BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 14, 2009

Kau Milikku 1

BAB 1

LANGIT yang cerah tidak langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa hari akan hujan. Bintang berkelipan cantik di angkasa. Seorang gadis sedang duduk di balkoni rumahnya menebarkan pandang ke arah langit. Serasa ingin menggapai bintang-bintang yang nun jauh melangit di angkasa. Tiba-tiba bahunya tersengguk-sengguk menahan tangis. Hati tergores mendengarkan kata-kata yang dilontar oleh seorang budak lelaki di sekolahnya siang tadi. Dia tahu dirinya yang bersaiz besar ini pasti tidak setanding dengan gadis-gadis genit di sekolah. Bukan dia pinta perasaan itu hadir. Tetapi hadir secara tanpa paksaan. Entah kenapa dia boleh jatuh cinta pada budak lelaki itu. Sedangkan budak lelaki itu adalah gangster sekolah. Selalu sahaja dia dipanggil masuk ke bilik guru disiplin. Hati dia menjadi berdebar-debar apabila berhadapan dengan lelaki itu. Dia tidak suka berpura-pura. Hipokrit bukanlah dirinya. Itulah Dizyan Farhana. Gadis bertubuh besar yang senantiasa mendapat hadiah kecemerlangan setiap tahun kerana keputusannya yang selalu sahaja berada di tangga teratas. Teringat kembali akan kejadian yang berlaku siang tadi. Sungguh dia sudah dimalukan oleh budak lelaki yang dicintainya itu.
“Fez, si blue hyppo ni ada hati kat kau.” Salah seorang daripada rakan budak lelaki itu berkata semasa Dizyan melintasi kumpulan mereka. Ya, Fez. Fezrull Faizal. Lelaki yang diminatinya sejak tingkatan satu lagi. Entah kenapa dia boleh jatuh cinta pada Faizal. Tetapi yang pasti, bukan kerana wajahnya yang iras Daniel Henney, pelakon Seducing Mr. Perfect itu.
Dizyan perlahan-lahan berjalan melintasi mereka. Ingin mendengar apa yang ingin diperkatakan lagi oleh budak lelaki itu. Yang lain hanya ketawa berdekah-dekah. Dizyan memandang sekilas ke arah Faizal yang sedang membuat muka selambanya membalas kembali pandangan Dizyan. Segera Dizyan mengalih pandang ke tempat lain. Hati dia terasa berdebar. Menarik nafas perlahan. Kemudian, dilepaskan.
“Wei, blue.” Panggil Faizal kuat. Terhenti langkah Dizyan. Beralih ke arah Faizal.
“Dia mengaku dia blue hyppo.” Ujar Aneeq. Juga salah seorang ahli kumpulan Faizal itu. Serentak dengan itu, ketawa mereka satu kumpulan berderai. Kiranya Faizal ini adalah ketua kumpulan. Mereka menjadikan dia sebagai ketua kumpulan kerana dia adalah anak orang berada. Ibubapanya berpangkat gelaran yang dikurniakan oleh Yang Dipertuan Agung.
“Sini kejap.” Panggil Faizal. Berat sahaja kaki Dizyan hendak melangkah ke arah mereka. Dia tahu pasti mereka semua akan menyusahkan hidupnya.
Semasa Dizyan melangkah ke arah Faizal dengan senyuman yang ikhlas, dirasakan seseorang telah melanggar dia sehingga dia terdorong ke hadapan. Dilihat wajah orang itu. Seorang gadis tersenyum sinis. Cepat sahaja langkah gadis itu menuju ke arah Faizal. Dizyan melangkah jua ke arah lelaki itu.
“Sayang, kenapa you panggil blue hyppo ni datang sini?” soal Ku Zhety atau nama sebenarnya Engku Zhety Engku Nashman. Dia melabuhkan punggung disebelah Faizal. Disendengkan badannya kepada Faizal. Meluat Dizyan melihat gadis itu. Hish, menyampah aku! Faizal tu aku punya, hatinya menjerit geram. Tapi tidak terluah pula di mulut.
