BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, October 28, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 20

BAB 20

HARI yang dinantikan telah tiba. Durrah duduk menegak, menghala pandangan ke cermin solek. Kepala Durrah didongakkan ke atas. Laily duduk menunggu di dalam kamar pengantin. Menanti Durrah untuk bersiap. Laily tersenyum melihat wajah Durrah yang sudah disolek indah. Kerlipan cahaya lampu flash kamera berkedipan. Menyimbah seluruh kamar dengan cahaya putih yang kadangkala menyakitkan mata. Bermacam gaya dan pose yang dipinta si jurugambar yang diupah oleh Laily. Nasib baik Laily mengenali jurugambar tersebut yang juga merupakan sahabat Laily di zaman sekolah. Dapatlah mereka diskaun daripada gambar-gambar yang diambil. Kemudian, si jurugambar diminta untuk keluar sebentar sementara Durrah menyalin pakaian kepada pakaian pengantin. Kak Sah mengeluarkan baju kurung berwarna putih. Teruja Durrah melihat pakaiannya itu. Laily menolong Durrah bersiap. Tangan Durrah sedari tadi asyik menggeletar. Tidak tahu kenapa.
Gementar? Ya, memang gementar kerana sebentar lagi dia akan menjadi hak milik sah kepada seseorang lelaki yang dipujanya dalam diam. Takut? Memang dia takut kerana khuatir majlis ini tidak akan berjalan dengan lancar. Seperti apa yang dibayangkan sejak seminggu lepas. Teruja? Dia memang teruja kerana bakal menjalani hidup bersama lelaki yang ingin dihabiskan hayatnya bersama. Tetapi…adakah Adam juga berperasaan begitu? Atau hanya Durrah sahaja yang berangan tinggi melangit?
Angin yang menerobos masuk melalui jendela, sudah tidak terasa dinginnya. Peluk memercik di dahi. Laily mengerutkan dahi melihat badan Durrah yang menggeletar itu. Dipegang bahu Durrah dan meminta gadis itu berdiri menghadapnya.
“Kenapa ni?” Laily bertanya.
Durrah menelan air liur. Mengangkat wajah memandang wajah putih bersih dihadapannya. Berkali-kali Durrah menjilat bibir yang terasa kekeringan.
“Nervous, ya?” soal Laily.
Hanya anggukan perlahan sahaja yang diterima oleh Laily sebagai jawapan. Kak Sah meminta Durrah untuk duduk semula menghadap cermin kerana solekannya masih belum selesai. Dibuka penutup gincu bibir berwarna merah jambu. Dicapai pula berus halus dari dalam beg solek. Berus halus tersebut mencalit gincu merah jambu itu dan seterusnya dicalit pula ke bibir Durrah yang merah mereka bak delima. Tidak perlu terlalu tebal solekan serta gincunya. Durrah sudah mempunyai kecantikan semulajadi. Solekan itu hanya untuk menambah serinya sebagai pengantin.
Telefon bimbit Laily berbunyi nyaring. Segera Laily menjawab kerana telefon tersebut sudah berada dalam genggamannya. Hanya anggukan dan deheman sahaja yang kedengaran. Sesekali Durrah memandang ke arah Laily melalui cermin solek. Selepas selesai bercakap dengan si pemanggil, Laily menuju ke arah Durrah.
“Dia orang dalam perjalanan ke sini. Dah dekat simpang tiga, katanya.” Bertambah kencang dada Durrah apabila mendengar kata-kata Laily itu.
“Hah…kalau simpang tiga dah dekat sangat la tu. Simpang hujung kampung ni ja.” Kak Sah menyampuk. Laily hanya tersenyum dan mengangguk.
Kedengaran suara kanak-kanak lelaki menjerit, mengatakan bahawa pengantin lelaki sudah tiba. Tidak senang duduk Durrah dibuatnya. Diramas jari jemarinya. Ingin menjenguk melalui jendela rombongan pengantin yang sudah tiba. Tetapi tidak manis pula jika berkelakuan begitu. Nanti apa pula orang kampung mengata.
“Laily keluar kejap, ya. Nak tengok kat luar tu.” Sela Laily.
Kak Sah sudah lama menghilang. Entah bila masa Kak Sah keluar dari kamar itu, sedikit pun tidak Durrah menyedarinya. Pantas Durrah menarik tangan Laily.
“Duduklah dengan Dura.” Ujar Durrah seperti orang merayu sahaja lagaknya.
Hampir pecah tawa Laily melihat kekalutan wajah Durrah. Laily mengangguk dan tidak jadi untuk keluar dari kamar tersebut apabila terlihatkan wajah kelat Durrah. Pintu kamar pengantin terkuak sedikit. Terjengul wajah Mak Chaq Rani dan Safiah. Durrah terkejut dengan kehadiran Safiah, segera meluru ke arah wanita itu dan memeluknya.
“Bila Mak Lang sampai?” soal Durrah. Wajahnya ceria melihat Safiah.
“Baru ja. Mak Lang mai dengan Puan Ita.” Jawab Safiah. Durrah mengangguk perlahan. Kecoh betul suasana di ruang tamu rumah usang itu.
