BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, May 13, 2009

Kau Milikku 10

BAB 10

HANYA tinggal beberapa minit terakhir sahaja lagi untuk menghabiskan kertas terakhir. Dizyan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada subjek tersebut. Leka dia menyelesaikan soalan yang diberikan sehingga tidak perasan akan sepasang mata yang asyik memerhatikan gerak-gerinya sedari tadi. Dizyan mendongakkan kepala untuk melihat jam dinding yang tergantung elok dihadapan. Tidak sampai 20 minit sahaja lagi. Sebenarnya, Dizyan sudah menyelesaikan soalan terakhir tetapi dia mahu memeriksa semula. Dikhuatiri ada jawapan yang salah atau masih belum diselesaikan lagi. Setelah berpuas hati dengan jawapan yang ditulis, Dizyan mengikat kertas jawapan. Diletakkan di sebelah kanan supaya senang untuk guru pengawas mencapainya. Memandang ke sebelah kanan. Chempaka Emilin sedang tekun untuk menyelesaikan soalannya. Memandang pula ke kiri. Faizal tersenyum manis. Dizyan kaget. Buat-buat tidak nampak sahaja senyuman lelaki itu dan memandang ke arah lain. Curi-curi pandang ke arah Faizal tetapi lelaki itu memandang ke arah Hezlin yang berada di barisan paling hujung dan di kerusi yang paling hadapan. Masih bermain mata dan gadis itu seronok menguak rambutnya sambil tersenyum manis. Dizyan mencemik. Dasar lelaki! Loceng berbunyi tepat jam 4.30 petang. Tanda menamatkan peperiksaan untuk kertas terakhir. Sekolah tersebut riuh rendah dengan suara pelajar yang rata-ratanya menyatakan rasa lega mereka kerana sudah terlepas bebanan yang dipikul selama setahun itu. Dizyan mengemas alat tulis yang berselerak di atas meja ke dalam bekas penselnya semula.
“Saya harap kamu semua akan cemerlang dalam keputusan masing-masing dan selamat berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi.” Ucap guru pengawas tersebut sebelum dia mengutip kertas tersebut. Setelah kertas terakhir pada pelajar terakhir di dalam kelas tersebut diambil oleh guru pengawas, mereka semua berpusu-pusu keluar dari kelas kecuali Dizyan. Disangkanya hanya dia sahaja yang lambat keluar dari kelas tersebut tetapi Faizal dan juga Hezlin tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka akan keluar awal bersama pelajar lain. Ku Zhety awal-awal lagi sudah keluar.
Faizal berjalan ke arah Hezlin dengan gaya machonya. Tangan kanan dimasukkan ke poket seluar. Dizyan mencebikkan bibir. Meluat melihat gaya manja Hezlin. Faizal beralih ke arah Dizyan yang sedang memandang mereka dengan perasaan jelek. Tersenyum sinis. Hezlin juga turut berbuat demikian. Sengaja Faizal mengusap lembut rambut Hezlin. Entah apa yang diceritakan oleh Faizal sehingga Hezlin terkekeh kecil. Leka Dizyan memerhatikan gelagat mereka berdua.
“Sayang!!! You buat apa ni?” separuh menjerit Ku Zhety bertanya. Dizyan tersentak dan memandang ke arah Ku Zhety yang berdiri mencekak pinggang dihadapan pintu kelas. Hezlin kaget, Faizal masih selamba.
“Relakslah, sayang. I dengan Lin tak ada apa-apa. Kami cuma sembang pasal kertas tadi je.” Faizal memberikan penjelasan walaupun dia tahu Ku Zhety pasti tidak akan percaya. Dizyan sudah tertawa kecil sambil menekup mulut. Mata Ku Zhety tajam menikam wajah Dizyan.
“Dugong, betul ke dia orang discuss pasal paper tadi?” tanya Ku Zhety pada Dizyan. Gadis itu seperti berfikir sesuatu kemudian menjungkitkan bahu.
“Kau baik cakap betul-betul dengan aku, Dugong.” Ugut Ku Zhety. Terkumat-kamit mulut Dizyan menyumpah Ku Zhety. Hendak bertanya kepada dia tetapi memanggil namanya macam-macam.
