BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, December 7, 2010

SEINDAH ALHAMBRA BAB 23

BAB 23

BERSUSAH-payah Durrah mengusung beg pakaiannya menaiki bas. Tidak mahu membazirkan duit dengan menaiki teksi. Lagipun, Durrah tidak mahu menaiki teksi kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak kejadian jenayah berlaku yang melibatkan pemandu teksi. Dia mahu berhati-hati. Sebelum terkena, lebih baik mengelak dahulu. Sebaik sahaja tiba di kawasan berhampiran rumah Datin Aisyah, dibunyikan loceng untuk turun ke destinasi perhentian seterusnya. Sebelum bas tersebut berhenti, Durrah sudah berdiri sambil menggalas beg pakaiannya. Terumbang-ambing Durrah dibuatnya semasa bas tersebut berhenti secara mengejut kerana mengelakkan motor yang tiba-tiba sahaja masuk ke laluan bas itu. Terdorong Durrah ke hadapan. Durrah terasa lengannya ditarik seseorang. Nasib baik ada orang yang menolongnya itu. Jika tidak sudah pasti Durrah jatuh tersembam ke lantai bas.
Durrah berdiri dengan betul. Mengangkat muka memandang gerangan yang menolongnya itu. Ingin diucapkan terima kasih. Tetapi mulutnya terkunci rapat apabila orang yang selamatkan dia adalah seperti orang yang pernah dikenalinya. Orang itu hanya tersenyum memandang Durrah. Dahi Durrah berkerut. Matanya jatuh ke tangan yang masih kejap memegang lengan dia. Segera Durrah menarik lengannya. Segan apabila penumpang-penumpang bas dalam bas tersebut, memandang pelik ke arah mereka berdua. Tergesa-gesa Durrah mahu melangkah turun dari bas itu. Sebaik sahaja dapat memboloskan diri dari bas yang agak sesak itu. Durrah dapat merasakan dirinya diekori. Erat Durrah memeluk tas tangannya. Beg pakaian yang digalas juga tidak terkecuali. Sesekali ekor matanya memandang ke kiri dan ke kanan. Langkahan Durrah juga semakin melaju. Akhirnya kaki Durrah tiba juga dihadapan rumah Datin Aisyah. Segera dibuka pintu pagar kecil di sebelah kiri pintu pagar automatik itu. Sebaik sahaja dapat masuk ke dalam kawasan rumah, Durrah kembali mengunci pintu pagar kecil tersebut. Laju sahaja langkahan kakinya menuju ke pintu utama. Bertalu-talu ketukan di pintu utama rumah banglo yang tersergam indah itu. Terjengul wajah Natrah di sebalik pintu tersebut.
“Kak...mana Along? Kenapa Akak balik seorang je?” soal Natrah bertubi.
Wajah Durrah yang kelihatan pucat mematikan niat Natrah untuk bertanya dengan lebih lanjut. Durrah segera menutup pintu utama tersebut. Diselak langsir yang menutupi jendela itu. Tidak kelihatan mana-mana orang yang mengikutinya. Satu keluhan lega dilepaskan. Natrah memandang Durrah dengan pelik. Berpeluh Durrah dibuatnya. Beg galas yang sedari tadi tersangkut dibahu, perlahan-lahan melurut jatuh.
“Kenapa dengan Akak ni? Macam kena kejar dengan hantu je.” Seloroh Natrah. Durrah hanya memberikan senyuman hambar. Letih melarikan diri dari lelaki tadi, masih ada sisanya.
“Dura masuk dulu, ya. Penat. Nak rehat kejap.” Durrah berkata.
Tidak selesa menyebut dirinya dengan gelaran kakak walaupun sememangnya Natrah berhak memanggil Durrah dengan panggilan kakak. Bertambah-tambah kerutan di dahi Natrah apabila dilihatnya kaki Durrah laju sahaja menuju ke bilik pembantu rumah yang terletak di sebelah dapur.
“Akak nak kemana tu?” soal Natrah. Durrah berpaling memandang Natrah.
“Masuk biliklah.” Jawab Durrah. Pelik! Bukankah sudah dikhabarkan tadi bahawa dia ingin masuk ke dalam biliknya untuk berehat.
“Naik ataslah. Bilik Along. Kenapa pulak Akak nak duduk bilik bawah? Sekarang ni kan, Akak dah jadi isteri Along.” Natrah mengingatkan Durrah yang hampir-hampir terlupa bahawa dia sudah menjadi isteri Adam yang sah.
Durrah tersengih sehingga menampakkan barisan giginya yang putih. Terus langkahnya menghala ke tangga dan mendaki anak tangga tersebut. Semasa kaki Durrah sudah tiba dihadapan kamar Adam, kedengaran loceng rumah berbunyi.
“I’ll get it.” Suara Natrah melaung.
