BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 13, 2009

Seindah Al-Hamra BAB 1

BAB 1

ANGIN bayu lembut menghembus wajah Durrah. Rambutnya yang lurus, panjang mengurai turut berterbangan mengikut arus angin. Sesekali dipejamkan mata. Cuba merasai kedamaian yang dibawa oleh angin tersebut. Setiap hari pasti laju sahaja ayunan langkah Durrah menuju ke bendang sawah yang berada di belakang rumahnya. Ingin melarikan diri dari tekanan perasaan yang menghimpit dada. Kedamaian yang dicari gagal meresap ke jiwa. Setiap ceruk sawah itu pasti mengingatkan dia pada bekas tunangannya, Nizam. Disilangkan tangan ke dada. Gagal mengusir seraut wajah yang setiap kali menjadi igauan tidur. Lenanya pasti diganggu oleh kejadian itu. Masih diingat lagi peristiwa dia berhadapan dengan Nizam.
“Kalau Abang sukakan Sal, kenapa tak beritahu terus pada Dura? Kita boleh putuskan saja pertunangan ni.” Bentak Durrah. Nizam memegang lengan Durrah. Gadis itu merentap lengannya dengan sekuat hati. Tidak tega membenarkan bekas tunangan menyentuh dia lagi.
“Dura…dengar dulu penjelasan Abang ni.” Sedaya-upaya Nizam menarik lengan Durrah semula. Meronta-ronta gadis itu minta dilepaskan.
“Abang, lepaskan Dura.” Durrah masih cuba melepaskan diri.
“Abang takkan lepaskan Dura selagi Dura tak dengar penjelasan Abang.” Nizam berkeras. Setitis airmata menuruni pipi gebu Durrah. Ingin Nizam mengelap airmata itu tetapi dia masih sedar akan batasnya. Semakin lama semakin laju airmata itu menuruni pipi Durrah.
“Abang…tolonglah lepaskan Dura. Tak elok kalau orang kampung nampak. Tambahan lagi, kalau isteri Abang nampak. Kecoh satu kampung ni nanti, Bang. Abang takkan malu. Sebab Dura yakin Sal takkan malukan Abang. Sal akan salahkan Dura. Sal memang tak sukakan Dura. Dura yang akan malu nanti, Bang.” Durrah cuba membuka genggaman tangan Nizam. Terlalu kuat kudrat lelaki itu jika dibandingkan dengan dirinya yang hanya seorang perempuan. Dia mengelap airmata yang seperti seakan tidak mahu berhenti itu.
“Abang!!!” jeritan seorang wanita membuatkan mereka berdua berpaling memandang perempuan yang menjerit itu. Genggaman tangan Nizam semakin longgar tetapi masih tidak dilepaskan lagi lengan Durrah itu. Sebaik sahaja Durrah terasa genggaman itu longgar, dia terus melepaskan diri dan berdiri jauh dari Nizam.
“Apa yang Abang dan perempuan ni buat kat sini?” lantang Salina bertanya. Nada suaranya keras. Durrah tidak berkata apa-apa sebaliknya memandang ke tempat lain. Agak berat mulut Nizam untuk berkata sesuatu.
“Hei, perempuan. Kau ada hati lagi nak goda suami aku? Kau tu yang tak reti jaga laki. Tu yang laki kau ni, suka kat aku.” Perli Salina. Muka Durrah memerah menahan amarah yang sedang membakar hati. Tunggu masa untuk memuntahkan lahar. Tapi disabarkan hati yang terluka. Panas hati Nizam mendengarkan setiap ayat yang keluar dari mulut Salina.
“Sal!!!” Nizam berkata separuh menjerit.
“Sal…Sampai hati Sal cakap Akak macam tu.” Ujar Durrah. Setitis airmata kembali menghuni tubir matanya.
“Ahhhh..…air mata buaya. Sal takkan percaya air mata macam tu. Abang, balik.” Arah Salina. Wajah Nizam semakin memerah apabila mendengarkan arahan sebegitu.
“Sal, Abang ni bukan adik atau anak Sal tau. Abang ni suami Sal. Cuba Sal hormat sikit pada Abang.” Tegas Nizam berkata. Salina mencebik. Nizam berpaling ke arah Durrah yang mengelap airmata dengan hujung lengan bajunya.
“Dura….” Nizam masih cuba menerangkan perkara yang sebenar.
“Sudahlah, Bang. Abang balik jelah. Dura dah tak nak tengok muka Abang.” Bertegas sekali Durrah berkata. Dia terus sahaja melangkah pergi. Meninggalkan dua insan yang mempunyai pelbagai perasaan terhadap gadis yang bernama Durrah Hamra ini.
Durrah tersentak apabila tubuhnya dilanggar oleh seseorang. Dia memanggung muka melihat siapakah gerangan itu. Hasan sedang tersengih memandangnya.
“Kak, cuba tengok ni ikan puyu. Hasan dapat dari bendang sana.” Unjuk Hasan ke arah Durrah ikan puyu yang ditangkap bersama rakan-rakannya. Ikan itu diletakkan di dalam balang jernih. Kelihatan ikan itu sedang berenang-renang.
“San, dah berapa kali Akak pesan. Jangan main kat bendang. Nanti naik pacat macam mana? Kamu jugak yang merengek. Nanti Ayah bising.” Durrah sudah memesan berkali-kali kepada adik bongsunya itu.
“Hasan takkan menangis punya. Hasan kan kuat.” Hasan mengangkat lengan seolah-olah ingin menunjukkan dia mempunyai susuk badan seperti orang yang membina badan.
“Hmm...yalah tu. Sudah, pergi mandi. Kalau nampak dek Mak nanti, kamu berlumpur macam ni, dia membebel seminggu.” Ujar Durrah. Tergelak kecil melihat wajah Hasan yang sudah dipalit dengan lumpur bendang.
Rakan-rakan Hasan sudah lama pulang apabila melihat Durrah sudah bercekak pinggang dihadapan mereka sebentar tadi. Kalau hendak diikutkan kakak-kakak Durrah, Murfiqah dan Zuhairah lebih garang. Tetapi Hasan lebih takut kepada Durrah. Sebab sedari kecil, hanya Durrah sahaja yang menjaganya setelah Murfiqah dan Zuhairah berkahwin. Terkedek-kedek Hasan berlari masuk ke dalam bilik air yang terletak di dalam dapur. Durrah menebarkan semula pandangannya ke arah sawah bendang yang menghijau. Melunjurkan kaki di atas pangkin, bawah pohon nipah. Teringat dia kepada perbincangannya bersama orang tuanya semalam.
“Mak...Dura ingat Dura nak pergi K.L.” Durrah berkata perlahan. Dia duduk bersimpuh di atas lantai sambil menghadap Hasanah yang sedang melipat baju. Durrah turut menolong Maknya itu. Karim yang sedang leka menonton televisyen, terarah matanya kepada anak gadis yang sedang mendapatkan keizinan si ibu.
“Pasai pa hang nak pi K.L? Hang dah tak suka ka dok sini?” tanya Hasanah. Terhenti sebentar kerja-kerjanya tadi. Memandang wajah Durrah yang sedikit menunduk.
“Dura nak cari kerja.” Ujar Durrah, mengangkat muka. Menentang wajah Hasanah.
