BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, September 17, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 19

BAB 19

RIUH rumah Karim dan Hasanah dengan saudara-mara yang datang dari jauh. Kesemua mereka tidak sabar untuk melihat Durrah bernikah dan bersanding. Sejak tersebarnya berita Durrah dan Nizam putus tunang, mereka sangkakan lama lagi baru mereka boleh melihat Durrah bernikah. Agak mengejutkan juga berita mengenai perkahwinan Durrah ini. Tidak sampai 2 bulan bertunang, Durrah dan Adam dinikahkan. Durrah sedang sibuk menolong perancang majlis kahwinnya, Norisah atau lebih dikenali sebagai Kak Sah. Sibuk menghias katil pengantin dan juga pelamin yang diletakkan di ruang tamu rumah. Tema merah jambu dan putih menjadi pilihan Durrah. Segala-galanya baik daripada barang hantaran sehingga pelamin dan warna tema, semua diserahkan oleh Adam untuk Durrah membuat keputusan. Tiada langsung perasaannya untuk turut menolong dalam majlis perkahwinan mereka itu. Durrah sedar akan perubahan sikap Adam. Sejak bertunang, sudah jarang Adam pulang ke rumah Datin Aisyah. Jika Adam pulang pun, adalah di atas paksaan Datin Aisyah. Adam juga sudah kurang hendak berbual dengan Durrah. Tidak seperti dahulu. Bukan Durrah tidak perasan akan itu semua tetapi dibuat tidak tahu sahaja.
Laily adalah diantara tetamu yang paling awal tiba dirumahnya. Durrah memaksa Laily untuk datang awal. Dia mahukan Laily menjadi pengapitnya nanti. Tidak sampai hati untuk Laily menceritakan perkara sebenar kepada Durrah kerana dilihatnya gadis itu beria-ia hendak menjadi isteri kepada Adam. Laily mengetuk pintu bilik yang tertutup rapat itu. Laily pun pelik. Hanya menghiasi kamar pengantin sahaja. Kenapa mesti sampai menutup dan mengunci pintu segala? Menurut Kak Sah, tidak mahu para tetamu melihat kamar pengantin yang masih belum siap didandan. Selepas siap menghias, tidak dibenarkan seorang pun tetamu masuk untuk melihat keindahan kamar itu. Biarlah ia menjadi kejutan semasa di hari perkahwinan pasangan pengantin itu nanti. Pintu kamar kayu itu, terkuak sedikit. Terjengul wajah Kak Sah. Tersenyum Laily pada wanita separuh abad itu.
“Ada apa, Laily?” soal Kak Sah.
Laily meramas jari jemarinya. Benarkah tindakannya ini? Kak Sah pelik melihat kelakuan Laily yang seperti tidak betah. Gelisah sahaja tindak-tanduknya.
“Kenapa ni, Laily?” sekali lagi Kak Sah menyoal. Laily tersentak dan mengangkat muka memandang wajah Kak Sah dalam kekeliruan.
“Err...Kak Sah, Laily nak jumpa Dura kejap, boleh?” Laily bertanya. Kepalanya terjenguk-jenguk ke dalam. Mencari kelibat Durrah. Kak Sah mengangguk.
“Masuklah.” Pelawa Kak Sah. Kaki Laily masih tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Berkerut dahi Kak Sah melihat perilaku Laily yang serba tidak kena itu.
“Emm...Dura.” panggil Kak Sah.
Durrah berpaling melihat Kak Sah yang berdiri tercegat dihadapan pintu. Pintu tersebut terkuak sedikit. Sampai begitu sekali Kak Sah tidak membenarkan orang melihat kamar pengantin.
“Ada apa, Kak Sah?” tanya Durrah. Tangannya masih ligat memintal kain yang akan digantung di belakang kepala katil.
“Ni hah...Si Laily nak jumpa kamu.” Jawab Kak Sah sambil bergerak menjauhi pintu kamar.
Durrah menjenguk ke arah pintu. Kelihatan wajah gelisah Laily. Durrah mengangguk lalu bingkas bangun dan menuju ke Laily.
“Kenapa, Laily?” Durrah bertanya.
Tanpa berkata apa-apa, Laily segera menarik tangan Durrah. Kebingungan Durrah mengikut gerak langkah Laily. Mereka sama-sama melintas ruang tamu yang penuh dengan sanak-saudara. Laily tidak mempedulikan mata-mata yang memerhatikan mereka dengan bingung.
“Laily...kenapa ni?” Durrah bertanya lagi.
Kaki mereka pantas bergerak menuju ke arah sawah bendang yang terbentang luas di belakang rumah Durrah. Sampai sahaja ke tengah bendang, Laily melepaskan tangan Durrah yang sudah memerah. Kelihatan gadis itu menggosok tangannya perlahan. Kasihan pula Laily melihatnya. Durrah mengangkat muka memandang Laily.
“Kenapa dengan Laily ni? Sejak datang ke sini, muka Laily macam orang gelisah je. Ada apa-apa yang tak kena ke?” bertubi soalan yang keluar dari mulut Durrah.
“Dura...jujur Laily bertanya ni.” Serius benar bunyi kata-kata Laily itu.
“Apa dia? Serius betul muka Laily ni.” Durrah mencubit pipi Laily.
Kalau dahulu pasti gadis itu akan mengaduh kesakitan. Tetapi tidak hari ini. Wajah serius dihadapannya itu benar-benar membuat hati Durrah tidak senang.
“Dura tahu yang Abang Adam ada...ada...ada girlfriend?” serba-salah juga Laily hendak mengajukan soalan sebegitu kepada Durrah.
Khuatir hati gadis itu akan terluka. Bertambah terkejutnya Laily apabila melihat kepala Durrah mengangguk. Laily menelan air liur.
“Dura tahu Abang Adam terlalu sayang dan cintakan kekasih dia tu?” sekali lagi Laily menyoal.
Durrah menundukkan wajah. Hatinya terguris mendengar soalan Laily itu. Seperti tadi, dia tetap mengangguk. Laily menarik nafas sedalam-dalamnya dan dihembuskan perlahan. Apakah yang cuba dilakukan Durrah ini?
“Kalau Dura dah tahu, kenapa Dura masih nak kahwin dengan Abang Adam?” Laily bertanya.
Sedikit keras soalannya. Perlahan-lahan Durrah memanggung wajah. Menatap wajah Laily yang sudah kemerah-merahan disimbah cahaya matahari.
“Sebab Dura cintakan Abang Adam. Dura sayangkan dia. Kali kedua Dura jatuh cinta selepas Nizam.” Durrah menjawab dengan takungan airmata di tubir mata. Timbul simpati dalam diri Laily.
“Sebenarnya, sejak Dura tahu Abang Adam ada kekasih, Dura cuba jauhkan diri. Dura cuba untuk lupakan perasaan Dura. Tapi Dura tahu, Dura tak boleh. Ini kali kedua Dura berpeluang untuk merasa perasaan cinta. Pada mulanya, memang Dura ingin tolak saja peminangan ni. Tapi bila Dura fikirkan balik, tak salah sekiranya Dura bersikap pentingkan diri sendiri untuk kali ini. Selalunya Dura yang akan fikirkan untuk kebaikan orang lain. Apa salahnya untuk kali ini, Dura fikirkan kebaikan untuk diri Dura.” Sebak menguasai diri.
Perasaan yang ditahan, tidak dapat lagi dibendung. Airmata laju menuruni pipinya mencecah bumi. Laily berasa serba-salah. Kenapalah untuk kali ini, dia tidak boleh berfikir untuk kebaikan Durrah? Serasa ingin di cili sahaja mulut yang lantang menyoal tentang perasaan orang lain. Laily menarik Durrah ke dalam dakapannya. Memeluk sekuat hati sahabat yang baru dikenali setahun lebih itu. Teresak Durrah dalam dakapan Laily.
“Dura...Laily minta maaf, ya.” Ucap Durrah. Hanya anggukan sahaja yang diberikan Durrah sebagai jawapan.
“Tapi Dura janji dengan Laily satu perkara.” Laily sudah meregangkan pelukan.
Memandang wajah basah kuyup Durrah itu. Pantas Durrah menyeka airmata yang berjuraian.
“Walauapapun yang terjadi dalam perkahwinan Dura kelak, tabahlah dalam menghadapi dugaan. Jangan sesekali mengalah, ya.” Pesanan Laily tidak akan dilupakan. Durrah hanya mengangguk. Walaupun hatinya sedikit gusar mendengar pesanan tersebut.



NIZAM mundar-mandir di dalam bilik. Tidak senang duduk dibuatnya. Hanya tinggal lusa sahaja, Durrah bakal menjadi milik lelaki lain. Hatinya gelisah. Entah kenapa satu perasaan kurang senang timbul jauh dalam sanubarinya. Dia tidak tahu kenapa dia berperasaan begitu. Nizam dapat rasakan bahawa Durrah tidak akan bahagia dengan Adam. Nizam yakin Durrah masih cintakan dia. Tetapi untuk mengelak dari perasaan cinta itu timbul kembali, Durrah menerima sahaja pinangan lelaki lain. Sedangkan Nizam tahu Durrah masih ada perasaan dengannya. Pandangan dan senyuman yang Durrah berikan untuk dia, adalah ikhlas. Tidak langsung nampak canggung. Jadi, tidak mungkin cepat benar Durrah menyerahkan hatinya pada lelaki lain. Nizam menghempas punggungnya ke atas katil. Meraup rambut ke belakang. Sekejap duduk dan sekejap berdiri. Salina yang sedang nyenyak tidur, terasa terganggu dengan perilaku Nizam itu. Dibuka mata dan melihat Nizam mundar-mandir ke hulu dan ke hilir. Tiba-tiba terukir senyuman sinis di bibir Salina.
“Abang ni, pasaipa? Macam kucing hilang anak ja.” Perli Salina. Tersentak dengan teguran itu, Nizam berpaling ke arah Salina.
“Tidoq ja lah, Sal. Toksah ganggu Abang.” Nizam berkata.
Berjalan mendekati jendela lalu dikuak jendela kayu tersebut. Ingin mengambil angin malam yang sepoi-sepoi bahasa menerobos masuk melalui jendela yang terbuka. Salina membetulkan duduk. Menghadap Nizam yang sedang mencari ketenangan.
“Abang gelisah ka? Kekasih Abang nak kahwin dengan orang len?” soalan yang keluar dari mulut Salina berbaur sindiran.
“Sal toksah dok sibuk lah. Abang rasa panaih ja malam ni.” Nizam berpura-pura mengipas badannya menggunakan tangan.
Memerhatikan Salina yang sedang duduk menghadapnya melalui ekor mata. Hati yang panas perlu ditenangkan.
“Haih...melepaih la kekasih pujaan hati.” Lagi satu sindiran keluar dari mulut Salina. Nizam mengetap gigi. Geram dengan kata-kata Salina.
“Sal toksah dok cari pasai dengan Abang tengah-tengah malam buta macam ni. Pi ja tidoq.” Arah Nizam keras.
Salina mencebik. Menghempaskan badan di atas katil besi itu. Berkeriuk bunyinya. Nizam menala pandangan ke hadapan. Tidak sabar untuk menunggu hari esok. Dia perlu berjumpa dengan Durrah dan gadis itu juga telah menyatakan persetujuannya untuk berjumpa. Dia perlu selesaikan masalah ini dari hati ke hati.
Keesokkan paginya, awal-awal lagi Nizam sudah keluar menuju ke pondok yang terletak di tengah bendang. Dahulu, itu adalah tempat pertemuan mereka semasa bercinta. Laju sahaja kaki Nizam melangkah ke arah pondok tersebut. Tiada kelibat Durrah disitu. Nizam melabuhkan punggung sambil memerhatikan sekeliling. Lebih kurang 10 minit kemudian, Durrah tiba. Melangkah masuk ke dalam pondok. Kakinya terasa berat sekali untuk mendekati Nizam yang sedang melemparkan pandangan ke arah sawah bendang yang terbentang luas itu. Durrah melabuhkan punggung agak jauh daripada Nizam. Durrah mendehem. Perlahan Nizam mengalihkan badan memandang wajah bekas kekasih yang senantiasa dirindui dan dicintai.
“Dura sihat?” soal Nizam sekadar berbasa-basi. Durrah mendengus.
“Ada apa Nizam nak jumpa Dura?” Durrah bertanya terus-terang.
Malas mahu berbasa-basi lagi dengan lelaki dihadapannya itu. Dia mahu perbualan mereka berakhir serta-merta. Durrah tidak mahu Salina menyerangnya lagi dan menuduh dia yang bukan-bukan.
“Zam nak tanya Dura. Ikhlaskah Dura berkahwin dengan lelaki tu? Dura cintakan dia?” persoalan yang diajukan Nizam nyata mengundang riak tidak senang Durrah.
“Untuk apa Nizam tahu akan perasaan Dura? Kita dah tak ada apa-apa. Zam dah punya keluarga. Tidak salahkan kalau Dura juga ingin berkeluarga.” Durrah membentak. Perasaan amarah tiba-tiba sahaja memuncak.
“Memang tidak salah. Tapi salah kalau Dura berkahwin dengan lelaki tu hanya untuk membuatkan Zam cemburu.” Nizam sudah berdiri. Mundar-mandir dihadapan Durrah. Gadis itu melepaskan keluhan.
“Habis, sekarang ni Zam cemburu?” soal Durrah. Pura-pura ingin tahu sedangkan dia sudah malas mahu mengambil tahu akan perasaan lelaki itu lagi.
“Ya, memang Zam cemburu. Zam cemburu bila fikirkan yang Dura akan jadi milik lelaki lain.” Suara Nizam sedikit meninggi. Masih tidak perasan lagikah Durrah akan perasaan yang menghiris tangkai jiwanya?
“Tak perlulah Zam cemburu. Zam tu adik ipar Dura. Ya, memang Dura sayangkan Abang Adam. Lebih sayang akan dia daripada Zam. Perasaan Dura sekarang lain dari dulu.” Jawab Durrah tegas. Sengaja ingin menyakiti hati Nizam. Dia sudah bosan melayani perangai Nizam yang tidak berkesudahan itu.
“Dura hanya sayang, bukan cinta. Sayang dan cinta lain maksudnya jika ditafsirkan. Mana cinta Dura untuk dia? Dura tak ada cinta untuk dia, tapi Dura ada cinta untuk Zam.” Nizam masih lagi memaksa. Cuba untuk meraih jari jemari Durrah. Pantas Durrah menepis tangan gagah itu.
“Jangan, Zam. Kita bukan muhrim. Kita bukan lagi seperti dulu.” Durrah sudah bingkas bangun. Sebelum Durrah melangkah pergi, dia sempat berpaling semula.
“Dan, sesungguhnya Sal pergi meninggalkan kita semua satu hari nanti, tak mungkin untuk Dura menjadi pengganti tempatnya. Sebab cinta Dura untuk Zam, sudah tiada sejak Zam melafazkan akad yang sah untuk memiliki Sal.” Tutur Durrah lembut. Menghadiahkan sebuah senyuman yang pasti tidak dapat dilupakan oleh Nizam selamanya. Berjalan meninggalkan Nizam sendirian disitu. Meninggalkan pondok yang menjadi kenangan terindah dalam hidupnya serta Nizam. Semakin lama semakin longlai langkahan kaki Durrah.
Kata-kata Nizam terngiang ditelinga Durrah. Ikhlaskah dia mengahwini Adam? Dia serba tidak kena. Hatinya mula kasihan pada kekasih Adam yang pasti menanti saat untuk mendengar Adam berkata-kata akan menjadikannya sebagai pasangan hidup. Tetapi jauh di lubuk hati Durrah yang paling dalam, dia mula menyintai lelaki itu sepenuh hatinya. Tidak mengapa jika dia bersikap mementingkan diri sendiri sekali-sekala. Dan dia juga tahu, sejak kebelakangan ini Adam seringkali menjauhkan diri darinya. Dia tahu Adam hanya menganggapnya sebagai seorang adik. Tidak lebih dari itu kerana faktor umurnya yang agak jauh dari Adam. Durrah baru sahaja mencecah 20 tahun. Manakala Adam akan menjangkau umur awal 30-an. Jarak 11 tahun, tidak akan membuatkan Durrah berasa rendah diri. Dia akan berusaha untuk membuatkan Adam jatuh cinta kepadanya.
Durrah menggenggam jari jemarinya sekuat hati. Ditanam tekad di dalam hati. Ingin memiliki dan menakluki lelaki yang bernama Adam Hariz. Itu janjinya. Terasa semangat baru sahaja meresap masuk ke dalam diri. Laju langkah Durrah menuju pulang ke rumah. Di kejauhan, sudah kelihatan rumah usang milik Karim dan Hasanah, meriah dengan sanak-saudara yang mula memenuhi kawasan rumah. Meriah dengan simbahan warna tema merah jambu dan putih. Durrah melangkah penuh yakin dengan tekad yang ditanam dalam dirinya.

‘Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi dugaan-Mu yang mendatang,’ doa Durrah dalam hati.


BERSAMBUNG....

1 tukang komen paling setia:

anajoe said...

huhu,,,sian durra.semoga dy ngan adam kekal smp bile2..