BAB 15
PETI televisyen yang terpasang terasa seperti kosong. Cerita yang sedang bersiaran di peti tersebut, langsung tidak menarik perhatian Zurin. Fikirannya senantiasa menerawang. Benarkah hati Adam sudah berubah? Jika ya, kenapa Adam tidak berterus-terang. Dia tidak suka perasaanya dipermainkan. Kedengaran pintu pagar automatik terbuka. Sebuah kereta menyusur perlahan masuk ke dalam garaj. Zurin segera berdiri dan menyelak kain langsir yang menutupi jendela. Adam melangkah keluar dari keretanya dengan membawa turun beberapa beg plastik. Pantas Zurin menutup semula jendela dan menghempaskan punggung ke atas sofa. Memeluk tubuh. Menala pandangan ke peti televisyen. Sedangkan ekor matanya mengikut gerak langkah Adam yang baru sahaja melepasi pintu utama. Hati Zurin semakin panas apabila Adam langsung tidak mahu menegurnya yang duduk tercegat di sofa ini.
Baru sahaja kaki Adam hendak melangkah mendaki anak tangga pertama, langkahannya terhenti apabila terdengar suara Zurin seperti halilintar memecah bumi bergema di ruang tamu rumah tersebut.
“Am cakap dengan Rin terus-terang. Am dah ada perempuan lain kan?” soal Zurin lantang.
Perlahan-lahan Adam mengalihkan badannya memandang Zurin yang sudah berdiri tercegat memandang Adam. Matanya mencerlung sahaja. Adam melepaskan keluhan. Sebenarnya dia malas mahu berkata apa-apa. Nanti boleh dijadikan pergaduhan hanya disebabkan perkara remeh sahaja. Entah kenapa Zurin bersikap begitu sejak kebelakangan ini. Adakah dia juga seperti Adam? Sudah bosan dengan perkahwinan ini.
“Am malaslah nak bergaduh dengan Rin. Am dah penat. Am nak naik rehat.” Ujar Adam dan mula mendaki anak tangga tersebut.
Zurin tidak berpuas hati lalu mengejar langkah Adam. Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kamar, Zurin menghempaskan pintu kamar sekuat hati. Adam yang sedang merungkaikan bajunya satu persatu, terkejut dengan tindakan Zurin.
“Kenapa dengan Rin ni? Sejak kebelakangan ni, Rin asyik cari kesalahan Am je. Apa yang Rin tak puas hati lagi?” suara Adam hanya mendatar sahaja. Tidak langsung mahu meninggikan suara. Tidak mahu menambahkan panas yang sedia ada.
“Rin memang tak puas hati. Apa yang ada kat rumah parents Am tu sampaikan tiap-tiap minggu Am nak balik sana. Dulu Am janji dengan Rin yang Am akan balik sana 2 minggu sekali je. Sekarang ni, Am dah tak ada masa nak spend time dengan Rin. Am simpan perempuan tu kat rumah parents Am, ya?” serang Zurin bertubi-tubi. Matanya sudah memerah menahan tangis. Adam melepaskan keluhan.
“Rin kenapa Rin boleh berfikir sampai ke situ? Am balik ke sana, sebab Am…Am…Am perlu fikirkan pasal sesuatu.” Jawab Adam. Perlukah dia berterus-terang? Dapatkah Zurin menerima hakikat itu?
“Fikir pasal apa? Fikir pasal nak madukan Rin?” sekali Zurin menyerang Adam. Lelaki itu hanya menarik dan melepaskan nafas perlahan.
“Rin, please. Tolong jangan paksa Am.” Adam mencapai tuala yang tersangkut di penyangkut baju dan laju sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam bilik air. Perlu membersihkan diri yang melekit.
Nafas Zurin turun naik. Air matanya mula menitis. Mata Zurin masih melekat ke pintu bilik air yang tertutup rapat. Kedengaran air paip terpasang.
“Eihhh…” Zurin menjerit kuat. Dia menghentakkan kaki dan melangkah keluar dari kamar tersebut. Sekali lagi pintu kamar itu dihempas kuat.
Di dalam bilik air, Adam menggenggam kuat marmar sinki. Air mata lelakinya juga turut menitis.
‘Maafkan Am, Rin. Am terpaksa rahsiakan hakikat sebenar Am ke sana. Am perlu fikirkan pasal perhubungan kita,’ Adam merintih dalam hati. Ditadah air dalam sinki dengan tangannya dan disapukan air tersebut ke seluruh wajahnya. Melihat wajahnya yang basah melalui cermin.
SUASANA di Istana Tower semakin sibuk sementelah jam menginjak jam 9 pagi. Para pekerja tergesa-gesa menyerbu masuk ke dalam pejabat masing-masing. Zurin juga tidak terkecuali. Berjalan beriringan bersama seorang sahabat menuju ke lif yang sedang terbuka. Tergesa mereka berebut hendak masuk. Sampai ada yang tertolak Zurin sehinggakan wanita itu terdorong ke hadapan. Sahabat Zurin segera menarik lengan Zurin dan mereka sama-sama dapat menyelit masuk ke dalam lif tersebut. Sebaik sahaja tiba di tingkat 15, Zurin dan sahabatnya segera keluar.
“Siti, thanks. Sebab kau tarik aku tadi.” Ujar Zurin sambil tersenyum manis.
“Alahh…tak ada hal lah. Okaylah. Aku pergi tempat aku dulu.” Siti melambai ke arah Zurin dan mereka sama-sama berpisah untuk ke tempat masing-masing.
Zurin membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam kamarnya yang sederhana besar itu. Jawatan yang disandang Zurin sebagai Pengurus Pemasaran melayakkan dia untuk memiliki sebuah biliknya sendiri. Diletakkan tas tangannya di dalam laci dan mula menghidupkan suis untuk komputer. Tiba-tiba matanya tertancap pada gambar berbingkai emas yang terletak elok di tepi komputer tersebut. Dicapai, ditatap lama. Gambar Zurin dan Adam ketika bersiar-siar di kota Paris untuk percutian bulan madu mereka. Sangat bahagia ketika itu. Zurin berharap masa dahulu dapat diputarkan kembali. Zurin meletakkan semula bingkai gambar itu apabila kedengaran pintunya diketuk perlahan. Arahan masuk diberikan. Terkuak luas pintu biliknya dan terjengul wajah pembantu Zurin.
“Yes, Shana?” Zurin mengangkat muka. Tersenyum pada pembantunya itu.
“Cik Zurin, sebentar lagi ada meeting pukul 11 pagi. Datuk panggil meeting untuk Marketing Department saja. Dan…” ayat Shana tergantung. Meneliti jadual untuk hari itu yang tercatit di dalam diari di genggaman Shana.
“Ada apa-apa lagi untuk saya hari ni, Shana?” soal Zurin apabila dilihatnya berkerut dahi Shana meneliti jadual yang tercatit itu.
“Tak ada apa-apa lagi. Itu saja.” Jawab Shana sambil mengangkat muka.
“Okay. Kalau macam tu, report yang saya suruh awak buat minggu lepas, dah siap?” sekali lagi Zurin menyoal.
“Dah, Cik Zurin. Saya dah print dan masukkan dalam file.” Jawab Shana pantas. Sebaik sahaja sampai di pejabat, Shana terus sahaja melakukan kerjanya. Shana suka menyelesaikan kerja sebelum ketuanya sempat bertanya.
“Okay. Nanti bawak sekali, ya. Sebab nak serahkan pada Datuk.” Arah Zurin. Shana hanya mengangguk dan tersenyum.
“Ada apa-apa lagi, Cik Zurin?”
“Ermmm….dah tak ada apa-apalah.” Zurin berkata. Belum sempat Shana keluar dari bilik Zurin, namanya dipanggil sekali lagi. Berpaling dan memandang Zurin yang sudah menala pandangan ke skrin komputer.
“Bawakan saya Nescafe. Macam biasa.” Mengangkat muka memandang Shana. Gadis itu mengangguk dan terus meminta diri untuk beredar.
Tiba-tiba Zurin memegang bahagian bawah perutnya. Terasa sakit yang amat sangat. Seperti mencucuk-cucuk. Zurin menekan perutnya sekuat hati. Shana menguak pintu bilik Zurin. Berkerut dahinya melihat Zurin yang seperti sedang menahan kesakitan. Shana meletakkan cawan Nescafe tersebut ke atas meja Zurin. Segera menuju ke arah Zurin dan memegang bahu ketuanya itu.
“Cik Zurin...Cik Zurin...Kenapa ni, Cik Zurin?” soal Shana cemas. Zurin mengangkat tangannya dan menggawang perlahan.
“Saya tak apa-apa.” Ujar Zurin. Cuba untuk bangun dari kerusinya. Tetapi dia hampir tumbang. Sempat disambut oleh Shana.
“Saya bawak Cik Zurin ke klinik.” Shana bersuara lagi. Wajahnya semakin panik.
“Tak apa. Saya boleh pergi sendiri.” Zurin mencapai tas tangan yang diletakkan di dalam laci. Dan berjalan keluar dari biliknya. Shana membuntuti dengan perasaan risau. Perlahan kaki Zurin melangkah ke lif. Tangan masih lagi memicit perut yang terasa perit.
