BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 16, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 21

BAB 21

TETAMU yang hadir di majlis perkahwinan Adam dan Durrah sebentar tadi sudah beransur pulang. Adam yang keletihan terus masuk ke dalam bilik selepas menghantar Pak Su Hanafi dan Mak Su Dilah di muka pintu. Sepanjang hari terpaksa berlakon, membuatkan Adam cepat letih. Terpaksa menghadiahkan senyuman kepada tetamu yang hadir. Laily tahu senyuman itu senyuman paksaan. Sengaja dia bertanya sebentar tadi. Tetapi Adam pura-pura mengelak. Malas mahu menjawab panjang-panjang. Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik, Adam terus mencapai telefon bimbit yang diletakkan di dalam poket Baju Melayu. Semasa sedang sibuk bergambar berbagai pose yang diarahkan oleh jurugambar sebentar tadi, perutnya terasa sedikit bergetar. Menandakan ada pesanan khidmat ringkas atau panggilan yang baru masuk. Samping yang sudah terlucut disangkutkan ke bahu. Laju sahaja tangan menekan punat view. Ingin membaca pesanan yang dibalas oleh Zurin itu. Adam mengurut kepalanya yang terasa pusing. Zurin meminta dia menyayangi Durrah sepenuh hati?
Pintu kamar pengantin terkuak sedikit. Segera Adam menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket baju. Mengangkat muka memandang Durrah yang melangkah masuk dengan lemah lembut. Cantik sekali warna merah jambu pilihan Durrah. Sesuai dengan kulitnya yang putih kemerah-merahan. Kenapalah dia tidak ada perasaan berdebar-debar apabila gadis itu semakin mendekatinya? Durrah melabuhkan punggung di birai katil. Bersebelahan Adam. Segera Adam bangun dari duduknya. Mula membuka satu persatu butang Baju Melayu sambil membelakangi Durrah. Terpinga-pinga Durrah melihat kelakuan Adam. Sedikit terasa.
“Abang nak mandi? Dura sediakan air panas.” Ujar Durrah. Sekadar ingin mengajak Adam berbual.
“Tak payahlah. Bukan Abang tak biasa mandi air sejuk.” Adam menjawab.
Nada suaranya dingin, mendatar. Masih sibuk hendak menanggalkan baju. Tetapi kemudian Adam tersedar, Durrah masih berada di dalam bilik itu. Adam mengalih pandang ke arah Durrah. Hati Durrah berdegup kencang.
“Abang nak tukar baju.” Ujar Adam sepatah.
Mengharapkan Durrah memahami kata-kata itu. Durrah mengangguk dan bingkas bangun dari katil. Memulas tombol pintu. Segera keluar dari kamar yang tiba-tiba sahaja terasa panas.
Sebaik sahaja keluar dari kamar pengantin tersebut, Durrah terkejut apabila dia disergah oleh Salina. Terkebil-kebil Durrah memandang Salina yang masih belum pulang. Buat apa dia disini? Setahu Durrah, Nizam sudah lama pulang dengan anaknya, Najmi. Disangkakan Salina turut mengikuti Nizam pulang.
“Eh, Sal...tak balik lagi?” Durrah pura-pura bertanya. Hatinya sebal melihat wajah Salina yang mencebik meluat itu.
“Sal sengaja tak balik lagi. Saja nak tengok drama.” Salina sengaja menekankan perkataan ‘drama’. Durrah mengerutkan dahi. Tanda tidak mengerti.
“Drama? Drama apa? Kat rumah Sal tak ada t.v ke?” soalan Durrah mengundang tawa Salina yang sengaja dibuat-buat.
“Drama popular. Pelakon utamanya Durrah Hamra dan Adam Hariz.” Durrah menggigit bibir mendengar kata-kata Salina.
“Apa maksud Sal?” sekali lagi Durrah bertanya. Perasaan ingin tahunya memuncak. Sudah Salina dapat menghidukah sikap dingin Adam terhadapnya sepanjang majlis berlangsung sebentar tadi?
“Akak jangan ingat Sal tak nampak layanan Abang Adam terhadap Akak tadi. Tapi kan, Sal nak buat tak tau ja. Biaq padan dengan muka Akak. Akak ingat kahwin dengan Abang Adam dapat buatkan Sal cemburu? Akak silap. Dapat kahwin dengan Abang Zam adalah tanda kemenangan Sal dan kekalahan Akak. Akak jangan ingat Sal tak nampak Akak pi jumpa Abang Zam semalam kat pondok tu. Akak jangan cuba nak kacau rumahtangga Sal lagi dah. Jangan sampai Sal bocorkan rahsia ni pada suami Akak tu. Ingat, Kak! Salina tak pernah kalah.” Ugut Salina. Setelah itu, dia berlalu pergi. Mata Durrah membeliak.
“Laa...pasaipa tak tukaq baju lagi.” Hasanah yang muncul dari dapur, benar-benar mengejutkan Durrah yang sedang berangan itu. Pantas dia berpaling ke arah Hasanah dan dihadiahkan sebuah senyuman hambar.
