BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 20, 2009

SEINDAH AL-HAMRA BAB 2

BAB 2

BEG pakaian yang sudah siap dikemaskan diletakkan di sebelah katil. Tidak sabar rasanya untuk Durrah melangkah ke Kuala Lumpur. Pertama kali ke sana berseorangan. Macam-macam yang sudah diceritakan oleh Wanie semenjak pulang dari Kuala Lumpur. Menara Berkembar Petronas, Aquaria KLCC, Menara Kuala Lumpur, Zoo Negara, Muzium Negara dan bermacam lagilah tempat yang menarik untuk dilawati sudahpun dikunjungi oleh Wanie. Dia beruntung kerana kakak Wanie, Kak Watie, bekerja di Kuala Lumpur dan sudah berkahwin. Tidak habis-habis Wanie menceritakan keseronokan dia selama berada di sana walaupun hanya seminggu. Abang kedua Wanie, Abang Wazir juga turut mengikut jejak langkah kakaknya untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Wanie juga menyimpan cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi. Hanya Durrah sahaja yang tidak mampu untuk berbuat demikian. Oleh kerana pendapatan keluarganya yang tidak tetap. Sebaik sahaja tamat SPM, Murfiqah dan Zuhairah sudah pun berkahwin. Begitu juga dengan Yusof dan Hussin. Salina sudah menyatakan pendiriannya yang dia tidak mahu menyambung pelajaran. Hasan masih berada di sekolah rendah. Durrah ingin menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi tetapi dia tidak mahu membebani kedua ibubapanya. Azam Durrah ke Kuala Lumpur ialah ingin memberi kesenangan kepada kedua ibubapanya dan ingin menyimpan duit untuk menyambung pelajaran ke menara gading.
Durrah duduk termenung di jendela biliknya yang terbuka luas. Memandang ke hadapan. Tidak habis termenung. Memejamkan mata dan cuba melupakan kenangannya bersama Nizam yang tiba-tiba terimbas di kepala. Ditarik dan dilepaskan nafasnya perlahan. Selamat tinggal, kampung. Selamat tinggal, Abang. Selamat tinggal, semuanya. Satu hari nanti, Dura akan bawa balik kenangan baru bersama Dura. Tinggallah kenangan. Pergilah kau jauh dari hidupku dan juga Nizam. Biar dia bina kenangan baru bersama Salina. Durrah tersenyum lebar. Yakin bahawa dia tidak akan menyesal kerana meninggalkan kenangan bersama Nizam disini. Durrah menutup semula jendela dan membaringkan diri di atas katil. Menarik selimut menutup dada. Malam yang dingin seperti mengizinkan pemergian Durrah.