“Awat? Kat sini dah tak dak kerja ka yang hang nak pi sampai ke K.L nu?” Hasanah bertanya lagi.
“Bukan lagu tu, Mak.” Durrah sudah tidak tahu hendak berkata apa lagi. Mendiamkan diri adalah jalan yang terbaik.
“Biaqlah, Nah. Dia nak pi sana pun. Kalau dok sini pandang muka budak bertuah dua orang tu pun, buat sakit hati dia ja nanti.” Seperti dapat membaca apa yang ada di dalam fikiran Durrah, Karim meluahkan kata-kata. Hasanah mengeluh.
“Hang nak pi sana ni, hang ada ka kawan kat sana?” tanya Hasanah lagi. Durrah mengangguk pantas. Karim dan Hasanah mengerutkan dahi, serentak.
“Sapa?” Karim bertanya pula.
“Mak Lang Piah kan ada kat sana.” Durrah berkata. Mengingatkan kembali Karim kepada adiknya yang sudah bekerja di Kuala Lumpur sebaik sahaja tamat SPM. Terlihat Karim mengangguk perlahan. Terlupa pula pada adik yang seorang itu.
“Mak ni bukannya apa, Dura. Dah tak dak oghang nak tolong tengok Hasan. Dia bukan nak dengaq cakap Mak atau kakak-kakak hang tu. Dia dengaq cakap hang ja.” Luah hati Hasanah. Durrah menundukkan wajah. Keputusan untuk memujuk ibunya, tidak memihak kepada dia.
“Hang nak tau dak pasai pa Mak hang ni lagu ni?” Karim bertanya. Durrah mengangkat muka memandang wajah tua Karim itu.
“Yalah. Dah tak dak sapa-sapa nak tolong dia masak. Nak tolong kemas ghumah. Tolong dia kat kilang keropok tu.” Ujar Karim. Hasanah mengangguk perlahan. Sedikit sebanyak ada benar juga kata-kata suaminya itu.
Sebenarnya, dia tidak mahu Durrah berjauhan dari dia. Dia mahu anak kelimanya itu senantiasa ada dihadapan mata. Hanya Durrah sahaja yang boleh diharapkan. Tidak bolehlah selalu mengharapkan pertolongan Murfiqah dan Zuhairah. Mereka juga ada keluarga sendiri yang perlu diuruskan. Ada anak-anak kecil yang masih memerlukan perhatian. Berbanding Hasan yang sudah boleh menguruskan diri sendiri. Hendak mengharapkan Salina? Sebelum berkahwin sahaja, sudah malas. Inikan pula selepas berkahwin. Kasihan juga pada Durrah. Disebabkan peristiwa buruk itu yang berlaku, pertunangan dia dan Nizam terpaksa diputuskan. Keluarga Nizam tidak sanggup untuk menanggung malu dan menyatakan kesudian Nizam untuk memperisterikan Salina. Walaupun Nizam sudah berkali menolak cadangan itu.
“Mak…Mak sayang tak pada Dura?” pertanyaan Durrah itu mematikan lamunan Hasanah yang sudah berterbangan jauh.
“Pasai pa Dura tanya lagu tu? Mestilah Mak sayangkan Dura. Kalau dak, dah lama Mak kahwinkan Dura dengan anak Lebai Ayob tu.” Hasanah memandang wajah sayu anak gadisnya itu. Durrah menarik nafas dan dilepaskannya perlahan-lahan. Dia perlu menyakinkan Hasanah sekali lagi.
“Mak tolonglah lepaskan Dura pi kerja kat K.L tu. Dura dah tak sanggup dok kat sini, Mak. Hari-hari Nizam dok cari Dura. Nak jelaskan apa perkara yang berlaku. Salina pulak asyik hina Dura. Dura dah tak sanggup, Mak. Dura dah letih nak layan karenah depa berdua.” Airmata yang berguguran sudah tidak dapat ditahan lagi. Perasaan yang berkecamuk sudah tidak dapat dibendung. Hasanah melepaskan keluhan. Kasihan melihat anak yang banyak menderita kerana perbuatan adiknya itu. Karim juga tidak dapat menumpukan perhatian ke kaca televisyen. Lebih banyak memandang isteri dan anak silih berganti. Dia tahu perasaan Hasanah cepat lembut.
“Bila hang cadang nak pi K.L tu?” Hasanah bertanya perlahan, cukup membuatkan Durrah tersenyum dalam tangis. Karim juga turut tersenyum kelegaan. Walaupun dia tahu, pasti berat untuk Hasanah melepaskan Durrah.
“Minggu depan, Mak.” Jawab Durrah pantas. Hasanah tidak berkata apa-apa lagi. Sebaliknya hanya mengangguk dan meneruskan kerja-kerja melipat baju. Durrah juga turut menolong Hasanah menyelesaikan kerjanya.
Bayu yang meniup baru terasa dinginnya. Tidak sabar untuk Durrah menjejakkan kaki ke kota metropolitan yang selalu menjadi bualan anak-anak kampung ini yang baru sahaja pulang setelah selesai menamatkan pengajian di peringkat tertinggi. Teringin sekali Durrah hendak menjejakkan kakinya ke menara gading. Tetapi dia tidak berpeluang untuk berbuat demikian kerana keluarganya bukanlah asal daripada keluarga orang yang senang. Kadangkala mereka hendak makan pun seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Karim yang bekerja sebagai pesawah. Manakala Hasanah kadangkala mengambil upah menjahit baju dan langsir. Kalau tidak menjahit, Hasanah akan menolong suaminya di sawah atau mengambil upah membersihkan rumah-rumah orang yang berada di kawasan kampung mereka itu dan kampung seberang. Kasihan Durrah melihat kedua orang tuanya yang terpaksa bekerja keras untuk menampung kehidupan mereka anak-beranak. Nasib baiklah Murfiqah, Zuhairah, Yussof dan Hussin sudah berkahwin. Kini, Salina pula. Jadi, Karim dan Hasanah hanya menanggung Durrah dan Hasan. Tetapi sampai bila harus Durrah bergantung harap pada mereka berdua? Durrah yang bekerja di kedai runcit Pak Amat itu hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM150 sebulan. Tidak mencukupi. Karim baru sahaja disahkan menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Duit yang sedia ada harus ditolak ketepi untuk membeli ubat-ubatan Karim. Jika Durrah bekerja di Kuala Lumpur, duit yang dia akan dapat semasa bekerja nanti bolehlah dikirimkan kepada Karim dan Hasanah untuk buat membeli perbelanjaan dapur.
Durrah asyik tersenyum sahaja mengenangkan pemergiannya ke Kuala Lumpur tidak lama lagi. Dia akan berjumpa dengan Nizam buat kali terakhir pagi esok sebelum dia berangkat ke Kuala Lumpur lusa. Dia akan menyelesaikan segala-galanya. Dia sudah tidak mahu memikirkan kenangan cintanya bersama Nizam. Biarlah kenangan itu disimpan jauh di dalam lubuk hati yang paling dalam. Senja sudah berlalu pergi. Malam pula melabuhkan tirainya. Biarlah langit malam yang menghuni hatinya kini, berlalu meninggalkan Durrah Hamra yang masih mencari cinta sejati.