Durrah sudah tidak mempedulikan tetamu yang datang itu. Dia perlukan rehat yang secukupnya. Sebaik sahaja pintu kamar Adam terkuak, tertegun seketika Durrah melihat kekemasan kamar Adam itu. Warna pastel lembut dan juga katil polster yang terletak di sudut bilik. Dihujung katil, terletak sofa kulit yang empuk. Durrah meletakkan beg pakaiannya ke atas lantai. Tiada meja solek. Almari moden yang terletak di satu sudut, dibuka. Durrah tersalah sangka. Disangkakan almari, tetapi sebenarnya walk-in wardrobe apabila lampu almari moden itu terbuka. Terkejut Durrah melihat susunan pakaian dan kasut yang tersusun di dalam almari itu. Sangat teratur dan kemas. Durrah menyangka set bilik tidur itu tiada meja solek. Rupa-rupanya meja solek tersebut diletakkan di dalam almari itu. Tersusun segala jenis perawatan wajah dan juga penjagaan dalaman di atas meja solek tersebut. Minyak wangi berjenama juga tersusun di atas meja solek itu. Diambil satu botol, lalu dibuka penutup botol tersebut. Dihidu bauan itu. Sememangnya bau kegemaran Adam. Diletakkan semula dan diteliti satu persatu baju yang tergantung.
Durrah melihat jam di tangan. Hampir pukul 4 petang. Dia masih belum menunaikan solat Zuhur. Segera kaki Durrah melangkah keluar dan dibuka zip beg pakaiannya. Mengambil tuala untuk membersihkan diri. Usai bersolat Zuhur, Durrah tidak terus membuka telekungnya. Menunggu waktu Asar. Selepas selesai solat Asar, Durrah melipat telekung dan digantungkan di bucu katil. Hajat di hati ingin merehatkan diri sebentar. Tetapi perut pula berkeroncong minta diisi. Mahu atau tidak, Durrah melangkah jua turun ke tingkat bawah.
Semasa melintasi ruang tamu, kepala Durrah tertoleh ke arah peti televisyen yang terpasang. Perlahan kaki Durrah melangkah ke arah ruang tamu. Diperhati sekeliling ruang tamu tersebut. Tiada sesiapa disitu. Pantas tangan Durrah menekan alat kawalan jauh dan menutup peti televisyen itu. Dia berpaling dan ingin menuju ke dapur. Sebaik sahaja Durrah berpaling, badan Durrah hilang kawalan dan hampir jatuh tersembam seperti di dalam bas. Pinggang Durrah sempat dipaut oleh seseorang. Dia mengimbangkan dirinya dan mengutuk di dalam hati berkali-kali kerana tidak berhati-hati. Kenapalah cuai sangat? Durrah mengangkat muka. Betapa terkejutnya Durrah melihat kehadiran lelaki yang mengejar dia dari perhentian bas tadi berada di dalam rumah banglo milik mentuanya itu.
“Awak? Awak buat apa kat sini?” soal Durrah.
Suara Durrah terketar-ketar menahan ketakutan. Dia sudah menjauhi lelaki tersebut. Tetapi lelaki itu hanya memberikan senyuman sambil menghirup air minuman yang berada di tangannya. Dengan selamba lelaki itu meletakkan cawan yang sedang dipegangnya itu ke atas meja kopi. Dicapai alat kawalan jauh lalu dihidupkan semula peti televisyen tersebut. Durrah hanya memerhatikan gerak-geri lelaki itu tidak berkelip. Seketika kemudian, lelaki itu menghulurkan tangan.
“Hakimi.” Ujar lelaki itu memperkenalkan diri. Berkerut dahi Durrah memandang huluran tangan dan wajah dihadapannya itu.
“Saya tak nak tahu nama awak. Yang penting, awak mesti keluar dari sini.” Halau Durrah. Wajahnya bertambah pucat.
Hakimi tetap seperti tadi. Masih selamba sahaja perilakunya. Dia melabuhkan punggung dan ditukar siaran yang tersiar di kaca televisyen. Dada Durrah sudah turun naik. Geram melihat kelakuan Hakimi itu.
“Awak dengar ke tak ni? Saya kata keluar, keluarlah.” Suara Durrah meninggi.
Natrah yang baru sahaja keluar dari biliknya, terus menuju ke ruang tamu apabila terdengar suara Durrah yang sedikit lantang itu. Pelik melihat Durrah memarahi Hakimi. Pantas Natrah melangkah ke arah Durrah.
“Kenapa ni, Kak?” soal Natrah. Memandang Durrah dan Hakimi bersilih ganti.
“Dia ni. Macam mana dia boleh masuk rumah kita? Halau dia, Nat.” unjuk Durrah ke Hakimi yang tidak mempedulikan kata-kata Durrah itu. Sebaliknya masih terus leka menukar siaran ke rancangan yang lain.