“Oppsss...sorry. Hal rumahtangga kau orang, aku tak nak involve.” Dizyan terus sahaja mencapai bekas alat tulisnya dan beredar dari situ. Sempat berpaling ke arah Faizal dan Hezlin. Dijelirkan lidah. Laju sahaja Ku Zhety menuju ke arah mereka berdua. Terdengar suara Ku Zhety menjerit kuat dari jauh. Dizyan menggeleng perlahan. Misha dan Yasmin melangkah menyaingi rentak kaki Dizyan. Ditepuk bahu Dizyan kuat sehingga gadis itu melatah.
“Wooii...eh!” Dizyan beralih ke arah dua sahabat baiknya itu.
“Kau orang ni kan. Cuba-cubalah bagi salam dulu. Nasib baik aku tak kena heart attack. Kalau tak, mau mampus jugak aku kat sini kang.” Dizyan mengurut dada yang terkejut dengan tindakan sahabat-sahabatnya itu.
“Sorry....sorry.” ujar Misha.
“Sorry, morry. Makan biskut marie.” Seloroh Dizyan. Misha dan Yasmin mengekek ketawa.
“Kita orang nak tanya kau pasal laki bini yang bergaduh kat kelas kau tadi tu.” Yasmin pula berkata. Ingin juga mereka tahu akan sebab terjadi pergaduhan itu. Memanglah Faizal dan Ku Zhety selalu bergaduh tetapi tidaklah sampai kecoh satu sekolah.
“Ahhh...pedulikanlah pasal dia orang.” Dizyan berkata dan melangkah menuju ke kantin. Perut berkeroncong minta diisi. Ingin menyantap masakan mak cik kantin itu untuk kali terakhir. Namanya pun sudah hari terakhir mereka akan bersekolah disitu. Kebanyakan para pelajar sudah pulang. Kertas peperiksaan yang terakhir juga, selesai.
“Alahh...kita orang nak jugak tahu masalah dia orang tu.” Yasmin berkata lagi.
“Hish, kau ni kan Yas. Aku rasa lebih baik kau jadi wartawan tau. Asyik sibuk je nak jaga tepi kain orang.” Sindir Dizyan pedas. Tetapi Yasmin sikit pun tak terasa.
“Memang itupun cita-cita aku.” Ujar Yasmin membalas.
“Ceritalah, Yan.” Pujuk Misha pula.
“Pasal si Faizal tu goda Hezlin. Zhety nampak. Mengamuklah perempuan ahli sihir tu.” Kata Dizyan. Misha dan Yasmin serentak tergelak besar. Perempuan ahli sihir? Baru pertama kali mereka dengar Dizyan memanggil nama Ku Zhety sebegitu.
“Wei, dahlah cerita pasal dia orang. Cerita pasal mangkuk hayunan dua ekor tu bikin perut aku lapar je.” Dengan pantas Dizyan meninggalkan mereka berdua yang sedang menghabiskan sisa tawa mereka. Tetapi ketawa mereka dengan serentak mati, apabila terlihat Dizyan jatuh terduduk dilanggar sekumpulan orang.
“Eiii, kau orang ni kan dah last day pun still nak cari pasal dengan aku.” Kata Dizyan cuba untuk bangun. Terkial-kial menolak badan gempalnya untuk berdiri.
“Sebab kita orang memang suka cari pasal dengan kau. Apasal masa aku gaduh dengan Zhety tadi, kau tak tolong?” mata Faizal mencerun ke arah Dizyan. Gadis itu mencekak pinggang.
“Aku nak tolong kau? Memang taklah. Kau ingat kau tu siapa? Boyfriend aku? Lainlah kalau kau tu boyfriend aku, aku tolonglah. Kalau tak, jangan harap. Yang kau nak goda si Hezlin ulat bulu tu dalam sekolah ni, apahal? Kau nak goda dia, goda kat luar sekolah. Masa girlfriend ‘witch’ kau tu tak nampak. Aku ingatkan gangster macam kau ni, pandai. Tapi tak sangka, bodoh jugak rupanya.” Perli Dizyan dengan senyuman sinis.
“Kau ni memang dah melampau, Dugong.” Faizal mengetap gigi. Benar geram dengan sikap gadis dihadapannya itu. Dizyan menjelirkan lidah dan berlalu dari situ. Menuju ke kaunter makanan.
“Zal, kau kata kau nak laksanakan rancangan yang telah kau rancang selama berbulan-bulan pada dugong tu.” Aneeq mengingatkan Faizal kembali akan rancangan asal Faizal.