HUJUNG minggu itu, Durrah sudah berjanji dengan Laily untuk keluar bersiar-siar di sekitar kota Kuala Lumpur. Kereta MyVi hitam milik seorang gadis, diparkir betul-betul dihadapan pintu pagar rumah milik keluarga Datuk Hafiz. Gadis itu melangkah turun dari keretanya dan membunyikan alat penggera kereta menandakan kereta tersebut dikunci. Terus sahaja gadis itu membuka pintu pagar kecil yang terletak di sebelah kiri. Mendekati pintu utama. Diketuk perlahan pintu tersebut. Pintu utama terkuak luas, terjengul wajah Durrah yang tersenyum manis.
“Sorry, Laily. Dura baru habis buat kerja. Masuklah dulu. Dura naik tukar baju kejap.” ujar Durrah. Laily mengangguk dan melangkah masuk ke dalam rumah.
Datin Aisyah yang baru sahaja turun dari tingkat atas, terus menuju ke arah Laily. Ditepuk perlahan bahu gadis itu. Terkejut Durrah dibuatnya. Terus tunduk menyalami Datin Aisyah.
“Baru sampai, Laily?” tanya Datin Aisyah.
“Ya, Mak Long.” Sela Laily. Tidak perasan akan kehadiran Amar di belakang yang juga turut menuruni anak tangga dengan senyuman terhias di bibir.
“Datang jumpa Abang ke?” soal Amar. Laily mengangkat muka. Matanya membeliak. Terkedu sebentar.
“Eleh...perasanlah. Orang datang jemput Dura.” Jawab Laily. Cuba menyembunyikan perasaan gementarnya.
“Ye ke? Tak rindu kat Abang?” sekali lagi Amar menyoal tetapi lebih kepada mengusik. Laily menggigit bibir.
“Dahlah tu, Amar. Suka sangat mengusik Laily. Jom, Laily. Kita ke ruang tamu.” Datin Aisyah menarik tangan Laily dan mereka sama-sama berjalan beriringan menuju ke ruang tamu. Amar membuntuti dari belakang.
Laily melabuhkan punggung di sebelah Datin Aisyah manakala Amar duduk di sofa yang bertentangan dengan dua wanita itu.
“Abang tak keluar ke? Tak keluar dating?” soal Laily. Ingin menguji reaksi Amar. Tetapi lelaki itu masih berwajah selamba dan hanya senyuman sahaja sebagai jawapan kepada persoalan Laily itu.
“Sebab tak ada lah, tu sebabnya dia terperap je kat rumah ni.” Datin Aisyah menyampuk. Amar mengangguk sambil mencapai cawan kopi yang masih berasap. Dihirup perlahan.
“Maaf, Laily kena tunggu lama.” Sela Durrah. Laily memalingkan wajahnya ke arah Durrah. Laily segera berdiri.
“Mak Long, kami pergi dulu.” Laily berkata. Tunduk menyalami Datin Aisyah yang juga turut berdiri.
“Yelah. Senang-senang datanglah selalu ke rumah ni.” Pelawa Datin Aisyah. Laily hanya mengangguk dan menghadiahkan sebuah senyuman. Kedua anak gadis itu berjalan beriringan menuju ke kereta MyVi milik Laily.
Sebaik sahaja masuk ke dalam perut kereta, Laily terus menderum pergi meninggalkan kawasan rumah banglo itu. Durrah melemparkan pandangan ke luar. Sudah lama tidak keluar. Asyik terperap sahaja di rumah. Jika hendak mengajak Laily, gadis itu sejak kebelakangan ini selalu sibuk dengan peperiksaan untuk semester akhir. Hanya hari ini sahaja, Laily punya masa untuk meluangkan masa bersama Durrah. Perut Durrah berbunyi kuat menandakan dia sedang kelaparan. Segera Durrah menekup perutnya. Kepala laily tertoleh pantas ke sebelah. Hanya sengihan sahaja yang mampu Durrah berikan.
“Dura lapar?” soal Laily. Tumpuannya kembali dialihkan ke jalanraya.
“Ha’ah. Tadi lupa nak makan. Asyik nak siapkan kerja sebelum Laily datang. Tak eloklah kan kalau Dura keluar sebelum kerja siap.” Tukas Durrah. Kembali menebarkan pandangan ke luar.
“Okay, kita pergi makan dulu. Dura teringin nak makan apa?” Laily bertanya. Sesekali ditolehkan kepalanya ke arah Durrah. Gadis itu seperti berfikir sesuatu. Dilurut dagu. Baru Durrah teringat.
“Dura nak makan piza.” Jawab Durrah.
Tanpa memberikan kata-kata persetujuan, Laily terus membelok keretanya dan menaiki jambatan di hadapan bangunan Amcorp Mall. Keretanya terus menghala ke arah Restoran Pizza Hut yang terletak di Newtown, Petaling Jaya. Diparkirkan kereta dihadapan restoran tersebut. Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam restoran itu. Laily memilih satu sudut yang berdekatan dengan tingkap kaca. Laily suka untuk melihat pemandangan di luar restoran. Seorang pelayan mendekati meja mereka. Mencatit pesanan makanan dan dan minuman mreka berdua. Durrah hanya menyerahkan kepada Laily untuk memesan makanan dan minuman. Laily berdiri, menuju ke arah kaunter salad. Dipegang sebiji mangkuk dan mula mengisi sayur-sayuran dan buah-buahan. Semakin lama semakin membukit makanan yang diisi di dalam mangkuk tersebut. Laily meletakkan mangkuk itu dihadapan Durrah. Terbeliak mata gadis itu melihat mangkuk yang bertimbun.
“Makanlah.” Laily sudah mencucuk sayur-syuran yang terjuntai keluar dari mangkuk tersebut. Disuapkan ke mulut. Durrah juga turut melakukan perkara yang sama dengan Laily.
“Hah…ceritalah apa maksud Dura dalam message yang Dura bagi semalam?” Laily mula menyoal.
Sejak dari semalam, dia sudah tidak sabar hendak mendengar cerita Durrah. Fikirannya selalu bermain dengan persoalan tersebut. Sampaikan tidak lena tidurnya semalam. Durrah hanya berterus-terusan menyambung suapan ke mulutnya.
“Message yang mana?” Durrah pura-pura bertanya. Disembunyikan senyumannya. Laily melepaskan keluhan.
“Yang semalam, pagi-pagi buta lagi Dura dah message Laily.” Durrah meletakkan garfunya dan berdehem perlahan.
“Cepatlah, Dura. Ceritalah dengan Laily.” Gadis itu masih memaksa Durrah untuk menceritakan perihal sebenar. Dia juga turut meletakkan garfu yang digunakan.
“Tak ada apa-apalah, Laily. Hal kecil je.” Durrah masih bermain tarik tali dengan Laily. Belum bersedia untuk meluahkan apa yang tersirat di hatinya.
Laily merenung wajah Durrah berterus-terusan sehingga membuatkan gadis dihadapannya itu berasa serba-salah. Durrah masih menimbang samada hendak menceritakan perkara sebenar atau tidak.
“Apa yang bermain di fikiran Dura tu? Ceritalah.” Laily masih memujuk. Mahu atau tidak Durrah mesti akan membongkar apa yang bermain di fikirannya.
“Okay…okay. Sebenarnya…Dura rasa…Dura dah…Dura…dah jatuh cinta.” Selepas sahaja Durrah habis berkata-kata, wajah Laily berubah. Menunjukkan reaksi yang sangat teruja.
“Kau jatuh cinta dengan siapa?” soal Laily lagi. Durrah menggigit bibir. Perlukah dia beritahu?
“Adalah. Rahsia.” Durrah masih cuba berselindung. Laily mencebik geram.
“Beritahu jelah, siapa?” Laily masih memaksa. Cuba untuk mengorek perasaan yang terpendam dalam hati Durrah.
“Bukan hari ni. Mungkin satu hari nanti Dura beritahu, okay.” Jawab Durrah.
Mematikan segala andaian dalam kepala Laily. Gadis itu mengangguk. Perbualan mereka terhenti semasa pelayan restoran tersebut menghantar pesanan minuman dan makanan mereka.
BERSAMBUNG....
Wednesday, July 7, 2010
SEINDAH AL-HAMRA BAB 15
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 7/07/2010 11:26:00 PM 1 tukang komen paling setia
Tuesday, June 22, 2010
SEINDAH AL-HAMRA BAB 14
Salam semua,
First of all nk mintak maaf bebanyak sbb dh jarang2 skali posting kat sini. Sekarang ni busy sangat sbb nak juggle between assignments, work and manuscript. Tapi jangan risau, semuanya masih dalam kawalan lagi. S.A.H telah dislowkan pembikinannya sbb tgh concentrate dgn upcoming event this July and August. Dua2 event saya kena jadi PR. Mana nak cari media lagi, nak cari artis lagi, nak tengok arrangement and x mau bagi majlis kelam-kabut. nak ushering lagi....huhu 7 July ni, event utk Dean's List. First time dak event buat and nak dijadikan cerita, sem ni kte org yg terkena. Then 18 August ni, fashion show event utk busana muslimah. Almaklumlah bulan pose...so, nk kene siapkan cepat. First event tggl kurang dari 2 minggu je lg....Next event, sebulan lebih je lagi...Help me! Tapi apa-apa pun enjoyz je la next n3 of S.A.H....
