BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, July 7, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 15

BAB 15

PETI televisyen yang terpasang terasa seperti kosong. Cerita yang sedang bersiaran di peti tersebut, langsung tidak menarik perhatian Zurin. Fikirannya senantiasa menerawang. Benarkah hati Adam sudah berubah? Jika ya, kenapa Adam tidak berterus-terang. Dia tidak suka perasaanya dipermainkan. Kedengaran pintu pagar automatik terbuka. Sebuah kereta menyusur perlahan masuk ke dalam garaj. Zurin segera berdiri dan menyelak kain langsir yang menutupi jendela. Adam melangkah keluar dari keretanya dengan membawa turun beberapa beg plastik. Pantas Zurin menutup semula jendela dan menghempaskan punggung ke atas sofa. Memeluk tubuh. Menala pandangan ke peti televisyen. Sedangkan ekor matanya mengikut gerak langkah Adam yang baru sahaja melepasi pintu utama. Hati Zurin semakin panas apabila Adam langsung tidak mahu menegurnya yang duduk tercegat di sofa ini.
Baru sahaja kaki Adam hendak melangkah mendaki anak tangga pertama, langkahannya terhenti apabila terdengar suara Zurin seperti halilintar memecah bumi bergema di ruang tamu rumah tersebut.
“Am cakap dengan Rin terus-terang. Am dah ada perempuan lain kan?” soal Zurin lantang.
Perlahan-lahan Adam mengalihkan badannya memandang Zurin yang sudah berdiri tercegat memandang Adam. Matanya mencerlung sahaja. Adam melepaskan keluhan. Sebenarnya dia malas mahu berkata apa-apa. Nanti boleh dijadikan pergaduhan hanya disebabkan perkara remeh sahaja. Entah kenapa Zurin bersikap begitu sejak kebelakangan ini. Adakah dia juga seperti Adam? Sudah bosan dengan perkahwinan ini.
“Am malaslah nak bergaduh dengan Rin. Am dah penat. Am nak naik rehat.” Ujar Adam dan mula mendaki anak tangga tersebut.
Zurin tidak berpuas hati lalu mengejar langkah Adam. Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kamar, Zurin menghempaskan pintu kamar sekuat hati. Adam yang sedang merungkaikan bajunya satu persatu, terkejut dengan tindakan Zurin.
“Kenapa dengan Rin ni? Sejak kebelakangan ni, Rin asyik cari kesalahan Am je. Apa yang Rin tak puas hati lagi?” suara Adam hanya mendatar sahaja. Tidak langsung mahu meninggikan suara. Tidak mahu menambahkan panas yang sedia ada.
“Rin memang tak puas hati. Apa yang ada kat rumah parents Am tu sampaikan tiap-tiap minggu Am nak balik sana. Dulu Am janji dengan Rin yang Am akan balik sana 2 minggu sekali je. Sekarang ni, Am dah tak ada masa nak spend time dengan Rin. Am simpan perempuan tu kat rumah parents Am, ya?” serang Zurin bertubi-tubi. Matanya sudah memerah menahan tangis. Adam melepaskan keluhan.
“Rin kenapa Rin boleh berfikir sampai ke situ? Am balik ke sana, sebab Am…Am…Am perlu fikirkan pasal sesuatu.” Jawab Adam. Perlukah dia berterus-terang? Dapatkah Zurin menerima hakikat itu?
“Fikir pasal apa? Fikir pasal nak madukan Rin?” sekali Zurin menyerang Adam. Lelaki itu hanya menarik dan melepaskan nafas perlahan.
“Rin, please. Tolong jangan paksa Am.” Adam mencapai tuala yang tersangkut di penyangkut baju dan laju sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam bilik air. Perlu membersihkan diri yang melekit.
Nafas Zurin turun naik. Air matanya mula menitis. Mata Zurin masih melekat ke pintu bilik air yang tertutup rapat. Kedengaran air paip terpasang.
“Eihhh…” Zurin menjerit kuat. Dia menghentakkan kaki dan melangkah keluar dari kamar tersebut. Sekali lagi pintu kamar itu dihempas kuat.
Di dalam bilik air, Adam menggenggam kuat marmar sinki. Air mata lelakinya juga turut menitis.

‘Maafkan Am, Rin. Am terpaksa rahsiakan hakikat sebenar Am ke sana. Am perlu fikirkan pasal perhubungan kita,’ Adam merintih dalam hati. Ditadah air dalam sinki dengan tangannya dan disapukan air tersebut ke seluruh wajahnya. Melihat wajahnya yang basah melalui cermin.


SUASANA di Istana Tower semakin sibuk sementelah jam menginjak jam 9 pagi. Para pekerja tergesa-gesa menyerbu masuk ke dalam pejabat masing-masing. Zurin juga tidak terkecuali. Berjalan beriringan bersama seorang sahabat menuju ke lif yang sedang terbuka. Tergesa mereka berebut hendak masuk. Sampai ada yang tertolak Zurin sehinggakan wanita itu terdorong ke hadapan. Sahabat Zurin segera menarik lengan Zurin dan mereka sama-sama dapat menyelit masuk ke dalam lif tersebut. Sebaik sahaja tiba di tingkat 15, Zurin dan sahabatnya segera keluar.
“Siti, thanks. Sebab kau tarik aku tadi.” Ujar Zurin sambil tersenyum manis.
“Alahh…tak ada hal lah. Okaylah. Aku pergi tempat aku dulu.” Siti melambai ke arah Zurin dan mereka sama-sama berpisah untuk ke tempat masing-masing.
Zurin membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam kamarnya yang sederhana besar itu. Jawatan yang disandang Zurin sebagai Pengurus Pemasaran melayakkan dia untuk memiliki sebuah biliknya sendiri. Diletakkan tas tangannya di dalam laci dan mula menghidupkan suis untuk komputer. Tiba-tiba matanya tertancap pada gambar berbingkai emas yang terletak elok di tepi komputer tersebut. Dicapai, ditatap lama. Gambar Zurin dan Adam ketika bersiar-siar di kota Paris untuk percutian bulan madu mereka. Sangat bahagia ketika itu. Zurin berharap masa dahulu dapat diputarkan kembali. Zurin meletakkan semula bingkai gambar itu apabila kedengaran pintunya diketuk perlahan. Arahan masuk diberikan. Terkuak luas pintu biliknya dan terjengul wajah pembantu Zurin.
“Yes, Shana?” Zurin mengangkat muka. Tersenyum pada pembantunya itu.
“Cik Zurin, sebentar lagi ada meeting pukul 11 pagi. Datuk panggil meeting untuk Marketing Department saja. Dan…” ayat Shana tergantung. Meneliti jadual untuk hari itu yang tercatit di dalam diari di genggaman Shana.
“Ada apa-apa lagi untuk saya hari ni, Shana?” soal Zurin apabila dilihatnya berkerut dahi Shana meneliti jadual yang tercatit itu.
“Tak ada apa-apa lagi. Itu saja.” Jawab Shana sambil mengangkat muka.
“Okay. Kalau macam tu, report yang saya suruh awak buat minggu lepas, dah siap?” sekali lagi Zurin menyoal.
“Dah, Cik Zurin. Saya dah print dan masukkan dalam file.” Jawab Shana pantas. Sebaik sahaja sampai di pejabat, Shana terus sahaja melakukan kerjanya. Shana suka menyelesaikan kerja sebelum ketuanya sempat bertanya.
“Okay. Nanti bawak sekali, ya. Sebab nak serahkan pada Datuk.” Arah Zurin. Shana hanya mengangguk dan tersenyum.
“Ada apa-apa lagi, Cik Zurin?”
“Ermmm….dah tak ada apa-apalah.” Zurin berkata. Belum sempat Shana keluar dari bilik Zurin, namanya dipanggil sekali lagi. Berpaling dan memandang Zurin yang sudah menala pandangan ke skrin komputer.
“Bawakan saya Nescafe. Macam biasa.” Mengangkat muka memandang Shana. Gadis itu mengangguk dan terus meminta diri untuk beredar.
Tiba-tiba Zurin memegang bahagian bawah perutnya. Terasa sakit yang amat sangat. Seperti mencucuk-cucuk. Zurin menekan perutnya sekuat hati. Shana menguak pintu bilik Zurin. Berkerut dahinya melihat Zurin yang seperti sedang menahan kesakitan. Shana meletakkan cawan Nescafe tersebut ke atas meja Zurin. Segera menuju ke arah Zurin dan memegang bahu ketuanya itu.
“Cik Zurin...Cik Zurin...Kenapa ni, Cik Zurin?” soal Shana cemas. Zurin mengangkat tangannya dan menggawang perlahan.
“Saya tak apa-apa.” Ujar Zurin. Cuba untuk bangun dari kerusinya. Tetapi dia hampir tumbang. Sempat disambut oleh Shana.
“Saya bawak Cik Zurin ke klinik.” Shana bersuara lagi. Wajahnya semakin panik.
“Tak apa. Saya boleh pergi sendiri.” Zurin mencapai tas tangan yang diletakkan di dalam laci. Dan berjalan keluar dari biliknya. Shana membuntuti dengan perasaan risau. Perlahan kaki Zurin melangkah ke lif. Tangan masih lagi memicit perut yang terasa perit.


