BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, July 18, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 16

BAB 16

JAM di tangan Durrah hampir menunjukkan jam 10 malam. Sudah puas Durrah meminta Laily menghantarnya pulang. Tetapi Laily berdegil dan mengatakan yang dia belum puas untuk bersiar-siar bersama Durrah. Sudah lama mereka tidak ketemu. Selepas ini, entah bila lagi dapat bertemu kerana Laily akan lebih sibuk untuk mengulangkaji. Dia perlu menghadapi peperiksaan semester akhir. Tambahan dengan projek akhir yang perlu dihantar lagi 2 minggu.
Durrah melambai pada Laily sebelum kereta Laily beredar dari situ. Melangkah masuk perlahan-lahan melalui pintu pagar kecil. Kelihatan sekujur tubuh lelaki sedang ke hulu ke hilir sambil bercakap dengan seseorang di telefon. Terkejut Durrah apabila tiba-tiba sahaja lelaki itu meninggikan sedikit suaranya. Durrah mengalihkan pandang. Tidak mahu menganggu lelaki itu berbual, terjengket-jengket Durrah melangkah ke arah pintu utama. Belum sempat dia menjejakkan kaki, namanya dipanggil. Perlahan Durrah berpaling. Tersenyum kepada lelaki tersebut.
“Baru balik?” soal Adam. Durrah hanya mengangguk dan menghadiahkan sebuah senyuman manis.
“Abang nak air? Dura buatkan.” Durrah menyoal.
Hanya anggukan kecil yang diterima oleh Durrah sebagai jawapan daripada Adam. Segera Durrah masuk ke dalam rumah. Menuju ke biliknya yang terletak di sebelah dapur. Perlu membersihkan diri yang melekit. 15 minit kemudian, Durrah keluar semula dari biliknya dan menuju ke dapur. Mencapai cawan yang tersangkut elok di atas penyidai pinggan. Dibuka botol kaca Nescafe dan disenduk sedikit serbuk Nescafe. Kemudian gula dimasukkan ke dalam cawan itu. Dituang air panas daripada boiler yang memang tersedia di dalam dapur tersebut. Durrah keluar dari dapur dan menuju ke pintu utama. Menjenguk melalui pin utama. Kelihatan Adam sedang termenung jauh. Apakah yang sedang ada difikirannya? Perlahan kaki Durrah melangkah mendekati Adam yang membelakanginya.
“Abang, air.” Ringkas Durrah berkata lalu meletakkan cawan Nescafe itu. Adam mengangkat muka dan mengangguk tanda terima kasih.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, Dura masuk dulu.” Ujar Durrah meminta diri.
“Dura, duduk kejap. Abang ada perkara nak minta pendapat Dura.” Tukas Adam.
Tidak jadi Durrah hendak melangkah. Kembali berpaling dan duduk menghadap Adam. Durrah jadi gelisah apabila tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut lelaki dihadapannya itu.
“Apa yang perlu Abang buat untuk dia faham diri Abang ni?” persoalan yang tiba-tiba sahaja keluar dari mulut Adam. Durrah tidak faham dengan soalan yang ditanya. Dahinya berkerut seribu.
“Siapa?” Durrah menyoal setelah pasti dia tidak faham akan soalan itu.
“Girlfriend Abang.” Adam menjawab ringkas. Tersentak hati Durrah dibuatnya. Memandang wajah Adam dengan tidak percaya.
“Dia macam tak faham diri Abang. Abang tak keluar jumpa dia hari ni pun, dia dah marah. Abang dah tak tahan lah macam ni.” Adam meraup rambutnya ke belakang. Kepala terasa pusing. Durrah mendiamkan diri seribu bahasa. Langsung tidak mahu berkata apa-apa. Hatinya terasa sakit. Terasa seperti ditoreh dengan pisau.
“Dura, say something.” Adam menjadi gelisah apabila tidak terima apa-apa reaksi daripada Durrah.
“Tak manis anak dara dan teruna duduk berdua-duaan di laman rumah.” Satu suara menegur dari arah pintu utama rumah.
Kedua mereka berpaling ke arah pintu utama. Kelihatan Datin Aisyah dan disebelahnya Natrah yang tersengih seperti kerang busuk. Adam menggaru kepala yang tidak gatal. Durrah segera bangun dan pantas menuju ke pintu utama.
“Kot iye pun nak bercinta, tunggulah esok-esok pagi.” Natrah berkata mengusik. Datin Aisyah hanya tersenyum simpul.
“Banyaklah Nat punya bercinta.” Adam meluku kepala Natrah sehingga gadis itu mengaduh kesakitan. Durrah hanya mendiamkan diri, tidak bereaksi.



