BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, August 8, 2009

Kau Milikku 29

BAB 29


LAMA Dizyan menunggu di lobi. Masih tidak kelihatan bayangan Faizal lagi disitu. Dizyan sudah kegelisahan. Kemana dia ini pergi pula? Seketika kemudian, kelihatan Faizal berjalan ke arahnya dengan senyuman manis. Bertambah kacak sesekali Dizyan melihat Faizal. Dia hanya memakai kemeja berona putih dan memakai vest tanpa lengan diluar. Sesiapa sahaja yang melihatnya, pasti akan terpegun ditambah pula wajah dan badan yang ala-ala model itu. Dizyan bersyukur kerana dia menjadi isteri kepada lelaki yang diidamkan ramai wanita itu.
“Dah? Jom.” Ajak Faizal.
Syirin, penyambut tetamu menggantikan Auzra yang sedang bercuti kerana sakit, terjenguk-jenguk memandang mereka berdua. Berbanding Auzra, Syirin suka bergosip. Itu yang menyebabkan Dizyan menjadi tidak selesa apabila mata Syirin tidak lepas dari memandang mereka. Cuba berjalan sejauh mungkin daripada Faizal. Bukan tidak kenal dengan mulut Syirin itu walaupun baru 2 bulan dia bekerja disitu. Laju sahaja kaki Faizal menuju ke lif untuk ke Basement. Pelik! Dizyan mengerutkan dahi. Bukankah kereta dia di kawasan tempat letak kereta di lobi itu? Kenapa turun ke Basement pula?
“Naik kereta kau.” Faizal berkata dan berhenti dihadapan kereta Dizyan. Gadis itu mencebik.
“Ajak aku lunch, tapi naik kereta aku pulak.” Bebel Dizyan. Mulutnya terkumat-kamit perlahan.
“Apa yang kau membebel tu?” Faizal bertanya. Dizyan menggeleng pantas dan segera dibunyikan alat penggera keretanya. Mereka sama-sama masuk ke dalam perut kereta.
“Kita nak makan kat mana ni?” tanya Dizyan sambil menghidupkan enjin kereta. Perlahan-lahan menyusur keluar dari kawasan tempat letak kereta.
“Mana yang kau selalu pergi makanlah.” Jawab Faizal pula. Terus sahaja Dizyan menekan pedal minyak dan menuju ke destinasi gerai yang selalu ditujuinya bersama Fateen dan Hartanty.
Setengah jam kemudian, mereka tiba di destinasi yang dituju. Teragak-agak Faizal hendak keluar dari kereta itu. Memandang ke sekeliling. Dizyan yang sudah melangkah turun, menunggu untuk Faizal juga turun. Agak lama dan tiada tanda-tanda bahawa lelaki itu akan keluar. Dizyan mengetuk cermin kereta sebelah penumpang. Faizal membuka pintu.
“Kenapa tak turun lagi?” tanya Dizyan. Berkerut dahi Faizal cuba berkata sesuatu.
“Kenapa?” sekali lagi Dizyan bertanya.
“Kau makan kat sini?” giliran Faizal pula bertanya. Dizyan mengangguk dan tersenyum kecil. Mungkin Faizal tidak biasa dengan tempat sebegitu.
“Saya selesa makan kat gerai je berbanding restoran mewah.” Sinis sekali Dizyan berkata. Lelaki itu tersenyum sinis.
“Ohh…sesuailah dengan kau.” Faizal membalas. Dizyan sekali lagi mencebik geram. Faizal melangkah jua turun dari kereta. Mereka duduk di satu sudut.
Nasi campur yang disediakan di gerai itu begitu menyelerakan sekali. Dizyan mengambil lauk-lauk kegemarannya. Dibawa pinggan berisi lauk-pauk itu ke meja yang diduduk oleh Faizal. Dia mula menyuap makanan ke mulutnya. Faizal hanya melihat Dizyan menjamu selera. Terasa terganggu apabila Faizal tidak habis-habis merenungnya, Dizyan mengangkat muka.
“Kenapa awak tak makan? Sini bukan ada waiter. Self-service, ya.” Perli Dizyan. Faizal tidak menjawab kata-kata Dizyan itu sebaliknya hanya tersenyum. Kemudian, dia bangun dan menuju ke arah meja yang terletaknya lauk-pauk. Setelah itu, dia melabuhkan semula punggungnya dihadapan Dizyan. Menyuap perlahan-lahan ke mulut. Terkedu Faizal seketika. Belum pernah dia rasa masakan sesedap itu.
“Kan saya dah kata makanan kat sini sedap-sedap. Awak tak percaya.” Ujar Dizyan apabila dilihatnya Faizal begitu asyik dengan makanan dihadapan dia.
“Siapa kata aku tak percaya? Aku cuma tak sangka kau suka makan kat sini.” Faizal membidas. Dizyan mencebik tetapi kemudian tersenyum kecil. Mereka terus menjamu selera.