BAB 14
SIKAP Adam sejak kebelakangan ini sudah banyak berubah. Jika dahulu hanya 2 minggu sekali sahaja pulang ke rumah, tetapi kini hampir tiap-tiap minggu Adam hendak pulang ke rumah kedua orang tuanya. Perubahan ini disedari oleh Zurin. Dia tidak mahu berkata apa-apa. Nanti dikatakan mengongkong suami pula. Tetapi ini tidak adil. Sebelum berpindah lagi, Adam sudah berjanji hendak pulang ke rumah ibubapanya hanya 2 minggu sekali. Telefon bimbit Zurin berbunyi lagu Amarah nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti. Zurin bangun malas dari katilnya. Menuju ke arah meja solek dan mencapai telefon yang tidak berhenti dari menyanyi itu. Dilihat nama yang tertera di skrin lalu ditekan butang hijau. Bergema suara yang amat dikenalinya di hujung talian.
“Hello?” jawab Zurin malas. Disangkakan bahawa Adam yang menelefon dia tetapi sebaliknya.
“Rin, kau tak sihat ke?” soal si pemanggil. Zurin melepaskan keluhan.
“Taklah. Aku tengah berehat. Kau pulak telefon dan menganggu ketenteraman aku.” Zurin menjawab acuh tidak acuh. Terdiam si pemanggil yang tadi bersuara ceria. Zurin menggigit bibir. Tidak patut dia melampiaskan amarahnya kepada sahabat yang setia mendengar masalah dia dari dahulu lagi.
“Sorrylah, Zie. Aku tengah bengang dengan Adam ni.” Ujar Zurin menyambung kata. Masih tiada jawapan daripada Ziela. Hanya terdengar dengusan daripada wanita itu. Zurin melabuhkan punggung di atas kerusi di meja solek.
“Aku minta maaf banyak-banyak sebab buat kau sentap. Sebenarnya aku marahkan Adam sangat ni.” Zurin menyambung kata lagi.
“Zie...Zie...” panggil Zurin berkali-kali. Seketika kemudian, terdengar tawa halus yang meletus dari mulut Ziela. Zurin mengerutkan dahi.
“Tahu pun kau rasa bersalah kan.” Ziela menghabiskan sisa tawanya.
“Kau ni.....” Zurin berkata geram. Kalau Ziela ada dihadapannya ketika itu, pasti lumat Ziela di tumbuknya seperti punching bag.
“Kau ni pun, agak-agaklah. Kau marahkan si Adam, kau lepaskan geram kat orang lain. Macam manalah aku tak sentap tadi. Tu nasib baik aku tau. Orang yang sangat memahami kau. Kalau orang lain, dah tentu kau kena maki balik.” Ziela membuka ceramahnya secara percuma. Pedih sahaja telinga Zurin menahan kata-kata Ziela yang menusuk ke telinganya.
“Sorry.” Hanya perkataan maaf sahaja yang mampu Zurin tutur.
“Cuba kau story kat aku. Apa hal pulak kau naik hangin dengan si Adam ni?” soal Ziela.
Sudah naik lali Ziela mendengar cerita masalah Zurin dan Adam. Kadangkala Ziela tidak menyalahkan Adam kerana bertindak mengikut kata hatinya kerana Zurin juga kadangkala tidak bersikap secara munasabah.
“Aku tak ada mood lah nak cerita dalam phone.” Sela Zurin sejujurnya.
“Aku pergi ambil kau. Kita keluar minum.” Itulah cadangan Ziela yang ditunggu-tunggu oleh Zurin. Diambil kesempatan ketika ini kerana Adam tiada dirumah minggu itu. Kemana lagi jika tidak pulang ke rumah ibubapanya.
“Okay.” Zurin memberikan persetujuan.
“Lagi 15 minit, aku sampai.” Ujar Ziela pula.
Kemudian, mereka sama-sama mematikan talian. Zurin meletakkan semula telefon bimbitnya ke atas meja solek dan bangun untuk bersiap. Usai berpakaian, Zurin mencapai telefon bimbitnya dan mula mendail nombor telefon Adam. Berkali-kali Zurin cuba mendail tetapi nampaknya Adam tidak langsung mahu mengangkat telefon. Akhirnya Zurin meninggalkan khidmat pesanan ringkas. Tidak mahu dikatakan isteri derhaka, dia harus juga meminta keizinan suami untuk keluar berjumpa sahabatnya biarpun sahabat dia itu adalah terdiri daripada kaum sejenis.
Seperti yang dijanjikan, 15 minit kemudian kereta Ziela berhenti betul-betul dihadapan rumah banglo 2 tingkat milik Adam dan Zurin. Segera Zurin melangkah masuk dan kereta itu menderum pergi meninggalkan kawasan perumah tersebut.
Setibanya mereka di destinasi, Ziela memarkirkan keretanya di tempat letak kereta khas yang disediakan untuk pengunjung restoran tersebut. Mereka keluar dari perut kereta dan melangkah masuk ke dalam restoran. Melabuhkan punggung di salah satu sudut di dalam restoran itu. Selepas memesan makanan dan minuman, Ziela tidak sabar untuk mendengar cerita Zurin.
“Hah, ceritalah kat aku. Apa sebabnya kau marah sangat dengan Adam ni?” soal Ziela gelojoh. Zurin menarik dan melepaskan nafasnya perlahan. Membetulkan duduk sebelum memulakan cerita.
“Aku geram sangat dengan Adam sebabnya sejak kebelakangan ni, dia tiap-tiap minggu balik rumah parents dia.” Luah Zurin.
Ziela mengerutkan dahi. Dia yang sedari tadi membongkokkan badannya ke hadapan supaya lebih senang untuk Zurin bercerita, kini menyandarkan badan ke kerusi. Memandang pelik ke arah Zurin.
“Normallah, Rin. Apa salahnya dia nak balik rumah dia sendiri?” soal Ziela tidak faham. Zurin bermain dengan jari jemarinya.
“Aku rasa dia bukan balik rumah parents dia lah.” Syak Zurin. Bertambah-tambah kerutan di dahi Ziela. Cuba menafsir kata-kata Zurin. Seketika kemudian, mata Ziela membeliak. Sudah faham akan tafsirannya.
“Maksud kau, Adam ada perempuan lain?” suara Ziela sedikit meninggi. Segera Zurin meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Mereka berdua memandang ke sekeliling.
“Kau serius ke percaya yang Adam ada perempuan lain? Kau ada bukti?” Ziela menyoal bertubi-tubi. Dilihatnya Zurin menggigit bibir.
“Aku tak tahulah, Zie. Aku syak je. Kalau tak, kenapa dia nak balik tiap-tiap minggu? Dulu, 2 minggu sekali. Itu pun puas aku yang paksa dia balik rumah parents dia. Aku tak tahulah kalau betul dia balik rumah parents dia.” Zurin meningkah. Dia menyandarkan badannya ke kerusi lalu memeluk tubuh. Ziela menggeleng perlahan. Itulah salah satunya sikap Zurin yang membuatkan dia dan Adam selalu bergaduh. Cepat sangat syak wasangka.
“Maksud kau?” sekali lagi Ziela bertanya.
“Manalah tahu, dia melencong ke tempat lain ke.” Luah Zurin lagi.
“Itulah kau. Cepat sangat buruk sangka. Cubalah kau siasat dulu.” Ziela menasihati. Zurin membetulkan duduknya.
“Siasat? Kau nak aku siasat macam mana?” Zurin bertanya. Tangan kanan Ziela, disilangkan ke dada manakala tangan kiri melurut bibir dan dagunya. Cuba berfikir. Bagaimana hendak melakukan penyiasatan terhadap Adam supaya tidak dikesani oleh Adam?
“Kau call Adam kat rumah parents dia. Kau tahukan number telefon rumah parents dia?” cadangan Ziela diterima baik oleh Zurin.
Dengan pantasnya, Zurin mengeluarkan telefon bimbit yang terbenam jauh di dalam tas tangan. Ditekan ikon buku telefon yang ada di dalam telefon bimbitnya dan ditekan pula huruf R. Terkeluar senarai nama yang terdiri daripada huruf R lalu Zurin menekan nama Rumah Adam. Ada nada deringan. Berbunyi sekali, kemudian kali keduanya. Segera Zurin mematikan talian sebelum sempat orang di sebelah sana menjawab panggilannya.
“Kenapa, Rin? Ada orang jawab ke? Siapa? Perempuan?” bertubi soalan yang keluar dari bibir mungil Ziela itu. Zurin menggeleng perlahan.
“Aku tak beranilah. Macam mana kalau Adam yang jawab? Macam mana kalau dia cam, aku yang telefon rumah parents dia?” soalan berunsur kerisauan menerjah keluar dari mulut Zurin. Takut juga memikirkan kemungkinan tersebut.
“Kau jangan takutlah. Kalau kau takut, biar aku yang telefon. Kita buat loudspeaker.” Sekali lagi cadangan bernas keluar dari mulut Ziela. Tiba-tiba senyuman terukir di bibir Zurin.
“Bagus jugak idea kau.” Zurin mendail semula nombor telefon rumah keluarga Adam. Ada nada deringan. Segera Zurin menekan ikon loudspeaker.
Panggilan kali kedua Zurin, berjawab. Terdengar suara halus di hujung talian yang menjawab panggilan tersebut. Zurin tidak berkata apa-apa. Ziela segera menyinggung lengan Zurin dan mengarahkan isyarat mata ke arah Zurin dan telefon bimbit milik wanita itu bersilih ganti.
“Hel..hello...boleh saya bercakap dengan Adam?” Ziela menjawab kerana dilihatnya Zurin menggeleng pantas. Tidak mahu bercakap apa-apa. Ziela menjawab dengan suara garau untuk membuatkan panggilan mereka itu tidak disyaki.
“Ohh...sebentar, ya.” Jawab si pemanggil. Ziela memberikan isyarat mata kepada Zurin.
