BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 18, 2009

Kau Milikku 26

BAB 26

SETELAH Faizal keluar dari bilik selepas bersiap, Dizyan masuk semula ke dalam bilik untuk berpakaian. Ditarik salah satu baju kurung yang tersangkut elok di dalam almari baju. Cepat sahaja dia menyarungkan pakaian itu dibadannya. Bersolek ala kadar. Tidak perlu mekap tebal-tebal. Bukannya dia hendak menjadi model tetapi hanya menjadi setiausaha kepada Faizal. Berpuas hati dengan penampilannya, Dizyan melangkah turun ke tingkat bawah untuk bersarapan bersama ahli keluarga yang lain. Sutinah yang baru sahaja keluar dari dapur, tersenyum melihat Dizyan. Senyuman itu dibalas. Dizyan menjenguk ke meja makan. Semuanya sudah siap dihidangkan.
“Tak sempat Yan nak tolong Bibik.” Ujar Dizyan pada Sutinah.
“Nggak apa-apa kok, Yan. Biar Bik aja yang ngurusin.” Sutinah masuk semula ke dalam dapur. Datuk Farid dan Datin Rubaiyah baru sahaja melangkah turun dari tingkat atas. Faizal muncul dari ruang tamu. Dia turut menyertai kedua ibubapa dan isterinya untuk bersarapan. Datin Rubaiyah menghulurkan pinggan berisi makaroni goreng kepada suami serta anak dan menantunya.
“Nampaknya hari ni Mama kena tinggal dengan Bibik je lah. Dulu ada Yan, boleh jugak ajak bersembang.” Datin Rubaiyah berkata sambil menyuapkan sesudu makaroni goreng ke mulut. Dizyan hanya tersenyum hambar. Tidak mahu berkata apa-apa.
“Alahh...kan awak aktif persatuan. Kalau boring, ajaklah siapa tu....Datin...apa ke nama Datin tu...” ujar Datuk Farid sambil berfikir sesuatu. Faizal tidak mahu turut serta dalam ruangan sembang mereka pada pagi itu.
“Datin Dahlia?” Datin Rubaiyah mengingatkan Datuk Farid akan nama sahabat baiknya itu.
“Haaa....Datin Dahlia. Ajaklah Datin Dahlia pergi shopping ke, tengok furniture baru ke. Awak kan suka benda-benda tu semua.” Seperti perli sahaja Datuk Farid berkata. Isterinya menjeling manja. Dizyan tergelak kecil. Mereka menyambung semula menjamu selera.
“Nanti Yan ikut Zal pergi dan balik kerja, ya?” Datuk Farid berkata. Faizal mendongak pantas.
“What? Pa...Zal dah ikut rancangan Papa untuk biarkan dia jadi secretary Zal. And now, you expect me to give her a ride to the office?” Faizal berkata. Matanya sengaja dibeliakkan. Dizyan ingin berkata sesuatu tetapi kata-kata itu seperti tersekat di celah kerongkongnya.
“Zal...apa salahnya. Dia isteri Zal kan.” Datin Rubaiyah pula masuk campur. Datuk Farid tidak berkata apa-apa sebaliknya memandang wajah Faizal yang sedang merah menyala.
“Ma, Zal balik tak tentu masa. Kadangkala jumpa client, kena pergi location. So, time kerja Zal bukan macam time kerja orang biasa.” Faizal memberi alasan yang agak munasabah. Datuk Farid mengangguk perlahan.
“Hmmm...ada betulnya jugak cakap Zal tu. Tak apalah. Kalau macam tu, Papa belikan kereta untuk Yan. Senang untuk Yan pergi dan balik kerja.” Datuk Farid memberi cadangan.
“Tak payahlah, Pa. Yan ada kereta sendiri. Cuma nak mintak tolong Abang hantarkan Yan kat rumah Abah dan Umi. Supaya Yan boleh ambil kereta kat sana.” Bantah Dizyan. Tidak setuju apabila Datuk Farid ingin membelikannya sebuah kereta. Sedangkan, dia sudah mempunyai sebuah kereta pemberian Tuan Haji Azmin.
“Hmm...Zal pergi hantar Yan kat rumah mentua Zal.” Ujar Datuk Farid pula. Dizyan tersenyum lega. Dia meneruskan suapan.
“Yalah, Pa. Cepatlah makan. Nanti lambat pula aku pergi kerja.” Bisik Faizal di telinga Dizyan. Laju sahaja Dizyan mengunyah dan meneguk air.
KERETA Faizal berhenti dihadapan rumah banglo yang tersergam indah di Seksyen 7 itu. Teragak-agak Dizyan hendak melangkah keluar. Hatinya gusar. Takut jika berjumpa dengan Umi, airmatanya akan tumpah. Ingin diluahkan segala-galanya. Ingin diceritakan apa yang sedang membelenggu hidupnya kini. Tetapi tidak sanggup. Umi tidak perlu tahu akan kisah yang terjadi di dalam rumah Datuk Farid itu.
