Friday, October 23, 2009
Free Personal signatures - cool!
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 10/23/2009 10:54:00 AM 0 tukang komen paling setia
Sunday, October 18, 2009
Dan Sebenarnya....42
BAB 42 3 BULAN KEMUDIAN.... RAMBUT yang dilepaskan tanpa diikat, beralun apabila ditiup angin. Angin yang berhembus itu tidak dapat membuatkan hati Dizyan tenang. Airmata yang turun berjuraian seakan-akan tidak mahu berhenti. Kenapalah nasib aku jadi begini? Hati Dizyan merintih. Selepas kejadian itu berlaku, airmata menjadi peneman setia tidurnya. Dizyan memeluk tubuh. Melontarkan padangan ke luar. Dingin malam menyejukkan badannya sehingga ke tulang hitam. Pintu bilik dikuak. Terjengul wajah Puan Hajjah Karissa. Wajah tua itu kerapkali kerisauan jika Dizyan tidak menjawab panggilannya. Berkali-kali pintu diketuk. Tetap tiada respon membuatkan Puan Hajjah Karissa terus meluru masuk ke dalam bilik anak perempuannya itu. Puan Hajjah Karissa melepaskan keluhan lega apabila terlihat susuk tubuh yang amat dikenalinya sedang berdiri di balkoni. Kelihatan badan Dizyan terhenjut-henjut menahan tangis dan diiringi esakan kecil. Puan Hajjah Karissa menggelengkan kepala perlahan. Sudah berbulan anaknya begitu. Hanya kadangkala bercakap dengan orang lain jika dirasakan perlu sahaja. Makan pun hanya sedikit yang dijamahnya. Dia risau. Risau melihat perubahan mendadak Dizyan. Pernah disuarakan perkara itu kepada Tuan Haji Azmin. Suaminya tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya Dizyan sahaja yang boleh menolong dirinya sendiri untuk keluar dari memori semalam. Memulakan langkah ke kehidupan yang baru. Asyifa, Izham dan Yasmin juga turut risau melihat perubahan adik mereka itu. Dahulu, Dizyan seorang yang sangat ceria. Tiada kesedihan dalam kamus hidupnya. Tiada duka. Perlahan langkah kaki Puan Hajjah Karissa menapak ke arah Dizyan yang membelakangkannya. Memeluk bahu anak yang dalam kesedihan itu. Tanpa berselindung lagi, Dizyan terus membenamkan wajahnya ke dada Puan Hajjah Karissa. Menangis teresak-esak dan sepuas hatinya. Buat seketika, Puan Hajjah Karissa hanya membiarkan Dizyan meluahkan perasaan melalui airmata. Diusap perlahan rambut Dizyan. Airmata tuanya turut menuruni pipi. Tidak sanggup melihat anak perempuan tunggalnya begini. Badan Puan Hajjah Karissa bergerak-gerak apabila Dizyan teresak. Dizyan mengangkat kepala memandang wajah wanita elegan itu. Pipinya basah kuyup. Jemari Puan Hajjah Karissa mengelap pipi Dizyan. Tidak sanggup melihat setitis lagi airmata yang keluar. “Kenapa, Umi? Kenapa?! Kenapa begini hidup Yan, Umi? Kenapa Yan tak boleh hidup bahagia macam orang lain?!” rintih Dizyan. Teresak dalam pelukan Uminya. “Sabar, sayang. Yan jangan macam ni. Kalau Yan macam ni, seperti Yan tak redha dengan apa yang telah terjadi. Ini semua ketentuan Allah. Yan jangan salahkan takdir.” Puan Hajjah Karissa mengoncangkan sedikit bahu Dizyan. Tidak mahu Dizyan berterusan menyalahkan takdir di atas apa yang telah terjadi dalam hidupnya. “Kenapa Zal buat macam ni?” sekali lagi Dizyan merintih. Puan Hajjah Karissa sudah tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi. Hanya pelukan sahaja yang dapat diberikan. “Yan berehatlah, ya. Jangan fikir apa-apa lagi dah.” Ujar Puan Hajjah Karissa. Menarik Dizyan dan membawa gadis itu menuju ke arah katil. Langkah kaki Dizyan menjadi longlai. Dilabuhkan punggungnya ke atas katil. Membaringkan diri yang kepenatan setelah mengeluarkan airmata. Dizyan memejamkan matanya. Esakan makin perlahan. Tetapi airmata masih tidak berhenti menuruni pipi gebunya. Puan Hajjah Karissa bangun dari katil Dizyan dan menuju ke pintu kamar anaknya itu. Memulas tombol dan dikuak. Berpaling sekali lagi melihat susuk Dizyan yang sedang berbaring. Melepaskan keluhan dan melangkah keluar. Ditutup semula pintu kamar tersebut. Sebaik sahaja Puan Hajjah Karissa melangkah keluar dari bilik Dizyan, gadis itu duduk berteleku di atas katilnya. Tanpa dipinta, memori malam itu kembali menerjah kotak fikirannya. DERAPAN kaki Puan Hajjah Karissa menuruni anak tangga membuatkan mereka yang berada di ruang tamu mengalihkan pandangan ke arah tangga tersebut. Puan Hajjah Karissa menghadiahkan senyuman kepada suami, anak-anak serta menantunya yang berada di ruang tamu. Dilabuhkan punggung di atas sofa. “Yan masih sama?” tanya Tuan Haji Azmin. Hanya anggukan perlahan yang diterima dari isterinya itu. “Cis!” Izham berkata lantang. Ditepuk sofa dengan kuat. Menyentakkan semua yang ada disitu. Yasmin mengurut dada. Natalia yang sedang leka menonton televisyen, mengalih pandang ke arah Ayahnya. Pelik! Tidak pernah dilihat Izham meletuskan kemarahannya. “Faizal ni memang nak kena. Apa, dia ingat dia anak Datuk kaya tu, dia boleh buat sesuka hati. Budak ni memang nak kena ajar.” Izham berkata marah. Puan Hajjah Karissa mengeluh lemah. Tuan Haji Azmin menggelengkan kepalanya. “Iz, bawak bersabar. Kita tak tahu apa yang berlaku antara Yan dan Zal. Mungkin ada sesuatu yang berlaku menyebabkan Zal ambil tindakan macam tu.” Tuan Haji Azmin meningkah pula. Cuba menenangkan angin puting beliung yang meniup Izham. “Abah sampai hati cakap macam ni. Abah tahu tak, Faizal dah kecewakan hati Yan. Hari-hari Yan menangis. Iz dah tak tahan tengok Yan macam tu.” Mundar-mandir Izham berjalan dihadapan kedua ibubapanya. Yasmin menggeleng perlahan. Izham sangat sayangkan Dizyan. Langsung tidak sanggup melihat hati adiknya itu dilukai walaupun sebesar zarah. “Abah tahu semua tu. Tapi, kita tak tahu apa yang terjadi. Mungkin ada sebab Zal mengambil tindakan sebegitu. Kita patut dengar daripada sebelah pihak Faizal jugak.” Tuan Haji Azmin tidak mahu terus sahaja menyalahkan Faizal dengan melulu. “Tapi Faizal dah lafazkan apa yang tak sepatutnya.” Izham masih menegas. Tuan Haji Azmin menggeleng. Susah apabila anak juga mempunyai profesion yang sama. “Memang Faizal dah lafaz, tapi mereka takkan bercerai selagi laporan kesihatan Yan belum keluar. Kita tak tahu ada benih atau tak yang bercambah hasil perhubungan malam tu. Kalau Yan mengandung, mereka tak boleh bercerai sehingga anak tu lahir. Kalau tak ada benih yang bercambah, kena tunggu sampai Yan habis bersuci selama 3 kali. Mungkin dalam masa tu, Faizal ubah fikiran dan menerima Yan kembali.” Tuan Haji Azmin menerangkan. Puan Hajjah Karissa mengangguk. “Itu Iz tahu, Bah. Kenapa Abah masih nak sebelahkan dia tu? Abah patut fikirkan Yan.” Suara Izham sudah sedikit meninggi. Puan Hajjah Karissa hanya menundukkan wajahnya. Sesekali dilap airmata yang berguguran. Yasmin turut berdiri dan menyabarkan suaminya. “Iz, ingat sikit dengan siapa Iz bercakap ni.” Tuan Haji Azmin berkata dalam nada yang serius. Izham melepaskan keluhan kuat. “Maafkan Iz, Abah. Iz tak sengaja.” Izham memohon maaf. Suaranya kembali dikendurkan. Tuan Haji Azmin berdiri dan menepuk perlahan bahu anaknya. “Sudahlah, Iz. Kita serahkan semuanya pada takdir.” Hanya itu sahaja yang termampu Tuan Haji Azmin berkata. Dia melangkah meninggalkan ruang tamu. Puan Hajjah Karissa membuntuti suaminya. Izham kembali melabuhkan punggung di atas sofa yang didudukinya. DIZYAN terjaga semula pada jam 6 pagi. Meraba katil yang terasa kosong. Terpisat-pisat Dizyan menggosok mata yang masih ada sisa kantuk. Matanya mengecil. Mencari Faizal dalam kesamaran cahaya dari lampu jalan. Terlihat ke arah balkoni. Pintu balkoni terbuka luas. Langsir berkibar ganas apabila ditiup angin. Kelihatan sesusuk badan berdiri menghadap pemandangan luar. Tersenyum. Dizyan meraup wajahnya. Faizal mengalih pandang ke arah Dizyan yang sedang duduk itu sebaik sahaja menyedari Dizyan sudah terjaga dari tidurnya. Sambil memeluk tubuh, mencari kekuatan untuk menyampaikan apa yang terbuku dihati. Menarik nafas dan melepaskannya perlahan. “Dizyan Farhana Azmin, aku ceraikan kau....dengan talak satu.” Hanya dengan sekali nafas, Faizal melafazkannya. Terpempan Dizyan mendengar kata-kata yang baru sahaja terlafaz dari mulut lelaki itu. Dia segera berdiri. Memandang Faizal dengan perasaan tidak percaya. Airmata tiba-tiba sahaja turun. Entah kenapa dia rasa sedih sangat sedangkan sebelum ini, Dizyan sudah agak bahawa perkahwinan mereka pasti tidak akan bertahan lama. “Ke...ke...kenapa? Apa....apa salah sa...saya...sampai a...awak kata...begitu?” tergagap suara Dizyan bertanya. Faizal masih tidak memberikan apa-apa reaksi. Dia berjalan melangkah masuk ke dalam bilik. Mencapai sesuatu dari atas meja tulisnya. Dicampak ke atas katil. Dizyan menjenguk ke arah gambar-gambar tersebut. Semakin lama matanya membulat. Terketar-ketar tangan Dizyan mencapai satu persatu gambar itu. Memandang Faizal dan gambar-gambar tersebut silih berganti. “Biar saya jelaskan apa yang berlaku sebenarnya.” Dizyan sudah berdiri. Mendekati Faizal. Lelaki itu hanya berdiri tercegat. “Ini bukan seperti yang awak sangkakan.” Dizyan berkata. Airmatanya turun semakin lebat. Cuba memegang tangan Faizal tetapi ditepis kasar. “Kau...jangan sentuh aku!” Faizal melemparkan pandangan tajam. “Awak dengar dulu.” Bersungguh-sungguh Dizyan cuba untuk menerangkan perkara sebenar. Faizal menolak badan Dizyan sehingga gadis itu jatuh terduduk ke atas lantai yang beralaskan permaidani. Dizyan menangis teresak-esak. Faizal duduk mencangkung, menghadap wajah Dizyan. “Aku tak perlukan apa-apa penjelasan dari kau. Kau sama je macam perempuan lain. Perempuan murahan. Menjual harga diri kepada sesiapa saja.” Faizal meluahkan kata-kata yang begitu menusuk hati Dizyan. Dia memandang ke arah Faizal dengan airmata yang masih menghiasi tubir matanya. Ingin sekali dia memeluk Faizal dan menyatakan ini hanyalah sebuah gambar yang bertujuan mengaburi mata lelaki itu. Tetapi Dizyan tahu. Tidak mungkin untuk dia berbuat demikian. Tidak mungkin Faizal membenarkan Dizyan menyentuhnya. “Ini bukan seperti yang awak sangkakan.” Suara Dizyan semakin perlahan. Esak tangisnya masih kedengaran kuat. “Sudah!!! Aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan kau. Dan mulai hari ini, aku dah tak nak ada apa-apa dengan kau. Aku balik dari kerja je, aku dah tak nak tengok muka kau dalam rumah ni lagi. Faham?!” Faizal bersuara kuat. Dizyan merasakan hatinya hancur luluh ketika itu. Terasa seperti semangatnya hilang entah kemana. Faizal melangkah laju ke arah pintu kamar. Memulas tombol dan keluar dari kamar tersebut. Berdentum pintunya apabila Faizal menghempas kuat. Dizyan menyembamkan mukanya ke atas permaidani. Meraung dan menangis sepuas hatinya. MAK Nani berlari-lari anak menuju ke tingkat atas apabila terdengar jeritan Dizyan. Yasmin turut berlari ke bilik sebelah. Terdengar jeritan Dizyan semasa hendak menidurkan Natalia. Tergesa mereka berdua membuka pintu yang tidak berkunci itu. Berlari masuk dan tercari-cari susuk tubuh Dizyan. Tidak kelihatan. Yasmin terkaku dihadapan bilik air. Mak Nani memandang pelik ke arah Yasmin. Terjenguk ke arah bilik air. Kelihatan sekujur tubuh yang terbaring di dalam bilik air tersebut. Bertambah terkejut lagi Mak Nani apabila terlihat darah yang mengalir keluar dari celah kelangkang Dizyan. Yasmin segera memangku kepala Dizyan. “Mak Nani telefon ambulans.” Arah Yasmin. Mak Nani mengangguk pantas dan segera berlari keluar dari bilik Dizyan. Turun ke tingkat bawah dan mula mendail. Yasmin yang berada di bilik sambil mengusap kepala Dizyan yang berpeluh itu. Kedengaran nafas Dizyan yang menderu lemah. 