KEESOKKAN paginya seawal jam 9, Durrah sudah berada di tempat pertemuan pertama kali dia terserempak dengan Nizam. Dan, di saat itu. Hati Durrah kuat mengatakan bahawa Nizam adalah pilihannya yang terbaik. Pilihan pertama dan terakhir. Tetapi apakan daya. Sudah ketentuan Nizam tidak tertulis untuk menjadi suaminya. Durrah leka memerhati pondok yang banyak memberikan kenangan indah dan pahit buat diri dia. Setiap kali bertemu dengan Nizam, dia pasti tidak akan keseorangan. Dia akan membawa Salina atau Hasan bersama. Berkali-kali Karim dan Hasanah berpesan supaya membawa bersama adik-adiknya sebagai peneman. Mereka tidak mahu orang kampung akan bercerita yang bukan-bukan. Derapan kaki menyentakkan Durrah dari lamunan. Dipandang sekilas ke arah Nizam yang tersenyum lebar. Mungkin gembira apabila Durrah bersetuju untuk berjumpa dengannya. Dia duduk menghadap gadis yang dicintainya sejak zaman sekolah itu.
“Abang gembira sangat sebab Dura sanggup nak jumpa dengan Abang.” Ujar Nizam. Wajahnya benar-benar ceria. Tetapi Durrah langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dia hanya keras diam membatu. Nizam cuba untuk mencapai jari jemari Durrah tetapi dengan pantas Durrah menepis kasar. Reaksi Durrah yang dingin itu mengundang tanda tanya di benak Nizam.
“Kenapa, Dura? Dura tak gembira jumpa Abang?” tanya Nizam. Durrah memandang ke arah lain. Tidak langsung ingin memandang bekas kekasihnya itu.
“Memang Dura tak gembira. Mulai sekarang, Abang kena ingat. Hubungan kita bukan macam dulu lagi dah. Dura kakak ipar Abang. Dan Abang, adik ipar Dura. Jaga perbatasan hubungan kita. Jangan melampaui. Sebab Dura dah tak tahan dengar Sal jaja cerita Dura. Kata Dura ni tak tahu malu. Selalu menyendeng dengan Abang. Nasihat sikit isteri Abang tu. Jangan selalu cerita buruk pasal orang. Keburukan dia, semua orang tahu.” Durrah menjeling tajam. Nizam mengerutkan dahi. Tidak faham akan tujuan sebenar Durrah ingin berjumpa dengannya.
“Kenapa Dura tak beritahu sendiri pada Sal? Kenapa beritahu pada Abang?” Nizam bertanya lagi. Cuba mencari wajah ayu milik Durrah. Gadis itu hanya mengelak dari wajahnya menjadi tatapan Nizam. Tidak selesa begitu.
“Kalau Dura nasihatkan dia, mesti dia tak nak dengar. Kalau Abang yang nasihat, mungkin ada hasilnya. Lagipun dari dulu lagi dia memang sukakan Abang. Tapi, Abang bertunang dengan Dura. Itu yang membuatkan dia tak puas hati. Sampai Abang termasuk perangkap dia.” Durrah berkata sambil cuba menahan airmata dari menitis. Perih hatinya mendengar Nizam dan Salina ditangkap basah dalam rumah mereka sendiri. Buat apa Nizam mengikuti Salina hingga ke sana, tidak pula Nizam memberikan jawapan yang pasti. Hanya Salina sahaja yang mereka cerita supaya lebih sedap di pendengaran orang kampung. Hati Durrah retak seribu. Tidak mungkin bercantum kembali.
“Sal kata pada Abang yang Dura demam. Jadi, Abang nak pergi tengok Dura sendiri.” Jelas Nizam. Buat pertama kalinya, dia dapat menjelaskan keadaan sebenar kepada Durrah.
“Huh...alasan. Lelaki!” Durrah bangun dan berdiri menghadap sawah padi yang terbentang luas.
“Dura percayalah cakap Abang.” Paksa Nizam. Dia memegang bahu Durrah dan dipusing untuk menghadapnya. Durrah menepis kasar lengan Nizam yang sasa itu.
“Sudahlah, Bang. Abang pun dah jadi suami orang. Kita tak mungkin punya hubungan seperti dulu lagi. Abang mungkin cinta Dura yang pertama, tapi Abang bukan yang terakhir.” Ujar Durrah sebelum melangkah meninggalkan Nizam yang terpinga-pinga. Langkah kaki Durrah terhenti. Dia beralih memandang Nizam yang membelakangkannya.
“Lepas ni, Abang jangan ganggu Dura. Dura akan pergi dari sini. Abang jangan ganggu Mak dan Ayah dan bertanyakan tentang Dura. Cukuplah dia orang rasa susah dengan perbuatan Sal. Abang jagalah Sal baik-baik. Didik dia supaya menjadi seorang isteri yang solehah. Sebab itu tanggungjawab Abang sekarang. Selamat tinggal, Abang. Dura harap kita tak pernah kenal.” Ucap Durrah sebelum berlalu meninggalkan Nizam di pondok itu keseorangan.

