BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, August 1, 2009

Kau Milikku 28

BAB 28

MAZDA MX-5 berhenti dihadapan bangunan RUFA Tower. Lama Faizal duduk bertafakur di dalam kereta. Telefon bimbit yang berkali-kali berdering tidak dipedulikan. Sahabat handai menunggu kedatangannya. Ditenung bangunan itu dengan pandangan kosong. Diraup wajahnya dan melepaskan keluhan sekali. Dia membuka pintu keretanya dan turun menuju ke lif di lobi. Setelah pintu lif terbuka, Faizal masuk ke dalam perut lif tersebut dan menekan butang 12. Sekali lagi pintu lif terbuka di tingkat 12. Perlahan-lahan Faizal melangkah keluar. Terdengar bunyi seseorang mengetuk papan kekunci. Kemudian, senyap. Sesekali diselangi dengan keluhan. Faizal menjenguk ke meja Dizyan dari jauh. Kelihatan gadis itu sedang khusyuk melakukan kerjanya. Faizal menuju ke arah meja Dizyan. Diketuk meja tersebut perlahan tetapi cukup mengejutkan gadis itu. Dizyan terus berdiri.
“Baliklah. Dah malam ni. Mama risau kat rumah tu.” Ujar Faizal tetapi tidak dipandang wajah gadis tersebut. Sebaliknya mata Faizal meliar ke sekeliling pejabat. Khuatir jika ada yang terdengar perbualannya bersama Dizyan. Almaklumlah, ada yang belum pulang lagi kerana sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Berkerut dahi Dizyan.
“Tapi kan Encik Faizal nak draft proposal ni esok pagi.” Dizyan berkata pula. Faizal berdehem kecil. Disilangkan lengan ke dada.
“Bawak balik ke rumah. Guna laptop aku. Tapi untuk siapkan proposal ni je tau. Jangan memandai kau bukak fail-fail yang lain yang ada dalam tu.” Pesan Faizal. Dizyan mengangguk perlahan dan mula mengemas mejanya yang berselerak.
“Jangan lama-lama duduk kat office ni. Tempat ni keras.” Bisik Faizal perlahan di tepi telinga Dizyan. Meremang bulu roma gadis itu.
“Hah?!” Dizyan menjarakkan badannya sedikit dari Faizal. Mata mereka bertentang. Lama mereka berkeadaan begitu. Faizal dibuai satu perasaan yang sukar ditafsirkan. Mata Dizyan mengasyikkan. Dizyan juga begitu. Memandang mata Faizal menimbulkan satu perasaan yang mendamaikan. Derapan kaki seseorang mendekati mereka berdua.
“Bos…apa yang bos buat kat sini malam-malam ni?” pertanyaan Fateen mengejutkan mereka berdua yang sedang dibuai perasaan masing-masing. Dizyan segera mengalihkan pandangan ke arah Fateen. Faizal memandang ke tempat lain.
“Tak ada apa. Ada tertinggal barang.” Ujar Faizal dan terus sahaja beredar dari situ. Sambil berjalan dia memegang dada. Apakah perasaan ini? Faizal menggelengkan kepalanya berkali-kali.
“Hish, dah nyanyuk agaknya orang tua ni.” Fateen membebel seorang diri. Dizyan turut memegang dadanya. Kenapa perasaan ini muncul kembali? Kenapa dia ada perasaan ini apabila bersama Faizal? Perasaan yang sama pernah ada ketika dia bersama Aneeq dahulu. Dizyan memejamkan matanya. Ditepuk dahi dengan kuat. Fateen yang melihat perbuatan itu, menuju semula ke arah Dizyan.
“Yan, kenapa ni? Kau tak apa-apa?” Fateen bertanya. Risau pula apabila melihat wajah Dizyan yang tiba-tiba pucat.
“Aaa…aku…aku tak apa-apa.” Dizyan berkata sambil meneruskan kerja mengemas meja. Fateen kembali semula ke mejanya.
“Teen, aku nak tanya ni.”
“Apa dia? Tanya jelah.” Jawab Fateen dari jauh.
“Betul ke tempat ni…..keras?” akhirnya terluah juga apa yang ada di fikiran Dizyan.
“Mana kau dengar cerita ni?” giliran Fateen pula bertanya.
“Encik Faizal.” Jawab Dizyan ringkas. Fateen tergelak kecil.
“Memanglah tempat ni keras. Kan bangunan ni diperbuat daripada simen dan batu-bata.” Seloroh Fateen. Dizyan memasamkan wajahnya. Terasa seperti dipermainkan oleh Faizal.
“Sebenarnya department dan tingkat kita ni tak pernah kena lagi benda-benda macam tu. Tapi tingkat 8, selalu. Budak-budak kat bawah tu cerita.” Tukas Fateen. Dizyan terasa seram sejuk.
“Ohh…ye ke? Tak apalah, Teen. Yan balik dulu.” Dizyan segera meminta diri. Dia menuju ke lif dan menekan butang untuk ke lobi.
Sebaik sahaja tiba di lobi, Dizyan berlari anak menuju ke lif untuk ke Basement. Dizyan berjalan laju menuju ke keretanya. Kereta Mazda MX-5 diparkir di sebelah kereta MyVinya. Kelihatan Faizal sedang duduk di atas bonet kereta sambil menyilangkan lengan ke dada. Terhenti langkah kaki Dizyan.
“Awak tak balik lagi? Saya ingatkan awak dah pergi.” Ujar Dizyan. Penggera kereta dibunyikan dan dimasukkan segala barangan yang digendong ke dalam perut kereta. Serba salah Dizyan dibuatnya. Masih tercegat di tepi pintu kereta.
“Cepatlah masuk. Aku hantar kau balik.” Faizal berkata. Dizyan memandang sekilas wajah Faizal dan terus masuk ke dalam kereta.
Kereta Faizal membuntuti kereta Dizyan sehingga mereka tiba dihadapan banglo 3 tingkat milik keluarga Datuk Farid itu. Sebaik sahaja kereta Dizyan masuk ke dalam perkarangan rumah, kereta Faizal terus menderum pergi meninggalkan kawasan perumahan itu. Tidak sempat untuk Dizyan mengucapkan terima kasih. Pintu pagar automatik ditutup semula. Malam itu juga, Dizyan menyiapkan deraf kertas kerja yang diminta Faizal. Dizyan melihat jam dinding yang tergantung di dalam bilik tersebut. Hampir jam 3 pagi. Kelibat Faizal masih belum nampak. Mata Dizyan yang semakin mengecil itu minta dipejam. Akhirnya, Dizyan terlelap di sofa yang dijadikan katil tidur dia selama ini.


