BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 24, 2009

SEINDAH AL-HAMRA BAB 4

BAB 4

HANYA tinggal beberapa jam sahaja lagi kapal terbang Boeing-777 200ER yang membawa 255 penumpang akan mendarat di landasan lapangan terbang Kuala Lumpur International Airport (KLIA) itu. Jemari Adam dan Zurin bertaut. Sangat erat pegangan jemari mereka ketika itu. Serasa tidak mahu dilepaskan walaupun selepas turun dari kapal terbang tersebut. Zurin melentokkan kepalanya ke bahu Adam. Sejak dari kapal terbang itu terbang membelah awan lagi, mata Zurin seakan tidak mahu lelap. Dia menongkat dagu di bahu Adam. Memerhatikan wajah itu sepuas hatinya. Sebaik sahaja kapal terbang ini mendarat, mereka mungkin tidak boleh jadi seperti dahulu lagi. Hubungan mereka akan lebih terbatas. Sekalipun mereka berjumpa selepas ini, pasti tidak sama seperti dahulu. Airmata Zurin menitis. Ditekup mulutnya daripada kedengaran esak tangis yang berpanjangan. Kembali merebahkan kepala ke atas bahu Adam dan melemparkan pandangan ke luar.
Adam membuka matanya perlahan. Memandang gadis yang teramat dicintainya itu. Mencium ubun-ubun kepala Zurin, lama. Dia tahu Zurin sedang bersedih. Badan Zurin bergoncang sedikit. Menahan tangisan daripada kedengaran kuat. Zurin mengalihkan badannya dan memeluk Adam seerat yang mungkin. Adam membalas pelukan itu. Mereka sama-sama memejamkan mata. Berharap bahawa kapal terbang ini tidak akan pernah mendarat.
3 jam kemudian, kapal terbang itu mendarat di landasan lapangan terbang KLIA. Tali pinggang yang terikat di pinggang, mula dileraikan oleh para penumpang. Adam dan Zurin seperti tidak mahu turun daripada perut kapal tersebut. Akhirnya, Adam bangun apabila dilihatnya kabin itu mulai kosong. Menarik tangan Zurin. Gadis itu membuntutinya dengan langkah perlahan. Jemari mereka masih lagi erat bertaut. Pramugari yang bertugas pada hari itu tersenyum kepada mereka berdua.
“Selamat pulang ke Malaysia.” Ucap pramugari itu dengan senyuman yang sangat manis walaupun sudah berpenat lelah untuk melayani setiap penumpang yang bermacam ragam.
“Terima kasih.” Ucap Adam dan Zurin serentak. Adam melangkah perlahan menuruni anak tangga tersebut.