“Abang Adam, telefon.” Ujar suara halus milik seorang perempuan itu.
“Siapa tu, Dura?” terdengar pula suara Adam. Mata Zurin sudah terbelalak. Siapa pula gadis yang bernama Dura? Setahu Zurin, nama adik-adik perempuan Adam ialah Ain Natrah dan Aida Imanina.
“Entahlah, Bang.” Durrah menyerahkan gagang telefon kepada Adam. Sebaik sahaja Adam menjawab panggilan tersebut, Zurin menekan butang merah. Mematikan talian. Ziela mengerutkan dahi melihat perbuatan Zurin itu.
“Kenapa kau off kan phone?” marah Ziela. Pertanyaan itu tidak dijawab Zurin. Sebaliknya dada Zurin naik dan turun menahan marah.
ADAM melihat gagang telefon yang sudah dimatikan taliannya itu. Dahi Adam berkerut. Diletakkan semula gagang telefon ke tempatnya. Perlahan kaki Adam melangkah ke arah ruang tamu sambil otaknya ligat berfikir. Peti televisyen yang terpasang tidak dapat menarik perhatian Adam untuk menonton. Durrah yang baru sahaja muncul di ruang tamu tersebut, meletakkan secawan Nescafe yang diminta oleh Adam sebentar tadi ke atas meja kopi. Durrah mengangkat muka dan memandang pelik ke arah Adam yang sedari tadi asyik termenung sahaja.
“Kenapa, Bang?” soal Durrah. Mata Durrah memandang sekilas ke arah telefon yang berada di satu sudut. Kemudian, dialihkan pandangannya semula ke Adam.
“Siapa yang telefon Abang tadi?” sekali lagi Durrah menyoal. Adam tersentak apabila terdengar suara halus menyapa gegendang telinganya.
“Tak ada siapa-siapa.” Pantas kepala Adam menggeleng.
Durrah meminta diri untuk ke dapur semula. Adam hanya memerhatikan bayangan Durrah yang menghilang di sebalik pintu dapur. Entah kenapa semenjak dua menjak ini, Adam lebih suka ke rumah ibubapanya. Dia suka untuk menghabiskan masa bersama Durrah. Adam lebih selesa dengan Durrah. Lebih baik dia ke rumah ibubapanya sendiri daripada duduk di rumah dan bergaduh dengan Zurin. Dan sejak kebelakangan ini, Zurin selalu mencari bahan untuk dijadikan isu pergaduhan.
Adam bangun dari sofa yang didudukinya dan melangkah menuju ke dapur. Ingin melihat masakan yang sedang dimasak oleh Durrah. Sejak Jamilah pulang ke kampung, Adam begitu berselera menjamu masakan Durrah. Walaupun lauk yang disediakan Durrah tidak semewah masakan Jamilah. Hanya masakan secara ringkas sahaja pun sudah cukup untuk membuatkan Adam menambah nasi lebih daripada 2 pinggan. Adam berdiri di muka pintu dapur sambil memeluk tubuh. Memandang gerak-geri Durrah menyelesaikan kerjanya. Bibirnya mengukirkan senyuman. Dia tidak ada apa-apa perasaan terhadap Durrah tetapi dia selesa bila berada di samping gadis itu. Jika hendak dikatakan cinta, tidak mungkin. Adam yakin, dia tidak punya perasaan itu terhadap Durrah.
Gadis itu perasan akan tenungan daripada seseorang. Tiba-tiba sahaja meremang bulu roma Durrah. Seram sejuk sahaja badannya. Terlintas difikiran Durrah malam kejadian yang melibatkan dirinya dan juga Uzair. Naik turun dada Durrah menahan nafas. Perlahan badan dan kepalanya ditoleh ke belakang. Kelihatan Adam sedang menyandar di pintu dapur dengan senyuman di bibir. Durrah melepaskan nafas kelegaan. Wajah Durrah mencuka.
“Abang ni...buat Dura terkejut je.” Ujar Durrah bernada marah.
Adam tergelak kecil dan melangkah masuk ke dalam dapur. Ditarik kerusi meja makan yang ada di dalam dapur tersebut. Dilabuhkan punggungnya.
“Dura mesti berangan kan? Sampai tak sedar Abang ada kat belakang Dura.” Perli Adam.
Wajah Durrah memerah. Tidak mungkinlah Adam tahu apa yang sedang difikirkannya. Durrah menggigit bibir dan kembali meneruskan kerjanya. Sesekali Durrah menjenguk ke arah Adam melalui ekor mata. Dilihatnya lelaki itu seperti berfikir sesuatu. Dahi Durrah berkerut. Dikalihkan badannya memandang Adam.
“Abang ni kenapa? Dari tadi Dura tengok Abang asyik termenung je.” Ujar Durrah. Terdengar keluhan perlahan yang keluar dari mulut Adam.
“Dura pernah rasa tak yang kita nak orang yang kita cintai, memahami diri kita?” Adam menyoal pendapat Durrah. Gadis itu mendekati meja makan tersebut dan dilabuhkan punggungnya menghadap Adam.
“Maksud Abang, orang yang Abang cintai tak pernah faham diri Abang?” perit sekali soalan yang keluar dari mulut Durrah. Hatinya terasa tersentap.
“Err...Abang bukan maksudkan diri Abang tapi Abang cuma tanya pendapat Dura untuk kawan Abang.” Sekali lagi Adam menggunakan ayat ‘kawan Abang’ untuk menyelamatkan dirinya. Durrah mengangguk. Tanpa dapat dikawal, Durrah melepaskan keluhan lega.
“Sebenarnya kita berkahwin dengan orang yang belum kita kenal sepenuhnya. Kita rasa kita dah kenal dia sedalam-dalamnya. Tapi ada sikap atau perangai yang kita tak tahu dan dia cuba untuk sembunyikannya. Mungkin sebelum kahwin, dia faham akan kehendak kita tapi selepas kahwin, dia tak cuba untuk faham. Perlu tolak ansur bila kita berhadapan dengan sikap macam ni.” Jelas Durrah panjang lebar. Perlahan-lahan kepala Adam mengangguk. Mengakui kebenaran kata-kata Durrah.
Mungkin Adam belum kenal sepenuhnya akan Zurin. Belum kenal hati budi dan juga sikap yang selama ini tersembunyi disebalik luaran yang nampak lemah lembut serta sangat memahami. Tetapi dia juga bersalah kerana tidak cuba untuk memahami Zurin dengan sebaiknya. Adakah Adam mula menyesali akan perkahwinan ini terjadi? Atas sebab apa perlu dia sesalkan? Kerana ini adalah rasa hati yang mahu memperisterikan Zurin. Tiada paksaan dan tiada juga yang memaksa untuk dia mengambil Zurin sebagai isteri. Itu semua adalah di atas kehendaknya. Dan juga Yang Maha Kuasa. Itu adalah jodoh yang telah terpilih untuk dia. Harus redha dan terima sahaja apa jua dugaan yang mendatang.
BERSAMBUNG....
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 6/22/2010 10:14:00 AM 0 tukang komen paling setia
Friday, June 11, 2010
Perkembangan Terbaru!
Salam semua,
OKay kali ni, terpaksa dislowkan posting Seindah Al-Hamra atas sebab musabab yang munasabah....
Pertama:
Baru sahaja selesai proof read novel Dan Sebenarnya a.k.a I'm Yours(belum tentu samada ya atau tak tajuk ni). Dia kata manuskrip tu nak cepat sbb nak masuk printing dah. InsyaAllah, kalau tak ada aral melintang akan ke pasaranlah buku tu (tarikhnya tak tahu lagi)..... Ada apa-apa perkembangan yang diberitahu oleh Kaki Novel akan segera dimaklumkan kepada anda semua selaku Geng Kipas-Susah-Mati.
Keduanya:
InsyaAllah, Seindah Al-Hamra juga akan dipublishkn oleh PTS Litera. Tengah giat menyiapkan manuskrip ni. Ada apa-apa perkembangan akan dimaklumkan juga.
Ketiga:
Saya baru je dapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi (cewaahhh....tinggi melangit tuh!!!!!waahahahah......)so, would be busy with my assignments,manuscript and so on.....tapi tetap akan dipost juga walaupun sebulan sekali(akan ku lakukan demi die-hard fans ku inih!)
Keempat:
Last but not least, teruskanlah menyokong daku ini....huhu
Daaaaaa for now!!!!!!
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 6/11/2010 03:08:00 PM 3 tukang komen paling setia
Saturday, May 29, 2010
SEINDAH AL-HAMRA BAB 13
BAB 13
PINTU bilik wad dikuak perlahan. Berhati-hati Nizam melangkah masuk. Mendekati katil isteri yang sedang berbaring nyenyak dalam lenanya. Nizam melabuhkan punggung di atas kerusi yang di sediakan di dalam wad tersebut. Hanya ada 2 buah katil sahaja di dalam bilik wad bersalin itu. Melihat Salina yang berbaring lena itu, mengusik perasaan Nizam. Hampir 5 jam wanita itu bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat hasil perkongsian hidup mereka. Dia amat berterima kasih kepada Salina. Sangat bersyukur Salina sanggup bersusah payah demi melahirkan bayi lelaki seberat 3.5 kg. Disisir rambut Salina yang terjatuh di dahi ke belakang. Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakan seorang isteri yang penyayang dan juga seorang anak yang comel, doa Nizam di dalam hati. Tetapi entah kenapa wajah Durrah masih lagi terbayang-bayang di ruang mata. Senyuman gadis itu masih lagi menari di matanya. Gelak ketawa Durrah masih lagi terngiang-ngiang di telinganya. Nizam menarik semula jemarinya yang menyisir rambut Salina. Dipejamkan mata sekuat hati dan menarik nafas perlahan. Kemudian, dihembuskan nafasnya.