Hati Durrah tidaklah sekeras mana. Tetapi digagahkan jua. Langkah kaki yang semakin menjauh meninggalkan kekasih hati, membuatkan airmata Durrah turun tanpa henti. Menangislah sesungguhnya, wahai Durrah. Kerana takdir ini sudah tertulis buat dirimu. Jangan disalahkan takdir. Jodoh yang tidak mempertemukan kau dan Nizam untuk bersama. Kerana kau lebih berhak untuk seseorang yang berada di suatu tempat. Dan, kau akan jejakinya, hati Durrah memberikan semangat. Terasa seperti semangat baru meresap ke dalam diri Durrah. Selamat tinggal, kampung. Terima kasih, Mak...Ayah kerana kalian telah memberikan Durrah satu harapan yang baru. Harapan untuk terus maju ke hadapan.

BERSAMBUNG....

Maaf Semua!

Salam semua,

Ada satu berita buruk dan satu berita baik....yang mana korang nak dengar dulu?! Waahhh cam election plak....Kehkhekhekh.....

Berita baik lah dulu kan....Berita baiknya ialah e-novel yang korang tolong emo kan sekali tuh, insyaAllah akan dibukukan. Kerana saya telah pun menerima panggilan telefon semalam lebih kurang jam 7 lebih semasa Maghrib, daripada pihak Kaki Novel iaitu kakak yang bernama JAZLINA, mengatakan bahawa e-novel saya telah pun disenarai pendekkan (erti kata lain dalam omputih SHORT LISTED) sebagai novel yang menarik untuk diterbitkan. Dengan gembiranya hati ini, saya bersyukur yang amat.

Berita buruknya ialah.....CIK JAZLINA telah meminta saya untuk memberhentikan posting Dan Sebenarnya. Dan, mereka akan memantau blog saya ini dari semasa ke semasa (rasanyalah kan. Kalo tak, takkanlah mintak url blog nie....hurmmm).

Jadi mulai malam ini, silalah menikmati buah tangan saya yang baru iaitu SEINDAH AL-HAMRA. Harap korang akan terus support saya. Sebab hanya famili dan korang saje yang menjadi back bone saya (tulang belakang ler tu)......keep on supporting me u guys!

ps: harap maap semuanya. teruskan menyokong saya. sokongan anda amat2lah saya hargai. sampai bila2 akan ku kenang jasa mu semua dalam doaku.....wakakakakaak......propa lebih! apa salahnya kn?kihkihkih.....

Thursday, November 12, 2009

SEINDAH AL-HAMRA....sneak peek only, okay?! hehe

Benarlah kata orang, cinta itu buta. Benarlah kata Mak, bahawa cinta itu datang tanpa mengenal usia, pangkat ataupun status seseorang. Benarlah kata Laily, aku hanya cintakan dia. Walaupun di mulut berkata tidak, tetapi dihati berkata....Entahlah, aku pun tidak pasti. Benarkah apa yang dirasakan ini dinamakan cinta?

DURRAH HAMRA, gadis kampung yang merantau ke Kuala Lumpur hanya untuk memberikan kesenangan kepada kedua ibubapanya yang selama ini banyak bersusah payah demi membesarkan mereka 7 beradik. Sekaligus ingin mencari ketenangan selepas pertunangannya terputus akibat perbuatan orang ketiga.

Durrah bekerja di rumah majikan Mak Lang Piah sebagai pembantu rumah. Makin lama, Durrah semakin rapat dengan anak majikannya, Laily. Segala rahsia dan perasaan Durrah berada dalam genggaman Laily. Kehadiran seorang tetamu pada satu malam, membuatkan tidur Durrah tidak lena. Setiap hari Durrah terbayangkan wajah itu. Dan setiap lena Durrah, pasti wajah itu yang hadir. Senyuman, gelak ketawa dan lirikan matanya membuatkan Durrah gila bayang. Laily yang mula mengesyaki sesuatu tidak kena, bertanya kepada Durrah. Gadis itu cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya. Ketarakah diwajahnya? Adam, terima kasih kerana memberikan aku rasa cinta ini.

Satu rombongan meminang yang datang untuk memetik bunga di taman larangan, disambut baik oleh keluarga Durrah. Dan tanpa berfikir panjang, Durrah menerima peminangan tersebut. Puas sudah dihalang oleh Laily tetapi Durrah tidak mahu mengecewakan rombongan itu. Laily gelisah. Perlukah diberitahu rahsia sebenar mengenai Adam? Adam seringkali meminta bantuan Laily untuk berkata kepada Durrah bahawa perkahwinan itu harus dibatalkan. Kerana tidak bersedia, bukanlah alasan sebenar. Tetapi ada seorang gadis yang telah lama bertakhta dihatinya sejak dia menjejakkan kaki ke menara gading. Dan mereka mempunyai hubungan yang pasti tidak akan dapat diterima oleh keluarga Adam mahupun Durrah. Puas sudah Laily mencari jalan untuk menerangkan perkara sebenar, tetapi Durrah tetap berdegil.

