BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, April 27, 2011

SEINDAH ALHAMBRA BAB 28

Salam semua geng-kipas-susah-mati,

Saya disini ingin memohon berjuta kemaafan kerana terpaksa memberhentikan kemasukkan entri Seindah Alhambra. Oleh kerana, manuskrip itu telah pun saya hantar ke publisher yang mahukan manuskrip itu iaitu, PTS Litera. Bersabarlah ye wahai semua, tidak pasti buku itu akan keluarnya bila. Tapi sebaik sahaja sudah dipasarkan, akan saya maklumkan melalui blog ini. Insya Allah, jika ada masa dan kelapangan, saya akan postkan special entry untuk cerita ini!

Terimalah entri 'TERAKHIR' dari Seindah Alhambra...

BAB 28


“WAALAIKUMUSSALAM...” jawab Durrah dalam kebingungan. Dipandang telefon yang berada di dalam genggaman. Apakah yang telah terjadi dalam hubungan perkahwinan Nizam dan Salina? Hatinya meronta mahu tahu. Adakah dia juga yang menjadi penyebab kepada keruntuhan rumahtangga bekas kekasihnya itu? Ahh...runsing! Durrah melabuhkan punggung di birai katil. Merenung ke hadapan dengan pandangan kosong. Diangkat wajah dan matanya tertancap pada sekujur tubuh Adam yang berada di balkoni. Lelaki itu bersandar di railing balkoni. Ke kiri dan ke kanan kepalanya melilau memandang ke seluruh pemandangan. Kerlipan neon menyimbahkan cahayanya di seluruh Seoul. Waktu malam lebih indah dari waktu siang yang sibuk dengan penduduk yang berpusu-pusu keluar untuk bekerja.
Durrah melepaskan keluhan perlahan. Wajah Nizam terlayar di ruang mata. Adam memusingkan badannya menghadap Durrah yang menekur pandangan ke lantai.
“Mak sihat?” soal Adam apabila dilihatnya Durrah seperti berangan.
Langsung tidak memberikan apa-apa respon. Adam berdehem. Terpinga-pinga Durrah mengangkat muka memandang wajah Adam.
“Apa yang Abang tanya?” Durrah bertanya. Persoalan Adam tidak menerjah masuk ke dalam mindanya.
“Mak sihat ke?” mendatar sahaja suara Adam bertanya sekali lagi.
“Aaa...Err...Mak...Mak sihat je.” Jawab Durrah tergagap.
Adam mengangguk perlahan. Melangkah masuk ke dalam bilik semula. Tidak tertahan dengan kedinginan angin yang berhembus kuat.
“Tidurlah. Esok banyak lagi tempat yang kita nak pergi.” Sela Adam.
Melabuhkan punggung di atas sofa yang terletak di hadapan peti televisyen. Hendak dipasang televisyen tersebut, sudah pasti menayangkan cerita-cerita Korea yang tidak difahami. Durrah yang duduk di birai katil memandang telus ke wajah Adam. Kasihan lelaki itu terpaksa tidur di atas sofa yang menyakitkan badan. Untuk apa dia mengekalkan egonya? Tidak sampai hati pula Durrah melihat Adam.
“Bang...tidurlah atas katil ni. Sakit badan Abang tu nanti.” Tutur Durrah lembut. Adam mengangkat kepala dan menggeleng.
“Tak apalah. Abang selesa kat sini.” Adam kembali merebahkan kepala ke atas sofa yang empuk itu.
