BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, January 23, 2011

SEINDAH ALHAMBRA BAB 25

BAB 25

SEMALAM, Adam dan Durrah tidur di hotel yang telah ditempah oleh Datuk Hafiz. Puas Adam menolak cadangan Datuk Hafiz. Tetapi Datin Aisyah beria-ia mahu mereka ‘berbulan madu’ sehari lebih awal di hotel itu. Sejak pagi lagi, Durrah sudah berpindah bilik apabila diminta oleh mak andam yang akan bertugas merias wajah Durrah. Adam berdiri menghadap tingkap kaca. Matanya terasa seakan-akan menembusi tingkap kaca tersebut. Fikiran Adam kosong. Tidak dapat memikirkan apa-apa kecuali Zurin. Fikiran Adam terlayang mengingati peristiwa semalam. Terasa bersalah kerana melakukan Durrah sebegitu tetapi sudah ditetapkan hatinya tidak mahu terlalu menyayangi gadis itu.
“Cantiknya bilik ni, Bang. Ini pertama kali Dura duduk bilik secantik macam ni.” Ujar Durrah, teruja apabila pertama kali dapat menetap di hotel bertaraf lima bintang walaupun hanya untuk semalam.
Adam hanya diam membisu. Diletakkan beg pakaian ke atas katil. Durrah berpaling memandang ke arah Adam. Lelaki itu tidak berkata sepatah perkataan pun. Sebaliknya dia membaringkan diri dan memejamkan mata. Lengan kiri diangkat, diletakkan di atas dahi. Durrah menggigit bibir. Hanya kelakuan Adam sahaja cukup membuatkan Durrah terasa hati. Perlahan Durrah berjalan mendekati katil. Dilabuhkan punggung ke atas katil. Katil itu bergerak-gerak perlahan. Adam dapat merasakan Durrah cuba untuk mendekatinya. Segera dia beralih ke tepi dan mengiringkan badan. Memeluk tubuh. Adam masih memejamkan mata.
“Abang...” panggil Durrah. Langsung tiada sahutan daripada Adam.
“Abang....” sekali lagi Durrah memanggil. Disentuh bahu Adam lembut. Dengan pantas, Adam mengelak. Tidak suka dengan sentuhan itu.
“Abang...Dura tahu yang Abang tak suka dengan perkahwinan ni. Dura tahu yang Abang bantah dengan cadangan Mama untuk satukan kita. Tapi, satu je Dura minta dengan Abang. Sungguh pun Abang tak suka dengan Dura, sekurang-kurangnya kita berlakonlah depan Mama dan Ayah. Tolong ya, Bang.” Bersungguh Durrah meminta pertolongan daripada Adam untuk bekerjasama dalam perkahwinan yang hanya di atas kertas sahaja. Tidak sampai hati rasanya mengecilkan hati kedua orang tua mereka.
“Abang berehatlah, ya. Dura nak keluar ambil angin kejap.” Durrah menyambung kata. Bingkas bangun dari katil dan menuju ke pintu bilik. Memandang sekilas ke arah Adam yang masih memejamkan mata. Nyenyak sekali tidurnya.
Sebaik sahaja pintu bilik tertutup, Adam membuka matanya. Terkebil-kebil memandang pintu bilik tersebut. Dia bangun dari perbaringannya. Meraup rambut yang jatuh berjuraian di dahi ke belakang. Rasa bersalah pula kerana bersikap dingin terhadap Durrah yang sedaya upaya cuba mengambil hatinya.
Tersentak Adam dari lamunan apabila terdengar ketukan perlahan di pintu bilik hotel itu. Dia beralih memandang pintu sebelum berjalan menuju ke pintu. Dibuka pintu tersebut lalu terjengul wajah Amar dengan senyuman lebar.
“Tak siap lagi, Long?” Amar mengerutkan dahi.
Memandang Adam dari atas hingga ke bawah. Adam hanya menyarungkan seluar slack hitam dan juga baju singlet tanpa lengan juga berwarna hitam. Mata Amar terkalih ke arah katil. Baju kemeja serta kot hitam tersidai di birai katil. Adam berpaling dan menuju semula ke arah katil.
“Along tak apa-apa ke?” soal Amar apabila terlihatkan wajah Adam yang mencuka itu. Adam menggeleng perlahan.