SEAWAL jam 6 pagi, Durrah sudah bangun untuk membersihkan diri dan bersolat Subuh. Membentangkan sejadah dan menyarungkan telekung ke badannya. Sesudah bersolat, Durrah duduk berteleku dan menadah tangan, memohon doa. Meminta kesejahteraan keluarga dan juga hidupnya yang mendatang. Kelak, Durrah tidak tahu dengan dugaan dan cabaran apa yang akan dihadapinya. Selesai berdoa, Durrah menyangkutkan sejadah dan melipat semula telekungnya. Disangkutkan ke tempat penyidai. Jendela bilik dibuka seluas mungkin. Angin sepoi-sepoi bahasa menghembus masuk melalui jendela. Rambutnya menari-nari mengikut hembusan angin tersebut. Terasa damai. . Mendinginkan tubuh Durrah yang baru sahaja selesai mandi. Rambut yang basah dibiarkan berjurai tanpa diikat. Matanya ditala ke arah sawah padi. Awan yang masih gelap itu berubah cerah mengikut waktu. Lama dia menekur pandangan ke luar. Pintu bilik diketuk perlahan. Durrah beralih dan perlahan-lahan menuju ke arah pintu. Dibuka pintu tersebut. Terjengul Hasanah disebalik pintu dengan wajah yang sedikit pucat. Sedih kerana memikirkan pemergian Durrah. Hasanah menjejakkan kaki masuk ke dalam bilik Durrah. Melabuhkan punggung di atas katil empuk milik Durrah. Gadis itu turut melabuhkan punggung di sebelah Hasanah.
“Mak, janganlah sedih. Dura bukan tak balik sini lagi dah. Dura pergi sana sebab nak cari kerja. Kalau Dura duduk sini pun, bebankan Mak dan Ayah. Dura tak mahu susahkan Mak dan Ayah lagi. Dura dah 19. Dura tahu jaga diri Dura sendiri. Mak jangan risau, ya.” Durrah mengenggam erat jari jemari Hasanah. Buat kesekian kalinya, airmata Hasanah sekali lagi berguguran. Durrah tidak dapat menahan kesedihan. Turut menangis bersama ibunya.
“Jaga diri hang baik-baik kat tempat orang, nu. Hang tak dak sapa kat sana. Tak dak Kak Iqah atau Kak Zu yang nak selalu ingatkan hang. Tak dak Abang Usop dan Abang Usin nak jaga hang. Hang hanya ada Mak Lang Piah ja. Tu pun bukan selalu dia boleh tengok hang. Dia pun ada gheja dia jugak. Kalau hang tak dapat gheja dalam masa 2 bulan, hang baliklah sini na.” pesan Hasanah. Tidak mahu Durrah membuang masa di Kuala Lumpur jika dia tidak mempunyai pekerjaan di sana. Lebih baik dia duduk dikampung. Dapat juga menolong Hasanah di kilang keropok.
“InsyaAllah, Mak.” Hanya itu yang Durrah mampu menjawab.
Dilap airmata yang tidak berhenti. Durrah mengelap airmata Hasanah. Tidak mahu melihat lagi wanita tua itu menangisi keberangkatannya. Nanti tidak tenang Durrah sepanjang perjalanan.
“Pukui berapa hang nak pi ni?” tanya Hasanah setelah lama mereka berdiam diri.
“Kejap lagi, Mak. Dalam pukui 9.” Jawab Durrah. Berdiri dan mengemas katil yang berselerak.
“Hang naik prebet sapu ka? Siapa punya?” Hasanah bertanya lagi.
“Ya, Mak. Pak Samat punya.” Durrah menjawab. Sudah tidak tahu hendak bertanya apa lagi kepada Durrah. Hatinya berdoa supaya Durrah selamat sampai ke destinasi yang ingin ditujui.
Durrah leka memegang meja belajar yang digunakannya sejak sekolah rendah lagi. Hasanah pasti menemani dia jika dia ingin mengulangkaji pelajaran. Murfiqah dan Zuhairah selalu melepak di dalam biliknya sebelum mereka berkahwin dahulu. Durrah memandang ke luar jendela. Dari kejauhan sudah kelihatan bumbung pondok yang selalu dijadikan tempat pertemuannya dan Nizam. Bagai terbayang dimatanya Nizam menggamit memanggil diri dia. Terlihat senyuman Nizam yang menawan. Gelak ketawa Nizam terngiang-ngiang di telinganya. Durrah menutup jendela bilik. Sudah tidak mahu diingati kenangan semalam. Itu semua hanyalah sejarah. Pintu bilik Durrah sekali lagi diketuk. Kali ini kuat. Seperti hendak roboh sahaja pintunya. Dibuka dan terjengul wajah Hasan.