Belum sempat Durrah menyambung kata, kelihatan mata Adam sudah tertutup. Durrah membaringkan diri di atas katil. Susah sangatkah untuk mendapatkan sekeping hati lelaki bernama Adam Hariz? Durrah mengiringkan badannya menghadap Adam. Wajah Adam yang lena itu membuatkan hati Durrah terpanggil untuk mendekati lelaki tersebut. Perlahan dia bangun dari katil itu dan terjengket melangkah ke arah Adam. Mencangkung dihadapan wajah Adam dan matanya meratah seluruh wajah yang sedang tidur bagaikan seorang bayi itu. Kulit Adam tidaklah terlalu cerah dan tidak juga terlalu gelap. Sedang elok sahaja. Hidungnya yang mancung, kening tebal dan juga sepasang mata yang amat mendamaikan. Tanpa dapat dikawal, jemari Durrah melurut kening Adam. Lelaki itu melakukan pergerakan kecil dengan memek wajahnya. Dapat merasakan bahawa seseorang sedang mengacau waktu tidurnya. Pantas Durrah menarik jemarinya kembali. Durrah mengukirkan senyuman kecil. Mata Durrah jatuh pada seulas bibir Adam yang seksi itu. Tidak terlalu tebal dan tidak juga terlalu nipis. Bibirnya tidak berwarna merah. Adam juga seorang perokok tetapi bukanlah seorang perokok tegar. Hanya merokok dikala hatinya inginkan ketenangan sahaja.
“Dura buat apa ni?” soal Adam. Terjaga apabila terasa tidurnya terganggu. Membuka mata dan kelihatan Durrah sedang tersenyum kecil.
“Aaaa....” sedikit terjerit Durrah dibuatnya. Terduduk di atas lantai apabila disergah sebegitu.
“Tak tidur lagi?” sekali lagi Adam menyoal. Menggaru Durrah mencari jawapan.
“Dura nak buat air. Dahaga. Dura ingat nak tanya Abang. Tapi tengok-tengok Abang dah tidur.” Ujar Durrah beralasan. Wajahnya gelabah. Adam membetulkan baringnya. Menggeleng perlahan.
“Tak payahlah.” Jawab Adam.
Durrah mengangguk. Dia terus bangun dan menuju ke katil. Membaringkan diri membelakangkan Adam. Tiba-tiba telinganya dapat menangkap pergerakan daripada Adam. Perlahan Durrah mengalihkan badannya. Sengaja memejamkan sedikit matanya. Adam bingkas bangun dari perbaringan dan menuju ke balkoni. Ditolak pintu tersebut. Melangkah keluar ke balkoni. Diseluk poketnya dan dikeluarkan telefon bimbit. Durrah hanya memerhatikan gerak-geri Adam itu. Kakinya perlahan melangkah turun dari katil dan mendekati balkoni. Berselindung di sebalik tirai. Perasaan ingin tahu membuak. Telinganya didekatkan dengan dinding.
“Rin macam mana hari ni?” Adam bertanya. Hati Durrah tersentap. Kepalanya terjenguk ke luar. Kelihatan Adam bersandar di railing balkoni.
“Am pun sayangkan Rin. Memang Am akan selalu sayangkan Rin.” Kata-kata yang seterusnya keluar dari mulut Adam, tidak dapat lagi Durrah menadah telinga untuk mendengar. Terluka. Terasa seperti perasaannya itu disiat-siat.


