BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, January 6, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 26

BAB 26

KEESOKKAN paginya, Hariz tergesa-gesa ke pejabat apabila menyedari dia terlewat. Sarapan pun tidak sempat. Fail-fail yang dibawa diletakkan di kerusi belakang bersama-sama briefcase. Segera kereta milik Hariz menderum pergi. Sepanjang perjalanan, dia hanya melihat jam di tangan sahaja. Sudahlah semalam tidak masuk pejabat. Hari ini terlewat pula. Telefon bimbit berdering. Dia memasang Bluetooth ke telinga dan menekan punat untuk menjawab.
“Hello, Encik Hariz.” Sahut satu suara.
“Ya, Kama. Ada apa?” tanya Hariz kembali yang sudah mengenali gerangan si pemanggil.
“Encik Hariz masuk pejabat ke hari ni?” tanya setiausahanya itu.
“Yes, Kama. But, I’m stuck in the traffic jam right now. Tuan Syed dah masuk pejabat ke belum?” tanya Hariz. Lama dia menanti jawapan daripada setiausahanya. Kemudian, terdengar satu suara halus di corong telefon.
“Belum lagi, Encik Hariz.” Jawab Kamazarina lembut.
“Encik Syafiq pun tak masuk lagi?” tanya Hariz sekali lagi.
“Pun belum, Encik Hariz.”
“Kama, can you do me favour?” pinta Hariz.
“Certainly, sir.” Kamazarina menjawab.
“Tolong maklumkan saya bila Encik Syafiq dan Tuan Syed masuk ke pejabat.” Arah Hariz. Terdengar suara setiausahanya berkata sesuatu.
“Baiklah, Encik Hariz.”
“Terima kasih, Kama.” Kemudian, Hariz mematikan talian telefon bimbit. Dia kembali menumpukan perhatian kepada pemanduannya.
Setengah jam kemudian, dia sampai betul-betul dihadapan bangunan pejabatnya. Tersergam indah Syed Mahfuz Holdings atau lebih dikenali sebagai SM Holdings. Bangunan itu menempatkan beribu-ribu pekerja. Syed Mahfuz Holdings bukan sahaja khusus kepada bahagian arkitek tetapi bahagian-bahagian lain seperti rekaan dalaman, urusan jual beli hartanah dan lain-lain lagi.
Hariz segera meletakkan kereta di tempat letak yang telah disediakan. Dia turun dari kereta dengan mengendong briefcase dan fail-fail penting syarikat. Kelam-kabut dia menuju ke lobi. Ramai juga orang yang belum masuk ke pejabat. Kebanyakan pekerja di situ apabila ternampak akan kelibat Hariz, mereka menyapanya.
“Assalamualaikum, Encik Hariz.” Sapa salah seorang pekerja di bangunan itu. Hariz memandangnya.
“Waalaikumussalam. Haa…Anyzah. Dah kebetulan saya berjumpa dengan awak kat sini. Awak boleh ikut ke pejabat saya?” tanya Hariz kepada gadis bertudung yang manis itu. Pekerja-pekerja yang lain hanya memandang mereka berdua.
“Boleh, Encik Hariz. Tapi saya nak ke ofis letak barang dulu.” Kata Anyzah. Hariz mengangguk.
“Tak apalah. Saya tunggu kat pejabat.”
“Baik, Encik Hariz.” Mereka berpisah sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat 10. Anyzah tersenyum kepadanya dan berlalu pergi. Pintu lif terbuka sekali lagi di tingkat 15. Hariz segera keluar. Dia menuju ke biliknya. Hariz memandang sekilas ke arah Kamazarina yang sedang tersenyum. Dia membalas senyuman itu dan menolak daun pintu bilik pejabatnya. Kopi O’ panas tersedia di atas meja. Masih berasap. Dia menghirup sedikit. Melepaskan kedahagaan dan kelaparan yang berada di tahap maksimum. Kamazarina mengetuk pintu bilik Hariz. Arahan masuk diberikan. Hariz duduk di kerusi empuknya. Menanti kedatangan Kamazarina.
“Encik Hariz, Tuan Syed dan Encik Syafiq baru sahaja masuk ke pejabat.” Kamazarina memberitahu Hariz.
“Baiklah. Saya ada apa-apa appointment ke hari ini?” tanya Hariz mengenai jadualnya. Kamazarina meneliti buku diari hitam yang selalu dibawa. Kemudian, dia mengangkat muka dan memandang Hariz.
“Hari ini tak ada. Tapi, Encik Nathan dan Puan Fiza ada tinggalkan pesanan. Semalam mereka cuba telefon Encik Hariz melalui telefon bimbit tapi tak dapat.” Kata Kamazarina dan menyerahkan slip pesanan kepada Hariz. Disambut slip itu dan membaca pesanan daripada mereka berdua. Dikerutkan dahi.
“Ada apa-apa lagi ke, Encik Hariz?” tanya Kamazarina. Memang itulah rutin harian. Bertanya jika ketuanya itu memerlukan apa-apa lagi kemahuan.