“Panggil pengantin perempuan, keluaq.” Tiba-tiba muncul pula Mak Su Dilah di muka pintu. Kesemua mereka mengangguk.
Laily memimpin Durrah. Berhati-hati sahaja Durrah melangkah menuju ke ruang tamu. Laily membawa Durrah sehingga ke satu sudut. Memberi isyarat mata kepada Durrah untuk melabuhkan punggung di atas kusyen yang disediakan. Perlahan-lahan dengan bantuan Laily, Durrah melabuhkan punggungnya dan duduk bersimpuh. Memerhatikan Adam melalui ekor matanya. Lelaki itu langsung tidak mahu memanggung kepalanya. Hanya ditundukkan menekur lantai sambil leka mendengar penerangan jurunikah dihadapannya. Kemudian, jurunikah tersebut meminta Adam menyatakan rukun Islam dan rukun Iman. Dengan lancar, Adam menjawab persoalan tersebut.
Kemudian, jurunikah itu bertanya kepada Karim samada hendak membenarkan dia menikahkan Adam dan Durrah ataupun Karim yang hendak melaksanakan tanggungjawab tersebut. Durrah mengangkat muka memandang Karim yang juga turut membalas pandangan sayu itu. Lama mereka membalas pandangan. Karim berpaling ke jurunikah tersebut dan bersetuju akan menikahkan Adam dan Durrah. Setelah jurunikah itu memberikan penerangan bagaimana hendak menikahkan pasangan tersebut, Karim mengambil alih tempat dan duduk berhadapan dengan Adam. Dihulurkan tangannya dan tangan tersebut bersambut.
“Aku nikahkan akan dikau dengan Durrah Hamra binti Karim dengan mas kahwinnya, tiga ratus ringgit, tunai.” Ucap Karim. Hati Durrah bertambah kencang debarannya. Airmata sudah bertakung di tubir mata.
“Aku terima nikahnya, Durrah Hamra binti Karim dengan mas kahwinnya, tiga ratus ringgit, tunai.” Adam menjawab.
Dengan hanya sekali lafaz, Durrah sah menjadi milik Adam. Airmata yang ditahan, akhirnya tumpah jua. Jurunikah tersebut membacakan doa tanda selesainya majlis akad nikah itu. Adam berdiri dan menuju ke satu sudut. Untuk bersolat sunat dua rakaat. Selesai bersolat, Adam melangkah mendekati Durrah yang duduk berteleku menanti kehadiran suami yang baru dinikahinya itu. Laily mengelap airmata Durrah yang sedang laju menuruni pipinya. Adam duduk diantara dua sujud menghadap Durrah. Gadis itu hanya menundukkan wajah.
“Cincin…cincin.” Laung Mak Chaq Rani.
Cincin tersebut dihulurkan oleh Mak Su Dilah. Diletakkan bekas cincin tersebut bersebelahan dengan pasangan pengantin baru itu. Adam menarik keluar cincin platinum tersebut dari kotak baldu berwarna hitam. Dicapai jemari Durrah dan disarungkan cincin tersebut ke jari manis. Lama jari Adam melekap disitu. Menanti jurugambar yang diupah untuk mengambil gambar mereka. Giliran Durrah pula menyarungkan cincin. Sekali lagi kerdipan cahaya berkelipan pantas.
“Ciumlah dahi pengantin perempuan tu.” Salah seorang dari mereka mengusik.
Durrah hanya tersipu malu. Manakala Adam mendengus perlahan. Tetapi dicium juga dahi Durrah. Tidak mahu mereka perasan akan reaksinya. Lama bibir Adam melekap di dahi Durrah. Gadis itu hanya memejamkan mata. Perasaan malu menyerbu ke wajah. Adam menolong Durrah untuk berdiri. Mereka mendekati Karim dan Hasanah yang duduk bersebelahan dengan kedua ibubapa Adam. Durrah tunduk menyalami Karim. Lama dia berkeadaan begitu. Mengangkat muka dan memandang wajah tua yang sudah banyak berjasa kepadanya. Memeluk Karim dan tanpa diduga, Karim turut menitiskan airmata tuanya. Beralih pula kepada Hasanah. Seerat mungkin dia memeluk emaknya itu. Entah kenapa dia terasa sedih yang amat sangat apabila memikirkan status dirinya kini. Giliran Adam pula untuk bersalaman dengan Karim. Sempat Karim membisikkan sesuatu di telinga Adam.
“Jagalah Dura macam mana kami jaga Dura. Jaga dia macam mana Adam jaga maruah Adam. Jangan sakiti hati dia, na. Kami tak pernah sakitkan hati dia.” Karim berpesan. Adam menjadi serba-salah.
Betulkah apa yang dilakukannya kini? Satu hari nanti, pasti Durrah akan terluka kerana mengetahui kebenaran tentang diri Adam. Sanggupkah Adam meneruskan sandiwara ini? Memandang sekilas ke arah Durrah sebelum tunduk menyalami Hasanah pula. Kemudian, beralih ke Datuk Hafiz dan Datin Aisyah. Hati Adam bertambah tidak keruan. Laily memandang Adam dan Durrah bersilih ganti. Simpati mula menggunung pada Durrah. Ditarik dan dilepaskan nafas perlahan. Laily hanya mampu tersenyum melihat Durrah yang tampak bahagia sekali.



