BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, March 3, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 43

BAB 43

BAYI lelaki comel yang seberat 3.5 kg telah selamat dilahirkan oleh Aishah secara normal. Aishah sudah dipindahkan ke wad biasa untuk menerima rawatan dan doktor ingin mengawasi perkembangan bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan itu. Sudah cukup sifatnya. Bayi lelaki itu dimasukkan ke dalam incubator selama beberapa hari. Untuk memastikan tiada komplikasi yang berlaku. Nurradiah melihat cucu lelakinya melalui cermin kaca. Menitis sekali lagi airmata tua itu. Khairul yang turut berada disitu memeluk Nurradiah. Nina juga turut memeluk Mamanya itu. Dijatuhkan kepala ke atas bahu Nurradiah.
“Ma...jangan nangis lagi, ya. Kita pasti kena beritahu pada Adik tentang Hariz.” Ujar Khairul. Diusap perlahan bahu Nurradiah itu. Nurradiah mengusap kepala Nina.
“Mama tak tahu macam mana nak beritahu pada Adik. Dia tentu sangat memerlukan Hariz disisinya.” Rintih Nurradiah. Menitis laju airmata Nurradiah. Nina, Nadira dan Sabrina turut mengalirkan airmata. Menangisi nasib adik dan kakak mereka.
“Ma...itu sudah ketentuanNya. Mama bersabarlah, ya. Kita kena kuat untuk Adik. Kalau kita lemah, macam mana Adik nak bergantung harap pada kita.” Pujuk Nina lembut. Sabrina dan Nadira berpelukan sesama sendiri. Nurradiah menepuk muka Nina dan mengangguk perlahan. Dikesat airmata.
Syed Mahfuz melangkah lemah ke arah keluarganya. Khairul mendapatkan Papa yang sedang berfikir sesuatu. Ditepuk perlahan bahu anak lelakinya itu.
“Kenapa, Bang? Apa kata Inspektor Hairy?” tanya Nurradiah seraya melabuhkan punggung di atas kerusi. Kaki yang sudah lama berdiri, terasa penat. Syed Mahfuz melurutkan dagunya.
“Brek kereta Abang telah dirosakkan. Dan, Inspektor Hairy yakin ini angkara Imran. Mereka akan sedaya-upaya untuk menangkap Imran. Sebab cap jari Imran telah dikenal pasti ada pada wayar brek yang putus tu. Mungkin dia cuba membunuh Abang. Tetapi sebaliknya Hariz yang menjadi mangsa.” Yang berada disitu hanya menggelengkan kepala. Kenapalah kejam sekali Imran bertindak sebegitu?
“Abang dah beritahu pada Norell?” Nurradiah bertanya. Dikhuatiri pula Imran akan pergi mencari bekas isterinya itu. Nanti dipengapa-apakan pula.
“Tak. Abang dah beritahu pada Zahar. Abang suruh Zahar tolong tengok-tengokkan Norell. Takut juga kalau dia pergi cari Norell. Abang kenal sangat dengan Norell tu. Hati dia mudah lembut. Takut nanti termakan dek pujuk rayu Imran pulak.” Syed Mahfuz membuka songkok yang dipakainya. Mereka semua baru sahaja balik dari menghadiri majlis pengebumian arwah Hariz. Tetapi Syed Mahfuz terus ke balai polis sebaik sahaja menerima panggillan dari Inspektor Hairy.
Nurradiah melangkah masuk ke dalam wad yang menempatkan Aishah dan seorang lagi pesakit wanita. Yang lain hanya membuntuti Nurradiah. Satu persatu wajah ahli keluarga, Aishah lihat. Tetapi ada satu wajah yang dinantikan, tiada disitu. Dikerutkan sedikit dahinya.
“Ma...mana Abang Hariz?” tanya Aishah tiba-tiba. Mereka tersentak. Tidak tahu hendak berkata apa. Terus-terang? Dapatkah dia menerima hakikat itu?
“Adik...Adik, rehat dulu ya.” Pujuk Nina.
“Tak mahulah, Kak Na. Dah penat Adik asyik tidur je. Tak sabar nak jumpa Abang Hariz. Mana dia, Kak Na?” Aishah bertanya girang.
“Adik...dengar cakap Kak Na, ya. Kejap lagi dia datang.” Akhirnya Nina berjanji sesuatu yang tidak pasti. Aishah mengangguk perlahan dan memejamkan semula matanya. Nurradiah menunjukkan isyarat supaya semua diminta keluar.
Mereka terserempak dengan Farehan di muka pintu. Nurradiah memberikan isyarat bahawa Aishah sedang tidur. Ahli keluarga yang lain hanya mengangguk. Nurradiah membawa Farehan ke bilik bayi untuk melihat cucu pertama mereka.
“Comelnya. Macam Hariz.” Ujar Farehan tanpa diduga. Nurradiah faham akan perasaan seorang ibu yang kehilangan anak. Dipeluk seerat mungkin bahu besannya itu. Mereka sama-sama menangis di dalam pelukan. Pelukan dileraikan sedikit. Tangisan sudah mulai reda.
“Nita mana, Uncle?” tanya Nadira kepada Najmuddin yang berada di sebelah Syed Mahfuz.
“Ada di rumah. Tengah maklumkan pada Hafiz. Kejap lagi dia datanglah tu.” Jawab Najmuddin. Nadira mengangguk perlahan.


