BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, February 26, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 41

BAB 41

HAMPIR seminggu mereka berada di London, Aishah sudah siap mengemas baju dan dimasukkannya ke dalam bagasi kerana esok malam mereka akan pulang ke Malaysia. Hariz berada di balkoni bilik hotel tersebut. Fikirannya menerawang jauh. Perlukah dia menjalani rawatan itu? Sesekali terdengar keluhan yang keluar dari bibirnya. Aishah sedikit pelik. Terhenti kerja mengemas baju dan melangkah ke arah Hariz yang membelakanginya. Tersenyum dan memeluk lengan Hariz.
“Kenapa ni, Bang? Dari tadi saya tengok Abang asyik mengeluh je. Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanya Aishah, prihatin. Hariz memandang ke sisi dan menggeleng.
“Entahlah, sayang. Abang rasa satu hari nanti Abang akan rindukan tempat ni.” Ujar Hariz.
“Kalau Abang rindukan tempat ni, kita datanglah balik.” Aishah berkata tanpa mengesyaki apa-apa. Hariz tersenyum lebar.
“Sayang pergilah siap. Kata nak pergi Trafalgar Square dan Harrods.” Usul Hariz. Aishah mengangguk dan melangkah masuk untuk bersiap. Entah kenapa debaran hatinya sejak kebelakangan ini seperti mengatakan ada sesuatu yang akan berlaku. Semakin lama semakin kuat rasa debaran itu. Setelah bersiap mereka sama-sama keluar dari bilik hotel itu dan menunggu teksi diluar hotel. Setelah joki hotel tersebut menahan sebuah teksi, mereka berdua masuk ke dalam perut teksi.
“Harrods, please.” Kata Hariz. Pemandu teksi itu mengangguk dan keretanya dihalakan ke destinasi yang ingin ditujui oleh penumpangnya. Sepanjang perjalanan, mereka banyak mendiamkan diri. Sesekali Hariz memperkemaskan genggaman jemarinya dengan Aishah. Kemudian, dicium telapak tangan isterinya itu. Setibanya mereka di Harrods dan setelah membayar duit tambang teksi, mereka turun dari teksi tersebut dan berjalan di atas susur pejalan kaki. Berjalan melintasi kedai-kedai mewah yang ada di dalam Harrods itu. Semakin erat pegangan tangan mereka itu.
Setelah puas berjalan-jalan di dalam Harrods itu, mereka sekali lagi menahan teksi dan menuju ke Trafalgar Square. Aishah duduk di atas satu batu dan meneliti bangunan sekeliling yang ada di Trafalgar Square. Sesekali matanya terarah ke Hariz yang sedang leka memberikan makanan burung-burung merpati yang setelah penat berterbangan, singgah disitu untuk ‘bersantai’ sebentar. Menikmati makanan yang diberikan oleh manusia-manusia baik hati yang singgah disitu untuk menikmati kedamaian. Aishah tergelak kecil apabila melihat seekor burung merpati asyik bertenggek di bahu Hariz. Puas lelaki itu cuba untuk menghalaunya. Hariz melabuhkan punggungnya di sebelah Aishah setelah berjaya menghalau burung merpati tersebut.
“Sayang masih cintakan dia?” tanya Hariz tiba-tiba. Aishah yang sedang leka memerhatikan kawasan sekeliling, terus beralih kepada wajah Hariz yang semakin pucat itu.
“Hah?!” terkejut Aishah dengan persoalan itu.
“Sayang masih cintakan dia?” Hariz bertanya sekali lagi. Manalah tahu, isterinya itu tidak mendengar soalan yang diajukan.
“Siapa?” Aishah berpura-pura tanya. Sedangkan dia tahu siapa yang dimaksudkan Hariz itu.
“Lelaki tu.”
“Lelaki mana?” Aishah seperti mahu bermain tarik tali. Tidak mahu menunjukkan reaksi benar-benar terkejutnya.
“Ex-lover sayanglah.” Hariz berkata dalam senyuman. Dia tahu Aishah sengaja hendak mengelakkan soalan begitu. Aishah terdiam.
“Tak.” Ringkas jawapannya membuatkan Hariz berasa kurang yakin.
“Takkanlah sayang tak ada perasaan pada dia lagi? Sedangkan sayang selalu jumpa dia.” Aishah membeliakkan mata mendengar kata-kata Hariz.
“Apa....” belum sempat Aishah bertanya apa-apa, tangannya sudah ditarik oleh Hariz.
“Jom pergi makan, sayang. Abang laparlah.” Rengek Hariz manja. Terkaku Aishah sebentar. Tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi.