“Kak, Pak Samat dah sampai.” Ujar Hasan dengan girang. Sedangkan dia tidak tahu pemergian Durrah kali ini lebih lama daripada dulu. Dulu, Durrah hanya pergi ke pekan untuk sehari dua kerana menghadiri majlis perkahwinan teman baiknya, Mashitah. Fikirnya, Durrah ingin ke pekan buat sehari dua. Tidak ingin diberitahu berita ini kepada Hasan. Tidak mahu Hasan berasa sedih.
Hasan menolong Durrah membawa beg pakaiannya turun ke bawah. Durrah menyerahkan beg-beg pakaian kepada Pak Samat untuk dipunggah masuk ke dalam teksi sapu miliknya. Durrah berpaling dan mendapatkan Hasanah yang berada di tangga. Teresak-esak dalam pelukan Hasanah.
“Mak, maafkan Dura. Halalkan makan minum Dura.” Ucap Durrah. Hasanah mengangguk pantas tetapi tidak boleh berkata apa-apa kerana terlalu sedih. Beralih pula pada Karim. Tunduk menyalami ayah yang sudah uzur.
“Ayah, jaga kesihatan Ayah tau. Makan ubat dan makan ikut masa. Jangan tak makan pulak. Ayah kalau dah sibuk kat kebun, sampai lupa nak makan.” Durrah berpesan. Risau akan keadaan kesihatan Ayah yang tidak menentu. Jika Durrah ada, pasti dia yang akan membawakan makanan kepada ayahnya yang akan seharian berada di kebun. Karim mengangguk. Ditahan airmata yang bertakung. Pasti dia akan merindui celoteh dan bebelan Durrah.
“Dura sayang Mak…Ayah.” Durrah menggenggam erat jari jemari kedua orang tuanya. Dan azamnya satu. Dia pasti akan memberikan kesenangan buat mereka.
“Ala…Akak ni. Nak pergi sehari dua je. Tapi bersalam macam nak pergi bertahun.” Hasan berseloroh. Menarik lengan Durrah. Perlahan-lahan Durrah melepaskan jemari kedua orang tua itu.
“San, jaga diri baik-baik tau. Jangan nakal. Dengar cakap Mak, Ayah. Belajar rajin-rajin. Biar boleh masuk universiti macam Abang Rashid. Hasan selalu cakap dengan Akak yang Hasan nak pandai dan bawak kereta besar macam Abang Rashid kan?” Durrah memandang wajah adik bongsunya itu. Hasan mengerutkan dahi tetapi tetap mengangguk pantas seperti burung belatuk.
“Jadi, Hasan kena belajar. Jangan selalu main dengan kawan-kawan tu kat sawah. Sebelum Maghrib kena balik, mandi. Lepas tu, pergi surau. Solat. Habis solat, jangan lupa mengaji.” Panjang berjela Durrah berpesan kepada Hasan. Sampai pening kepala Hasan.
“Yalah, Kak. Akak nak pergi sehari dua je. Janganlah pesan banyak-banyak. Nanti Akak balik jugak kan?” pertanyaan Hasan itu tidak dijawab oleh Durrah. Hanya airmata sahaja yang mampu mengalir untuk menjawabnya. Dipejamkan mata. Tidak sanggup memandang Hasan. Dipeluk seerat-eratnya Hasan.
“Dura, naik cepat. Nanti lepas pulak bas kamu.” Ujar Pak Samat menyedarkan Durrah. Dengan langkah kaki longlai, Durrah masuk ke dalam perut teksi sapu tersebut. Sempat mengalih pandang ke arah ahli keluarganya buat kali terakhir. Kelihatan mereka melambai. Lambaian dibalas.
“Hang jangan risaulah, Dura. Nanti Pak Mat tolong tengok-tengokkan Ayah hang tu.” Ujar Pak Samat apabila dilihatnya Durrah tidak berhenti menangis.
“Terima kasihlah, Pak Mat. Terima kasih banyak-banyak. Banyak dah keluarga Dura terhutang budi dengan keluarga Pak Mat.” Ucap Durrah bersungguh-sungguh. Pak Samat mengangguk perlahan. Dia merasakan sudah menjadi tanggungjawabnya menjaga keluarga Karim. Kerana mereka berkawan sejak dari kecil dan sama-sama berasal dari keluarga yang susah. Cuma Pak Samat sedikit beruntung kerana mewarisi teksi sapu milik bapa mentuanya untuk dijadikan sara hidup keluarga seharian.