“Apa yang Abang dah buat kat dia?” soal Natrah. Hakimi hanya menjungkitkan bahu tanda tidak tahu. Dahi Durrah berkerut.
“Abang ni kan. Suka sangat mengusik orang.” Natrah membebel. Pelik Durrah melihat Natrah yang seolah-olah sangat mesra dengan Hakimi.
“Kak…ni lah Abang Kimi. Sepupu kita orang. Dia ni sebaya dengan Along. Anak Achu Dira.” Natrah memperkenalkan Hakimi kepada Durrah.
Hakimi merupakan anak ketiga kepada pasangan Puan Nadira dan Encik Shah. Puan Nadira juga merupakan adik kepada Datin Aisyah. Perwatakan Hakimi sangat berlainan dengan adik beradiknya. Paling suka mengusik, sangat pandai mengambil hati tidak kiralah orang tua atau muda. Sangat hormatkan orang tua. Itulah sebabnya dia selalu menjadi kegemaran sepupu-sepupunya yang lain.
“Tapi….” Ayat Durrah tergantung apabila dilihatnya Hakimi berdiri menghadap Durrah dengan senyuman manis terukir di bibir.
“Awak mesti tertanya-tanyakan kenapa saya bekerja sebagai pemandu bas dulu?” Hakimi menyoal. Perlahan-lahan kepala Durrah mengangguk.
“Sebenarnya, saya saja nak cari pengalaman bekerja. Boring jugak lah asyik memerap dalam rumah je. Lagipun itu adalah hari terakhir sebelum saya berhenti kerja.” Jawab Hakimi. Sekali lagi Durrah mengangguk.
“Tapi masa majlis kahwin Akak dengan Along hari tu, dia tak dapat datang. Sebab Abang Kimi kena fly.” Natrah menjelaskan bagi pihak Hakimi. Kelihatan Hakimi terangguk-angguk mengiakan kata-kata Natrah.
“Fly?” soal Durrah bingung.
“Abang Kimi ni pilot. Tapi majlis kahwin kat sini, Abang Kimi ambil cuti khas sebab nak menghadirinya.” Natrah menyambung kata. Barulah kini Durrah mengerti.
“Tapi yang Nat hairan, kenapa Abang naik bas?” giliran Natrah pula menyoal kepada Hakimi. Lelaki itu hanya tersengih.
“Kereta rosak.” Jawab Hakimi ringkas.
“Abang Indra kan ada kereta?” Hakimi memandang sebal ke arah Natrah. Macamlah Natrah tidak kenal abang dan kakaknya itu.
“Abang Indra pagi-pagi dah lesap pergi office. Ada meeting katanya.” Hakimi berkata. Natrah seperti berfikir sesuatu.
“Kak Sarah kan ada? Dia kan selalunya pergi kerja boyfriend dia yang datang ambil.” Natrah memberikan cadangan lagi.
“Nat macam tak kenal Kak Sarah. Dia tu kedekut, bakhil semuanya perkataan yang ada same meaning as kedekut, itulah dia Kak Sarah.” Luah Hakimi sambil melabuhkan semula punggungnya ke atas sofa.
Natrah mengangguk mengiakan kata-kata Hakimi. Sememangnya adik beradik Hakimi tidak suka meminjamkan harta benda mereka kepada orang lain walaupun orang lain itu adalah adik beradik sendiri. Nasib baik Adam dan Amar tidak bersikap begitu dengan adik-adik sendiri. Cuma kadangkala, ada barangan yang menjadi kesayangan mereka, dimasa itulah akan timbulnya sikap kedekut. Sebenarnya bukan kedekut, lebih kepada cermat.
“Abang dah makan?” Natrah menyoal.
“Dah. Sebelum datang sini. Mami dah masak. Abang melantak dululah kat rumah.” Ujar Hakimi yang memanggil ibunya dengan panggilan, Mami.
“Akak dah makan?” soal Natrah. Kepalanya teralih ke arah Durrah yang berdiri tercegat itu. Perlahan Durrah menggeleng.
“Nak order apa-apa tak? Nat pergi beli kat luar. Kat dalam rumah tak ada apa-apa nak makan. Tadi Mama tak masak sebab tergesa nak pergi butik.” Sela Natrah.
“Habis anak dara seorang ni, tak masaklah?” sinis sekali Hakimi berkata.
“Tak lah. Nat manalah reti nak masak.” Jawab Natrah jujur.
“Ish…ish…ish…macam manalah kau nak kahwin macam ni, Nat? Orang nak kahwin, kau pun nak kahwin. Tapi masak, pemalas.” Pedas sekali sindiran Hakimi. Natrah menjelirkan lidah. Malas mahu melayan karenah Hakimi itu.
“Tak apalah, Nat. Biar Dura masak. Boleh masak untuk makan malam sekali.” Ujar Durrah memberi cadangan. Bibir Natrah tersenyum lebar.
“Inilah sebabnya Nat sayang sangat dengan Akak ni.” Puji Natrah.
Hakimi menolak perlahan kepala Natrah. Perbuatan itu dibalas oleh Natrah. Perbuatan itu menyebabkan mereka memulakan pergaduhan secara kecil-kecilan. Durrah menggeleng. Menuju ke dapur untuk menyediakan makan malam.



