BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, February 21, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 39

BAB 39

HARIZ kembali semula ke kabin di tempat mereka tadi dengan membawa sebungkus sandwich dan 2 cawan plastik yang berisi air kopi. Dihulurkan bungkusan sandwich tersebut kepada isteri dihadapan yang sedang leka mendengar lagu melalui mp4 sambil membaca novel Sepi Berlalu Pergi, karya Damya Hanna. Aishah mencapai bungkusan tersebut. Dirungkaikan plastik itu dan perlahan-lahan menyumbat sandwich itu ke dalam mulutnya. Hariz juga leka membaca novel hasil nukilan mendiang Sidney Sheldon. Dalam masa 1 jam, keretapi tersebut tiba di stesen keretapi London. Hariz turun dahulu untuk mendapatkan bagasi-bagasi mereka. Aishah yang turun kemudian, segera mendapatkan Hariz yang sudah sedia menunggu dengan bagasi mereka. Aishah memaut lengan Hariz dan mereka sama-sama menuju ke tempat menunggu teksi. Setelah mendapatkan sebuah teksi untuk disewa, Hariz memunggah masuk bagasi mereka ke dalam teksi tersebut. Masing-masing masuk ke dalam perut kereta.
“Where are we heading, Sir?” tanya pemandu teksi itu.
“To Regent Palace, Sherwood Street, please.” Ujar Hariz sambil menarik tali pinggang keledar di kerusi belakang. Aishah juga turut melakukan perbuatan yang sama.
“Alright.” Teksi itu bergerak perlahan meninggalkan stesen keretapi.
Sampai sahaja di Regent Palace itu, pemandu teksi itu turun dan menolong memunggahkan bagasi. Seorang bell boy hotel turut datang membantu mereka. Hariz membayar tambang teksi dan mengucapkan terima kasih. Aishah tersenyum memandang pemandu teksi itu. Terus sahaja mereka menuju ke kaunter front desk dan seorang wanita yang bekerja di front desk itu tersenyum memandang mereka. Mata Aishah leka memerhatikan hiasan di dalam hotel tersebut. Terpegun seketika.
“Welcome to Regent Palace, Sir..Madam. How can I help you?” sapaan rutin yang dilakukan wanita itu.
“Yes, ermm…I’ve already booked a room.”
“May I know your name, Sir?”
“Hariz.” Ringkas jawapan Hariz. Wanita itu segera menundukkan wajah dan menatap skrin komputer dihadapannya. Menyemak nama Hariz jika terdapat di dalam senarai pelanggan hotel tersebut. Kemudian, wanita itu tersenyum kecil dan menulis sesuatu di atas kad kecil. Kemudian, diserahkan kad kecil itu kepada Hariz. Berkali-kali wanita itu menekan loceng yang ada di atas meja. Seorang bell boy terkocoh-kocoh datang menuju ke arah wanita itu.
“Please bring Mr. Hariz to 7th floor.” Arah wanita itu. Lelaki tersebut mengangguk pantas. Dia menyerahkan kunci bilik kepada bell boy tersebut.
“Thank you, Mr. Hariz. Have a nice stay and enjoy.” Ucap wanita itu lagi. Tersenyum kepada Aishah disebelah Hariz. Mereka membuntuti bell boy itu ke arah lif. Ditekan butang naik ke tingkat atas. Sekejap sahaja lif itu berdenting dan pintu terbuka. 2-3 orang pelanggan hotel itu turut keluar dari lif tersebut. Bell boy itu menolak troli sorong yang membawa bagasi-bagasi mereka ke dalam lif. Kemudian, Aishah dan Hariz melangkah masuk ke dalam lif setelah dipastikan bell boy itu menekan butang dari dalam untuk menghalang lif tersebut tertutup.