SELAMA 2 minggu Durrah dan Adam berada di sana. Adam terasa seperti bertahun lamanya terpaksa berhadapan dengan Durrah. Sebenarnya Adam tidak sampai hati jua melihatkan wajah Durrah. Ingin sahaja berterus-terang. Tetapi belum sampai masanya. Sebaik sahaja turun daripada kapal terbang, mereka dijemput oleh Amar yang kebetulan sahaja bercuti pada hari itu. Selepas menghantar Adam dan Durrah di rumah ibubapanya, Amar terus sahaja keluar kembali. Katanya, ingin berjumpa dengan sahabat. Adam terus mengambil kunci keretanya dari dalam almari kunci. Melangkah pantas menuju ke arah pintu utama. Durrah yang baru sahaja keluar dari dapur, memandang Adam dengan kerutan di dahi. Mengejar langkah Adam yang sudah melangkah keluar dari rumah tersebut.
“Abang nak ke mana tu?” tanya Durrah. Adam berpaling dan memainkan kunci di tangan. Perlahan mendekati semula Durrah yang berdiri tercegat di pintu utama.
“Abang nak keluar. Mungkin malam ni, Abang balik lambat. Dura tidurlah dulu.” Jelas Adam. Berpaling dan segera menuju ke kereta yang tersadai di dalam garaj. Durrah mengejar Adam yang berjalan pantas meninggalkannya.
“Abang....” panggil Durrah. Adam berpaling. Tanpa menunggu reaksi dari Adam, Durrah tunduk menyalami suaminya itu.
“Hati-hati.” Ucap Durrah.
Adam hanya merenung wajah Durrah. Hanya anggukan sahaja diberikan. Badan Adam menghilang di sebalik pintu keretanya yang tertutup. Selepas sahaja kereta Adam menderum pergi, Durrah melangkah masuk semula ke dalam. Tetapi langkahannya terhenti apabila Datin Aisyah tiba-tiba tercegat di muka pintu. Matanya meliar menjenguk ke luar.
“Ke mana Adam tu?” soal Datin Aisyah. Tergagap Durrah hendak menjawab soalan Datin Aisyah.
“Keluar kejap, Ma. Dura tak tahu ke mana pulak.” Datin Aisyah mengangguk. Berpaling semula masuk ke dalam. Durrah membuntuti ibu mertuanya itu.
“Seronok Dura berbulan madu?” Datin Aisyah bertanya sambil melabuhkan punggung di atas sofa yang terletak kemas di ruang tamu.
“Seronok, Ma. Dura pergi Namsan Tower, Banpo Bridge, Namdaemun Gate. Lepas tu, kami pergi Pulau Nami dan Pulau Jeju. Keindahan Korea macam yang kita tengok dalam t.v tu, Ma.” Durrah teruja berkata-kata. Matanya bersinar ceria. Datin Aisyah hanya tersenyum melihat gelagat menantunya itu.
“Adam ikut sekali?” Datin Aisyah menyerkap jarang.
Hendak melihat reaksi Durrah. Gadis itu teragak-agak hendak berkata. Perlu berhati-hati dalam katanya. Tidak mahu tersilap kata yang boleh menyebabkan rahsia mereka akan terbongkar. Durrah mengangguk perlahan.
“Dura ada beli cenderahati untuk Mama. Mama tunggu kejap, ya.” Durrah bingkas bangun dan menuju ke beg pakaian yang sudah diletakkan di dalam kamar tidur.
Seketika kemudian, Durrah turun semula dengan membawa 2-3 beg kertas. Melabuhkan punggung di atas permaidani. Membuka beg-beg kertas tersebut satu persatu. Mengeluarkan cenderahati yang dibelinya semasa berjalan-jalan di Pulau Nami. Dihulurkan sekotak cenderahati kepada Datin Aisyah.
“Nah, Ma. Harap-harap Mama suka.” Huluran itu bersambut.
Perlahan-lahan Datin Aisyah merungkaikan ikatan reben yang mengikat kotak tersebut. Terbeliak mata Datin Aisyah melihat isi di dalamnya. Tersenyum sahaja melihat isi kandungan kotak itu. Sekotak Najeon Lacquerware. Kotak kecil yang tersimpan sebutir mutiara indah.
“Mama suka sangat, Dura. Terima kasih.” Ucap Datin Aisyah seikhlasnya. Terus memeluk menantu yang melabuhkan punggung di hadapan kakinya.
“Ini untuk Ayah, Amar, Nat dan Aida.” Durrah sudah mengasingkan beg-beg kertas yang ingin diberi kepada ayah mertua serta adik-adik iparnya.
“Mama nak makan apa-apa ke? Dura boleh masakkan.” Ujar Durrah dan bersedia untuk bangun dari duduknya.
“Tak apalah. Dura pergilah naik rehat dulu. Mesti penat pun tak hilang lagi kan?” Datin Aisyah sudah berdiri. Memegang bahu Durrah. Gadis itu hanya mengangguk dan segera melangkah menuju ke anak tangga. Bersedia untuk memanjatnya.



