BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, February 26, 2011

SEINDAH ALHAMBRA BAB 26

BAB 26

BEG pakaian milik Durrah dan Adam sudah diletakkan ke dalam kereta oleh Amar. Beria Adam mengatakan bahawa mereka ingin pergi sendiri ke lapangan terbang tetapi cadangan itu langsung tidak diterima oleh Datin Aisyah. Dia tidak mahu mereka bersusah-payah ke KLIA. Lagipun Amar tidak ada buat apa-apa di hujung minggu. Apa salahnya Amar menghantar mereka berdua ke sana sambil ditemani oleh Laily. Sepanjang perjalanan ke KLIA, Adam yang duduk di sebelah Amar hanya mendiamkan diri. Begitu juga Durrah. Laily sahaja yang kecoh bersembang bersama Amar. Sepasang suami isteri itu sama-sama melemparkan pandangan ke luar. Amar memberi isyarat mata melalui cermin pandang belakang. Laily hanya mengangkat kening dan menjungkitkan bahu tanda tidak tahu. Malas mahu ikut campur. Perjalanan yang mengambil masa sejam langsung tidak terasa lamanya. Amar memberhentikan keretanya di tempat menurunkan penumpang. Memunggah beg-beg pakaian Adam dan Durrah. Pada mulanya, Amar ingin memarkirkan kereta di tempat letak kereta tetapi dihalang oleh Adam. Dia tidak mahu Amar terpaksa menunggu mereka dengan lama. Biarlah Amar dan Laily pulang dahulu.
“Tak apa ke Along dengan Dura je?” Amar masih belum membiasakan diri memanggil Durrah dengan panggilan kakak. Durrah sedikit pun tidak kisah.
“Tak apa. Hantar Laily balik.” Pesan Adam. Adiknya itu mengangguk perlahan. Laily dan Durrah berpelukan. Sempat Laily berbisik sesuatu ke telinga Durrah.
“Take care. Pastikan dia jatuh cinta.” Berkerut dahi Durrah.
Pelukan dilonggarkan. Memandang Laily dengan satu pandangan yang sukar ditafsirkan. Melihat kesungguhan dalam kata-kata Durrah membuatkan hatinya berdetik. Adakah Laily dapat menghidu sesuatu dalam perhubungan mereka? Tetapi dibalas dengan sebuah senyuman manis. Menyembunyikan apa yang tersirat di dalam hatinya. Tidak mahu terkesan di wajah. Adam menolak troli berisi beg pakaian mereka dan menuju ke dalam KLIA tersebut. Durrah berpaling ke arah kereta Amar yang mula bergerak meninggalkan kawasan. Sempat melambai ke arah Laily. Sebelum membuntuti Adam masuk ke dalam.
Mereka menuju ke kaunter tiket dan mengesahkan kedudukan tempat di kaunter tersebut. Adam memunggah beg pakaian mereka dan diletakkan di kaunter. Troli yang digunakan sudah diletakkan di tempat khas menyimpan troli. Kemudian, mereka berjalan ke arah lif dan masuk ke dalam lif sebaik sahaja pintu lif terbuka. Mereka turun ke tingkat 3 untuk ke balai berlepas. Durrah melabuhkan punggung di kerusi berdekatan kedai menjual kudapan. Adam berjalan masuk. Membeli sedikit coklat dan juga ubat tahan muntah. Dia tahu Durrah tidak biasa naik kapal terbang. Pasti dia akan terasa loya. Jadi, dibeli ubat tersebut sebagai persediaan. Berjalan semula ke arah Durrah selepas membayar. Terus sahaja berjalan tanpa berkata apa-apa kepada Durrah. Gadis itu hanya membuntutinya. Adam melabuhkan punggung berhadapan dengan pintu balai berlepas. Melihat jam di tangan. Masih ada masa selama sejam setengah sebelum mereka dikehendaki masuk ke dalam balai berlepas. Adam menarik keluar iPod yang terbenam jauh dalam beg galasnya lalu digantungkan fon telinga ke bahu. Dihidupkan dan menyumbat fon telinga ke telinga. Durrah memandang sekilas ke arah Adam. Dia turut menarik keluar novel Percaya Ada Cinta karya Ryana Adrina. Menyelak dihalaman yang sudah ditanda. Tersenyum keseorangan Durrah membacanya. Adam yang sedang leka mendengar lagu-lagu yang berkumandang di corong telinga, memandang ke arah Durrah. Memerhatikan seluruh raut wajah gadis itu. Apa kurangnya Durrah berbanding Zurin? Lemah-lembut, sopan orangnya. Alis mata yang lentik, bibir merah merekah dan yang paling mahal sekali, lesung pipitnya setiap kali Durrah tersenyum. Adam memejamkan mata. Memang Durrah tiada kurangnya. Yang kurangnya, adalah hati Adam. Dia tidak mencintai Durrah. Cintanya hanya untuk Zurin. Adam meraup rambut ke belakang. Satu keluhan kecil dilepaskan. Memandang sekali lagi ke arah Durrah. Hatinya mula berasa tidak sanggup hendak mengecewakan hati gadis di sebelah. Dapatkah Durrah menerima hakikat bahawa dia berkahwin dengan suami orang? Adam memicit kepala yang tiba-tiba terasa berpusing. Durrah memandang pelik ke arah Adam. Wajah Adam yang pucat itu membuatkan Durrah berasa tidak sedap hati.