30 minit kemudian, teksi sapu tersebut tiba di Terminal Bas Shahab Perdana, Mergong. Pak Samat segera memberhentikan keretanya di pintu masuk terminal bas tersebut. Tergesa-gesa turun dan membuka bonet belakang. Memunggah bagasi pakaian Durrah. Diletakkan di atas tangga yang menuju masuk pintu terminal. Durrah mengeluarkan sesuatu dari dalam tas tangannya. Menghulur not RM10 ke arah Pak Samat. Lelaki tua itu menggeleng dan menggawangkan tangan perlahan.
“Toksahlah, Dura. Pak Mat ikhlas ni.” Ujar Pak Samat. Ditolak perlahan tangan anak gadis muda itu. Durrah mengerutkan dahi. Hatinya tidak senang jika tidak memberikan wang kepada Pak Samat.
“Tak bolehlah macam tu, Pak Mat. Penat Pak Mat hantaq saya dari rumah ke sini. Lepas tu, jauh pulak Pak Mat nak balik ke sana.” Ujar Durrah. Masih lagi menghulur not sepuluh itu. Sekali lagi Pak Samat menolak tangan Durrah.
“Tak payah, Pak Mat kata. Tak lah jauh mana pun. Pak Mat dah biasa ulang-alik dari sini ke Kampung Alor Gunung tu.” Pak Samat mengelap peluh yang menuruni dahi dan tengkuk dengan tuala yang tersangkut di lehernya.
“Tak senanglah hati saya, Pak Mat.” Durrah meningkah. Tetap dihulurkan duit itu ke arah lelaki tua tersebut.
“Tak apalah. Pak Mat balik dulu, na.” Ujar Pak Samat seraya mahu beredar dari situ. Durrah sempat menahan.
“Kalau Pak Mat tak mau ambil, Pak Mat bagi lah kat Su dan Siah. Dia orang kan masih sekolah lagi.” Durrah cuba memancing reaksi Pak Samat. Lelaki tua itu beralih. Dilepaskan keluhan perlahan. Akhirnya, Pak Samat ambil juga huluran not sepuluh tersebut.
“Makasihlah, Dura. Buat susah-susah ja hang bagi duit ni. Pak Mat ingat tak payahlah bayaq. Hang nak pi K.L pulak. Buatlah belanja kat sana.” Pak Samat sekali lagi mengeluh. Durrah tersenyum manis sehingga terserlah lesung pipitnya.
“Tak ada masalahlah, Pak Mat. Dura pun dah banyak terhutang budi dengan Pak Mat.” Durrah berkata. Pak Samat terangguk-angguk.
“Dahlah tu. Hang pi lah masuk cepat. Nanti terlepas pulak bas.” Sela Pak Samat. Durrah mengangguk dan mendaki anak tangga. Menarik bagasi pakaian jenis beroda itu. Sempat melambai ke arah Pak Samat dan lambaian itu dibalas.
Durrah menuju ke arah kaunter tiket bas dan menunjukkan tiketnya ke arah kakak yang berada di kaunter tersebut. Kakak kaunter tersebut segera mengunjukkan jari telunjuknya ke arah terminal bas yang sepatutnya dinaiki oleh Durrah. Selepas mengucapkan terima kasih, Durrah menyorong begnya perlahan menuju ke arah terminal bas tersebut. Tinggal beberapa minit sahaja lagi sebelum bas tersebut bertolak. Durrah sempat membeli sebotol air mineral dan snek ringan serta coklat untuk dibuat kudapan semasa dalam bas. Memunggah masuk bagasinya ke dalam tempat yang dikhaskan untuk meletakkan bagasi sebaik sahaja konduktor bas tersebut terjerit-jerit meminta para penumpang memasukkan bagasi-bagasi mereka ke tempat yang disediakan itu. Bersusah-payah Durrah memanjat tangga bas dengan baju kurungnya itu. Hampir terpijak kain baju kurungnya.
“Oh mak kau!” sempat Durrah melatah.
Tersengih kepada pemandu bas gantian yang sudah bersedia duduk di tempatnya. Lelaki itu membalas senyuman gadis dihadapannya. Durrah segera mengeluarkan tiket bas dari tas tangan dan melihat nombor kerusi yang tertera di tiketnya. 13C. Segera Durrah melabuhkan punggung di kerusinya. Dia memilih kerusi yang hanya diduduki oleh seorang penumpang sahaja. Durrah memeluk kuat tas tangannya. Teringat pesanan Mak supaya berhati-hati. Menyandarkan kepala ke kerusi dan melemparkan pandangan ke luar. Terlayar di ruang matanya tangisan Hasanah dan pesanan Karim. Terbayang juga kenakalan Hasan. Tiba-tiba terbayang pula wajah Nizam yang sedang berbahagia di samping Salina. Segera Durrah memejamkan mata. Menghapuskan bayangan yang mula menjalar di hati dan fikirannya.