KERETA BMW 7 series tersadai di garaj. Seseorang melangkah turun dari kereta mewah tersebut. Membawa sebuah beg kertas digenggamannya. Pintu utama rumah banglo 2 tingkat itu terkuak luas. Kelihaan seorang wanita berdiri di muka pintu dengan senyuman meleret. Terus Adam menuju ke arah Zurin dan memeluk gadis itu tanpa menunggu sesaat lagi. Zurin melonggarkan sedikit pelukan erat tersebut. Menarik tangan Adam untuk masuk ke dalam rumah. Segan untuk berpelukan dihadapan rumah walaupun mereka telah sah menjadi suami isteri. Nanti apa pula kata jiran-jiran sekeliling. Adam membuntutinya dan sebaik sahaja pintu utama tertutup, Adam memeluk pinggang Zurin dari belakang. Menyangkutkan dagunya di atas bahu Zurin. Wanita itu tergelak kecil. Mengusap wajah Adam.
“Rindu ke?” Zurin pura-pura menyoal sedangkan dia sudah pasti akan jawapannya. Terasa hembusan nafas Adam di leher.
“Mestilah rindu.” Bertambah erat pelukan di pinggang Zurin. Lama mereka berkeadaan begitu.
“Bila dia nak pindah sini?” soalan Zurin yang secara tiba-tiba itu membuatkan Adam tersentak.
Perlahan-lahan melonggarkan pelukan. Memegang bahu Adam dan memusingkannya. Wajah Zurin tidak nampak sugul. Hanya senyuman sahaja yang menghiasi bibirnya.
“Kenapa mesti Rin rosakkan saat macam ni dengan soalan tu?” Adam bertanya lembut. Meneliti seluruh wajah Zurin dengan penuh rasa cinta. Keluhan dilepaskan.
“Supaya senang Rin sediakan bilik untuk dia.” Zurin berkata. Lebih kepada menyedapkan hatinya sendiri. Sebenarnya untuk persediaan buat dia dari segi mental dan fizikal.
“Hujung bulan ni.” Jawab Adam ringkas. Bergerak menuju ke arah sofa dan melabuhkan punggungnya. Zurin menggigit bibir. Tersalah katakah dia sehinggakan Adam seperti terasa hati? Zurin melabuhkan punggung di sebelah Adam.
“Am terasa ke?” Zurin meletakkan tangan di atas peha Adam. Lelaki itu berpaling ke sebelah. Menggeleng perlahan lalu tersenyum kecil.
“Rin tak kisah dia pindah masuk sini?” Adam bertanya setelah lama mereka mendiamkan diri.
“Rin tak kisah. Dia kan isteri Am jugak. Am tu...” ayat Zurin tergantung. Memandang Adam dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Adam mengerutkan dahi. Tidak memahami kata-kata Zurin.
“Apa maksud Rin?” Adam bertanya pula.
“Am tu kena bersikap adil. Jangan sampai dia terasa tidak diperlukan dan tersisih sebagai isteri kedua. Apapun, dia tetap isteri Am jugak.” Pesan Zurin. Mengusap wajah Adam dengan penuh kasih sayang.
“Am akan cuba.” Jawab Adam ringkas. Kembali membalas usapan Zurin itu.
Adam mencapai alat kawalan jauh lalu menekan punat merah. Televisyen menyala dan menayangkan siaran yang ingin ditontonnya. Mata Zurin meliar ke sebelah Adam. Ingin melihat isi di dalam beg kertas yang dibawa bersamanya itu. Tontonan Adam diganggu oleh kepala Zurin yang terjenguk-jenguk ke arah beg kertas tersebut. Memandang pelik ke sebelah. Kemudian, matanya jatuh pula pada beg kertas yang diletakkan di sebelahnya. Tersenyum dan menghulurkan beg kertas itu kepada Zurin. Terpinga Zurin menyambut huluran tersebut.
“Bukalah.” Pinta Adam.
Zurin membuka beg kertas kecil itu. Terdapat sebuah kotak kecil di dalamnya. Perlahan-lahan dibuka kotak kecil tersebut. Tergamam Zurin melihat sebuah rantai leher platinum. Loketnya berbentuk bintang yang bertaburan seperti di angkasa. Bibirnya mengukirkan senyuman. Mengangkat wajah dan memandang Adam yang hanya memberikan sebuah senyuma kepadanya.
“Suka?” soal Adam. Zurin tidak dapat berkata apa-apa. Anggukkan sahaja yang diterima sebagai jawapan. Terus memeluk leher Adam.
“Terima kasih, Am. Rin suka sangat.” Ujar Zurin teruja untuk mencuba rantai leher tersebut.
Diserahkan rantai leher itu kepada Adam dan tanpa menunggu masa lagi, Adam terus menyarungkan rantai tersebut ke leher Zurin. Adam mengalihkan badan Zurin untuk menghadapnya. Berkilauan berlian yang tersusun elok di rantai itu.
“Nampak cantik.” Ujar Adam ringkas.
Sejak pertama kali terpandangkan rantai tersebut di kedai barangan kemas, langkahan kaki Adam tidak jadi untuk meneruskan langkah. Sebaliknya terus melangkah masuk ke dalam kedai barangan kemas itu. Dia tahu rantai itu pasti sesuai dengan Zurin. Wanita itu melentokkan kepalanya ke bahu Adam.
“Thanks, Am. Thanks for everything.” Adam mencium kepala Zurin. Kembali menonton siaran yang ditayangkan di peti televisyen yang terpasang.

BERSAMBUNG...(nantikan novel Seindah Alhambra untuk mengetahui pengakhiran kisah penderitaan cinta tiga segi ini)

0 tukang komen paling setia: