang dikenakan oleh Ku Zhety itu. Skirt pendek paras lutut dan baju tanpa lengan serta kasut tinggi bertali.
Tanpa menunggu kebenaran daripada Hartanty lagi, Ku Zhety terus meluru masuk ke dalam bilik pejabat Faizal. Ketika itu, Faizal yang sedang leka melakukan kerjanya, tercampak pen yang sedang dipegang. Dia melepaskan keluhan kecil. Ku Zhety menutup pintu bilik itu sehingga berdentum bunyinya. Hartanty mengurut dada yang terasa sakit. Fateen mendekati meja Hartanty.
“Kenapa tu?” sibuk sahaja Fateen bertanya.
“Dia dah tahulah agaknya tu.” Ujar Hartanty ringkas. Fateen turut mengangguk. Kemudian berlalu semula ke mejanya untuk menyelesaikan kerja yang tertangguh.
BERSAMBUNG.... |
7 tukang komen paling setia:
hohoho..sean yan..
xpela..dugaan kecil sblm dpt kebahagiaan yg besar..huhu...
huhu..skong2..
lame2 ade la rse dlm hati tuh..
hhu..smbung2..
best2..
tp cian kat yan..
sambung lg yer..
kak ecah,panjang ag ke nk smpai ending???
xsbar dah nie nk tau ending...
x taw la nk kate pjg lg ke x....
sbb nie pown br otw siapkan bab br...
kak ecah...nk n3 br lg:))
nk tau aper yg jd ngn yan..huhu best r citer ni,lindu tau..
-alom-
Nak n3 baru~
Post a Comment