Tiba sahaja di tingkat empat, Aishah dan Hariz keluar dahulu. Kemudian, barulah bell boy itu melangkah keluar. Menyorong laju troli bagasi-bagasi ke arah bilik yang dinyatakan. Membuka pintu menggunakan kunci yang diserahkan oleh wanita front desk itu tadi. Dipunggah bagasi-bagasi dan membawa masuk ke dalam bilik yang luas itu. Aishah leka memerhatikan keindahan bilik itu dan terus sahaja melabuhkan punggung di atas katil. Di muka pintu, Hariz memberikan tips kepada bell boy itu kerana menolong mereka. Dia mengucapkan terima kasih dan terus beredar. Hariz menutup semula pintu. Aishah membaringkan diri. Sudah berkali-kali dia menahan kantuk. Menguap sahaja. Hariz berdehem kecil. Aishah memandang Hariz yang sedang meletakkan barang-barang berharganya ke atas meja solek seperti jam, telefon bimbit dan walletnya.
“Nanti malam kita pergi dinner dengan Along, ya.” Habis sahaja Hariz berkata, seperti terkena renjatan elektrik, Aishah terus bangun dan duduk tercegat di atas katil. Perlahan-lahan pandangan dikalihkan kepada Hariz. Tidak memberikan sebarang reaksi.
“Sekarang ni, sayang berehatlah dulu. Abang pun nak berehat jugak. Letih sangat.” Hariz berkata dan melabuhkan punggung disebelah Aishah. Dipaut bahu wanita itu dengan lembut. Aishah tersentak. Mengejutkan dia dari lamunan.
“Abang berehatlah. Saya nak pergi balkoni. Ambil angin.” Unjuk Aishah ke arah balkoni yang dihalangi oleh cermin kaca yang dilindungi oleh langsir organza berwarna putih. Hariz melihat ke arah itu dan mengangguk perlahan. Tersenyum kemudian, dia segera membaringkan diri.
Aishah berjalan ke arah balkoni dan membuka pintu cermin kaca itu. Sebaik sahaja membukanya, angin sejuk berhembus masuk ke dalam bilik. Berdiri kesemua liang romanya. Angin bersepoi meniup ke wajah. Rambut melayang-layang ditiup angin. Sesekali dikuak ke belakang. Seketika kemudian, Aishah memejamkan mata. Cuba membayangkan keadaan dia bertemu dengan Hafiz sebentar lagi. Entah kenapa dia ada perasaan rindu pada Hafiz. Bukan dia tidak rasa bersalah kepada Hariz. Hatinya memberontak. Dia membuka semula mata dan pandangan dicerunkan ke arah Hariz yang sedang enak berbaring. Badannya dibalutkan dengan selimut tebal. Aishah menebarkan semula pandang ke arah panorama indah itu. Diusap perlahan perutnya. Zuriat hasil perkongsian hidup dengan Hariz. Menitik air matanya. Maafkan Mama, sayang. Mama menyayangi lelaki lain selain dari Papa kamu, detik hati Aishah. Ya Allah, aku rasa berdosa sangat. Aku hanyalah insan mu yang lemah, Ya Allah. Lemah dalam perasaan cinta yang merimaskan ini. Lemah dalam keredhaan takdir. Lemah sebelum berjuang. Lemah dalam dugaan-Mu, rintih Aishah sendirian. Dia memandang ke arah langit. Air mata menuruni pipi semakin laju. Diseka perlahan dengan jemarinya.
Tiba-tiba Aishah terdengar bunyi khidmat pesanan ringkas masuk. Aishah melangkah masuk semula ke dalam. Mencapai tas tangan dan mengeluarkan telefon bimbit. Tiada. Dia menjenguk ke arah meja solek. Lampu telefon bimbit Hariz menyala. Aishah berjalan ke arah meja solek dan mencapai telefon tersebut. Ada dua khidmat pesanan ringkas. Satu daripada Khalid dan satu lagi daripada Nathan. Siapa mereka ini? Aishah tertanya sendirian. Jemarinya menekan ‘exit’ untuk mesej dari Nathan tetapi entah dimana silapnya, Aishah tertekan ‘show’ untuk mesej Khalid.