“Dura masuk dulu, Mak.” Sela Durrah meminta diri.
Sebelum sempat Durrah langkah menjauhi Hasanah, terasa seperti tangannya ditarik. Terdorong Durrah ke belakang. Memandang wajah Hasanah yang redup itu. Durrah bertambah pelik melihat kelakuan Hasanah.
“Duk sat. Mak nak cakap sikit.” Arah Hasanah.
Durrah hanya membuntuti Hasanah sehingga ke kerusi rotan lalu dilabuhkan punggungnya disitu. Hasanah duduk bersebelahan dengan anak perempuannya itu.
“Ada apa, Mak?” soal Durrah apabila dilihatnya Hasanah diam tidak berkutik.
Durrah membetulkan duduknya menghadap Hasanah. Tiba-tiba sahaja tangannya itu diraih oleh Hasanah. Semakin pelik Durrah melihat sikap Hasanah itu. Masih menanti butir bicara yang akan keluar dari mulut Hasanah.
“Dura bahagia?” soal Hasanah sepatah. Durrah mengangkat muka.
“Macam mana Dura nak rasa bahagia? Baru ja sehari Dura bernikah, Mak.” Durrah menjawab. Sengaja tertawa kecil untuk menyembunyikan hati yang gementar dengan soalan yang dilontarkan oleh Hasanah itu.
“Jawab ja. Hang suka ka dak dengan Adam?” Hasanah masih tidak habis hendak mengorek rahsia hati anaknya itu.
“Memang Dura suka dengan Adam....” ayat Durrah tergantung. Tidak jadi untuk menyambung apabila ayatnya disampuk oleh Hasanah.
“Tapi dia tak suka kat hang?” Hasanah memandang tajam. Ayat yang seterusnya ingin keluar dari mulut Durrah terasa tersekat di celah kerongkongnya.
“Pasaipa Mak dok kata lagu ni?” Durrah mula tidak senang dengan soalan yang dilontarkan oleh Hasanah itu.
“Dia dah ada kekasih?” Hasanah tidak menjawab soalan Durrah. Sebaliknya dia kembali menyoal. Hanya anggukan dari Durrah yang diterima sebagai jawapan.
“Macam mana Mak tau ni?” Durrah pula yang menyoal.
“Mak ni dah lama makan garam daripada hang. Mak tau mana intan, mana kaca. Mak tau mana cinta, mana suka, mana sayang. Mak tau jugak mana kawan, mana lawan. Tapi satu ja Mak tak tau, hati anak Mak ni. Dura yakin ka yang Adam suka dengan Dura? Dura boleh buat Adam jatuh cinta dengan Dura? Dura boleh bahagiakan rumahtangga Dura?” bertubi soalan yang Hasanah inginkan jawapannya. Terdiam Durrah buat seketika. Perasankah Hasanah akan kedinginan Adam terhadap Durrah? Satu keluhan dilepaskan.
“Mak, dimana ada kesungguhan, disitu ada jalan. InsyaAllah, Mak. Dengan doa dan kesungguhan Dura, Dura yakin Dura boleh bahagiakan Abang Adam. Dura boleh buat dia cintakan Dura.” Jawab Durrah. Tetapi hati dia tidak berkata begitu. Hasanah merenung wajah Durrah. Mencari keihklasan di dalam kata-kata anaknya itu.
“Kalau hang bahagia, Mak pun bahagia.” Hasanah menggenggam erat jemari Durrah. Sama-sama berbalas senyuman.
Terhenti perbualan dua beranak itu apabila kelibat Adam keluar dari bilik. Hasanah memandang ke arah Adam. Lelaki itu memperlahankan langkah apabila terperasan akan renungan yang memandangnya. Adam mengalih pandang ke arah ruang tamu.
“Panas sangat dalam bilik tu. Adam keluar ambil angin kejap, Mak.” Adam berkata. Durrah mengerling ke arah Adam melalui ekor mata.
Sedaya-upaya cuba memberikan senyuman paling manis kepada mentuanya itu. Hasanah hanya mengangguk. Sebaik sahaja kelibat Adam hilang disebalik pintu utama, Hasanah sudah berdiri.
“Hang pi la tukaq baju. Bersolat dan memohon petunjuk-Nya.” Pesan Hasanah sebelum berlalu pergi meninggalkan Durrah keseorangan di ruang tamu.
Durrah melangkah masuk ke dalam kamar pengantin yang dihias indah oleh Kak Sah. Durrah melabuhkan punggung di atas katil. Satu persatu perhiasan yang ada dibadannya, ditanggal lalu diletakkan di atas meja solek. Durrah berjalan menuju ke jendela. Ingin menarik tingkap kayu tersebut tetapi belum sempat tangannya bergerak pantas menutupi jendela itu, mata Durrah menangkap sekujur tubuh yang sedang membelakanginya. Di kejauhan, kelihatan seperti Adam. Sedang bercakap di talian dengan seseorang. Hati Durrah membuak-buak ingin tahu isi kandung perbualan tersebut. Tetapi dipujuk hatinya supaya tidak bertindak melulu. Baru sehari sahaja mereka bernikah, perasaan cemburu dan ingin tahu sudah menjalar di dalam hatinya. Durrah terus menutup tingkap kayu tersebut. Sudah tidak mahu mengambil tahu perihal perbualan Adam itu.