Setelah itu, mereka sama-sama menuju ke tempat untuk mengambil bagasi pakaian. Melalui pemeriksaan kastam dan pengesahan pasport sebelum mereka menuju ke balai ketibaan. Kelihatan keluarga Adam dan Zurin berdiri tidak jauh dari mereka. Tautan jemari mereka itu dilepaskan perlahan-lahan sebelum masing-masing menuju ke arah keluarga yang sedang menunggu. Sempat Adam dan Zurin saling bertatapan. Belum pun lagi meninggalkan lapangan terbang itu, hati sudah merindu. Adam menarik nafas dan dilepaskannya perlahan. Menuju ke arah keluarganya dengan senyuman lebar. Rindu pada kedua ibubapa dan adik-adiknya sudah terlerai. Memeluk Mamanya yang sedang mengelap airmata. Dipeluk wanita elegan itu seerat mungkin. Rindunya pada Datin Aisyah menggunung. Melonggarkan pelukan dan beralih pula pada Datuk Hafiz yang tersenyum melihat kelakuan dua beranak itu. Adik bongsu Adam sedang menunggu giliran untuk berpelukan dengan abangnya itu.
“Rindu kat Along ke?” tanya Adam. Dicuit perlahan hidung Aida Imanina. Adiknya itu mencebik.
“Mestilah. Along kan dah lama tak balik sini.” Terus sahaja Aida memeluk Adam. Abangnya mencium ubun-ubun kepala Aida. Beralih memandang pula ke arah Dr. Hanita dan Dr. Faiz. Tersenyum kepada kedua orang tua itu.
“Ucu, Pak Cu.” Tunduk menyalami mereka berdua.
“Along...” panggil Laily. Adam menggosok kepala Laily, kasar. Sehingga kusut rambut gadis itu dibuatnya. Laily mencebik. Menyikat rambutnya menggunakan tangan.
“How’s final exam?” soal Adam. Laily membuat mimik angkuh.
“Alah...kalau setakat 4 flet tu, kacang je lah.” Adam menunjal kepala Laily. Gadis itu sekali lagi mencebik. Yang lain, hanya mentertawakan mereka berdua.
“Ohh...dah for sure ada dalam Dean’s list lah ni?” Adam bertanya, sinis. Laily memeluk tubuh.
“Haruslah. Tengok oranglah, Along.” Dengan penuh lagak, Laily menyambung kata.
“Sudah-sudahlah tu. Kamu berdua ni kalau bergaduh, sampai tahun depan pun tak habis.” Datuk Hafiz memeluk bahu Adam.
Mereka semua mengangguk tanda bersetuju. Adam menolak troli yang diletakkan bagasi-bagasinya itu dan berjalan keluar dari lapangan terbang bersama sanak-saudaranya. Sempat memandang sekilas ke arah Zurin yang juga turut berjalan keluar bersama keluarganya. Seperti tidak mahu lepas, dia memandang gadis itu berlalu. Laily yang terperasan akan perbuatan Adam itu, mengalih pandang ke arah tempat yang dipandang oleh Adam. Kelihatan seorang gadis bersama kedua ibubapanya berjalan keluar meninggalkan kawasan itu. Laily menepuk lengan Adam, kuat. Adam tersedar dan terpinga-pinga memandang Laily.
“Kenapa, Long?” soal Laily. Perasaan curiganya tiba-tiba sahaja timbul. Adam menggeleng pantas. Laily sempat memandang semula ke arah yang dipandang oleh Adam sebentar tadi. Dahinya dijungkitkan. Mengalih pandang ke arah Adam yang seperti orang dalam kegelisahan.

