BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, January 1, 2011

SEINDAH ALHAMBRA BAB 24

BAB 24

KERETA Datin Aisyah menyusur masuk ke dalam garaj rumah perlahan-lahan. Durrah membuka pintu untuk ibu mertuanya itu. Tersenyum sahaja kepada wanita elegan tersebut. Berjalan menuju ke arah Datin Aisyah lalu tunduk menyalaminya. Menolong Datin Aisyah mengeluarkan barang-barang yang dibawa balik dari butik.
“Baru sampai, Dura?” soal Datin Aisyah. Memandang ke sekeliling. Cuba mencari bayangan kereta Adam tetapi langsung tidak kelihatan.
“Ya, Ma.” Jawab Durrah ringkas.
Durrah membuntuti Datin Aisyah masuk ke dalam rumah. Beg yang dijinjing diletakkan dalam bilik stor seperti yang dipinta oleh Datin Aisyah. Durrah berjalan semula ke arah ibu mertuanya yang sedang duduk berehat di sofa. Melepaskan lelah setelah seharian berkejar ke sana sini untuk memenuhi permintaan pelanggan yang melanggan di butik pengantin milik wanita itu.
“Adam belum balik lagi?” sengaja Datin Aisyah menyoal. Ingin memastikan kehadiran anaknya itu.
“Belum lagi, Ma.” Hanya jawapan ringkas sahaja yang diterima daripada Durrah.
“Eh, Ma…awal balik?” Natrah menyoal sambil kakinya laju menuruni anak tangga. Datin Aisyah beralih ke arah Natrah dan Aida yang membuntutinya dari belakang. Mereka sama-sama melabuhkan punggung di sebelah Datin Aisyah.
“Ma, Dura naik dulu, ya. Nak solat Maghrib.” Ujar Durrah meminta diri.
“Yalah. Mama pun nak naik Maghrib jugak ni.” Datin Aisyah berkata sambil bingkas berdiri. Sebelum sempat Datin Aisyah melangkah pergi dari ruang tamu tersebut, dia berpaling ke arah dua orang anak gadisnya.
“Kamu ni dah Maghrib belum?” soal Datin Aisyah, tegas. Natrah mengangguk manakala Aida hanya tersengih.
“Cutilah, Ma.” Jawab Aida. Datin Aisyah mengangguk perlahan sebelum berlalu pergi. Mendaki anak tangga menuju ke biliknya.
Semasa di dalam bilik, Durrah mencapai telefon bimbit yang diletakkan di meja sisi katil. Mula mendail satu persatu nombor telefon Adam. Ada nada deringan tetapi panggilan itu tidak berjawab. Durrah sudah mula gelisah. Adam berjanji dengannya untuk pulang malam ini dan ada perkara yang ingin dibincangkan. Sekali lagi Durrah cuba menelefon telefon bimbit Adam. Masih seperti tadi. Tidak senang duduknya. Sekejap berdiri dan sekejap duduk. Tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan ada khidmat pesanan ringkas. Ditekan punat view untuk membacanya.

Abang tak balik malam ni. Sibuk!