HANITA berdiri tercegat dihadapan telefon. Menarik dan melepaskan nafas sekuat mungkin. Cuba mencari kekuatan untuk memberitahu perkara sebenar kepada Hafiz. Dicapai gagang telefon dan mula mendail satu persatu nombor telefon Hafiz di London. Ada nada deringan. Terdengar Hafiz bersuara.
“Hello?” sahut Hafiz.
“Hello?” Hafiz bersahut sekali lagi apabila sahutannya tidak bersambut.
“Assalamualaikum, Long.” Hanita bersuara lemah.
“Waalaikumussalam. Nita...Nita apa khabar?” tanya Hafiz. Sudah berbulan tidak berbual bersama adik bongsunya ini semenjak Hanita juga sibuk dengan kerja yang tidak menentu.
“Baik, Long. Along sihat?” sekadar berbasa-basi Hanita bertanya.
“Sihat. Kenapa Nita call Along ni? Rindu kat Along, ya?” usik Hafiz. Kemudian dia tertawa kecil. Hanita tidak menyambut ketawa itu. Malahan dia menitiskan airmata tatkala mendengarkan suara ceria Hafiz. Tidak sampai hati pula hendak menyampaikan perkhabaran buruk itu.
“Nita? Nita...” panggil Hafiz apabila tiada respon daripada Hanita.
“Along....” Hanita memanggil namanya dengan suara esak tangis yang berpanjangan. Hafiz pelik.
“Kenapa ni, Nita? Ada orang kacau Nita? Ada orang buat tak baik pada Nita?” bertalu-talu soalan yang keluar dari mulut Hafiz. Hanita menggeleng. Manalah Hafiz hendak nampak.
“Nita...cuba cakap dengan Along, kenapa Nita menangis?” Hafiz bernada memujuk.
“Angah....” jantung Hafiz seperti terhenti apabila Hanita menyebut nama panggilan Hariz.
“Kenapa dengan Angah? Nita cuba cakap dengan Along, kenapa dengan Angah?” kalau Hanita ada dihadapannya, pasti sudah dipaksa gadis itu bercakap.
“Angah...Angah...Angah dah... tak ada.” Lambat-lambat Hanita berkata. Terpana Hafiz mendengarnya. Dunia dia menjadi gelap seketika. Tiada lampu atau cahaya matahari yang dapat memancar dan menyinari dunia kelam yang menyelubungi diri Hafiz. Terlepas telefon bimbitnya. Airmata menitis laju.
“Hello? Hello...Along?” Hanita bersuara. Hafiz mencapai semula telefon yang terlepas.
“Along akan balik sana. Along akan cuba dapatkan tiket pertama kesana.” Ujar Hafiz dan segera mematikan talian tanpa sempat Hanita bersuara apa-apa.
Hafiz bingkas bangun dari duduknya dan menuju ke bilik untuk menyalin pakaian. Dia membawa pakaian yang perlu sahaja ke lapangan terbang. Keluar dari rumah sahaja terus menahan teksi.
“Airport, please.” Ujarnya kepada pemandu teksi. Sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang Heathrow, fikiran Hafiz melayang-layang. Teringatkan Hariz. Maafkan Along, Ngah. Along tak ada disisi Angah masa Angah menghembuskan nafas terakhir, Hafiz bergumam. Teringat akan perjanjian lalu.
Masih diingat janji yang dibuat sesama mereka. Hariz duduk bertentangan dengan Hafiz. Memandang serius wajah abangnya itu.
“Long, kita buat janji nak?” Hariz berkata. Seolah-olah ingin memberikan satu cadangan.
“Apanya?” Hafiz bertanya semula.
“Kalau Angah hembuskan nafas terakhir, biar Along ada disisi Angah. Begitu juga dengan Along. Kalau Along yang menghembuskan nafas terakhir, Angah nak berada disisi Along.” Penyata perjanjian yang benar-benar membuatkan Hafiz terkejut.
“Hish...kesitu pulak Angah ni.”
“Along janji lah dulu.” Paksa Hariz.
“Yalah....yalah...Along janji.” Akhirnya Hafiz akur. Marahkah Angah padaku kerana ku tak sempat berada disisinya disaat dia menghembuskan nafas terakhir? Hati Hafiz diruntun pilu. Dia memejamkan mata. Tersentak apabila teksi yang dinaikinya berhenti secara mengejut.
Selepas membayar duit tambang teksi, Hafiz segera turun dan berlari-lari anak menuju ke kaunter tiket penerbangan. Cuba mendapatkan tiket terawal untuk pulang ke Malaysia. Hafiz terasa seperti Hariz memanggil namanya.Terasa seperti baru semalam mereka bercakap di dalam telefon. Melepaskan rindu. Teringat perbualan dengan Hariz seminggu yang lepas.
“Along...nanti Along rindu tak pada Angah?”
“Kenapa Angah tanya macam tu?” soalan dibalas soalan.
“Nanti kan, Along mesti rindu punya pada Angah.”
“Kenapa?”
“Adalah sebabnya.” Ujar Hariz berahsia. Memang. Memang Hafiz akan merindui Hariz, selamanya. Hafiz berlari menuju ke kaunter berlepas setelah mendapatkan tiket pertama pulang ke Malaysia. Kaki melangkah laju menuju ke ruang menunggu.
Pengumuman penerbangan dilakukan. Hafiz segera mengangkat beg pakaiannya dan menuju ke arah pegawai tiket yang sedia menunggu di muka pintu. Diserahkan tiket kepada pegawai tersebut. Pegawai itu mengetip tiket tersebut sehingga berlubang. Pegawai tersebut menyerahkan kembali tiket kepada Hafiz. Dan dia berjalan masuk dengan laju ke dalam.