“WHAT, Ma?!” terkejut Adam dengan soalan yang dilontarkan oleh Datin Aisyah. Mamanya mengajak berbincang selepas bersarapan pagi. Adam merasakan sangat tidak munasabah persoalan itu. Tersandar Adam di sofa empuk tersebut. Mengurut kepala yang terasa berdenyut.
“Please, Adam. Mama tahu Adam mesti terkejut dengan cadangan Mama ni. Tapi Mama suka sangat dengan Dura tu.” Datin Aisyah menyambung kata lagi.
Adam menggeleng perlahan. Datin Aisyah menyinggung lengan Datuk Hafiz. Memberikan isyarat mata. Meminta pertolongan untuk menyakinkan anak sulungnya itu. Datuk Hafiz memandang sekilas, kemudian menala kembali pandangan ke peti televisyen yang terpasang. Malas mahu ikut campur akan perbualan dua beranak itu. Biarlah mereka selesaikan masalah mereka sendiri. Sudah dinasihatkan Datin Aisyah untuk bertanya dahulu. Bukannya memberikan kata muktamad. Datin Aisyah menjegilkan matanya. Memandang semula Adam yang sudah beberapa kali melepaskan keluhan berat.
“Adam...Mama teringin sangat menimang cucu. Mama yakin Dura boleh berikan semua kebahagiaan yang Adam nak. Boleh berikan anak-anak yang soleh dan solehah untuk Adam. Penyambung zuriat yang terbaik untuk keluarga Mama dan Ayah.” Bersungguh Datin Aisyah cuba untuk menyakinkan Adam.
“Tapi Ma...Dura sendiri dah beritahu dengan Adam yang dia bukan selama-lamanya nak bekerja dengan kita. Dia nak kumpul duit lepas tu, dia nak sambung belajar. Adam yakin. Kahwin bukanlah jalan yang terbaik untuk dia, Ma. Bukan juga jalan terbaik untuk Adam.” Sela Adam.
Walaupun dia akui, mempunyai masalah rumahtangga dengan Zurin. Tetapi itu bukanlah alasan untuk dia bersikap curang terhadap isteri yang terlalu dicintainya itu. Dia tidak sanggup melukakan hati Zurin.
“Adam...Mama janji yang Dura pasti setuju dengan cadangan Mama ni. Dengarlah cakap Mama, sayang.” Datin Aisyah menggapai jemari Adam. Menggenggam dan meramas jemari gagah itu. Ingin menarik simpati si anak.
“Tapi, Ma...” ayat Adam tergantung apabila Datuk Hafiz berkata sesuatu.
“Adam, Ayah pernah beritahu pada Adam dulu kan. Ada 3 jenis jodoh. Jodoh yang pertama, jodoh dari syaitan. Berkenalan, berpegangan tangan, buat maksiat, mengandung lalu bernikah. Yang keduanya, jodoh dari jin. Berkenalan, bertepuk sebelah tangan, lalu dibomoh dan disihirkan oleh sebelah pihak sehingga kamu tunduk mengikut kemahuan lalu bernikah. Dan ketiga serta yang terakhir, adalah jodoh dari Allah. Berkenalan, cinta mula berputik, masuk meminang dan kemudiannya bernikah. Kadangkala mungkin ada hikmahnya jodoh kita ini ditentukan oleh orang tua. Kerana itu adalah jodoh dari Allah yang sebaik-baiknya untuk umat manusia.” Panjang lebar Datuk Hafiz mengingatkan Adam mengenai kata-kata yang pernah diucapkan dahulu.
“Adam pilihlah. Adam nak tergolong dalam jodoh yang mana. Mama dan Ayah takkan memaksa. Adam dah besar. Umur pun dah 30 tahun.” Akhirnya Datin Aisyah menyambung kata.
Tidak mahu terlalu memaksa Adam. Nanti akan menyebabkan tekanan perasaan pula. Adam mendengus. Mengangkat muka memandang wajah Mamanya. Timbul rasa simpati terhadap Datin Aisyah.
“Mama buatlah persiapan apa yang patut. Adam ikut je.” Ujar Adam setelah lama berdiam diri dan menimbangkan baik buruknya keputusan yang diambil sebelum berdiri untuk beredar dari situ. Hatinya tidak tenang sebaik sahaja memberi kata putus kepada Datin Aisyah.
“Bang...Abang dengar tak tu? Adam setuju.” Datin Aisyah berkata dengan nada yang gembira. Datuk Hafiz hanya mengangguk sambil tersenyum kecil.
“Saya nak cakap dengan Dura. Minggu depan kita nak pergi kampung dia untuk masuk meminang.” Datin Aisyah sudah merangka persiapan yang ingin dibuatnya untuk rombongan peminangan tersebut.
Datuk Hafiz memandang sekilas ke arah Datin Aisyah. Kemudian, mengalih semula pandangan ke peti televisyen.