Durrah mendail sekali lagi telefon Adam. Dicuba untuk kali ketiga. Tetapi kali ini, telefon tersebut sudah dimatikan taliannya. Durrah melepaskan keluhan. Kenapa Adam berkata ingin berjumpa dengan dia malam ini dan apakah perkara yang ingin dibincangkannya itu? Dipandang sekilas ke arah jam loceng yang terletak di meja sisi. Hampir jam 8 malam. Segera Durrah melangkah masuk ke dalam bilik air. Dia belum bersolat Maghrib lagi. Usai berwuduk, dihamparkan sejadah mengikut arah kiblat. Pantas menyarung telekung yang disangkutkan di birai katil. Khusyuk sekali Durrah bersolat. Diberi salam selepas tahiyyat akhir. Menadah tangan separas dada. Meminta doa dan memohon petunjuk daripada Yang Maha Esa.
“Ya Allah, Ya Tuhanku. Aku memohon kepada Mu, ampunkanlah kedua ibubapaku, kedua ibubapa mentuaku, ahli keluargaku, ahli keluarga suami ku dan juga suamiku. Berilah aku kekuatan untuk mengharungi dugaan-Mu, Ya Allah. Bukakanlah pintu hati suamiku untuk menerima diriku seadanya. Limpahkanlah dengan kasih sayang yang cukup dalam dirinya untukku. Kekalkan hubungan kami sebagai suami isteri dan biarlah rumahtangga kami berkekalan sehingga akhir hayat. Amin..Amin, Ya Rabbal Alamin.” Disapu kedua belah tapak tangannya ke muka.
Durrah berdiri dan melipat telekung serta sejadah. Disangkutkan semula ke birai katil. Pintu kamar itu diketuk. Lambat-lambat Durrah melangkah ke arah pintu tersebut lalu memulas tombol pintu. Terjengul wajah Aida.
“Kak…Mama panggil turun makan.” Aida menyampaikan apa yang diminta oleh Datin Aisyah.
Durrah mengangguk dan tersenyum sahaja. Membuntuti Aida yang menuju ke tingkat bawah. Kelihatan Natrah menolong Datin Aisyah mengemas meja dan hidangan makan malam. Terkejut Durrah melihat Datin Aisyah melakukan kesemua kerja tersebut. Cadang Durrah ingin mengemas meja makan selepas bersolat Maghrib.
“Mama…tak apa biar Dura yang buat.” Durrah mencapai mangkuk yang ingin digunakan untuk kuah asam pedas. Mangkuk tersebut dicapai pula oleh Natrah.
“Tak apa, Kak. Biar Nat dan Mama yang buat. Akak pergi duduk depan.” Arah Natrah. Durrah memandang wajah Datin Aisyah dan Natrah bersilih ganti. Datin Aisyah hanya tersenyum dan mengangguk.
“Ish…seganlah Dura. Dura dah biasa buat kerja.” Durrah meluahkan rasa kurang senangnya. Datin Aisyah berpaling sekilas ke arah Durrah yang berdiri tercegat di muka pintu dapur.
“It’s okay, Dura. Kali ni, Dura rehat pulak ye. Lagipun Dura dah masak. Biar Mama dan Nat yang hidang makanan.” Datin Aisyah berkata. Akhirnya, satu keluhan dilepaskan dari mulut Durrah. Dilabuhkan punggung di kerusi meja makan sederhana kecil yang sengaja diletakkan dapur tersebut.
“Hah…sebelum Mama terlupa. Bila Dura nak sambung belajar balik?” Datin Aisyah bertanya. Berkerut dahi Durrah memikirkannya.
“Dura dah hantar borang permohonan minggu lepas. Tarikh tutup permohonan Jumaat depan. Mungkin dalam hujung bulan atau awal bulan depan, Dura dapatlah jawapan.” Tukas Durrah apabila teringat borang permohonan yang dihantar seminggu sebelum hari pernikahannya dengan Adam.
Dilihatnya Datin Aisyah terangguk-angguk mendengar penjelasannya. 2 bulan sebelum Durrah dan Adam bernikah, Datin Aisyah telah memberitahu cadangannya kepada Durrah jika Durrah berkahwin dengan Adam. Tetapi bukan sebab itulah Durrah berkahwin dengan Adam. Durrah menerima cadangan itu kerana dia benar-benar menyintai Adam. Kini, dia tidak pasti akan keputusannya itu. Dengan sikap Adam yang dingin dan juga seperti mengelak dari dia, membuatkan Durrah terfikir semula akan akibat dia menerima cadangan itu dahulu. Tanpa diduga, satu keluhan keluar dari mulutnya. Serentak Datin Aisyah dan Natrah mengalih pandang ke arah Durrah.
“Kenapa, Dura?” Datin Aisyah bertanya. Segera Durrah mengangkat muka dan menggeleng pantas.
“Tak ada apa-apalah, Ma.” Jawab Durrah. Datin Aisyah mengerutkan dahi. Perasaannya pasti bahawa Durrah cuba menyembunyikan sesuatu.
“Jomlah kita makan. Papa dah lama tunggu tu.” Datin Aisyah menjuihkan bibirnya ke arah Datuk Hafiz yang sudah sedia menunggu meja makan. Durrah mengangguk dan membuntuti ibu mertuanya itu.
“Mana Adam, Dura?” Datuk Hafiz bertanya. Memandang ke sekeliling. Mencari kelibat anaknya itu. Durrah meramas jari jemarinya. Apakah alasan yang patut diberi?
“Er..erm..Abang…Abang Adam balik lewat malam ni, Papa. Katanya banyak kerja. Dia suruh Dura makan dulu.” Akhirnya tercipta jua satu pembohongan dari mulut Durrah. Terasa ingin diketuk sahaja kepalanya tika itu. Dia tidak pernah belajar membohong apatah lagi membohong kepada orang tua. Kini kerana Adam, dia harus juga membohong untuk mengelakkan Adam dimarahi oleh kedua ibubapanya.
“Hish…budak ni. Lusa dah nak bersanding pun, masih sibuk lagi dengan kerja.” Luah Datin Aisyah tidak puas hati. Datuk Hafiz mendehem perlahan.
“Dia nak siapkan kerjanya cepat. Sebab lepas bersanding kan dia orang nak pergi honeymoon. Lepas balik dari honeymoon, Adam nak kena tolong Durrah berkemas untuk pindah ke rumah baru.” Kata-kata Datuk Hafiz membuatkan kepala Durrah memanggung memandang lelaki tua itu dengan bingung.
“Pindah…rumah?” tergagap Durrah menyoal. Dahinya berkerut seribu.
“Hmm…nampaknya Adam ni banyak berahsia lagi. Lepas balik dari bulan madu, dia nak ajak Dura pindah ke rumahnya. Kata Adam, dekat sikit dengan tempat kerja. Papa pun setuju. Takkanlah dia tinggal sana, Dura tinggal sini. Betul tak?” Datuk Hafiz menyambung kata.
Lambat-lambat Durrah mengangguk. Tidak pernah pula Adam berkata apa-apa kepadanya sebelum ini. Bagaimana Adam hendak bercakap mengenai pindah rumah ini jika mereka baru bernikah tidak sampai seminggu? Selepas itu, tidak pernah bersembang di telefon. Jika Durrah menelefon Adam, pasti perkataan sibuk sahaja yang selalu meniti di bibir lelaki itu.
“Akak dengan Along nak pergi honeymoon ke mana?” soal Aida ingin tahu.
Tersipu sahaja Durrah menahan malu. Dia sendiri tidak tahu akan perancangan Adam untuk membawanya berbulan madu. Dalam diam, Durrah akui Adam adalah seorang lelaki yang penuh dengan kejutan.
“Hish…yang Aida nak sibuk buat apa? Suka hati Along lah nak bawa Kak Dura pergi mana.” Natrah menyiku lengan Aida sehingga adiknya itu mengaduh kesakitan.
Mereka berbalas menyiku lengan masing-masing. Sehingga terjadinya perbalahan kecil.
“Hey, budak dua orang ni. Kalau tak gaduh, tak sah kan?” Datin Aisyah meninggikan sedikit suaranya untuk menghentikan pergaduhan yang bakal tercetus jika tidak dicegah dari awal. Datuk Hafiz hanya memerhatikan mereka berdua melalui cermin mata yang melurut turun dari hidung. Natrah dan Aida sama-sama terdiam.
“Akak ikut je mana Along bawak.” Jawab Durrah lembut.
“Hmm…makanlah.” Sela Datuk Hafiz.
Makan malam itu begitu riuh rendah. Sesekali diiringi dengan gelak ketawa Natrah dan Aida. Durrah hanya mampu tersenyum hambar. Nasi yang melalui kerongkong terasa tidak tertelan. Tanpa kehadiran Adam disitu, jiwa Durrah sudah terbang. Entah hilang ke mana.