KERETA MyVi diparkir semula di Basement. Sebelum sempat Faizal melangkah turun dari keretanya, Dizyan berkata sesuatu membuatkan Faizal tidak jadi turun.
“Thanks sebab belanja makan tadi.” Ucap Dizyan. Sebentar tadi, mereka menjadi perhatian pengunjung gerai apabila masing-masing berebut hendak membayar harga makanan yang telah dimakan mereka. Faizal beralih ke arah Dizyan.
“Lain kali kau pulak belanja.” Ujar Faizal dan terus melangkah turun dengan cepat. Dizyan mencebik. Kemudian tergelak kecil. Langkah kaki Faizal laju menuju ke lif. Sambil itu, dia turut mengukirkan senyuman.
Senyuman asyik terukir di bibir Dizyan sehinggakan Fateen yang perasan akan perubahan Dizyan itu, mengerutkan dahi. Dizyan melabuhkan punggung di tempat duduknya. Dengan perasaan ingin tahu, Fateen mendekati Dizyan.
“Kau tak apa-apa?” tanya Fateen. Dikerutkan dahi memandang Fateen. Lagaknya seperti penyiasat pula.
“Kenapa kau tanya?” Dizyan bertanya kembali. Pelik melihat kelakuan Fateen.
“Tak adalah. Aku tengok kau senyum sampai ke telinga dari kau masuk pejabat tadi.” Fateen mencapai organizer dan membuka serta menutup kembali diari catatan itu.
“Aku okay je.” Dizyan berkata sambil mengambil semula organizer tersebut daripada tangan Fateen. Diletakkan ke atas meja.
“Tapi aku dengar kau pergi makan dengan bos. Betul ke?” tanya Fateen. Tersentak Dizyan dibuatnya dengan pertanyaan tersebut.
“Mana kau dengar cerita mengarut macam ni?” sedaya-upaya Dizyan cuba mengelak. Ini tidak lain dan tidak bukan, Syirin pasti sudah menghebohkan perkara ini sehingga satu bangunan.
“Alahh, si Syirin yang kata. Kau keluar makan dengan bos. Siap pegang tangan, peluk-peluk pinggang.” Dizyan menepuk dahi. Kenapalah Syirin suka menokok-nambah cerita yang sedikit sehingga menjadi besar? Digelengkan kepalanya perlahan.
“Keluar makan dengan bos, itu kebenaran. Pegang tangan dna peluk pinggang, itu fitnah.” Ujar Dizyan, ringkas. Buat apa hendak menipu. Nanti mereka akan tahu perkara sebenarnya juga satu hari nanti. Fateen mengangguk perlahan dan tersenyum nakal.
“Pergi makan kat mana dengan bos?” Fateen bertanya lagi.
“Tempat yang selalu kita pergi.” Jawab Dizyan selamba. Tersedak Fateen mendengar kata-kata Dizyan itu. Membeliakkan mata memandang Dizyan.
“Kat gerai Kak Siah tu? Serius?” Fateen bertanya. Dilihatnya gadis itu mengangguk pantas.
“Wow…ini cerita hebat. Kena khabarkan pada Tanty.” Perli Fateen. Dizyan hanya menjungkitkan bahu. Malas hendak mengambil tahu.
“Suka hati kaulah, Teen.” Ujar Dizyan. Meneruskan kembali kerjanya yang bertimbun. Fateen kembali ke tempatnya untuk meneruskan kerja. Sesekali matanya memandang ke arah bilik Faizal yang tertutup itu. Tersenyum kemudian kembali menyiapkan kerja.