LANGSIR yang menutupi jendela diselak sedikit. Kelihatan kereta Adam dengan perlahan menyusuri masuk ke dalam kawasan rumah. Adam mematikan enjin kereta tetapi niat dihati masih belum mahu keluar dari kereta. Matanya ditala ke hadapan. Sanggupkah dia melukakan hati Zurin dengan memberitahu perkara sebenar? Adam melepaskah keluhan kuat. Kepalanya dijatuhkan mengena stereng kereta. Tidak sanggup untuk dia berhadapan dengan Zurin. Dipejamkan mata sekuat hatinya. Adam cuba berhadapan dengan perasaannya sendiri. Adakah dia punya perasaan terhadap Durrah? Tidak! Dia langsung tidak punya perasaan cinta terhadap Durrah. Hanyalah perasaan kasih dan sayang sebagai seorang abang kepada seorang adik. Sikap Durrah tidak ubah seperti Natrah. Penyayang, mengambil berat, lemah lembut dan yang paling penting sangat memahami. Dahi Adam berkerut. Jika benar dia tidak punya perasaan terhadap Durrah, kenapa dia tahu sikap-sikap yang ada dalam diri Durrah? Kepalanya digelengkan perlahan. Diketuk kepalanya sekuat hati. Adam menyandarkan badan ke kerusi. Matanya masih terpejam. Dia tidak sanggup hendak memadukan Zurin. Wanita itu telah banyak menderita akibat sikap Adam yang tidak menentu kebelakangan ini. Dia tidak sanggup melukai wanita yang teramat dicintainya itu. Tetapi siapalah dia untuk menidakkan kuasa jodoh dari Allah. Mungkin Durrah adalah jodoh dari Allah. Dan Adam yakin Zurin juga adalah jodoh dari Allah. Tanpa dapat dikawal, airmata lelakinya menitis. Bolehkah dia berlaku adil? Bolehkah dia memberikan cintanya sama rata antara Zurin dan Durrah? Seharian persoalan-persoalan itu berlegar di mindanya.
Tersentak Adam apabila tingkap sebelah pemandu diketuk perlahan oleh seseorang. Adam membuka mata dan menoleh ke tepi. Kelihatan sekujur tubuh Zurin berdiri di luar. Segera Adam membuka pintu dan menarik Zurin ke dalam dakapannya. Memeluk wanita itu seeratnya. Zurin terpinga-pinga dengan perbuatan Adam.
“Maafkan, Am. Am banyak sakitkan hati Rin. Am tahu Am bukanlah seorang suami yang baik untuk Rin.” Adam mengongoi ditelinga Zurin. Barulah kini Zurin mengerti akan perubahan sikap Adam.
“Rin juga nak minta maaf. Rin tahu, Rin banyak paksa Am. Rin juga bukan seorang isteri yang baik.” Zurin berkata lembut. Dada sudah terasa sebak. Airmata sudah bertakung di tubir mata.
“Tak...tak. Rin adalah isteri terbaik yang pernah Am jumpa. Am tahu, Am pendamkan segalanya dalam hati Am. Sebenarnya, Am perlukan ketenangan. Am perlu duga hati Am samada Am boleh hidup tanpa cinta Rin atau tak. Tapi, Am memang tak boleh hidup tanpa Rin. Tanpa cinta dan senyuman Rin. Segala-galanya amat berharga buat diri Am.” Adam merintih.
Adam melonggarkan pelukan. Memegang wajah Zurin yang sudah kebasahan dek airmata yang tidak tertahan lagi. Hati Zurin luluh mendengar bicara Adam. Sungguh tulus Adam mencintainya. Dia tahu tidak sepatutnya dia memaksa Adam untuk menceritakan segala perihal. Mungkin Adam juga memerlukan ruang untuk bersendirian. Untuk menjadi ‘bujang’ buat seketika. Adam mengelap airmata yang masih menitis di pipi Zurin.
“Janji dengan Am. Walau apapun yang terjadi selepas ni, Rin jangan menangis lagi. Am tak sanggup tengok Rin menitiskan airmata walaupun hanya setitik.” Erat Adam menggenggam jemari Zurin.
Wanita dihadapannya itu hanya merenung wajah Adam. Kemudian, mengangguk perlahan tanda setuju akan perjanjian tersebut. Adam menarik Zurin dan dipeluk bahu wanita itu. Mereka sama-sama berjalan masuk ke dalam rumah. Zurin terasa gembira. Seperti mahligai yang dibina mereka 2 tahun lalu, kembali subur dengan bunga-bunga cinta yang pernah ditanam dan dibajai oleh mereka berdua.