“Apa lagi?! Turunlah! Aku dah lambat ni.” Faizal menghalau Dizyan. Gadis itu membuka pintu kereta dengan perlahan dan melangkah turun. Ditutup semula pintu kereta itu. Tunduk memandang suaminya melalui tingkap yang terbuka.
“Jangan ingat itu company bapak mertua kau yang punya, senang-senang kau nak datang lambat. Kau macam staff lain. Masuk dan balik ikut time yang ditetapkan. Faham?!” amaran yang diberikan oleh Faizal. Dizyan mengangguk perlahan. Ingin menyalam tangan Faizal tetapi Faizal menepis tangan lembut itu. Terus sahaja keretanya menderum pergi. Airmata Dizyan seakan ingin menitis. Tetapi ditahan. Tidak mahu Umi bertanya yang bukan-bukan.
Dizyan berpaling perlahan dan menuju ke pintu pagar. Ditekan loceng dan loceng tersebut kedengaran berdenting sebanyak 3 kali di dalam rumah. Pintu pagar automatik dibuka. Terjengul wajah Mak Nani di pintu utama. Gembira bukan kepalang melihat kepulangan Dizyan.
“Yan....” jerit Mak Nani.
“Mak Nani.” Dizyan meluru ke dalam dakapan wanita tua itu. Airmatanya menitis setitik. Betapa hatinya terlalu merindui penghuni di dalam rumah itu. Mereka sama-sama meleraikan pelukan.
“Masuklah. Umi ada kat dalam tengah sarapan.” Mak Nani menarik lengan Dizyan. Gadis itu hanya menuruti langkah Mak Nani.
“Umi...” panggil Dizyan perlahan. Puan Hajjah Karissa memandang sekilas ke arah Dizyan. Tetapi dipandangnya semula. Tidak jadi meneruskan suapan. Diletakkan sudu yang digunakan semula.
“Yan.” Puan Hajjah Karissa berdiri dan mendepangkan tangannya. Dizyan tanpa menunggu lagi terus meluru dan memeluk Uminya itu sekuat hati. Mereka sama-sama menangis dalam pelukan. Puan Hajjah Karissa melonggarkan pelukan sedikit dan memegang wajah anak perempuan yang amat dirinduinya itu.
“Yan sihat?” tanya Puan Hajjah Karissa. Dizyan tersenyum dan mengangguk dalam tangisan.
“Tentu Yan happy dengan Faizal, kan. Umi tengok Yan makin berseri-seri.” Puan Hajjah Karissa memegang kedua belah tangan anaknya. Dizyan tergamam. Apa yang perlu dikhabarkan kepada Umi? Bahagiakah aku bersama Faizal? Gembirakah aku tinggal di rumah Datuk Farid? Baikkah layanan Faizal terhadap aku? Soalan demi soalan berlegar-legar dalam kepala Dizyan.
“Ermm, Umi...Mana yang lain?” tanya Dizyan. Cuba mengubah topik daripada Puan Hajjah Karissa berterusan menanyakan soalan yang akan menguris hatinya walaupun tidak Uminya itu sedar.
“Abah dan Kak Syifa pergi court. Ada kes katanya pagi ni. Abang Iz dah pergi office. Kak Yas ada kat atas tu. Tengah bagi si kecil Lia mandi.” Ujar Puan Hajjah Karissa sambil menarik tangan Dizyan untuk membuntutinya.
“Mari kita makan dulu.” Ajak Puan Hajjah Karissa. Teragak-agak untuk Dizyan duduk di meja makan itu. Sesekali matanya memandang jam di tangan. Teringat amaran yang diberikan oleh Faizal sebentar tadi. Puan Hajjah Karissa memandang Dizyan yang kegelisahan.
“Kenapa, Yan?” tanya Uminya.
“Umi, Yan dah lambat nak pergi kerja ni.” Ujar Dizyan lembut. Puan Hajjah Karissa tersenyum dan mengangguk perlahan.
“Yan kerja kat mana?” tanya Puan Hajjah Karissa.
“RUFA Tower.” Jawab Dizyan ringkas. Sekali lagi Puan Hajjah Karissa mengangguk.
“Ohh...tak apalah. Yan pergi kerja. Lain kali kita makan bersama, ya.” Puan Hajjah Karissa berkata. Dia turut tidak mahu Dizyan terlambat ke tempat kerjanya pada hari pertama.
“Umi...Yan ambil kereta, ya. Sebab sekarang ni Yan kena pergi kerja sendiri.” Ujar Dizyan. Puan Hajjah Karissa mengangguk tanpa banyak bersoal. Terus sahaja Dizyan mencapai kunci kereta di dalam almari kunci.
“Yan pergi dulu.” Tunduk menyalami Puan Hajjah Karissa dan terus menuju ke keretanya yang berada di dalam garaj. Enjin kereta dihidupkan dan menderum pergi meninggalkan rumah banglo milik Tuan Haji Azmin.