“Saja.” Faizal berkata ringkas. Ku Zhety masam mencuka. Dia menyilangkan lengan ke dada. Faizal mengelus perlahan rambut Ku Zhety yang beralun itu. Segera Ku Zhety menepis kasar. Tanda protes. Dijungkitkan bahu sedikit. Tidak faham dengan sikap perempuan yang suka berubah-ubah.
Faizal berdiri dan berjalan menuju ke arah Dizyan. Jejaka muda itu bisa menggegarkan hati Dizyan. Dia tersenyum semanis mungkin. Faizal mengukir senyuman menggoda. Hati Dizyan berdegup kencang.
“Kau suka kat aku?” tanya Faizal sedikit berbisik. Tanpa paksaan, Dizyan mengangguk perlahan.
“Tapi...kawan-kawan aku lagi suka kat kau.” Faizal berkata dan sedikit mengelak apabila kawan-kawan sekumpulannya membaling lumpur ke arah Dizyan. Habis kotor baju sekolah putih Dizyan. Sudah bertompok-tompok kehitaman. Mereka masih galak membaling lumpur. Kadangkala Dizyan mengelak, dan kadangkala pasti melekat kotoran itu di muka dan bajunya. Nasib baik sudah habis waktu sekolah. Jadi, boleh sahaja dia terus balik untuk membersihkan diri.
Sudah puas mereka membaling lumpur, Ku Zhety berjalan menuju ke arah Faizal yang menyilangkan lengan ke dada sambil tersenyum sinis.
“Untuk pengetahuan kau, aku suka orang macam Zhety ni. Cantik, kurus, seksi.” Ujar Faizal. Kemudian mencuit dagu Zhety. Tergelak kecil gadis itu. Tangannya diletakkan di atas bahu Ku Zhety.
“Orang macam kau ni, tak layak untuk orang macam aku. Kau ni lebih sesuai dengan....siapa, wei?” Faizal bertanya seraya mengalih pandang ke arah kawan-kawannya itu.
“Bob Boroi.” Serentak dengan itu, tawa mereka pecah. Mata Dizyan mencerlung ke arah mereka semua. Darah merah menyerbu ke muka.
“Kau orang semua ni memang suka menyusahkan mak bapak je. Perhabiskan semua harta dia orang. Datang sekolah bukan nak belajar, tapi belajar nak jadi gangster. Kau orang ni kalau cekik bagi mampus pun tak apa. Tak menyusahkan mak bapak kau orang nak sara kau orang sampai besar. Parasit! Kau orang ni memang....SYAITAN BERTOPENGKAN MANUSIA!!!!” jerit Dizyan lantang. Mereka semua terkejut dengan jeritan itu. Aneeq menuju ke arah Dizyan. Diangkat tangan setingginya. Ingin menampar wajah mulus dihadapannya itu.
“Tamparlah. Kau memang dayus. Lelaki pengecut. Dengan perempuan, kau beranilah. Cuba berlawan dengan orang yang setara dengan kau. Kau ni lembik.” Dizyan berkata tegas. Tetapi dalam hatinya, cuba ditahan perasaan takut. Takut juga jika Aneeq bertindak di luar kewarasannya. Rizal segera menarik Aneeq untuk menjauhi gadis itu.
Dizyan berpaling memandang Faizal dan Ku Zhety yang juga kelihatan terkejut.
“Kalau setakat girlfriend kau ni yang pakai ala-ala macam pengemis tak cukup kain, aku tak hairanlah kalau kawan-kawan kau sendiri kata perempuan ni pelacur.” Ujar Dizyan dan terus sahaja melangkah pergi. Terdengar jeritan Ku Zhety dari jauh. Dizyan tersenyum sinis. Faizal sudah mengepal penumbuk. Dia menumbuk batang kayu pokok yang dijadikan tempat berjumpa ahli kumpulan mereka.
“Aku pasti akan balas dendam. Jaga kau, Dizyan.” Faizal mengetap gigi. Badannya menggeletar menahan amarah. Darah mengalir keluar dari tangan sudah tidak dipedulikan lagi.