Perkahwinan di antara Durrah dan Adam berlangsung dengan meriahnya. Tetapi lelaki itu sangat dingin dengan Durrah. Dia tidak tahu dimana silapnya sehingga Adam bersikap begitu dengan dia. Sedangkan sebelum ini, layanan lelaki itu amat baik sekali terhadap diri Durrah. Sehinggalah satu hari, Adam membuat keputusan untuk membawa Durrah keluar dari rumah kedua ibubapanya. Menurut Adam, dia sudah membeli sebuah rumah dan dia mahu Durrah tinggal bersama-samanya. Sukar digambarkan perasaan Durrah tika itu. Gembira? Ya, dia memang gembira kerana bakal menjalani kehidupan bersama lelaki yang dicintainya. Takut? Ya, sememangnya dia takut kerana tanggungjawab sebagai seorang isteri bukanlah satu perkara yang senang.

Sebaik sahaja Durrah menjejakkan kaki ke dalam rumah banglo yang tersergam indah itu, semakin banyak rahsia mengenai lelaki itu mula diketahui. Dulu, setiap malam tidur Durrah bermimpikan bahagia dan perkara-perkara yang indah belaka. Tetapi kini, setiap hari dan lenanya ditemani airmata.

Setahun sudah berlalu, hubungan Durrah dan Adam masih seperti dulu. Tiada apa-apa yang berlaku di antara mereka. Puas sudah Mak di kampung bertanya, bila rasa-rasanya mereka akan menimang cucu. Begitu juga dengan Mama Adam. Tetapi jawapan yang mereka terima tetap sama seperti setahun lalu. Tiada rezeki!

Pada satu hari sedang Durrah berehat-rehat di rumah, dia menerima satu perkhabaran buruk dari kampung. Hati Durrah hancur dan luluh. Segera dia pulang ke kampung. Durrah seperti orang hilang punca. Tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaannya tika itu. Diharapkan Adam akan mencarinya dikampung untuk memujuk hati Durrah yang lara.

Benarlah kata Laily, aku ini terburu-buru dalam mengejar cinta seorang lelaki bernama Adam Hariz. Benarlah kata Mak, berharap bahawa aku tidak tersilap membuat keputusan. Tetapi entah kenapa. Perasaan menyesal tidak pernah sekalipun timbul dalam hatinya.

Mereka meragui wujudnya cinta yang sejati
Tidak hati ini
Semenjak dari mula ku yakin ada cinta
Cintalah yang memungkinkan segala

Ku rela
Biar betapa pun perit tertusuk duri
Jalan berliku tiada bertepi
Ku percaya
Tidak sia-sia aku di uji
Demi cinta
Tersembunyi hikmah yang pasti



Durrah : Kasih Dura hanya pada Abang. Cinta Dura hanya untuk Abang. Hati Dura hanya ada Abang.

Adam : Maafkan Abang, Dura. Abang tak boleh bersikap adil terhadap Dura. Sebab di hati Abang hanya ada Kak Rin.

Zurin : Am, janji dengan Rin yang Am akan selama-lamanya menyayangi Rin. Demi Rin, Am belajarlah untuk mencintai Dura. Kerana dia lebih layak untuk cinta Am.


ps: Okay, u ollss.....Ini adalah sneak peek je. Nantikan cerita ni lepas Dan Sebenarnya. Rajin2 lah untuk mengkomen, ya?! Hehe.....

pps: Ini sebenarnya tgh boring. Walaopon kat opis de je keje, tapi de lagi tyme nk mengarang ni sume.....kehkehkeh.....

Selamat mengkomen, ya?! Daaaaaaaa for now........

Wednesday, November 11, 2009

BUKU D.K.L.K.L!

Salam semua,

Ada sesiapa nak order lagi buku D.K.L.K.L? kat saya adalah extra lagi 3........kalau ada sila berhubung dengan saya melalui phone, 019-2780402 ....tenkiu......