KEESOKKAN paginya, Adam sudah siap mengemaskan beg pakaiannya. Ingin turut serta bersama ahli keluarganya yang lain pulang ke Kuala Lumpur. Durrah yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kamar, bertujuan ingin memanggil Adam turun bersarapan, terkejut melihat beg pakaian yang sudah terletak elok di muka pintu. Adam yang baru keluar dari bilik air terkejut melihat kehadiran Durrah di dalam kamar tersebut. Dia masih sibuk memasukkan berus gigi serta pencuci mukanya ke dalam beg. Kening Durrah bertaut. Mengharapkan penjelasan daripada Adam. Tetapi lelaki itu masih selamba meneruskan kerja-kerjanya. Semalam sewaktu Adam masuk ke dalam kamar untuk merehatkan diri yang keletihan, kelihatan Durrah sudah terlebih dahulu melelapkan mata di atas katil. Teringat Adam akan janji yang dibuat bersama Zurin. Dia tidak akan sekali-kali menyentuh Durrah walaupun gadis itu sudah sah dinikahinya. Bagi Adam, Zurin tiada galang ganti. Dia tidak mungkin akan menyintai Durrah sepertimana dia menyayangi Zurin lebih dari dirinya sendiri. Perasaan sayang? Mungkin hanya perasaan itu sahaja yang tidak boleh dielakkan. Tidak mustahil jika satu hari nanti, dia akan mula menyayangi gadis itu. Tetapi untuk bercinta, tidak mungkin sama sekali.
Adam memandang wajah mulus Durrah. Timbul rasa kasihan dalam hati. Gadis itu tidak tahu apa-apa mengenai kehadiran Zurin. Untuk apa dia marahkan Durrah yang hanya menerima pinangan tersebut demi untuk tidak mengecilkan hati majikannya sendiri. Dia tahu Durrah berniat baik apabila Datin Aisyah menyuarakan cadangannya. Entah kenapa tiba-tiba sahaja Adam bersikap dingin pada Durrah sedangkan sebelum ini Adam lebih selesa meluahkan apa sahaja masalah yang melanda dirinya kepada Durrah. Satu keluhan dilepaskan.
“Abang kena balik K.L hari ni jugak. Esok Abang ada meeting.” Adam berkata tetapi tangannya masih lincah mengemas apa-apa yang patut. Durrah hanya memerhatikan sahaja gerak-geri Adam itu.
“Nanti Abang datang ambil Dura kat sini?” Durrah menyoal. Adam mengangkat muka. Dahinya berkerut.
“Tak. Minggu ni Abang sibuk sangat. Abang bagi duit ni...” Adam berdiri sambil menyeluk poket jeansnya. Mengeluarkan dompet kulit jenama Fossil. Pemberian Zurin dari kota London beberapa tahun yang lalu.
“...Dura pergi beli tiket bas. Abang ambil kat Hentian Duta. Dah sampai nanti, telefon Abang.” Dihulurkan beberapa keping not RM50. Terkebil-kebil Durrah melihat kepingan duit tersebut.
“Ambillah.” Sekali lagi Adam menghulur. Lambat sahaja tangan Durrah menyambut huluran tersebut.
“Dura ada nombor Abang kan? Nanti Dura call je.” Adam menjinjing beg pakaiannya. Dipulas tombol pintu dan melangkah keluar dari kamar tersebut.
“Adam nak pi mana ni?” soal Karim yang melintasi dihadapan kamar anak dan menantunya itu.
Termangu Adam hendak mencari jawapan. Sebenarnya, dia tidak betah duduk berduaan bersama Durrah dirumah itu. Dia mahu lekas pulang ke pangkuan Zurin. Durrah menelan air liur. Tidak menyangka juga ayahnya akan berada dihadapan pintu kamar mereka.
“Abang Adam kena balik K.L hari ni jugak, Ayah. Dia ada mesyuarat penting esok.” Jawab Durrah bagi pihak Adam. Kelihatan Karim mengangguk. Tidak pasti samada lelaki tua itu mempercayai atau tidak kata-kata Durrah.