ZURIN melihat penampilannya melalui cermin solek sekali imbas. Berpuas hati dengan cara pemakaian serta solekannya, dia mencapai tas tangan tanpa tali yang dibeli dari kota London 4 tahun yang lalu. Disembur minyak wangi jenama Can Can yang dikeluarkan oleh selebriti terkenal dan juga pewaris Hotel Hilton, Paris Hilton. Minyak wangi itu adalah hadiah pemberian Adam sewaktu mula-mula mereka mula bercinta. Ditutup suis lampu dan melangkah keluar dari kamar tersebut. Sewaktu Zurin menuruni anak tangga, kelihatan Adam melintasi anak tangga tersebut. Terhenti langkahan Adam. Terpaku sebentar melihat keanggunan Zurin malam itu. Zurin hanya menghadiahkan sebuah senyuman manis. Adam menghulurkan tangan dan Zurin menyambutnya dengan lembut. Adam menarik tangan Zurin dan badan Zurin dibiarkan merapati badannya. Dipeluk pinggang wanita itu.
“You look beautiful tonight.” Adam memuji kecantikan wanita dihadapannya.
Diusap rambut yang ikal mayang itu. Diambil dan dicium rambut tersebut. Keharuman rambut itu menggetarkan nafsu lelakinya. Dipandang wajah Zurin tidak berkelip. Selepas malam ini, dia bukan setakat menjadi suami kepada Zurin sahaja, tetapi menjadi suami kepada perempuan lain juga. Perempuan yang tidak pernah dicintai. Perempuan yang dianggap sebagai seorang adik sahaja dan tidak lebih dari itu. Apakah yang harus dilakukan? Perlukah dia bersikap adil? Tetapi dia tidak sanggup melukakan hati Zurin. Pipi Adam diusap lembut oleh Zurin.
“Jomlah. Nanti lambat pula.” Zurin berkata.
Menyedarkan Adam dari lamunannya. Adam hanya mengangguk perlahan. Mengikut gerak langkah Zurin menuju ke keretanya. Kereta yang dipandu Adam tiba dihadapan restoran mewah. Perlahan Zurin melangkah turun dari kereta tersebut. Mereka sama-sama beriringan masuk ke dalam restoran itu. Digenggam jemari Zurin, erat. Menuju ke arah sudut yang diunjukkan oleh pelayan restoran tersebut. Adam menarik kerusi dan membiarkan Zurin melabuhkan punggungnya.
“Thanks.” Ucap Zurin dan menggenggam jemari Adam.
Lelaki itu melabuhkan punggungnya menghadap Zurin. Mereka memesan makanan dan minuman. Pelayan itu mencatat pesanan mereka dan selepas pelayan tersebut beredar dari situ, Adam menatap wajah Zurin dengan penuh perasaan yang sukar dimengerti.
“Esok Am cuti kan?” Zurin bertanya. Adam hanya mengangguk.
“Terpaksalah. Papa dah arahkan untuk cuti.” Jawab Adam acuh tidak acuh. Pelayan restoran datang menghantar pesanan minuman. Zurin mengacau minumannya menggunakan straw.
“Cuti sampai bila?” sekali lagi Zurin menyoal. Dihirup perlahan jus tembikao laici dihadapannya itu.
“Minggu depan. Lepas majlis sanding, Papa suruh pergi honeymoon.” Adam menjawab malas. Tidak perasan akan perubahan reaksi yang ditunjukkan oleh Zurin.
“Honeymoon? Ke mana?” Zurin pura-pura bertanya. Hatinya berasa resah. Tidak suka mendengar kata-kata Adam itu.
“Seoul.” Ujar Adam.
Sekali lagi pelayan restoran itu mendekati meja mereka dan meletakkan hidangan makanan yang dipesan mereka. Chicken Lasagna yang terhidang dihadapan sudah tidak mampu membangkitkan selera yang sememangnya lapar. Dikuis sahaja hidangan tersebut. Adam mengangkat kepala memandang Zurin yang muram.
“Rin jangan risau. Am takkan sentuh dia.” Janji Adam. Zurin menggigit bibir.
“Am....” Zurin memanggil lembut. Tidak senang hati apabila mendengar kata-kata Adam. Satu keluhan dilepaskan.
“Am takkan sayangkan dia lebih dari Am sayangkan Rin.” Adam menyandarkan badannya ke kerusi. Zurin meramas jemarinya.
“Tapi dia juga isteri Am. Tak adil kalau Am tak laksanakan tanggungjawab Am sebagai seorang suami.” Nasihat yang keluar dari mulut Zurin ada juga benarnya. Tapi hati Adam masih belum bersedia untuk bersikap adil.
“Am, janji sesuatu dengan Rin.” Zurin memandang wajah Adam.
Meminta simpati dari lelaki itu. Lama Zurin menatap wajah Adam sehinggakan lelaki itu melepaskan satu keluhan. Mendekati Zurin dan mencapai jemari isterinya itu.
“Janji apa?”
“Janji dengan Rin yang Am akan belajar mencintai Dura. Rin tak kisah kalau Am nak berikan seluruh hati Am untuk dia, tapi tinggalkan sebahagian dari hati Am untuk Rin.” Bertambah erat genggaman jemari Zurin. Adam mencium jemari tersebut, lama.