Pintu bilik wad yang menempatkan Salina, terkuak perlahan. Makin lama makin luas. Kelihatan seorang wanita berpakaian seragam serba putih serta bertudung juga dari rona yang sama. Wanita tersebut menolak masuk katil bayi yang di dalamnya ada seorang bayi lelaki yang sedang melakukan pergerakan kecil. Nizam terus berdiri dan mendekati katil bayi tersebut.
“Baby lapar. Tolong kejutkan ibunya dan minta susukan baby ini, ya. Terima kasih.” Ucap jururawat yang memakai tag nama Yasmina sebelum melangkah keluar dari bilik wad itu.
Nizam mengangguk perlahan dan hanya memerhatikan jururawat itu menghilang di sebalik pintu yang tertutup. Perlahan-lahan Nizam mengangkat bayi lelaki tersebut dan mengendongnya. Dikucup bayi tersebut berkali-kali. Baru sahaja sebentar tadi, Nizam mengazankan di tepi telinga kanan bayi lelaki itu. Dia mendekati katil Salina dan meletakkan bayi lelaki itu ke atas katil.
“Sal…Sal…Sal…” panggil Nizam perlahan.
Tidak mahu Salina terkejut. Salina bergerak perlahan. Kelihatan Salina membuka matanya perlahan. Lampu bilik wad itu menyuluh mata Salina dan dia kembali mengecilkan mata yang silau. Dialihkan pandangan ke sebelah kirinya. Terlintas seraut wajah Nizam dan juga bayi dalam kendongannya. Nizam tersenyum kecil kepada Salina.
“Sal, nurse tu kata baby kita ni lapar. Dia suruh Sal susukan.” Ujar Nizam.
Salina cuba membetulkan duduknya sambil dibantu oleh Nizam. Bayi lelaki itu telah bertukar tangan. Nizam hanya memerhatikan seraut wajah Salina yang sedang menyusu dan juga bayi lelaki di dalam dukungan isterinya itu bersilih ganti. Semasa mula-mula berkahwin, Nizam berharap sangat bahawa itu semua adalah mimpi dan wanita yang berada dihadapannya itu adalah Durrah bukan Salina. Tetapi setahun sudah berlalu. Perasaan itu seakan-akan dibawa pergi apabila melihat cahaya mata yang lena dibuai mimpi di dalam dukungan si ibu. Nizam mengusap perlahan bayi lelaki itu. Salina mengangkat muka memandang Nizam.
“Abang nak bagi nama apa untuk anak kita ni?” soal Salina. Nizam mengambil bayi lelaki itu dari dukungan Salina dan diletakkan semula ke atas katil bayi.
“Daim Najmi.” Jawab Nizam ringkas. Salina mengerutkan dahi. Mencerun matanya memandang ke arah Nizam.
“Tapi Sal tak suka nama Daim.” Salina berkata geram. Giginya diketapkan. Nafasnya naik turun. Menahan marah yang membara.
“Sal nak bagi nama apa untuk gantikan nama Daim?” soal Nizam malas. Ini sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka sekali lagi akan berperang mulut.
“Shahrul. Sal nak nama mula dengan S. Sama macam Sal. Sal tak nak huruf mula dengan D.” Ujar Salina kuat. Nizam melabuhkan punggungnya di atas kerusi sebelah katil Salina.
“Apa salahnya Daim? Kan elok namanya tu.” Jawab Nizam pula. Mencerlung mata Salina memandang ke arah Nizam.
“Abang ni memang sengaja nak sakitkan hati Sal. Sal kata Sal tak nak, Sal tak naklah.” Salina menghempaskan badannya dan kembali berbaring. Mengiringkan badan ke arah kanan. Malas mahu melihat wajah Nizam yang menyakitkan hati.
Nizam mengeluh perlahan. Disandarkan badannya ke kerusi. Memerhatikan sekujur tubuh isterinya itu.
ADAM menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Zurin yang sedang menonton televisyen langsung tidak mahu bercakap ataupun menyambut Adam pulang. Mata Zurin terkaku di peti televisyen yang terpasang walaupun Adam tahu bahawa fikiran Zurin bukan berada disitu. Pasti wanita itu mahukan penjelasan yang munasabah dari Adam. Bukan sekali Adam memungkiri janji tetapi sudah banyak kali. Dan alasan yang diberikan tetap sama. Tidak mahu mengecilkan hati Mamanya. Hati Zurin langsung Adam tidak mahu ambil tahu. Zurin duduk menyandar di sofa sambil memeluk tubuh. Adam melabuhkan punggungnya di sebelah Zurin tetapi wanita itu terus sahaja menjarakkan diri dari Adam. Tanpa protes, marah. Adam menarik nafasnya dan dihembuskan perlahan. Harus bersabar dengan sikap Zurin yang tidak menentu itu. Adam masih cuba mendekatkan diri dengan Zurin dan masih seperti tadi Zurin tetap menjarakkan diri dari Adam. Akhirnya Adam berputus asa.
“Sorry.” Ringkas sahaja perkataan yang keluar dari mulut Adam.
Dengan pantas kepala Zurin tertoleh ke arah Adam. Perkataan maaf yang keluar dari mulut Adam jarang sekali Zurin mendengarnya. Zurin mengerutkan dahi.
“Kenapa?” soal Zurin. Giliran Adam pula mengerutkan dahi.
“Kenapa apa?” soalan berbalas soalan. Zurin melepaskan keluhan.
“Kenapa Am minta maaf?” Zurin bertanya lagi. Adam tersenyum kecil. Dia membetulkan duduk. Menghadap wajah mencuka Zurin.
“Sebab Am rasa Am bersalah dan Am patut minta maaf dengan Rin.” Jawab Adam. Padat dan ringkas.
Seketika kemudian, Zurin mengukirkan senyuman kecil. Dia tidak perlu apa-apa hadiah atau ‘rasuah’ dari suaminya untuk memohon sebuah kemaafan. Cukuplah hanya sekadar perkataan maaf dapat menyejukkan hati yang membara. Zurin melepaskan keluhan perlahan.
“Kenapa Am mungkir janji? Am janjikan yang Am akan celebrate our wedding anniversary.” Zurin bertanya. Inginkan jawapan yang pasti daripada Adam. Seharian Zurin memikirkan kemungkinan alasan yang akan diberikan oleh Adam.
“Am tak sampai hati nak keluar malam semalam. Lagipun 2 minggu sekali je Am balik rumah Mama.” Jelas Adam.
Wajah Zurin tidak lagi mencuka seperti tadi. Digantikan dengan senyuman manis. Ada betul juga kata-kata Adam itu. Takkan masih tidak cukup lagi 2 minggu Adam berada bersamanya. Giliran Mama Adam pula untuk bermanja dengan anak lelaki sulungnya itu. Adam menyandarkan badannya ke sofa. Zurin juga turut bersandar tetapi dia bersandar di bahu Adam. Lalu Adam memeluk bahu Zurin. Mereka sama-sama menonton siaran yang ditayangkan di peti televisyen tersebut. Sekali lagi fikiran Zurin melayang, berfikir sesuatu. Adam mencuit hidung Zurin apabila dia sedar Zurin tidak memberikan respon di atas kata-katanya. Zurin memandang Adam di sebelah. Dijungkitkan sedikit keningnya.
“Apa lagi yang Rin fikirkan tu?” soal Adam apabila dilihatnya Zurin diam tidak berkutik. Wanita itu menggigit bibir. Perlu atau tidak bertanya sesuatu kepada Adam?
“Sebenarnya dah lama Rin nak tanya Am ni.” Ujar Zurin lambat-lambat. Betulkah tindakannya ini untuk bertanya? Jika tidak bertanya, persoalan ini selalu bermain difikirannya. Jika bertanya, takut pula tersinggung hati Adam.
“Apa yang Rin nak tanya?” Adam bertanya tidak sabar apabila dilihatnya Zurin kembali mendiamkan diri.
“Kalau Rin tanya, Am jangan ambil hati, ya.” Zurin meluahkan apa yang ada difikirannya. Adam hanya mengangguk.
“Apa dia?”
“Kenapa Am berbinkan Mohd Hariz sedangkan setahu Rin nama Ayah Am, Mohd Hafiz?” akhirnya terluah juga apa yang ada di dalam fikiran Zurin.
Adam hanya memberikan senyuman sahaja. Perlukah dia menceritakan perihal sebenar? Zurin masih menantikan kata-kata yang akan keluar dari mulut Adam. Terimbau kembali di fikiran Adam peristiwa yang berlaku 10 tahun lalu.
“MA....apa semua ni? Adam tak faham.” Adam mengunjukkan surat kelahiran yang berada di dalam genggamannya kepada Datin Aisyah.
Ternyata wanita elegan itu terkejut melihat surat kelahiran yang dijumpai Adam. Datuk Hafiz hanya duduk berdiam diri dan memerhatikan Adam dan Datin Aisyah bersilih ganti. Datin Aisyah menarik nafas sedalam-dalamnya dan dihembuskan perlahan. Memandang ke arah Datuk Hafiz dan meminta kekuatan dari lelaki itu melalui isyarat matanya. Kelihatan Datuk Hafiz tersenyum dan mengangguk perlahan tanda memberikan kebenaran kepada Datin Aisyah untuk memberitahu rahsia yang cuba disimpan oleh mereka selama 20 tahun ini. Datin Aisyah berdiri dan melabuhkan punggung di sebelah Adam. Dicapai jari jemari anak kesayangannya itu.
“Adam...sebenarnya Adam bukan anak Ayah. Tetapi Adam anak Mama dengan adik Ayah.” Datin Aisyah mula menjelaskan perkara sebenar. Dahi Adam berkerut. Tanda tidak faham.
“Sebenarnya, sebelum Mama kahwin dengan Ayah...Mama kahwin dengan adik Ayah. Tetapi Papa Adam meninggal sewaktu Adam belum dilahirkan lagi. Setahun lepas Mama lahirkan Adam, barulah Mama berkahwin dengan Ayah.” Barulah kini segala-galanya jelas di mata Adam.
Sebelum ini dia selalu tertanya-tanya. Adakah dia ini dilahirkan sebagai anak luar nikah? Siapakah ayahnya yang sebenar? Kenapa nama ayah dia berlainan dengan adik-adiknya? Semuanya sudah terjawab kini. Hati Adam menjadi lega secara tiba-tiba.
“Tapi Ayah sayangkan Adam macam mana Ayah sayangkan adik-adik. Kasih sayang Ayah tak pernah berat sebelah. Adam pun tahu, kan?” Datuk Hafiz berkata. Adam mengangguk. Dibetulkan duduknya dan menghadap Datin Aisyah.
“Ma...kalau Mama dan Ayah tak kisah, Adam nak tengok gambar Papa, boleh?” soal Adam penuh mengharap.
Datin Aisyah dan Datuk Hafiz saling berpandangan. Akhirnya, Datin Aisyah mengalih semula pandang kepada Adam dan mengangguk sambil tersenyum. Datin Aisyah berdiri dan menuju ke almari antik yang terletak di satu sudut ruang tamu. Membuka pintu almari tersebut dan mula menyelongkar. Mata Datin Aisyah tertancap pada satu album yang agak usang warnanya. Perlahan-lahan jemarinya mencapai album tersebut dan ditarik keluar. Dibawa album tersebut dekat ke dadanya. Kemudian, berpaling dan menuju semula ke arah Adam. Diletakkan album itu di atas tangan Adam. Dengan pantas, Adam menyelak album tersebut. Satu persatu Adam meneliti gambar yang ada di dalam album itu. Kini terjawab sudah persoalan yang sering bermain difikirannya sejak dia terjumpa akan sijil kelahiran itu. Dan, barulah hari ini Adam tahu kenapa kulitnya lebih cerah berbanding Amar. Leka dia memerhatikan seraut wajah ayah kandungnya.
Adam tersentak dari lamunannya apabila terasa Zurin menyinggung lengannya. Memandang dan tersenyum Zurin yang berada di sebelah. Biarlah rahsia itu dipendamkan jauh dalam lubuk hatinya. Buat masa ini, Zurin tidak perlu tahu akan kisah hidupnya. Dia berjanji satu hari nanti, akan menceritkan segala-galanya kepada Zurin.
“Am tak jawab lagi soalan Rin.” Ujar Zurin. Muncungnya sudah sedepa. Adam mencuit muncung Zurin.
“Nantilah Am cerita pada Rin. Buat masa sekarang, Am nak rehat dan nak bermanja dengan Rin je.” Usikan Adam membuatkan pipi Zurin memerah.
TELEFON bimbit Durrah berbunyi nyaring. Memecahkan kesunyian malam dan juga menyedarkan Durrah dari lamunan. Dia yang sedang duduk bersantai di halaman rumah, mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja. Tersenyum lebar apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon.
“Assalamualaikum, Mak.” Ucap Durrah.
Hasanah menjawab salam Durrah dengan perlahan. Rindunya Durrah pada Hasanah sudah terlerai apabila mendengar suara mendatar emaknya itu.
“Dura tengah buat apa tu?” soal Hasanah. Durrah menala pandangan ke langit.
“Tengah kira bintang.” Seloroh Durrah. Hasanah yang berada di hujung talian hanya tergelak kecil mendengar kata-kata Durrah.
“Berapa banyak bintang yang hang kira tu?” soal Hasanah juga secara berseloroh. Durrah menekup mulutnya. Pandai juga Hasanah berlawak.
“Adalah lebih kurang 200,000.” Selamba sahaja Durrah menjawab sedangkan dia tahu, pasti tidak terkira jumlah bintang di angkasa itu.
“Sudahlah. Kalau melayan hang ni, makin menjadi-jadi.” Durrah tergelak kecil mendengar kata-kata Hasanah.
“Pasai apa Mak telefon Dura malam-malam ni?” Durrah bertanya. Hasanah berdehem kecil.
“Aik, tak boleh ka Mak nak telefon anak Mak sendiri?” sindir Hasanah secara lembut. Durrah menggigit bibir.
“Alaaa Mak ni...orang gurau sikit pun tak boleh. Ermm...Mak.... Sal apa habaq?” tanya Durrah. Ingin juga tahu keadaan kesihatan adiknya itu.
“Dah balik ghumah dah semalam.” Ujar Hasanah. Durrah mengangguk walaupun dia tahu perbuataannya itu tidak dapat dilihat oleh Hasanah.
“Semalam bergaduh lagi si Sal dengan Nizam.” Tiba-tiba Hasanah berkata begitu setelah lama Durrah mendiamkan diri.
“Gaduh pasai apa, Mak?” bukan niat Durrah hendak menyibuk. Tetapi ingin juga dia tahu sebab-musababnya.
“Gaduh pasai nama anak.” Sambung Hasanah.
Durrah mengerutkan dahi. Tidak mungkin pasal nama anak sampai sanggup bergaduh suami isteri? Ahh...namanya pun Salina. Dia boleh menggunakan bahan sekecil kuman pun untuk dijadikan isu pergaduhan.
“Nama anak?” soal Durrah kembali.
“Iye. Si Nizam nak bubuh nama Daim Najmi. Tapi Sal nak nama Shahrul Najmi. Mak rasa elok jugak nama Daim Najmi tu. Maksudnya kekal abadi....” ayat Hasanah tergantung apabila telinganya dapat menangkap butir kata Durrah.
“...bintangku.” sambung Durrah perlahan. Dada Durrah terasa sesak. Masih Nizam ingat akan nama-nama yang Durrah pilih untuk bakal anak mereka.
“Dura pun tau maknanya?” Hasanah menyoal. Durrah tersentak.
“Siapa pun tau maksud nama tu, Mak.” Ujar Durrah berdalih. Terdengar Hasanah bersetuju dengan kata-kata Durrah di hujung talian.
“Hmm...tak apalah Dura. Dah lewat malam ni. Hang pi la tidoq. Esok hang kena gheja lagi kan?” tanya Hasanah.
“Ya, Mak. Mak pun pi la tidoq. Assalamualaikum.” Ucap Durrah dan salam itu sekali lagi dijawab oleh Hasanah dan mereka sama-sama mematikan talian.
Durrah mendongak memandang angkasa yang kelam. Hatinya dibuai perasaan yang tiba-tiba datang mengacau jiwa. Oh...angin. Bawalah pergi hati yang lara ini. Malam yang semakin dingin, menggigit kulit terasa sehingga ke tulang hitamnya. Segera Durrah melangkah masuk ke dalam rumah.
BERSAMBUNG...
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 5/29/2010 09:54:00 PM 1 tukang komen paling setia
Tuesday, May 18, 2010
SEINDAH AL-HAMRA BAB 12
BAB 12
TELEFON bimbit milik Zurin berbunyi lagu Lenka, Trouble Is A Friend. Lantas Zurin mencapai telefon bimbit tersebut. Melihat nama di skrin lalu ditekapkan ke telinganya. Bibirnya mengukirkan senyuman sebaik sahaja terdengar suara seseorang melalui corong telefon. Si pemanggil memberikan salam dan salam tersebut dijawabnya. Sudah lama tidak mendengar khabar si pemanggil setelah Zurin dan Adam berangkat pulang ke Malaysia.
“Kau tengah buat apa tu?” soal si pemanggil. Zurin membaringkan diri ke atas sofa. Matanya menala ke siling.
“Tengah lepak kat rumah. Kenapa kau tanya, Ziela?” soal Zurin kembali. Jemarinya bermain dengan rambut. Rambut panjang mengurai itu dipintal-pintalnya.
“Tak adalah. Aku ingat nak ajak kau keluar malam ni.” Ujar pemanggil yang dikenali dengan nama Ziela itu. Dahi Zurin berkerut.
“Kau dah balik Malaysia ke?” sekali lagi Zurin bertanya. Terdengar suara Ziela ketawa di hujung talian.
“Sebab dah balik ke Malaysia lah, itu sebabnya aku ajak kau keluar.” Ziela menghabiskan sisa tawanya.
Ziela tahu, pasti Zurin terkejut dengan kepulangannya ke Malaysia kerana dia sudah menyatakan keputusannya untuk menetap di London selepas berkahwin dengan seorang ahli perniagaan terkenal, Sir Arthur Locke. Tetapi apakah yang menyebabkan keputusan Ziela berubah? Adakah Sir Arthur juga turut mengikut Ziela pulang ke Malaysia. Zurin hanya mendiamkan diri. Tidak tahu hendak berkata apa-apa.
“Kenapa? Terkejut?” Ziela masih lagi mengekeh. Zurin berdehem perlahan.