Friday, November 6, 2009

Dan Sebenarnya...45

BAB 45

3 TAHUN KEMUDIAN....

“ASSALAMUALAIKUM, Miss Hana.” Ucap salah seorang pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam kepada seorang pensyarahnya. Wanita yang disapa sebagai Miss Hana itu mengangguk dan tersenyum. Miss Hana berjalan menuju ke kafeteria. Berjalan masuk dan terlihat satu tempat kosong di hujung sudut kafe. Setiap kali melintasi para pelajar, dia selalu disapa. Salah seorang pensyarah yang perasan akan kehadiran Miss Hana itu tersenyum ke arahnya. Senyuman dibalas. Miss Hana meletakkan buku-buku tebal lagi berat itu ke atas meja dan dilabuhkan punggungnya ke atas kerusi. Seorang wanita mendekati Miss Hana.
“Zah, kau ni cuba-cubalah duduk. Risau aku tengok kau ni. Berjalan tak berhenti.” Ujar Miss Hana kepada sahabatnya, Izzah. Wanita mengandung itu hanya tersengih. Berjalan dengan perut memboyot. Dikepitnya suratkhabar di ketiak. Diletakkan beg laptop yang tergalas di bahu ke atas meja. Miss Hana menggeleng melihat kelakuan sahabatnya itu.
“Alah, kau ni Hana. Macam tak kenal aku. Aku ni mana boleh duduk diam.” Izzah berkata lagi. Miss Hana menggelengkan kepalanya. Seorang pensyarah yang dikenali mereka menuju ke arah mereka berdua. Ditangannya dijinjing beg laptop dan digendong buku-buku yang menjadi subjek pelajaran.
“Yan....” panggil Izzah. Yan atau nama sebenarnya Mazyan, menuju ke arah mereka berdua. Melabuhkan punggung di sebelah Miss Hana. Dahulu, Miss Hana selalu juga dipanggil dengan nama Yan sehingga Izzah keliru. Kalau dipanggilnya Yan, pasti Mazyan dan Miss Hana akan mengalihkan pandangan ke arah dia. Akhirnya, Miss Hana atau nama sebenarnya Dizyan Farhana dipanggil dengan nama Hana.
Izzah menarik kerusi dan melabuhkan punggung di sebelah Dizyan. Dicampak suratkhabar yang sedari tadi dikepit, ke atas meja. Terkejut mereka berdua. Memandang Izzah tidak berkelip. Mazyan menarik suratkhabar itu. Tajuk utamanya menarik perhatian dia. Mata Mazyan terbeliak. Tanda tidak percaya. Dizyan dan Izzah sibuk bersembang sesama sendiri. Izzah membetulkan sedikit duduknya. Kemudian, dia mengaduh kecil.
“Adui!” Izzah terjerit kecil.
Dizyan sudah risau. Risau juga jika Izzah akan melahirkan anaknya disitu juga. Izzah hanya menghitung hari untuk bersalin. Sudah berkali-kali Dizyan menasihatkan Izzah untuk bercuti lebih awal. Tetapi Izzah tidak mahu. Katanya, jika dia bercuti lebih awal dan duduk di rumah, pasti dia tidak tahu apa yang hendak dilakukannya. Mengemas rumah, pasti Umar, suami kepada Izzah, tidak membenarkannya. Kesemua kerja Umar tidak membenarkan Izzah buat. Apa lagi yang hendak dilakukannya jika dia bercuti lebih awal? Lebih baik dia pergi kerja. Ada juga masa untuk menghabiskan bab dan tajuk yang diajarnya.
“Kau tak apa-apa ke, Zah?” tanya Dizyan. Dipegang lengan Izzah apabila wanita itu sekali lagi ingin membetulkan duduknya. Izzah menggawangkan tangan. Tersenyum kecil.
“Aku tak apa-apa. Baby ni tendang perut aku je.” Izzah mengerutkan dahi sambil diusap perlahan perutnya yang memboyot itu. Dizyan tersenyum dan menggeleng. Tiba-tiba Izzah mengambil tangan Dizyan dan diletakkan di perutnya.
“Cuba kau rasa. Kau ada rasa pergerakkan tak?” tanya Izzah setelah lama Dizyan mengusap perutnya. Dizyan mengusap sambil tersenyum kecil. Fikirannya menerawang entah ke mana. Izzah memetik jari dihadapan muka Dizyan.
“Apa yang kau fikirkan tu?” ujar Izzah. Senyumannya melebar. Dizyan tersentak. Cepat-cepat menggeleng. Dilepaskan satu keluhan perlahan.
‘Kalau tidak terjadi kes aku jatuh bilik air, sudah pasti aku bahagia dengan zuriat Faizal,’ hati Dizyan merintih sendirian. Izzah memandang wajah sahabat yang tiba-tiba sahaja muram. Izzah menggenggam jemari Dizyan.
“Kau masih teringatkan ex-husband kau?” duga Izzah. Dengan pantas, Dizyan menggeleng. Dikuak rambutnya ke belakang. Bagaimana Izzah dapat tahu apa yang bermain difikirannya?
“WEI!!!” sedikit terjerit Mazyan. Izzah dan Dizyan sama-sama mengurut dada. Mencerlung mata mereka memandang Mazyan yang sudah menekup mulut. Para pelajar yang ada di sekeliling turut memandang ke arah mereka. Ada yang tersenyum ke arah mereka. Dizyan dan Izzah tersengih memandang sekeliling. Malu pula bila pensyarah mereka berkelakuan begitu.
“Wei!” kali ini suara Mazyan diperlahankan sedikit. Dia menundukkan sedikit wajahnya ke arah teman-teman yang masih menanti kata-kata yang akan keluar dari mulut Mazyan.
“Apa benda kau ni?” bengang pula Izzah dibuatnya.
“Betul ke mamat ni nak kahwin?” tanya Mazyan. Dizyan dan Izzah sama-sama mengerutkan dahi. Pelik melihat kelakuan Mazyan.
“Siapa?!” kali ini suara Izzah pula sedikit dikuatkan. Mazyan meletakkan jari telunjuknya ke mulut. Dizyan hanya menggeleng melihat gelagat mereka berdua.
“Inilah.” Mazyan meletakkan suratkhabar ke atas meja. Izzah menjenguk ke arah suratkhabar tersebut. Kemudian, mengangguk perlahan. Mata Dizyan masih tidak lepas dari tajuk utama berita tersebut. Bertambah-tambah kerutan di dahi. Mazyan menuju ke kaunter yang menjual makanan. Perut yang terasa lapar perlu diisi. Selepas ini, dia perlu menghadiri kelas petang. Dibelikan juga makanan untuk Izzah dan Dizyan.
‘ANAK VVIP AKAN BERKAHWIN HUJUNG TAHUN INI’ tajuk besar di dalam suratkhabar tersebut. Mata Dizyan masih tidak lepas dari memandang gambar-gambar yang terpampang di dada akhbar itu. Izzah pelik. Hanya memerhatikan gerak-geri Dizyan.
“Kau tak apa-apa?” Izzah bertanya walaupun dia tidak tahu apa yang sedang bermain di fikiran Dizyan ketika itu. Dizyan tidak menggeleng dan tidak juga mengangguk.
“Kenapa?” Izzah bertanya sekali lagi sambil membetulkan cermin mata yang melurut ke bawah hidung. Memerhatikan segenap inci wajah sahabat yang tiba-tiba sahaja muram.
“I’m fine.” Seketika kemudian Dizyan menjawab setelah lama mendiamkan diri. Tidak mahu Izzah terus tertanya-tanya.
“Sure?” tanya Izzah lagi. Masih tidak puas hati melihat wajah Dizyan yang mencuka.
Dizyan mengangguk perlahan. Dihadiahkan sebuah senyuman untuk mematikan perasaan curiga Izzah. Wanita itu mengangguk dan melepaskan nafas lega. Mazyan meletakkan dulang makanan di hadapan mereka bertiga. Dizyan menyangkutkan tas tangan ke bahu kiri. Beg laptop disangkutkan pula ke bahu kanan. Buku-bukunya digendong.
“Aku minta diri dululah. Aku nak balik rehat.” Ujar Dizyan seraya berdiri. Mata Mazyan dan Izzah terarah kepada Dizyan yang berdiri itu. Mereka tahu Dizyan tidak ada kelas petang pada hari itu.
“Kau tak nak join makan dulu?” tanya Mazyan. Dizyan menggeleng perlahan sambil tersenyum kecil. Dia berjalan meninggalkan dua sahabat yang terpinga-pinga. Melambai ke arah mereka berdua. Mazyan dan Izzah saling berpandangan.
“Kenapa dengan Hana tu?” tanya Mazyan. Izzah hanya menjungkitkan bahu tanda tidak tahu. Izzah mencapai kuih karipap yang ada di dalam pinggan Mazyan. Menyuapkan ke mulut. Dari tadi perutnya berbunyi terasa lapar, tetapi kaki malas mahu melangkah untuk membelinya. Dicapai tisu di sebelah Mazyan untuk mengelap mulut yang kotor. Mazyan hanya menggelengkan kepala melihat gelagat Izzah.
“Kau ni nak pergi beli, malas.” Tukas Mazyan. Izzah menjelirkan lidah. Mereka leka menjamu selera sambil bersembang sesama sendiri.