SUDAH 5 bulan peristiwa di London berlalu, tetapi bagai dirasakan seperti semalam. Termenung sahaja Aishah dibutik jika tiada pelanggan yang datang. Putri menggawangkan tangan dihadapan wajah Aishah. Tersentak dibuatnya. Memandang wajah Putri yang semakin berseri-seri pula semenjak bergelar seorang isteri. Putri tersenyum.
“Apa yang Akak menungkan tu?” usik Putri. Aishah melepaskan keluhan. Mengusap perut yang semakin membesar. Kandungannya kini sudah masuk 7 bulan.
“Tak ada apa-apalah, Put. Ada apa-apa ke yang Put cari Akak ni?” tanya Aishah apabila dilihat Putri berada di dalam bilik pejabatnya.
“Kak D telefon tadi. Tapi katanya Kak Adik tak angkat phone. Tu yang dia call office.” Jelas Putri. Aishah segera mencari telefon yang ada di dalam tas tangannya. 11 missed calls. 7 panggilan dari Diyana. Manakala 2 dari Lily dan 2 lagi dari Zanariah. Kenapa dia tidak dengar?
“Ohh...patutlah. Akak silentkan phone.” Ujar Aishah sambil menutup simbol silent itu.
“Ermm....Cik Baiyah punya preparation dah siap? Pelamin, baju, aksesori? Hantaran?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Aishah. Putri melabuhkan punggung menghadap Aishah.
“Semua dah beres. Yang belum siap lagi, hantaran saja.” Terang Putri.
“Hantaran tak siap lagi? Majlis Sabtu ni je.”
“On the way. Ada 2-3 dulang je lagi.” Sela Putri.
“Ohh...ingatkan satu dulang pun tak buat lagi. Dahlah dia ada 19 dulang. Campur belah lelaki lagi 17 dulang. Orang paling limit buat 15 dulang je, tak pernah sampai banyak macam ni. Dia nak buat sampai 19 dulang. Kalah anak raja.” Seloroh Aishah. Mereka sama-sama tergelak.
“Tulah pasal, Kak. Terkejut jugak Put bila dia kata nak buat 19 dulang. Ingatkan nak letak kuih-muih or coklat je lah sampai 19 dulang. Rupa-rupanya barang hantaran dia memang banyak. Patutlah nak buat sampai 19 dulang.” Putri pula berkata. Masih menahan tawa. Belum pernah berjumpa dengan pelanggan yang menempah dulang sebegitu banyak.
“Lori 3 tan yang nak bawak fresh flowers tu dah tempah?” tanya Aishah lagi dalam sisa tawanya. Ketawa, ketawa juga. Tapi permintaan pelanggan harus dipenuhi.
“Dah, Kak. Semalam Put dah tempah.”
“Tempah dengan siapa?”
“Dengan Pak Mali lah. Dengan siapa lagi.” Ujar Putri. Aishah mengangguk.
“Okaylah, Kak. Kalau tak ada apa-apa lagi, Put keluar dulu. Banyak kerja kat luar lagi.” Kata Putri seraya bangun dari kerusi yang didudukinya. Sekali lagi Aishah mengangguk.
Sebaik sahaja Putri keluar dari bilik pejabatnya, Aishah terus mendail nombor Diyana. Terdengar bunyi deringan. Seseorang menjawab panggilannya itu.
“Hello?”
“Hello. D, aku ni.” Jawab Aishah.
“Hah...mana kau menghilang ni? Dari tadi aku try call, tak dapat-dapat.”
“Adalah. Aku silentkan phone aku. Apa hal kau call aku?” terus sahaja Aishah bertanya.
“Kita orang nak ajak kau lunch lah. Dah lama kan kita tak keluar sama-sama.” Diyana pula berkata. Aishah tersenyum.
“Haih...baru minggu lepas kita jumpa.” Aishah berkata.
“Itu aku dengan kau je. Ni hah...si Lily dan Zura pun nak join sekali lunch kita ni.”
“Ohh...boleh. Kat mana?” tanya Aishah. Diyana terdiam lama. Seperti berfikir sesuatu.
“Ermm...” Diyana tidak dapat menentukan dimana hendak mereka menjamu selera.
“Mamaklah, jom. Aku mengidam nasi kandar pulak.” Aishah menyambung kata.
“Aihh...nasi kandar pun boleh mengidam?” usik Diyana.
“Tulah pasal. Budak dalam perut ni hah. Macam-macam permintaannya.” Seloroh Aishah pula. Terdengar gelak Diyana yang nyaring. Sudah jadi isteri dan ibu tetapi perangainya yang satu ini tetap tidak boleh dibuang.
“Boleh jugak. Aku pun dah lama tak pekena nasi kandar.” Sahut Diyana. Sama-sama mencapai persetujuan.
“Nanti aku call Lily dan Zura.” Ujar Diyana.
“Okay.” Selepas itu, mereka sama-sama mematikan talian.


TEPAT jam 12 tengah hari, Aishah keluar dari butik dan menuju ke restoran mamak yang dinyatakan oleh Diyana di dalam khidmat pesanan ringkasnya. Dia menahan teksi dihadapan butiknya. Sebuah teksi berhenti betul-betul dihadapan Aishah. Dia masuk ke dalam teksi tersebut. Terus sahaja teksi itu memecut menghala ke destinasi yang ingin ditujui oleh penumpangnya. Sampai sahaja di hadapan restoran mamak tersebut, Aishah bersusah-payah cuba keluar dari teksi itu selepas membayar tambang. Terkial-kial. Kasihan pula pemandu teksi itu melihat Aishah. Selepas itu, perlahan-lahan dia menapak ke restoran itu. Kelihatan Diyana, Lily dan Zura sedang menunggu kedatangan Aishah.
“Oitt...mak buyung.” Panggil Diyana kuat. Kesemua mata yang ada di situ memandang ke arah Diyana yang sedang menekup mulut. Lily dan Zura mengalih pandang ke tempat lain. Pura-pura tidak kenal dengan manusia dihadapan mereka itu. Aishah tersenyum sumbing menuju ke arah mereka bertiga. Dilabuhkan punggung di sebelah Lily. Mereka berpelukan.
“Sukanya aku dapat jumpa dengan mak buyung ni.” Zura berseloroh. Yang lain, tergelak. Aishah mencebikkan bibir.
“Elok sangatlah tu. Nanti baby kau muka macam tu.” Diyana pula berkata.
“Lama tak jumpa Lily...Zura.” Aishah berkata girang. Seronok dapat berkumpul semula bersama teman-teman lama.
“Yalah. Kau kan dah sibuk sekarang ni. Menjaga suami. Tak lama lagi nak jaga baby. Baby....baby....dan baby lagi.” Usik Diyana. Aishah tergelak kecil. Teringat dia pada Amy. Sikap Diyana dan Amy saling tidak tumpah. Ahh...rindunya dia pada Amy. Setitis airmata berguguran di pipinya.
“Aik?! Seronok sangat jumpa kita orang sampai menangis pulak.” Diyana tidak habis-habis menggiat. Aishah tersenyum dan menggeleng. Segera dilap airmata kerinduan itu.
“Taklah. Aku rindu pada kawan aku, arwah Amy. Yang aku pernah cerita kat kau tu.” Ujar Aishah. Diyana mengangguk. Tahu siapa yang dimaksudkannya itu.
“Dahlah tu, Shah. Dia pun dah lama tak ada.” Diyana memujuk. Menggenggam erat jemari Aishah. Wanita itu hanya mengangguk.
Amy dan 2 orang anaknya mengikuti Daniel ke Kanada atas urusan kerja. Kereta yang dipandu oleh Daniel terbabas dan berlanggar dengan sebuah treler yang juga melalui kawasan itu. Daniel dan 2 orang anak mereka meninggal di tempat kejadian. Manakala Amy disahkan meninggal dunia tetap jam 10 malam, waktu Malaysia. Akibat mengalami pendarahan yang teruk di organ dalamannya. Kecuali anak arwah Amy dan arwah Daniel yang bongsu sahaja tinggal di Malaysia kerana masih bayi. Dijaga oleh ibubapa Amy. Ketika menerima berita mengenai kejadian itu, Aishah, Zanariah dan Soraya sedang menjamu selera bersama. Sudah lama tidak berjumpa. Ingatkan mahu berjumpa sekali dengan Amy. Tetapi dikhabarkan oleh ibu Amy bahawa mereka mengikuti Daniel ke Kanada pun, atas perancangan minit terakhir. Sebelum ini, Amy tidak menunjukkan sikap-sikap pelik. Ceria sahaja seperti selalu. Tetapi tidak disangka bahawa ajalnya sampai dahulu. Mereka bertiga redha dengan pemergiannya. Sekurang-kurangnya Aishah ada Diyana untuk melepaskan kerinduan terhadap Amy. Bagaimanalah agaknya dengan keadaan Soraya dan Zanariah untuk melepaskan kerinduan mereka terhadap sahabat seorang itu? Baru terasa seperti semalam dia bercakap dan bergelak ketawa bersama Amy. Segera dilap semula airmata yang kembali menitis.
“So, nak makan apa?” pertanyaan Lily memecahkan lamunan Aishah.
“Nasi kandar lah.” Jawab Diyana sambil menggolekkan kepala. Zura menampar bahu Diyana. Sempat berlawak pula minah seorang ini. Lily dan Zura memilih makanan yang digoreng. Aishah dan dan Diyana bangun dan menuju ke arah kaunter makanan.