‘Ada satu rahsia yang perlu aku tahu,’ hati Laily bergumam sendirian. Kemudian, membuntuti ahli keluarganya.


SEPANJANG perjalanan pulang ke rumah, Haji Ali dan Hajah Kasmiah leka bersembang sesama sendiri. Zurin melemparkan pandangan ke luar. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi dan satu khidmat pesanan ringkas tertera di skrin telefon. Senyuman kecil diukirkan. Perasaan rindu mula terbit di hati walaupun tidak sampai sejam mereka berpisah. Haji Ali melihat anak perempuannya itu melalui cermin pandang belakang. Wajah mendung Zurin bertukar ceria. Haji Ali berdehem perlahan. Zurin memandang abahnya melalui ekor mata.
“Kamu tak suka balik ke sini ke, Rin?” perlahan sahaja Haji Ali bertanya. Zurin menggeleng perlahan. Mengukirkan senyuman hambar.
“Taklah, Abah. Rin seronok sangat dapat balik ke sini. Dapat jumpa Mak...Abah.” lemah sahaja Zurin menutur kata. Haji Ali menumpukan penuh konsentrasi ke pemanduannya.
“Kenapa Abang tanya macam tu? Takkanlah Rin tak suka balik ke sini.” Hajah Kasmiah menyampuk. Zurin melepaskan keluhan perlahan. Kembali melemparkan pandangan ke luar. Terbayang wajah Adam. Tanpa disedari, satu keluhan kuat keluar dari mulutnya.
45 minit kemudian, kereta Perodua Alza milik Haji Ali tiba dihadapan rumah teres berkembar 2 tingkat. Zurin membuka pintu kereta. Haji Ali menarik pedal untuk membuka but kereta. Zurin membuka but dan memunggah bagasi-bagasi pakaiannya. Haji Ali menolong Zurin manakala Hajah Kasmiah membuka pintu utama. Zurin meneliti sekeliling rumahnya. Menarik nafas dan dilepaskannya. Terasa rindu juga terhadap rumah itu. Zurin menarik bagasi-bagasinya dan menuju ke pintu utama. Bersusah-payah menarik bagasi-bagasinya ke dalam rumah. Tiba-tiba jeritan sanak saudara Zurin yang sudah sedia menunggu kepulangan mereka di rumah Haji Ali dan Hajah Kasmiah itu. Zurin terkejut melihat sanak saudara yang ada di dalam rumah. Bersalaman dengan sepupu-sepupunya. Tunduk menyalami ibu dan bapa saudara yang hadir. Zurin sengaja menceriakan wajahnya walaupun di hati tiada perasaan untuk turut serta bersama-sama mereka yang lain meraikan kepulangannya.
“Kak Rin, best tak London?” tanya salah seorang sepupu Zurin yang muda 13 tahun darinya. Zurin tersenyum manis. Mengusap wajah adik sepupunya itu.
“Best. Faiqah belajar rajin-rajin. Get a good grades. Lepas tu apply lah universiti kat sana.” Ujar Zurin. Gadis yang bernama Faiqah itu mengangguk pantas.
“Tapi Kak Rin lepas grad, Kak Rin kerja kan kat sana?” soal seorang lagi gadis yang dikenali sebagai Syuhadha. Zurin mengangguk perlahan.
“Adha, apa khabar?” Zurin bertanya. Syuhadha tersenyum.
“Baik, Kak Rin. Haa...sebelum Adha lupa, Kak Syuzi kirim salam.” Ujar Syuhadha menyampaikan salam Syuziana kepada Zurin.
“Waalaikumussalam. Kak Syuzi buat apa sekarang ni? Dah lama tak dengar cerita dia.” Sela Zurin. Syuhadha membetulkan tudungnya.
“Kak Syuzi sekarang ada kat Jordan.” Syuhadha berkata. Dihirup air yang berada di tangannya itu. Zurin mengerutkan dahi.
“Buat apa kat sana? Kerja?” soal Zurin bertubi. Syuhadha menggeleng perlahan.
“Taklah. Company’s trip. Minggu depan baru balik. Dia nak jumpa dengan Kak Rin. Tak sabar, katanya. Dia dah lama tak jumpa dengan Kak Rin.” Jawab Syuhadha. Zurin mengangguk. Dia juga terasa rindu terhadap sepupu yang paling rapat dengannya sedari kecil lagi.
“Cukup-cukuplah interview Kak Rin kamu tu. Penat pun tak hilang lagi, kamu dah soal dia macam-macam.” Ujar Hajah Kasmiah. Syuhadha mencebik.
“Ala...Mak Ngah. Bukan selalu dapat berborak dan berjumpa dengan Kak Rin.” Faiqah pula mencelah. Zurin tersenyum sehingga menampakkan barisan giginya yang putih.
“Betul cakap Mak Ngah kamu tu, Iqah...Adha. Rin, pergilah makan dulu. Tentu Rin lapar kan. Baru je turun dari plane tadi.” Puan Natasya menyampuk. Mereka semua berpaling ke arah suara menyahut kata-kata Hajah Kasmiah itu.
“Ehh...bila Mak Su sampai?” tanya Zurin. Tunduk menyalami wanita elegan itu. Semasa dia baru tiba di rumah itu, tidak pula perasan akan kehadiran Puan Natasya.