JAM di tangan di pandang sekilas. Hampir jam 7 malam. Faizal masih dalam pejabat. Sibuk menyiapkan kerjanya. Fateen juga sudah lama pulang kerana letih, hampir seharian berada di lokasi penggambaran. Dizyan mengemas meja dan mencapai tas tangan yang ada dibawah meja. Berjalan ke arah bilik Faizal dan diketuk pintunya perlahan. Arahan masuk diberikan. Dizyan lihat Faizal masih menumpukan fokus ke arah skrin komputer riba.
“Encik Faizal, saya balik dulu.” Ujar Dizyan. Faizal mendongak memandan gadis itu yang berada di muka pintu. Mengangguk sekali dan kembali menunduk. Dizyan tersenyum dan menutup pintu tersebut. Berjalan ke arah lif dan menekan butang lif tersebut. Pintu lif terbuka dan Dizyan melangkah masuk ke dalam. Sampai sahaja di lobi, pintu lif sekali lagi terbuka. Dizyan terus sahaja melangkah keluar dan ingin menuju ke arah lif yang turun ke Basement. Tetapi langkah kaki Dizyan terhenti apabila namanya dipanggil. Dia berpaling ke arah orang yang memanggil namanya itu. Hati Dizyan menjadi resah. Berpaling ke arah lain. Tidak mahu memandang orang itu. Lelaki tersebut berdiri dihadapan Dizyan. Ingin berbicara sesuatu.
“Ada apa-apa yang boleh saya tolong, Encik Aneeq?” tanya Dizyan, tegas. Aneeq terkedu. Tidak pernah dia mendengar Dizyan menggunakan nada sebegitu terhadapnya.
“Saya perlu jelaskan sesuatu pada awak.” Ujar Aneeq. Dizyan mendengus kasar. Tidak mahu berbicara, tidak mahu memandang dan tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan lelaki itu.
“Cakap jelah. I’m listening.” Dizyan berkata. Matanya masih memandang tempat lain. Tidak langsung memandang ke arah Aneeq. Lama mereka dia membisu. Aneeq masih lagi tercari-cari perkataan yang sesuai untuk memulakan bicara.
“Saya nak jelaskan pada awak pasal malam tu.” Aneeq berkata setelah lama mereka mendiamkan diri. Mata Dizyan mencerlung memandang Aneeq.
“Jangan ingatkan saya tentang malam tu. Saya tak ingat apa-apa. Dan, saya tak mahu ingat. Kita mungkin pernah ada hubungan tapi hubungan tu dah terputus sejak malam itu. Dan, mulai hari ini, saya dan Encik Aneeq hanyalah sebagai pekerja dan ketua sahaja. Tak lebih dari tu.” Dizyan tidak mahu mengingati malam yang amat memeritkan itu. Bagi dia, cintanya terhadap Aneeq telah terhapus sama sekali. Aneeq masih mengharapkan Dizyan akan mendengar penjelasannya dahulu. Dizyan ingin melangkah pergi tetapi Aneeq menarik lengan Dizyan. Meronta gadis itu minta dilepaskan. Dia menepis kasar tangan Aneeq. Jijik apabila dipegang oleh lelaki yang telah menghancurkan hidupnya.
“Jangan pernah sekalipun Encik Aneeq sentuh saya. Saya tak suka.” Sambil mengetap bibir Dizyan berkata.
“Yan, dengar dulu cakap saya.” Kata Aneeq. Dipandang wajah lembut dihadapannya itu. Berharap agar Dizyan mahu mendengarnya.
“Can we go somewhere else? Sini tak sesuai untuk kita berbicara.” Aneeq ingin menyentuh lengan Dizyan tetapi dengan segera gadis itu menjauhkan diri.
“I’m so sorry, Encik Aneeq. Saya dah bersuami. Tak elok jika suami saya tahu kalau saya keluar dengan lelaki lain. Dan....saya tak sudi nak keluar dengan Encik Aneeq. Saya harap Encik Aneeq faham. Mulai hari ini, jangan pernah ganggu saya. Saya tak nak tengok muka Encik Aneeq lagi dah. Saya harap Encik Aneeq lupakan saja apa yang pernah kita lalui dulu. Dan anggap, kita tak pernah ada hubungan.” Dizyan memberi amaran. Terus sahaja dia beredar dari situ. Sudah tidak sanggup melihat wajah Aneeq. Hatinya sakit. Hancur dan luluh. Sepantas kakinya melangkah, selaju itu jugalah airmata menuruni pipi. Menekan butang lif untuk turun ke Basement.
Sebaik sahaja sampai ke Besement, dia menuju ke kereta dan dibunyikan alat penggera kereta. Masuk ke dalam perut kereta dan dihidupkan enjin. Menderu pergi meninggalkan bangunan RUFA Tower. Kakinya menekan pedal minyak sekuat mungkin. Tidak mahu pulang ke rumah lagi. Ingin bersiar-siar mencari ketenangan.