AIRMATA Zurin turun berjuraian tanpa dapat ditahan. Dapat dibayangkan Adam sedang tersenyum manis bersanding di atas pelamin bersama gadis pilihan mentuanya. Hati Zurin meningkah. Sepatutnya dia yang berada di atas pelamin. Bersama Adam. Bukan gadis itu. Bukan Durrah. Tetapi dia. Diseka airmata apabila telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Dicapai telefon tersebut yang diletakkan di meja sisi. Melihat nama yang tertera di skrin telefon membuatkan hati Zurin menjadi sayu. Ditekan punat merah. Malas mahu menjawab panggilan itu. Sedang Zurin melayan perasaan, sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi. Pantas tangannya menekan punat merah lalu mematikan telefon. Tidak mahu panggilan itu menganggu perasaannya yang sedang kacau. Dia mahu bersendirian. Zurin membaringkan diri. Lantas memejamkan mata. Terbayang di ruang mata kisah perkahwinan mereka di London.
“Betul ke apa yang kita buat ni, Am?” soal Zurin sedikit ragu.
Zurin membelek cincin platinum yang baru sahaja tersarung di jari manisnya. Tidak tenang kerana terpaksa membelakangkan ibubapanya. Adam mencapai jemari Zurin lalu dipegang erat. Dicium bertalu-talu jemari runcing milik Zurin. Adam juga sebenarnya sedikit ragu dengan keputusan yang diambil terburu-buru itu.
“Am...janji yang Am akan cintakan Rin walau apapun yang terjadi dalam rumahtangga kita kelak?” Zurin menyoal.
Matanya bersinar memandang wajah tampan Adam. Lelaki itu menarik dan melepaskan nafas perlahan. Mengangguk sambil tersenyum.
“Am takkan tinggalkan Rin?” sekali lagi Zurin bertanya. Hanya gelengan yang diterima sebagai jawapan.
“Am akan setia selamanya dengan Rin?” bertubi soalan yang keluar dari mulut Zurin. Dan untuk kesekian kalinya, Adam mengangguk.
“Rin juga janji dengan Am. Andai satu hari Am terpaksa memungkiri janji ini, ingatlah bahawa Am akan selalu mencintai Rin. Tak ada siapa yang dapat menggantikan tempat Rin dalam hati Am.” Ucap Adam bersungguh. Zurin terasa lingkaran bahagia melingkari hidupnya tika itu.
Zurin tersentak dari lamunannya apabila terdengar bunyi dentuman guruh. Dibuka mata dan melihat melalui jendela. Angin dingin menerjah masuk melalui tingkap yang terbuka. Berterbangan langsir yang menutupi tingkap tersebut. Zurin melangkah perlahan menuju ke tingkap lalu ditarik tingkap tersebut melalui jeriji besi. Jika di London hujan, pasti Adam akan memeluk Zurin untuk menghangatkan badan yang kedinginan. Satu keluhan dilepaskan. Zurin melihat jam loceng yang ada di meja sisi katil. Sudah hampir jam 3 petang. Pasti mereka sudah bersanding. Menurut Adam, dia dan Durrah akan bernikah awal pagi. Dan terus selepas itu majlis bersanding. Zurin juga ingin bersanding. Ingin juga diperkenalkan kepada saudara-mara Adam sebagai isteri Adam dan juga menantu kepada Datin Aisyah. Tetapi apakan daya. Itu semua hanyalah angan-angan sahaja.

Masihkah dengan janjimu
Apapun jadi akulah pilihanmu
Engkau sanggup hapusi cinta yang lalu
Ku angankan pelamin indah untuk kita berdua singgah

Terngiang-ngiang serangkap lagu yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi wanita. Zurin mengelap airmata yang masih turun lebat. Selebat hujan di luar. Dia berjalan semula ke katil dan hidupkan telefon bimbit yang dimatikan sebentar tadi. Ada satu khidmat pesanan ringkas baru sahaja masuk ke dalam telefon tersebut. Segera ditekan butang view dan mula membaca pesanan itu.

Biar sedalam mana lautan api harus Am renangi untuk menggapai cinta Rin,
sedalam itulah kasih Am tak pernah berubah buat Rin. Biarpun dia adalah pilihan Mama,
tapi Rin adalah pilihan Am. Percayalah Rin. Am janji takkan menyayangi dia lebih dari
Am sayang dan cintakan Rin.

Zurin melekapkan telefon itu ke dadanya. Dia menggigit bibir. Menekan butang reply. Mula menaip satu-persatu aksara di keypad telefon itu.

Jangan berjanji perkara yang tak pasti. Jangan bermain dengan perasaan hati.
Cubalah menyayangi dia sepenuh hati tetapi tinggalkan sebahagiannya untuk Rin.
Untuk Rin dapat teruskan hidup. Untuk terus Rin bernafas. Untuk Rin terus
mengingati kenangan lalu.

Satu keluhan dilepaskan. Meletakkan semula telefon bimbit ke meja sisi. Zurin melangkah keluar dari bilik tidurnya dan turun ke tingkat bawah. Ingin menghilangkan dahaga yang terbendung sejak dari tadi.


BERSAMBUNG....

2 tukang komen paling setia:

Anonymous said...

Best sangat crita ni.. bila nk terbitkan?

Aisha @ Sara Hamza said...

hehe thanks....tengah cuba memerah otak untuk menyiapkannya.....