“Nasi?” tanya mamak itu. Mereka sama-sama mengangguk.
“Makan atau bungkus?” mamak itu bertanya lagi.
“Makan.” Jawab Diyana ringkas. Dia meletakkan nasi ke dalam pinggan.
“Mau lauk apa?” Diyana seperti berfikir sesuatu. Diunjukkan jarinya ke arah lauk-pauk yang terhidang. Saat-saat ini, bermacam lauk pula ingin dirasai. Setelah itu, mamak tersebut menyerahkan pinggan nasi tersebut kepada Diyana. Dicapai dan segera melangkah ke tempat duduknya. Mamak itu meletakkan nasi putih itu ke atas pinggan sekali lagi.
“Mau lauk apa?” tanya mamak itu.
“Kuah taruk atas.” Aishah pula berkata. Mamak itu menggolekkan kepalanya tanda mengerti akan permintaan Aishah itu. Kesemua kuah lauk-pauk yang ada disitu dicampurkan di atas nasi Aishah.
“Lauk apa?” sekali lagi mamak itu bertanya.
“Ayam.” Aishah menunjuk ke arah ayam yang diingininya. Mamak itu memotong kecil-kecil isi ayam tersebut dan diletakkan semula di atas pinggan nasi.
“Sayur?” tanya mamak itu.
“Yang tu.” Unjuk Aishah. Kemudian, pinggan itu dihulurkan kepada Aishah.
Puas sudah mereka menjamu selera. Lega Aishah dapat makan nasi kandar. Sudah lama rasanya dia tidak makan makanan itu. Diyana sendawa kuat. Kemudian dia menutup mulut.
“Hish...kau ni kan. Memang tak senonoh betul lah.” Marah Zura.
“Sorry...sorry...tak sengaja. Sedap sangat.” Diyana menyusun sepuluh jari dihadapan mukanya. Tanda meminta maaf.
“So, fight kau untuk anak-anak kau macam mana hari tu?” tanya Zura tiba-tiba kepada Lily.
“Okay. Ada harapan nak menang kot.” Jawab Lily.
“Aku ni still tak faham. Apa benda yang kau fightkan sebenarnya?” Diyana bertanya.
“Hak anak-anak aku untuk dapatkan nafkah hidup dari ex-husband aku. Walaupun aku dan dia dan bercerai, tapi anak-anak aku still ada hak tu. Tak kisahlah dia tak nak bagi kat aku. Sebab aku pun tak hadap sangat duit dia tu. Tapi, dia kena ingat. Itu anak-anak dia jugak. So, anak-anak aku berhak dapat hak sama rata dengan anak-anak first wife dia tu.” Bentak Lily geram.
“Kau tak cuba selesaikan luar mahkamah?” tanya Diyana lagi.
“Aku dah cakap dengan dia. Aku tak nak naik turun mahkamah. Sebab benda ni akan melibatkan anak-anak sekali. Jadi, aku nak selesaikan kat luar mahkamah jelah. Aku tuntut apa yang patut dia beri je. Aku tak mintak lebih-lebih. Berapa sangatlah amountnya pun. Tak sampai seribu. Dia ada business sendiri. Bulan-bulan masuk juta-juta. Takkanlah tak mampu nak bayar nafkah anak yang tak sampai seribu tu. Tapi first wife dia dah cakap yang husband dia tetap takkan bayar. So, nak expect aku berdiam diri lagi? Tak tuntut apa yang sepatutnya anak-anak aku dapat? Memang taklah. Sekarang ni, daripada bayar nafkah anak yang tak sampai seribu tu, dah jadi kena bayar ribu-riban. Lawyer lagi, nafkah anak-anak aku lagi. Tak ke menyusahkan hidup tu, namanya.” Marah benar si Lily ini dengan bekas suaminya. Ada betul juga kata-katanya itu. Daripada membayar nafkah anak yang tidak sampai seribu sebulan, kini terpaksa bayar yuran peguam lagi, yuran itulah, yuran inilah. Nafkah anak-anak yang tertunggak lagi.
“So, sekarang ni kau dah ada title J ni, kau tak terfikir ke nak cari ayah baru untuk budak-budak tu?” seloroh Diyana. Aishah tersenyum, Zura mengangguk.
“Tak naklah. Kalau yang datang tu nak menyusahkan hidup aku. Lebih baik aku jadi ibu tunggal. Jaga dan berikan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak aku. Lagipun, pengalaman lalu mengajar aku untuk berhati-hati dengan insan yang bernama lelaki.” Jelas Lily dengan tegas. Mereka semua setuju dengan kata-kata Lily.