DIZYAN memarkirkan keretanya di Basement bangunan RUFA Tower. Keluar dari perut kereta dan menuju ke lif yang berada di Basement itu untuk ke lobi. Dia masuk ke dalam lif dan pintu lif hampir tertutup tetapi sempat ditahan oleh tangan seseorang. Dizyan menjerit kecil melihat tangan gagah seorang lelaki melalui pintu lif tersebut. Sebaik sahaja pintu lif terbuka semula, terjengul wajah seorang lelaki. Dizyan tersentak melihat lelaki yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam lif tersebut. Tersengih sahaja lelaki itu memandang Dizyan. Dia menekan butang lif. Dizyan menjarakkan sedikit badannya dari tempat menekan butang lif tersebut. Hening suasanan di dalam lif itu. Hanya kedengaran bunyi mesin yang menarik lif itu sahaja.
“Saya terkejutkan awak ke?” pertanyaan lelaki itu membuatkan Dizyan memandang ke arahnya. Tersenyum dan mengangguk perlahan.
“Sorry.” Ucap lelaki itu. Dizyan menggeleng perlahan.
“It’s ok.” Jawab Dizyan ringkas. Kemudian, lelaki itu memusingkan badannya.
“Saya Syed Ezra.” Lelaki itu menghulurkan tangan untuk bersalaman.
“Dizyan Farhana.” Jawab Dizyan. Tersenyum dan mengangguk. Tetapi huluran tangan itu tidak bersambut. Syed Ezra menarik kembali tangannya. Mereka kembali terdiam.
“Saya tak pernah nampak pun Cik Dizyan kat sini? Baru start kerja ke? Department mana?” tanya Syed Ezra. Cuba bermesra. Dizyan memandang ke arah lelaki itu. Mengangguk perlahan.
“Encik Syed tak payahlah panggil saya Cik. Panggil Yan je dah cukup.” Ujar Dizyan lembut. Syed Ezra membalas senyuman manis Dizyan.
“Kalau saya tak usah bercik dengan Yan, Yan pun tak payahlah panggil saya Encik Syed. Panggil Ezra je.” Syed Ezra berkata. Dizyan tersenyum.
“Department mana?” sekali lagi Syed Ezra bertanya.
“Saya kerja sebagai secretary Encik Faizal.” Jawab Dizyan lembut. Lif berdenting dan pintu lif terbuka. Mereka sama-sama melangkah keluar. Menuju ke lif yang ada di lobi untuk ke Tingkat 12. Sementara menunggu untuk pintu lif itu terbuka, seorang lelaki menyapa Syed Ezra.
“Baru datang, Ez?” ujar lelaki itu. Syed Ezra mengalih pandang ke arah lelaki tersebut.
“Kau pun baru datang, Neeq?” Syed Ezra pula bertanya. Pintu lif berdenting dan mereka bertiga melangkah masuk. Dizyan berdiri di sudut lif. Langsung tidak mahu memandang ke arah kedua-dua lelaki tersebut. Pandangannya hanya ditekur ke lantai.
“Ni, aku kenalkan Dizyan. Dia yang akan jadi secretary baru Faizal.” Syed Ezra memperkenalkan Dizyan kepada Aneeq. Terkedu lelaki itu memandang gadis yang hanya berdiam diri di satu sudut.
“Apa khabar? Welcome to RUFA Tower.” Ujar Aneeq. Dihulurkan tangan kepada gadis itu. Oleh kerana Dizyan tidak mahu membuatkan Aneeq berasa malu dihadapan Syed Ezra jika dia tidak berkata apa-apa, dijawab juga.