SEBAIK sahaja tiba di rumah, Dizyan melangkah masuk ke dalam rumah. Kakinya laju mendaki tangga menuju ke bilik untuk membersihkan diri. Tanpa disedari, Dizyan terlanggar Mak Kiah yang baru keluar dari bilik untuk ke dapur.
“Awal kamu balik hari ni, Yan. Tak ada kelas tambahan ke?” tanya Mak Kiah yang sedia maklum akan aktiviti anak majikannya itu setiap hari.
Isnin hingga Khamis pasti ada kelas tambahan dan latihan bola jaring untuk rumah sukan yang diwakilinya. Dizyan hanya dijadikan pemain simpanan. Tidak pernah dia turun ke padang untuk bersama rakan-rakan sepasukan yang lain. Ini bukan kerana dia tidak mahu. Tetapi langsung tidak pernah diberikan peluang. Mereka takut mereka akan kalah jika Dizyan turut bermain. Alah...bukannya Dizyan tidak tahu yang mereka takut Dizyan tidak dapat berlari untuk mengejar bola dan akan menyebabkan kekalahan rumah mereka itu. Kadangkala dia menyesal menjadi seseorang yang bersaiz besar. Tidak ada kekasih, tidaklah dihairankan sangat. Tetapi selalu jadi bahan hinaan dan caci umpat rakan-rakan sekolah. Itu yang menjadikan dia bertambah tertekan.
“Hari ni dibatalkan Mak Kiah. Sebab Cikgu Asmah sakit perut. Jadi, tak adalah.” Ujar Dizyan memandang wajah tua dihadapannya itu. Sudah bertahun Mak Kiah berkhidmat di rumah mereka itu. Terkerut-kerut Mak Kiah melihat keadaan Dizyan yang disaluti lumpur itu.
“Kenapa berlumpur kamu ni, Yan?”
“Ermm...ta..tad...tadi...Yan jatuh.” Tergagap-gagap Dizyan menjawab.
“Hmm...tak apalah. Yan letak baju Yan tu dalam baldi. Nanti Mak Kiah basuh dengan tangan. Lumpur ni nak kena sental dulu. Kalau masuk mesin basuh je, nanti tak keluar kesannya.” Mak Kiah berkata dan berkira-kira hendak beredar dari situ.
“Eh, tak apalah, Mak Kiah. Yan sental sendiri. Lepas tu baru Yan letak dalam washing machine.” Dizyan menolak cadangan Mak Kiah itu.
“Yalah.” Mak Kiah terus sahaja beredar ke dapur. Dizyan berlari-lari anak naik ke tingkat atas dan segera menanggalkan baju yang penuh lumpur itu. Diletakkan di dalam baldi di dalam bilik air untuk direndam dengan air sabun sebentar sebelum mula menyental. Dia harus membersihkan diri. Geli-geleman dengan lumpur yang kotor itu. Air yang keluar dari shower itu membasahi dirinya yang dalam kekotoran lumpur itu. Sedikit lega melihat lumpur yang mulai bersih dari badannya.
“Kau memang nak kena dengan aku, Faizal & Boys. Hish, apa punya nama daa...Tak commercial langsung. Apa aku nak buat dengan dia orang ni?” Dizyan sudah mengepal penumbuk sebelah tangan kanan dan menumbuk perlahan telapak tangan kirinya. Tiba-tiba pintu bilik airnya diketuk. Terkejut Dizyan sambil mengurut dada.
“Yan, marilah turun makan. Mak Kiah dah siapkan makan tengah hari kamu.” Laung Mak Kiah dari luar. Dizyan memerlahankan air shower itu.
“Ok, Mak Kiah. Kejap lagi Yan turun.” Selepas Dizyan selesai berkata, terdengar pintu biliknya ditutup oleh Mak Kiah. Dizyan meneruskan mandiannya.
Setengah jam kemudian, Dizyan turun ke bawah. Makanan sudah terhidang di atas meja. Dizyan hendak ke dapur untuk mengambil pinggan makannya. Dilihat Mak Kiah sedang sibuk memasak cucur ikan bilis. Dizyan menceduk nasi dari dalam periuk nasi ke pinggannya.
“Mak Kiah, meh la makan sekali.” Pelawa Dizyan.
“Tak apalah, Yan. Mak Kiah tengah nak masak cucur ni untuk minum petang Puan Hajjah.” Mak Kiah masih lagi meneruskan kerjanya tanpa memandang wajah Dizyan.
“Umi dengan Abah pergi mana, Mak Kiah?” tanya Dizyan. Dari tadi, tidak kelihatan dimana-mana kelibat kedua ibubapanya.
“Umi tu biasalah hari-hari kan ada kelas agama kat surau depan rumah tu. Abah Yan manalah nak pergi, kalau tak ke pejabatnya.” Mak Kiah mula sibuk menyediakan bahan-bahan untuk makan malam. Dipotong sayur jagung, kacang buncis, lobak merah dan kubis untuk dibuat sayur. Lauk yang ringkas dapat membuatkan Dizyan menambah nasi berkali-kali.
“Aik, bukan Kak Syifa dah ambil alih urusan semuanya ke?” Dizyan mengerutkan dahi. Setahu dia, kakak sepupunya yang dijaga oleh Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa sejak kecil, selepas ibubapa Asyifa meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya telah mengambil alih segala urusan syarikat sebelum syarikat itu dapat diserahkan kepada pewaris Tuan Haji Azmin yang sah iaitu abang kepada Dizyan, Izham Firdaus.
“Entahlah. Adalah masalahnya tu.” Mak Kiah berkata lagi. Dizyan mengangguk perlahan. Dia berlalu ke meja makan dan melabuhkan punggungnya disitu. Menceduk kuah ikan pari masak asam pedas dan daging goreng masak kicap. Begitu berselera Dizyan menyuap makanan ke mulutnya.


