BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, May 29, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 13

BAB 13

PINTU bilik wad dikuak perlahan. Berhati-hati Nizam melangkah masuk. Mendekati katil isteri yang sedang berbaring nyenyak dalam lenanya. Nizam melabuhkan punggung di atas kerusi yang di sediakan di dalam wad tersebut. Hanya ada 2 buah katil sahaja di dalam bilik wad bersalin itu. Melihat Salina yang berbaring lena itu, mengusik perasaan Nizam. Hampir 5 jam wanita itu bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat hasil perkongsian hidup mereka. Dia amat berterima kasih kepada Salina. Sangat bersyukur Salina sanggup bersusah payah demi melahirkan bayi lelaki seberat 3.5 kg. Disisir rambut Salina yang terjatuh di dahi ke belakang. Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakan seorang isteri yang penyayang dan juga seorang anak yang comel, doa Nizam di dalam hati. Tetapi entah kenapa wajah Durrah masih lagi terbayang-bayang di ruang mata. Senyuman gadis itu masih lagi menari di matanya. Gelak ketawa Durrah masih lagi terngiang-ngiang di telinganya. Nizam menarik semula jemarinya yang menyisir rambut Salina. Dipejamkan mata sekuat hati dan menarik nafas perlahan. Kemudian, dihembuskan nafasnya.
Pintu bilik wad yang menempatkan Salina, terkuak perlahan. Makin lama makin luas. Kelihatan seorang wanita berpakaian seragam serba putih serta bertudung juga dari rona yang sama. Wanita tersebut menolak masuk katil bayi yang di dalamnya ada seorang bayi lelaki yang sedang melakukan pergerakan kecil. Nizam terus berdiri dan mendekati katil bayi tersebut.
“Baby lapar. Tolong kejutkan ibunya dan minta susukan baby ini, ya. Terima kasih.” Ucap jururawat yang memakai tag nama Yasmina sebelum melangkah keluar dari bilik wad itu.
Nizam mengangguk perlahan dan hanya memerhatikan jururawat itu menghilang di sebalik pintu yang tertutup. Perlahan-lahan Nizam mengangkat bayi lelaki tersebut dan mengendongnya. Dikucup bayi tersebut berkali-kali. Baru sahaja sebentar tadi, Nizam mengazankan di tepi telinga kanan bayi lelaki itu. Dia mendekati katil Salina dan meletakkan bayi lelaki itu ke atas katil.
“Sal…Sal…Sal…” panggil Nizam perlahan.
Tidak mahu Salina terkejut. Salina bergerak perlahan. Kelihatan Salina membuka matanya perlahan. Lampu bilik wad itu menyuluh mata Salina dan dia kembali mengecilkan mata yang silau. Dialihkan pandangan ke sebelah kirinya. Terlintas seraut wajah Nizam dan juga bayi dalam kendongannya. Nizam tersenyum kecil kepada Salina.
“Sal, nurse tu kata baby kita ni lapar. Dia suruh Sal susukan.” Ujar Nizam.
Salina cuba membetulkan duduknya sambil dibantu oleh Nizam. Bayi lelaki itu telah bertukar tangan. Nizam hanya memerhatikan seraut wajah Salina yang sedang menyusu dan juga bayi lelaki di dalam dukungan isterinya itu bersilih ganti. Semasa mula-mula berkahwin, Nizam berharap sangat bahawa itu semua adalah mimpi dan wanita yang berada dihadapannya itu adalah Durrah bukan Salina. Tetapi setahun sudah berlalu. Perasaan itu seakan-akan dibawa pergi apabila melihat cahaya mata yang lena dibuai mimpi di dalam dukungan si ibu. Nizam mengusap perlahan bayi lelaki itu. Salina mengangkat muka memandang Nizam.
“Abang nak bagi nama apa untuk anak kita ni?” soal Salina. Nizam mengambil bayi lelaki itu dari dukungan Salina dan diletakkan semula ke atas katil bayi.
“Daim Najmi.” Jawab Nizam ringkas. Salina mengerutkan dahi. Mencerun matanya memandang ke arah Nizam.
“Tapi Sal tak suka nama Daim.” Salina berkata geram. Giginya diketapkan. Nafasnya naik turun. Menahan marah yang membara.
“Sal nak bagi nama apa untuk gantikan nama Daim?” soal Nizam malas. Ini sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka sekali lagi akan berperang mulut.
“Shahrul. Sal nak nama mula dengan S. Sama macam Sal. Sal tak nak huruf mula dengan D.” Ujar Salina kuat. Nizam melabuhkan punggungnya di atas kerusi sebelah katil Salina.
“Apa salahnya Daim? Kan elok namanya tu.” Jawab Nizam pula. Mencerlung mata Salina memandang ke arah Nizam.
“Abang ni memang sengaja nak sakitkan hati Sal. Sal kata Sal tak nak, Sal tak naklah.” Salina menghempaskan badannya dan kembali berbaring. Mengiringkan badan ke arah kanan. Malas mahu melihat wajah Nizam yang menyakitkan hati.
Nizam mengeluh perlahan. Disandarkan badannya ke kerusi. Memerhatikan sekujur tubuh isterinya itu.



ADAM menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Zurin yang sedang menonton televisyen langsung tidak mahu bercakap ataupun menyambut Adam pulang. Mata Zurin terkaku di peti televisyen yang terpasang walaupun Adam tahu bahawa fikiran Zurin bukan berada disitu. Pasti wanita itu mahukan penjelasan yang munasabah dari Adam. Bukan sekali Adam memungkiri janji tetapi sudah banyak kali. Dan alasan yang diberikan tetap sama. Tidak mahu mengecilkan hati Mamanya. Hati Zurin langsung Adam tidak mahu ambil tahu. Zurin duduk menyandar di sofa sambil memeluk tubuh. Adam melabuhkan punggungnya di sebelah Zurin tetapi wanita itu terus sahaja menjarakkan diri dari Adam. Tanpa protes, marah. Adam menarik nafasnya dan dihembuskan perlahan. Harus bersabar dengan sikap Zurin yang tidak menentu itu. Adam masih cuba mendekatkan diri dengan Zurin dan masih seperti tadi Zurin tetap menjarakkan diri dari Adam. Akhirnya Adam berputus asa.
“Sorry.” Ringkas sahaja perkataan yang keluar dari mulut Adam.
Dengan pantas kepala Zurin tertoleh ke arah Adam. Perkataan maaf yang keluar dari mulut Adam jarang sekali Zurin mendengarnya. Zurin mengerutkan dahi.
“Kenapa?” soal Zurin. Giliran Adam pula mengerutkan dahi.
“Kenapa apa?” soalan berbalas soalan. Zurin melepaskan keluhan.
“Kenapa Am minta maaf?” Zurin bertanya lagi. Adam tersenyum kecil. Dia membetulkan duduk. Menghadap wajah mencuka Zurin.
“Sebab Am rasa Am bersalah dan Am patut minta maaf dengan Rin.” Jawab Adam. Padat dan ringkas.
Seketika kemudian, Zurin mengukirkan senyuman kecil. Dia tidak perlu apa-apa hadiah atau ‘rasuah’ dari suaminya untuk memohon sebuah kemaafan. Cukuplah hanya sekadar perkataan maaf dapat menyejukkan hati yang membara. Zurin melepaskan keluhan perlahan.
“Kenapa Am mungkir janji? Am janjikan yang Am akan celebrate our wedding anniversary.” Zurin bertanya. Inginkan jawapan yang pasti daripada Adam. Seharian Zurin memikirkan kemungkinan alasan yang akan diberikan oleh Adam.
“Am tak sampai hati nak keluar malam semalam. Lagipun 2 minggu sekali je Am balik rumah Mama.” Jelas Adam.
Wajah Zurin tidak lagi mencuka seperti tadi. Digantikan dengan senyuman manis. Ada betul juga kata-kata Adam itu. Takkan masih tidak cukup lagi 2 minggu Adam berada bersamanya. Giliran Mama Adam pula untuk bermanja dengan anak lelaki sulungnya itu. Adam menyandarkan badannya ke sofa. Zurin juga turut bersandar tetapi dia bersandar di bahu Adam. Lalu Adam memeluk bahu Zurin. Mereka sama-sama menonton siaran yang ditayangkan di peti televisyen tersebut. Sekali lagi fikiran Zurin melayang, berfikir sesuatu. Adam mencuit hidung Zurin apabila dia sedar Zurin tidak memberikan respon di atas kata-katanya. Zurin memandang Adam di sebelah. Dijungkitkan sedikit keningnya.
“Apa lagi yang Rin fikirkan tu?” soal Adam apabila dilihatnya Zurin diam tidak berkutik. Wanita itu menggigit bibir. Perlu atau tidak bertanya sesuatu kepada Adam?
“Sebenarnya dah lama Rin nak tanya Am ni.” Ujar Zurin lambat-lambat. Betulkah tindakannya ini untuk bertanya? Jika tidak bertanya, persoalan ini selalu bermain difikirannya. Jika bertanya, takut pula tersinggung hati Adam.
“Apa yang Rin nak tanya?” Adam bertanya tidak sabar apabila dilihatnya Zurin kembali mendiamkan diri.
“Kalau Rin tanya, Am jangan ambil hati, ya.” Zurin meluahkan apa yang ada difikirannya. Adam hanya mengangguk.
“Apa dia?”
“Kenapa Am berbinkan Mohd Hariz sedangkan setahu Rin nama Ayah Am, Mohd Hafiz?” akhirnya terluah juga apa yang ada di dalam fikiran Zurin.
Adam hanya memberikan senyuman sahaja. Perlukah dia menceritakan perihal sebenar? Zurin masih menantikan kata-kata yang akan keluar dari mulut Adam. Terimbau kembali di fikiran Adam peristiwa yang berlaku 10 tahun lalu.


“MA....apa semua ni? Adam tak faham.” Adam mengunjukkan surat kelahiran yang berada di dalam genggamannya kepada Datin Aisyah.
Ternyata wanita elegan itu terkejut melihat surat kelahiran yang dijumpai Adam. Datuk Hafiz hanya duduk berdiam diri dan memerhatikan Adam dan Datin Aisyah bersilih ganti. Datin Aisyah menarik nafas sedalam-dalamnya dan dihembuskan perlahan. Memandang ke arah Datuk Hafiz dan meminta kekuatan dari lelaki itu melalui isyarat matanya. Kelihatan Datuk Hafiz tersenyum dan mengangguk perlahan tanda memberikan kebenaran kepada Datin Aisyah untuk memberitahu rahsia yang cuba disimpan oleh mereka selama 20 tahun ini. Datin Aisyah berdiri dan melabuhkan punggung di sebelah Adam. Dicapai jari jemari anak kesayangannya itu.
“Adam...sebenarnya Adam bukan anak Ayah. Tetapi Adam anak Mama dengan adik Ayah.” Datin Aisyah mula menjelaskan perkara sebenar. Dahi Adam berkerut. Tanda tidak faham.
“Sebenarnya, sebelum Mama kahwin dengan Ayah...Mama kahwin dengan adik Ayah. Tetapi Papa Adam meninggal sewaktu Adam belum dilahirkan lagi. Setahun lepas Mama lahirkan Adam, barulah Mama berkahwin dengan Ayah.” Barulah kini segala-galanya jelas di mata Adam.
Sebelum ini dia selalu tertanya-tanya. Adakah dia ini dilahirkan sebagai anak luar nikah? Siapakah ayahnya yang sebenar? Kenapa nama ayah dia berlainan dengan adik-adiknya? Semuanya sudah terjawab kini. Hati Adam menjadi lega secara tiba-tiba.
“Tapi Ayah sayangkan Adam macam mana Ayah sayangkan adik-adik. Kasih sayang Ayah tak pernah berat sebelah. Adam pun tahu, kan?” Datuk Hafiz berkata. Adam mengangguk. Dibetulkan duduknya dan menghadap Datin Aisyah.
“Ma...kalau Mama dan Ayah tak kisah, Adam nak tengok gambar Papa, boleh?” soal Adam penuh mengharap.
Datin Aisyah dan Datuk Hafiz saling berpandangan. Akhirnya, Datin Aisyah mengalih semula pandang kepada Adam dan mengangguk sambil tersenyum. Datin Aisyah berdiri dan menuju ke almari antik yang terletak di satu sudut ruang tamu. Membuka pintu almari tersebut dan mula menyelongkar. Mata Datin Aisyah tertancap pada satu album yang agak usang warnanya. Perlahan-lahan jemarinya mencapai album tersebut dan ditarik keluar. Dibawa album tersebut dekat ke dadanya. Kemudian, berpaling dan menuju semula ke arah Adam. Diletakkan album itu di atas tangan Adam. Dengan pantas, Adam menyelak album tersebut. Satu persatu Adam meneliti gambar yang ada di dalam album itu. Kini terjawab sudah persoalan yang sering bermain difikirannya sejak dia terjumpa akan sijil kelahiran itu. Dan, barulah hari ini Adam tahu kenapa kulitnya lebih cerah berbanding Amar. Leka dia memerhatikan seraut wajah ayah kandungnya.
Adam tersentak dari lamunannya apabila terasa Zurin menyinggung lengannya. Memandang dan tersenyum Zurin yang berada di sebelah. Biarlah rahsia itu dipendamkan jauh dalam lubuk hatinya. Buat masa ini, Zurin tidak perlu tahu akan kisah hidupnya. Dia berjanji satu hari nanti, akan menceritkan segala-galanya kepada Zurin.
“Am tak jawab lagi soalan Rin.” Ujar Zurin. Muncungnya sudah sedepa. Adam mencuit muncung Zurin.
“Nantilah Am cerita pada Rin. Buat masa sekarang, Am nak rehat dan nak bermanja dengan Rin je.” Usikan Adam membuatkan pipi Zurin memerah.


TELEFON bimbit Durrah berbunyi nyaring. Memecahkan kesunyian malam dan juga menyedarkan Durrah dari lamunan. Dia yang sedang duduk bersantai di halaman rumah, mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja. Tersenyum lebar apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon.
“Assalamualaikum, Mak.” Ucap Durrah.
Hasanah menjawab salam Durrah dengan perlahan. Rindunya Durrah pada Hasanah sudah terlerai apabila mendengar suara mendatar emaknya itu.
“Dura tengah buat apa tu?” soal Hasanah. Durrah menala pandangan ke langit.
“Tengah kira bintang.” Seloroh Durrah. Hasanah yang berada di hujung talian hanya tergelak kecil mendengar kata-kata Durrah.
“Berapa banyak bintang yang hang kira tu?” soal Hasanah juga secara berseloroh. Durrah menekup mulutnya. Pandai juga Hasanah berlawak.
“Adalah lebih kurang 200,000.” Selamba sahaja Durrah menjawab sedangkan dia tahu, pasti tidak terkira jumlah bintang di angkasa itu.
“Sudahlah. Kalau melayan hang ni, makin menjadi-jadi.” Durrah tergelak kecil mendengar kata-kata Hasanah.
“Pasai apa Mak telefon Dura malam-malam ni?” Durrah bertanya. Hasanah berdehem kecil.
“Aik, tak boleh ka Mak nak telefon anak Mak sendiri?” sindir Hasanah secara lembut. Durrah menggigit bibir.
“Alaaa Mak ni...orang gurau sikit pun tak boleh. Ermm...Mak.... Sal apa habaq?” tanya Durrah. Ingin juga tahu keadaan kesihatan adiknya itu.
“Dah balik ghumah dah semalam.” Ujar Hasanah. Durrah mengangguk walaupun dia tahu perbuataannya itu tidak dapat dilihat oleh Hasanah.
“Semalam bergaduh lagi si Sal dengan Nizam.” Tiba-tiba Hasanah berkata begitu setelah lama Durrah mendiamkan diri.
“Gaduh pasai apa, Mak?” bukan niat Durrah hendak menyibuk. Tetapi ingin juga dia tahu sebab-musababnya.
“Gaduh pasai nama anak.” Sambung Hasanah.
Durrah mengerutkan dahi. Tidak mungkin pasal nama anak sampai sanggup bergaduh suami isteri? Ahh...namanya pun Salina. Dia boleh menggunakan bahan sekecil kuman pun untuk dijadikan isu pergaduhan.
“Nama anak?” soal Durrah kembali.
“Iye. Si Nizam nak bubuh nama Daim Najmi. Tapi Sal nak nama Shahrul Najmi. Mak rasa elok jugak nama Daim Najmi tu. Maksudnya kekal abadi....” ayat Hasanah tergantung apabila telinganya dapat menangkap butir kata Durrah.
“...bintangku.” sambung Durrah perlahan. Dada Durrah terasa sesak. Masih Nizam ingat akan nama-nama yang Durrah pilih untuk bakal anak mereka.
“Dura pun tau maknanya?” Hasanah menyoal. Durrah tersentak.
“Siapa pun tau maksud nama tu, Mak.” Ujar Durrah berdalih. Terdengar Hasanah bersetuju dengan kata-kata Durrah di hujung talian.
“Hmm...tak apalah Dura. Dah lewat malam ni. Hang pi la tidoq. Esok hang kena gheja lagi kan?” tanya Hasanah.
“Ya, Mak. Mak pun pi la tidoq. Assalamualaikum.” Ucap Durrah dan salam itu sekali lagi dijawab oleh Hasanah dan mereka sama-sama mematikan talian.
Durrah mendongak memandang angkasa yang kelam. Hatinya dibuai perasaan yang tiba-tiba datang mengacau jiwa. Oh...angin. Bawalah pergi hati yang lara ini. Malam yang semakin dingin, menggigit kulit terasa sehingga ke tulang hitamnya. Segera Durrah melangkah masuk ke dalam rumah.

BERSAMBUNG...

1 tukang komen paling setia:

aqilah said...

aduss............nanti durrar dgn siapa ye??????takkan dgn adam??? adam kan dah kahwin?????
dgn amar la kot??????????????????