Riz, mcm mana keputusan kau? Kau kene buat treatment tu cpt.

Treatment? Rawatan apakah yang dimaksudkan oleh Khalid? Siapa Khalid? Berkerut dahi Aishah. Tidak mengapalah. Sebentar lagi, dia akan bertanya sendiri kepada Hariz. Hariz bergerak sedikit. Aishah segera meletakkan telefon Hariz semula ke atas meja. Dia berjalan semula ke arah balkoni. Dan menyambung menungannya.
Hariz terjaga dari tidurnya. Melihat Aishah di balkoni. Di sebelah wanita itu terdapat secawan kopi. Agaknya sudah berapa lama dia tertidur dan Aishah berada di balkoni itu. Hariz bangun dari katil dan menuju ke bilik air. Untuk membersihkan diri dan bersolat Asar. Walaupun berada di rantauan orang, belum pernah dia lupa untuk mengerjakan suruhan Allah. Usai bersolat, dia menuju ke arah Aishah. Sentuhan lembut Hariz, mengejutkan Aishah. Dipandang suami tercinta. Hariz melabuhkan punggung di sebelah Aishah.
“Abang minumlah. Saya tak minum pun lagi. Baru je buat.” Ditolak cawan kopi itu kepada Hariz. Lelaki itu mengangguk perlahan. Aishah memandang ke arah bangunan-bangunan pencakar langit yang berdiri gah bersebelahan mahupun bertentangan dengan hotel itu.
“Panjang menung isteri Abang ni.” Usik Hariz. Aishah mengalih pandang ke arah Hariz. Tersenyum dan menggeleng.
“Tak adalah, Bang.” Hariz mengangguk perlahan mendengarkan kata-kata Aishah.
“Sayang dah solat?”
“Dah. Sebelum Abang bangun lagi.”
“Ermm…Abang. Saya tanya sesuatu, boleh?” ujar Aishah penuh berahsia.
“Apa dia?” Hariz mengerutkan dahi.
“Tadi saya tak sengaja terbaca message Abang.” Lambat-lambat Aishah ingin meneruskan ayatnya. Hariz menghirup sedikit minumannya.
“Bacalah, sayang. Abang tak ada rahsiakan apa-apa pun dari sayang.” Hariz menyandarkan badan ke kerusi.
“Ada message dari Khalid. Katanya Abang kena buat treatment cepat. Treatment apa, Bang? Siapa Khalid? Ada apa-apa yang Abang tak beritahu saya?” gusar Aishah akhirnya terluah jua. Hariz terbelalak. Terkedu. Apakah alasan yang terbaik untuk diciptanya? Aishah menggigit bibir apabila tiada respon dari Hariz. Perasaan bersalah terbit dari dalam diri. Tidak patut dia membaca pesanan itu tadi.
“Sayang kan tahu Abang selalu sangat sakit kaki. So, dia nak buat full check-up.” Aishah mengangguk perlahan mendengar kata Hariz.
“Tapi kan Bang, dia tak cakap pasal check-up. Dia cakap pasal treatment.” Aishah menyambung kata lagi. Giliran Hariz pula menggigit bibir.
“Yalah. Kalau kaki Abang ada apa-apa hal, dia teruslah nak buat treatment.” Berharap benar Aishah akan mempercayai kata-katanya.
“Siapa pulak Khalid?” tanya Aishah lagi.
“Kawan Abang. Dia doktor. Abang selalu pergi klinik dia.” Jelas Hariz tanpa selindung. Sekali lagi wanita itu mengangguk. Hariz memerhatikan seraut wajah dihadapannya itu. Sesungguhnya, dia belum punya kekuatan untuk memberitahu perkara sebenar.
“Sayang pergilah siap. Jom keluar. Bosanlah Abang duduk perap dalam bilik ni je.” Hariz bersuara manja. Aishah lekas bangun dan mencapai tuala untuk membersihkan diri. Disarungkan pakaian yang ada di dalam bagasi.
“Dah siap, Bang.” Hariz berkalih pandang ke arah Aishah. Tersenyum dan segera mengangkat punggung. Dicapai telefon bimbit, wallet dan disarungkan jam tangan. Aishah mencapai tas tangannya.
Aishah tidak tahu harus kemana. Dia mengikut sahaja rentak Hariz. Kerna Hariz lebih tahu selok-belok jalan di London itu. Mereka berjalan menyusuri Piccadilly Circus. Kadangkala Aishah hairan kenapa nama tempat itu Piccadilly Circus, sedangkan ia hanyalah sebuah bulatan.
“Kita nak kemana ni, Bang?”