“Along tak apa-apa. Cuma....” ayat Adam tergantung apabila percakapannya disampuk oleh Amar.
“Nervous?” duga Amar. Adam hanya menghadiahkan sebuah senyuman yang penuh makna. Amar tergelak kecil. Dia menepuk bahu abangnya itu dengan kuat.
“Relax, chill. Along dah menghadap tok kadi hari tu. Ni setakat reception je.” Amar cuba menyedapkan hati Adam. Sedangkan dia tidak tahu apa yang bermain di fikiran Adam. Satu keluhan perlahan dilepaskan. Amar menolong Adam bersiap.
“Okay. Dah siap.” Ujar Amar.
Dibetulkan tali leher kupu-kupu yang terikat kemas di leher Adam. Telefon bimbit Amar berbunyi nyaring. Dijawab panggil tersebut. Adam memandang sekilas ke arah Amar. Hanya anggukan dan sahutan ringkas sahaja yang kedengaran semasa Amar berbual bersama si pemanggil.
“Jom, Long. Dia orang semua dah turun ke bawah.” Amar memegang bahu Adam. Lambat-lambat lelaki itu menyarungkan kasut. Membuntuti Amar keluar dari bilik itu. Kakinya terasa berat ingin melangkah.
Bunyi nyaring yang dihasilkan daripada bagpipe mengundang kesemua mata-mata tetamu hadirin menjamah seluruh tubuh pasangan pengantin yang baru sahaja diarak masuk selepas selesai membaca doa. Pemain-pemain bagpipe tersebut dijemput daripada Victoria Institution. Durrah terasa seperti seorang puteri yang baru turun dari kayangan dan berkahwin dengan si putera idaman. Tidak pernah dia rasa seistimewa begini. Ligat kepala Adam ke kiri dan ke kanan. Memandang tetamu hadirin sambil memberikan senyuman yang dirasakan amat hambar. Tiba-tiba matanya tertancap pada sekujur tubuh yang sedang membalas senyumannya.
“Zurin?” Adam berkata separuh berbisik.
Mata Adam membeliak dan dahi berkerut. Langkahan kaki Adam juga perlahan. Durrah turut memperlahankan gerakan kakinya. Memandang sekilas ke arah Adam yang seperti orang kebingungan. Dipandang pula ke arah mata Adam memandang. Bertambah kerutan di dahi Durrah. Siapakah wanita itu? Kenapa badan Adam terkaku begini? Hati Durrah tertanya-tanya. Erat Durrah memegang lengan Adam dan menarik sedikit lengannya untuk menyedarkan Adam dari lamunan. Dipandang Durrah dengan tiada perasaan. Mata Durrah memberi isyarat ke arah pelamin yang sudah terhias indah. Perlahan sahaja langkah kaki Adam membuntuti Durrah. Tiada lagi senyuman yang terukir di bibir Adam. Sebaliknya perasaan sebal.
Adam dan Durrah sama cantik sama padan, melabuhkan punggung di singgahsana. Acara merenjis dilakukan. Dimulai dengan keluarga Adam dan diikuti oleh keluarga Durrah. Mata Adam masih tidak lepas memandang sekujur tubuh Zurin yang hanya membalas pandangan dengan sayu. Adam terasa seperti ingin berlari turun dari singgahsana nan indah itu dan terus memeluk Zurin. Tetapi dia masih berfikiran waras. Tidak mahu memalukan Durrah dan juga seluruh ahli keluarganya yang gembira melihat perkahwinan itu berlangsung. Zurin bingkas bangun dan meminta diri daripada tetamu yang duduk semeja dengannya. Mata Adam mengekori gerak-geri Zurin. Kelihatan wanita itu bergerak meninggalkan majlis yang masih berlangsung dengan meriahnya. Dari bahasa tubuh yang ditunjukkan oleh Zurin, Adam tahu wanita itu bersedih dengan apa yang sedang disaksikannya. Memandang sekilas ke arah Durrah di sebelah. Pandangan itu dibalas oleh Durrah. Sebuah senyuman manis diberikan tetapi Adam langsung tidak terasa mahu membalas senyuman tersebut. Kembali menala pandang dihadapan.