JAM antik di sudut rumah berdenting sebanyak 4 kali. Kereta Mazda MX-5 perlahan-lahan menyusur masuk ke dalam garaj. Faizal keluar dari keretanya dan masuk ke dalam rumah. Rumah yang gelap itu menandakan kesemua penghuni rumah itu telah pun belayar ke alam mimpi. Terjengket-jengket Faizal menuju ke biliknya di tingkat atas. Memulas tombol pintu. Bilik tidurnya juga sudah gelap. Memandang ke arah sofa. Dizyan berbungkus di dalam selimut. Penghawa dingin yang kuat itu mendinginkan. Faizal memperlahankan penghawa dingin tersebut apabila dilihatnya Dizyan menggeletar kesejukan. Membuka baju T yang dipakainya. Dilemparkan ke atas katil. Mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri. Selepas membersihkan diri dan keluar dari bilik air, Faizal mengeringkan rambutnya yang basah menggunakan tuala. Sambil berdiri di hadapan meja yang diletakkan komputer ribanya, menyelak deraf kertas kerja yang dilakukan oleh Dizyan. Amat mengkagumkan walaupun baru pertama kali Dizyan melakukan kertas kerja. Dia menutup semula deraf kertas kerja tersebut. Tiba-tiba matanya tertancap pada sehelai ‘sticky note’ yang dilekatkan di komputer riba.
‘Thanks for sending me home’. Kata-kata yang ringkas itu mengundang senyuman dari bibir Faizal. Ditarik ‘sticky note’ tersebut dari komputer ribanya. Faizal melabuhkan punggung di atas katil. Sambil matanya memandang ke arah Dizyan. Gadis itu bergerak. Lampu yang menyala menyakitkan mata. Dibuka mata sekecil yang mungkin. Terasa seperti ada seseorang sedang merenungnya. Mata yang kecil kini terbuka luas.
“Awak baru balik?” tanya Dizyan. Duduk di atas sofa sambil menggosok mata yang masih ada sisa kantuknya. Faizal mengangguk perlahan.
“Pergilah tidur. Esok nak kerja lagi.” Faizal berkata. Dizyan pula mengangguk. Dibaringkan badan yang keletihan ke atas sofa semula. Menutup wajah menggunakan selimut. Sekali lagi Faizal tersenyum kecil. Dia bangun dari katilnya dan menutup lampu. Dibaringkan badan ke atas katil setelah siap berpakaian tidur. Memejamkan mata dan terlelap.