USAI menjamu selera, Dizyan merehatkan badan yang keletihan ke sofa sambil menonton televisyen. Kedengaran pintu rumah dibuka dari luar. Terjengul wajah Puan Hajjah Karissa. Tersenyum memandang anak gadisnya itu. Ditutup semula pintu utama. Mak Kiah yang baru sahaja selesai menghidangkan cucur ikan bilis dan air teh di atas meja, menuju ke arah Puan Hajjah Karissa yang sedang membuka tudung kepala. Dikibas-kibaskan sedikit tangan ke muka. Panas! Nasib baik penghawa dingin di ruang tamu dapat menyejukkan badan.
“Baru balik, Yan?” tanya Puan Hajjah Karissa seraya melabuhkan punggung disebelah Dizyan. Menepuk-nepuk peha Dizyan yang berisi itu. Dizyan dengan sikap manja melentokkan kepala ke bahu Uminya. Sudah lama tidak bermanja dengan Umi. Sejak sibuk dengan kelas tambahan. Almaklumlah, dia bakal menduduki SPM tidak lama lagi.
“Taklah, Umi. Dah lama.”
“Dah makan?” Puan Hajjah Karissa memang seorang ibu yang prihatin.
“Dah, Umi. Dua pinggan lagi.” Seloroh Dizyan. Mereka sama-sama tergelak kecil.
“Puan Hajjah, Yan. Marilah makan. Saya dah siapkan ni.” Panggil Mak Kiah lembut. Puan Hajjah Karissa memandang ke arah Mak Kiah dan mengangguk perlahan.
“Jom, Yan. Kita makan cucur Mak Kiah buat.”
“Tak apalah, Umi. Umi pergilah makan dulu. Kejap lagi Yan makan.” Ujar Dizyan. Puan Hajjah Karissa mengangguk dan terus bangun dari sofa. Menuju ke meja makan. Dizyan kembali meletakkan kepala diatas sofa. Membaringkan diri sambil menonton. Sudah lama tidak berehat begini.
Sabtu dan Ahad, tuisyen memanjang. Kalau tuisyen dibatalkan, Dizyan dan rakan-rakannya pasti membuat perbincangan mengenai subjek yang menjadi pilihan mereka. Selama setahun ini, terpaksalah dia bertungkus-lumus. Memang impiannya untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Haruslah dia berusaha lebih sedikit. Puan Hajjah Karissa dan Mak Kiah leka bersembang di meja makan. Bermacam-macam perkara yang dibincangkan.
Setelah habis menjamu selera, Puan Hajjah Karissa bangun dan menuju semula ke ruang tamu. Cadangnya ingin bersembang pula dengan Dizyan. Tiba-tiba matanya tertancap pada sekujur tubuh yang sedang tertidur lesu. Menggeleng kepala Puan Hajjah Karissa. Letih sangat, agaknya. Sudah jarang bertemu muka dengan anak perempuan seorang itu. Setiap kali Dizyan pulang dari sekolah selepas kelas tambahan, Puan Hajjah Karissa pasti sudah ke kelas agama di surau yang berdekatan. Kalau dia pula pulang dari kelas agama, Dizyan keluar untuk ke tempat tuisyen. Disebelah malamnya, sebelum Dizyan pulang dari kelas tuisyen, Puan Hajjah Karissa sudah ke surau untuk berjemaah Maghrib disana dan juga mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh ustaz yang berlainan setiap minggu. Pulang sahaja Puan Hajjah Karissa selepas Isyak, Dizyan memerap dalam bilik untuk mengulangkaji. Hanya akan turun untuk makan malam. Kemudian, memerap semula dalam bilik. Kasihan anaknya itu. Dia sangat berusaha untuk menjadi seperti Izham. Abangnya itu kini sedang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Puan Hajjah Karissa menunduk dan perlahan-lahan mengusap rambut Dizyan. Dilihatnya Dizyan menggerakkan sedikit badan. Membuka mata dan mengecilkan semula apabila lampu chandelier di ruang tamu menyuluh mata.
“Yan....” panggil Puan Hajjah Karissa perlahan.
“Ya, Umi?”