“Abang nak bawak sayang ke Planet Hollywood.” Hariz menjawab sambil kakinya laju melangkah ke arah destinasi yang ingin ditujuinya. Mereka berpegangan tangan.
Sepanjang perjalanan ke sana, sudah beberapa kali mereka melintasi panggung dan teater yang ada di dalam kawasan itu. Berpuluh-puluh panggung ada disitu. Sekejap sahaja kaki mereka sudah berdiri dihadapan Planet Hollywood.
“Malam ni kita nak dinner kat mana, Bang?” tanya Aishah. Matanya masih meliar ke sekeliling.
“Chinatown.” Ringkas Hariz berkata. Mereka masih berjalan menyusuri jalan-jalan yang ada disitu. Tiba-tiba telefon Hariz berdering. Aishah memandang sekilas. Kemudian pandangannya ditebarkan ke sekeliling. Setelah Hariz mematikan talian, Aishah bertanya.
“Siapa, Bang?”
“Along. Dia dah on the way. Nanti dia jumpa kita kat Chinatown.” Dup! Serta-merta jantung Aishah rasakan bagai terhenti berdegup. Dia memejamkan mata sebentar dan melepaskan keluhan. Terlepas pegangan Hariz. Lelaki itu berhenti dan berpaling ke belakang. Mendekati Aishah yang berdiri tercegat. Hariz menarik semula lengan Aishah. Dia menyaingi rentak Hariz berjalan.
“Kenapa sayang?” Hariz prihatin akan keadaan Aishah. Wanita itu tidak langsung memberikan sebarang reaksi. Sebaliknya hanya meneruskan langkah. Hariz memilih sebuah restoran Melayu. Di London, restoran masakan melayu lebih senang dijumpai berbanding semasa mereka di Paris. Hariz memilih tempat untuk tiga orang. Pelayan restoran mendudukkan mereka berdua di satu sudut. Mereka sudah sedia memilih makanan melalui menu yang dibawa oleh pelayan itu tadi.
“Itu saja?” tanya pelayan itu. Hariz mengangguk. Pelayan itu segera mengulangi pesanan yang dipesan sebentar tadi. Kemudian, pelayan itu beredar semula ke dapur.
Kelihatan seorang lelaki yang segak berpakaian kemeja melangkah masuk ke dalam restoran itu. Hariz melambai ke arah lelaki tersebut. Hafiz tersenyum dan laju melangkah ke arah mereka. Tetapi rentak kaki menjadi perlahan saat terpandang wajah wanita yang sangat dicintainya sepenuh hati. Wanita itu langsung tidak memandang ke arahnya. Lebih selesa memandang ke arah lain. Hafiz menarik kerusi perlahan. Dan melabuhkan punggung menghadap Aishah.
“Along...” Hariz bersalaman dengan Hafiz yang sudah pun menghulurkan tangan. Aishah tersentak apabila bertembung pandang dengan Hafiz.
“Shah...” panggil Hafiz lembut.
“Ermm...Abang.” Aishah menjadi serba-salah. Perlukah dia memanggil Hafiz dengan panggilan Along? Atau lebih sesuai dengan panggilan Abang?
“Riz dah order makanan Along.” Hariz berkata ceria. Dia tidak sedar akan situasi yang berlaku dihadapannya kini. Kedua orang kesayangannya, kaku lidah. Suasana mereka menjadi dingin, sedingin salju yang membasahi bumi. Hariz cuba membawa mereka ke alam khatulistiwa, dimana kehangatan dapat dirasai. Bersuara ceria, berlawak jenaka. Masih tidak dapat menghidupkan suasana di antara mereka. Hariz mengerutkan dahi.
“Along...Shah....” panggil Hariz. Mereka berdua memandang wajah Hariz, serentak.
“Nak pergi toilet kejap.” Kedua mereka mengangguk, juga serentak. Hariz beredar meninggalkan mereka. Aishah rasa makin tidak selesa tinggal berduaan dengan Hafiz. Dia takut akan perasaannya. Dia takut dia akan membuat satu kesalahan dalam statusnya sebagai seorang isteri.
“Shah, apa khabar?” Hafiz memulakan bicara. Aishah mendongak memandang Hafiz yang tampak tenang di kerusinya.
“Baik. Alhamdulillah.” Ujar Aishah ringkas. Terdiam lagi.
“Shah bahagia?” pertanyaan tiba-tiba dari Hafiz itu membuatkan Aishah membulatkan mata.