20 minit kemudian, ambulans yang ditunggu pun tiba. Seorang lelaki yang merupakan pemandu ambulans dan seorang jururawat tersebut berkejaran naik ke tingkat atas menuju ke bilik Dizyan. Pemandu ambulans itu mendukung Dizyan dan membawanya turun ke tingkat bawah dan diletakkan Dizyan di atas katil pengusung. “Mak Nani tunggu di rumah, ya. Yas ikut dia orang. Nanti maklumkan pada Umi dan Abah.” Ujar Yasmin sebelum dia berlalu menaiki ambulans tersebut. Mak Nani hanya mengangguk mendengarkan kata-kata Yasmin itu. Ambulans tersebut menderu pergi meninggalkan kawasan perumahan itu. Mereka tiba di perkarangan hospital. Dengan kecekapan pemandu ambulans itu yang dapat ‘cilok’ di tengah bandaraya yang sibuk, hanya memakan masa 10 minit daripada rumah keluarga Dizyan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Takut pula Yasmin melihat cara pemandu ambulans itu memandu. Pintu ambulans dibuka dan Dizyan diturunkan perlahan-lahan menggunakan katil pengusung. Jururawat itu menolak katil pengusung tersebut masuk ke dalam lobi hospital. Kemudian, datang lagi seorang jururawat dan seorang atendan, menolong jururawat yang memakai tag nama Mila menolak katil pengusung itu sehingga ke wad kecemasan. Yasmin turut sama berlari-lari anak menolak katil pengusung tersebut. Sambil berkali-kali memanggil nama Dizyan. Dilihatnya Dizyan meronta lemah. “Yan, sabar ya.” Yasmin memegang jemari Dizyan. Gadis itu tidak memberikan apa-apa respon. Dia hanya mampu terbaring lemah. Darah yang keluar dari celah kelangkangnya semakin banyak. Seorang doktor berjubah putih menuju ke arah katil pengusung itu. “Kenapa ni?” tanya doktor itu. “Dia mengalami pendarahan yang banyak setelah terjatuh dari bilik air.” Ujar jururawat bernama Mila itu. Dia memberitahu apa yang dia dapat tahu daripada Yasmin kepada doktor tersebut. “Baiklah, tolak katil ni masuk ke bilik rawatan.” Doktor tersebut memberikan arahan. Mereka yang lain hanya mengangguk. Katil itu ditolak masuk ke dalam bilik rawatan yang dinyatakannya. Yasmin ingin turut mengikut masuk ke dalam bilik rawatan tersebut. Tetapi segera dihalang oleh doktor itu. “Maafkan saya, Cik. Cik tak boleh masuk ke dalam bilik rawatan.” Ujar doktor itu. Yasmin kegelisahan. Memandang wajah doktor tersebut tanpa berkelip. “Tapi itu adik saya.” Yasmin berkata lagi. “Maafkan saya, Cik. Cik memang tak boleh masuk ke dalam tu.” Doktor itu berkata lagi sambil mengunjukkan jarinya ke arah bilik rawatan tersebut. “Tapi....” ayat Yasmin tergantung. Wajahnya yang kegelisahan itu segera ditenangkan oleh doktor tersebut. “Sabar, Cik. Saya Dr. Dahlia. Saya akan cuba melakukan yang termampu.” Doktor itu berkata dalam senyuman. Yasmin mengangguk perlahan. Dr. Dahlia terus melangkah masuk ke dalam bilik rawatan itu. Yasmin melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang disediakan di luar bilik rawatan. Tuan Haji Azmin, Puan Hajjah Karissa dan Asyifa menuju ke arah Yasmin. Terus sahaja Yasmin meluru ke dalam dakapan Puan Hajjah Karissa. Ibu mertuanya itu memeluk sekuat hati. Hati tuanya berasa tidak tenang sejak dari pagi tadi. Tidak sampai hati hendak meninggalkan Dizyan keseorangan di rumah walaupun Yasmin dan Mak Nani turut berada di rumah. “Macam mana boleh jadi macam ni, Yas?” tanya Tuan Haji Azmin. Airmata Yasmin sudah turun bercucuran. Tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita. Asyifa juga turut menangis. Airmata turun tidak mahu berhenti. Puan Hajjah Karissa mengelap airmatanya. “Umi, Abang Iz mana?” tanya Yasmin apabila tidak kelihatan Izham di mana-mana. “Dia ada kes kat mahkamah.” Ujar Asyifa ringkas. Yasmin mengangguk lemah. Dr. Dahlia melangkah keluar dari bilik rawatan itu. Baju jubah berwarna hijau yang disarungkan ke badannya itu berlumuran darah. Kesemua mereka berdiri dan menuju ke arah doktor tinggi lampai itu. Puan Hajjah Karissa bertambah-tambah rasa tidak senang hati. “Macam mana dengan anak saya, Dr.?” Tanya Tuan Haji Azmin. Mereka yang lain menantikan butir bicara Dr. Dahlia. Doktor itu menundukkan wajahnya. Dilepaskan keluhan perlahan. Kemudian, digeleng pula kepalanya. Mengangkat muka memandang keluarga pesakit yang sedang menanti kata-katanya. “Maafkan saya, Encik. Anak dalam kandungan Puan Dizyan....” Dr. Dahlia mengantungkan ayatnya. Mata mereka yang ada disitu sudah terbeliak. “....tak dapat diselamatkan.” Dr. Dahlia menyambung kata. Yasmin sudah menekup mulut. Menangis teresak-esak di bahu Asyifa. Tuan Haji Azmin menumbuk dinding. Puan Hajjah Karissa tidak dapat menahan airmata yang turun semakin lebat. “Boleh saya tengok anak saya?” Puan Hajjah Karissa bertanya pada Dr. Dahlia. “Sekarang saya rasa lebih elok jika kita biarkan Puan Dizyan berehat dahulu. Dia dah banyak kehilangan darah. Selepas dia ditukarkan ke wad, bolehlah Puan sekeluarga melawatnya.” Dr. Dahlia berkata lagi. Puan Hajjah Karissa mengangguk perlahan. DIZYAN membuka matanya. Kemudian, dikecilkan semula apabila terasa seperti lampu menyuluh mata. Bau ubat-ubatan menyucuk hidung. Ingin menggerakkan badan yang masih lemah. Bilik itu terasa asing bagi dirinya. Mengalihkan kepala ke sisi. Kelihatan Puan Hajjah Karissa yang setia menanti disisinya. Tersenyum lemah pada Uminya. Dizyan menolak badannya sedikit. Tetapi segala sendi masih terasa lemah. “Yan, berehatlah ya.” Ujar Puan Hajjah Karissa. Diberikan senyuman manis. “Yan kat mana ni, Umi?” Dizyan bertanya apabila dirasakan dia bukan berada di biliknya sendiri. “Yan ada kat hospital.” Dizyan mengerutkan dahi. Hospital? Kenapa dia berada disini? Bukankah tadi dia berada di dalam bilik airnya? Semua soalan itu hanya berlegar di fikirannya. Kembali memejamkan mata. Dia perlu berehat. Badan yang lemah menghalang Dizyan dari terus bertanya. Pintu bilik wad yang ddiami Dizyan terkuak. Izham dan Yasmin melangkah masuk ke dalam. Sambil mendukung Natalia. Anak kecil itu diserahkan kepada Nendanya. Puan Hajjah Karissa bangun dari tempat yang didudukinya dan membawa Natalia keluar dari bilik wad tersebut. Yasmin melabuhkan punggung di kerusi Puan Hajjah Karissa sebentar tadi. Manakala Izham melabuhkan punggungnya di atas katil. Mengambil dan menggenggam jari jemari adiknya. Dicium dan diletakkan semula. Yasmin hanya melihat perbuatan suaminya itu. “Yas takkan berdiam diri, Bang.” Ujar Yasmin. Matanya dialihkan pula pada Dizyan yang sudah terlena. Izham memandang wajah isterinya itu. “Apa yang Yas nak buat?” “Yas nak tuntut bela untuk Yan.” Yasmin berkata tegas. “Yas kan dengar apa yang Abah kata semalam. Kita jangan ambil tindakan yang melulu. Biarlah Yan selesaikan masalahnya dengan Faizal.” Izham meningkah. Tidak mahu Yasmin bertindak yang bukan-bukan. Yasmin melepaskan keluhan kuat. “Yas nak bersemuka dengan Zal.” Yasmin menukas. Izham mendengus. Kemudian, digelengkan kepala. Isterinya itu kalau sudah berdendam, usahlah berkata apa-apa lagi. BERSAMBUNG..... |
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 10/18/2009 01:10:00 AM 22 tukang komen paling setia
Friday, October 16, 2009
Dan Sebenarnya....41
BAB 41 ANEEQ memandang Dizyan, tidak sampai hati. Tetapi harus juga dijelaskan apa yang berlaku pada malam kejadian itu. Tidak mahu Dizyan terus menyalahkannya dan mengelakkan diri dari dia. Aneeq sudah tidak sanggup melihat kebencian di dalam mata Dizyan untuk dirinya. Cukuplah selama 5 tahun, Dizyan memendamkan kebencian yang ada untuk Aneeq di hatinya. Dizyan mengelap airmata yang seakan-akan tidak mahu berhenti dengan belakang telapak tangannya. Aneeq melepaskan keluhan perlahan. Dia duduk mencangkung dihadapan Dizyan. Gadis itu masih tidak mahu memandang wajahnya. Biarlah! Selepas ini, mungkin perasaan benci yang selama ini ada di dalam hati Dizyan itu, akan terlerai dengan sendirinya, detik hati Aneeq. Cuba menyabarkan hati yang sedikit panas. “Actually that night....we were set up.” Dizyan memanggung kepala memandang Aneeq yang mencangkung dihadapannya. Dahinya berkerut. Tidak faham dengan kata-kata Aneeq itu. “Set up?” tanya Dizyan. Aneeq mengangguk. Dia berdiri dan mengeluh perlahan. Tidak lepas dari memandang wajah Dizyan. “Ini semua kerja Rohan.” Ujar Aneeq lagi. Dahi Dizyan sekali lagi berkerut. “Rohan?” “Dia sebenarnya nak balas dendam terhadap saya.” Aneeq menyambung kata. Dizyan pantas mengelap wajah yang basah kuyup itu. Terus berdiri dan menepuk bajunya yang berhabuk akibat duduk di atas lantai di tangga pintu kecemasan yang kotor itu. Menghadap Aneeq. Lelaki itu memasukkan tangan sebelah kanan ke dalam poket seluar dan sebelah lagi dibiarkan sahaja di luar. Dizyan memandang Aneeq tanpa apa-apa perasaan. Dahulu, mungkin dia akan mengatakan bahawa lelaki itu bisa menggetarkan jiwa wanitanya. Tetapi kini, entah kenapa perasaan itu seperti tiada. Dan....tiada lagi perasaan benci yang beraja di hatinya. Pelik, tetapi itulah yang dirasakan Dizyan. “Balas dendam? What do you mean by revenge?” Dizyan masih lagi tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Aneeq. Lelaki itu melabuhkan punggungnya di atas tangga. “Sebab...” Aneeq melurut dagunya. Dizyan jadi tidak sabar dengan reaksi Aneeq itu. Dia turut melabuhkan punggungnya di sebelah Aneeq. Tetapi masih mengekalkan jarak di antara mereka. Aneeq memandang gadis di sebelahnya itu. “Awak ingat dengan Amalina?” Aneeq bertanya. Memori Dizyan memutar kembali kepada kejadian yang berlaku 6 tahun lalu. Siapa tidak kenal dengan Amalina? Gadis idaman setiap jejaka di University of Adelaide. Dengan rambut ikal mayang, beralun jika dia menggerakkan kepalanya. Alis mata yang melentik, dan bermata hazel cair. Tetapi ulat buku. Jarang bergaul dengan mana-mana lelaki. Hanya Rohan sahaja kekasih di hati. Niat di hati tidak mahu menduakan Rohan. Apakan daya, saat Aneeq datang menghulurkan salam persahabatan, hati Amalina terpaut. Tidak mampu menolak godaan yang mendatang. Walaupun niat Aneeq hanya untuk bersahabat dengan gadis itu. Tidak punya perasaan pada Amalina. Gadis tersebut salah sangka dan menyebabkan dia memutuskan hubungannya dengan Rohan. Sejak dari itu, Rohan menyimpan dendam terhadap Aneeq. Sudah berkali-kali dijelaskan Aneeq bahawa dia tidak punya