“Tapi kenapa kau balik Malaysia? Bukan ke kau kata kau....” ayat Zurin tergantung. Tidak jadi meneruskan kata-kata apabila ayatnya dipintas oleh Ziela.
“Aku nak stay London sampai bila-bila? Aku ada benda nak story dengan kau ni. Tu sebabnya aku nak ajak kau keluar.” ajak Ziela lagi. Satu keluhan kecil keluar dari mulut Zurin. Bukan dia tidak mahu keluar bersama Ziela tetapi dia sudah ada hal.
“Babe, bukan aku tak nak keluar malam ni dengan kau. Tapi aku dah ada hal.” Tolak Zurin lembut. Tidak mahu mengecilkan hati sahabat yang banyak mendengar cerita suka dan dukanya selama bercinta dengan Adam.
“Elehh...bukan aku tak tahu. Hari ni kan wedding anniversary kau orang. Nak pergi celebrate lah tu.” Usik Ziela. Zurin tersenyum kecil. Entah kenapa, sejak dari pagi lagi hati dia terasa tidak enak.
“Tak sangkakan. Dah setahun aku kahwin.” Ujar Zurin. Begitu cepat masa berlalu. Setahun dirasakan berlalu dalam sekelip mata.
“Hmm....kalau kita tak boleh jumpa malam ni, esok boleh?” soal Ziela selepas seketika mereka masing-masing mendiamkan diri. Zurin cuba berfikir sesuatu.
“Esok aku tak ada apa-apa.” Jawab Zurin.
“Okay. See you tomorrow.” Kemudian mereka sama-sama mematikan talian. Zurin meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja kopi.
RIUH sekali rumah Datuk Hafiz pada malam itu. Dengan gelak ketawa dari seisi rumah yang sedang bergembira. Meja makan menjadi medan pertempuran dengan kata-kata. Amar mengusik Natrah dan Aida manakala Adam hanya memerhatikan sahaja gelagat adik beradiknya itu. Durrah menolong Jamilah memotong buah-buahan di dapur. Leka sekali dia melakukan kerjanya.
“Kak Milah buah ni nak...” ayat Durrah tergantung apabila sebaik sahaja dia mengangkat muka hendak memandang ke arah Jamilah, wanita itu tiada di dalam dapur. Durrah melepaskan keluhan.
“Need some help?” soal Natrah. Durrah sekali lagi mengangkat muka memandang ke arah pintu dapur.
“Tak apa, Dura boleh buat sendiri.” Ujar Durrah. Dilihatnya gadis itu terangguk-angguk. Entah bila masa Natrah beredar, tidak pula Durrah menyedarinya.
Adam melangkah masuk ke dalam dapur dengan membawa pinggan kotornya. Diletakkan pinggan tersebut ke dalam sinki dan mula membuka paip. Niat dihati ingin mencuci pinggan yang digunakannya sendiri.
“Eh, tak apa, Tuan. Biar Dura buat.” Ujar Durrah. Tidak selesa pula apabila majikannya terpaksa melakukan sendirian. Adam mengukirkan senyuman.
“Tuan? Tak pernah orang panggil saya Tuan. Saya tak selesalah. Panggil saya Adam je.” Ujar Adam lembut.
Suara Adam yang garau membuatkan Durrah tidak senang duduk. Semenjak dari hari Durrah terpandangkan wajah Adam di rumah Dr. Hanita lagi, hatinya senantiasa berdebar-debar. Berdenyut pantas. Jantungnya bagaikan dipam. Tetapi langsung tidak diberitahu kepada sesiapapun. Fikir Durrah mungkin ini hanyalah mainan perasaan. Tidak mungkin secepat itu dia mempunyai perasaan pada orang lain. Sedangkan baru setahun lebih sahaja dia putus tunang.
“Tak...tak...takkan panggil Adam je. Tak eloklah.” Tergagap Durrah berkata-kata. Adam mengukirkan senyuman manis. Terkedu Durrah seketika. Tidak jadi untuk terus memotong buah. Tiba-tiba sahaja hatinya berdegup pantas.
“Kalau macam tu, awak panggil saya Abang Adam lah. Because judging by your face, I think you’re much more younger than Natrah. Am I right?” tanya Adam. Terangguk-angguk Durrah seperti burung belatuk. Pandai juga dia ini menilik wajah orang, desis Durrah dalam hati.
Pinggan yang sudah bersih dicuci disangkutkan ke atas tempat penyidai pinggan. Berkerut dahi Durrah. Bila masanya Adam sempat mencuci pinggan? Adam memicit sabun pencuci tangan dan digosok ke seluruh tapak tangan. Adam selalu ingat akan pesanan dari kementerian untuk selalu mencuci tangan selepas melakukan sebarang aktiviti. Almaklumlah, sekarang ini gejala H1N1 semakin merebak teruk. Dan untuk menghalang daripada berlakunya penyebaran tersebut, haruslah menjaga kebersihan. Dalam Islam juga digalakkan untuk menjaga kebersihan.
Adam sedar dirinya diperhatikan. Mengangkat muka memandang Durrah. Dijungkitkan kening dan kepalanya sedikit. Durrah kembali menunduk meneruskan kerjanya. Perasaan malu menerpa diri. Adam tersenyum sambil bernyanyi-nyanyi kecil membasuh tangannya menggunakan air paip yang mencurah laju. Adam berlalu meninggalkan Durrah yang masih leka melakukan kerja-kerjanya. Usai menyiapkan kerjanya, Durrah menuju ke ruang tamu dengan menatang seteko Nescafe dan juga cawan-cawan daripada corak yang sama dengan teko tersebut. Dituang air yang masih berasap itu ke dalam cawan-cawan yang tersedia elok tersebut. Durrah beredar dari ruang tamu. Melintasi pintu utama yang terkuak luas. Hati Durrah terdetik.
“Siapa pulak yang buka pintu ni?” belum sempat tangan Durrah mencapai tombol pintu untuk menutup pintu utama itu, mata Durrah sudah tertuju ke arah sesusuk tubuh yang duduk di tengah laman rumah. Dahi Durrah berkerut. Durrah berpaling dan menuju ke arah dapur. 10 minit kemudian, Durrah keluar dari dapur dengan menatang secawan Nescafe.
Semasa Durrah melintasi ruang tamu, kelihatan Jamilah dan Datin Aisyah sedang leka bersembang. Manakala Datuk Hafiz dan Amar sedang menonton perlawanan bola sepak yang ditayangkan di siaran Astro Sports. Perlahan-lahan Durrah berjalan melepasi pintu utama. Berjalan mendekati Adam yang duduk membelakanginya. Durrah berdehem perlahan. Lelaki itu leka memandang ke langit yang terbentang luas dan bintang-bintang angkasa bertaburan di langit. Tersedar dari lamunan apabila terdengar seseorang berdehem. Adam mengalih pandang ke arah Durrah. Gadis itu tersenyum kecil. Diletakkan cawan Nescafe yang masih berasap itu dihadapan Adam. Adam membalas senyuman Durrah.
“Dura masuk dulu lah, ya.” Ujar Durrah. Berkira-kira hendak beredar dari situ. Tetapi langkahannya terhenti apabila Adam berkata sesuatu.
“Dura, nanti. Duduklah dulu.” Pelawa Adam. Durrah gelisah. Digigit bibirnya. Maniskah duduk berdua-duaan bersama anak bujang Datin Aisyah di taman? Durrah berdiri statik. Langsung tidak bergerak. Adam yang sedar akan keadaan itu, memandang Durrah yang masih tidak berganjak dari tempatnya.
“Duduklah. Takkan takut kena tangkap basah, kut? Kan ramai lagi orang kat dalam rumah tu.” Jawapan Adam masih tidak dapat melegakan hati Durrah.
Berat sahaja kaki Durrah melangkah dan melabuhkan punggungnya di sebelah Adam. Tetapi masih mengekalkan jaraknya. Adam membisu. Durrah membungkam. Tiada kata-kata yang keluar dari mulut mereka berdua. Hanya cengkering sahaja yang berlagu riang. Berkali-kali keluhan keluar dari mulut Adam. Durrah mengerutkan dahi. Dipeluk tubuhnya yang tiba-tiba kedinginan.
“Enc…Ab…Abang…Abang ada masalah ke?” tergagap lidah Durrah menyebut perkataan Abang.
Tidak pernah memanggil orang luar dengan panggilan Abang. Jika Yusof dan Husin tidak mengapalah, mereka berdua itu sememangnya abang kandung Durrah. Pandangan Adam masih ditala ke langit. Hatinya gundah. Perlukah berterus-terang?
“Problem ni bukannya problem Abang. Tapi problem kawan Abang.” Adam membuka mulut. Meluahkan apa yang terbuku dihatinya. Kerutan bertambah di dahi Durrah. Jika masalah ini bukan masalah miliknya, kenapa harus bergundah gulana? Hati Durrah bermain kata.
“Kawan Abang kahwin dengan gadis pilihan hati dia tanpa pengetahuan keluarga. Lama dia orang stay kat London. Tapi baru-baru ni, family dia panggil balik Malaysia. So, dia baliklah. Hari ni wedding anniversary dia orang. Kawan Abang dah janji nak bawa wife dia celebrate kat luar. Sekarang ni dia bergaduh pulak dengan wife dia sebab terpaksa mungkir janji.” Cerita Adam. Durrah mengerutkan dahi. Masalah besar juga yang dialami oleh ‘kawan’ Adam itu.
“Sebab apa dia mungkir janji?” soal Durrah. Adam mendengus.