BERSAMBUNG....

6 tukang komen paling setia:

hana_aniz said...

penat tunggu. hukhuk

IVORYGINGER said...

aduhai bila baca part ni terkenang lak sesucinya kasih seorg isteri. si isteri memujuk suami blaku adil utk madu dia. sgt mnyentuh hati. tp hati perempuan xrela, mulut ja kata rela. nk salah kan durrah pun durrah xsalah apa. mn dia tau adam dah kahwin. dlm hal ni adam n zurin yg salah. napa xhabaq parent diorg dah kahwin. nnti akn dtg bnyk mslh yg timbul. msti semua blame durrah jd isteri kedua klu xkena gaya. durrah pun akn mula rs serba salah ambik suami org. bnyk hati bakal tluka gayanya.

Anonymous said...

Bosan lah cite nie

pipvz devil said...

lg bgus kalu durrah tarik diri.tingglkn je adam 2.durrah kn thu adam ada zurin..cian zurin..hrp2 rahsia adam tbngkar sblum durrah cintakn adam lbh dlm..bkn kah cinta e2 prlukn pngorbnan..nympah aku lelaki mcm adam ni.xfkir prsaan bini..ngok ngek kuali kemek tul..hempuk pale 2 kang..hah emosi lah plak haku dbuatnye..

Anonymous said...

kenapa cite nie rase mcm tak sebest cerita yg before2 nie erk?? pelik2

diahperi said...

bila nk smbung cian saya dah lama tertunggu2 isteri mana yg sanggup berkongsi suami klau durrah tahu tentu dia akan kecewa elok aja durrah tinggalkan adam mungkin bila durrah dah xda baru adam akan terasa kehilangan tlonglah cpt smbung ye