“Pergilah masuk bilik. Tidur dalam bilik kan lagi selesa.” Ujar Puan Hajjah Karissa dengan senyuman. Wanita anggun itu sentiasa manis dengan senyuman. Dizyan mengangguk lemah dan segera bangun dari perbaringan. Melangkah longlai menuju ke biliknya di tingkat atas. Dibuntuti oleh Puan Hajjah Karissa.
Dizyan menutup pintu biliknya setelah dia memboloskan diri masuk ke dalam bilik. Dibaringkan diri ke atas katil empuk. Terasa lega dapat merehatkan badan setelah berminggu-minggu tidak berhenti aktivitinya. Dizyan mengeliat sedikit.
“Argh....leganya.” tiba-tiba telefon berdering. Dengan malas, Dizyan mencapai telefon bimbit di atas meja sisi katil. Dilihat di skrin. Tertera nombor yang tidak dikenalinya.
“Hello?” dengan sedikit mengantuk, Dizyan menjawab juga.
“Jangan kau berani nak datang sekolah esok. Nahas kau, aku kerjakan.” Si pemanggil berkata kasar. Terbelalak mata Dizyan. Siapakah yang berani sangat menelefonnya di waktu dia ingin berehat?
“Siapa kau ni? Suka hati aku lah nak datang ke tak nak esok. Yang kau nak kisah, apa hal.” Terus sahaja Dizyan mematikan talian. Mendengus geram. Telefonnya sekali lagi menjerit nyaring. Dilihat sekali lagi di skrin. Nombor yang sama.
“Eh, hello....Kau ni siapa ha? Nak menganggu hidup orang je kerja kau kan. Pergilah cari kerja yang berfaedah sikit.” Belum sempat Dizyan mematikan talian, si pemanggil berkata.
“I’m your worst nightmare.” Bisik si pemanggil. Konon ingin menakut-nakutkan Dizyan.
“Pergi mampuslah dengan kau punya nightmare. Apa...kau ingat ni cerita I Know What You Did Last Summer? Atau Texas Chainsaw Massacre? Or Friday Night The 13th? Ohh...atau kau ingat ni Urban Legend, The Exorcist? Eh, hello....kau ni banyak sangat kot tengok cerita-cerita macam tu sampaikan kepala otak kau tu dah tak betul. Pergi mampuslah, gila!!!” jerit Dizyan sebelum mematikan talian dengan pantas. Habis terkeluar kesemua cerita-cerita seram yang menjadi kegemaran Dizyan sehingga sekarang. Kalau dia menonton Urban Legend dan The Exorcist, pasti seminggu tidurnya dihantui oleh perkara-perkara yang berlaku dalam cerita tersebut.
Dizyan menggelengkan kepalanya sedikit. Dicampak telefon bimbit di atas katil. Dia turut mencampakkan kepalanya ke atas bantal dan memejamkan mata. Habis terkeluar sudah semua tenaga yang dijana tadi.
BERSAMBUNG...

8 tukang komen paling setia:

nurhakim said...

salam....
enovel baru ke kak ecah????
ok gak 2...
permulaan yg brsahaja n best..
cpat smbng tau kak ecah..
smua novel kat blog kak ecah nie saya minat..
kak ecah tlis mmg best lah...
chayok kak...hihiii

Aishah Hamzah said...

makacheh yer....
a'ah enovel br...hehe
hehe kene follow smpi abes....
hehe
nnt insyaAllah Dr K.L ke Luxembourg akan publish...
so,hope sesgt korg sume bg support, k.....

adek said...

permulaan yg baik..

smbg2

Bie Hassan said...

salam kat ecah...
permulaan yg baik...
sambung lagi yea...

::cHeeSeCaKe:: said...

bestnye..
smbung lg ek kak ecah..!
sy ikut sume enovel kak ecah..
gud luck..!

akutetapaku said...

dh nk terbit DR KL ke L...bila publish kak?...enovel br ni pun best...cpt smbg macam biasa erk kak..;)

scorvgirl said...

manis sekali....
kamus pengetahuan

keSENGALan teserlah.. said...

smbung2..
huhu..
ble publish DRKLKL??
(ske2.je wat shortform nieh..)
ekekkee...