“Fine. Thanks.” Jawab Dizyan ringkas. Huluran tangan tetap tidak disambut. Pintu lif berdenting dan terbuka. Dizyan meminta diri dan beredar dari situ. Rimas berlama disitu. Dia terus menuju ke kaunter penyambut tetamu. Tersenyum pada Mastura.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu, Cik?” Mastura bertanya lembut.
“Saya, Dizyan. Saya sepatutnya ganti tempat Cik Hartanty.” Ujar Dizyan. Mastura mengangguk perlahan. Hartanty pernah memberitahu kepada Mastura bahawa seseorang akan menggantikan tempatnya.
“Tunggu sebentar ya, Cik Dizyan.” Mastura berkata dan mencapai gagang telefon. Didail nombor talian terus ke meja Hartanty.
“Tan, Cik Dizyan dah ada kat sini.” Ujar Mastura. Dizyan lihat Mastura mengangguk dan hanya menjawab ‘ya’ sahaja. Kemudian, dia meletakkan semula gagang telefon.
“Cik Dizyan bolehlah masuk ke dalam. Tanty sedang menunggu Cik kat dalam.” Mastura berdiri dan mengunjukkan jari telunjuk ke arah yang perlu ditujui oleh Dizyan. Dizyan mengangguk dan tersenyum. Meneruskan langkah menuju ke arah bilik Faizal.
Sebaik sahaja ternampak Hartanty, Dizyan tersenyum ke arahnya. Hartanty berdiri dan bersalaman serta berpelukan dengan Dizyan.
“Apa khabar, Puan?” ujar Hartanty selepas meleraikan pelukan. Nasib baik tidak begitu ramai orang yang berada di dalam pejabat. Dizyan menepuk bahu Hartanty sambil tergelak kecil.
“Janganlah panggil saya macam tu, Tanty. Panggil Yan je. Macam biasa.” Hartanty turut tertawa.
Tiba-tiba pintu bilik pejabat Faizal terbuka. Terhenti perbualan dan gelak ketawa kedua gadis itu. Faizal menjengul di sebalik pintunya. Menggunakan jari telunjuk menggamit ke arah Dizyan. Memanggil Dizyan masuk ke dalam biliknya.
“Tak apalah, Tanty. Kejap lagi kita sambung sembang, ya.” Sekali lagi Dizyan menepuk bahu Hartanty. Gadis itu mengangguk dan tersengih. Dizyan masuk ke dalam bilik pejabat Faizal itu. Pintu bilik Faizal tertutup rapat.
“Duduk.” Arah Faizal. Perlahan kaki Dizyan melangkah mendekati meja Faizal. Ditarik kerusi dan duduk menghadap Faizal yang sedang membuka fail. Lama mereka membisu. Dizyan sudah gelisah diduduknya. Masih menanti butir bicara Faizal. Lelaki itu berdehem kecil tetapi masih tidak berkata apa-apa. Mata Dizyan memerhati ke sekeliling bilik. Bilik yang sederhana itu kelihatan nyaman. Penghawa dingin yang menghembus kuat menyejukkan badan Dizyan tetapi hatinya tetap gusar. Apakah yang ingin diperkatakan oleh Faizal sebenarnya?
“Kau jangan hebohkan pada sesiapa tentang hubungan kita ni. Aku tak nak siapa pun tahu yang kita ni suami isteri. Kalau sesiapa dapat tahu, aku takkan teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap hubungan kita ni.” Amaran yang diberikan oleh Faizal diterima bulat-bulat. Dia menelan air liur. Tetapi terasa tersekat di kerongkong.
“Tapi kenapa?” Dizyan bertanya. Perasaan ingin tahu membuak-buak.
“Lagi satu, kau jangan tanya kenapa. Yang kau tahu, kurangkan bercakap dengan orang lain dan aku tak mahu orang tahu kau ada apa-apa hubungan dengan aku. Faham?!” tingkah Faizal dan matanya memandang tajam ke arah Dizyan. Lambat-lambat gadis itu mengangguk.
“Dan, kau cakap pada Tanty, jangan heboh pasal hal ni.” Faizal menyambung. Dizyan mengeluh perlahan tetapi cukup untuk telinga Faizal menangkap bunyi keluhan itu.
“Apasal? Kau tak puas hati?” dijungkitkan keningnya sebelah. Dizyan menggeleng.
“Faham ke tak ni?” sekali lagi Faizal bertanya. Ditinggikan sedikit suaranya.
“Faham.” Lemah sekali Dizyan menjawab.
“Sekarang aku nak kau keluar and tanya Tanty apa yang perlu kau buat. That’s all for now.” Arah Faizal. Dizyan terus berdiri dan berjalan keluar dari bilik Faizal. Setelah pintu bilik itu tertutup semula, Dizyan berjalan ke arah meja Hartanty. Dia hanya berdiri tercegat apabila dia lihat Hartanty sedang sibuk menyelesaikan kerjanya. Hartanty mengangkat muka apabila tersedar kehadiran seseorang disitu.
“Eh, Puan. Kenapa tak panggil saya?” Hartanty berkata dan berdiri. Dizyan segera menarik lengan Hartanty.
“Encik Faizal pesan dengan saya jangan beritahu sesiapa tentang hubungan kami. Saya harap Tanty pun jangan panggil saya Puan. Panggil saya Yan je. Encik Faizal suruh saya rahsiakan hal ni. Tanty tolong saya, ya.” Dizyan menggenggam erat jari-jemari Hartanty. Berkerut dahi Hartanty mendengarkan permintaan Dizyan itu. Timbul pula perasaan marah terhadap Faizal kerana menyuruh Dizyan merahsiakan hubungan mereka. Lambat-lambat Hartanty bersetuju.
“Apa yang perlu saya buat?” Dizyan mengubah topik. Hartanty mencapai sesuatu di atas mejanya. Dibuka organizer yang tertulis kesemua agenda penting Faizal.
“Dalam ni ada semua appointment penting Encik Faizal. So, every meeting and every call that came in, kena catitlah dalam ni. Yan tahu kan?” Hartanty menghulurkan organizer ke tangan Dizyan. Gadis itu mengangguk. Satu persatu diterangkan apa yang perlu Dizyan tahu apabila menjadi setiausaha Faizal yang cerewet itu.
“Yan kena datang awal, tau. Lepas tu, siapkan Nescafe ‘O untuk orang tua kat dalam tu.” Seloroh Hartanty. Mereka sama-sama tergelak kecil. Kemudian, Hartanty membawa Dizyan dan ditunjukkan keadaan pejabat sekeliling. Nasib baik tidak begitu ramai orang di pejabat. Jadi, tidak ada soalan-soalan sumbang yang akan ‘menghinggap’ di telinga Hartanty. Pasti mereka sibuk hendak tahu pekerja terbaru di pejabat itu.

BERSAMBUNG.....

4 tukang komen paling setia:

aL-HaNis said...

eii jahatnye faizal tak nak org lain tau. takpe2 nt Yan ramai peminat dia plk yg jeles. Best cte ni. well done dear writer!

cutey_cat said...

huhu.. ble nak suruh suami yan jeles nie.. bg la yan ade feeling ckit2 kt aneeq, biar faizal jeles..

keSENGALan teserlah.. said...

huhu..
kasi si faizal nieh jeles sket kak,.
kasi si ezra nieh nk dkt2 ngn yan pon oke gak..
huhu..smbung2..

Aishah Hamzah said...

haiyo!korg plak yg emo lebey....
kah3.....