“Abang...Abang tak apa-apa ke?” soal Durrah, mengambil berat.
Adam hanya menggelengkan kepala. Diserahkan beg plastik putih yang dipegangnya tadi. Durrah mengerutkan dahi. Melihat isi di dalam beg plastik tersebut.
“Apa ni, Bang?” sekali lagi Durrah menyoal.
“Ubat tahan muntah. Makanlah. Nanti rasa loya pulak naik plane.” Ujar Adam sebelum bingkas bangun. Durrah memandang Adam tidak berkelip.
“Abang nak kemana tu?” Durrah bertanya lagi.
“Toilet.” Jawab Adam ringkas.
Durrah memerhatikan langkah Adam hilang dari pandangan. Segera ditarik keluar ubat tahan muntah itu. Ditelan ubat tersebut dengan air mineral yang baru sahaja dibelinya sebentar tadi.
Makluman untuk para penumpang masuk ke balai berlepas sudah diumumkan. Durrah beriringan dengan Adam menuju ke arah pramugari yang berdiri dihadapan balai berlepas. Menyerahkan tiket dan pasport. Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam perut kapal terbang, mereka ditunjukkan arah tempat duduk. Adam membiarkan Durrah masuk ke dalam dan duduk di tepi tingkap. Tetapi Durrah tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Adam memandang pelik ke arah Durrah. Diangkat sedikit keningnya.
“Abang masuklah dulu. Dura duduk luar.” Jawab Durrah gagap. Adam mengangguk perlahan dan memboloskan diri masuk ke dalam.
Kapal terbang bersedia untuk berlepas setelah memastikan semua penumpang selamat di tempat duduk masing-masing. Arahan untuk memakai tali pinggang baru sahaja diumumkan oleh pramugari yang bertugas. Bersusah-payah Durrah menarik tali pinggang tersebut. Seperti tersekat sahaja tali pinggang tersebut di lohongnya. Adam menolong Durrah menarik tali pinggang itu. Begitu dekat sekali wajah Adam dengannya sehingga Durrah dapat merasakan deru nafas Adam yang hangat. Terdengar bunyi tali pinggang itu berketik menandakan tali pinggang Durrah telah dipasang. Sebaik sahaja kapal terbang mula bergerak meninggalkan landasan, serentak dengan itu Durrah memegang tangan Adam. Erat. Perasaan takut menerjah diri. Matanya dipejam sekuat hati. Di hatinya tidak puas-puas berdoa. Berdoa supaya selamat tiba ke destinasi yang ingin ditujui. Selepas kapal terbang berada di awan, Adam menarik perlahan jemarinya dari genggaman Durrah. Gadis itu tersentak dan segera membuka matanya. Memandang ke sebelah. Adam mengalihkan pandangan ke luar. Matanya jatuh pada genggaman yang dilakukan diluar rasa sedar. Sedikit kecil hati dengan tindakan Adam tetapi dipendamkannya sahaja.



12 JAM kemudian, kapal terbang yang dinaiki oleh mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan selepas transit di Singapura selama 2 jam. Durrah membuntuti Adam yang mendahuluinya. Segera Durrah melangkah. Cuba menyaingi langkah Adam. Ternyata lelaki itu lebih pantas meninggalkannya. Adam berhenti dihadapan tempat untuk mengambil bagasi. Hampir sahaja Durrah melanggar badan sasa Adam yang berhenti secara tiba-tiba.