SEBAIK sahaja majlis resepsi tamat dan kebanyakan tetamu sudah pulang, Adam turut membawa Durrah pulang menaiki keretanya. Di dalam kereta, keheningan suasana sahaja yang mengiringi kepulangan mereka. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulut Adam. Hanya alunan radio yang membingitkan suasana. Sesekali Durrah menoleh ke arah Adam yang menumpukan sepenuh perhatian ke pemanduannya. Digigit bibir. Kembali melemparkan pandangan ke luar. Jalan sudah semakin sunyi. Sekilas Durrah melihat jam di dalam kereta tersebut. Hampir jam 1 pagi. Mereka terpaksa pulang lewat kerana leka melayani saudara-mara yang masih belum pulang. Adam melihat Durrah melalui ekor matanya. Ada perhitungan yang perlu diselesaikan dengan gadis ini. Adam mendehem perlahan. Ingin memulakan bicara tetapi rasa tersangkut di celah kerongkong. Perlukah dia menyatakan syarat-syarat menjadi isterinya? Perlukah perjanjian dilakukan? Ini semua perlu. Demi kebaikan Adam, Zurin dan Durrah. Belum sempat Adam membuka mulut, Durrah terlebih dahulu berkata-kata.
“Abang kata hari tu, Abang ada benda yang nak dibincangkan dengan Dura? Apa dia, Bang?” soal Durrah. Terkelip-kelip matanya memandang wajah Adam.
“Bincang?” Adam menyoal, bingung. Durrah mengangguk.
“Masa yang Abang sepatutnya balik malam tu, tapi Abang kata Abang sibuk. Masa tu Abang kata nak bincang sesuatu dengan Dura.” Durrah menyambung kata.
Terangguk-angguk kepala Adam mengingati perkara yang ingin dibincangkan bersama Durrah. Walaupun Durrah sudah tahu akan perkara tersebut, dia masih inginkan kepastian daripada Adam.
“Abang nak ajak Dura pindah hujung bulan ni.” Ujar Adam. Wajah Durrah sedikit teruja mendengar kata-kata yang ingin didengarinya sendiri daripada mulut Adam.
“Pindah? Pindah ke mana?” sekali lagi Durrah menyoal. Wajahnya semakin berseri-seri.
“Ke rumah Abang.” Jawab Adam ringkas. Gadis itu mengangguk dan tersenyum lebar. Tidak sabar rasanya hendak memulakan hidup baru bersama Adam.
“Tapi ada syarat-syaratnya bila kita pindah.” Adam menyambung kata. Pantas kepala Durrah tertoleh ke sebelah. Adam masih tenang memandu.
“Apa dia?” soal Durrah tidak sabar. Senyumannya semakin melebar.
“Kita akan tidur bilik masing-masing.” Adam menjawab persoalan itu. Dahi Durrah berkerut. Memandang wajah Adam dengan tanda tanya.
“Maksud Abang...Dura akan tidur bilik tetamu dan Abang akan tidur bilik utama. Abang tak nak Dura masuk campur urusan Abang. Sebab Abang pun takkan masuk campur urusan Dura. Kita buat hal masing-masing. Lagi satu, jangan beritahu hal ni pada Mama atau pada sesiapa pun. Abang tak nak hal ni kecoh.” Barulah Durrah mengerti akan kata-kata Adam itu. Terguris hatinya mendengar syarat yang dikenakan oleh Adam.
“Tapi kenapa, Bang? Abang memang tak sukakan Dura?” akhirnya terluah juga persoalan yang selama ini berlegar dalam fikirannya. Bertambah robek hati Durrah apabila melihat gelengan perlahan dari Adam.
“Abang hanya sayangkan Dura sebagai seorang adik. Tak lebih dari tu. Dura mahukan perkahwinan ni, Dura kena terima syarat Abang.” Adam berkata, tegas.
Durrah menahan airmata dari tumpah. Bersabarlah, wahai hati. Durrah memberi semangat kepada dirinya sendiri.
“Lepas kita balik dari berbulan madu, Dura terus pindah ke rumah Abang.” Selepas sahaja Adam selesai berkata, kereta yang dipandunya tiba dihadapan rumah banglo Datuk Hafiz.
Kelihatan Amar dan Natrah sibuk bersembang sesama mereka di halaman rumah. Kemudian, Aida turut menyertai mereka berdua. Pintu pagar automatik terbuka perlahan. Kereta Adam menyusur masuk ke dalam rumah.
“Ingat! Jangan bocorkan rahsia ni pada sesiapa pun.” Adam berkata tegas.
Mereka sama-sama melangkah keluar dari kereta. Kaki Durrah pantas melangkah menuju ke pintu utama. Melintasi halaman rumah. Dia perlu segera masuk ke dalam. Tidak sanggup berhadapan dengan adik-adik iparnya dan melakukan satu pembohongan. Durrah berhenti melangkah apabila namanya dipanggil.
“Kak, sinilah. Kenapa cepat sangat nak tidur?” Natrah memanggil. Durrah berpaling dan menghadiahkan sebuah senyuman pura-pura. Belum pernah Durrah berasa tidak selesa seperti itu.
“Biarlah dia nak masuk tidur. Penat pun tak habis lagi. Akak masuklah dulu. Tak usah layan budak sewel ni.” Amar menunjal kepala Natrah. Durrah hanya tersenyum kecil melihat kemesraan mereka adik-beradik.
“Pergilah masuk, Dura.” Adam berkata seperti memberikan arahan.
Durrah mengangguk perlahan. Tanpa berkata apa-apa lagi, Durrah terus melangkah masuk ke dalam rumah. Laju sahaja menuju ke tingkat atas. Ingin segera membersihkan diri.