DIZYAN menunggu bas di luar kawasan UiTM. Niatnya ingin pulang. Tetapi terbantut. Hati perlu ditenangkan. Melihat kemesraan yang jelas terpancar melalui lensa kamera para wartawan, menyakitkan hatinya. Benarkah dia ingin berkahwin lain? Cepat sungguh Faizal melupakan dirinya. Satu lagi keluhan dilepaskan. Sepanjang Dizyan di perhentian bas itu, mulutnya tidak berhenti-henti mengeluh. Sampaikan para pelajar yang ada di sekelilingnya hanya memerhatikan Dizyan dengan kerutan di dahi. Bunyi hon kereta mengejutkan Dizyan yang sedang mengelamun. Mereka yang ada di sekeliling juga terkejut dengan bunyi hon yang nyaring itu. Dizyan mengangkat muka. Matanya terarah ke kereta yang berhenti dihadapan perhentian bas itu. Tersenyum. Pemandu kereta tersebut menurunkan cermin tingkap sebelah kiri.
“Berangan ke, cik kak?” usik pemandu tersebut. Dizyan tersenyum dan melangkah mendekati kereta itu. Dibuka pintu belakang dan diletakkan beg laptop serta buku-buku yang digendongnya sebentar tadi. Meminta tolong Yasmin membawa barangannya pulang.
“Hai, sayang.” Dizyan mengusik pipi gebu Natalia. Tergelak anak kecil itu apabila mak ciknya mengusik. Dizyan menggeletek perlahan. Natalia terkekeh.
“Takmolah, Che’ Chu.” Natalia bersuara. Cuba mengelak dari tangan Dizyan. Tidak habis-habis Dizyan mengusiknya.
“Kau nak kemana ni?” tanya Yasmin. Dizyan memandang ke arah Yasmin yang sudah bertudung. Sejak beranak satu dan bakal menambah satu lagi, Yasmin menyarungkan tudung ke kepala. Kata Yasmin, auratnya hanya untuk tontonan Izham sahaja.
“Aku ingat nak ke K.L. Saja jalan-jalan. Kau nak ikut?” tanya Dizyan. Yasmin berfikir sebentar. Kemudian, menggeleng.
“Tak naklah. Aku nak pergi ambil Abang Iz. Lepas tu, dia nak bawak aku pergi check up.” Ujar Yasmin. Dizyan mengangguk.
“Kau nak ke K.L tu jalan elok-elok. Pegang handbag tu kuat-kuat.” Pesan Yasmin berkali-kali. Dizyan mengangguk.
“Yelah, mak buyung. Kau pun bawak kereta elok-elok.” Giliran Dizyan pula berpesan. Yasmin tergelak kecil. Tiba-tiba telefon bimbit Yasmin berdering.
“Hello, Bang. Ye...ye...Yas dah on the way.” Ujar Yasmin. Dizyan masih giat mengusik Natalia. Selepas Yasmin mematikan talian, Dizyan mengalih pandang ke arah kakak iparnya.
“Okaylah, aku pergi dulu. ‘Tuan Hakim’ dah call.” Perli Yasmin. Dizyan menekup mulut menahan tawa. Yasmin memasang signal sebelah kanan. Apabila dilihatnya tiada kereta, keretanya terus dipecut. Sempat melambai ke arah Dizyan. Lambaian dibalas.
Dizyan kembali melabuhkan punggungnya ke atas kerusi di perhentian bas. Menunggu bas U80 RapidKL yang menuju ke Pasar Seni.