‘Sudahlah, Dura. Dia bukan untuk kau. Lupakan dia,’ hati Durrah berkata. Menarik nafas dan dilepaskan perlahan. Memberikan semangat untuk diri. Tetapi hanya sekejap sahaja terasa semangat itu meresap masuk ke dalam dirinya. Semangat yang datang terasa luntur.
15 minit kemudian, bas itu sedia untuk bertolak. Menuju ke satu destinasi yang pasti iaitu Kuala Lumpur. Hati Durrah mula berdebar-debar. Tidak pasti apakah yang menunggunya di Kuala Lumpur. Bibirnya mengukirkan senyuman kecil.


SUNGAI Thames yang mengalir itu dipandang sayu oleh sepasang mata. Zurin memeluk tubuhnya. Melontarkan pandangan ke arah bot-bot yang lalu-lalang di sungai tersebut. Setiap tahun, pengunjung yang datang dari seluruh pelusuk dunia, kerap kali berkunjungan ke Sungai Thames untuk melihat sendiri keindahannya. Walaupun ia hanyalah sebatang sungai yang mengalir di celah-celah bangunan lama. Satu keluhan dilepaskan. Perasaannya tidak tenteram semenjak kekasih hati menyampaikan khabar bahawa dia ingin pulang ke Malaysia setelah sekian lama menjadi penduduk di kota London itu. Dapatkah keluarganya menerima kenyataan yang telah terjadi ke atas Zurin? Mama, Papa...maafkan, Rin. Rin anak yang durhaka, rintih Zurin. Tidak sanggup untuk berhadapan dengan Haji Ali dan Hajah Kasmiah. Zurin memejamkan mata. Angin yang berhembus kuat di bulan November, mendinginkan badan. Tetapi tidak hati Zurin.
Pinggang Zurin dipeluk dari belakang. Zurin membuka mata dan tunduk melihat tangan gagah yang melingkari pinggangnya. Dia tersenyum. Zurin merapatkan badannya ke badan gagah tersebut. Disandarkan kepala ke bahu lelaki itu. Mereka sama-sama melontar pandang ke arah para pengunjung yang sedang duduk menjamu selera di atas bot-bot mewah yang menyusuri sungai tersebut. Lama mereka begitu. Zurin terasa ada bahagia yang melingkari hubungan mereka berdua.
“Am...” panggil Zurin perlahan. Lelaki yang dikenali sebagai Am itu mendekatkan telinganya.
“Am rasa betul ke apa yang kita buat ni?” tanya Zurin.
Adam melepaskan dengusan. Mengangkat semula wajahnya dan menala mata ke langit yang membiru. Tiba-tiba, Zurin melonggarkan pegangan pinggang itu dan mula melangkah meninggalkan Adam. Lelaki itu menjadi bingung. Mengerutkan dahi dan mengejar langkah Zurin yang semakin melaju.
“Rin....” panggil Adam. Cuba mencapai lengan Zurin tetapi gadis itu menepis kasar.
“Rin....” sekali lagi Adam memanggil. Masih tiada respon. Zurin berlari anak cuba untuk meninggalkan ayunan langkah Adam.
“Sayang, dengar dulu apa yang Am nak cakapkan ni.” Tukas Adam.
Langkah kaki Zurin semakin perlahan. Dan, akhirnya terhenti. Adam mencapai lengan Zurin dan dipusingkan badan gadis itu menghadapnya. Ada sisa airmata yang mengalir deras di pipi gebu itu. Adam tersenyum dan menggeleng perlahan. Dilap airmata yang masih bersisa.
“Am yakin, kita tak salah. Dan apa yang kita buat ni memang tak betul. Tapi hati Am bersungguh mengatakan bahawa hanya Rin seorang saja di hati Am. Tiada perempuan lain, selain Rin.” Ujar Adam. Zurin tersenyum kecil.
“Memanglah sekarang Am kata, Am hanya ada Rin di hati Am. Tapi nanti bila kita dah balik Malaysia nanti, manalah tahu Mama Am ada pilihan untuk Am.” Zurin meningkah. Adam tersenyum. Apabila Zurin melihatkan senyuman Adam, hatinya menjadi cair. Hidung Zurin yang mancung dicuit manja. Zurin tergelak kecil.
“Am memang anak Mama. Tapi yang tentukan hidup Am, adalah Am sendiri. Dan Am dengan yakin sekali mengatakan bahawa....” Adam sudah berdiri di atas kerusi yang disediakan di pejalan kaki itu. Zurin sudah tercengang. Matanya membeliak.
“....hanya ZURIN SAHAJA DI HATI AM!!!” Jerit Adam tanpa segan silu. Zurin menekup mulutnya dan segera menarik baju Adam untuk turun dari kerusi tersebut. Adam turun dari kerusi itu dan terus memeluk bahu Zurin. Ketawa mereka bersatu. Bahagia meresap dalam jiwa.

BERSAMBUNG....

6 tukang komen paling setia:

keSENGALan teserlah.. said...

errrrkkk..
am ngn zurin da kawen tnpa pengetahuan family ker?
ngeee..
smbung2..

::cHeeSeCaKe:: said...

sy pon nk tnye soklan yg sme..
am ngn zurin da kawin @ dorg tggal 1 umah..tp xkawin lg..?? sure adam hero ni..

aLooHa said...

mesti adam n zurin ni dh kawen kt oversea...pastu pkahwenan depa ni dirahsiakan...isk,rumit2...byk heroin citer nih..

misz nana said...

kawen x gtau mak ayah ke?
hmm..

StraWBerry_iCe said...

erkk...pe jd ngn durrah plak????

qyqa said...

aaaaaaaaa......
hero da kuar....
btol ka am hero????
he3..
mst nak bt durrah jd madu zurin...
aaa....cpt sambg kak...

p/s:cpt tw siapkan DS..
rindu kat dizyan...