DIZYAN, Misha dan Yasmin sudah berjanji untuk bertemu di kompleks membeli-belah Mid Valley untuk menonton wayang bersama. Katanya ada cerita terbaru lakonan Zac Efron, jejaka idaman gadis. Misha yang sudah sampai paling awal terpaksa membeli tiket dahulu kerana Yasmin dan Dizyan masih juga belum sampai. Kelihatan kelibat Dizyan dan Yasmin berjalan beriringan. Misha menyilangkan lengan ke dada. Pura-pura marah.
“Sorry, Sha. Bas tu lambat sangat.” Alasan Dizyan.
“Yelah tu. Kau pulak?” Misha beralih ke arah Yasmin yang tersengih seperti kerang busuk.
“Hehe...aku singgah kat ZARA. Kedai tu buat sale. Lepas tu, dah lalu kat MNG, aku masuk jugak. Sale tengah gila-gila ni. Tu yang aku sempat shopping dulu. Takut melepas barang yang aku nak beli.” Alasan Yasmin yang boleh diterima. Melihatkan beg-beg kertas barang yang dibelinya.
“Kau ni kan, Yas. Kita dah janji nak shopping sama-sama.” Misha berkata separuh merajuk.
“Alahh...lepas ni kita shopping lagi. Sebab semalam aku tengok cousin aku, Airisa, beli baju kat ZARA. Cantik gila. Tu yang aku datang-datang je pergi singgah ZARA dulu.” Jelas Yasmin. Dizyan menggeleng. Si Yasmin ini, pantang lihat baju yang cantik. Pasti akan dibelinya.
“Mana tiketnya?” tanya Dizyan. Misha menggawangkan tiket tersebut dihadapan muka mereka.
“Kau beli cerita apa?” tanya Yasmin pula.
“17 Again. Kata nak tengok Zac Efron.” Mereka mengangguk serentak. Mereka bertiga berjalan ke arah kaunter tiket untuk masuk ke dalam panggung wayang. Menunggu lampu panggung mereka untuk menyala.
“Kau orang tak nak beli pop corn?” Dizyan bertanya.
“Tak naklah. Semalam pun aku dah makan.” Yasmin menyahut.
“Semalam bukan exam ke? Bila masa kau makan?” Misha bertanya hairan.
“Semalam aku dah tengok wayang dengan Qazem. X-Men Origins:Wolverine.” Tersengih Yasmin.
“Ohh...maknanya lepas je balik, kau terus pergilah?” Misha bertanya.
“Yup. Tu sebabnya aku nak blah awal.” Terang Yasmin lagi. Dizyan dan Misha mengangguk.


HABIS sahaja tayangan filem yang ditonton oleh mereka, perut masing-masing sudah berkeroncong minta diisi. Melangkah menuju ke food court yang terletak di aras 5 kompleks tersebut. Dizyan tahu apa yang hendak dimakannya. Segera menuju ke gerai Japanese Cuisine. Misha dan Yasmin masih tercari-cari makanan apa yang hendak dimakan. Dizyan cepat sahaja menuju ke arah tempat kosong setelah ada sepasang kekasih beredar. Misha dan Yasmin turut duduk ditempat itu. Mereka melihat makanan Dizyan. Berselera sekali gadis dihadapan mereka itu menjamu selera.
“Kau makan apa tu, Yan?” tanya Misha. Ini mesti makanan Jepun. Makanan seperti ini tidak boleh melalui tekak melayu Misha itu.
“Chicken Teriyaki. Kau orang makan apa?” Dizyan pula yang bertanya.
“Aku makan nasi goreng kampung.” Misha berkata.
“Aku nasi ayam.” Yasmin pula menyahut.
“Ohh...lupa pulak kau orang ni Melayu.” Perli Dizyan, kemudian tertawa.
“Atleast, kita orang sedar sikit asal-usul kita orang. Daripada kau.” Sindir Yasmin kembali. Mereka bertiga tertawa kecil. Sepasang mata asyik sahaja memerhatikan gerak-geri mereka sejak dari mereka keluar dari panggung lagi.
“Lepas ni, kemana kita?” tanya Misha. Menyuap sesudu nasi ayam ke mulut.
“MNG. Aku nak beli baju kejap.” Yasmin berkata sambil menggaul nasi goreng kampung yang berasap dihadapannya.
“Aihh...bukan kau dah beli ke tadi?” Misha bertanya lagi.
“Dah. Tapi ada satu baju tu, cantik sangat. Tadi tak sempat nak beli. Tu yang nak pergi beli lagi ni.” Ujar Yasmin. Menghirup ice lemon teanya.
“Kau ni boros sangatlah, Yas.” Dizyan pula berkata. Dengan menggunakan chopstick, dia menyuapkan nasi di dalam mangkuk ke mulut. Hairan Yasmin dan Misha melihat dia. Cekap juga Dizyan makan nasi menggunakan kayu penyepit itu.
“Alah, sekali-sekala.” Ujar Yasmin lagi. Kemudian, mereka tidak berkata apa-apa lagi dan meneruskan menjamu selera.
Setelah puas mereka bertiga membeli-belah barangan yang sudah lama diidamkan, Dizyan melihat jam di tangan. Hampir pukul 9 malam. Terbeliak biji mata Dizyan. Tidak disangka sudah selewat itu, dia masih belum pulang ke rumah.
“Kau orang...jomlah. Dah dekat pukul 9 ni. Nanti bising pulak parents aku.” Ajak Dizyan.
“A’ahlah, wei. Macam mana aku boleh tak perasan dah lewat.” Yasmin pula menyambung kata. Mereka menuju ke arah teksi yang masih menunggu di luar kompleks tersebut. Mereka ingin turun di K.L Sentral. Jadi, tidak perlu menunggu KTM di bawah kompleks itu lagi. Jika mereka menaiki tren di Mid Valley, bila tiba di K.L Sentral terpaksa pula menukar tren untuk pulang ke Shah Alam. Pukul berapa hendak sampai ke destinasi yang ingin ditujui. Masing-masing sudah keletihan.
“Yan...” panggil seseorang dari arah belakang. Serentak dengan itu, mereka bertiga berpaling ke belakang. Terlihat Faizal sedang menuju ke arah mereka dengan gayanya yang macho itu.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Yasmin. Sudah berdiri dihadapan Dizyan. Mahu melindungi sahabatnya itu.
“Aku macam kau oranglah. Shopping. Tak boleh?” sinis sekali Faizal berkata.
“Macam mana kau tahu kita orang shopping? Kau intip kita orang?” Yasmin bertanya lagi. Meletus tawa kecil di bibir merah itu. Kata orang, Faizal merokok. Tetapi kenapa bibirnya masih merah?
“Orang gila pun boleh tahu, kau orang baru balik dari shopping.” Sindir Faizal sekali lagi. Juih ke arah beg-beg kertas yang dipegang oleh mereka. Memerah wajah Yasmin menahan malu.
“Kau cakap kau pun shopping jugak, tapi mana barangan kau?” Yasmin masih tidak mahu kalah.
“Aku dah simpan dalam kereta.” Tukas Faizal.
“Habis tu, kau buat apa lagi kat sini?” Dizyan pula yang berkata. Faizal tersenyum.
“Makan. Tapi aku baru je habis.” Unjuk Faizal ke arah Starbucks. Mata mereka bertiga teralih ke arah restoran yang dimaksudkan Faizal itu. Hanya mata Faizal sahaja yang menuju ke arah Dizyan yang berada di belakang Yasmin.
“So? Apa kena-mengena dengan kita orang?” Yasmin pula bertanya.
“Tak. Aku cuma nak tolong hantar kau orang balik. Yelah, dah malam-malam buta macam ni. Kau orang kan perempuan.” Nada suara Faizal seperti memerli sahaja.
“Motif kau nak hantar kita orang balik?” Yasmin menyilangkan lengan ke dada.
“Perlu ke aku nak hantar kau orang balik kena ada motif, begitu? Asrul dan Qazem, bestfriend aku. Salah ke aku nak berbaik-baik dengan girlfriend dia orang?” ujar Faizal seolah-olah merajuk. Serba salah pula Misha dan Yasmin melihat Faizal. Dizyan sangsi. Tidak pernah Faizal hendak berbuat baik dengan mereka walaupun satu sekolah. Mereka terdiam.
“Suka hati kau oranglah, kalau orang nak balik dengan pak cik teksi tu. Entah-entah pak cik teksi tu lagi jahat daripada aku.” Sengaja Faizal ingin menakutkan mereka. Misha memegang lengan Yasmin.
“Yang kau nak merajuk ni, apa kes? Kata lelaki.” Yasmin menyindir. Faizal tersenyum dalam diam. Jeratnya mengena.
“Jadi, kau orang setujulah aku hantar kau orang?” Faizal bertanya sekali lagi. Inginkan kepastian. Yasmin mengangguk.
“Ermm...tapi kan Zal, Sha nak minta tolong Zal hantar Sha kat Subang Jaya.” Ujar Misha lembut.
“Buat apa Sha nak kesana?”
“Sha nak jumpa dengan Asrul. Ada janji.”
“Ohh...dating. Okay, okay. No hal.” Terus sahaja mereka menuju ke tempat letak kereta. Dizyan duduk dihadapan. Puas sudah Dizyan menolak. Tetapi ada benarnya juga kata-kata Yasmin itu. Faizal akan menghantar Yasmin dahulu kerana rumah Dizyan berhampiran sahaja dengan rumah Faizal. Takkanlah mahu Dizyan mengubah tempat duduk pula.
Dihantar Misha ke Subang Jaya untuk bertemu dengan kekasih hati. Sempat juga Faizal turun dari kereta dan berjumpa dengan sahabatnya itu. Kemudian, menghalakan kereta menuju ke arah Shah Alam. Menghantar Yasmin di seksyen 18 dahulu. Kemudian menuju ke arah seksyen 7. Kawasan perumahan banglo yang berhampiran dengan Istana Mestika. Tiba-tiba kereta Mitsubishi Lancer milik Faizal terhenjut-henjut. Rentak badan mereka berdua mengikuti gerak kereta itu. Kemudian, kereta tersebut berhenti ditepi hutan yang menuju ke arah kawasan perumahan banglo disitu. Rasa seram menyelubungi diri Dizyan.
“Kenapa dengan kereta ni, Zal?” tanya Dizyan. Hutan yang tebal itu menggerunkan dia.
“Tak tahulah. Aku tengok kejap.” Faizal turun dari keretanya dan membuka bonet kereta. Pura-pura melihat enjin yang kerosakan. Tersenyum sinis mengenangkan rancangan yang bakal dilaksanakan. Dizyan juga turun dari kereta untuk melihat keadaan kereta itu.
“Aku tak tahulah pasal baiki kereta ni. Nanti aku call mekanik aku dulu.” Ujar Faizal dan mencapai telefon bimbit di dalam poket seluar. Cuba mendail berkali-kali.
“Hish...apasal tak dapat je ni.” Faizal berkata geram.
“Rumah kau dah dekat sini kan? Aku hantar kau balik jelah.” Faizal berkata dan mengambil kunci kereta. Dizyan kebingungan.
“Naik apa?” tanya Dizyan seperti orang bodoh.
“Jalan kaki lah. Aiii...takkan tak larat kot.” Perli Faizal. Dizyan mencebik. Dia mengambil beg-beg kertas di dalam kereta Faizal dan berjalan mengikuti rentak lelaki itu yang sudah berjalan jauh meninggalkannya. Dari jauh, Faizal menggunakan alarm kereta untuk mengunci kereta tersebut.
Sengaja Faizal berjalan rapat dengan Dizyan sehinggakan gadis itu berasa tidak selesa. Ingin cuba menjauhkan diri tapi takut terjatuh ke dalam longkang kecil di sebelah kirinya itu nanti. Sudahnya, dibiarkan sahaja. Tiba-tiba muncul dua orang lelaki dari hutan tersebut. Salah seorang daripada dua orang lelaki itu menghunus pisau ke arah mereka. Dizyan ketakutan. Faizal berdiri dihadapan gadis itu. Dia bingung seketika. Sejak bila dia mengupah 'pelakon tambahan' untuk rancangannya ini? Setahu dia, rancangannya ini langsung tidak diberitahu kepada sesiapa pun termasuk Aneeq. Faizal menelan air liur.
“Bagi aku duit kau.” Ujar lelaki itu dengan suara garau. Dizyan sudah membuka beg dompetnya dan ingin mengeluarkan duit yang diminta itu. Begitu juga dengan Faizal. Mereka sengaja melengahkan masa. Tidak mahu menyerahkan duit tersebut terlalu awal.
“Cepat!!!” jerit salah seorang lelaki itu, kurang sabar. Setelah menyerahkan duit, dua orang lelaki perompak itu masih tidak berpuas hati. Mereka memandang ke arah Dizyan dari atas hingga ke bawah. Lelaki yang memegang pisau memberikan isyarat mata dan rakannya itu faham akan isyarat itu. Dia menarik lengan Dizyan untuk mengikuti gerak langkahnya.
“Zal, tolong saya Zal. Tolong saya!” jerit Dizyan. Dia benar-benar ketakutan.
“Diam! Ikut aku cepat.” Lelaki itu menjerit kembali ke arah Dizyan.
“Apa yang kau nak buat dengan dia? Lepaskan dia! Kau dah ambil duit, blah jelah.” Faizal cuba mendapatkan Dizyan yang sudah diheret masuk ke hutan. Lelaki yang memegang pisau itu menghalang Faizal dari mendekati Dizyan dan rakannya. Faizal sudah kegelisahan. Mereka berdua ini benar-benar telah merosakkan rancangannya.
“Kau jangan sibuk. Kau tengok je kita orang kerjakan kekasih hati kau tu, cukup-cukup.” Lelaki yang memegang pisau itu berbisik di telinga Faizal. Kemarahan Faizal memuncak. Dia menumbuk lelaki tersebut. Lelaki itu memegang mukanya yang terasa pijar. Kembali membalas perbuatan Faizal sehingga Faizal jatuh tersungkur menahan kesakitan. Dia turut berlari mengikuti rakannya yang sudah masuk ke dalam hutan itu. Sambil memegang perut yang sakit akibat ditumbuk tadi, Faizal bangun dan cuba mengejar mereka. Terdengar jeritan Dizyan meminta tolong.
“Diam! Kau jangan bising kalau kau tak nak kena bunuh.” Ugut salah seorang lelaki itu. Faizal sudah mendekati tempat Dizyan dibawa oleh mereka. Dilihat gadis itu meronta-ronta ingin melepaskan diri. Terdetik sesuatu di perasaannya.
“Padan muka dengan dia! Dia dah malukan kau, Zal. Ini pembalasan untuknya. Biar dia rasakan.” Suara hati jahat bergema di dalam hati Faizal.
“Jangan ikutkan perasaan sangat, Zal. Kau kena selamatkan dia. Biarpun dia dah buat macam-macam pada kau, tapi dia tetap seorang perempuan. Ingat Zal. Bagi perempuan, maruah adalah segala-galanya.” Suara hati yang satu lagi menangkis suara jahat itu. Faizal menggelengkan kepalanya berkali-kali. Membuang segala perasaan yang bertamu dihati. Ingin segera menyelamatkan gadis yang sedang dalam kesusahan itu.
Faizal mengambil sebatang kayu pokok yang ada berdekatan dengannya dan melangkah laju ke arah dua orang lelaki itu. Dipukul salah seorang dengan batang kayu tersebut sehingga lelaki itu jatuh pengsan. Lelaki yang sudah berada di atas Dizyan itu, beralih ke arah Faizal. Dia berdiri dan ingin menumbuk Faizal tetapi sempat dia mengelak dan membalas tumbukan itu di muka. Ditendang perut lelaki itu sehingga lelaki tersebut jatuh tersungkur. Dizyan segera berdiri dan menutupi dadanya yang separuh terdedah itu. Bajunya sudah terkoyak akibat ditarik oleh dua orang penjahat tersebut. Faizal menarik tangan Dizyan dan mereka berlari keluar dari hutan gelap itu. Mereka berlari semula menuju ke kereta Faizal. Habis semua beg-beg kertas barang yang dibeli oleh Dizyan tadi tidak sempat diambil. Dihidupkan enjin keretanya. Airmata Dizyan tidak berhenti mengalir tetapi dalam pada masa itu, dia tetap pelik. Dikatakan kereta Faizal itu rosak, tetapi kenapa boleh sahaja berjalan dengan baiknya? Malas ditanya.
Kereta Faizal berhenti betul-betul dihadapan rumah Dizyan. Gadis itu masih menangis teresak-esak. Faizal yakin, peristiwa itu pasti akan melekat di dalam ingatan gadis tersebut selamanya. Faizal berdehem. Dizyan memandang wajah lelaki disebelah. Faizal mencapai sesuatu di kerusi belakang dan diserahkan kepada Dizyan.
“Nah, kau pakai ni. Nanti parents kau tanya yang bukan-bukan pulak.” Ujar Faizal. Dizyan mengangguk perlahan. Disarungkan sweater ke badan. Nasib baik sweater Faizal itu besar. Boleh muat badannya yang gempal itu.
“Thanks, Zal. Sebab selamatkan saya.” Lemah sahaja Dizyan menuturkan kata.
“No hal lah.” Ucap Faizal ringkas. Dizyan membuka pintu kereta dan ingin melangkah keluar. Tetapi apabila Faizal berkata sesuatu, dia tidak jadi melangkah keluar.
“Ini kali terakhir aku tolong kau. Dan, aku harap lepas ni, kita dah tak berjumpa lagi.” Faizal berkata tegas.
“Maksud Zal?”
“Aku dah tak nak ada kaitan dengan kau. Kau tahu tak, kau ni menyusahkan aku?” Faizal mengalih pandang ke arah Dizyan. Gadis itu nyata ada riak terkejut terpamer diwajahnya.
“Tapi...”
“Sudah. Aku dah tak nak ada apa-apa hubungan dengan kau dan lupakan apa saja hubungan yang pernah kita ada sebelum ni.” Ujar Faizal. Dizyan menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Dia mengangguk perlahan. Terus sahaja kakinya melangkah keluar dari kereta Faizal itu. Kereta Faizal menderum pergi meninggalkan Dizyan yang termangu seorang diri. Matanya mengekori bayangan kereta Faizal itu sehingga hilang dari pandangan.
“Aku juga harap kita tak pernah ada hubungan. Tapi, aku tetap takkan dapat lupakan hubungan ni.” Dizyan bergumam seorang diri. Dia melangkah masuk ke dalam rumah.

BERSAMBUNG.....

5 tukang komen paling setia:

Miss Kira said...

hmmm..
spa yg jht sgt tu..
aneeq ounya keja pa..
hai..
mengacau sungguh..
cpt smbg ya..

Loser said...

ugh sape yg kejam sgt tu?
halamak faizal ni -,-

::cHeeSeCaKe:: said...

wa..berhati perut gak faizal ni..teringin nk tau, ape yg faizal nk wat sbnrnye..huhu..rncgn aneeq ker??

Dyra said...

bestnye..
sambung lagi cepat2 ye (^_^)

sYaFaRiNa said...

ni mesti aneeq yg pnya keje...
tp rasenya aneeq mcm suka kat dizyan...
adoyai, curiosity dh thp gaban ni...
cpt smbung ye ecah