2 bulan kemudian....
JAM 8.30 pagi, Faizal terjaga. Terlajak tidur sehingga tidak sedar masa. Selepas dikejut Dizyan untuk menunaikan solat Subuh, Faizal terlelap kembali setelah melakukan kewajipan kepada-Nya. Faizal hanya membasuh muka kerana sebelum bersolat Subuh, dia sudah membersihkan diri. Menyarungkan pakaian yang memang disediakan oleh Dizyan setiap pagi. Walaupun, dia sibuk bekerja. Hampir 2 bulan Dizyan bekerja di syarikat milik Papanya itu. Jarang sekali mereka bersua muka di rumah. Hanya sesekali dipejabat sahaja. Itupun jika Faizal tidak sibuk. Jika tidak, hujung minggu sahaja mereka boleh berjumpa. Faizal sudah siap berpakaian. Dia turun ke tingkat bawah untuk bersarapan. Sudah pasti Dizyan dan Datuk Farid berangkat ke tempat kerja. Kelihatan Datin Rubaiyah dengan tenang menikmati sarapan paginya.
“Morning, Ma.” Ucap Faizal. Meletakkan beg bimbit di tepi tangga. Senang untuk mencapainya nanti. Duduk menghadap Datin Rubaiyah.
“Morning.” Jawab Datin Rubaiyah. Menghulurkan semangkuk lontong kepada Faizal.
“Rajin Mama masak lontong pagi-pagi ni.” Ujar Faizal sambil menyuapkan sesudu nasi impit ke mulutnya. Datin Rubaiyah tersenyum.
“Bukan Mama. Yan yang masak.” Datin Rubaiyah pula berkata. Faizal mengerutkan dahi.
“Dia tak pergi kerja ke?” tanya Faizal. Memanjangkan leher. Terjenguk-jenguk ke dalam dapur.
“Taklah. Lepas masak tadi, Yan terus pergi. Sebab Papa kata teringin nak makan lontong. Tu yang Yan masak untuk Papa.” Jelas Datin Rubaiyah. Menyuap sesudu lagi ke mulut. Menikmati masakan menantunya. Tidak disangka Dizyan pandai memasak. Faizal mengangguk perlahan.
“Zal agak-agaklah kan, bila Mama boleh merasa ada cucu?” Datin Rubaiyah pura-pura bertanya. Terhenti suapan Faizal. Dia mendongak memandang wajah Datin Rubaiyah yang selamba.
“Ke situ pulak Mama fikir. Lambat lagi kot. Ini pun Zal yang tak bersedia jadi seorang suami. Macam mana nak jadi seorang ayah pulak?” ujar Faizal. Datin Rubaiyah mengerutkan dahi. Tidak faham dengan kata-kata anaknya itu.
“Hish…budak bertuah ni. Tak baik tau Zal cakap macam tu. Nasib baik Yan dah pergi kerja. Kalau dengar kat dia, mesti dia kecil hati nanti. Yalah, lagipun dah dekat 3 bulan kamu berkahwin. Takkan Yan tak ada lagi tanda-tanda nak ada isi?” Datin Rubaiyah tidak senang mendengar kata Faizal itu. Faizal hanya menjungkitkan bahu. Sesudah bersarapan, Faizal tunduk menyalami Datin Rubaiyah dan beredar dari situ. Datin Rubaiyah menggeleng perlahan mengenangkan sikap acuh tidak acuh Faizal itu.
Sutinah mengemas meja makan. Datin Rubaiyah hanya duduk termenung di meja makan tersebut. Berkerut dahi Sutinah. Dibawa pinggan mangkuk yang kotor itu ke belakang. Kemudian muncul semula di ruang makan.
“Ngapain, Datin? Dari tadi, saya liat(lihat) Datin menung aja terus. Kaya(Seperti) Yan juga.” Ujar Sutinah. Datin Rubaiyah mendongak memandang pembantu rumahnya itu.
“Entah bilalah saya ni nak merasa ada cucu, Bik. Si Faizal tak mahu fikir pasal anak lagi. Fikhri kata nak ada kerjaya dulu. Si Fathiq memanglah dah ada calon. Tapi orang putih pulak. Tak berkenan saya ni dengan bangsa penjajah macam tu.” Datin Rubaiyah merenung masa hadapan. Sutinah tersenyum kecil. Itu rupanya yang dikhuatirkan wanita anggun itu.
“Tapi kalau namanya udah jodoh, kita juga nggak bisa melawan takdir Allah.” Ujar Sutinah. Datin Rubaiyah memandang sekilas ke arah Sutinah dan mengangguk perlahan.
“Agaknya sampai saya mati lah tak merasa saya ada cucu.” Ujar Datin Rubaiyah, sedih. Menongkat dagu. Sutinah menggeleng perlahan.
“Nggak usah kawatir(khuatir), Datin. Pastinya satu hari nanti Allah akan makbulkan doa Datin yang pingin(ingin) punya cucu.” Kata-kata Sutinah sedikit melegakan perasaan Datin Rubaiyah yang gundah-gulana. Sutinah meneruskan kerjanya kembali.



SUASANA di RUFA Tower riuh dan sibuk dengan para pekerja yang tergesa-gesa menyiapkan tugasan masing-masing. Dizyan juga sibuk menyiapkan kerja yang diberikan Faizal. Apabila Faizal melintasi mejanya, langsung Dizyan tidak mengangkat muka memandang lelaki itu. Faizal berhenti dihadapan meja Dizyan. Diketuk meja itu, kuat. Terkejut! Dizyan mendongak memandang Faizal.
“Nescafe ‘O aku mana?” tanya Faizal. Dizyan mengerutkan dahi. Dipandang Faizal dari atas ke bawah. Masih memegang beg bimbit dan juga kot masih tersarung di tubuh sasa lelaki itu.
“Dah ada kat dalam.” Ujar Dizyan. Tunduk semula untuk menyiapkan kerja yang terbengkalai. Faizal sudah tidak tahu hendak berkata apa. Dia mendengus geram dan melangkah masuk ke dalam biliknya. Mata Dizyan mengikuti bayangan Faizal sehingga menghilang di sebalik pintu kayu tersebut.
Faizal melemparkan kot dan beg bimbitnya ke atas sofa. Dilabuhkan punggung ke atas kerusi di meja tulis. Kedua belah jari telunjuk mengetuk tempat meletakkan tangan di kerusi tersebut. Sesekali matanya memandang ke luar. Dizyan masih leka melakukan kerja. Faizal berdiri dan menghampiri jendela kaca yang membentangkan pemandangan suasana pejabatnya. Diselak tirai tersebut. Dizyan masih lagi tidak sedar dirinya menjadi perhatian si suami. Tangan kanan disilangkan ke dada manakala tangan kiri melurut dagu. Faizal mendengus. Berjalan semula ke mejanya dan mencapai cawan Nescafe tersebut dan dihirup perlahan. Kemudian, idea datang menerjah fikirannya. Dibuka pintu biliknya dengan kasar. Dia berjalan ke arah meja Dizyan dengan membawa cawan Nescafenya itu. Diletakkan dihadapan Dizyan.
“Kenapa kau buat hari ni tak sedap?” tanya Faizal. Dizyan mengerutkan dahi. Memandang Faizal dengan perasaan tidak puas hati.
“Manalah saya nak tahu.” Dizyan menjawab selamba. Mencerlang mata Faizal.
“Pergi buat yang baru. Aku nak panas-panas.” Faizal berkata dan terus berlalu pergi.
Mulut Dizyan terkumat-kamit membebel seorang diri. Dia menuju ke pantri dan membuat Nescafe ‘O yang baru untuk Faizal. Kemudian, dibawa semula ke bilik Faizal. Diletakkan cawan tersebut di atas meja Faizal. Lelaki itu yang sedang leka membaca fail dihadapannya, mencapai cawan itu dan menghirupnya. Segera meletakkan semula cawan tersebut. Panas! Lidah terasa melecur.
“Kau nak buat lidah aku melecur ke?” Faizal bertanya kasar.
“Encik Faizal kata nak yang panas-panas. Jadi, saya pun buatlah yang panas-panas.” Perli Dizyan. Faizal tahu salahnya. Tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi.
“Keluarlah. Aku banyak kerja ni.” Ujar Faizal. Dizyan mencebik. Siapa yang menyuruh dia membuat airnya sebentar tadi? Kini, dihalau pula. Geramnya Dizyan pada Faizal tidak terkata.
“Saya minta diri dulu.” Separuh menyindir Dizyan berkata. Mencebik geram. Faizal langsung tidak mengangkat muka memandang Dizyan. Sebaik sahaja pintu biliknya tertutup selepas Dizyan melangkah keluar, bibir Faizal mengukir senyuman kecil.