DIZYAN memarkirkan keretanya di garaj. Kereta Faizal masih tidak kelihatan. Belum pulang agaknya. Dengan langkah kaki yang longlai, dia masuk ke dalam rumah. Disapa oleh Sutinah. Tersenyum pada pembantu rumah itu dan terus mendaki tangga naik ke tingkat atas. Tetapi langkah kaki Dizyan berhenti sebaik sahaja namanya dilaungkan. Berpaling memandang Datin Rubaiyah yang berada di hujung tangga. Turun ke bawah semula dan tunduk menyalami ibu mertuanya itu.
“Kenapa, Yan? Mama tengok muka Yan pucat je.” Ujar Datin Rubaiyah. Mengambil berat akan menantu sulungnya itu.
“Tak ada apa-apalah, Mama. Yan kurang sihat sikit je. Mama tak tidur lagi?” ujar Dizyan sambil melihat jam di tangan. Datin Rubaiyah tersenyum.
“Belum lagi. Mama tengah tunggu Yan ni. Esok malam, Mama ajak keluarga Yan datang makan. Dah lama kita tak makan bersama. Nanti cakap pada Zal, ya. Dah berhari Mama tak jumpa Zal.” Datin Rubaiyah menukas. Dizyan mengangguk perlahan.
“Yan kerja tak esok?” tanya Datin Rubaiyah. Dizyan seperti berfikir sesuatu.
“Esok Sabtu. Yan tak kerja. Kenapa, Mama?” giliran Dizyan pula bertanya.
“Esok kita pergi beli barang, ya.” Ujar Datin Rubaiyah. Sekali lagi Dizyan mengangguk. Kemudian, dia meminta diri untuk naik ke tingkat atas. Ingin membersihkan diri yang terasa melekit.
Dilemparkan tas tangan ke atas sofa yang menjadi tempat tidurnya itu. Menghempaskan punggung di atas sofa. Menyandarkan badan dan memandang ke siling. Kipas angin yang berputar terasa perlahan. Entah bila masa, airmata menitis. Dari perlahan sehingga lebat menuruni pipi. Dilap tetapi seakan-akan tidak mahu berhenti.
“Maafkan saya, Aneeq. Saya tak mungkin kembali pada awak. Jiwa dan hati saya telah saya serahkan pada Faizal. Dan hanya Faizal saja yang berhak. Saya tak mungkin menyintai awak. Saya tak mungkin ada apa-apa hubungan dengan awak. Biarlah kisah semalam menjadi penutup hubungan kita.” Ujar Dizyan dalam tangisan. Hatinya benar-benar yakin. Bahawa walau apapun yang terjadi, dia tidak mungkin akan kembali pada Aneeq. Biarpun sampai satu masa nanti, Faizal melepaskan dia dari sisinya. Dia tidak mungkin kembali ke pangkuan Aneeq. Bukan kerana benci tetapi hati sudah tidak mahu mengenang cinta lama.
Lama Dizyan duduk berteleku di sofa tersebut. Sedar dari lamunan. Memandang ke arah jam loceng yang ada di sisi katil. Hampir 1 pagi. Dizyan tidak sedar akan waktu yang berlalu pantas. Dia berjalan ke arah balkoni. Bayangan kereta Faizal masih tidak kelihatan. Bermakna dia masih belum pulang. Nasib baik juga. Kalau tidak, sudah pasti disoal oleh lelaki itu. Kenapa tidak tukar baju? Apasal termenung? Bermacam-macam lagilah yang akan dibebelnya. Melebihi orang perempuan. Dizyan mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri. Selepas itu, dia bersolat Isyak. Usai bersolat, Dizyan duduk berteleku di atas sejadah. Menadah tangan untuk berdoa dan memohon petunjuk. Fikiran tidak tenang, jiwa kacau. Selepas itu, Dizyan berdiri dan melipat sejadah serta telekung. Terkejut apabila terlihat satu lembaga berdiri di pintu dan hanya memerhatikannya tanpa sebarang reaksi.
“Bila…bila awak….awak balik?” tergagap-gagap Dizyan bertanya. TIdak sedar langsung akan kehadiran Faizal disitu.
“Baru je. Malas nak ganggu kau yang tengah khusyuk berdoa. Apa yang kau doakan?” Faizal pula bertanya. Dizyan hanya mendiamkan diri. Malas mahu menjawab. Sebaliknya, dia merebahkan diri ke atas sofa dan menyelimuti diri yang kedinginan.
Dizyan berpaling tetapi tidak sempat berkata sesuatu apabila dilihatnya Faizal mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air. Lama Dizyan mencelikkan mata. Menunggu untuk Faizal keluar dari bilik air. Tetapi mata yang terasa mengantuk tidak dapat ditahan dan akhirnya terpejam.