“Baru je, Rin.” Jawab Puan Natasya ringkas. Rindu betul Puan Natasya terhadap anak abangnya itu. Sudah bertahun tidak berjumpa.
“Pak Su Zahid mana?” soal Zurin lagi. Tercari-cari wajah suami Mak Su nya itu.
“Tu...ada kat luar. Tengah bersembang dengan Abah kamu.” Unjuk Puan Natasya ke arah Encik Zahid yang berada di halaman rumah. Leka lelaki itu sedang bersembang dengan abang iparnya. Zurin mengangguk perlahan.
“Mak Su dah makan?” Zurin bertanya. Puan Natasya menggeleng.
“Mak Su pergilah makan dulu.”
“Jomlah Rin makan sekali dengan Mak Su.” Ajak Puan Natasya.
“Tak apalah. Kejap lagi Rin makan. Mak Su pergilah dulu.” Tolak Zurin lembut. Puan Natasya meneliti wajah Zurin yang sedikit cengkung itu.
“Mak Su tengok Rin ni makin kurus. ‘Makan hati’ ke?” berkias sekali Puan Natasya bertanya. Zurin tergamam. Ketarakah di wajahnya? Zurin memegang pipinya.
“Apa maksud Mak Su?” tergagap Zurin menyoal. Puan Natasya tersenyum.
“Tak apa-apalah. Cuma Mak Su tengok Rin cengkung sangat. Tak macam mula-mula Rin berangkat ke sana.” Puan Natasya segera menukas apabila wajah anak saudaranya itu sudah berubah.
“Dulu, selalu sibuk dengan assignment. Bila dah kerja, busy dengan paperwork yang menimbun kat office. Jadi selalu skip meal.” Seribu satu alasan yang dicipta oleh Zurin. Puan Natasya hanya tersenyum mendengar alasan Zurin itu.
“Yalah...yalah...” akhirnya Puan Natasya mengalah. Zurin tersenyum kecil.
“Jadi, Rin tak nak makanlah ni?” sekali lagi Puan Natasya bertanya. Zurin tetap memberikan jawapan yang sama. Diikuti dengan gelengan perlahan.
Tepat jam 10 malam, para tetamu yang hadir mula beransur pulang. Zurin sudah keletihan kerana tidak habis dengan jet lag lagi sebaik sahaja menjejakkan kaki ke tanah air, pulang ke rumah terus di arah melayani tetamu yang hadir. Zurin merebahkan badan ke atas katil empuk kepunyaannya. Bilik itu tetap tidak berubah dari 8 tahun yang dulu. Ah! Rindunya pada bilik itu. Zurin memeluk bantal bolster. Alangkah indahnya jika dapat memeluk Adam ketika ini. Zurin bangun dari katilnya dan mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja solek. Mula mendail satu persatu nombor telefon bimbit Adam. Ada nada deringan. Ada juga yang menjawab panggilannya.
“Assalamualaikum.” Sahut seseorang dengan lembut di talian sebelah sana. Zurin tersenyum.
“Waalaikumussalam. Am tengah buat apa tu?” tanya Zurin. Rindu Zurin terlerai apabila mendengar suara orang yang sangat dicintainya itu.
“Am tengah fikirkan tentang Rin.” Jawab Adam. Zurin mengerutkan dahi.
“Tengah fikir tentang Rin? Kenapa?” bertubi soalan yang keluar dari bibir mungil Zurin.
“Am rindukan Rin.” Jawab Adam ringkas, cukup untuk membuatkan hati Zurin sayu. Airmata mula bertakung di tubir mata.
“Rin pun rindukan Am.” Zurin berkata, sebak.
“Malam ni tidur mimpikan Am, ya.” Lembut sekali suara garau itu berkata. Tanpa tertahan, airmata itu turun jua membasahi pipi mulusnya.
“Dalam setiap mimpi Rin, hanya ada Am saja.” Zurin teresak kecil.
“Jangan menangis, sayang. Am pasti. Satu hari nanti, kita akan bersatu.” Adam berusaha untuk memujuk sekeping hati milik perempuan bernama Zurin. Gadis itu mengelap airmatanya dengan belakang telapak tangan.
“Rin rehatlah. Am kena masuk dalam dulu ni. Keluarga Ucu belum balik lagi.” Adam berkata. Zurin mengangguk walaupun Adam tidak melihat akan perbuatannya itu.
“Assalamualaikum.” Adam memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Dengan suara yang serak, Zurin menjawab salam lelaki itu.
Sebaik sahaja mereka sama-sama mematikan talian, gambar Adam muncul sebagai wallpaper di skrin Blackberry milik Zurin. Mereka berdua sedang bergembira ketika itu. Ke Berlin untuk bercuti sambil menenangkan fikiran dari segala kekusutan yang membelenggu apabila seharian di tempat kerja. Zurin menekapkan telefon bimbitnya ke dada. Membaringkan diri semula di katilnya. Masih memandang skrin telefon bimbit. Seketika kemudian, Zurin bangun dari perbaringannya dan melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri.