perasaan terhadap Amalina. Dia hanya menyintai Dizyan seorang sahaja. Akhirnya, Rohan menerima penjelasan Aneeq itu. Tetapi, Rohan masih menyimpan dendam. Dia berjanji akan membalas dendam. Tanpa Aneeq sedar, Rohan telah merancang untuk mengenakan Aneeq. Dan, peluang itu muncul semasa Dizyan menghadiri parti untuk meraikan semester akhir Aneeq dan Rohan di salah sebuah rumah sewa rakan mereka. “Maksud awak...hanya kerana Amalina, Rohan balas dendam?” giliran Dizyan pula bertanya. Aneeq mengangguk perlahan. “Jadi, malam tu....” Dizyan tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila dilihat kepala Aneeq menggeleng pantas. “Rohan put drugs in our drinks. Dan, perangkap kita. Dia dan Alicia ambil gambar kita berdua dan sengaja menyebarkan kepada rakan-rakan lain. Awak masih lagi gadis suci.” Aneeq mula menjelaskan satu persatu. Dizyan meraup wajahnya. Sia-sia sahaja selama ini dia menyimpan perasaan benci terhadap lelaki itu. Aneeq mengalihkan badannya menghadap Dizyan. “Saya cuba jelaskan segala-galanya kepada awak. Tapi awak tak nak dengar. Saya rasa sakit sangat hati ni, bila tengok awak menangis malam tu.” Berkali-kali Aneeq menepuk dadanya. Dizyan menundukkan wajah. Tidak sanggup melihat wajah Aneeq lagi. Aneeq meraih jari jemari Dizyan. Digenggam erat. Dizyan tidak lagi meronta. Hanya dibiarkannya sahaja. “Saya nak kembali pada awak. Saya sayangkan awak. Saya tak sanggup kehilangan awak.” Ujar Aneeq. Semakin erat genggaman itu. Dizyan mengeluh perlahan. Ditarik jemarinya dengan lembut. Digelengkan kepala. Rambutnya turut beralun. “Saya dah punya suami. Saya tak mungkin kembali pada awak.” Dizyan berkata lembut. Aneeq cuba meraih jemari Dizyan sekali lagi. Pantas tangan itu ditepis. “Tapi awak berkahwin dengan Faizal bukan atas kehendak awak, Yan.” Aneeq masih cuba memujuk hati Dizyan. Gadis itu tersenyum. “Memang bukan atas kehendak saya. Tapi ini semua jodoh. Ketentuan dari Allah. Tak mungkin untuk saya tolak. Berkahwin dengan Faizal bukanlah pilihan saya. Tetapi saya terima dengan redha.” Dizyan menukas. Satu keluhan keluar dari bibir Aneeq. “Kembalilah pada saya jika satu hari nanti Faizal melepaskan awak dari sisinya.” Dizyan tidak memberikan apa-apa respon terhadap kata-kata Aneeq. “Andai takdir mengatakan bahawa jodoh saya dan Faizal tak berpanjangan, dengan tegas saya mengatakan bahawa saya tak mungkin kembali pada awak, Aneeq. Seluruh hati dan jiwa saya dah pun saya serahkan pada Faizal. Bukan hanya kerana dia suami saya, tetapi saya mula menyintai dia. Mula menyayangi dia sebagai seorang lelaki, kekasih.” Panjang lebar Dizyan menyatakan hal yang sebenar. Memang benar! Jika Faizal melepaskan dia dari sisinya, tidak mungkin untuk Dizyan kembali kepada Aneeq. Lelaki dihadapannya itu adalah kisah silam. Dan, Faizal adalah sejarah baru. Ingin disimpan kenangan sejarah baru dalam lipatan hidupnya. Baru kini Aneeq faham. Semakin dia cuba mendapatkan kembali sekeping hati milik gadis bernama Dizyan Farhana, semakin jauh gadis itu pergi meninggalkannya. Akhirnya, Aneeq tersenyum dan mengangguk perlahan. Sudah tidak mahu memaksa Dizyan menerimanya kembali. Dia tahu hati seseorang itu tidak boleh dipaksa. “Baiklah. Kalau itu yang awak katakan.” Aneeq berkata. Dizyan turut tersenyum. Dia berdiri dan menolak perlahan pintu kecemasan tersebut. Dizyan berpaling semula ke arah Aneeq. “Tapi tak salahkan kalau kita hanya bersahabat.” Ujar Dizyan dengan senyuman. Mata Aneeq bercahaya. Dengan perlahan, dia mengangguk. Dizyan melangkah keluar meninggalkan Aneeq keseorangan disitu. ‘Ya! Tak salah jika kita bersahabat. Dizyan Farhana Azmin, aku lepaskan kau dari hatiku ini. Semoga kau bahagia di samping Faizal’. Ucap Aneeq dalam hati. Maaf ku telah menyakitimu Ku telah kecewakanmu Bahkan ku sia-siakan hidupku Dan kubawa kau seperti diriku Walau hati ini terus menangis Menahan kesakitan ini Tapi ku lakukan semua demi cinta Akhirnya juga harus ku relakan Kehilangan cinta sejatiku Segalanya tlah ku berikan Juga semua kekuranganku Jika memang ini yang terbaik Untuk diriku dan dirinya Kan ku terima semua demi cinta Aneeq turut melangkah keluar dari pintu kecemasan tersebut. Hatinya kembali lega setelah Dizyan mendengar penjelasan yang cuba dijelaskan bertahun-tahun. Tidak akan dilupakan hari ini selama-lamanya. “MANA pulak si Yan ni pergi?” Faizal bertanya sendirian. Tercari-cari wajah isterinya itu. Memandang ke sekeliling. Manalah tahu, Dizyan ‘merayap’ ke meja Fateen. Tetapi Fateen juga tiada di mejanya. Faizal mendengus kasar. Berpusing-pusing badan Faizal cuba mencari Dizyan. “Shake, kau ada nampak tak mana Yan pergi?” tanya Faizal pada Shake atau nama sebenarnya Ashiq. Shake menjungkitkan bahu. Manalah dia tahu sedangkan dia juga baru sahaja tiba di pejabat. Faizal bercekak pinggang. “Mana pulak dia ni pergi?” hati Faizal mendongkol geram. Mundar-mandir Faizal dihadapan meja Dizyan. Safira yang melintasi meja Dizyan, ditanya oleh Faizal. “Fira....” panggil Faizal. Safira mengalih pandang ke arah ketuanya itu. “Yes, boss?” Safira tersenyum memandang Faizal. “Ada nampak Yan tak?” Faizal bertanya pula pada gadis tinggi lampai persis model itu. “Ada. Dia baru je keluar dengan Encik Aneeq.” Ujar Safira. Dahi Faizal berkerut. Aneeq? “Okay, thanks.” Ucap Faizal. Safira mengangguk dan berlalu dari situ. Laju sahaja langkah kaki Faizal menuju ke kaunter penyambut tetamu. Terlihat Mastura yang sedang menjawab panggilan telefon. Mungkin dari salah seorang pelanggan mereka. Sebaik sahaja Mastura meletakkan gagang telefon, Faizal menuju ke arah gadis itu. “Mas....” Mastura mengangkat muka melihat gerangan yang memanggil namanya. Tersenyum pada Faizal. Senyuman itu tidak dibalas. “Awak ada nampak Yan?” tanya Faizal. Mastura mengangguk perlahan. “Ada, bos. Dia baru je keluar dengan Encik Aneeq tadi.” Mastura juga berkata yang sama seperti Safira tadi. Bertambah kerutan di dahi Faizal. Hati Faizal dihambat pertanyaan. “Kemana?” Faizal bertanya lagi. “Saya nampak dia orang masuk ke arah pintu kecemasan tu.” Mastura mengunjukkan ibu jarinya ke arah pintu kecemasan tersebut. Faizal mengangguk dan mengangkat tangan kepada Mastura tanda terima kasih untuk maklumat itu. Laju langkah kaki Faizal menuju ke arah pintu kecemasan tersebut. Ingin menolak pintu itu tetapi perbuatannya terhenti apabila terdengar suara yang bersembang sesama sendiri. Faizal cuba mencuri dengar perbualan itu. “Tapi awak berkahwin dengan Faizal bukan atas kehendak awak, Yan.” Suara Aneeq terdengar bergema di sebalik pintu kecemasan itu. Faizal tersentak. “Memang bukan atas kehendak saya. Tapi ini semua jodoh. Ketentuan dari Allah. Tak mungkin untuk saya tolak. Berkahwin dengan Faizal bukanlah pilihan saya. Tetapi saya terima dengan redha.” Kedengaran suara Dizyan pula yang bergema. Terbeliak biji mata Faizal. Dia berkahwin dengan aku kerana terpaksa? Hati Faizal membengkak. “Kembalilah pada saya jika satu hari nanti Faizal melepaskan awak dari sisinya.” Suara Aneeq sekali lagi berkata-kata. Faizal mengetap gigi. Dia menggenggam penumbuk. Faizal menjenguk melalui tingkap kecil di pintu kecemasan tersebut. Kelihatan Aneeq menggenggam mesra jemari Dizyan. Faizal semakin geram. Semasa Faizal ingin berbuat begitu terhadap Dizyan, gadis itu menjauhi dirinya. Segera Faizal beredar dari situ apabila dilihatnya Dizyan ingin menolak pintu kecemasan tersebut. Dia bersembunyi di sebalik dinding. Melihat sahaja Dizyan dan Aneeq yang baru melangkah keluar dari sebalik pintu kecemasan itu. “Tak guna! Bini aku pun kau nak rampas.” Faizal menumbuk dinding. Tangan yang sakit sudah tidak terasa. Sakit lagi hatinya. Laju kaki Faizal melangkah masuk ke dalam pejabatnya semula. Pintu biliknya dihempas kuat. Shake yang sedang leka menulis sesuatu, tercampak pennya apabila pintu itu bunyinya berdentum. Pekerja yang lain hanya memerhatikan sesama sendiri. Ada yang mengangkat kening dan bertanya dalam bahasa isyarat. Ada yang menjungkitkan bahu. Mereka kembali menyambung kerja yang terbengkalai. Mundar-mandir kaki Faizal. Ke hulu dan ke hilir. Diambil kusyen yang ada di atas sofa dan dihempaskan ke lantai. Faizal menolak segala hiasan yang ada di atas meja tulisnya. Sehingga barangan tersebut jatuh berselerak di atas lantai. Faizal mengusutkan rambutnya. Melonggarkan tali leher yang terasa menjerut lehernya. Menyepak hiasan yang jatuh bertaburan sebentar tadi. Menendang meja. Dia benar-benar geram. Terasa ingin menumbuk wajah Aneeq. Kalau Aneeq ada dihadapan dia kini, pasti sudah ‘lunyai’ lelaki itu dikerjakannya. Tiba-tiba mata Faizal tertancap pada satu sampul surat berwarna coklat. Namanya tertera di atas sampul surat tersebut. Perlahan-lahan dia mencapai sampul surat itu. “Siapa pulak Nahor Leumas ni?” hati Faizal digaru pertanyaan. Setahu Faizal, dia tidak punya sahabat atau pelanggan yang mempunyai nama seperti itu. Dikoyak sampul surat tersebut dengan ganas. Terjatuh beberapa kepingan gambar ke atas lantai. Terbeliak mata Faizal melihat dua manusia yang ada di dalam gambar itu. Dengan tangan terketar-ketar, Faizal tunduk mencapai gambar-gambar tersebut. Dua insan yang amat dikenalinya. Tidur di atas katil yang sama dan berpelukan! Faizal meramas gambar tersebut sehingga kemek. Faizal berjalan ke arah jendela bilik yang menayangkan suasana pejabat. Kelihatan Dizyan sedang tekun melakukan kerjanya. “Kau memang nak kena dengan aku!” Faizal mengetap gigi. “THANKS, Teen sebab hantar Yan balik.” Ucap Dizyan pada Fateen. Setleah berhari-hari Fateen bercuti, kini dia kembali ke pejabat. Semasa hendak pulang sebentar tadi, Fateen terlihat Dizyan yang berdiri di perhentian bas seorang diri. Kasihan pula melihat sahabatnya yang seorang itu. Lalu dipelawa untuk balik bersama. “It’s okaylah, Yan. Aku pun memang lalu kawasan ni jugak.” Ujar Fateen. Dizyan tersenyum. “Okay. See you tomorrow.” Dizyan berkata. Fateen tersenyum dan mengangguk pantas. Dizyan keluar dari kereta Fateen dan masuk melalui pintu pagar kecil yang terletak di sebelah kanan. Kaki Dizyan melangkah perlahan menuju ke pintu utama. Tetapi hatinya digaru pertanyaan. Lampu rumah tidak menyala. Kemana semua orang? Kereta Faizal ada garaj. Sudah pulangkah dia? Dizyan menyeluk tas tangannya dan mencapai kunci yang terbenam jauh ke dalam. Kuncinya berlaga. Dibuka pintu utama. Dipasang suis ruang tamu. Terang-benderang rumah banglo itu. Baru Dizyan teringat. Kedua mertuanya ke rumah saudara mereka di Melaka. Ada kenduri sepupu Faizal yang perlu mereka hadiri. Dizyan dan Faizal tidak dapat menghadirinya kerana Faizal punya mesyuarat penting yang tidak dapat dielakkan. Bagi Dizyan pula...dimana suaminya berada, disitu dia juga akan ada. Tidak mungkin ke majlis tersebut seorang diri walaupun masih ada kedua mertuanya. Sutinah