USAI bersolat Subuh, Dizyan melipat semula sejadah dan telekung sebelum mengejutkan Faizal dari tidurnya. Setelah itu, dia turun ke tingkat bawah untuk bersarapan bersama Datin Rubaiyah. Menolong Sutinah di dapur sementara menunggu Datin Rubaiyah untuk turun. Kalau di hujung minggu, jangan haraplah Faizal akan turun bersarapan bersama mereka. Dia lebih rela menyambung tidur. Dizyan meletakkan seteko kopi dan cawan di atas meja. Dizyan melabuhkan punggung di kerusi meja makan. Duduk merenung pinggan yang berisi sarapan dihadapannya. Datin Rubaiyah mendekati meja makan. Dilabuhkan punggung di tempat biasa. Dizyan mengangkat muka memandang ibu mertuanya. Dituang kopi ke dalam cawan. Diletakkan dihadapan Datin Rubaiyah.
“Yan tak sihat ke? Mama tengok dari semalam muka Yan pucat je.” Ujar Datin Rubaiyah.
“Taklah, Mama.” Ujar Dizyan ringkas. Disuap bijiran sarapan perlahan-lahan ke mulutnya. Tetapi fikirannya tetap menerawang ke tempat lain.
“Tengok tu. Mama cakap dengan Yan ni. Dia boleh buat tak reti je.” Ujar Datin Rubaiyah dengan perasaan geram. Dizyan tersentak dan memandang wajah Datin Rubaiyah terpinga-pinga.
“Mama ada cakap something ke?” tanya Dizyan kembali. Datin Rubaiyah melepaskan dengusan.
“Mama cakap kalau Yan tak sihat, tak payahlah pergi. Mama pergi dengan Bibik je.” Ujar Datin Rubaiyah sekali lagi. Terus Dizyan meletakkan sudunya semula ke dalam mangkuk.
“Tak apa, Mama. Yan dah sihat. Yan boleh temankan Mama beli barang.” Dizyan menukas. Datin Rubaiyah menghirup kopi yang masih berasap itu perlahan. Diletakkan semula cawan tersebut ke atas meja. Memandang wajah pucat Dizyan.
“Betul ni?” tanya Datin Rubaiyah sekali lagi. Menantunya itu mengangguk pantas.
“Okay. Kalau macam tu, kita pergi sekarang. Kalau pergi lambat nanti, pasar tutup pulak.” Datin Rubaiyah berkata. Dizyan bangun dan mengemas apa yang patut di meja makan. Datin Rubaiyah bangun dan mencapai tas tangan di atas kerusi. Mereka keluar dari rumah banglo itu beriringan.


