BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, October 3, 2009

Dan Sebenarnya....38

BAB 38

DATIN Rubaiyah menceduk bihun goreng ke dalam pinggan Dizyan dan Faizal. Diserahkan kepada anak serta menantunya itu. Datin Rubaiyah memandang Datuk Farid dan memberikan isyarat mata. Untuk menyampaikan hasrat tetamu-tetamu yang datang semalam. Datuk Farid menghirup sedikit air kopi yang masih berasap. Dizyan menghulurkan cawan Nescafe yang dibancuhnya kepada Faizal. Dihirup sedikit. Datuk Farid berdehem perlahan.
“Fik....” panggil Datuk Farid. Fikhri mengangkat muka memandang wajah tua dihadapannya itu.
“Papa dan Mama dah setuju. Lepas Fik konvo, kami akan tunangkan Fik dan Iman. Fik setuju?” Datuk Farid bertanya untuk kepastian walaupun dia tahu apa yang Fikhri ingin berikan jawapannya. Fikhri tersengih.
“Fik ikut je cadangan Mama dan Papa.” Malu-malu Fikhri berkata. Fathiq menepuk bahu Fikhri kuat. Dizyan dan Faizal tersenyum.
“Dan juga tunangkan, Fathiq dan Vee.” Datuk Farid menyambung. Datin Rubaiyah segera mengalihkan wajah memandang wajah suaminya. Fathiq meminta kepastian dari Datuk Farid dengan wajah tidak percayanya. Mencerlung sahaja mata Datin Rubaiyah. Datuk Farid masih berwajah selamba. Dizyan mengalih pandang ke arah Fathiq. Membalas senyuman adik iparnya itu.
“Apa yang Abang cakapkan ni? Saya tak pernah setuju nak tunangkan Fathiq dan perempuan tu.” Datin Rubaiyah berkata geram. Diketap giginya. Bagaimana suaminya boleh membuat keputusan tanpa berbincang apa-apa pun dengan dia?
“Rubi...” Datuk Farid tidak mahu Datin Rubaiyah mengeruhkan keadaan.
“Perempuan tu ada nama, Ma. Nama dia Vee...Vee Esmeralda.” Fathiq bersuara perlahan. Datin Rubaiyah memandang tajam ke arah Fathiq.
“Kenapa pasal perempuan tu, Fathiq dah sanggup nak melawan Mama. Apa perempuan tu dah buat? Dulu Fathiq tak macam ni tau. Fathiq anak yang dengar cakap walaupun Mama tahu Fathiq memberontak dalam diam. Tapi semenjak Fathiq kenal perempuan yang nama Vee...tu, Fathiq dah berani nak melawan kehendak Mama.” bermacam tuduhan yang keluar dari mulut Datin Rubaiyah. Fathiq tidak sanggup mendengarnya.
“Ma....” Fathiq menghentikan Datin Rubaiyah dari terus berkata-kata.
“Rubi....” belum sempat Datuk Farid menyambung kata, Datin Rubaiyah mencelah.
“Dahlah, Bang. Saya dah penat nak bergaduh. Suka hati Abanglah kalau Abang nak kahwinkan jugak Fathiq dan perempuan tu. Tapi, jangan libatkan saya. Saya tak mahu masuk campur.” Ujar Datin Rubaiyah dan segera meninggalkan meja makan.
Faizal yang malas mahu masuk campur, masih meneruskan suapan. Lebih baik dia makan, daripada sibukkan hal yang tiada kena-mengena dengan dirinya. Fikhri mengurut perlahan belakang adiknya. Dizyan yang melihat Faizal seakan tidak ambil peduli akan situasi yang sedang berlaku dihadapan matanya, menyiku perlahan pinggang Faizal. Tersedak lelaki itu dibuatnya. Memandang tajam ke arah isterinya. Dizyan menjeling.
“Pa, Yan pergi pujuk Mama, ya.” Ujar Dizyan. Datuk Farid menggeleng.
“Tak guna jugak, Yan. Mama tengah ‘panas’ tu. Kalau Papa yang pergi pujuk pun belum tentu Mama nak ‘sejuk’.” Datuk Farid menghalang niat Dizyan itu. Tidak mahu Dizyan pula yang menjadi mangsa amukan Datin Rubaiyah. Dizyan mengangguk.
“Makanlah. Kita pujuk Mama kejap lagi.” Datuk Farid menyambung. Mereka yang lain mengangguk lemah dan meneruskan suapan.


MAKAN tengah hari sudah siap dihidangkan di atas meja. Dizyan memanggil bapa mertua serta adik-adik iparnya di ruang tamu. Memanjat tangga dan memanggil pula Faizal yang sedang sibuk menyiapkan kertas kerjanya di dalam bilik bacaan. Dizyan dan Faizal turun beriringan ke tingkat bawah. Masih tidak kelihatan Datin Rubaiyah di mana-mana.
“Mama mana, Pa?” tanya Faizal apabila dia juga perasaan akan ketiadaan Datin Rubaiyah.
“Ada kat taman.” Ujar Datuk Farid ringkas. Faizal melabuhkan punggung di kerusinya.
“Yan pergi panggil Mama, ya.” Tukas Dizyan. Segera dia berlalu menuju ke halaman rumah.
Kelihatan Datin Rubaiyah leka melayani pokok-pokok bunga yang ada di situ. Diambil gunting yang dikhaskan untuk berkebun. Dibuang daun-daun bunga yang sudah dimakan ulat. Jika Datin Rubaiyah punya masa lapang, dia lebih suka mencantikkan pokok bunga-bungaan yang memenuhi taman rumahnya. Dizyan mendekati Datin Rubaiyah.
“Ma...” panggil Dizyan. Datin Rubaiyah mengangkat muka memandang wajah menantunya itu.
“Makan tengah hari dah siap.” Ujar Dizyan. Datin Rubaiyah mengangkat punggungnya dan dilabuhkan di salah sebuah kerusi yang terletak di bawah gazebo. Membuka topi yang menutupi kepalanya dan mengibaskan topi tersebut. Bertujuan untuk menyejukkan badan yang berpeluh.
“Yan pergilah makan. Mama tak ada selera.” Ucap Datin Rubaiyah lemah. Dizyan mengeluh perlahan. Apakah cara terbaik untuk mengajak ibu mertuanya turut serta di meja makan?
“Ala...rugilah, Mama. Bibik dah masak ikan keli masak cili.” Tukas Dizyan. Datin Rubaiyah menelan air liur. Ikan keli? Salah satu lauk yang boleh membuatkan Datin Rubaiyah bertambah sampai dua pinggan nasi.
“Kamu ni tahu-tahu je kan. Mama ni kalau ikan keli memang ‘langkah tak lepas’.” Datin Rubaiyah berkata. Mengundang tawa kecil dari Dizyan.
“Tapi Mama tetap tak ada selera nak makan.” Datin Rubaiyah berkata lemah. Dizyan melepaskan keluhan. Dia tahu apa yang menganggu fikiran ibu mertuanya itu.
“Ma...Yan tahu Mama tak setuju Papa nak satukan Fathiq dan Vee.” Dizyan berkata sambil melabuhkan punggung di sebelah Datin Rubaiyah.
“Tapi, Ma....” Dizyan mendekatkan sedikit kerusinya dengan kerusi Datin Rubaiyah. Mencapai jari jemari Datin Rubaiyah. Digenggam erat.
“....Vee dah masuk Islam setahun yang lepas.” Sambung Dizyan. Datin Rubaiyah mencebik.
“Mama tak nak dia masuk Islam kerana Fathiq. Mama nak dia masuk Islam kerana keinginan dan kerelaan dia. Bukan kerana siapa-siapa.” Datin Rubaiyah pula berkata. Dizyan tersenyum kecil.
“Setahun yang lepas, Fathiq belum kenal dengan Vee. Sebenarnya, Fathiq baru kenal dengan Vee, 3 bulan yang lepas.” Datin Rubaiyah ternganga mendengar penjelasan daripada Dizyan.
“Baru kenal 3 bulan, Fathiq dah yakin yang Vee adalah memang ditakdirkan untuk dia?” Datin Rubaiyah bertanya. Dizyan tersenyum. Datin Rubaiyah sudah mula memanggil nama Vee. Tiada lagi istilah ‘perempuan tu’.
“Kenapa Mama tak tanya sendiri dengan Fathiq? Mungkin ada sebab kenapa Fathiq yakin sangat yang Vee memang adalah untuk dia.” Sela Dizyan. Ada benarnya juga kata-kata Dizyan itu. Datin Rubaiyah melepaskan keluhan perlahan. Lama mereka mendiamkan diri. Sama-sama pandangan mereka ditebarkan ke taman rumah yang ditumbuhi bunga-bungaan bermacam warna.
“Jomlah kita masuk. Mama pun dah lapar ni.” Ujar Datin Rubaiyah tiba-tiba. Dizyan mengangguk dan mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Menuju ke meja makan.
Datuk Farid, Faizal, Fikhri dan Fathiq yang sedang berselera menjamu selera, terus berhenti dari menjamu. Empat pasang mata melekap ke arah Datin Rubaiyah dan Dizyan yang menuju ke arah mereka. Datin Rubaiyah melabuhkan punggungnya menghadap Fathiq. Dizyan menghulurkan sepinggan nasi kepada ibu mertuanya. Mereka yang lain hanya menantikan butir bicara dari wanita elegan itu. Dengan wajah selamba, Datin Rubaiyah menceduk lauk-pauk yang terhidang ke dalam pinggan. Masih menanti kata-kata keramat yang akan keluar dari bibir wanita itu. Datin Rubaiyah menyuap makanan ke mulutnya. Perut yang lapar harus diisi.
“Siapa nama dia?” tanya Datin Rubaiyah tetapi tidak memandang ke wajah Fathiq. Datuk Farid melepaskan keluhan lega. Fathiq tersenyum. Memandang ke arah Dizyan. Memberikan isyarat mata. Tanda berterima kasih yang amat sangat terhadap kakak ipar yang satu itu. Dizyan membalas isyarat mata itu kembali.
“Mama tanya ni, siapa nama dia?” Datin Rubaiyah mengangkat muka memandang tepat ke arah Fathiq. Anak muda itu menarik nafas sedalamnya sebelum memberikan jawapan.
“Vee Esmeralda, Ma.” Jawab Fathiq. Datin Rubaiyah menggeleng pantas.
“Mama tak nak nama orang putih tu. Mama nak nama Islam dia.” Datin Rubaiyah berkata lagi. Mata Fathiq membulat. Bagaimana Mamanya tahu Vee sudah menganut agama Islam? Kening Datin Rubaiyah dijungkitkan.
“Vee Nur Amina.” Fathiq menjawab lagi. Datin Rubaiyah mengangguk.
“Mama nak jumpa dia dulu masa konvo kamu nanti. Masa tu, baru Mama beritahu keputusan Mama.” Datin Rubaiyah menyambung kata. Fathiq melepaskan satu keluhan lega. Dia bersyukur yang teramat sangat kerana Datin Rubaiyah sudi membukakan pintu hatinya untuk menerima Vee menjadi sebahagian daripada keluarga mereka walaupun belum mendapat kata putus dari Mamanya itu.


PEJAM celik, sudah hampir 2 bulan Fikhri dan Fathiq berada di Malaysia. Tiba masanya untuk mereka pulang semula ke Switzerland bagi menyambung semester yang masih berbaki setahun lebih. Berat rasanya hati Datin Rubaiyah ingin melepaskan mereka berdua pergi. Setiap hari pasti Fikhri akan bermanja dengan Datin Rubaiyah. Fathiq pula tidak habis-habis dengan lawak ‘kering’ yang dilakukannya untuk menghiburkan hati Datin Rubaiyah. Pasti ada sahaja bahan yang hendak dijadikan lawaknya. Fikhri dan Fathiq bergilir-gilir tunduk menyalami Datuk Farid dan Datin Rubaiyah. Kemudian, mereka beralih pula pada Dizyan dan Faizal yang berdiri di sebelah ibu bapa mereka. Pengumuman penerbangan ke Switzerland sudah diumumkan. Setelah mengucapkan selamat tinggal, Fikhri dan Fathiq melangkah masuk ke balai berlepas. Sempat melambai ke arah ibubapa serta abang dan kakak ipar mereka. Lambaian dibalas. Baru sahaja menjejakkan kaki ke balai berlepas, sudah dirindui masakan Sutinah. Semasa mereka dirumah, Sutinah sudah mengucapkan selamat tinggal.
Datuk Farid memandang Faizal. Dizyan memeluk bahu Datin Rubaiyah. Sedih apabila anak kembar itu kembali ke perantauan untuk menimba ilmu.
“Zal tak kerja hari ni?” tanya Datuk Farid.
“Kerja, Pa.” Jawab Faizal ringkas. Lelaki tua itu menganggukkan kepalanya. Walaupun sudah mencecah di usia 60-an, Datuk Farid masih lagi kekal segak bergaya. Dengan rambut yang hanya sedikit sahaja beruban, berkumis nipis dan berwajah kacak, pasti menjadi idaman gadis-gadis di waktu mudanya. Datuk Farid memandang pula ke arah Dizyan.
“Yan kerja?” Datuk Farid bertanya pula kepada menantunya itu.
“Kerja, Pa.” Dizyan juga menjawab ringkas. Datin Rubaiyah mengelap airmata yang masih menuruni pipinya.
“Kami pergi dulu, Pa.” Ujar Faizal. Dizyan terpinga-pinga. Bukankah Faizal tidak suka jika Dizyan naik kereta yang sama dengannya ke pejabat? Takut pula jika menjadi bahan bualan pekerja-pekerja di pejabat itu nanti. Datuk Farid mengangguk. Dengan segera, Faizal menarik tangan Dizyan untuk membuntutinya.
Sampai sahaja di tempat letak kereta, Faizal melepaskan tangan Dizyan. Gadis itu mengerutkan dahi. Alat penggera kereta berbunyi nyaring, bergema di tempat letak kereta itu.
“Masuk.” Arah Faizal. Bertambah-tambah kerutan di dahi Dizyan. Tetapi tanpa bertanya, Dizyan masuk juga ke dalam perut kereta. Kereta itu menderum pergi meninggalkan KLIA. Tergaru-garu Dizyan ingin bertanya. Dia menggigit bibir. Faizal tenang memandu di sebelah. Sesekali jari jemarinya mengetuk stereng mengikut rentak irama lagu yang beralunan perlahan di radio.
“Kita nak pergi office sama-sama ke?” tanya Dizyan, akhirnya. Tiada respon dari Faizal. Dizyan melepaskan keluhan. Melontarkan pandangan ke luar.
“Tak. Aku hantar kau balik rumah. Kau ambil kereta kau pergi office.” Ujar Faizal.
Dizyan tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Hanya mengiakan kata-kata Faizal dalam hati. Dia memang sudah agak bahawa Faizal akan menghantarnya balik ke rumah dahulu. Mana mungkin mereka sama-sama kelihatan di dalam satu kereta menuju ke pejabat. Bukankah Faizal sudah berkata bahawa dia tidak mahu sesiapapun tahu akan hubungan mereka. Dizyan menguak rambutnya ke belakang. Lagu I’m Yours nyanyian Jason Mraz ke udara. Faizal menguatkan sedikit volume suara radio itu. Dia turut bernyanyi-nyanyi kecil. Dizyan tahu lagu I’m Yours itu adalah lagu kegemaran Faizal. Sampaikan nada dering untuk telefonnya juga lagu itu. Dari awal sampai akhir, Faizal menyanyikan lagu itu. Dia hafal lagu tersebut. Sedap juga suaranya, hati Dizyan berdetik. Sesekali mata Faizal melirik ke arah Dizyan. Gadis itu leka memandang pemandangan luar.
“I’m yours.” Faizal berkata di tepi telinga Dizyan. Gadis itu berpaling ke arah Faizal sambil mengerutkan dahi. Faizal meneruskan pemanduan dengan wajah selamba. Dizyan menggeleng perlahan. Kembali menebarkan pandangan ke luar. Tamat sahaja lagu itu, Faizal kembali memperlahankan volume radio.
“Jom breakfast kat luar hari ni?” Ajak Faizal. Dizyan memandang Faizal dengan tanda tanya diwajahnya. Mata Faizal masih fokus kepada pemanduannya.
“Bibik dah masak kat rumah.” Tukas Dizyan. Faizal tersenyum.
“Itu aku tahu. Tapi aku rasa teringin pulak nak makan luar hari ni.” Faizal berkata lagi.
“Suka hati awaklah. Saya ikut je.” Dizyan berkata pula.
Faizal terus membelokkan keretanya ke arah kedai mamak yang berdekatan dengan rumah mereka. Restoran Subaidah menjadi pilihan mereka untuk menjamu selera pagi itu. Mereka sama-sama melangkah turun dari kereta dan masuk ke dalam restoran tersebut. Sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung, pelayan restoran mamak tersebut mendekati mereka berdua.
“Ane, roti telur bawang lebih satu. Nescafe tarik une.” Faizal memesan apa yang ingin dijamahnya pagi itu. Pelayan tersebut menggolekkan kepalanya tanda mengerti.
“Untuk saya, roti canai garing dan teh tarik.” Dizyan pula memesan. Sekali lagi pelayan itu menggolekkan kepalanya. Satu khidmat pesanan ringkas baru sahaja masuk ke dalam telefon bimbit Faizal. Dibuka blackberry miliknya itu dan leka membalas SMS tersebut. Dizyan memadang ke sekeliling.
“Eh, Yan. Encik Faizal....” dan tanpa disangka oleh mereka berdua, mereka disapa oleh orang yang dikenali. Dizyan memandang ke arah orang itu. Matanya membulat. Lidah terkelu. Tidak tahu hendak berkata apa. Faizal juga turut mengangkat muka tetapi kembali menunduk menghadap telefonnya. Orang itu memandang jelek ke arah Faizal.
“Kak Annie buat apa kat sini?” tanya Dizyan sekadar berbasa-basi.
“Kak Annie makan dengan suami dan anak-anak.” Ujar Annie dengan gaya makcik kepoh nya. Dizyan mengangguk perlahan.
“Yan dengan Encik Faizal buat apa pulak kat sini?” Annie seperti dapat menghidu sesuatu yang berlaku terhadap dua insan dihadapannya itu. Seperti suatu hubungan.
Dizyan berdehem perlahan. Tidak tahu hendak berkata apa. Dipandangnya Faizal yang masih berwajah selamba. Dizyan mengurut leher. Annie masih menunggu jawapan daripada gadis dihadapannya itu. Dizyan menendang perlahan kaki Faizal. Lelaki itu mengaduh kecil. Mengurut kaki yang menjadi mangsa tendangan Dizyan. Mencerlung memandang ke arah Dizyan. Isterinya memberikan isyarat mata untuk menjawab soalan Annie. Faizal mengerti akan isyarat itu, segera memandang ke arah Annie yang sudah tersenyum sinis.
“Makanlah. Takkan main kriket pulak.” Jawab Faizal selamba. Annie segera menguak rambutnya ke belakang. Terasa dipermainkan.
“Tak apalah, Encik Faizal....Yan. Saya minta diri dulu.” Annie berkata dan ingin segera beredar. Wajah terasa membahang. Dizyan mengangguk sambil tersenyum kecil. Memerhatikan bayangan Annie hilang di sebalik kereta Grand Livina milik keluarganya. Dizyan mengalih pandang semula ke hadapan. Terkejut apabila Faizal memandangnya tajam.

“Kau jangan bercampur sangat dengan orang macam tu. Aku tak suka. Orang macam tu selagi tak hancurkan hidup orang atau menganggu kehidupan orang lain yang tenang, manusia macam tu memang tak sah. Dia macam tak boleh hidup.” Tajam sekali Faizal berkata-kata. Dengan perlahan, Dizyan menganggukkan kepalanya. Tetapi keningnya dikerutkan. Sejak bila Faizal mengambil berat dengan siapa dia berkawan? Bibir Dizyan mengukirkan senyuman kecil.

BERSAMBUNG.......




11 tukang komen paling setia:

yunixx77 said...

sukanya n3 kali nih
sibuk la Faizal nih....suka hati la Yan nak kawan dgn sapa pun
kecoh tul

ecah...novel ni lebih best berbanding Dari KL Ke Lux tuh. ini pendapat peribadi saya la. saya dah dapatkan novel tuh.

teruskan berkarya dan hasilkan karya2 yg lebih hebat dan bermutu

Aishah Hamzah said...

thanx yunix....bukan awak je,sye pun rase cm 2 gak...ehehehe

alom said...

waaa...faizal da npk tayam sgt kt yan..tp ape reaksi faizal erk bla dpt tau ksh silam yan?? alaaa cah..bdebar ati alom ni..tp kan cah..per kata lau wat novel gak cite ni??
-ni cdgn alom la..yg alin jgn mare tau;p-
he2 pe2pun cah..n3 br plisss hehehe

aL-HaNis said...

i'm yours. haha. pergh finally. teruskan berkarya ecah =)

keSENGALan teserlah.. said...

faizal suda ambil berat..
haha..
faizal suda state i'm yours..
finally..
ske bangat..
dats means faizal syg yan...mueahaha.
tp tak dpt nk bygkan kalo faizal taw ttg yan n aneeq..
btol2 kak ecah..rse2 cite nieh lebey besh dr DKLKL...
xmo publish??huhu..

hana_aniz said...

i'm yours.. huhuhu.. romatiknye!! sy sokong dgn yunix77. e-novel ni lg bez. dan sy harap e-novel yg seterusnya lg bez n meruntun jiwa. romantik lg umph! hehehe.. cayalah!

alreinsy said...

best2... suka2... nice n3... suka la faizal dah lembut dgn yan... faizal amik berat psl yan... that's show hati dia dah boleh terima yan dah... i'm yours... sweet & romantik gak si faizal nih... sambung lg... x sbr nk tau kisah seterusnya...

Anonymous said...

aduhaii...bestnya ecah...baca scene faizal nyanyi kat yan smbil bukak lagu i'm yours...wallamak...mmg masyyuukkk...hehehe...I'M YOURS!!

Anonymous said...

alamak... semakin best cerita nih... pasal fathiq dan fiq dah nak ok... bila pasal yan dan faizal nak semakin best nih...

tal sabarr rasanya... watak ni memang best... malu2 nak mengaku tapi mau.. hehehe

me said...

4 psg kot bukan 8 psg mata...

ceritaku MEMORIKU said...

woooo
xkn ah main kriket?hahah
terlakor jerw
faizal amik berat kat yan.
haha
sukesuke
-na'dz