TELEFON bimbit yang diletakkan di dalam tas tangan berbunyi nyaring. Pantas tangan Zurin membuka tas tangan tersebut lalu menyeluk ke dalam dan mengeluarkan telefon bimbit yang menjerit minta diangkat. Tersenyum sahaja melihat nama yang terpapar di skrin.
“Hai, sayang.” Jawab si pemanggil sebaik sahaja panggilannya berjawab.
“Malam ni jadi ke kita nak dinner bersama?” Zurin bertanya. Khuatir juga jika perancangan mereka untuk makan malam bersama dibatalkan.
“Jadi lah. Kenapa Rin tanya?” soal Adam sedikit pelik.
“Yelah. Hari ni kan wife Am balik K.L. Manalah tahu. Nak bermanja-manja ke?” perli Zurin. Ingin mengetahui reaksi yang akan diberikan.
“Tak ada maknanya Am nak balik rumah sana. Kan Am dah janji yang Am nak dinner dengan Rin malam ni. Lagipun Am tak janji dengan dia yang Am akan balik.” Ujar Adam. Zurin melepaskan keluhan. Lega apabila Adam masih mengingati apa yang dijanjikan olehnya.
“Okay.” Zurin menyahut.
“Eh…okaylah. Papa masuk bilik ni. Nanti kita jumpa kat rumah.” Tukas Adam.
Berbisik sahaja suara lelaki itu. Selepas itu mereka sama-sama mematikan talian. Diletakkan telefon bimbitnya ke atas meja. Zurin menguak rambutnya ke belakang. Sampai bilakah mereka harus menyembunyikan perkara ini? Sampai bila harus Zurin melindungi tentang status dirinya yang merupakan isteri orang? Satu keluhan kuat dilepaskan. Pintu biliknya diketuk perlahan. Arahan masuk diberikan dan terjengul wajah Shana di sebalik pintu kayu itu.
“Ada apa-apa lagi, Cik Zurin?” soal Shana. Tas tangan sudah digantung di bahu.
Menandakan bahawa Shana sudah ingin pulang. Zurin melihat jam di tangan. Hampir jam 6 petang.
“Dah tak ada apa-apa.” Tukas Zurin.
“Okay. Saya balik dulu, Cik Rin. See you tomorrow.” Ucap Shana. Tersenyum manis pada ketuanya itu.
“Okay. See you tomorrow.” Zurin juga turut berkata yang sama.
Pintu kayu itu kembali tertutup. Zurin menyandarkan kepala ke kerusi empuk. Malasnya mahu pulang di waktu sekarang. Pasti sesak yang teramat sangat di kota Kuala Lumpur. Jika tidak pulang sekarang, nanti lambat pula untuk bersiap keluar makan malam bersama Adam. Hanya malam ini, mereka dapat makan berdua sebagai sepasang suami isteri. Selepas ini, mereka akan bertiga. Adam, Zurin dan madunya, Durrah. Sekali lagi keluhan berat dilepaskan. Perlahan Zurin menarik tas tangan dari dalam laci. Melangkah keluar dari biliknya. Tidak sabar hendak sampai ke rumah dan keluar makan malam bersama Adam.


BERSAMBUNG....

5 tukang komen paling setia:

IVORYGINGER said...

tis story was amazing.
how come adam n zurin kahwin without telling their family???
then durrah lak leh terima pinangan datin. skrg sian dia tanpa dketahui dia mjd madu pd zurin. adam mesti lebihkan zurin dr durrah dlm sgl hal.
berat tggjwb adam ni xadil kang susah hidup. dah tu tpaksa curi waktu n menipu ja kejanya nnti tutama kat family dia. huhuhu...

hana_aniz said...

yes! hero hakimi da dtg! hoho.. kimi cm suka kt durrah je?? tp adam cm ne?? huhu

kak ecah kasi update entri 2 kali seminggu la. huhu. penat tunggu time konflik2 ni. bila baca da hilang skit mood excited coz lama sgt nk tggu entri bru.. huhu. plizzz..

Anonymous said...

kenapa ye..berbanding cite2 yang lain...cite nie saya rasa cam terlalu hambar...
tak terlalu teruja nak tunggu next n3 compare lain2 cite..
kenapa ye....

Cik Pink Princess said...

bestnya. menarik citer ni. lain dr yg lain :)

Anonymous said...

betol tu...saya sokong Anonymous