“Dia janji dengan family dia yang tiap-tiap 2 minggu sekali, mesti balik rumah. Dia kena turuti lah janji yang disyaratkan oleh emak dia. Sebab dia yang beria-ia sangat nak pindah rumah dan duduk sendiri. Wife dia dah tak tahan hidup macam ni. Jadi, wife dia suruh kawan Abang ni berterus-terang dengan family dia.” Jawab Adam lagi. Kepala Durrah terangguk-angguk seperti burung belatuk. Adam memandang Durrah di sebelah. TIada jawapan daripada gadis itu membuatkan Adam ingin menyambung kata.
“Dura beritahulah Abang. Apa yang patut Abang buat?” Adam terlepas kata. Mata Durrah menala pantas ke arah Adam dengan kerutan di dahi.
“Ermm…maksud Abang, apa yang patut Abang nasihatkan kawan Abang.” Adam membetulkan ayatnya.
“Bagi Dura, perempuan tu harus faham akan keadaan kawan Abang tu. Bagi dia masa untuk berterus-terang. Mungkin ini bukan masanya. Tapi kawan Abang jugak harus faham, selama mana dia orang nak terus berbohong. Kena cari masa yang sesuai. Mungkin lagi 3-4 bulan. Ambil masa untuk terangkan satu persatu. Takkanlah emak kawan Abang tu kejam sangat sampai nak suruh bercerai, kut. Betul tak?” soal Durrah. Adam melepaskan keluhan. Mengangguk mengiakan kata-kata Durrah. Mereka sudah berkahwin. Mustahil ibunya kejam untuk meminta dia menceraikan isteri yang sudah sah dikahwini. Sedikit lega dengan jawapan yang diterima.
“Kalau Dura jadi wife kawan Abang tu, apa yang Dura mahu suami Dura tebus kesalahan dia?” Adam bertanya lagi. Durrah menala pandangan ke langit sambil berfikir sesuatu. Apakah yang dia mahu dari suaminya?
“Kalau Dura, hanya kata-kata maaf dah cukup buat Dura. Dura tak minta lebih. Sebab biasalah kan, lelaki ni kan egonya menggunung. Jadi, kalau dia dah sudi minta maaf, Dura dah tak kisah perkara lain. Kalau perempuan lain tak tahulah. Tapi perempuan suka jugak bunga, coklat. Mungkin teddy bear. Atau kata-kata ingatan dan juga a simple candlelight dinner would be enough.” Jelas Durrah panjang lebar. Adam mengangguk. Benar juga kata-kata Durrah. Lelaki ini egonya tinggi menggunung. Apa salahnya meminta maaf? Tiba-tiba Durrah menekup mulut. Perlahan matanya mengalih ke arah Adam yang sedang memikirkan kata-katanya itu.
“Sorry, bang. Bukan semua lelaki ada ego tinggi.” Ujar Durrah. Dia menggigit bibir. Adam mengangkat muka memandang Durrah sambil tersenyum kecil.
“Faham...faham. Dan, Abang juga tak nafikan yang ego lelaki memang tinggi.” Jawab Adam.
Durrah mengangguk. Mereka sama-sama melemparkan pandang ke langit yang nun jauh berada di angkasa. Tanpa mereka sedari, sepasang mata memerhatikan mereka dari jauh bersama sebuah senyuman.
“APA yang awak terjenguk-jenguk kat tingkap tu?” soal Datuk Hafiz apabila dilihatnya sedari tadi Datin Aisyah asyik menjenguk melalui tingkap ke arah halaman.
Natrah dan Aida sudah lama menghilang ke bilik masing-masing. Manakala Amar leka menonton televisyen bersama ayahnya. Datin Aisyah berjalan menuju ke arah suaminya dan dilabuhkan punggung di sebelah lelaki itu.
“Saya suka betul tengok Dura tu.” Ujar Datin Aisyah. Disandarkan badannya ke sofa empuk tersebut. Datuk Hafiz mengalih pandang sekilas ke arah isterinya.
“Kenapa?” soal Datuk Hafiz. Datin Aisyah mengerutkan dahi dan memandang ke sebelah. Tidak faham dengan soalan yang diajukan Datuk Hafiz.
“Kenapa apa?” giliran Datin Aisyah pula menyoal.
“Kenapa awak suka dengan dia? Dia kerja kat sini tak sampai seminggu lagi.” Jelas Datuk Hafiz panjang lebar. Datin Aisyah mencapai cawan minuman yang terletak di atas meja kopi. Dihirup sedikit Nescafe yang berasap itu.
“Saya memang suka kat dia sejak dia kerja kat rumah Ita lagi. Lemah lembut budaknya, bang. Pemalu pulak tu. Lagipun anak Kak Nah. Tu yang saya suka tu. Kita dah kenal keluarga dia.” Datin Aisyah menerangkan satu persatu sifat yang ada di dalam diri Durrah diatas pemerhatian Datin Aisyah selama seminggu. Datuk Hafiz berdehem. Menolak cermin mata yang sudah melurut turun dari hidung.
“Berterus terang jelah, Syah. Apa yang ada dalam fikiran awak tu.” Sindir Datuk Hafiz. Wanita itu tersenyum simpul.
“Apa kata kalau saya kahwinkan Dura dengan...” ayat Datin Aisyah tergantung. Amar yang sedang berbaring terus duduk menegak memandang ke arah kedua ibubapanya. Hati Amar gelisah. Dia berdiri dan melabuhkan punggungnya di sebelah Datin Aisyah.
“Ma...Amar belum bersedia nak kahwin lagi. Lagipun, Amar belum capai lagi apa yang Amar nak sebagai seorang peguam.” Lantang Amar membantah. Datuk Hafiz tergelak besar. Datin Aisyah mencebik.
“Hei, jangan perasanlah anak mama seorang ni.” Datin Aisyah mencuit hidung Amar. Anak muda itu terpinga-pinga.
“Mama bukan nak jodohkan Dura dengan Amar tapi tu....dengan Along.” Juih Datuk Hafiz ke arah pintu yang terbuka. Datin Aisyah tersenyum. Kelihatan Amar melepaskan nafas kelegaan.
“Mama ni...buat Amar takut je.” Diurut dadanya perlahan. Datin Aisyah mengusap rambut Amar.
“Apa kata Abang?” tanya Datin Aisyah. Mengalih pandang ke arah suaminya.
“Kenapa awak terburu-buru sangat nakkan si Adam tu kahwin?” soalan berbalas soalan. Datin Aisyah melepaskan keluhan.
“Adam tu bukannya makin muda. Umur dah meningkat 30 tahun. Kita pun bukannya makin muda. Teringin juga saya nak merasa mengendong cucu sebelum saya menutup mata. Abang tak teringin ke?” perli Datin Aisyah. Kelihatan Datuk Hafiz mengangguk perlahan.
“Tapi kita kena tanya dulu Adam. Setuju ke dia dengan cadangan kita ni? Tanya jugak Dura. Manalah tahu, dia dah ada orang yang menunggu dia di kampung tu. Awak kena tanya Adam tu betul-betul. Almaklumlah, baru balik dari London. Dah 6 tahun kat sana. Takkan lah tak ada yang tersangkut kat sana.” Satu persatu nasihat yang keluar dari mulut Datuk Hafiz.
Amar kembali mengubah posisi kedudukannya dan berbaring semula. Datin Aisyah membetulkan duduknya.
“Saya yakin Dura tak ada siapa yang menunggu. Dan untuk Adam pula, saya tahulah anak saya. Saya tahu macam mana nak uruskannya.” Jawab Datin Aisyah penuh yakin. Datuk Hafiz menggeleng perlahan.
“Hmm...suka hati awaklah.” Sudah malas mahu berkata apa-apa.
BERSAMBUNG....
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 5/18/2010 08:26:00 PM 3 tukang komen paling setia
Wednesday, May 12, 2010
Tajuk Dan Sebenarnya ditukar?!!!!
Salam semua,
Saya suka tajuk I'm Yours. and tak sangka Cik Jazlina pun suka tajuk tu. Tapi kami belum capai kata sepakat lagi.Masih ada masa untuk maklumkan tajuk baru...Huhu tulun la daku ini...tak boleh nk pikir tajuk lain sbb otak tgh sibuk nak siapkan manuskrip S.A.H untuk PTS Litera. Kalo dah konpem nnt, iollsss inform uollss okeh.....Papepun hope for the best utk novel ni...Hope die org publish cpt2 k....
p/s:Kak Siti, Ku Intai Cinta Dalam Rahsia dah ada orang guna bawah publisher KN gak....huhu tajuk dh best tp dh ada....soriiiiiiii!!!!!!
Daaaaaa for now!!!!!
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 5/12/2010 02:25:00 PM 1 tukang komen paling setia
Tuesday, May 11, 2010
Tolong!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
Salam semua wahai kipas-susah-mati,
Baru je sebentar tadi Cik Jazlina dari Kaki Novel tepon....dia nak tajuk lain dari Kau Milikku....Help!!!!!
Sila komen n vote yer.....
1)Cinta Dan Sebenarnya
2)Cinta Antara Kita
3)I'm Yours
4)Demi Cinta Dia
5)Aku Sudah Jatuh Cinta....
Kalau2 ada yang cadangan and tajuk yg lebih best2...sila berilah ye...selewat2nya by tomorrow nak tau jawapan...sbb nk kena anta minggu ni gak jawapannya...
Daaaaaa for now.........
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 5/11/2010 09:58:00 AM 1 tukang komen paling setia