“Tunggu sini.” Arah Adam, tegas.
Durrah berdiri statik di tempat yang dinyatakan oleh Adam. Menunggu Adam menuju semula ke arahnya dengan membawa beg-beg pakaian milik mereka.
“Jom.” Ujar Adam ringkas.
Mengajak Durrah mengikutinya. Adam menolak troli yang diletakkan beg-beg pakaian. Menuju keluar daripada lapangan terbang tersebut. Beberapa buah teksi mewah beratur di luar kawasan lapangan terbang itu. Pantas Adam membuka pintu sebuah teksi yang berada di barisan paling hadapan sekali. Bertanyakan sesuatu. Kelihatan pemandu teksi tersebut menganggukkan kepalanya berkali-kali. Pemandu teksi itu keluar dari keretanya dan membuka bonet belakang kereta. Memasukkan beg-beg yang ada di atas troli ke dalam bonet. Laju sahaja teksi tersebut menderum pergi meninggalkan kawasan lapangan terbang ke-11 paling sibuk dunia dalam kategori penumpang antarabangsa.
Durrah melemparkan pandangan ke luar tingkap. Keindahan kota Seoul sememangnya tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Tidak pernah Durrah termimpi pun untuk menjejakkan kaki ke luar negara. Fikir Durrah, sewaktu Datuk Hafiz berkata mereka akan berbulan madu, tidak pula Durrah menyangka bahawa sampai ke Seoul. Disangkakan hanya dalam negeri sahaja. Apabila Natrah membawanya ke Jabatan Imigresen yang terletak di Terminal Subang, barulah Durrah tahu bahawa dia akan ke luar negara. Sejak hari itu, dia sememangnya tidak sabar menantikan hari ini.
Tersentak dari lamunan, Durrah memandang ke sebelah. Adam sudah keluar dari perut kereta dan menuju ke bonet. Memunggah beg-beg pakaian keluar. Perlahan Durrah membuka pintu dan melangkah keluar. Setelah memberikan beberapa helai not won Korea, Adam menarik tangkai di beg-beg pakaian itu dan berjalan masuk ke dalam hotel mewah, Imperial Palace Hotel yang tersergam indah di bandar Gangnam-gu, Seoul. Terdapat banyak kemudahan kenderaan awam seperti stesen keretapi bawah tanah dan juga bas persiaran yang dapat membawa mereka ke mana sahaja. Adam menuju ke kaunter untuk mengesahkan bilik dan juga mengambil kunci bilik. Durrah melabuhkan punggung di lobi hotel. Kepalanya tertoleh ke kiri dan kanan. Terpegun melihat keindahan hotel yang dihias begitu indah sekali. Seketika kemudian, Adam melangkah ke arah Durrah.
“Jom.” Hanya ucapan itu sahaja yang lahir dari mulut Adam.
Dia bergerak meninggalkan Durrah yang terpinga melihatnya. Seorang bellboy yang bertugas pada hari itu, meletakkan beg-beg pakaian mereka ke atas troli dan menolaknya masuk ke dalam lif. Menekan tingkat 8 setelah melihat nombor yang tertera di atas kad kunci bilik. Bunyi lif berdenting menandakan mereka sudah tiba di tingkat 8. Bellboy tersebut menolak troli itu dan menuju ke bilik yang ditempah. Meminta kad kunci untuk menolong pasangan suami isteri itu membuka pintu. Setelah pintu dibuka, diselitkan kad kunci tersebut ke satu lubang khas dan lampu pun menyala terang. Menyimbahi seluruh bilik yang pada mulanya kegelapan itu. Membiarkan Adam dan Durrah melangkah masuk dahulu sebelum dia memunggah turun beg-beg pakaian mereka dari troli yang disorongkannya. Adam mendekati bellboy itu semula dan menyerahkan 17,540 won Korea bersamaan RM50 kepada bellboy tersebut.
“Dangsingwa dangsing-ui chelyuleul jeulgil gamsahabnida(thank you and enjoy your stay)” ucap bellboy tersebut.
“Hwan-yeong(welcome).” Jawab Adam.
Durrah hanya terpinga tanda tidak faham. Memandang wajah Adam dan bellboy tersebut bersilih ganti. Bellboy itu tersenyum dan mengangguk. Sebelum sempat bellboy itu melangkah jauh, sempat Adam berkata lagi.