SUASANA di Kampung Alor Gunung sangat tenang hari itu. Kepulangan Durrah amat dinantikan oleh Hasanah. Berpelukan dengan anak perempuan yang sudah hampir setahun lebih tidak ketemu. Hasan juga turut memeluk Durrah. Rindunya menggunung pada Durrah. Setiap hari selepas Durrah berangkat pergi, pasti Hasan akan bertanya kepada Hasanah, kemana pergi kakak kesayangannya itu. Durrah tunduk menyalami Karim.
“Ayah sihat?” tanya Durrah apabila dilihatnya wajah tua yang cengkung itu. Karim hanya mengangguk dan tersenyum.
“Masuklah dulu. Dura mesti penat kan? Datang dari jauh.” Hasan menolong Durrah mengangkat beg pakaiannya. Durrah mengusap kepala Hasan yang sudah semakin besar itu.
“Mak nya...masaklah ikan keli cabai yang Dura suka tu.” Karim berkata. Dilihatnya Hasanah mengangguk sambil menuju ke dapur.
Durrah sudah lama menghilang ke dalam bilik. Hasan pula sudah keluar bermain bersama rakan-rakan sebayanya. Karim melabuhkan punggung di pangkin rumah. Mula menggulung rokok tembakau yang diletakkan di dalam bekas khas. Durrah membuka tingkap biliknya. Terpampang keindahan dan kehijauan sawah padi dihadapan mata. Ditarik dan dilepaskan nafas sedalam-dalamnya. Mata Durrah terarah ke Karim yang berada di bawah pokok ketapang sambil menghembuskan kepulan asap. Durrah hanya menggeleng perlahan melihat ayahnya itu. Dia keluar dari bilik dan turun dari rumah menuju ke pangkin yang disediakan oleh Karim untuk bersantai.
“Ayah...orang dah pesan. Jangan dok hisap rokok selalu sangat. Batuk Ayah tu tak baik lagi.” Nasihat Durrah. Karim hanya tersenyum mendengar bebelan Durrah. Sudah lama tidak mendengar mulut itu berceloteh membebel kepadanya.
“Dura...” panggil Hasanah dari dapur. Mata mereka berdua tertuju ke arah pintu dapur yang terbuka.
“Mai tolong Mak sat.” Hasanah menggamit.
“Hah...pi lah tolong Mak hang tu.” Karim mengangkat kaki kanannya dan menopang tangan yang memegang rokok tembakau tersebut.
“Hmm...yalah. Ayah jangan merokok kerap sangat.” Pesan Durrah sebelum dia berjalan meninggalkan Karim keseorangan di situ.
Lelaki tua itu hanya menggelengkan kepalanya yang sudah beruban. Rumah mereka itu kembali ceria dengan suara Durrah yang tidak habis-habis mengeluarkan nasihatnya.


BERSAMBUNG....

0 tukang komen paling setia: