BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 25, 2009

Kau Milikku 27

BAB 27

SETELAH Hartanty menerangkan segala yang perlu dilakukan oleh Dizyan, dia mengangkat kotak yang diisi barangannya. Terasa sedih apabila terpaksa meninggalkan tempat yang sudah hampir 4 tahun dihuninya. Berpindah ke tempat yang baru dan juga menghadapi ketua yang baru. Fateen yang baru sahaja tiba di pejabat terkejut melihat Hartanty yang sudah mengangkat kotak barangannya. Dia menuju ke arah gadis itu.
“Kau nak kemana ni? Berhenti? Kenapa kau tak cakap dengan aku?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Fateen. Hartanty tersenyum dan menggeleng.
“Taklah. Aku pindah tempat je.” Ujar Hartanty pula. Dizyan hanya memandang Hartanty dan Fateen silih berganti.
“Pindah tempat siapa?” berkerut dahi Fateen.
“Shima.” Hartanty menjawab ringkas. Ternganga mulut Fateen mendengar kata-kata Hartanty.
“Kau jadi P.A Datuk?” Fateen sekali lagi bertanya. Hartanty mengangguk perlahan.
“Bestlah kau. Jadi orang penting Datuk. Sejak bila kau naik pangkat ni? Apasal kau tak beritahu aku?” Fateen menolak perlahan bahu Hartanty. Gadis itu hanya tersenyum kecil.
“Tak adalah. Aku pun tak tahu yang aku kena ganti Shima. Baru minggu lepas Kak Sherry inform aku.” Hartanty berkata. Tangannya sudah tidak dapat menahan keberatan kotak barangannya itu.
“Teen, aku pergi dululah. Aku dah tak larat angkat kotak ni. Kau berkenalanlah dengan secretary baru Encik Faizal tu.” Seloroh Hartanty. Fateen mengangguk melihat Hartanty melangkah pergi. Kemudian beralih pada Dizyan dan tersenyum pada gadis itu. Dizyan membalas senyuman manis Fateen.
“Hai, saya Fateen.” Fateen menghulurkan tangan untuk berjabat salam.
“Dizyan. Panggil Yan je.” Jawab Dizyan ringkas. Mereka bersalaman.
“Rasanya lepas ni lebih baik awak pergi jumpa kaunselor.” Fateen berkata-kata. Dizyan tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Fateen.
“Orang tua kat dalam tu, gila sikit. Nanti dengan Yan pun gila sama.” Fateen berseloroh. Dizyan tergelak kecil. Tiba-tiba pintu bilik Faizal terbuka. Mereka sama terdiam.
“Mana Nescafe ‘O aku?” tanya Faizal. Dizyan terkedu. Fateen menyinggung pinggang Dizyan. Gadis itu memandang Fateen di sebelah. Diberikan isyarat mata. Suruh menjawab pertanyaan Faizal itu. Faizal memang pantang jika orang tidak menjawab soalannya.
“Sa…sa…saya ak…akan…buat.” Tergagap Dizyan menjawab.
“Si Tanty ni mentang-mentang nak berambus, dah lupa air aku.” Bebel Faizal seorang diri sambil menutup pintu biliknya. Fateen melepaskan keluhan lega.
“Setiap kali si tua tu tanya pada Yan, kena jawab tau. Dia pantang sikit kalau orang tak jawab. Mau kecoh satu office dia bising.” Pesan Fateen. Gadis itu mengangguk perlahan. Tidak pula Hartanty berpesan kepadanya. Mungkin terlupa.
“Tak apalah. Teen pergi buat kerja dulu. Baik Yan cepat sikit buat Nescafe ‘O dia tu.” Sekali lagi Fateen berpesan. Dizyan tidak tahu kemana arah yang perlu dia tuju untuk ke pantri. Cuba diingati arah mana yang ditunjukkan oleh Hartanty sebentar tadi. Diambil salah sebuah cawan yang ada disitu dan segera dibancuh air Nescafe yang diminta oleh Faizal itu.
Dizyan mengetuk pintu bilik Faizal sambil menatang dulang kecil yang diletakkan secawan Nescafe yang panas itu. Diletakkan dihadapan Faizal. Lelaki itu memandang cawan yang berada di atas mejanya dan dikerutkan dahi.
“Ni cawan siapa yang kau ambil?” tanya Faizal. Memandang Dizyan dengan tajam. Tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan Faizal itu.
“Saya ambil cawan dalam pantri.” Jawab Dizyan. Faizal menyandarkan badannya ke kerusi.
“Ini cawan aku. Kau pergi tukar balik.” Unjuk Faizal ke arah cawan yang ada di atas mejanya. Dizyan mendengus perlahan dan mencapai cawan tersebut. Dibawa semula ke pantri dan dituang Nescafe tersebut ke dalam cawan Faizal. Dia membawa semula cawan Faizal itu ke bilik Faizal. Sekali lagi diletakkan dihadapan Faizal. Lelaki itu yang sedang leka membaca fail, mencapai cawan tersebut. Cepat-cepat meletakkan semula cawan itu. Dilap air yang terkeluar sedikit dari mulutnya.
“Air apa yang kau buat ni? Pahit! Tak sedap macam Tanty buat.” Kutuk Faizal. Dizyan menelan air liur. Disabarkan hati yang tiba-tiba panas.
“Maafkan saya, Encik Faizal. Saya tahu air yang saya buat tak sesedap Tanty. Tapi saya akan cuba belajar dengan Tanty macam mana nak buat mengikut kehendak Encik Faizal.” Ujar Dizyan, tegas. Faizal memandang sinis.
“Tahu tak apa. Sudah! Kau pergi buat kerja kau.” Faizal menghalau Dizyan keluar. Menyampah melihat wajah Dizyan dengan lebih lama. Tanpa menunggu lebih lama, Dizyan terus melangkah keluar. Duduk semula di tempat Hartanty yang kini menjadi tempatnya.
Interkom di tempat Dizyan berkelip lampu berwarna merah. Perlahan Dizyan menekan butang tersebut. Seseorang bercakap di hujung talian.
“Tanty…” panggil Mastura. Dizyan berdehem kecil.
“Mastura, saya Dizyan. Bukan Tanty.” Jawab Dizyan dengan senyuman walaupun Mastura tidak nampak akan senyumannya itu.
“Maaf, Cik Dizyan. Cik Zhety nak berjumpa dengan Encik Faizal.” Ujar Mastura lembut. Dizyan menarik nafas sedalam-dalamnya sambil memejamkan mata.
“Tunggu sekejap, Mas. Saya tanya dengan Encik Faizal dulu.” Dizyan berkata pula. Mereka sama-sama mematikan talian interkom. Dizyan bangun dari duduknya dan menuju ke bilik Faizal. Diketuk pintu bilik tersebut perlahan. Arahan masuk diberikan.
“Encik Faizal, Cik Zhety ada kat luar. Dia nak berjumpa dengan Encik Faizal.” Dizyan menukas. Faizal mendongak memandang gadis dihadapannya itu.
“Panggillah dia masuk.” Arah Faizal. Dizyan mengangguk lemah. Dia keluar dan menuju ke mejanya. Ditekan interkom sambungan ke penyambut tetamu. Mastura menjawab lembut. Dizyan menyampaikan arahan Faizal.
Beberapa minit kemudian, kelihatan bayangan Ku Zhety melintasi mejanya. Tetapi kemudian gadis itu berhenti dihadapan meja Dizyan. Gadis itu mengangkat muka memandang Ku Zhety apabila diperasannya Ku Zhety tidak berganjak dari situ. Membalas pandangan Ku Zhety. Dia memandang tajam. Kemudian, menjeling dan beredar dari situ. Memulas tombol pintu bilik Faizal dan kedengaran suara Ku Zhety yang kuat memanggil Faizal dengan panggilan sayang. Dizyan memegang dadanya yang tiba-tiba rasa seperti hendak meletup. Kenapa perasaan cemburu meluap-luap sedangkan dia memang tidak ada perasaan pada Faizal? Isteri mana yang tidak cemburu jika si suami berjumpa dengan perempuan lain yang bukan muhrimnya. Kemudian, memanggil dengan panggillan yang tidak sepatutnya. Apa yang mereka berdua buat di dalam bilik itu? Perasaan ingin tahu menjalar dalam diri Dizyan.


“SAYANG!” panggil Ku Zhety dengan gaya manjanya. Faizal langsung tidak mengangkat muka memandang Ku Zhety. Dia mendekati meja Faizal dan duduk di atas meja tersebut dengan kakinya disilangkan. Faizal mendengus geram.
“You jangan duduk atas meja I, boleh tak?” Faizal berkata. Ku Zhety masih tidak mahu mendengar kata-kata Faizal. Dibuatnya tidak tahu sahaja.
“Zhety, please. I cakap elok-elok kan. Kenapa you tak nak dengar?” Faizal bersuara kuat. Geram melihat perbuatan Ku Zhety yang seperti endah tak endah itu.
“You ni kenapa? Ohh…sejak dah ada secretary baru, I ni macam sampah kan di mata you.” Ku Zhety menyilangkan lengan. Terus berdiri dari meja. Berjalan dan berdiri menghadap jendela yang menayangkan panorama Kuala Lumpur yang sibuk itu. Faizal melepaskan keluhan perlahan. Dia turut berdiri dan berjalan mendekati Ku Zhety yang membelakangkannya. Dia berdiri di belakang Ku Zhety. Dekat sekali sehingga badan Faizal bersentuhan dengan belakang ku Zhety.
“Bukan macam tu, sayang. Tapi you kan tahu I tak suka orang duduk atas meja I. Tak kiralah siapa pun.” Jelas Faizal. Bukannya Ku Zhety tidak tahu pantangnya yang satu itu. Ku Zhety seperti tidak mahu termakan pujuk Faizal. Sudah malas untuk Faizal memujuknya. Faizal menjauhi Ku Zhety dan duduk semula di mejanya.
“Kenapa you datang jumpa I ni?” tanya Faizal. Menyandarkan badan ke kerusi empuk. Ku Zhety mengalihkan badannya memandang Faizal. Dengan senyuman manis, dia menuju semula ke arah Faizal.
“Sayang, jom pergi Tiffany. I nak tunjuk kat you satu necklace ni. Cantik tau. I berkenan sangat.” Pujuk Ku Zhety. Faizal hanya memandang wajah Ku Zhety dengan pandangan kosong. Tahu sangat umpan Ku Zhety.
“Beli jelah. Apasal tengok je?” ujar Faizal. Pura-pura tidak faham.
“Ala….I nak tunjuk kat you dulu. Baru beli.” Ujar Ku Zhety dengan gaya gediknya. Faizal menyilangkan lengan dan tersenyum sinis.
“You kan tahu I tak pernah beli jewelleries untuk you.” Faizal berkata. Kembali menatap fail yang bertimbun dihadapannya itu.
“Memang pun. Selama ni you asyik beli fresh flowers je. Boringlah. I nak something yang I boleh pakai.” Muncung Ku Zhety sudah panjang sedepa apabila terasa seperti permintaannya ditolak walaupun Faizal tidak menyatakan dengan terang.
“I kan dah kata sebelum ni. I takkan beli apa-apa untuk you yang boleh buatkan you menaruh harapan pada I. I tak harapkan apa-apa daripada hubungan ni. And, you pun jangan harapkan apa-apa. If I bagi you barangan, you akan harapkan lebih daripada I. I tak boleh bagi apa-apa yang lebih pada you.” Panjang lebar Faizal menerangkan pada Ku Zhety. Dia tahu, itulah perkara yang selalu diulangi oleh Faizal. Ku Zhety memasamkan wajahnya.
“Fine. I balik dululah.” Ku Zhety mencapai tas tangan tanpa tali itu dari atas meja Faizal dan menuju ke pintu. Dipulas tombol tersebut dan terus melangkah keluar. Faizal hanya memandang bayangan Ku Zhety menghilangkan di sebalik pintu kayu itu. Tersenyum dan menggeleng.
Wajah Ku Zhety yang muram itu mendapat perhatian para pekerja yang berada di dalam pejabat. Dizyan juga turut memandang ke arah Ku Zhety. Gadis itu memandang Dizyan sekilas dan menjeling tajam. Dia menuju ke arah lif. Ditekan butang lif dengan kasar. Turun ke Basement. Masuk sahaja ke dalam kereta, Ku Zhety menjerit sekuat hati. Tidak dapat mengumpan Faizal untuk membelikan rantai leher yang berharga puluh ribuan. Dia tidak mampu untuk membeli rantai leher itu. Baru sahaja semalam Ku Zhety memeriksa baki akaunnya. Hanya tinggal RM600. Cukupkah untuk dia menampung kehidupannya selama seminggu sebelum dia dapat membuat pertunjukkan fesyen di Milan hujung bulan ini? Hendak ke Milan, sudah tentulah kena beli baju baru dan juga barangan solek serba baru. Sebaik sahaja pulang ke Malaysia, barulah mereka diberikan duit untuk pertunjukan fesyen yang sekiranya berjalan dengan lancar itu. Ku Zhety berfikir. Duit siapakah yang hendak dikikisnya kali ini? Hendak minta pada Daddynya, sudah tentu ‘disembur’ sebakul dahulu. Baru Daddy akan menghulur duit kepadanya. Tetapi sudah tentu tidak banyak. Dalam RM2000. Sedangkan dia amat memerlukan sekurang-kurangnya RM5000 ke RM 6000. Mummy juga tidak boleh beri banyak. Sebab kesemua duit yang Mummy ada, diberikan oleh Daddy.
Leka Ku Zhety bermain dengan telefon bimbitnya. Tiba-tiba nama Uncle Joe terpacul di skrin. Tersenyum sinis Ku Zhety memandang skrin telefonnya. Sahabat baik Daddy yang seorang ini memang menyukai Ku Zhety sejak dari dulu lagi. Tetapi Ku Zhety tidak melayannya kerana memikirkan Daddy. Sekarang ini, dia amat terdesak dan memerlukan wang. Apa sahaja dia sanggup buat. Asalkan dapat duit. Didail nombor lelaki itu. Ada nada deringan. Seseorang menjawab panggillannya itu.
“Hello?” suara garau lelaki menjawabnya.
“Hello, Uncle. Zhety ni.” Ku Zhety berkata dengan manja. Suaranya sengaja dilunakkan.
“Yes, Zhety. Kenapa Zhety call Uncle ni?” suara Uncle Joe yang garau itu menggetarkan hati Ku Zhety. Dia menelan air liur.
“Uncle….Zhety tak tahu macam mana nak cakap dengan Uncle ni.” Sengaja Ku Zhety bermain tarik tali dengan Uncle Joe.
“Zhety, just tell me. What is the problem, sayang?” bibir Ku Zhety sudah mengukirkan senyuman sinis. Hatinya menggeletek geli hati mendengarkan perkataan ‘sayang’. Ku Zhety pura-pura mengeluh.
“Okay. Macam nilah. Kita jumpa. Then, Zhety boleh cerita dengan Uncle apa yang ada dalam fikiran Zhety tu.” Cadangan Uncle Joe memang ditunggu-tunggu oleh Ku Zhety.
“Okay. Tapi kita nak jumpa kat mana?” tanya Ku Zhety. Uncle Joe seperti berfikir sesuatu apabila lama dia mendiamkan diri.
“Hotel Impiana.” Akhirnya Uncle Joe memberikan jawapan. Ku Zhety menggigit bibir.
“Tak naklah, Uncle. Daddy selalu lunch kat situ dengan staff dia.” Nasib baik Ku Zhety teringat tempat kegemaran Ku Nashman. Sekali lagi Uncle Joe berfikir.
“How ‘bout JW Marriott?” Ku Zhety pula mencadangkan. Uncle Joe turut bersetuju.
Ku Zhety menghidupkan enjin keretanya dan menderu pergi meninggalkan RUFA Tower. Dalam fikirannya, sudah dirangka rancangan dan jawapan yang hendak diberikan kepada Uncle Joe.


DIZYAN tidak tahu hendak buat apa pada hari pertama dia disitu. Hanya menatap skrin komputer. Tetapi telefon selalu sahaja berdering. Setiap panggilan dan juga nombor telefon akan dicatit di dalam buku yang disediakan. Sesekali Dizyan akan melihat jam di tangan. Lambatnya masa berlalu. Entah kenapa pekerjaannya, tidak menimbulkan keseronokan berbanding dahulu sebagai pembantu rumah Datuk Farid. Dulu, statusnya hanya sebagai seorang pekerja. Tetapi kini, seorang setiausaha kepada suami sendiri. Suami yang tidak mahu hubungan mereka itu dihebohkan. Elok juga Faizal memintanya merahsiakan daripada pengetahuan pekerja lain. Kalau tidak, pasti kecoh satu bangunan. Kebanyakan pekerja sudah pulang. Hanya Dizyan sahaja yang tidak dibenarkan pulang oleh Faizal. Pintu bilik Faizal terbuka dan terjengul wajah lelaki itu.
“Aku nak kau draft proposal ni. And, you give it to me first thing in the morning.” Faizal memberikan arahannya yang pertama. Dihulurkan sehelai kertas kepada Dizyan. Gadis itu menyambut huluran kertas tersebut. Draft proposal? Belum pernah Dizyan melakukannya. Langkah kaki Faizal terhenti dan beralih memandang Dizyan.
“Aku nak kau siapkan malam ni jugak. Selagi tak siap….Kau fahamlah kan maksud aku.” Ujar Faizal. Dizyan mengangguk lemah.
Dibaca kertas tersebut. Faizal menulis apa yang diperlukan untuk deraf kertas kerja itu. Sekali lagi mata Dizyan melihat jam di tangan. Hampir pukul 5.45 petang. Bagaimana dia hendak menyiapkan kertas kerja dalam masa satu malam? Kertas tersebut hanya dipandang sahaja. Tiada satu kertas kerja yang boleh dijadikan panduan. Sebentar tadi Dizyan menelefon Hartanty di meja Shima. Tetapi Hartanty sudah pulang. Dia tiada nombor telefon bimbit Hartanty. Fateen sudah keluar ke lokasi. Entah bila masa pula dia akan pulang. Tiada juga nombor Fateen. Dizyan termenung dan terus bermenung. Pintu bilik Faizal sekali lagi terbuka. Dia memegang beg bimbit dan juga mengendong fail. Berhenti dihadapan meja Dizyan. Diletakkan fail yang bertimbun itu di atas meja Dizyan.
“Photocopy semua ni. 10 copies each. Esok aku ada meeting dengan production house. Kau siapkan benda ni dulu, baru continue buat draft proposal tu.” Dizyan melepaskan keluhan perlahan dan mengangguk. Faizal meletakkan beg bimbitnya di atas meja Dizyan dan menyarungkan kot ke tubuhnya.
“Aku balik dulu. Make sure everything is ready by tomorrow morning.” Arahan diberikan Faizal, sudah diterima. Dia hanya melihat Faizal melangkah pergi.
Dizyan masuk ke bilik yang diletakkan mesin fotostat. Satu persatu fail dirungkaikan. Fotostat sehelai demi sehelai untuk dijadikan 10 buah fail. Penghawa dingin yang sebentar tadi dipasang kuat, sudah diperlahankan sehingga hanya sekali sekala terasa kedinginannya.


DATIN Rubaiyah mundar-mandir di ruang tamu. Datuk Farid masih belum pulang. Begitu juga dengan Dizyan. Hanya Faizal sahaja yang pulang awal. Tetapi sebentar lagi, dia pasti akan keluar untuk bertemu dengan sahabat handainya. Anak lelaki sulung Datin Rubaiyah itu selalu sahaja tidak lekat di rumah. Ada sahaja perancangan yang dibuat bersama kawan-kawan. Paling Datin Rubaiyah tidak berkenan, sejak berkahwin ini, kerapkali Faizal keluar bertemu dengan Ku Zhety. Sudahlah petang tadi dia terserempak dengan Ku Zhety yang berjalan dengan seorang lelaki tua. Menuju masuk ke dalam Hotel JW Marriott. Siap berpegangan tangan lagi. Datin Rubaiyah bersyukur sangat Ku Zhety tidak menjadi menantunya. Simpang malaikat 44. Sesekali matanya menatap jam antik yang berada di sudut ruang tamu. Faizal yang baru sahaja turun dari tingkat atas, sedang memakai jam, berkerut dahinya melihat Datin Rubaiyah yang kegelisahan.
“Kenapa, Ma?” tanya Faizal. Datin Rubaiyah berpaling dan menatap wajah anaknya.
“Mama risaukan Yan. Dah dekat pukul 10 ni. Tak balik-balik pun lagi. Papa pulak keluar makan dengan client. Entah apa yang disembangkan lama-lama dengan clientnya itu pun, Mama tak tahulah.” Sekejap Datin Rubaiyah berdiri dan sekejap duduk.
“Banyak sangat ke kerja dekat office kamu tu, sampai Yan tak balik lagi ni.” Ujar Datin Rubaiyah. Televisyen yang terpasang pun sudah tidak dipedulikannya lagi. Faizal mendengus perlahan. Kasihan pula melihat Datin Rubaiyah yang merisaukan menantunya. Dia menuju ke rak kasut dan menyarungkan kasut sneakersnya.
“Mama jangan risaulah. Kejap lagi baliklah dia tu.” Ujar Faizal. Tetapi Datin Rubaiyah seperti tidak mempedulikan kata-kata Faizal itu. Masih kegelisahan menanti kepulangan Dizyan.
Faizal masuk ke dalam perut keretanya. Lama dia duduk berdiam diri di dalam kereta. Hatinya berbelah bahagi. Dihidupkan enjin kereta dan menderum pergi meninggalkan kawasan perumahan banglo itu.


BERSAMBUNG.....


6 tukang komen paling setia:

aL-HaNis said...

siannye dizyan, kene buli ngn hubby sendiri. isk2.

best sgt cte ni, teruskan menulis!

war_niey said...

hope faizal g tgk yan kat office n otw 2 jmp ku zhety dgn laki len...biar tbakar skit prasan faizal n fall in luv with his wife...hehehe

keSENGALan teserlah.. said...

btol2..
hope faizal g jenguk yan kat ofis..
then,,npk yan nga bertungkus lumus siapkan keje ke,,
n terdetik sumting kat aty faizal ker..
huhu..cian kat yan kene buli n tgk kerenah ku zhety tuh..
huhu..smbung2.,.

alreinsy said...

cian yan... hopefully faizal gi tgk yan kt ofis... otw jumpa lak ku zhety dhn uncle joe... br faizal tersedar... rupa2nya kaca yg disangka intan... masa tuh br tau yg yan bknnya jenis mata duitan & jenis dgr ckp... he3

LiNa said...

faizal tgk yan ke?
sambung lagi yer..

ha-ra said...

ak karate jgak si faizal ni 6t...
pesal la lam byk2 mse, mse nk blik 2 la dia bgi keje...
eiiiiiiiiiii!!!
gram!!!!
tgu la mse ko t'sungkur nk kt yan 6t...
taw la lgit 2 tgi ke rndah...