DERAPAN kaki Faizal kedengaran menuruni anak tangga. Menuju ke meja makan dan melabuhkan punggung disitu. Terjenguk-jenguk mencari Datin Rubaiyah dan Dizyan. Sutinah yang baru sahaja muncul dari dapur dengan membawa cawan untuk Faizal, pelik melihat lelaki itu seperti mencari sesuatu. Mengerutkan dahi sambil meletakkan cawan tersebut di hadapan Faizal.
“Ngapain, Jal?” tanya Sutinah. Faizal memandang wajah Bibiknya itu.
“Mama, Papa dan Yan kemana, Bik?” Faizal bertanya. Sutinah menuang kopi ke dalam cawan tersebut dan dihulurkan kepada Faizal.
“Papa Ijal biasalah. Kemana lagik. Main golf. Mama dan Yan ke pasar. Malam ini, Mama Ijal jemput keluarga Yan makan disini.” Sutinah berkata. Hampir tersedak Faizal mendengar kata-kata Sutinah itu. Mengangkat muka memandang wanita tua dihadapannya itu.
“Mama ajak keluarga Yan makan kat sini? Mama tak beritahu apa-apa pun pada Zal.” Ujar Faizal. Diambil tisu dan dilap air kopi di bibirnya.
“Mama udah pesan ama Yan. Nyuruh bilang ama Ijal.” Ujar Sutinah. Faizal mengerutkan dahi. Dizyan tidak berkata apa-apa pun kepadanya semalam.
“Barangkali Yan lupa.” Sambung Sutinah kembali apabila dilihatnya wajah keruh Faizal.
“Tapi malam ni, Zal ada janji dengan kawan Zal.” Faizal meningkah. Sutinah menjungkitkan bahu dan terus beredar dari situ. Menuju semula ke dapur. Sambil itu digelengkan kepalanya. Langsung tidak boleh menunda janji bersama sahabatnya itu. Sedangkan hari-hari berjumpa juga.

BERSAMBUNG.....

5 tukang komen paling setia:

LiNa said...

wah..
makin best..
sambung lagi yer..

ceritaku MEMORIKU said...

sukesuke
sambung2.
ahakzzz.
-na'dz

bunga kekwa said...

teruskn usaha...

Nomie Aziz said...

tengah tunggu sambungan ni:-)

Aifa Rosli said...

ala...
sambung please...
lambatnyer..
cite nie best la..