“Soalan apa yang cuba awak tanya ni, Fiz?” soal Aishah kurang senang.
“Fiz tahu, Shah bahagia. Fiz tumpang gembira. Hariz memang pandai mengambil hati perempuan. Tapi tu tak bermakna dia kaki perempuan. Sebelum kahwin, hanya Shah saja perempuan yang dapat menambat hati dia.” Jelas Hafiz panjang lebar. Aishah mengerutkan dahi.
“Penjelasan apa ni, Fiz? Apa yang awak nak jelaskan ni? Saya tak faham. Berterus-terang saja.” Sela Aishah geram. Hafiz berdehem kecil.
“Shah,Fiz...rindukan...Shah.” perlahan dan sedikit gagap Hafiz berkata. Terbeliak mata Aishah.
“Awak dah gila ke, Fiz? Saya ni isteri orang, adik ipar awak.” Tingkah Aishah sedikit marah. Tetapi entah kenapa di dalam hatinya, langsung tiada amarah yang dihamburkan buat Hafiz. Ya Allah, aku rasa bersalah pada Hariz. Ya Allah, ampunilah dosaku.Ya Allah, berdosanya aku. Rintih Aishah di dalam hati.
Hariz kembali semula ke meja makan yang diduduki mereka bertiga tadi. Dia mengambil sapu tangan yang ada di dalam poket dan dilap tangan yang basah.
“Masa Riz tak ada tadi, Along dengan Shah sembang apa?” tanya Hariz.
“Tak ada apa-apa sangat. Just tanya bila due date? Kat mana nak bersalin nanti?” Hafiz berbohong. Maafkan Along, Angah. Bukan niat Along untuk menipumu, dik. Tapi aku terpaksa, omong Hafiz di dalam hati.
“Ohh...” jawab Hariz. Makanan yang dipesan sudah siap dihidangkan di hadapan mereka. Hariz menjamu dengan selera sekali. Aishah hanya mengusik makanannya sedikit sahaja. Hafiz pula sudah tidak berselera untuk makan. Seleranya mati sama sekali.
“Esok Along kerja pagi ke petang?” Hariz bertanya, tiba-tiba.
“Hmm...esok shif satu hari. Kenapa?” Hafiz menyuap daging yang dipotong kecil ke mulutnya.
“Kita lunch sama esok.” Hariz mencadangkan. Hafiz tersentak. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu selalu berada bersama mereka. Melihat kemesraan Hariz dan Aishah, hatinya dibakar api cemburu.
“Ehh...tak naklah Along ganggu kau orang.” Hafiz menolak permintaan Hariz lembut. Kalau dengan Hariz, itu bukan suatu pelawaan tetapi lebih kepada permintaan.
“Alaaa....bolehlah, Along. Entah bilalah lepas ni kita nak selalu berjumpa. Entah bilalah pulak Angah nak bermanja dengan Along.” Rajuk Hariz. Pecah tawa Hafiz.
“Yalah...yalah. Jangan Angah cakap macam tu lagi dah. Geli Along dengar.” Sela Hafiz dalam tawanya. Hariz turut tertawa sama. Aishah langsung tiada perasaan untuk turut serta dalam ruang sembang mereka. Tetapi apabila didongakkan kepala, melihat gelak tawa Hafiz. Dia jadi lemah. Ya Allah, betapa aku merindui gelaknya itu, gumam dia sendirian. Lantas, Aishah mengalih pandang ke arah lain. Dia sudah tidak sanggup. Ini baru sehari bertemu dengan Hafiz, dia sudah lemah dalam melawan ombak ganas dalam dirinya. Apatah lagi mereka akan bercuti di sini selama seminggu. Sudah tentu, hari-hari Hariz ingin berjumpa dengan abangnya itu. Ya Allah, dugaan apakah ini?
Selepas selesai menjamu selera, mereka masing-masing terpisah di laluan Chinatown dan mengikut haluan masing-masing untuk pulang.

BERSAMBUNG.....

3 tukang komen paling setia:

ceritaku MEMORIKU said...

warghhhh.
hariz dgr ke x erk pe yg fiz ckp.
smbung2
-na'dz

keSENGALan teserlah.. said...

alahaiii..
kesiannye kat dorang nieh..
shah ngn hafiz memndm prasaan..
hariz lgi kesian tataw ape2 n sket plak tuh..
isk2..
nk lgi,,nk lgi...

❤❤sωɨт ɦɑииɑ❤❤ said...

hehehe..lama dh Hanna tak jenguk...makin menarik nie..Ecah, keep it up!!Hanna harap e-nvl nie dpt publish nanti..chaiyok2! =)