Leka Dizyan menyelesaikan kerjanya sehingga tidak sedar sudah tiba waktu makan tengah hari. Interkom di tempat Dizyan berbunyi. Lampu merah berkelip-kelip. Ditekan butang tersebut. Terdengar Faizal menyuruh Dizyan masuk ke dalam biliknya. Dengan langkah longlai Dizyan masuk ke dalam bilik tersebut. Apalah lagi yang dimahukan oleh Faizal pula kali ini? Pintu bilik diketuk perlahan. Arahan masuk diberikan dan terjengul wajah Dizyan disebalik pintu. Dia menutup semula pintu bilik Faizal itu. Mendekati meja kerja Faizal.
“Kau lunch dengan siapa hari ni?” tanya Faizal tetapi wajahnya tidak dipandang ke arah Dizyan. Matanya masih melekat di skrin komputer riba. Gadis itu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Selama 2 bulan dia kerja disitu, belum pernah sekalipun Faizal bertanya kepadanya tentang jadual waktu makan tengah hari dia.
“Tak ada siapa-siapa. Lagipun saya bawak bekal lontong tadi dari rumah.” Terus-terang Dizyan berkata. Tidak mahu selindung. Dilihatnya Faizal mengangguk perlahan.
“Kau lunch dengan aku hari ni.” Kata-kata Faizal itu membuatkan Dizyan tersentak.
“Lunch dengan Encik Faizal? Encik Faizal tak takut ke orang akan kata kita ni ada skandal?” bersungguh Dizyan bertanya. Pelik dengan sikap Faizal hari ini. Faizal tersenyum. Tahu apa yang bermain di fikiran Dizyan. Dia tahu gadis itu tidak mahu para pekerja mengatakan yang bukan-bukan tentang dirinya dan juga Faizal.
“Salah ke seorang bos nak keluar makan dengan pekerjanya?” giliran Faizal pula bertanya.
“Bagi saya, memanglah tak salah. Tapi orang lain tak fikir macam tu. Nanti dia orang akan bercerita buruk. Akan merosakkan imej Encik Faizal sendiri.” Jelas Dizyan. Dia tidak mahu orang mengutuk Faizal. Sudah banyak cerita mengenai Faizal sampai ditelinganya. Encik Faizal kaki perempuanlah, Encik Faizal dah tidur dengan Ku Zhety, Encik Faizal kaki mabuk dan bermacam-macam lagilah. Tetapi Dizyan yakin, Faizal bukan begitu orangnya. Dia lebih kenal Faizal daripada orang lain. Langsung tidak mempercayai kata-kata yang singgah di telinganya.
“Kau jangan risaulah. Selama ni pun, memang orang suka cerita buruk pasal aku.” Faizal cuba untuk menyakinkan Dizyan. Akhirnya, Dizyan mengangguk tanda setuju. Terpaksa bersetuju. Tidak mahu Faizal kecewa.
“Kau tunggu aku kat lobi. Lagi 15 minit, aku turun.” Dizyan mengangguk dan keluar dari bilik Faizal. Menuju ke mejanya dan mencapai tas tangan yang berada di dalam laci. Setelah log off komputernya, Dizyan menuju ke lif dan menekan butang G untuk turun ke lobi.

BERSAMBUNG.....

8 tukang komen paling setia:

LiNa said...

best2..
sweet je faizal tue..
cinta dh mula berputik..
hehehe..sambung lagi yer..

ha-ra said...

faizal da tgkap lentok ngn yan..
hehehehhe

ha-ra said...

cpat la smbg ecah...

aL-HaNis said...

cepatlah, bile bunga-bunga cinta nk berputik ni. hehe

keSENGALan teserlah.. said...

wawaaaaaa..
comey2..
yan n faizal da ade rse tuh..
ekekeee..
sweet je faizal nieh...
smbung2..

alreinsy said...

best2... sweetnya faizal... check yan kt ofis... risau gak... cinta sudah berputik... suka2... smbg2... x sbr nk tau kisah seterusnya...

Bisikans said...

bestnye citer nih.... baru terjumpa blog ni... mmm sambung..sambung..

ceritaku MEMORIKU said...

adoyaiii.awat comel bangat.
bhahahha.suke2
faizal dah asyik usha yan.ahakzz.
dah rase pape kerw.
dah suke kenakan yan.sweet
-na'dz