SETELAH berjumpa dengan sahabat-sahabatnya, Aishah pulang semula ke butik. Dia meletakkan tas tangan di dalam laci. Belum pun sempat dia melabuhkan punggung, telefon pejabatnya berdering. Segera diangkat. Tidak mahu pemanggil menunggu lama.
“Hello?” jawab Aishah.
“Assalamualaikum, Adik.” Sahut si pemanggil.
“Waalaikumussalam. Ma...Kenapa, Ma?” sudah dikenali si pemanggil tanpa perlu dia memperkenalkan dirinya.
“Saja. Esok hari Sabtu kan? Adik ingat tak esok ada apa?” Nurradiah pura-pura bertanya.
“Ingatlah, Ma. Esok birthday Papa.” Aishah berkata. Masakan dia lupa setiap harijadi keluarganya. Selalu, dialah yang menjadi ‘kalendar bergerak’. Pemberitahuan pada tarikh bilakah harijadi ahli keluarganya. Sampaikan ipar duai dan birasnya juga dia tahu harijadi mereka.
“Tapi kami tidur sana esok. Sebab kata Abang Hariz, hari Isnin tu, dia nak pergi kerja sekali dengan Papa.” Ujar Aishah. Gagang telefon dilekapkan ke telinga. Tetapi tangan dan matanya sibuk membuat kerja-kerja tempahan pelanggan yang harus diselesaikan.
“Hmm...yalah. Keluarga mentua kamu jangan lupa jemput sekali.”
“Yalah, Ma.”
“Adik datang pagi tau. Esok pagi Papa nak pergi main golf dulu dengan Datuk mana entah. So, dalam tengah hari baru dia balik.” Pesan Nurradiah.
“Okay, Ma. Yang lain semua?” tanya Aishah tentang adik beradiknya yang lain.
“Kak Na dengan Abang Sof pergi ambil kek dulu. Baru datang sini. Yang lain, terus ke sinilah.” Nurradiah berkata lagi.
“Baiklah, Ma. See you tomorrow.” Kemudian mereka sama-sama mematikan talian.
Lewat petang itu, Hariz datang menjemput Aishah di butik. Semenjak Aishah berbadan dua ini, Hariz lebih suka menghantar dan mengambilnya pulang dari butik. Tidak mahu Aishah memandu sendirian. Perasaannya jadi tidak tenteram jika tidak melihat Aishah sampai dengan selamat.

BERSAMBUNG.....

5 tukang komen paling setia:

fezmia said...

Ecah, awak lupa kot. Dalam chapter ni, awak tulis Aishah pergi lunch pergi kawan2 drive sendiri, park kereta bawah pokok. Later tulis Hariz jemput Aishah pergi & balik kerja? Macamana tu?

keSENGALan teserlah.. said...

urmm..btol hak tuh fezmia.
kesilapn teknikal kot..
isk2..
asl n3 nieh xder passal hafiz n syah..xsaba nk taw ending dye..
cpat2 smbung kak ecah..

ecah hamzah said...

sori2
dh btolkn blk error dlm tue....
hehe....
krg fokus sket...
ayat x conT sbb bz wat e-novel yg br plak....

silya_aquarius said...

cedey la pulak tengok hariz.sayang betul2x kat isteri dia.cam nak soh dia pi buat treatment la.jgan kc hafiz dapat aishah la.pandangan saya ajer tu

airina said...

suka cite ecah ni
cume harap2 ending nnt xsterotaip-same as d typical love story nowadays
cinta pertama xsemestinya cinta yg sejati!