HUJUNG minggu itu, Durrah sudah berjanji dengan Laily untuk keluar bersiar-siar di sekitar kota Kuala Lumpur. Kereta MyVi hitam milik seorang gadis, diparkir betul-betul dihadapan pintu pagar rumah milik keluarga Datuk Hafiz. Gadis itu melangkah turun dari keretanya dan membunyikan alat penggera kereta menandakan kereta tersebut dikunci. Terus sahaja gadis itu membuka pintu pagar kecil yang terletak di sebelah kiri. Mendekati pintu utama. Diketuk perlahan pintu tersebut. Pintu utama terkuak luas, terjengul wajah Durrah yang tersenyum manis.
“Sorry, Laily. Dura baru habis buat kerja. Masuklah dulu. Dura naik tukar baju kejap.” ujar Durrah. Laily mengangguk dan melangkah masuk ke dalam rumah.
Datin Aisyah yang baru sahaja turun dari tingkat atas, terus menuju ke arah Laily. Ditepuk perlahan bahu gadis itu. Terkejut Durrah dibuatnya. Terus tunduk menyalami Datin Aisyah.
“Baru sampai, Laily?” tanya Datin Aisyah.
“Ya, Mak Long.” Sela Laily. Tidak perasan akan kehadiran Amar di belakang yang juga turut menuruni anak tangga dengan senyuman terhias di bibir.
“Datang jumpa Abang ke?” soal Amar. Laily mengangkat muka. Matanya membeliak. Terkedu sebentar.
“Eleh...perasanlah. Orang datang jemput Dura.” Jawab Laily. Cuba menyembunyikan perasaan gementarnya.
“Ye ke? Tak rindu kat Abang?” sekali lagi Amar menyoal tetapi lebih kepada mengusik. Laily menggigit bibir.
“Dahlah tu, Amar. Suka sangat mengusik Laily. Jom, Laily. Kita ke ruang tamu.” Datin Aisyah menarik tangan Laily dan mereka sama-sama berjalan beriringan menuju ke ruang tamu. Amar membuntuti dari belakang.
Laily melabuhkan punggung di sebelah Datin Aisyah manakala Amar duduk di sofa yang bertentangan dengan dua wanita itu.
“Abang tak keluar ke? Tak keluar dating?” soal Laily. Ingin menguji reaksi Amar. Tetapi lelaki itu masih berwajah selamba dan hanya senyuman sahaja sebagai jawapan kepada persoalan Laily itu.
“Sebab tak ada lah, tu sebabnya dia terperap je kat rumah ni.” Datin Aisyah menyampuk. Amar mengangguk sambil mencapai cawan kopi yang masih berasap. Dihirup perlahan.
“Maaf, Laily kena tunggu lama.” Sela Durrah. Laily memalingkan wajahnya ke arah Durrah. Laily segera berdiri.
“Mak Long, kami pergi dulu.” Laily berkata. Tunduk menyalami Datin Aisyah yang juga turut berdiri.
“Yelah. Senang-senang datanglah selalu ke rumah ni.” Pelawa Datin Aisyah. Laily hanya mengangguk dan menghadiahkan sebuah senyuman. Kedua anak gadis itu berjalan beriringan menuju ke kereta MyVi milik Laily.
Sebaik sahaja masuk ke dalam perut kereta, Laily terus menderum pergi meninggalkan kawasan rumah banglo itu. Durrah melemparkan pandangan ke luar. Sudah lama tidak keluar. Asyik terperap sahaja di rumah. Jika hendak mengajak Laily, gadis itu sejak kebelakangan ini selalu sibuk dengan peperiksaan untuk semester akhir. Hanya hari ini sahaja, Laily punya masa untuk meluangkan masa bersama Durrah. Perut Durrah berbunyi kuat menandakan dia sedang kelaparan. Segera Durrah menekup perutnya. Kepala laily tertoleh pantas ke sebelah. Hanya sengihan sahaja yang mampu Durrah berikan.
“Dura lapar?” soal Laily. Tumpuannya kembali dialihkan ke jalanraya.
“Ha’ah. Tadi lupa nak makan. Asyik nak siapkan kerja sebelum Laily datang. Tak eloklah kan kalau Dura keluar sebelum kerja siap.” Tukas Durrah. Kembali menebarkan pandangan ke luar.
“Okay, kita pergi makan dulu. Dura teringin nak makan apa?” Laily bertanya. Sesekali ditolehkan kepalanya ke arah Durrah. Gadis itu seperti berfikir sesuatu. Dilurut dagu. Baru Durrah teringat.
“Dura nak makan piza.” Jawab Durrah.
Tanpa memberikan kata-kata persetujuan, Laily terus membelok keretanya dan menaiki jambatan di hadapan bangunan Amcorp Mall. Keretanya terus menghala ke arah Restoran Pizza Hut yang terletak di Newtown, Petaling Jaya. Diparkirkan kereta dihadapan restoran tersebut. Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam restoran itu. Laily memilih satu sudut yang berdekatan dengan tingkap kaca. Laily suka untuk melihat pemandangan di luar restoran. Seorang pelayan mendekati meja mereka. Mencatit pesanan makanan dan dan minuman mreka berdua. Durrah hanya menyerahkan kepada Laily untuk memesan makanan dan minuman. Laily berdiri, menuju ke arah kaunter salad. Dipegang sebiji mangkuk dan mula mengisi sayur-sayuran dan buah-buahan. Semakin lama semakin membukit makanan yang diisi di dalam mangkuk tersebut. Laily meletakkan mangkuk itu dihadapan Durrah. Terbeliak mata gadis itu melihat mangkuk yang bertimbun.
“Makanlah.” Laily sudah mencucuk sayur-syuran yang terjuntai keluar dari mangkuk tersebut. Disuapkan ke mulut. Durrah juga turut melakukan perkara yang sama dengan Laily.
“Hah…ceritalah apa maksud Dura dalam message yang Dura bagi semalam?” Laily mula menyoal.
Sejak dari semalam, dia sudah tidak sabar hendak mendengar cerita Durrah. Fikirannya selalu bermain dengan persoalan tersebut. Sampaikan tidak lena tidurnya semalam. Durrah hanya berterus-terusan menyambung suapan ke mulutnya.
“Message yang mana?” Durrah pura-pura bertanya. Disembunyikan senyumannya. Laily melepaskan keluhan.
“Yang semalam, pagi-pagi buta lagi Dura dah message Laily.” Durrah meletakkan garfunya dan berdehem perlahan.
“Cepatlah, Dura. Ceritalah dengan Laily.” Gadis itu masih memaksa Durrah untuk menceritakan perihal sebenar. Dia juga turut meletakkan garfu yang digunakan.
“Tak ada apa-apalah, Laily. Hal kecil je.” Durrah masih bermain tarik tali dengan Laily. Belum bersedia untuk meluahkan apa yang tersirat di hatinya.
Laily merenung wajah Durrah berterus-terusan sehingga membuatkan gadis dihadapannya itu berasa serba-salah. Durrah masih menimbang samada hendak menceritakan perkara sebenar atau tidak.
“Apa yang bermain di fikiran Dura tu? Ceritalah.” Laily masih memujuk. Mahu atau tidak Durrah mesti akan membongkar apa yang bermain di fikirannya.
“Okay…okay. Sebenarnya…Dura rasa…Dura dah…Dura…dah jatuh cinta.” Selepas sahaja Durrah habis berkata-kata, wajah Laily berubah. Menunjukkan reaksi yang sangat teruja.
“Kau jatuh cinta dengan siapa?” soal Laily lagi. Durrah menggigit bibir. Perlukah dia beritahu?
“Adalah. Rahsia.” Durrah masih cuba berselindung. Laily mencebik geram.
“Beritahu jelah, siapa?” Laily masih memaksa. Cuba untuk mengorek perasaan yang terpendam dalam hati Durrah.
“Bukan hari ni. Mungkin satu hari nanti Dura beritahu, okay.” Jawab Durrah.
Mematikan segala andaian dalam kepala Laily. Gadis itu mengangguk. Perbualan mereka terhenti semasa pelayan restoran tersebut menghantar pesanan minuman dan makanan mereka.


BERSAMBUNG....

1 tukang komen paling setia:

Anonymous said...

salam..
zurin mengandung ke?
jgn la bg durra dgn adam...
ksian plak kat zurin..
wjud kanlah 1 watak llaki br utk durrah...