BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, February 9, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 36

BAB 36

AISHAH yang pulang awal pada malam itu terkejut apabila dibuat kejutan oleh suami dan ahli keluarga. Sesungguhnya Aishah benar-benar lupa yang hari itu adalah harijadinya yang ke 31. Tiba-tiba Aishah terasa tua. Pada umur itu, barulah dia merasa kehidupan bersuami. Dan, tidak lama lagi dia akan menjadi seorang ibu pada umur 31 itu. Sedangkan Nadira pada umur 25, sudah menjadi ibu kepada 2 orang cahaya mata. Walau apapun, Aishah sangat bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat penyayang dan butik yang semakin berkembang cawangannya. Aishah memotong kek yang dipegang oleh Hariz. Tersenyum manis memandang suami. Kebahagiaan datang meresap ke dalam jiwa pasangan itu. Kemudian, Nina mengusik Aishah dan Hariz. Disuruhnya mereka berdua menyuapkan potongan kecil kek tersebut ke dalam mulut pasangan. Diambil gambar untuk dibuat kenangan. Hariz mencium dahi Aishah juga diambil gambar oleh Nina. Tersipu-sipu malu Aishah dibuatnya.
“Okay…okay…Jom kita makan. Mama masak special untuk Adik.” Ujar Nurradiah. Mereka semua menuju ke meja makan. Sebaik sahaja Nurradiah membuka tudung salji, semua yang ada disitu, terus sahaja kecur air liur mereka.
“Ermm….Ma, sedapnya.” Khairul berkata tiba-tiba. Dia begitu asyik menghidu aroma masakan Nurradiah.
“Wahh!!! Ada Fettucine Carbonara, Chicken Lasagna, Spaghetti. Dah lama tak makan Mama masak macam ni.” Kata Nina. Tidak sabar-sabar dia hendak merasai masakan Nurradiah. Hampir 5 tahun, sejak kali terakhir Nurradiah masak sewaktu Nina mengidam hendak makan makanan masakan Nurradiah sebegini. Diturutkan sahaja kerana anaknya sedang berbadan dua ketika itu.
“Err…Ma…” ayat Aishah tergantung. Tercari-cari makanan kegemarannya. Tiada di atas meja. Terlupakah Nurradiah pada makanan kegemarannya itu?
“Ada, Adik. Mama simpan specially made untuk Adik.” Ujar Nurradiah. Dia masuk ke dalam dapur kemudian membuka ketuhar gelombang mikro. Masih berasap lagi masakannya itu. Aishah seperti dapat menghidu makanan kegemarannya. Terjenguk-jenguk melihat ke arah dapur. Nurradiah keluar sambil menatang dulang membawa semangkuk makanan kesukaan anaknya itu. Aishah tersenyum lebar. Gembira permintaan dituruti.
“Nah…Pomola Gratin khas untuk Adik.” Nurradiah meletakkan semangkuk Pomola Gratin dihadapan Aishah. Yang lain hanya melihat sambil menelan air liur. Nampak macam senang sahaja masakan itu tetapi agak susah juga untuk yang tidak pernah memasak masakan Barat. Pasta, isi ayam yang dipotong kecil dan dilapisi pula dengan keju. Dibakar di dalam ketuhar gelombang mikro. Selain menggemari buatan Nurradiah, Aishah paling suka makan di Delifrance. Hariz melabuhkan punggung di sebelah Aishah yang seperti tidak sabar hendak menjamah makanan itu.
“Mama buat untuk Adik je ke?” tanya Syed Mahfuz yang turut terliur melihat Pomola Gratin itu. Nurradiah tersenyum kecil dan mengangguk.
“Yelah. Kita kena utamakan birthday girl and bakal Mama baru ni.” Usik Nurradiah. Aishah tersipu malu. Yang lain hanya mentertawakannya. Mereka semua menjamu selera dengan berselera sekali. Suara riuh rendah cucu-cucu Syed Mahfuz dan Nurradiah melengkapkan lagi rumah yang selama ini sunyi.

“MAMA...Papa... kami mintak diri dululah. Dah malam ni.” Kata Khairul seraya bangun dari kerusi sofa yang berada di ruang tamu. Sabrina turut bangun dan segera bersalaman dengan kedua mertua dan ipar duai perempuannya. Hareefa dan Hareesya bersalaman dan mencium kedua belah pipi datuk dan nenek mereka.
“Kami pun mintak diri jugak lah.” Aishah berkata. Kemudian memandang wajah Hariz yang tersenyum sambil mengangguk perlahan. Dia bangun dan bersalaman. Nurradiah menghadiahkan dia sebuah pelukan dan ciuman di pipi.
“Terima kasih, Ma. Atas apa yang Mama dan Papa lakukan hari ni.” Ucap Aishah lirih. Bergenang air matanya. Nurradiah mengangguk dalam sebak. Dia menyalami Papanya pula. Kemudian beralih memandang kakak dan adiknya.
“Kak Na dan Dira tak balik lagi?” tanya Aishah.
“Tak. Malam ni kami tidur sini.” Ujar Nadira. Aishah mengangguk perlahan.
“Lagipun, esok malam Kak Na dan Abang Sof nak pergi Zurich.” Nina menyambung kata. Aishah sekali lagi mengangguk. Kali ini dengan senyuman.
Aishah dan Hariz berjalan menuju ke garaj. Alarm pintu kereta dibunyikan. Aishah terus masuk ke dalam perut kereta. Dia membuka tingkap. Kemudian melambai kepada ahli keluarga yang setia menunggu di muka pintu. Lambaian dibalas. Kereta Hariz semakin hilang dari pandangan. Semasa perjalanan pulang, Hariz membuka radio perlahan. Alunan radio membuai perasaan. Hish! Rasa macam baru bercinta pulak, getus Hariz. Kemudian dia tergelak kecil. Aishah memandang Hariz di sisi dan terus mengerutkan dahi.
“Kenapa, Bang?” Aishah bertanya. Hariz menggeleng dalam senyuman. Lama mereka terdiam. Aishah membuang pandang ke luar.
“Balik nanti, Abang ada suprise untuk Shah.” Kata Hariz tiba-tiba. Isterinya mengalihkan semula pandangan memandang sang suami yang berkata masih dalam senyuman.
“Suprise apa?” tanya Aishah, tidak sabar.
“Adalah. Kalau Abang beritahu sekarang, namanya bukan suprise.” Hariz berkata lagi. Aishah tersenyum dan mengangguk pantas.
10 minit kemudian, kereta Hariz tiba diperkarangan rumah banglo 2 tingkat milik mereka. Dia menekan alat kawalan automatik dan pagar itu terbuka. Kereta Hariz perlahan-lahan menyusur masuk ke dalam garaj. Mereka sama-sama turun dan melangkah masuk ke dalam rumah. Aishah menyalakan lampu ruang tamu. Dengan sekejap sahaja, cahaya menerangi rumah itu.
“Pergilah masuk dalam bilik. Suprise tu ada dalam bilik.” Ujar Hariz sambil tersenyum penuh makna. Seperti orang yang menurut arahan dan arahan itu tidak boleh dibantah, Aishah segera masuk ke dalam bilik tidur utama yang terletak di tingkat atas. Sebaik sahaja lampu bilik dinyalakan, terkejut Aishah melihat bilik yang dipenuhi dengan pelbagai warna bunga ros. Dia berjalan ke arah katil dan dilihatnya kelopak bunga ros bertaburan membentuk hati. Ditengah-tengah hati itu, ada sekeping sampul surat. Aishah mencapai sampul surat itu dan dibuka untuk melihat isinya. Dua keping tiket penerbangan ke Paris? Aishah mengerutkan dahi. Dia tidak sedar akan kehadiran Hariz dibelakangnya. Terus sahaja Hariz memeluk Aishah dari belakang. Suara dan hembusan nafas Hariz, terasa begitu dekat dengan telingnya. Dada Aishah terasa berdebar. Rasa seperti malam pertama Hariz mendatangi dirinya. Penuh romantis dan belaian yang sangat manja.
“Dah lama kan Abang janji dengan Shah yang lepas Abang habis je projek Kiara Alam ni, Abang akan bawak Shah pergi honeymoon.” Ujar Hariz dengan lembut sekali. Terasa peluput telinga Aishah menjadi panas dek hembusan nafas romantis yang dilepaskan oleh Hariz. Aishah rasa terbuai perasaannya. Dia mengangguk perlahan sambil tersenyum.
“Kita boleh melawat Chu Zuan dan Chu Isya.” Sambung Hariz lagi. Pelukan direnggangkan. Dia mengalih badan Aishah untuk menghadapnya. Aishah menundukkan wajah. Walaupun hampir 6 bulan mereka berkahwin, perasaan malu sukar dikikis. Hariz mengangkat wajah Aishah untuk memandang dia. Dia mencium dahi Aishah. Kemudian, dicium pula pipi wanita itu. Aishah memejamkan mata. Hariz berbisik sesuatu di telinga Aishah.
“Abang akan pastikan honeymoon kita ni, Shah takkan lupakan sepanjang hayat. Abang akan berikan pengalaman yang terbaik buat Shah.” Hariz berkata lembut. Romantisnya dia malam ni. Aduh! Benar aku mula menyintai lelaki ini, bicara hati Aishah sendirian. Hariz menjatuhkan kepala dan mencium leher Aishah. Dia mengendong Aishah dan diletakkan isterinya itu diatas katil. Hariz membaringkan diri disebelahnya. Hariz mengambil jari jemari Aishah dan diletakkan di dada. Kemudian, Hariz beralih memandang Aishah.
“Selamat Ulang Tahun, Sayang.” Ucap Hariz. Dia mengucup jari jemari halus itu. Lama dia begitu. Seperti tidak mahu melepaskannya. Airmata Aishah sudah bertakung di tubir mata. Dia mengusap wajah Hariz dengan lembut. Mereka sama-sama mematikan lampu bilik. Malam itu, Cinta Adam dan Hawa bersatu.

SUDAH Aishah memberitahu pemergiannya ke Paris bersama Hariz kepada Syed Izuan dan Sharifah Farisya. Mereka mengalu-alukan kedatangan pasangan itu kesana. Dia juga memaklumkan kepada Nurradiah dan Syed Mahfuz. Perjalanan yang memakan masa selama 14 jam itu membuatkan Aishah keletihan. Tambahan pula dengan berbadan dua. Dia asyik melelapkan mata sahaja. Tidak tahan dengan penerbangan yang terlalu lama. Hariz menggenggam erat jari jemari Aishah. Dalam hati sudah membuat perkiraan, mahu mengajak Aishah ke Holland atau lebih tepat lagi ke Keukenhof. Untuk melihat bunga-bungaan yang ditanam di situ. Kemudian ke London. Singgah 2-3 hari pun jadilah. Ingin melihat keadaan abang tersayang. Sudah lama tidak bersua muka dengan Hafiz. Hati Hariz jadi rindu. Seperti bercinta pula dengan abang sendiri. Hariz tersenyum sendirian. Sesekali diusap lembut ubun-ubun Aishah. Wanita itu lena sekali.
Seketika kemudian, kapal terbang yang dinaiki mereka itu mendarat di Lapangan Terbang Charles-De-Gaulle. Perlahan sekali Hariz mengejutkan Aishah bangun dari tidur yang nyenyak. Terpisat-pisat Aishah membuka mata. Dia mengangkat muka memandang Hariz yang setia disebelahnya sambil tersenyum manis. Aishah menggosok sedikit mata yang terasa pedih.
“Dah sampai ke, Bang?” tanya Aishah lembut. Hariz mengangguk. Selepas menerima arahan daripada pramugari yang bertugas, para penumpang boleh keluar dari perut kapal tersebut. Hariz memegang jari jemari Aishah. Sejak dari kapal terbang berlepas di KLIA lagi, genggaman tangan itu tidak dilepaskan malah diperkemaskan lagi. Hariz membenarkan Aishah melangkah dahulu menuruni anak tangga kapal tersebut. Sampai sahaja mereka di bawah, sama-sama berjalan beriringan menuju masuk ke pintu balai ketibaan. Hampir 10 tahun, Aishah tidak menjejakkan kaki ke sini setelah dia sibuk menguruskan butik usahanya.
Hariz mencari bagasi mereka di tempat yang disediakan untuk bagasi setelah kesemua bagasi diturunkan dari kapal terbang. Setelah itu, diletakkan bagasi-bagasi tersebut ke atas troli. Perlahan-lahan Hariz menolaknya menuju ke arah Aishah yang menunggu. Tersenyum melihat Hariz, mereka melangkah keluar dari balai ketibaan tersebut. Terlihat wajah Syed Izuan yang setia menunggu mereka diluar balai itu. Aishah melambai ke arah Syed Izuan yang sedang tercari-cari wajah mereka di dalam ratusan orang yang berpusu-pusu keluar dari balai tersebut. Ternampak Aishah, Syed Izuan tersenyum kelegaan. Fikirnya dia sudah terlewat untuk menjemput mereka.
“Chu Zuan.” Ujar Aishah seraya menunduk menyalami Syed Izuan yang tersenyum manis. Hariz juga turut melakukan perkara yang sama.
“Chu ingat, Chu dah lambat. Ingatkan kamu dah pergi ke rumah Chu.” Syed Izuan meluahkan kerisauannya.
“Taklah Chu. Flight delay.” Aishah pula berkata.
“Hah! Jomlah ke rumah Chu. Pasti kamu pun penat dah ni.” Syed Izuan berkata. Hariz menolak troli membuntuti Syed Izuan dari belakang dan menuju ke keretanya. Sebaik sahaja sampai di kereta, Syed Izuan membuka but kereta dan memunggah masuk bagasi-bagasi pakaian ke dalam but. Aishah sudah lama masuk ke dalam kereta. Hendak menolong untuk memunggah masuk bagasi ke dalam kereta tetapi segera dihalang oleh kedua-dua lelaki itu. Hariz turut menolong Syed Izuan. Setelah itu, kereta Syed Izuan mula beredar dari lapangan terbang tersebut dan menuju ke arah destinasi rumahnya di Argentueil. Hariz dan Syed Izuan leka bersembang. Manakala Aishah menebarkan pandangannya ke luar. Melihat keindahan kota Paris. Sepanjang perjalan yang memakan masa lebih kurang 1 jam, membuatkan Aishah leka. Tidak sedar sehingga kereta Syed Izuan membelok masuk ke dalam kawasan rumah agam yang tersergam indah di kawasan itu. Hariz menyatakan kekagumannya. Tersenyum sahaja Syed Izuan menerima berbakul pujian dari Hariz.
“Kawasan ni macam agak jauh dari town ya.” Ujar Hariz. Syed Izuan yang mengeluarkan bagasi dari but kereta mengangguk perlahan.
“Taklah jauh sangat. Ni cuma outskirt Paris je.” Kata Syed Izuan pula. Aishah tersenyum melihat kemesraan kedua lelaki itu. Semasa majlis perkahwinan mereka, Syed Izuan tidak sempat bermesra dengan Hariz kerana turut sibuk menguruskan majlis anak saudaranya itu.
“Ohh...” jawab Hariz ringkas. Leka dia memerhatikan kawasan sekeliling. Suka melihat kawasan perumahan yang dipenuhi dengan tanam-tanaman. Di kawasan itu, dari sebuah rumah ke sebuah rumah tidaklah terlalu jauh. Cuma kawasan yang seperti kawasan kampung. Hariz suka dapat menikmati keindahan seperti itu sekali-sekala. Menghilangkan penat dari hiruk-pikuk di Kuala Lumpur.
“Ehh...marilah masuk. Apa yang kamu tercegat lagi kat luar tu, Riz?” ujar Syed Izuan menyedarkan angan-angan Hariz. Dia mengangguk dan segera melangkah masuk ke dalam rumah.
Sharifah Farisya berpelukan dengan Aishah yang baru sahaja melangkah masuk. Dia tersenyum manis memandang Hariz yang menuju ke arahnya. Hariz tunduk menyalami Sharifah Farisya.
“Chu Isya sihat?” tanya Aishah kepada Chunya yang berada di sebelah.
“Sihatlah, Adik. Kalau tak, takkanlah Chu Isya berdiri depan Adik ni.” Seloroh Sharifah Farisya. Mereka semua tergelak kecil.
“Adik bawaklah Hariz pergi naik berehat. Kamu mesti jet lag kan. Kejap lagi kita boleh makan sama.” Kata Sharifah Farisya. Mereka berdua mengangguk tanda mengerti.
Satu jam kemudian, Hariz turun ke bawah. Melabuhkan punggung di ruang tamu. Terkejut Syed Izuan melihat Hariz disitu.
“Eh, Hariz? Kamu tak berehat?” tanya Syed Izuan sambil melabuhkan punggung di sofa yang berdekatan. Hariz memandang wajah Syed Izuan yang sudah dihiasi kedutan itu.
“Taklah, Chu. Lagipun Riz dah biasa. Aishah je yang berehat.” Hariz berkata.
“Hmm...biarlah dia berehat. Orang berbadan dua tu mesti penat.” Sambung Syed Izuan pula. Hariz mengangguk. Dilihatnya Hariz duduk statik di kerusi.
“Kamu nak tengok tv ke?” Syed Izuan bertanya apabila tiada sebarang aktiviti dari Hariz.
“Emm...tapi rumah Chu Zuan ni tak nampak pun macam ada tv?” Hariz bertanya perlahan. Takut tersinggung pula orang tua itu.
“Kami memang tak tengok tv. Sibuk dengan kedai. Kalau hujung minggu, kami pergilah berjalan. Bercuti ke.” Ujar Syed Izuan lagi sambil memegang suratkhabar. Bersedia untuk memulakan pembacaan.
“Selalunya Chu bercuti kemana?”
“Nice or London. Maybe to Keukenhof, Holland.” Jawab Syed Izuan. Dia membaca headline pertama di muka surat hadapan. Hariz terjenguk-jenguk melihat suratkhabar tersebut. Tetapi satu perkataan pun tidak difahaminya. Syed Izuan dengan selamba membacanya. Mungkin sudah biasa membaca suratkhabar berbahasa Perancis.
“Nice? Jauh tak dari sini?” tanya Hariz semula. Dia tidak pernah dengar pula nama daerah tersebut. Syed Izuan menurunkan sedikit cermin matanya memandang Syed Izuan. Terganggu sedikit pembacaannya.
“Jauh jugaklah. Kita kena masuk town Paris dulu. Lepas tu pergi ke train station di Gare de-Lyon, baru boleh ambil train ke Nice.” Jelas Syed Izuan. Hariz terangguk-angguk.
“Apa yang seronoknya di sana?” tanya Hariz lagi. Banyak betul soalan yang keluar dari mulutnya.
“Ermm...Riz tau kan Cannes?” Syed Izuan pula bertanya. Hariz mengangguk perlahan.
“Ya....well, beaches. Kat situlah terletaknya Cannes.” Syed Izuan berkata lagi.
“Apa yang dua beranak ni sembangkannya ni?” tanya Sharifah Farisya sebaik sahaja keluar dari dapur. Dia meletakkan hidangan di atas meja.
“Hariz ni, Ma. Macam berminat sangat nak pergi Nice. Pergilah. It’s a nice place. You feel relaxed there.” Ujar Syed Izuan lagi. Hariz seperti memasang angan-angan hendak menjejakkan kakinya ke daerah yang dinyatakan oleh Syed Izuan itu.
“Chu....” panggil Aishah lembut. Sharifah Farisya mengalih pandang ke arah tangga. Tersenyum kepada anak buah suaminya itu.
“Hah, marilah kita makan malam.” Sharifah Farisya beredar ke dapur untuk mengambil hidangan seterusnya. Aishah turut menolong. Sudah dilarang. Tetapi Aishah bersungguh-sungguh mahu menolong Sharifah Farisya. Seketika kemudian, mereka semua sudah ada di meja makan. Berselera sekali Aishah dan Hariz menjamu selera.
“Sedapnya, Chu. Dah lama tak makan Chu masak.” Puji Aishah.
“Hah, makan banyak-banyak. Nanti malam kita makan supper.” Syed Izuan berkata. Aishah mengangguk pantas. Gembira dapat menikmati masakan Sharifah Farisya.
“Mana Kak Hawa, Abang Iz dan Fiah?” tanya Aishah apabila kelibat anak-anak Syed Izuan dan Sharifah Farisya tidak kelihatan.
“Kak Hawa pergi tengok kedai. Malam ni tak balik sini. Tapi dia tahu kamu datang. Tak sabar jugak dia nak jumpa kamu. Abang Iz macam biasalah. Ke Disneyland, bawak si kecik Dania.” Teringat Aishah pada Dania. Anak kecil yang kehilangan kasih sayang kerana si ibu curang dengan lelaki lain. Izham bercerai dengan isterinya yang berbangsa Perancis itu. Kecil-kecil lagi Dania terpaksa mengharungi kehidupan tanpa ibu tersayang. Kasihan pada dia.
“Harfiah? Harfiah...Harfiah....ermmm, kemana budak tu, Bang? Saya pun tak nampak dia dari pagi tadi. Tadi beria-ia sangat nak jumpa dengan Adik.” Sharifah Farisya mengalihkan pandangannya ke arah Syed Izuan. Sekaligus mematikan lamunan Aishah.
“Ke kedai, katanya. Entah kenapa si Hawa tu panggil pun tak tahulah. Mungkin tolong dia tengokkan kedai bakeri kita kot. Tak sempatlah tu. Asyik sibuk dengan kedai perfume tu.” Ujar Syed Izuan. Sharifah Farisya mengangguk perlahan.
“Hmm...kalau dah ke sana tu, alamatnya tak baliklah malam ni. Dia dah tengok si Hawa tidur sana. Esok jelah kamu berjumpa.” Sambung Sharifah Farisya.
“Tak apalah, Chu. Kami tinggal sini pun seminggu.” Kata Aishah pula.
“Kata Chu Zuan, Chu ada kedai bakeri and perfume. Kedai-kedai tu kat mana?” tanya Hariz, sekadar ingin bertahu.
“Kat Avenue Paul Doumer.” Jawab Syed Izuan ringkas.
“Nanti Chu bawak kamu jalan-jalan keliling Paris esok.” Sambung Syed Izuan lagi. Mereka berdua sama-sama mengangguk.
Malam itu Aishah dan Hariz tidur awal kerana esok pagi mereka sudah hendak keluar bersiar-siar. Lagipun Syed Izuan dan Sharifah Farisya sudah biasa tidur awal kerana disitu tiada hiburan pada waktu malam. Hanyalah cerita-cerita yang kurang elok untuk ditonton oleh orang Islam.

SEAWAL jam 7 pagi, Aishah sudah turun ke bawah. Dia menuju ke dapur. Difikirnya ingin membuat sarapan. Tetapi sebaik sahaja mendekati dapur, dia terdengar seperti bunyi pinggan berlaga. Terjenguk ke arah dapur. Dilihatnya Sharifah Farisya sedang sibuk menyiapkan sarapan.
“Eh, Chu Isya. Awalnya bangun.” Kata Aishah dan kemudian mendekati Sharifah Farisya yang sedang membelakanginya.
“Apa pulak awalnya. Ni dah lewat dah ni. Chu Isya selalunya bangun dalam pukul 5 pagi. Dah bangun siapkan sarapan untuk Chu Zuan.” Ujar Sharifah Farisya. Tangannya masih ligat menyiapkan sarapan pagi. Aroma nasi lemak menyusuk masuk ke hidung Aishah.
“5 pagi? Awalnya. Ni dah pukul 7 pagi pun masih gelap lagi.” Aishah menjenguk ke luar melalui tingkap dapur. Keadaan masih gelap diluar. Selalunya di Malaysia, pukul 7 pagi sudah terang sedikit.
“Ni sebab musim sejuk kan. Tu yang pagi lambat sikit nak cerah. Kalau malam, pukul 4 dah gelap.” Terang Sharifah Farisya. Dia meletakkan sarapan di atas meja makan. Aishah melabuhkan punggung di atas kerusi. Apa lagi yang hendak dibantunya? Semua sudah diselesaikan oleh Sharifah Farisya. Tersenyum wanita itu kepada Aishah.
“Pergilah panggil Hariz.” Sela Sharifah Farisya.
“Dia tengah mandi, Chu. Kejap lagi dia turun. Dari semalam lagi cakap, tak sabar nak ikut Chu Zuan pergi kedai.” Aishah berkata dalam tawa kecil.
“Hmm...eloklah tu.”
“Chu Isya ikut sekali?” tanya Aishah.
“Ha’ah. Nak pergi tengok kedai bakeri. Dah dekat seminggu Chu Isya tak pergi tengok. Tak berapa sihat. Tu yang Chu Zuan je pergi tengok.” Tukas Sharifah Farisya. Aishah mengangguk perlahan. Seketika kemudian, Hariz dan Syed Izuan turut menyertai mereka di meja makan.
“Chu Zuan selalu bukak kedai pukul berapa?” tanya Aishah kepada pakcik bongsunya itu.
“Dalam pukul 8. Sebab tutup awal kan. Pukul 7 dah tutup. Ni selalunya Chu dah pergi ke kedai. Pukul 6 keluar rumah, dalam pukul 7 – 7.30 macam tu dah sampai. Tapi sebab ada Hawa dengan Fiah kat sana, tu yang Chu keluar lambat ni.” Jelas Syed Izuan. Mereka berdua terangguk-angguk perlahan.
Usai bersarapan, mereka berempat keluar dari rumah dan menaiki kereta menuju ke stesen keretapi yang terletak di Argentueil. Mereka menaiki RER. Kalau di Malaysia lebih dikenali sebagai Putra atau Star LRT. Perhentian mereka di Champs Elysees. Sesekali mata Aishah menjamah pandangan diluar transit aliran ringan tersebut. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 45 minit itu, langsung tidak terasa lamanya.

BERSAMBUNG......

1 tukang komen paling setia:

ceritaku MEMORIKU said...

sweet2.
suke2
smbung2
he3
tp xdpt agak pe akan berlaku at hariz
-na'dz