“Dura balik sekali?” pandangan Karim mencerun ke arah Durrah.
“Dak aih. Dura balik Khamis ni. Abang Adam balik dulu.” Pantas minda Durrah mencerna jawapan yang terbaik untuk pendengaran Karim.
“Hmm...tak sarapan dulu?” Karim menyoal Adam pula. Durrah dan Adam saling berpandangan. Durrah memberikan isyarat mata kepada Adam supaya lelaki itu bersetuju. Adam mengalih semula pandang ke arah Karim.
“Boleh jugak, Ayah. Tapi Adam pergi letak beg dalam kereta dulu.” Unjuk Adam ke beg pakaiannya. Karim hanya mengangguk. Diperhatikan kelibat Adam menghilang di muka pintu.
“Ayah bawak parang tu nak pi mana?” Durrah pura-pura bertanya. Cuba mengalihkan perhatian Karim.
“Ayah nak pi kebun sat. Hang ajaklah Adam tu makan dulu sebelum balik.” Karim berkata tegas.
Durrah mengangguk perlahan. Pandangan Karim seperti menusuk terus ke jantungnya. Karim beredar dari situ selepas Durrah menyalaminya. Adam memanjat kembali tangga dan menuju ke arah Durrah yang berdiri tercegat di ruang tamu. Kemudian, mereka sama-sama menuruni anak tangga menuju ke ruang makan yang terletak di dapur. Hasanah sedang sibuk menggoreng karipap sardin yang akan dibuat sebagai jualannya. Setiap hari pasti Hasanah membungkus nasi lemak dan menggoreng karipap sardin yang akan dihantar ke gerai Pak Teh Madi dan Mak Teh Hawa. Murfiqah menolong Hasanah membungkus nasi lemak tersebut. Itulah rutin harian Hasanah dan Murfiqah.
“Hah...mai duduk, meh. Dura ambil pinggan tu bagi kat Adam.” Durrah hanya menurut arahan Hasanah. Diceduk nasi lemak ke dalam pinggan berserta sambal, kacang, ikan bilis dan telur goreng. Dihulurkan kepada Adam.
“Hangpa nak pi mana lepaih ni?” Murfiqah bertanya. Tangannya masih sibuk membungkus nasi lemak.
“Tak pi mana la, Kak. Abang Adam nak balik K.L dah.” Durrah berkata perlahan. Murfiqah dan Hasanah saling berpandangan.
“Adam nak balik K.L dah?” soal Hasanah. Adam mengangguk.
“Esok saya ada mesyuarat penting. Tak boleh kalau tak hadir.” Jawab Adam.
Tangannya laju menyuap nasi lemak ke mulut. Sedap pula nasi lemak air tangan ibu mertuanya itu. Hasanah memandang Durrah, lama. Adam mengangkat muka apabila tiba-tiba sahaja suasana hening. Terpandang akan renungan Hasanah yang lama itu kepada Durrah, segera Adam mencelah.
“Dura tak balik lagi, Mak.” Adam berkata. Hasanah mengalih pandang ke arah Adam. Kepalanya mengangguk perlahan.
“Belah Adam punya majlis Sabtu ni, kan?” soal Murfiqah. Memecahkan kesunyian diantara mereka.
“Ya, Kak. Akak turun ke?” Adam bertanya sekadar berbasa-basi. Tidak mahu kelihatan kekok dihadapan kakak iparnya itu.
“Ha’ah. Semualah turun. Salina dan Nizam pun turun sekali.” Sengaja Murfiqah menekankan nama bekas kekasih Durrah itu.
Tidak senang duduk dibuatnya. Adam hanya mengangguk walaupun dia tidak begitu mengenali nama-nama yang disebut oleh Murfiqah itu. Durrah menguis makanan di dalam pinggan. Selera yang ada, mati begitu sahaja.


BERSAMBUNG....

3 tukang komen paling setia:

hana_aniz said...

hmmm.. sabar durra. huu

Anonymous said...

kalo ade makhluk macam salina tuh...mohon2 smoge dilaknat Allah....

sebagai adik, tindakan die biadap sekali...no wonder si nizam tuh masih terhegeh2 nak kat durrah....

Kiara said...

kasihannya durrah.
xtau siapa yg nak disalahkan dalam hal ni :(