RENGEKAN bayi menyebabkan Aishah terjaga. Memandang ke arah seseorang yang mendukung anaknya. Tersenyum sahaja orang itu kepada Aishah.
“Abang....” panggil Aishah. Tersenyum orang yang dipanggil Abang itu. Pakaiannya yang putih bersih berserta haruman membuatkan dahi Aishah berkerut seribu.
“Abang....” panggilnya lagi. Diserahkan bayi itu semula kepada Aishah. Dicium dahi Aishah lama.
“Ingat pesan Abang. Jaga baby kita baik-baik.” Pesan Hariz semula sebelum dia pergi menghilangkan diri.
“Abang...Abang...ABANGGGG!!!” jerit Aishah. Dia terjaga dari tidurnya. Tiada sesiapa pun di dalam bilik itu. Memandang ke katil sebelah. Pesakit disebelahnya sedang nyenyak tidur. Dia membetulkan bantal dan menyandarkan diri ke dinding. Bercantum keningnya cuba menafsir mimpi itu. Seorang jururawat menolak troli bayi Aishah dan tersenyum ke arahnya.
“Masa untuk beri makan baby.” Ujar jururawat yang sedang tersenyum manis itu. Aishah mengangguk dan membalas senyumannya. Jururawat tersebut beredar. Aishah menarik troli itu untuk mendekatinya. Diangakt bayi lelaki yang diselimut berwarna biru. Merengek bayi itu memandang Aishah. Perut terasa lapar. Minta diisi dengan susu ibunya sendiri. Wajah bayinya memiliki seraut wajah Hariz. Mesti Hariz suka lihat bayi dia seiras wajahnya.
“Nanti mesti baby kita muka macam Abang.” Hariz berkata sambil mengusap perut Aishah. Teringat perbualannya bersama Hariz.
“Mana Abang tahu? Mungkin muka macam saya ke?” duga Aishah.
“Tak mungkin. Sebab Abang tahu, Sayang sayangkan Abang. Jadi, mesti muka macam Abang.” Seloroh Hariz itu dibalas dengan sebuah cubitan dilengan.
“Aduh...tapi Abang rasa, dia mesti ada skill macam sayang ni.”
“Skill apa?”
“Cubit ketam.” Usik Hariz sekali lagi. Aishah menampar lengan Hariz perlahan. Mereka sama-sama tergelak, bahagia.
Mata Aishah tertuju ke arah pintu bilik apabila terdengar ketukan serta orang menguak pintu. Nurradiah memasuki bilik tersebut bersama-sama Farehan. Aishah membetulkan duduk. Dia bersalaman dengan kedua wanita itu. Farehan segera menuju ke arah bayi yang berada di sebelah Aishah itu. Dia mengangkat bayi tersebut dan dikendongnya. Nurradiah dan Aishah tersenyum melihat perbuatan Farehan itu. Diagah bayi itu.
“Shah dah ada nama untuk baby ni?” tanya Farehan. Mengangkat muka memandang Aishah.