KERETA Mercedes CLK 200 milik Dr. Faiz berhenti dihadapan pintu pagar rumah banglo yang tersergam indah. Dr. Hanita melihat jam di dashboard kereta. Jam sudah menunjukkan hampir 12 malam. Pintu pagar automatik terbuka perlahan-lahan. Sebaik sahaja kereta itu melintasi pintu pagar, segera Dr. Hanita menekan butang di alat kawalan jauh untuk menutup semula pintu pagar itu secepat mungkin. Almaklumlah, waktu mereka pulang ke rumah sahaja sudah lewat. Bermacam-macam cerita sudah didengari daripada jiran tetangga. Baru sahaja dalam minggu lepas, salah seorang jiran mereka rumahnya dimasuki pencuri. Sempat pencuri itu memasuki melalui pintu pagar automatik yang tertutup perlahan itu dan merompak jiran mereka semasa mereka sekeluarga baru sahaja hendak keluar dari perut kereta. Hampir RM10,000 barangan yang dicuri. Termasuk barang kemas yang berada di badan si isteri serta komputer riba milik si suami. Berserta duit tunai sebanyak RM1,000.
Sebaik sahaja pintu pagar automatik itu tertutup, Dr. Faiz dan Dr. Hanita serta Laily melangkah turun dari keretanya. Laily mengambil beg plastik yang berisi makanan di kerusi belakang dan membawanya turun. Mengambil kunci dari dalam tas tangan dan kedengaran kunci itu berlaga di pintu utama. Terkuak luas pintu utama tersebut. Lampu di ruang tamu masih terpasang. Kelihatan Safiah menuju ke arah Laily. Diambil beg plastik tersebut yang dihulurkan oleh Laily.
“Mak Piah, anak saudara Mak Piah tu dah sampai ke?” tanya Laily. Tercari-cari wajah yang selalu disebut-sebut oleh Safiah. Wanita tua yang bersanggul itu menganggukkan kepalanya perlahan.
“Dah. Ada kat dapur. Tengah mengemas.” Ujar Safiah. Mulutnya terjuih ke arah dapur. Laily menjenguk ke arah dapur.
“Boleh Laily jumpa dia?” Laily bertanya. Safiah mengerutkan dahi.
“Boleh. Apa salahnya. Pergilah.” Ujar Safiah. Laily bertepuk tangan perlahan dan tersenyum kecil. Menuju ke arah dapur. Dr. Hanita melangkah masuk ke dalam rumah. Tersenyum pada Safiah.
“Kak Piah tak tidur lagi?” Dr. Hanita bertanya. Dr. Faiz juga baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah. Menanggalkan kasut dan diletakkan di dalam rak kasut.
“Belum lagi, Puan. Ada kerja yang perlu diselesaikan.” Safiah menukas. Dr. Hanita mengangguk perlahan. Ditanggalkan tudung yang dipakainya. Berjalan mendekati tangga tetapi beralih semula ke arah Safiah yang baru sahaja berkira-kira hendak melangkah ke dapur.
“Anak saudara Kak Piah dah sampai?” tanya Dr. Hanita lembut.
“Dah, Puan. Ada kat dapur.” Unjuk Safiah ke arah dapur. Dr. Hanita menjenguk ke arah dapur dari tangga. Terlihat kelibat dua orang manusia di dapur. Mengangguk perlahan.
“Tak apalah, Kak Piah. Kalau macam tu saya naik dululah.” Tukas Dr. Hanita. Giliran Safiah pula mengangguk. Dr. Hanita mendaki tangga menuju ke biliknya yang berada di tingkat atas. Safiah berjalan masuk ke dalam dapur. Tersenyum Safiah melihat Laily dan Durrah leka bersembang.
“Dah pukul berapa dah ni?” soal Safiah. Matanya tertancap pada jam dinding yang tergantung elok di dalam dapur itu.
“Laily tak nak tidur lagi ke? Mak Piah dah mengantuk ni. Dura pun tentu dah penat.” Ujar Safiah berkias. Laily yang memahami maksud Safiah itu, segera membawa gelas yang diminumnya itu dan dibawa ke sinki.
“Okaylah. Selamat malam Mak Piah, Dura. Assalamualaikum.” Laily berkata sebelum berlalu. Salamnya itu disambut perlahan oleh Safiah dan Durrah.

BERSAMBUNG....

5 tukang komen paling setia:

::cHeeSeCaKe:: said...

adam ngn zurin da kawin ker??
kawin snyap2 ek??
klu kwin,npe xnk gtau je..
erm,nti msti zurin mati..sbb adam hero..ahaha..pndai2 je..

sinichies_girl88 said...

ha ah sokong cheescake...
lagak diaorang cm kahwin je..
ermmm bagusnya dura dah kja...
ermmm satu khidupan baru bagi durra akan bermula...
heheh sambung lagi erk...
:)

hananorisa said...

sokong pengkomen di atas..hehehehe...
zurin ngn adam tu mesra semacam....

ha-ra said...

there's sumthing fishy btween adam n zurin la...
cm plik jea...
cpt2 smbg kak ech...

keSENGALan teserlah.. said...

sokong2..
kalo bercinta skali pon,,,
takkan smpai cmtuh?
nieh mesty ade sumthing nieh...
smbng2..