“Gamsahabnida(thank you).” Ucap Adam. Bellboy tersebut mengangkat tangan tanda menerima ucapan itu.
“Abang boleh bercakap bahasa Korea?” soal Durrah pelik. Tidak pernah pula dia tahu-menahu akan kemahiran Adam yang satu itu.
“Bolehlah sikit-sikit. Tak adalah sepandai...” ayat Adam tergantung. Nasib baik tidak terlepas cakap. Dipandang wajah Durrah sekilas yang memandangnya dengan kerutan di dahi.
“Tak sepandai siapa?” Durrah menyoal pula.
Adam berjalan ke arah balkoni. Dibuka pintu gelangsar kaca tersebut dan melangkah keluar ke balkoni. Langsung tidak mahu menjawab soalan yang baru diajukan. Durrah melepaskan keluhan kecil. Dia tahu, jika Adam berkelakuan sebegitu bermakna Adam tidak mahu menjawab persoalan tersebut. Biarlah ianya tergantung. Biarlah tidak terjawab tetapi jangan diulang lagi soalan itu. Hati Durrah terluka.
“Abang nak ke mana lepas ni?” Durrah bernada ceria. Tidak mahu menunjukkan hatinya sedih dan terluka. Mendekati Adam yang sedang membelakanginya.
“Nak rehat. Letih.” Jawab Adam ringkas.
Pandangannya masih ditebarkan ke seluruh pemandangan. Perlahan-lahan Durrah mengundur ke belakang. Menghampiri semula katil. Diletakkan beg pakaian ke atas katil lalu membuka zipnya. Menarik keluar sehelai jeans dan juga T-shirt. Ditarik keluar juga tuala mandi. Ingin membersihkan diri. Segera melangkah masuk ke dalam bilik air. Setengah jam kemudian, Durrah keluar dari bilik air sudah siap berpakaian. Disebabkan uzur, dia tidak boleh menunaikan solat Subuh pagi tadi. Menyisir rambutnya yang panjang mengurai dan diikat tinggi tocang satu. Melihat sekali lalu penampilannya dan berpuas hati. Membuang pandang ke arah Adam yang sudah terbaring di sofa panjang. Keletihan agaknya kerana sepanjang perjalanan Durrah lihat Adam melalui mata yang dibuka kecil, langsung tidak memejamkan mata. Apalah agaknya yang difikirkan oleh Adam itu? Ingin sekali Durrah menyelami hati dan fikiran lelaki dihadapannya. Satu keluhan kecil dilepaskan.
“Abang...Bang.” Durrah menggoyangkan ibu jari kaki Adam perlahan.
Bunyi dengkuran sahaja, Durrah tahu bahawa Adam sudah berlayar jauh. Bak kata orang, jika hendak mengejutkan orang yang sedang tidur adalah lebih elok menggoyangkan ibu jari kakinya. Tidak mahu dia bangun dari tidur secara mengejut. Perlahan Adam membuka mata. Mengecilkan semula matanya memandang Durrah di hujung kaki.
“Hmm...” Adam menyahut. Matanya kembali dipejamkan.
“Dura nak keluar kejap. Ambil angin. Abang nak ikut?” Durrah bertanya sekadar berbasa-basi walaupun dia pasti Adam tidak akan mengikutnya.
Lelaki itu menggeleng perlahan. Durrah menggigit bibir. Mencapai tas tangan dan disangkutkan ke bahu. Menuju ke pintu, dipulas tombol pintu tersebut. Memandang sekilas ke arah Adam yang masih terbaring lesu. Perlahan kaki Durrah melangkah keluar. Sebaik sahaja pintu tertutup, mata Adam terbuka luas. Rasa simpati menggunung pada gadis itu. Tidak sepatutnya dia melampiaskan kemarahan dia kepada Durrah. Satu keluhan dilepaskan. Adam bingkas duduk di atas katil. Mencapai telefon bimbit yang berada di sisi. Mula mendail satu persatu nombor orang yang paling dirinduinya. Ada nada deringan. Panggilannya juga berjawab.
“Hello, sayang.” Adam menyahut panggilan tersebut. Bibirnya mengukirkan senyuman manis. Terbayang wajah Zurin dihadapannya.


BERSAMBUNG....