“Belum lagi, Umi. Tapi Shah suka nama Adam.” Dilihatnya Farehan mengangguk-angguk perlahan. Sekali lagi diagah bayi tersebut.
“Kalau Umi tambah Hariz dibelakangnya, boleh? Jadilah Adam Hariz.” Aishah juga turut bersetuju dengan nama itu. Dia segera mengangguk pantas.
“Ma...Abang Hariz mana? Dari tadi, Adik tak nampak pun dia.” Nurradiah dan Farehan saling berpandangan. Terkejut dengan pertanyaan Aishah itu. Bagaimana harus mereka khabarkan kepada dia?
“Adik...Mama harap Adik bawak bersabar, ya.” Ujar Nurradiah. Menggenggam erat jemari Aishah. Farehan sudah mula menitiskan airmata.
“Ada apa ni, Ma...Umi?”
“Hariz dah tak ada.”
“Tak ada? Dia pergi mana?” Aishah bertanya.
“Dia dah meninggal dunia. Kelmarin dulu, accident.” Nurradiah berkata. Sebak menguasai diri.
“Mama jangan tipu Adik. Abang Hariz kata dia nak outstation je.” Entah kenapa airmata Aishah menitis laju. Seakan-akan tidak mahu berhenti.
“Mama tak tipu Adik. Semalam dia dah selamat dikebumikan.”
“Tak....Tak...Mama tipu Adik. Mama tipu. Adik tak nak dengar Mama tipu adik.” Aishah menekup telinganya. Dia meronta-ronta minta dilepaskan.
“Adik...Sabar, Dik. Dengar cakap Mama dulu.” Nurradiah bersusah-payah memegang lengan Aishah yang meronta. Farehan meletakkan bayi lelaki itu di dalam troli. Turut menolong Nurradiah memegang Aishah.
“Nur, pergi panggil nurse.” Arah Farehan. Nurradiah segera berlari keluar dan memanggil jururawat yang bertugas.
“Shah, sabar sayang. Bawak bersabar.” Pujuk Farehan lagi.
“Umi, tadi Abang Hariz ada datang jumpa saya. Dia pegang baby kami dan senyum pada saya. Tak mungkin Abang Hariz dah meninggal. Dia pesan pada saya suruh saya jaga baby kami.” Aishah berkata dalam tangis. Tetapi dia sempat tersenyum kecil. Farehan semakin pelik dengan sikap Aishah.
Jururawat yang bertugas itu datang dengan membawa suntikan penenang. Dia meminta jururawat yang membuntutinya untuk memegang Aishah. Aishah meronta minta dilepaskan. Dia bertindak ganas. Menjerit. Terpekik-terlolong. Jururawat tersebut menyuntik ubat penenang. Lama kelamaan mata Aishah semakin mengecil. Badannya juga terlalu lemah untuk bergerak. Farehan memeluk Nurradiah yang sudah teresak-esak menangis. Mereka sama-sama menangis mengenangkan perjalanan hidup Aishah selepas ini.


AISHAH sudah dibenarkan pulang ke rumah. Tetapi fikirannya seperti tiada disitu. Hanya jasad sahaja yang berjalan. Bayi lelaki yang dikendong oleh Nurradiah diberi nama Adam Hariz. Nurradiah dan Farehan sama-sama mencapai kata sepakat untuk membiarkan Aishah tinggal bersama-sama Nurradiah. Jika dia pulang ke rumah Farehan, dikhuatiri juga akan mengingatkan Aishah kepada Hariz. Sudah 3 hari Aishah tidak mempedulikan bayinya. Dia hanya akan ambil sewaktu Adam benar-benar perlukan susunya. Selain daripada itu, Nurradiah yang banyak menjaga Adam. Aishah lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Makan juga di dalam bilik. Semenjak 3 bulan yang lalu, Adam sudah tidur bersama-sama Nurradiah. Setiap hari pasti Hafiz akan datang melawat Adam selepas pulang dari kerja.
Selepas pulang daripada London, Hafiz sudah berhenti kerja dari menjadi doktor. Dia membantu Abahnya, Najmuddin menguruskan perniagaan. Semenjak ketiadaan Hariz, Hafiz dijadikan pengganti Hariz untuk mewarisi syarikat miliki keluarga itu. Najmuddin juga sejak kebelakangan ini kurang sihat. Selalu sahaja pening kepala dan demam. Risau akan melihat keadaan Najmuddin itu, Hafiz membuat keputusan untuk terus membantu dan mengambil alih syarikat Abahnya. Dia nekad sudah tidak mahu pulang ke London. Memang niat Najmuddin ingin menyerahkan syarikat miliknya itu kepada Hariz. Sungguhpun diberi kepada Hafiz, pasti anak lelaki sulungnya itu tidak berminat. Dia lebih berminat kearah kerja-kerja kebajikan. Hariz menyatakan pendapatnya sebelum dia mengambil alih syarikat Najmuddin itu, dia ingin mencari pengalaman di tempat lain dahulu. Buktinya, dia bekerja dengan SM Holdings. Setelah dinaikkan pangkat, Hariz merasa sayang untuk meninggalkan syarikat itu. Fikir dia, belum masa lagi. Tunggulah masa yang sesuai baru dia berhenti kerja dan mula menumpukan seluruh fokusnya terhadap syarikat Najmuddin itu. Kini, setelah Hariz pergi, tiada siapa yang sesuai menjadi penggantinya melainkan Hafiz sendiri. Tidak sampai hati Najmuddin ingin melihat Hafiz menguburkan impian yang dibina selama ini dengan sekelip mata. Tetapi Hafiz sudah pun menyatakan kesanggupannya.
Kasihan pula Hafiz melihat Farehan. Setiap hari pasti termenung teringatkan anak keduanya itu. Kadangkala Hafiz ternampak Farehan mengelap airmatanya. Semua orang sedang bersedih akan kehilangan Hariz secara mendadak itu. Projek yang diusahakan oleh Hariz dan juga Syafiq telah diserahkan kepada Syafiq sepenuhnya oleh Syed Mahfuz. Syafiq juga kurang fokus terhadap kerjanya semenjak ketiadaan Hariz. Sehingga ditegur oleh Syed Mahfuz. Sedih kerana kehilangan seorang sahabat yang sudah lama dikenali.
Setelah pulang dari pejabat, Hafiz terus menuju ke rumah keluarga Aishah. Ingin melihat anak buah kesayangannya itu. Hampir 2 hari tidak dapat bertemu lantas kesibukan yang memerlukan perhatian di syarikat. Kereta Ferrari Magnum yang dibelinya menggunakan wang simpanan yang disimpan selama bertahun dia menimba pengalaman di rantau orang, diparkir dihadapan banglo mewah itu. Baru 2 minggu sahaja kereta itu digunakan oleh Hafiz. Memang menjadi idaman Hafiz, kereta itu sejak gambarnya terpampang di dada majalah kereta beberapa bulan yang lepas. Kereta jenis 4x4 itu memang sesuai dimiliki oleh sesiapa, biarpun orang itu sudah bekeluarga. Hafiz turun dari kereta. Dibunyikan penggera kereta menandakan keretanya sudah dikunci.
“Assalamualaikum.” Salam diberi oleh Hafiz. Awan yang berarak senja itu melabuhkan tirai siangnya. Cuaca menjadi mendung.
“Waalaikumussalam.” Seseorang menyahut salam itu. Pintu pagar dibuka secara automatik. Hafiz mengelak daripada pintu pagar itu terkenanya semasa terbuka. Dia melangkah masuk. Tersenyum pada Nurradiah yang berdiri di pintu utama dengan senyuman.
“Auntie, apa khabar?” tanya Hafiz seraya tunduk menyalami Nurradiah. Memang ini salah satu sikap anak-anak Najmuddin dan Farehan yang disenangi oleh keluarga Nurradiah.
“Baik. Masuklah, Fiz. Ni datang ni, mesti nak jumpa Adam kan?” Nurradiah bertanya.
“Mestilah, Auntie. Habis, nak jumpa siapa lagi?” Hafiz bertanya kembali dengan kerutan di dahi.
“Manalah tahu. Kot-kot nak jumpa Mama Adam ke.” Usik Nurradiah dengan senyuman. Hafiz tersenyum hambar. Tidak berniat untuk membalas usikan Nurradiah itu.
“Fiz duduk kejap, ya. Adam baru je lepas mandi.” Ujar Nurradiah. Hafiz mengangguk sambil menghantar langkah wanita tua itu meninggalkannya di ruang tamu.
Sebentar kemudian, Nurradiah turun dengan membawa Adam Hariz yang digendong. Hafiz tersenyum melihat bayi itu yang seolah-olah tersenyum melihatnya. Segera dia menuju ke arah Nurradiah. Mengambil anak kecil itu dari pangkuan neneknya. Nurradiah terus menghilang ke dapur sebaik sahaja Hafiz mengambil Adam. Diagah anak kecil itu. Kadangkala tergelak Adam dibuatnya. Dicium seluruh wajah Adam. Rindunya menggunung pada anak buah seorang itu. Memang benar, Adam seiras Hariz. Wajah Adam mengingatkan Hafiz pada arwah adiknya itu. Ahh...rindu pada Hariz menjelma. Nurradiah muncul semula di ruang tamu dengan menatang segelas air oren. Diletakkan gelas tersebut dihadapan Hafiz.
“Amboi...rindu pada Ayah, ya.” Nurradiah mencubit pipi Adam. Sedikit kegeraman. Merengek sebentar anak kecil itu. Pantas dipujuk oleh Hafiz.
“Aishah ke mana, Auntie?” tanya Hafiz apabila seperti tidak kelihatan wanita yang dicintainya itu dimana-mana. Nurradiah mengeluh.
“Dia keluar dengan Nina. Nina ajak keluar. Dah lama asyik terperuk dalam bilik tu. Kalau tak ada dalam bilik, mesti pergi ke kubur arwah. Hari-hari macam tu. Risau Auntie tengok dia, Fiz.” Terangguk-angguk Hafiz mendengar penjelasan yang keluar dari mulut Nurradiah.
“Butik dia macam mana?” Hafiz bertanya lagi.
“Nasib baik Dira ada. Dira dan pembantu Aishah, Putri uruskan butik dia tu.” Nurradiah mengeluh lagi. Hafiz menundukkan wajah. Bermain bersama Adam.
“Fiz duduklah, ya. Auntie nak siapkan makan malam untuk Uncle. Fiz makan sekali disini, ya?” pelawa Nurradiah.
“Eh...tak apalah, Auntie. Fiz balik makan kat rumah je.” Tolak Hafiz perlahan.
“Sekali-sekala, Fiz. Bukan selalu.” Nurradiah masih memujuk. Hafiz putus kata. Dia terdiam dan mengangguk perlahan. Tidak sampai hati pula untuk menolak pelawaan itu.
Hafiz sedang leka bermain dengan Adam sehingga tidak sedari Nina sudah pulang dari membawa Aishah bersiar-siar. Aishah masuk ke dalam rumah. Terjengul wajahnya di muka pintu. Nina yang membuntuti dari belakang turut memboloskan diri masuk ke dalam rumah. Terkejut melihat kehadiran Hafiz tiba-tiba.
“Wei, Fiz. Bila kau sampai?” sapa Nina. Aishah memandang ke arah Hafiz tanpa apa-apa perasaan. Jiwanya kosong. Mati. Dia memandang sekilas kemudian pandangannya dialihkan semula. Kaki Aishah laju ingin meniti tangga untuk menuju ke tingkat atas.
“Adik, Adam lapar ni. Adik susukan Adam, ya.” Ujar Nina lembut. Aishah berpaling dan menuju ke arah Hafiz. Diambil anaknya itu dari pangkuan Hafiz. Kemudian menuju semula ke tingkat atas. Menghilang disebalik pintu bilik yang tertutup.
“Maafkan dia, Fiz. Dia bukan diri dia buat masa sekarang.” Nina membela. Hafiz mengangguk. Mengerti akan maksud Nina.
“Aku faham, Na. Aku tak salahkan dia. Siapa pun masih bersedih lagi atas kehilangan Hariz. Aku pun, Na. Sampai sekarang aku masih tak boleh terima hakikat yang Hariz dah tak ada.” Hafiz berkata sebak. Ingin menitis airmata tetapi ditahan sedaya mungkin.
“Aku tahu, Fiz. Tapi kau tak takut untuk bangkit semula dan teruskan hidup. Tak macam dia. Dalam masa 4 bulan ni, dia macam hidup dalam dunia khayalannya sendiri. Kadangkala gelak, kadangkala nangis. Kadangkala bercakap seorang diri. Macam bercakap dengan Hariz saja, lagaknya. Aku risau, Fiz. Kalau keadaan ni berterusan, ini akan membuatkan hidup Adam lebih sengsara. Sudahlah kehilangan Papa, takkan dalam masa yang sama kehilangan Mama pula.” Luah Nina kesal. Ditundukkan wajah. Menitis airmatanya. Sudah tidak malu untuk menitiskan airmata dihadapan sahabatnya itu. Segera dilap airmata yang semakin laju itu.
“Kau jangan cakap macam tu, Na. Aku yakin. Dia akan ‘hidup’ semula.” Dengan yakin Hafiz berkata. Walaupun dia sendiri tiada kepastian dalam mengucapkan kata-katanya itu. Nina mengangguk.
“Adam mana?” tanya Nurradiah yang tiba-tiba sahaja muncul dari dapur.
“Dengan Adik, Ma.” Jawab Nina ringkas.
“Marilah makan. Fiz...Na.” jemput Nurradiah.
“Tak nak tunggu Papa ke, Ma?” soal Nina.
“Papa lambat lagi tu. Dia pergi jumpa Inspektor Hairy.” Sebaik sahaja Nurradiah habis berkata, terdengar deruman enjin di luar rumah. Nina menjenguk ke tingkap. Kelihatan kereta Syed Mahfuz baru masuk ke dalam perkarangan rumah. Dibuka pintu untuk Papanya itu.
Syed Mahfuz melangkah masuk ke dalam rumah. Tersenyum melihat Nina yang menyambutnya dimuka pintu. Nina tunduk menyalami Syed Mahfuz.
“Seorang saja, Na?” tanya Syed Mahfuz apabila tidak nampa bayangan wajah menantu dan cucu-cucunya.
“A’ah, Pa.” Jawab Nina ringkas.
“Mana Sof?”
“Abang Sof kerja sampai malam. Balik lewat. Banyak kerja, katanya.” Nina faham akan tuntutan kerja Sofyan. Semenjak sudah menjadi rakan kongsi sebuah syarikat yang dimiliknya bersama salah seorang sahabat yang dikenali sejak kecil, Sofyan sudah jarang menghabiskan masa bersama Nina dan anak-anak. Nina mengerti. Sofyan perlu bekerja lebih keras untuk menanggung kos kehidupan yang semakin berlambak.
“Qayyum dan Aqeem?” pertanyaan Syed Mahfuz mematikan lamunan Nina.
“Tinggal dengan nenek dia orang. Sibuk mak mentua Na kata, dah lama tak jumpa Qayyum dan Aqeem. So, Nina tinggalkanlah dia orang kata sana. Lagipun Nina kena balik tidur rumah sana jugak. Nanti Abang Sof ambil Nina kat sini.” Jelas Nina pada Syed Mahfuz. Terangguk-angguk lelaki tua itu.
“Abang...marilah makan.” Panggil Nurradiah lembut. Syed Mahfuz menuju ke meja makan. Terlihat Hafiz tersenyum kepadanya.
“Ohh...Fiz pun ada jugak.” Tersenyum Syed Mahfuz kepada anak muda itu. Hafiz tunduk menyalami tangan Syed Mahfuz. Walaupun sudah tua, namun wajah dan juga kulit Syed Mahfuz sedikit pun tidak berkedut. Rambutnya juga masih pekat kehitaman. Tapi ada beberapa tompok putih uban yang sudah mula menunjukkan warna.
“Uncle sihat?” tanya Hafiz.
“Macam nilah, Fiz. Uncle dah tua. Sakit tentu ada. Fiz makanlah dulu dengan Auntie dan Nina. Uncle nak naik mandi dan salin pakaian dulu.” Ujar Syed Mahfuz lembut. Ditepuk perlahan bahu Hafiz.
“Abang dah solat?” Nurradiah bertanya.
“Dah. Kat office tadi.” Syed Mahfuz berkata dan terus berpaling untuk menuju ke tingkat atas.
“Makanlah, Fiz.” Pelawa Nurradiah. Diceduk nasi yang masih berasap ke dalam pinggan.
“Tak apalah, Auntie. Kita tunggu Uncle.” Sela Hafiz. Nina dan Nurradiah mengangguk perlahan.
Entah kenapa sejak pemergian Hariz, keluarga Syed Mahfuz dan Najmuddin, tiada lagi keceriaan yang menghiasi hidup mereka. Gelak tawa seakan-akan mati dan pergi bersama Hariz. Terdengar esak tangis Adam dari dalam bilik Aishah. Segera Nurradiah berlari menuju ke tingkat atas. Dikuak pintu bilik Aishah. Tercari-cari wajah ibu muda itu. Ternampak Aishah disatu sudut sambil menekup telinganya. Muka disembam ke lutut yang dibawa rapat ke dada.
“Kenapa, Adik? Biarkan Adam nangis ni. Tak elok biar baby nangis lama-lama.” Ujar Nurradiah. Mengangkat Adam dan cuba mententeramkan perasaan Adam.
“Ma...suruh dia diam, Ma. Suruh dia diam. Adik tak sanggup dengar. Adik tak mahu dengar. Bawak dia pergi, Ma. Bawak dia pergi jauh dari Adik!!!” jerit Aishah lantang. Terkejut Nurradiah dengan tindakan Aishah itu. Nina yang terdengar jeritan itu, terus sahaja berlari ke tingkat atas. Ingin sekali Hafiz melihat keadaan Aishah dan Adam, tetapi langkahnya menjadi kaku. Teringat pandangan dingin yang diberikan oleh Aishah.
“Adik...kenapa ni, Dik? Apa salah Adam? Sampaikan Adik tak boleh dengar dia menangis.” Pujuk Nurradiah lagi. Diserah kepada Nina dan mengarahkan Nina untuk membawa Adam turun kepada Hafiz yang sedang menunggu dibawah. Nina segera melangkah keluar dari bilik Aishah dan membawa Adam pergi jauh dari bilik itu.
“Adik...” panggil Nurradiah lembut. Ditarik perlahan tangan Aishah yang menekup telinga itu. Tiba-tiba terdengar esakan kecil.
“Muka dia sama macam Abang Hariz. Muka dia sama macam Abang Hariz....Cara dia gelak. Cara dia pandang Adik, Ma.” Selepas sahaja Aishah berkata begitu, dia terus bangun dan menuju ke almari baju. Habis diselongkar baju-baju di dalam almari tersebut. Sepasang baju kemeja kegemaran Hariz telah dijumpai. Dia ambil dan dicium baju itu sepuasnya.
“Adik...jangan macam ni, Dik. Mama risau ni.” Luah Nurradiah.
“Semalam...semalam Abang Hariz datang jumpa Adik, Ma. Dia hulur tangan. Suruh Adik ikut dia. Tapi....” ayat Aishah tergantung. Nurradiah masih menanti butir bicara seterusnya.
“....Adik takut, Ma. Adik takut. Takut nak tinggalkan Mama...Papa...Ong...Kak Na...Dira...dan?” dia seperti berfikir nama siapakah yang terlupa dia sebut.
“Adam.” Akhirnya terluah juga nama itu. Kemudian, Aishah tersenyum dalam tangisan.
“Adik...” panggil Nurradiah perlahan. Dipegang kedua belah bahu Aishah.
“Nur, kenapa ni? Abang dengar Adik jerit-jerit tadi.” tanya Syed Mahfuz. Dia menjenguk ke dalam bilik Aishah.
“Abang turun dulu. Kejap lagi Nur turun.” Nurradiah berkata. Separuh mengarah. Syed Mahfuz segera meninggalkan bilik itu.
“Adik...Adik rehat, ya sayang.” Pimpin Nurradiah sehingga ke katil yang ada di dalam bilik separuh besar itu. Aishah hanya mengikuti langkah Nurradiah tanpa membantah. Dibaringkan Aishah ke atas bantal yang empuk itu. Nurradiah ingin mengambil baju Hariz tetapi direntap kuat oleh Aishah.
“Tak mau.” Aishah berkata kuat. Nurradiah akur. Ditarik selimut dan menutupi separuh dada Aishah. Dipejamkan mata yang sudah keletihan menangis. Nurradiah melangkah ke arah pintu bilik. Ditutup lampu sehingga bilik itu menjadi gelap. Kemudian, dia melangkah turun ke tingkat bawah.

BERSAMBUNG....

4 tukang komen paling setia:

nurhakim said...

sedihnya n3 kli nie kak ecah...
cian plk tgk aisyah cam 2..
hope lpas dia ok lah..
ngan adam pn cian gak..
dah lah ayah xde mama dia plk bt dia cam 2...sedihnya...
cpat2 smbng tau kak ecah..

keSENGALan teserlah.. said...

huhu..
aishah.b strong...kan hariz da pean dlu..cian kat baby..
huhu...
kautkan semngt..
smbung2..

ceritaku MEMORIKU said...

ayat ko dh jd x betol zaty.
ahakzzz.
hafiz kena sembuhkan aisyah.
die perlukan seseorg.
die kena kuat utk adam hariz.
smbung2
-na'dz

farwisy said...

cam x logik je..lahir x ckup bln tp baby berat 3.5kg..
apa2 pun cite ni best..