KU Zhety mencuba gaun pengantin yang ada di butik perkahwinan yang terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa milik seorang usahawan wanita itu. Berkali-kali ditayangkan badan yang bersarung gaun serba putih itu di cermin. Kemudian, dicebikkan bibir. Tanda tidak suka dengan gaun tersebut. Meminta salah seorang penolong di kedai butik itu menukarkan gaun itu dengan gaun yang lain. Satu keluhan keluar dari mulut penolong kedai butik tersebut. Ku Zhety menjeling tajam. Shabat yang menemani Ku Zhety juga turut menggelengkan kepala melihat tindakan wanita itu yang serba tidak kena sahaja. Dia menyelak majalah yang tersedia di atas meja kopi. Penolong kedai butik itu membawakan sehelai gaun yang lain berwarna kelabu. Ku Zhety mencapai pantas gaun tersebut dan masuk semula ke bilik persalinan. Seketika kemudian, dia keluar dengan gaun yang sudah tersarung di badan. Menayangkan badan dihadapan cermin. Beralih ke arah sahabat yang sedang leka meneliti majalah di tangan.
“Okay tak, Sherri?” tanya Ku Zhety. Wanita yang dikenali sebagai Sherri itu mengangkat muka memandang Ku Zhety yang berposing ala-ala model di pentas peragaan.
“Kau ni biar betul, Zhety. Confirm ke? Aku takut kau kena sembur je dengan Faizal.” tanya Sherri.
Ku Zhety mencebikkan bibir. Kembali menayangkan badan di hadapan cermin panjang yang ada di situ. Penolong kedai butik itu memandang ke arah Ku Zhety dengan perasaan letih. Letih kerana terpaksa melayani karenah Ku Zhety itu. Seketika kemudian, pemilik kedai butik itu datang. Disentuh bahu penolongnya. Beralih ke arah ketuanya. Pemilik kedai butik itu tersenyum dan segera penolongnya mengangguk. Beredar pergi dari situ.
“Syah, I’m glad you’re here. Your assisstant tu tak boleh harap. Entah apa-apa punya gaun yang dia bawa untuk I.” Ku Zhety berkata. Beralih pandang ke arah pemilik kedai butik itu, Syarifah Aisyah Najyha. Wanita itu tersenyum semanis mungkin. Ku Zhety pelanggan tetapnya. Mahu atau tidak, terpaksa juga dilayan.
“You maafkanlah Putri tu. Dia tak tahu apa yang you nak.” Ujar Aisyah. Ku Zhety masih memperaga gaun yang dipakainya itu dihadapan cermin.
“I tanya tentang you tadi. Tapi, kata dia you belum sampai.” Ku Zhety berkata lagi. Aisyah mengangguk perlahan. Membetulkan lace organza baju yang bergulung di belakang Ku Zhety itu.
“Biasalah, Zhety. Dah beranak dua ni, banyaklah kerja I. Mana nak uruskan anak-anak lagi. Tambahan pula, budak-budak lelaki. Yang si Adam suka nak mengusik Syauqi. Sampai menjerit-jerit Syauqi dibuatnya. Mana nak siapkan baju dan breakfast untuk husband I. Tu pun untung sikit, Hafiz nak tolong siapkan anak-anak. Kalau tak lagi kusut kepala ni.” Aisyah membetulkan tudung yang melitupi kepalanya. Ku Zhety mengangguk.
“Aku rasalah, Syah. Kalau Zhety ada kat tempat kau, mahu gila dibuatnya.” Sherri menyindir. Ku Zhety menjelirkan lidah.
“Betul jugak cakap Sherri tu. Kalau aku, memang tak sangguplah. Kau ni kira cekap jugaklah. Mana nak uruskan anak-anak, uruskan suami, nak uruskan kedai. Nak memasak lagi. Ish....kau ni memang isteri mithali.” Ku Zhety menukas. Aisyah tersenyum dan menggeleng.
“Dah tanggungjawab aku jadi isteri dan ibu. Kenalah buat semua tu.” Aisyah meningkah. Membetulkan kain gaun yang meleret panjang. Kemudian, Aisyah berdiri semula. Sebelah tangan disilangkan ke dada dan sebelah lagi melurut dagu.
“Aku rasa macam tak kenalah kau pakai gaun ni.” Ujar Aisyah. Melurut-lurut dagunya. Ku Zhety melihat gaun yang tersarung ke badannya itu. Apa yang tidak kena lagi?
“Kau tunggu kejap. Aku bawa gaun yang baru sampai semalam. Fresh lagi. Siapa pun belum pakai.” Aisyah berkata dan terus sahaja beredar. Ku Zhety melihat badannya sekali lagi. Cuba membayangkan hidupnya berkeluarga selepas berkahwin dengan Faizal. Mempunyai anak-anak yang perlu diuruskan seperti Aisyah. Ku Zhety memegang kepalanya. Terasa tidak sanggup memikirkan kemungkinan itu.
“Sher, do you think that I’m capable to be a good wife and a good mother?” tanya Ku Zhety. Sherri mengangkat muka. Wajah bosan yang ditunjukkan oleh Sherri.
“Kau rasa?” Sherri bertanya kembali. Ku Zhety menjungkitkan bahunya.
“You shouldn’t ask that question to me. You ask yourself whether you’re capable or not to be a good wife or a good mother. Tapi aku rasa mustahil. Sebab kau sendiri belum confirm kan perkara ni dengan Faizal kan?” Sherri bernada sinis. Ku Zhety melepaskan dengusan kasar. Menjeling tajam sahabatnya yang seorang itu.
“Kau ni tak habis-habis nak bangkitkan perkara tu, perkara tu, perkara tu. Aku tahulah. Nanti aku pergilah jumpa Faizal and explain everything to him.” Ku Zhety menyilangkan lengan ke dada. Bibirnya dicebikkan.
Aisyah menuju semula ke arah Ku Zhety dengan membawa gaun pengantin serba putih. Tercengang mulut Ku Zhety. Kecantikan gaun itu memikat hatinya. Gaun pengantin fesyen kemban itu menjadi pilihan ramai. Manik-manik yang bertaburan di baju itu menyerlahkan kecantikan si pemakai. Berlian yang bertaburan itu bertambah-tambah sinarnya apabila disimbahi cahaya. Dengan pantas, Ku Zhety mencapai gaun di tangan Aisyah. Berlari-lari anak masuk ke dalam bilik persalinan. Menukar sepantas yang mungkin. Kemudian, keluar semula. Menayangkan badan di hadapan cermin panjang.
“Okay tak?” tanya Ku Zhety kepada dua wanita dihadapannya itu. Aisyah tersenyum dan mengangguk. Sherri mengangguk bosan.
“Lebih baik kau confirm kan dulu perkara tu dengan Faizal. Aku takut hajat kau nak pakai gaun ni tak kesampaian.” Sekali lagi Sherri berkata perli. Ku Zhety menggumam perlahan. Selagi dia tidak berjumpa dengan Faizal untuk mengesahkan ‘perkara itu’, selagi itulah Sherri akan mengungkitkan perkara yang sama. Aisyah tergelak kecil melihat kelakuan dua manusia itu.

BERSAMBUNG....

Thursday, November 5, 2009

Majlis Harijadi!!!!

Salam u ollss.....

Hehe sesiapa yang dok area K.L or Shah Alam or kawasan yang sewaktu dengannya, boleh jemput2 datang ke rumah ku pada hari Sabtu ini, jam 2-6 petang untuk sambutan majlis harijadi....Bukan saya punya tau! Anak2 buah punya.....

Menu untuk hari itu:

Briyani Udang + Ayam masak merah + laksa kedah + bubur kacang hijau n durian + menu lain belum tahu lagik.......

hehe datanglah jika ada kesempatan dan kesudian.....

Alamat rumah lupa plak nk bagi ya....haiyo!

No.21, Jalan Gasing 11/1A, Seksyen 11, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Nombor saya: 019-2780402......

Thanx, mmmuuuaahhhh......

Tuesday, November 3, 2009

Buku D.K.L.K.L

Salam u ollss......

Buku D.K.L.K.L ada kat saya.....nak kata banyak, tak la berapa banyak tapi bolehlah (faham ke?!) Kalau nak order, berhubunglah dengan saya melalui nombor ini

019-2780402

Hehe thanx, keep on supporting me u guys!