USAI membersihkan diri, Durrah keluar dari bilik air dengan berpakaian lengkap. Matanya tertancap pada sekujur tubuh yang melabuhkan punggung di atas katil. Adam menyedari kehadiran Durrah di dalam bilik tersebut. Dia bingkas bangun dan terus mencapai tuala yang tersangkut di penyidai baju. Melangkah masuk ke dalam bilik air tanpa berkata sepatah perkataan pun pada gadis itu. Durrah membaringkan diri dan cuba memejamkan mata. Tetapi serasanya tidak boleh. Dikalihkan badan ke kiri dan ke kanan. Masih belum terasa mengantuknya. Dia mengiringkan badannya ke kanan. Menghala pandangan ke pintu kaca yang memisahkan bilik dan balkoni. Durrah segera memejamkan mata apabila terdengar pintu bilik air terkuak bunyinya. Nafas Durrah turun naik. Menahan getaran di dada. Biar apa sekalipun yang diucapkan oleh Adam, jika Adam meminta dia untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri, Durrah tidak boleh menolak. Adam berhak terhadap diri dia. Mereka sudah sah dinikahkan. Sudah sah menjadi suami isteri. Dan tugas sebagai seorang isteri adalah melayan kehendak suami. Tetapi setelah sejam menunggu, tiada tindakan seterusnya daripada Adam. Mata Durrah juga sudah penat terpejam. Perlahan-lahan dibuka kelopak matanya dan memerhati keadaan sekeliling melalui mata yang dibuka kecil. Memandang ke sebelah. Langsung tidak kelihatan Adam di mana-mana. Tergerak hati Durrah untuk memandang ke bawah. Sebak menguasai diri. Adam merengkot kesejukan. Dia tidur di atas lantai hanya berlapikkan gebar tebal dan sebiji bantal sahaja. Tiada selimut yang menyelimuti diri. Perlahan Durrah turun dari katil lalu menarik selimut tebal miliknya. Dihamparkan selimut untuk menyelimuti seluruh badan Adam. Durrah berdiri dan mencapai alat kawalan jauh yang mengawal kedinginan penghawa dingin. Dinaikkan sedikit suhu penghawa dingin bagi mengurangkan kesejukan. Berjalan semula ke arah katil dan dilabuhkan punggung di birai katil. Menghadap Adam yang membelakanginya. Airmata Durrah tumpah tanpa dapat ditahan. Sedih melihat kelakuan Adam yang seolah-olah ingin menjauhi diri darinya.

‘Ya Allah, tabahkanlah hati hambaMu ini untuk menghadapi ujian di hari yang mendatang. Kuatkan semangatku supaya dapat aku berjuang untuk mendapatkan cinta lelaki dihadapan ku ini. Dan juga cintaMu yang teragung,’ Durrah berdoa di dalam hati.

BERSAMBUNG.....

3 tukang komen paling setia:

hana_aniz said...

penatnye tggu lama2... =(

Anonymous said...

semoga Durrah bakal ketemu cinta yang sejati..kesabaran tuh akn terbayar jugak nanti...tapi bukan dengan adam of coz....jantan bacul macam tuh mane layak utk dpt cinta sejati....dah kawin pon sorokkan isteri....isteri yg baru dikahwini pulak layan camtuh....memang dayus!

Anonymous said...

cepat ar sambung....dh lame tunggu ni....