pula pulang ke Jakarta untuk beberapa minggu bersama suami dan anak-anak. Ingin pulang menjenguk kampung halaman yang sudah ditinggalkan hampir 10 tahun. Ingin membawa anak-anaknya mengenali asal-usul mereka. Juga ingin membawa suaminya berjumpa dengan keluarga Sutinah yang masih tinggal di sana. Kaki Dizyan melangkah laju menuju ke tingkat atas. Dibuka pintu kamar. Gelap! Kemana pula Faizal ini pergi? Bukankah keretanya ada di garaj? Dizyan membuka suis lampu. Berpaling dan hampir gugur jantungnya apabila terlihat Faizal yang berdiri tercegat di sebelah katil. Memandang ke arahnya tidak berkelip. Dizyan mengurut dada. “Terkejut saya. Kenapa awak duduk dalam gelap-gelap begini?” Dizyan berkata. Diletakkan tas tangannya ke atas sofa. Tidak perasan Faizal yang sudah berdiri di belakangnya. Semasa Dizyan berpaling, lengan Dizyan dicengkam kuat. Makin lama makin kuat cengkamannya. Dizyan mengaduh kesakitan. Meronta minta dilepaskan. “Lepaskan saya, Zal. Sakit lengan saya ni.” Dizyan mengadu. Faizal langsung tidak mempedulikan rayuan Dizyan itu. Apa yang terlintas di fikirannya itu ketika ini, dia harus memiliki gadis itu. Sudah tidak dipeduli airmata yang turun berjuraian di pipi Dizyan. Airmata yang menuruni pipi Dizyan terasa seperti tidak mahu berhenti. Semakin lebat membasahi pipi. Faizal meneliti wajah yang basah kuyup itu. Perlahan-lahan jari Faizal mengelap pipi wanita yang mula dicintainya itu. Wajah Faizal semakin mendekat dengan wajah Dizyan. Terdengar deru nafas Dizyan yang naik turun. Jemari Faizal perlahan membelai rambut Dizyan yang beralun itu. Jemarinya jatuh di pipi Dizyan. Dibelai pipi Dizyan pula. Faizal bertentang mata dengan Dizyan. Mata mereka bertaut. Tiada lagi airmata yang menghiasi tubir mata. Tiba-tiba sahaja perasaan bahagia datang menerjah di sanubari Dizyan. Terdengar deruan nafas Faizal di tepi telinganya. Dizyan memejamkan mata. Sudah lama dia menginginkan belaian seperti itu daripada seorang lelaki bernama suami. Faizal mendekatkan wajahnya ke pipi Dizyan. Kemudian, wajahnya jatuh di pangkal leher gadis itu. Mencium lembut. Faizal mengangkat semula wajah. Dizyan membuka mata. Mata yang redup memandang seraut wajah tenang dihadapannya. Faizal tersenyum. Entah kenapa buat pertama kali pada malam itu, Dizyan lihat Faizal sangat kacak. Walaupun suaminya hanya memakai baju T dan berseluar trek. Faizal menarik lembut tangan Dizyan dan menuju ke katil. Perlahan Dizyan melabuhkan punggungnya ke atas katil. Matanya menyoroti wajah Faizal yang masih berdiri itu. Faizal juga turut melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan Dizyan. Faizal menolak perlahan badan Dizyan sehingga berbaring. Faizal meraup wajahnya. Masih tidak berbaring. Dia mendongak ke atas dan memejamkan matanya. Dizyan terfikir apakah yang sedang bermain di fikiran Faizal ketika itu. Dizyan duduk. Mengusap perlahan belakang Faizal. Lelaki itu memandang Dizyan. Wajahnya muram. “Kenapa?” tanya Dizyan. Keningnya dijungkitkan. Faizal menggeleng perlahan. Diusap rambut Dizyan. Kembali tersenyum pada gadis tersebut. Kemudian, mereka sama-sama berbaring. Malam itu, Dizyan berasa bahagia sekali. Buat pertama kali dalam hidupnya, Dizyan dan Faizal melalui malam pertama perkahwinan mereka. Dan pada malam itu juga, bayangan yang pernah menghantui hidup Dizyan juga seakan-akan lenyap. Pergi dibawa angin bayu. Dizyan terjaga jam 3 pagi. Mengangkat kepala yang berbaring di atas dada bidang Faizal. Dizyan menongkat dagunya di atas dada Faizal. Mengusap perlahan wajah lelaki yang semakin hari semakin dicintainya itu. Dizyan melingkarkan lengannya ke pinggang Faizal. Membaringkan semula kepalanya di atas dada Faizal. Mata kembali terpejam. BERSAMBUNG..... |
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 10/16/2009 09:24:00 PM 18 tukang komen paling setia
Sunday, October 11, 2009
Dan Sebenarnya....40
BAB 40 “AWAK...awak. Bangunlah.” Dizyan mengejutkan Faizal yang sedang nyenyak tidur. Dikuak rambut yang jatuh ke depan. Mengejutkan Faizal sekali lagi. Masih tiada reaksi dari lelaki itu. Dia mengetap bibir. Tanpa Dizyan sedar, Faizal mengukirkan senyuman. Sengaja ingin mengenakan Dizyan kerana semalam pertanyaannya tidak dijawab atau menerima respon daripada gadis itu. Dizyan menggaru kepala. Tidak tahu hendak buat apa lagi. Kemudian, timbul satu idea untuk membuatkan Faizal bangun dari tidurnya. “Saya ubah kereta awak, ya.” Dizyan berkata. Dizyan sudah menuju ke pintu bilik dan ingin memulas tombol pintu. Faizal hanya membuka matanya kecil sahaja. “Jangan nak mengada-ngada ubah kereta aku. Aku tak suka orang lain sentuh kereta aku.” Tingkah Faizal. Dizyan beralih dan memandang Faizal yang masih tidak berganjak dari tempat tidurnya. “Saya nak pergi kerja dah ni. Kalau awak tak ubah sekarang, nanti saya lambat.” Dizyan berkata lagi. Faizal tersenyum sinis. Terfikir cara untuk mengenakan Dizyan. “Malaslah. Aku nak tidur lagi.” Faizal menyembamkan mukanya ke bantal. Dizyan menghentak kaki. Sebal melihat sikap kebudak-budakan Faizal. Lelaki itu mengangkat semula wajahnya dan memandang ke arah Dizyan di muka pintu. “Jangan nak memandai ubah kereta aku.” Faizal memberikan amaran. Dizyan melepaskan keluhan, kasar. “Habis, saya nak pergi kerja naik apa?” “Naiklah bas. Kan berlambak kat luar tu. Teksi ke.” Faizal berkata. Geramnya hati Dizyan tidak terkata. Serasa mahu dicekik-cekik sahaja Faizal ketika itu. “Argh!” jerit Dizyan. Terus Dizyan melangkah keluar. Faizal tersenyum dan tertawa kecil dan menyembamkan kembali wajahnya ke bantal. KAKI Dizyan melangkah longlai keluar daripada pintu pagar rumah banglo itu dan menuju ke perhentian bas. Hajat di hati ingin menumpang Datuk Farid, terbantut apabila ayah mertuanya itu keluar negara beberapa hari. Datin Rubaiyah pula tidak tahu memandu. Wajah Dizyan memuncung sambil berjalan ke arah perhentian bas dihadapan rumah. Membetulkan tali tas tangan yang sudah melurut. Geramnya hati melihat perbuatan suaminya itu. Faizal yang menjenguk dari balkoni, ketawa mengekeh. Berjalan masuk semula ke dalam bilik dan menutup pintu balkoni. “Siapa suruh kau bercakap dengan Ezra? Padan muka!” ngomel Faizal seorang diri. Mencapai tuala miliknya dan memegang tuala Dizyan sambil tersenyum. Kemudian, melangkah masuk ke dalam bilik air. Setengah jam kemudian, Faizal keluar dari bilik mandi dan siap berpakaian untuk pejabat. Faizal turun ke tingkat bawah untuk bersarapan. Datin Rubaiyah yang baru sahaja muncul dari dapur, melabuhkan punggung menghadap Faizal yang tengah berselera menjamu makanan yang ada dihadapannya. Mencapai cawan Nescafe yang sudah siap disediakan. Mungkin Dizyan yang membancuhnya sebelum keluar tadi. Fikir Faizal sendirian. Datin Rubaiyah menghirup kopi yang masih berasap itu. Terjenguk-jenguk ke arah garaj rumah. “Yan tak bangun lagi ke?” tanya Datin Rubaiyah apabila dilihatnya MyVi milik Dizyan masih tersadai di luar rumah. Faizal mengerutkan dahi memandang ke arah Mamanya. “Taklah. Dia dah lama pergi kerja.” Ujar Faizal. Meneruskan kembali suapannya. “Tapi kenapa kereta dia masih ada?” sekali lagi Datin Rubaiyah bertanya. Faizal berwajah selamba. Malas mahu menjawab soalan Datin Rubaiyah. Dicapai tisu yang ada atas meja dan segera mengelap mulutnya. “Okaylah, Ma. Zal pergi dulu.” Faizal tunduk menyalami Datin Rubaiyah. Wanita elegan itu mengangguk perlahan. Faizal menuju ke arah almari kasut dan menyarungkan kasutnya. Keluar dari rumah dan menuju ke arah kereta yang tersadai di belakang kereta Dizyan. Memandang ke arah MyVi Tangerine Orange itu. Tersenyum sinis. “Nasib kaulah kena naik bas hari ni.” Faizal berkata sendirian dan terus masuk ke dalam perut kereta. Menghidupkan enjin dan tidak lupa membaca doa naik kenderaan. Selepas itu, dia menekan satu punat untuk membuka bumbung keretanya. Membuka dashboard dan mengeluarkan kacamata hitam. Menyarungkan spec Aviator miliknya. Mengundurkan keretanya perlahan-lahan. Menderum meninggalkan kawasan rumah banglo itu. Melalui perhentian bas yang berdekatan dengan rumahnya. Tiada! Tentu Dizyan sudah naik bas yang baru sahaja melalui kawasan itu. Radio yang pada mulanya dipasang perlahan, dikuatkan sedikit volume. Lagu I’m Yours berkumandang. Semakin kuat volume radionya dikuatkan. Well you done done me and you bet I felt it I tried to get you but you’re so hot that I melted I fell right through the cracks And I’m trying to get back..... Faizal bernyanyi-nyanyi kecil sambil mengetuk stereng keretanya. DIZYAN menahan bas yang melalui kawasan itu. Melambai-lambai ke arah bas tersebut. Pemandu bas itu memberhentikan basnya. Dizyan melangkah naik ke atas bas tersebut dan memasukkan duit tambang ke dalam tempat khas yang disediakan di sebelah pemandu bas tersebut. Dizyan berjalan terhuyung-hayang menuju ke kerusi yang ada di belakang apabila bas itu berjalan. Melabuhkan punggung di satu kerusi kosong. Tepi tingkap. Dizyan menebarkan pandangannya ke luar. Menongkat dagu di tingkap. 2 orang perempuan yang ada di kerusi hadapan sibuk bercakap sesama sendiri. Manakala 2 orang perempuan di belakangnya juga sibuk bercakap sambil ketawa sehingga membingitkan telinga Dizyan. Lelaki India yang duduk setentang dengan kerusi yang diduduki Dizyan, juga sibuk bercakap dengan pemanggil yang menelefonnya. Bas tersebut berhenti semasa lampu isyarat bertukar merah. “Eh, kau tengok tu, Hani. Bukan ke tu...tu...Alahh....siapa nama lelaki tu?” tanya salah seorang gadis yang duduk dihadapan kerusi Dizyan. Gadis itu mengunjuk ke arah kereta yang berada bersebelahan dengan bas yang dinaiki mereka itu. “Yang mana?” tanya gadis yang dikenali sebagai Hani itu. “Itulah.” Sahabatnya sekali lagi berkata sambil mengetuk cermin tingkap bas tersebut. Hani menjenguk ke arah kereta yang dimaksudkan sahabatnya itu. “Ohh...Fezrull Faizal la. Anak pemilik RUFA Tower tu. Hish! Handsome betullah dia tu.” Hani berkata sambil matanya tidak lepas dari memandang seraut wajah Faizal. Jari jemarinya mengetuk stereng. Melihat cermin pandang belakang berkali-kali sambil membetulkan rambut yang sedikit kusut. Dizyan mencuri dengar perbualan dua sahabat itu. Ingin tahu apa yang disembangkan mereka berdua. “Tapi kan Kina, aku dengar dia kahwin dengan orang gaji dia sendiri.” Ujar Hani dengan bersungguh-sungguh. Gadis yang dikenali sebagai Kina itu mengangguk pantas. “Ish! Mesti si Indon tu tak ada kerja lain. Dahlah datang negara orang secara haram, ada hati nak kahwin pulak dengan orang yang ternama dan terkenal macam Fezrull Faizal tu.” Terjuih mulut Kina berkata. Hani mengerutkan dahi. Semakin dekat telinga Dizyan melekap ke kerusi yang diduduki dua wanita dihadapannya. “Siapa pula Indon yang kau maksudkan ni?” Hani bertanya. “Indon yang kahwin dengan Faizal tu lah.” Kina berkata pula. Terbeliak mata Dizyan. Ada ke dia kata aku ni Indon? Geram hati Dizyan mendengar kata-kata Kina itu. “Suka hati je kau ni, Kina. Dia kahwin dengan orang Malaysia jugak. Tapi orang tu kerja sebagai orang gaji kat rumah dia.” Hani membetulkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kina. Dizyan terasa mahu menampar mulut mulus Kina itu. “Oh, ye ke? Aku tersilap.” Kina mengakui kesalahannya. Faizal mengalih pandang ke arah bas yang berhenti di sebelah keretanya. Dizyan memandang ke arah Faizal. Hani dan Kina melambai pada Faizal. Dan, lambaian tersebut dibalas. Kemudian, mata Faizal tertala ke arah Dizyan yang berada di kerusi belakang kedua wanita tersebut. Menghadiahkan sebuah senyuman sinis dan terus memecut keretanya sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau. Tanpa Dizyan sedar, dia menepuk kerusi hadapannya dengan kuat. Melatah Kina dibuatnya. “Hish, siapa yang tepuk kerusi aku ni?” Kina terasa geram. Dia dan Hani mengalih pandang ke belakang. Terlihat Dizyan tersengih. “Sorry, tak sengaja.” Dizyan menyusun sepuluh jarinya. Hani dan Kina pandang semula ke hadapan. Mendengus dan kembali bersembang sesama sendiri. Dizyan menggigit bibir. Melihatkan pandangan Faizal itu sebentar tadi, Dizyan tahu pasti Faizal berniat untuk mengenakannya. Dia mendengus perlahan. SEBAIK sahaja Dizyan menjejakkan kakinya ke dalam lobi, Mastura terus menyerbu ke arah Dizyan. Terkejut gadis itu dibuatnya. Terkebil-kebil mata Dizyan memandang Mastura. Turun naik dada Mastura menahan semput. “Kenapa ni, Mas?” tanya Dizyan apabila Mastura masih tidak berkata apa-apa. Termengah dia sebentar. Mastura melepaskan satu keluhan. “Bos panggil Yan. Dia kata kat Mas tadi, “once Yan came in, tell her to see me”.” Ajuk Mastura dengan gaya Faizal. Tergelak kecil Dizyan dibuatnya. Dizyan mengangguk dan menuju ke arah mejanya. Diletakkan tas tangan dalam laci meja. Dan segera menuju ke bilik Faizal. Diketuk perlahan pintu bilik tersebut. Setelah arahan masuk diberikan, Dizyan memulas tombol pintu dan melangkah masuk. Faizal menekurkan pandangannya ke arah skrin laptop yang terpasang. Leka menggerakkan tetikusnya. Sesekali kedengaran bunyi ‘klik’ daripada tetikus tersebut. Dizyan berdiri tercegat dihadapan Faizal. “Encik Faizal panggil saya?” Dizyan bertanya setelah didapatinya Faizal langsung tidak berkata apa-apa sejak dia masuk ke dalam bilik itu sebentar tadi. Faizal mengangkat muka, memandang tajam ke arah Dizyan. Serius sahaja wajahnya. “Kenapa lambat?” tanya Faizal dengan nada suara yang serius. “Jalan jam.” Jawab Dizyan ringkas. Kembali membalas renungan Faizal itu. Lelaki itu mengangguk sambil tersenyum kecil. “Seronok naik bas?” dengan nada yang memerli, Faizal bertanya lagi. Dizyan melepaskan keluhan perlahan. Sakit hatinya apabila Faizal bertanya begitu. “Seronok. Experience. Bagus jugak sebab selama ni saya tak pernah naik bas. Exercise.” Dizyan jawab secara menyindir. Faizal tersenyum sinis dan mengangguk. “Baguslah. Esok boleh pergi naik bas lagi kan.” Tukas Faizal. Dizyan membalas senyuman sinis itu. Hatinya mendongkol geram. “InsyaAllah. Saya tak ada masalah.” Dizyan menjawab. Faizal menjungkitkan keningnya. “Selalu, selalulah kau bercakap dengan Ezra dan hari-hari kau boleh pergi balik naik bas.” Berkias Faizal berkata. Dizyan mengerutkan dahi. Cemburukah Faizal? Hati Dizyan tertanya. Kemudian, dia punya idea untuk mengenakan Faizal. “Jealous ke?” pertanyaan Dizyan itu menyentakkan hati Faizal. Habis! Dia sudah terlepas kata. Menunjukkan perasaan sebenarnya kepada Dizyan. Gadis itu mendekati meja Faizal. “Kalau cemburu, katakan cemburu. Kalau sayang, katakan sayang.” Senyuman sinis semakin melebar di bibir Dizyan. Ingin mencari reaksi Faizal. Terkebil-kebil mata Faizal memandang Dizyan. Kemudian, dialihkan pandangannya ke tempat lain. “Dahlah. Kau boleh keluar sekarang. Pergi buat kerja kau.” Akhirnya, Faizal mengalah dengan perasaan sendiri. Memang aku cemburu, memang aku sudah mula jatuh sayang. Hati Faizal mendesis. Dijatuhkan semula pandangannya menghadap skrin laptop. “Baiklah, Encik Faizal. Saya minta diri dulu.” Dengan selamba, Dizyan melangkah keluar dari bilik pejabat suaminya. Faizal mengangkat semula wajahnya memandang pintu yang sudah tertutup rapat itu. Dilepaskan satu keluhan besar. Dipegang dada yang tiba-tiba sahaja terasa seperti hendak meletup. KADANGKALA Dizyan tersenyum dan kadangkala tertawa kecil seorang diri apabila teringatkan reaksi yang ditunjukkan oleh Faizal itu. Dizyan melepaskan keluhan lega. Dia juga lega apabila mendapat tahu perasaan sebenar Faizal terhadap dirinya. Tetapi, Dizyan masih belum bersedia unruk meluahkan perasaan sebenarnya terhadap Faizal. Apakah dia punya perasaan yang sama? Hati Dizyan disentap dengan satu persoalan yang tidak mungkin dapat Dizyan jawab. Hatinya mengaku bahawa dia mula menyayangi Faizal sebagai seorang lelaki dan sebagai suami dia. Tetapi kenapa perasaan bersalah tetap juga muncul dalam hatinya? Perlukah Dizyan berterus terang tentang apa yang berlaku di antara dia dan Aneeq? Tentang apakah sejarah hitam yang menyelubungi hidupnya suatu ketika dahulu? Dizyan keliru. Benar-benar keliru. Hatinya dirundung perasaan bersalah. Kerja yang ingin dilakukannya terpaksa ditinggalkan dahulu. Dizyan tidak fokus terhadap kerja dihadapannya itu. Sesekali meraup anak rambut yang jatuh berjuraian di dahi. “Saya perlu bercakap dengan awak.” Ujar satu suara. Dizyan cukup mengenali suara garau yang bisa menggetarkan jiwanya suatu ketika dahulu. Diangkat wajahnya memandang lelaki dihadapan dia itu. Berkerut dahi Dizyan. Gadis itu berdiri dan memandang wajah Aneeq yang serius. “Maafkan saya, Encik Aneeq. Banyak lagi kerja yang perlu saya selesaikan.” Jawab Dizyan dengan tegas. Sudah malas mahu berhadapan dengan lelaki yang banyak melukakan hatinya itu. Aneeq merenung lama wajah Dizyan sehingga membuatkan gadis itu berasa kurang selesa. “Ikut saya.” Aneeq berkata, keras. Dizyan membalas kembali renungan Aneeq. “Saya tak mahu.” Dizyan menjawab lagi. Aneeq terdiam. Apa yang harus dilakukan supaya Dizyan bersendirian dengannya dan Aneeq dapat untuk menerangkan perkara yang masih belum selesai ini. Terus sahaja dia menarik tangan Dizyan untuk membuntutinya. Meronta-ronta gadis itu pinta dilepaskan. Aneeq tidak mempedulikan mata-mata yang memandang perbuatan mereka berdua. Dizyan dan Aneeq melintasi meja Mastura di kaunter penyambut tetamu. Dizyan tidak meronta sebaliknya hanya mengikut sahaja gerak langkah kaki Aneeq. Mastura memerhatikan gelagat dua manusia itu. Mengerutkan dahi. Terlihat pegangan tangan Aneeq terhadap Dizyan. Bertambah-tambah kerutan di dahi Mastura. Aneeq bercinta dengan Dizyan? Hati Mastura terdetik. Sebelum ini, Aneeq paling tidak suka jika digosipkan dia mempunyai skandal atau hubungan dengan mana-mana perempuan di pejabat mereka itu. Tetapi kini....Aneeq memegang tangan Dizyan? Pelik! Dijungkitkan sedikit bahunya. Malas mahu mengambil tahu. Mastura bukanlah seorang kaki sibuk seperti Annie atau Fatehah. Tunduk kembali menekur memandang fail yang ada dihadapannya. Aneeq menolak pintu kecemasan yang terletak di sebelah kanan lif. Sebaik sahaja pintu kecemasan tersebut tertutup, Aneeq melepaskan tangan Dizyan yang sudah meronta minta dilepaskan. Dizyan mengurut tangan yang terasa sakit. Aneeq berdiri menghadap Dizyan. Memandang gadis itu tanpa berkelip. Langkah kaki Dizyan sudah mula berjalan mengundur. Takut juga jika dipengapa-apakan oleh Aneeq. Dizyan memandang ke arah lain. Langsung tidak mahu melihat wajah yang amat dibencinya itu. Aneeq melepaskan satu keluhan. “Maafkan saya. Awak sakit?” tanya Aneeq apabila dilihatnya Dizyan masih mengurut tangan. Tiada respon yang diberikan oleh Dizyan. Dada Dizyan berdegup pantas. Naik turun menahan nafas. “Mari sini. Saya urutkan.” Ujar Aneeq dan mula mendekati Dizyan. Gadis itu berjalan mengundur sehingga tersandar pada dinding. Matanya membulat memandang Aneeq. Kejadian malam tersebut seperti wayang bermain semula di dalam minda dan matanya. Air hangat mula bertakung di tubir mata Dizyan. Serasa mahu menangis dan menjerit sekuatnya. Aneeq yang melihatkan keadaan Dizyan yang seperti ketakutan, mengundurkan semula langkahnya. Tahu apa yang bermain di fikiran Dizyan waktu itu. “Yan....tak usahlah diingatkan lagi kejadian malam tu. Sebenarnya.....” ayat Aneeq tergantung apabila Dizyan memandangnya tajam. “Apa yang awak cakapkan ni? Saya tak pernah ada hubungan dengan awak. Dan, saya takkan ada hubungan dengan awak.” Ujar Dizyan tegas. Aneeq menelan air liur. Sampai begitu sekali Dizyan membencinya. Tetapi Aneeq masih sayangkan Dizyan sepenuh hati. “Biar saya jelaskan dulu.” Aneeq menyambung. “Saya tak nak dengar. Awak tolong jangan ganggu saya.” Dizyan menekup telinganya. Aneeq sekali lagi mendekati Dizyan dan menarik tangan Dizyan dari menekup telinganya. “JANGAN SENTUH SAYA!” Dizyan menjerit sehingga bergema lorong tangga di pintu kecemasan itu. Aneeq tergamam. Perlahan-lahan mengundurkan kembali langkah kakinya. “Yan, dengar dulu apa yang saya nak cakapkan ni.” Beria-ia Aneeq meminta dari Dizyan. Aneeq mahu menjelaskan segala-galanya. Dia tidak mahu Dizyan tersalah faham lagi. Dizyan menggeleng pantas dan menuju ke pintu kecemasan itu. Belum sempat Dizyan menolak pintu tersebut, dia merasakan lengannya ditarik ke belakang. Aneeq menghempaskan badan Dizyan ke dinding. Mencerlung mata Aneeq menikam wajah Dizyan. Turun naik dada gadis itu. Airmata sudah mula menuruni pipi gebunya. Dia memejamkan mata. Aneeq mendengus. Tidak sampai hati melihat wajah putih bersih itu dibasahi dengan airmata. Serasanya ingin dilap sahaja. Tetapi Aneeq masih tahu batas-batasnya terhadap seorang perempuan bukan muhrim. Dilepaskan lengan Dizyan. Airmata yang turun semakin lebat. Dibuka matanya. Terlihat Aneeq sudah menjauhi dirinya. “Tolonglah. Buat kali ini....” ayat Aneeq tergantung. Menarik nafas dan dilepaskannya perlahan. Mencari anak mata Dizyan yang sudah dikaburi dek airmata yang tidak henti menuruni pipinya. “...dengar dulu penjelasan saya.” Aneeq menyambung. Dizyan terjelepuk duduk ke atas lantai. BERSAMBUNG..... p/s: baiklah, sambung minggu dpn pulak yer kawan2......eheheheh |
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 10/11/2009 09:07:00 AM 16 tukang komen paling setia
Friday, October 9, 2009
Dan Sebenarnya....39
BAB 39 “ASSALAMUALAIKUM, Mas.” Ucap Dizyan pada Mastura. Hanya senyuman lebar sahaja yang menghiasi bibirnya pagi itu. Mastura menjawab salam Dizyan tetapi dalam pada masa yang sama, keningnya bertaut. Pelik melihat wajah Dizyan yang berseri-seri sahaja. Seketika kemudian, Faizal pula menyusul. Juga turut tersenyum lebar. Pelik melihat dua manusia ini yang asyik tersenyum sahaja. Mastura menjungkitkan bahu dan meneruskan kerjanya. Dizyan melabuhkan punggung di tempat duduknya. Menghidupkan suis komputer dan meneruskan kerja yang terbengkalai pada hari Jumaat lepas. Menyediakan kertas kerja yang diminta oleh Faizal. Dizyan mengangkat wajah apabila mejanya diketuk perlahan. Kelihatan Faizal tersenyum dan mengenyitkan mata sebelum beredar ke biliknya. Dizyan tersenyum kecil dan menggelengkan kepala perlahan. Leka Dizyan memerhatikan skrin komputer. Papan kekunci diketuk perlahan. Merangka ayat di dalam kepalanya. Tiba-tiba ideanya terbantut. Sekali lagi mejanya diketuk tetapi kali ini kuat sehingga mengejutkan pekerja-pekerja yang berada di sekeliling meja Dizyan. “Yan, betul ke aku dengar kau dan bos ada affair?” tanya Fatehah atau lebih dikenali sebagai Teha. Mulut Dizyan terkunci. Apa yang harus diperkatakan lagi? Memang benar. Tetapi Faizal tidak memberikan kebenaran untuk dia berkata apa-apa tentang hubungan mereka itu. “Mana kau dengar ni, Teha? Mengarut jelah. Memang aku dan bos ada hubungan. Tapi sebagai pekerja dan ketua je. Tak lebih daripada tu lah.” Dizyan mencipta penjelasan. Fatehah memandang tidak percaya. Disilangkan lengan ke dada. “Kak Annie lah cerita. Dia kata dia jumpa kau orang kat kedai makan.” Fatehah berkata lagi. Dizyan menelan air liur. Tetapi dia harus bertenang. Tidak boleh nampak terlalu gelabah. Nanti lagi orang lain akan syak yang bukan-bukan. “Salah ke aku keluar makan dengan bos aku sendiri? Dah dia yang insist nak belanja.” Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut Dizyan untuk soalan Fatehah. “Tapi kedai makan tu area rumah bos. Jauh dari office.” Kali ini Dizyan tergamam. Tidak langsung terfikir akan jawapan yang sesuai. “Dah dia hantar dokumen untuk saya sign. Saya ajaklah makan. Salah ke? Yang awak ni, Teha, tak pergi buat kerja, asyik nak menyibuk tepi kain orang ni, kenapa?” tiba-tiba sahaja Faizal yang muncul entah dari mana, menyampuk perbualan mereka. Fatehah menelan air liur. Tidak menyangka bahawa Faizal akan muncul. “O....o...oka....okaylah, bos. Yan, aku mintak diri dulu.” Tergagap Fatehah meminta diri. Faizal tidak memberikan respon sebaliknya memandang tajam. Dalam diam, Dizyan mengucapkan syukur. Dia tersenyum kecil. “Tu sebabnya aku tak suka kau berkawan dengan dia orang.” Faizal berkata-kata sebelum beredar dari situ. Dizyan memerhatikan bayangan Faizal hilang di sebalik pintu biliknya. Dizyan menunduk kembali dan menyiapkan kerjanya. Tidak sedar waktu berlalu begitu pantas. Kebanyakan pekerja sudah mula beransur pulang. Fateen tidak datang ke kerja hampir 3 hari kerana demam panas. Yalah, kalau sudah selalu berjemur di lokasi penggambaran yang panas, bagaimana tidak demam? Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Sekejap hujan, sekejap panas. Ian Khalif yang baru sahaja pulang dari lokasi penggambaran di luar negara, terus menyapa Dizyan yang sedang tekun melakukan kerjanya. “Yan...” panggil Ian Khalif. Dizyan mengangkat wajah memandang Ian Khalif yang tersenyum manis. Membalas kembali senyuman itu. “Bos ada?” tanya Ian Khalif. Dizyan mengangguk perlahan. “Nak jumpa bos.” Ujar Ian Khalif lagi. Dizyan menekan interkom dan bercakap dengan Faizal setelah panggilannya bersahut. Setelah Faizal memberikan arahan masuk, Ian Khalif melangkah laju ke arah bilik Faizal. Diketuk perlahan pintu tersebut dan dikuak luas. Dia menutup semula pintu kayu itu. “Hah, how’s Luxembourg?” tanya Faizal sebaik sahaja Ian Khalif melabuhkan punggungnya kerusi menghadap Faizal itu. “Nice and beautiful.” Ujar Ian Khalif sambil mengetuk jari jemarinya di atas meja. “Ada problem ke kat sana?” Faizal bertanya lagi. Matanya menghadap skrin laptop. Sekali-sekala menggerakkan tetikus. “Setakat ni, tak adalah.” Jawab Ian Khalif ringkas. “So, Aaron Aziz dan Lisa Surihani tak adalah bagi masalah pada kau?” mata Faizal masih lagi menekur di hadapan skrin laptop tersebut. Ian Khalif terjenguk-jenguk mencari wajah Faizal. Sibuk benar ketuanya yang seorang itu. “Nope.” Sekali lagi Ian Khalif menjawab ringkas. “Bila nak start shooting kat K.L?” banyak betul soalan yang ditanya oleh Faizal mengenai perkembangan drama terbaru terbitan Rufa Grand Million Productions, Dari K.L ke Luxembourg yang dilakonkan oleh Aaron Aziz dan Lisa Surihani sebagai watak utama. “Lusa.” “Apasal lambat sangat?” berkerut-kerut dahi Faizal. Ian Khalif sekali lagi menjenguk. Masih tidak nampak wajah Faizal yang tunduk menghadap skrin laptopnya. Entah apa yang sedang diusahakannya itu. Ian Khalif turut berkerut dahi. “Come on lah, kawan. Bagilah dia orang rest kejap. Penat tak hilang lagi, kot. Crew aku tu pun, perlukan rest tau.” Ujar Ian Khalif. Dia mengetuk jari jemarinya perlahan. “Apa benda yang kau sibukkan sangat tu?” Ian Khalif bertanya. Akhirnya, Faizal mengangkat muka memandang ke arah lelaki dihadapannya itu. Tersenyum Ian Khalif memandang Faizal. “Sejak bila kau pakai specs ni?” tanya Ian Khalif sekali lagi. Faizal membetulkan bingkai kacamata yang melurut ke bawah. “Macam mana aku tak pakai specs? Hari-hari menghadap skrin komputer dan laptop aku ni, sampai rabun. Itulah kena pakai jugak.” Ian Khalif hanya mengangguk mendengarkan kata-kata Faizal. “Okaylah. Aku pun malas nak ganggu kau dah. Aku nak balik tidur. Lepas tu, nak pergi recce tempat dengan Erika.” Ian Khalif sudah berdiri dan bersalaman dengan Faizal yang juga turut berdiri. Sahabatnya itu tersenyum sinis. Dahi Ian Khalif sudah berkerut. “Aik?! Pergi recce tempat dengan Erika je?” usik Faizal. Ian Khalif membalas senyuman sinis itu. “Bukanlah aku dengan Erika je. Ramai lagi yang pergi sama. Tapi dah tentu aku dan Erika yang buat kerja. Yang lain tu, kerjanya menyibuk je.” Ujar Ian Khalif. Membetulkan baju yang sedikit berkedut. “Aih....tuan director pun kena buat kerja jugak?” Faizal berkata. Kembali melabuhkan punggung di kerusi empuk miliknya. “Mestilah. Aku kan kuli. Bukannya bos macam kau. Duduk dalam office memanjang.” Sindir Ian Khalif. Faizal tersengih. “Kau nak pergi recce dengan Erika tu, buat kerja tau. Jangan nak main mata pulak. Nanti mampus kau kena kejar dengan Tanty pakai parang.” Faizal memerli. Ian Khalif mencebik. Kemudian, mereka sama-sama tertawa kecil. “Okaylah. Aku blah dulu.” Ian Khalif menuju ke pintu dan membuka pintu tersebut. Faizal mengangguk perlahan. Sebaik sahaja pintu tersebut tertutup kembali, Faizal menekur pandangannya ke arah skrin laptop. Seketika kemudian, pintu bilik Faizal sekali lagi diketuk. Arahan masuk diberikan. Dizyan melangkah masuk dengan membawa satu fail yang dijinjingnya. Diletakkan dihadapan Faizal. Setelah Faizal menandatangani, Dizyan mengambil semula fail tersebut. “Kau tolong buat ni sekali.” Arah Faizal sambil memberikan beberapa helai kertas. Dizyan mengambilnya tanpa banyak soal. Dan terus keluar dari bilik Faizal itu. Sejak 2-3 hari ini, mereka masing-masing sangat sibuk di tempat kerja sehingga tiada masa untuk berbual panjang. Begitu juga semasa di rumah. Samada Faizal atau Dizyan yang akan pulang sehingga lewat malam. Tiada masa untuk bersua muka apatah lagi berbicara. Itulah sebabnya Faizal mengambil peluang untuk bersarapan dengan Dizyan. Risau juga Datin Rubaiyah melihat keadaan anak dan menantunya itu. Suami isteri lain juga bekerja tetapi tidaklah seperti mereka berdua. Pernah disuarakan kerisauannya itu kepada Datuk Farid. Tetapi suaminya hanya berkata tiada apa yang perlu dirisaukan. Biasa! Ada masanya mereka akan sibuk dan ada masanya mereka akan punya waktu senggang. Dizyan melabuhkan punggung di tempatnya dan melihat helaian kertas di tangan. Meneliti apa yang dikehendaki oleh Faizal. Dizyan mengeluh perlahan. “Lagi, lagi proposal. Alamatnya, lewat lagi aku balik malam ni.” Keluh Dizyan. Segera dicapai gagang telefon dan mula mendail nombor rumah. Kedengaran bunyi deringan dan panggilannya bersahut. Suara Sutinah menyapa gegendang telinga. “Bik, Mama ada?” tanya Dizyan lembut. “Ada. Bentar, ya.” Ujar Sutinah dan segera memanggil Datin Rubaiyah yang berada di ruang tamu. Sedang menonton televisyen seorang diri. Suami, anak serta menantu belum lagi pulang. Itu sahaja yang boleh dibuat oleh Datin Rubaiyah untuk menghabiskan waktu senggangnya. “Hello.” Suara Datin Rubaiyah pula menyapa telinga Dizyan. “Ma, Yan ni. Malam ni Yan balik lewat sikit, ya. Ada kerja perlu diselesaikan.” Dizyan berkata. Terdengar dengusan kuat di talian sebelah sana. Tahu Datin Rubaiyah pasti akan risaukan dirinya yang kebelakangan ini asyik pulang lewat sahaja. “Kalau boleh, baliklah cepat sikit. Mama tak sukalah Yan balik lewat sangat. Mama risau.” Luah Datin Rubaiyah. Dizyan tersenyum. “Yalah, Ma. InsyaAllah.” Itu sahaja yang mampu Dizyan berjanji. Tidak mahu berjanji lebih-lebih. Dia sendiri tidak pasti bila akan selesai kertas kerjanya itu. Selepas itu, mereka sama-sama mematikan talian telefon. Setengah jam kemudian, Faizal keluar dari biliknya dengan menjinjing beg bimbit. Melintasi meja Dizyan tanpa berkata sepatah perkataan pun. Dizyan mengangkat muka. Hanya sempat melihat bayangan Faizal menghilang di sebalik kaunter penyambut tetamu. Dilepaskan keluhan perlahan. Kembali menyambung kerjanya. Lebih kurang pukul 11 malam, kerja yang dilakukannya sudah siap. Dizyan menutup suis komputer dan mengemas meja yang sedikit berselerak. Dizyan tertunduk-tunduk mencari kasut tumit tingginya yang terselit di bawah meja. Mencangkung dan menyelinap masuk ke bawah meja. Ketukan kuat di mejanya membuatkan Dizyan tersentak. Terkejut dan cuba untuk keluar dari bawah meja tersebut secepat mungkin. Entah apa silapnya, kepala Dizyan terhantuk di meja itu. “Adoi!” Dizyan mengaduh. Diusap kepala yang terasa sakit dan mukanya berkerut. Melihat orang dihadapannya yang menekup mulut melihat gelagat Dizyan. Gadis itu berdiri dan bercekak pinggang melihat senyuman yang terukir di bibir Syed Ezra. “Ez ni kan suka sangat bagi terkejut oranglah.” Dizyan berkata. Tangannya masih mengusap kepala. Syed Ezra tersenyum kecil melihat gelagat Dizyan yang kelam kabut. “Tak balik lagi?” tanya Syed Ezra. Matanya melilau melihat sekeliling. Kebanyakan pekerja sudah lama pulang. Hanya tinggal 2-3 orang yang masih ada untuk menyiapkan kerja mereka. Dizyan tersenyum. “Nak baliklah ni.” Ujar Dizyan. Dicapai tas tangan yang ada di dalam laci mejanya. Syed Ezra mengangguk. “Jom.” Syed Ezra mengajak. Dizyan mengangguk perlahan dan berjalan beriringan dengan Syed Ezra menuju ke lif. Rancak bersembang sehingga tidak sedar mereka sudah berada di Basement. “Here we are.” Ujar Syed Ezra. Dizyan menekan alat penggera keretanya dan memasukkan tas tangan ke tempat penumpang. “Okaylah, Yan mintak diri dulu.” Dizyan berkata. Baru sahaja hendak melangkah masuk ke dalam kereta, kaki Dizyan terhenti melangkah. “Dinner?” tanya Syed Ezra. Dizyan tersenyum. Dia tahu sudah banyak kali Syed Ezra bertanyakan perkara sama berkali-kali. “Ez, Yan....” belum sempat Dizyan berkata sesuatu, wajah mereka berdua disuluh oleh lampu kereta. Dikecilkan sedikit mata yang silau. Faizal keluar dari Mazda MX-5 miliknya. Syed Ezra melihat gerangan pemilik kereta tersebut. “Kau tak malu ke, Ez? Asyik mengacau isteri orang je.” Nada suara Faizal keras. Syed Ezra mengerutkan dahi. Gelabah Dizyan dibuatnya. Kata tak mahu orang tahu, detik hati Dizyan. “Isteri orang?” Syed Ezra menggumam perlahan. Dikerutkan sedikit dahinya. Perlahan-lahan mengalih pandang ke arah Dizyan yang menunduk. Kemudian, beralih ke arah Faizal. “Siapa isteri orang?” Syed Ezra bertanya sambil memandang ke arah Dizyan dan Faizal silih berganti. Dizyan semakin menggelabah. “Dialah.” Unjuk Faizal ke arah Dizyan. Tidak senang duduk gadis itu jadinya. “Awak dah kahwin?” Syed Ezra bertanya. Dizyan memandang Syed Ezra dan Faizal silih berganti. Syed Ezra setia menanti jawapan yang akan keluar dari mulut Dizyan. Perlahan-lahan dia mengangguk. Syed Ezra tercengang. Akhirnya, dia mengangguk tanda mengerti. “Sorry, I didn’t know.” Ucap Syed Ezra. Dizyan memandang wajah lelaki di hadapannya itu. “Maafkan saya, Ez. Saya tak bermaksud nak merahsiakan perkara sebenarnya dari awak.” Dizyan berkata. Tidak mahu Syed Ezra salah faham. “No, it’s okay. Tak apalah, Yan....Zal. Ez balik dulu.” Tukas Syed Ezra. Tidak mahu berlama disitu. Patutlah selama ini, Dizyan beria-ia tidak mahu keluar makan bersamanya. Faizal tersenyum sinis dapat melihat reaksi Syed Ezra. Puas hatinya dapat membuatkan Syed Ezra mematikan segala anganan untuk memiliki Dizyan. Syed Ezra segera meminta diri dan menuju ke arah keretanya. Terus memasuki ke dalam perut kereta dan memecut keluar dari Basement tersebut. Dizyan hanya melihat bayangan kereta Syed Ezra menghilang dari pandangan. “Apa lagi yang kau tercegat kat situ? Balik.” Faizal berkata. Dizyan menjeling tajam. “Awak sendiri kata tak nak orang lain tahu tentang hubungan kita. Sekarang ni, apa dah jadi?” Dizyan berkata, geram melihat sikap yang tidak menentu Faizal itu. “Sekarang ni, aku suka nak beritahu orang lain yang kau tu isteri aku.” Faizal berkata selamba. Dizyan mendengus. “Hish...malas layan awak.” Dizyan terus masuk ke dalam kereta. Faizal tersenyum sinis. Menderum kereta MyVi meninggalkan Basement tersebut. Kereta Mazda MX-5 mengikuti kereta milik Dizyan dari belakang. Dizyan memarkirkan keretanya ke dalam garaj. Faizal pula meletakkan keretanya di belakang kereta Dizyan. Laju sahaja langkah kaki Dizyan melangkah masuk ke dalam rumah selepas alat penggera kereta dibunyikan. Salam diberikan oleh Dizyan kepada kedua mertuanya. Dijawab salam tersebut serentak. Faizal muncul kemudian. Menyertai kedua ibubapanya yang berada di ruang tamu. Dizyan menuju ke tingkat atas untuk membersihkan diri. Seketika kemudian, Faizal masuk ke dalam kamar tidurnya. Terlihat Dizyan yang sudah selesai bersolat Isya’. Dizyan melipat sejadah dan telekungnya. Tanpa berkata sepatah perkataan pun, Dizyan merebahkan diri ke atas sofa. Faizal tidak berpuas hati apabila tidak mendengar suara Dizyan. “Kau marah kat aku ke?” Faizal bertanya. Suaranya sedikit kuat. Dizyan tidak menjawab apa-apa. Tidak juga memberikan respon. “Kau marah kat aku ke?” sekali lagi Faizal bertanya. Masih juga tiada respon. Faizal mendekati Dizyan yang membelakangkannya. Menjenguk ke arah wajah yang tidur menghadap dinding. “Laa...tidur rupanya.” Faizal tersenyum melihat wajah ayu itu. Menggeleng sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Berjalan semula ke arah katil. Dilabuhkan punggung di atas katil. Kemudian, berbaring. Entah bila masa dia terlelap kerana terlalu asyik teringatkan wajah cemberut Dizyan sebentar tadi. BERSAMBUNG...... |
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 10/09/2009 09:59:00 PM 14 tukang komen paling setia
Sunday, October 4, 2009
Publish Dan Sebenarnya?
Salam semua, Pertama kali disini saya ingin mengatakan yang idea untuk menyiapkan Dan Sebenarnya sudah datang. Tapi D.S belum lagi tiba di penghujung. Tidaklah begitu jauh perjalanan endingnya. Cuma belum pasti hingga bab ke berapa. Ini pun sudah sampai ke klimaks (belum tiba di puncaknya....heheh). Harap semua sabar menunggu, k. Ramai juga yang memberikan komen kepada saya untuk mempublishkan e-novel Dan Sebenarnya ini. Dan....untuk pengetahuan semua, saya sedang usaha untuk menyiapkan bab anti klimaksnya. InsyaAllah, kalau tiada apa-apa aral melintang cadangan dan usulan tuan2 dan puan2 semua akan saya pertimbangkan. Thanx 4 ur support, guys!!! Hope sampai bila-bila pun u guys akan support, k! Next e-novel is on the way....Watak-watak dalam e-novel seterusnya ini, banyak sekali berkaitan dengan novel-novel saya yang sebelumnya. Saya takkan beritahu novel yang mana satu. Cubalah teka di antara Dari K.L ke Luxembourg, Kasih Aisyah Najyha atau Dan Sebenarnya! (Tapi bukan sequel). Cuma episode seterusnya dalam kehidupan mereka yang berkaitan. Don't worry! Saya akan habiskan dulu e-novel Dan Sebenarnya ini sebelum saya menyambung e-novel yang seterusnya ini. (Saje je kan nk bagi adrenalin korg sume excited)! Kehkehkeh..... Oklah, nak sambung menulis kembali bab seterusnya D.S ini....Ceria2 selalu dan teruskan menyokong.... p/s: Sila undi poll di sebelah, ye! |
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 10/04/2009 08:50:00 PM 7 tukang komen paling setia
Saturday, October 3, 2009
Dan Sebenarnya....38
BAB 38
DATIN Rubaiyah menceduk bihun goreng ke dalam pinggan Dizyan dan Faizal. Diserahkan kepada anak serta menantunya itu. Datin Rubaiyah memandang Datuk Farid dan memberikan isyarat mata. Untuk menyampaikan hasrat tetamu-tetamu yang datang semalam. Datuk Farid menghirup sedikit air kopi yang masih berasap. Dizyan menghulurkan cawan Nescafe yang dibancuhnya kepada Faizal. Dihirup sedikit. Datuk Farid berdehem perlahan.
“Fik....” panggil Datuk Farid. Fikhri mengangkat muka memandang wajah tua dihadapannya itu.
“Papa dan Mama dah setuju. Lepas Fik konvo, kami akan tunangkan Fik dan Iman. Fik setuju?” Datuk Farid bertanya untuk kepastian walaupun dia tahu apa yang Fikhri ingin berikan jawapannya. Fikhri tersengih.
“Fik ikut je cadangan Mama dan Papa.” Malu-malu Fikhri berkata. Fathiq menepuk bahu Fikhri kuat. Dizyan dan Faizal tersenyum.
“Dan juga tunangkan, Fathiq dan Vee.” Datuk Farid menyambung. Datin Rubaiyah segera mengalihkan wajah memandang wajah suaminya. Fathiq meminta kepastian dari Datuk Farid dengan wajah tidak percayanya. Mencerlung sahaja mata Datin Rubaiyah. Datuk Farid masih berwajah selamba. Dizyan mengalih pandang ke arah Fathiq. Membalas senyuman adik iparnya itu.
“Apa yang Abang cakapkan ni? Saya tak pernah setuju nak tunangkan Fathiq dan perempuan tu.” Datin Rubaiyah berkata geram. Diketap giginya. Bagaimana suaminya boleh membuat keputusan tanpa berbincang apa-apa pun dengan dia?
“Rubi...” Datuk Farid tidak mahu Datin Rubaiyah mengeruhkan keadaan.
“Perempuan tu ada nama, Ma. Nama dia Vee...Vee Esmeralda.” Fathiq bersuara perlahan. Datin Rubaiyah memandang tajam ke arah Fathiq.
“Kenapa pasal perempuan tu, Fathiq dah sanggup nak melawan Mama. Apa perempuan tu dah buat? Dulu Fathiq tak macam ni tau. Fathiq anak yang dengar cakap walaupun Mama tahu Fathiq memberontak dalam diam. Tapi semenjak Fathiq kenal perempuan yang nama Vee...tu, Fathiq dah berani nak melawan kehendak Mama.” bermacam tuduhan yang keluar dari mulut Datin Rubaiyah. Fathiq tidak sanggup mendengarnya.
“Ma....” Fathiq menghentikan Datin Rubaiyah dari terus berkata-kata.
“Rubi....” belum sempat Datuk Farid menyambung kata, Datin Rubaiyah mencelah.
“Dahlah, Bang. Saya dah penat nak bergaduh. Suka hati Abanglah kalau Abang nak kahwinkan jugak Fathiq dan perempuan tu. Tapi, jangan libatkan saya. Saya tak mahu masuk campur.” Ujar Datin Rubaiyah dan segera meninggalkan meja makan.
Faizal yang malas mahu masuk campur, masih meneruskan suapan. Lebih baik dia makan, daripada sibukkan hal yang tiada kena-mengena dengan dirinya. Fikhri mengurut perlahan belakang adiknya. Dizyan yang melihat Faizal seakan tidak ambil peduli akan situasi yang sedang berlaku dihadapan matanya, menyiku perlahan pinggang Faizal. Tersedak lelaki itu dibuatnya. Memandang tajam ke arah isterinya. Dizyan menjeling.
“Pa, Yan pergi pujuk Mama, ya.” Ujar Dizyan. Datuk Farid menggeleng.
“Tak guna jugak, Yan. Mama tengah ‘panas’ tu. Kalau Papa yang pergi pujuk pun belum tentu Mama nak ‘sejuk’.” Datuk Farid menghalang niat Dizyan itu. Tidak mahu Dizyan pula yang menjadi mangsa amukan Datin Rubaiyah. Dizyan mengangguk.
“Makanlah. Kita pujuk Mama kejap lagi.” Datuk Farid menyambung. Mereka yang lain mengangguk lemah dan meneruskan suapan.
MAKAN tengah hari sudah siap dihidangkan di atas meja. Dizyan memanggil bapa mertua serta adik-adik iparnya di ruang tamu. Memanjat tangga dan memanggil pula Faizal yang sedang sibuk menyiapkan kertas kerjanya di dalam bilik bacaan. Dizyan dan Faizal turun beriringan ke tingkat bawah. Masih tidak kelihatan Datin Rubaiyah di mana-mana.
“Mama mana, Pa?” tanya Faizal apabila dia juga perasaan akan ketiadaan Datin Rubaiyah.
“Ada kat taman.” Ujar Datuk Farid ringkas. Faizal melabuhkan punggung di kerusinya.
“Yan pergi panggil Mama, ya.” Tukas Dizyan. Segera dia berlalu menuju ke halaman rumah.
Kelihatan Datin Rubaiyah leka melayani pokok-pokok bunga yang ada di situ. Diambil gunting yang dikhaskan untuk berkebun. Dibuang daun-daun bunga yang sudah dimakan ulat. Jika Datin Rubaiyah punya masa lapang, dia lebih suka mencantikkan pokok bunga-bungaan yang memenuhi taman rumahnya. Dizyan mendekati Datin Rubaiyah.
“Ma...” panggil Dizyan. Datin Rubaiyah mengangkat muka memandang wajah menantunya itu.
“Makan tengah hari dah siap.” Ujar Dizyan. Datin Rubaiyah mengangkat punggungnya dan dilabuhkan di salah sebuah kerusi yang terletak di bawah gazebo. Membuka topi yang menutupi kepalanya dan mengibaskan topi tersebut. Bertujuan untuk menyejukkan badan yang berpeluh.
“Yan pergilah makan. Mama tak ada selera.” Ucap Datin Rubaiyah lemah. Dizyan mengeluh perlahan. Apakah cara terbaik untuk mengajak ibu mertuanya turut serta di meja makan?
“Ala...rugilah, Mama. Bibik dah masak ikan keli masak cili.” Tukas Dizyan. Datin Rubaiyah menelan air liur. Ikan keli? Salah satu lauk yang boleh membuatkan Datin Rubaiyah bertambah sampai dua pinggan nasi.
“Kamu ni tahu-tahu je kan. Mama ni kalau ikan keli memang ‘langkah tak lepas’.” Datin Rubaiyah berkata. Mengundang tawa kecil dari Dizyan.
“Tapi Mama tetap tak ada selera nak makan.” Datin Rubaiyah berkata lemah. Dizyan melepaskan keluhan. Dia tahu apa yang menganggu fikiran ibu mertuanya itu.
“Ma...Yan tahu Mama tak setuju Papa nak satukan Fathiq dan Vee.” Dizyan berkata sambil melabuhkan punggung di sebelah Datin Rubaiyah.
“Tapi, Ma....” Dizyan mendekatkan sedikit kerusinya dengan kerusi Datin Rubaiyah. Mencapai jari jemari Datin Rubaiyah. Digenggam erat.
“....Vee dah masuk Islam setahun yang lepas.” Sambung Dizyan. Datin Rubaiyah mencebik.
“Mama tak nak dia masuk Islam kerana Fathiq. Mama nak dia masuk Islam kerana keinginan dan kerelaan dia. Bukan kerana siapa-siapa.” Datin Rubaiyah pula berkata. Dizyan tersenyum kecil.
“Setahun yang lepas, Fathiq belum kenal dengan Vee. Sebenarnya, Fathiq baru kenal dengan Vee, 3 bulan yang lepas.” Datin Rubaiyah ternganga mendengar penjelasan daripada Dizyan.
“Baru kenal 3 bulan, Fathiq dah yakin yang Vee adalah memang ditakdirkan untuk dia?” Datin Rubaiyah bertanya. Dizyan tersenyum. Datin Rubaiyah sudah mula memanggil nama Vee. Tiada lagi istilah ‘perempuan tu’.
“Kenapa Mama tak tanya sendiri dengan Fathiq? Mungkin ada sebab kenapa Fathiq yakin sangat yang Vee memang adalah untuk dia.” Sela Dizyan. Ada benarnya juga kata-kata Dizyan itu. Datin Rubaiyah melepaskan keluhan perlahan. Lama mereka mendiamkan diri. Sama-sama pandangan mereka ditebarkan ke taman rumah yang ditumbuhi bunga-bungaan bermacam warna.
“Jomlah kita masuk. Mama pun dah lapar ni.” Ujar Datin Rubaiyah tiba-tiba. Dizyan mengangguk dan mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Menuju ke meja makan.
Datuk Farid, Faizal, Fikhri dan Fathiq yang sedang berselera menjamu selera, terus berhenti dari menjamu. Empat pasang mata melekap ke arah Datin Rubaiyah dan Dizyan yang menuju ke arah mereka. Datin Rubaiyah melabuhkan punggungnya menghadap Fathiq. Dizyan menghulurkan sepinggan nasi kepada ibu mertuanya. Mereka yang lain hanya menantikan butir bicara dari wanita elegan itu. Dengan wajah selamba, Datin Rubaiyah menceduk lauk-pauk yang terhidang ke dalam pinggan. Masih menanti kata-kata keramat yang akan keluar dari bibir wanita itu. Datin Rubaiyah menyuap makanan ke mulutnya. Perut yang lapar harus diisi.
“Siapa nama dia?” tanya Datin Rubaiyah tetapi tidak memandang ke wajah Fathiq. Datuk Farid melepaskan keluhan lega. Fathiq tersenyum. Memandang ke arah Dizyan. Memberikan isyarat mata. Tanda berterima kasih yang amat sangat terhadap kakak ipar yang satu itu. Dizyan membalas isyarat mata itu kembali.
“Mama tanya ni, siapa nama dia?” Datin Rubaiyah mengangkat muka memandang tepat ke arah Fathiq. Anak muda itu menarik nafas sedalamnya sebelum memberikan jawapan.
“Vee Esmeralda, Ma.” Jawab Fathiq. Datin Rubaiyah menggeleng pantas.
“Mama tak nak nama orang putih tu. Mama nak nama Islam dia.” Datin Rubaiyah berkata lagi. Mata Fathiq membulat. Bagaimana Mamanya tahu Vee sudah menganut agama Islam? Kening Datin Rubaiyah dijungkitkan.
“Vee Nur Amina.” Fathiq menjawab lagi. Datin Rubaiyah mengangguk.
“Mama nak jumpa dia dulu masa konvo kamu nanti. Masa tu, baru Mama beritahu keputusan Mama.” Datin Rubaiyah menyambung kata. Fathiq melepaskan satu keluhan lega. Dia bersyukur yang teramat sangat kerana Datin Rubaiyah sudi membukakan pintu hatinya untuk menerima Vee menjadi sebahagian daripada keluarga mereka walaupun belum mendapat kata putus dari Mamanya itu.
PEJAM celik, sudah hampir 2 bulan Fikhri dan Fathiq berada di Malaysia. Tiba masanya untuk mereka pulang semula ke Switzerland bagi menyambung semester yang masih berbaki setahun lebih. Berat rasanya hati Datin Rubaiyah ingin melepaskan mereka berdua pergi. Setiap hari pasti Fikhri akan bermanja dengan Datin Rubaiyah. Fathiq pula tidak habis-habis dengan lawak ‘kering’ yang dilakukannya untuk menghiburkan hati Datin Rubaiyah. Pasti ada sahaja bahan yang hendak dijadikan lawaknya. Fikhri dan Fathiq bergilir-gilir tunduk menyalami Datuk Farid dan Datin Rubaiyah. Kemudian, mereka beralih pula pada Dizyan dan Faizal yang berdiri di sebelah ibu bapa mereka. Pengumuman penerbangan ke Switzerland sudah diumumkan. Setelah mengucapkan selamat tinggal, Fikhri dan Fathiq melangkah masuk ke balai berlepas. Sempat melambai ke arah ibubapa serta abang dan kakak ipar mereka. Lambaian dibalas. Baru sahaja menjejakkan kaki ke balai berlepas, sudah dirindui masakan Sutinah. Semasa mereka dirumah, Sutinah sudah mengucapkan selamat tinggal.
Datuk Farid memandang Faizal. Dizyan memeluk bahu Datin Rubaiyah. Sedih apabila anak kembar itu kembali ke perantauan untuk menimba ilmu.
“Zal tak kerja hari ni?” tanya Datuk Farid.
“Kerja, Pa.” Jawab Faizal ringkas. Lelaki tua itu menganggukkan kepalanya. Walaupun sudah mencecah di usia 60-an, Datuk Farid masih lagi kekal segak bergaya. Dengan rambut yang hanya sedikit sahaja beruban, berkumis nipis dan berwajah kacak, pasti menjadi idaman gadis-gadis di waktu mudanya. Datuk Farid memandang pula ke arah Dizyan.
“Yan kerja?” Datuk Farid bertanya pula kepada menantunya itu.
“Kerja, Pa.” Dizyan juga menjawab ringkas. Datin Rubaiyah mengelap airmata yang masih menuruni pipinya.
“Kami pergi dulu, Pa.” Ujar Faizal. Dizyan terpinga-pinga. Bukankah Faizal tidak suka jika Dizyan naik kereta yang sama dengannya ke pejabat? Takut pula jika menjadi bahan bualan pekerja-pekerja di pejabat itu nanti. Datuk Farid mengangguk. Dengan segera, Faizal menarik tangan Dizyan untuk membuntutinya.
Sampai sahaja di tempat letak kereta, Faizal melepaskan tangan Dizyan. Gadis itu mengerutkan dahi. Alat penggera kereta berbunyi nyaring, bergema di tempat letak kereta itu.
“Masuk.” Arah Faizal. Bertambah-tambah kerutan di dahi Dizyan. Tetapi tanpa bertanya, Dizyan masuk juga ke dalam perut kereta. Kereta itu menderum pergi meninggalkan KLIA. Tergaru-garu Dizyan ingin bertanya. Dia menggigit bibir. Faizal tenang memandu di sebelah. Sesekali jari jemarinya mengetuk stereng mengikut rentak irama lagu yang beralunan perlahan di radio.
“Kita nak pergi office sama-sama ke?” tanya Dizyan, akhirnya. Tiada respon dari Faizal. Dizyan melepaskan keluhan. Melontarkan pandangan ke luar.
“Tak. Aku hantar kau balik rumah. Kau ambil kereta kau pergi office.” Ujar Faizal.
Dizyan tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Hanya mengiakan kata-kata Faizal dalam hati. Dia memang sudah agak bahawa Faizal akan menghantarnya balik ke rumah dahulu. Mana mungkin mereka sama-sama kelihatan di dalam satu kereta menuju ke pejabat. Bukankah Faizal sudah berkata bahawa dia tidak mahu sesiapapun tahu akan hubungan mereka. Dizyan menguak rambutnya ke belakang. Lagu I’m Yours nyanyian Jason Mraz ke udara. Faizal menguatkan sedikit volume suara radio itu. Dia turut bernyanyi-nyanyi kecil. Dizyan tahu lagu I’m Yours itu adalah lagu kegemaran Faizal. Sampaikan nada dering untuk telefonnya juga lagu itu. Dari awal sampai akhir, Faizal menyanyikan lagu itu. Dia hafal lagu tersebut. Sedap juga suaranya, hati Dizyan berdetik. Sesekali mata Faizal melirik ke arah Dizyan. Gadis itu leka memandang pemandangan luar.
“I’m yours.” Faizal berkata di tepi telinga Dizyan. Gadis itu berpaling ke arah Faizal sambil mengerutkan dahi. Faizal meneruskan pemanduan dengan wajah selamba. Dizyan menggeleng perlahan. Kembali menebarkan pandangan ke luar. Tamat sahaja lagu itu, Faizal kembali memperlahankan volume radio.
“Jom breakfast kat luar hari ni?” Ajak Faizal. Dizyan memandang Faizal dengan tanda tanya diwajahnya. Mata Faizal masih fokus kepada pemanduannya.
“Bibik dah masak kat rumah.” Tukas Dizyan. Faizal tersenyum.
“Itu aku tahu. Tapi aku rasa teringin pulak nak makan luar hari ni.” Faizal berkata lagi.
“Suka hati awaklah. Saya ikut je.” Dizyan berkata pula.
Faizal terus membelokkan keretanya ke arah kedai mamak yang berdekatan dengan rumah mereka. Restoran Subaidah menjadi pilihan mereka untuk menjamu selera pagi itu. Mereka sama-sama melangkah turun dari kereta dan masuk ke dalam restoran tersebut. Sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung, pelayan restoran mamak tersebut mendekati mereka berdua.
“Ane, roti telur bawang lebih satu. Nescafe tarik une.” Faizal memesan apa yang ingin dijamahnya pagi itu. Pelayan tersebut menggolekkan kepalanya tanda mengerti.
“Untuk saya, roti canai garing dan teh tarik.” Dizyan pula memesan. Sekali lagi pelayan itu menggolekkan kepalanya. Satu khidmat pesanan ringkas baru sahaja masuk ke dalam telefon bimbit Faizal. Dibuka blackberry miliknya itu dan leka membalas SMS tersebut. Dizyan memadang ke sekeliling.
“Eh, Yan. Encik Faizal....” dan tanpa disangka oleh mereka berdua, mereka disapa oleh orang yang dikenali. Dizyan memandang ke arah orang itu. Matanya membulat. Lidah terkelu. Tidak tahu hendak berkata apa. Faizal juga turut mengangkat muka tetapi kembali menunduk menghadap telefonnya. Orang itu memandang jelek ke arah Faizal.
“Kak Annie buat apa kat sini?” tanya Dizyan sekadar berbasa-basi.
“Kak Annie makan dengan suami dan anak-anak.” Ujar Annie dengan gaya makcik kepoh nya. Dizyan mengangguk perlahan.
“Yan dengan Encik Faizal buat apa pulak kat sini?” Annie seperti dapat menghidu sesuatu yang berlaku terhadap dua insan dihadapannya itu. Seperti suatu hubungan.
Dizyan berdehem perlahan. Tidak tahu hendak berkata apa. Dipandangnya Faizal yang masih berwajah selamba. Dizyan mengurut leher. Annie masih menunggu jawapan daripada gadis dihadapannya itu. Dizyan menendang perlahan kaki Faizal. Lelaki itu mengaduh kecil. Mengurut kaki yang menjadi mangsa tendangan Dizyan. Mencerlung memandang ke arah Dizyan. Isterinya memberikan isyarat mata untuk menjawab soalan Annie. Faizal mengerti akan isyarat itu, segera memandang ke arah Annie yang sudah tersenyum sinis.
“Makanlah. Takkan main kriket pulak.” Jawab Faizal selamba. Annie segera menguak rambutnya ke belakang. Terasa dipermainkan.
“Tak apalah, Encik Faizal....Yan. Saya minta diri dulu.” Annie berkata dan ingin segera beredar. Wajah terasa membahang. Dizyan mengangguk sambil tersenyum kecil. Memerhatikan bayangan Annie hilang di sebalik kereta Grand Livina milik keluarganya. Dizyan mengalih pandang semula ke hadapan. Terkejut apabila Faizal memandangnya tajam.
“Kau jangan bercampur sangat dengan orang macam tu. Aku tak suka. Orang macam tu selagi tak hancurkan hidup orang atau menganggu kehidupan orang lain yang tenang, manusia macam tu memang tak sah. Dia macam tak boleh hidup.” Tajam sekali Faizal berkata-kata. Dengan perlahan, Dizyan menganggukkan kepalanya. Tetapi keningnya dikerutkan. Sejak bila Faizal mengambil berat dengan siapa dia berkawan? Bibir Dizyan mengukirkan senyuman kecil.
BERSAMBUNG.......
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 10/03/2009 10:39:00 PM 11 tukang komen paling setia