“Ermm…tolong panggilkan Encik Syafiq. Thanks.” Kamazarina mengangguk dan segera keluar ke mejanya. Ditekan nombor interkom setiausaha Syafiq. Satu suara halus menjawab.
“Tasha, Encik Hariz nak berjumpa dengan Encik Syafiq. Sekarang.” Ujar Kamazarina.
“Okay. Aku akan sampaikan pesanan.” Jawab Tasha pula.
Beberapa minit kemudian, pintu biliknya sekali lagi diketuk. Setelah diberikan arahan masuk, terjengul wajah Syafiq. Dia duduk di kerusi menghadap Hariz.
“So, macam mana dengan projek Lembah Bayung tu?” tanya Hariz tidak sabar mengetahui perkembangan projek yang diusahakannya itu. Dari hari Syed Mahfuz menyerahkan projek itu ditangannya, dia sudah berjanji bahawa dia akan melaksanakan kerja itu sebaik mungkin.
“Almost completed. FAF Architecture berpuas hati dengan kerja kita.” Kata Syafiq sambil memeluk tubuh.
“Good. I’m glad to hear that.” Hariz lega dengan kenyataan Syafiq. Pintu bilik Hariz sekali lagi diketuk. Kali ini terjengul pula wajah Kamazarina. Hariz memandang setiausahanya. Dijungkitkan keningnya sedikit.
“Encik Hariz, Cik Anyzah dari Interior Department nak berjumpa dengan Encik Hariz.” Ujar Kamazarina dan tersenyum.
“Suruh dia masuk.” Arah Hariz. Mata Hariz ditala ke arah laptop yang terbuka di atas meja. Sesekali diketuk papan kekunci laptop tersebut.
“Silakan masuk, Cik Anyzah.” Kata Kamazarina kepada gadis itu.
“Terima kasih.” Ucap Anyzah kepada Kamazarina. Kemudian tersenyum manis.
“Silakan duduk, Cik Anyzah.” Kata Hariz. Anyzah tersenyum dan melabuhkan punggung dihadapan Hariz.
“Terima kasih, Kama. Kama, tolong minta Kak Yah buatkan kopi untuk Encik Syafiq dan Cik Anyzah, ya.” Hariz meminta tolong. Bukannya memberi arahan.
“Baik, Encik Hariz.” Kamazarina berpaling keluar. Anyzah duduk bersebelahan Syafiq. Terpaku Syafiq memandang gadis di sebelahnya. Hariz berdehem. Syafiq sedikit menggelabah. Dikalihkan pandangan ke arah Hariz yang tersenyum sumbing. Tersekat-sekat Syafiq menelan air liur seperti biawak tertelan biji durian.
“Ni saya kenalkan, orang yang sama-sama bertanggungjawab memastikan kelancaran projek Lembah Bayung 2 ini, Encik Syafiq. Syaf, aku kenalkan, Cik Anyzah, ketua yang menyelia rekaan dalaman bagi projek kita ni.” Mereka berjabat tangan. Pertama kali Syafiq berjumpa dengan Anyzah, hati sudah terpaut. Baginya, Anyzah seorang yang lemah lembut dan pemalu. Lama tangan mereka berpaut. Hariz yang melihat perbuatan itu, terbatuk kuat menyebabkan Syafiq melepaskan genggaman tangan. Wajah Anyzah merona merah. Malu apabila perilaku mereka itu disaksikan oleh orang atasannya. Hariz tergelak kecil.
“Anyzah, macam mana dengan design? Awak dah siapkan?” tanya Hariz.
“Dah, Encik Hariz. Cuma saya perlu pergi ke tempat projek tu untuk melihat sendiri bagaimana reka bentuk dia. Selama ni saya tengok dalam gambar, saya tak berapa jelas. Jadi, saya tak tahu gambaran yang sebenar. Kan gambar dan ruang yang sebenar banyak bezanya. Sebab saya tak tahu besar, keluasan dan reka macam mana yang sesuai untuk menarik perhatian pelancong.” Jelas Anyzah. Dilihatnya Hariz terangguk-angguk.
“Jadi, apa cadangan awak?” tanya Hariz pada Anyzah lagi. Wangian yang dipakai oleh Anyzah menusuk masuk ke dalam hidung Syafiq. Lelaki itu seperti berada di awang-awangan. Lama dia memerhati wajah manis itu.
“Saya nak reka setiap bilik berlainan jenis rekaan. I mean different suites, different design. But, we still have our trademark.” Ujar Anyzah dengan yakin. Hariz cukup berpuas hati dengan kerja wanita itu.
“Baiklah, Encik Syafiq kata projek tu hampir siap. Tak lama lagi awak boleh pergi tengoklah.” Hariz berkata. Anyzah tersenyum dan mengangguk.
Lama mereka berbincang. Syafiq menerangkan satu persatu mengenai projek Lembah Bayung 2 yang hampir siap itu. Berharap Anyzah dapat membayangkan projek itu. Setelah itu, Anyzah meminta diri kerana perlu menyiapkan kerja yang terbengkalai. Dia bersalaman dengan mereka berdua dan beredar dari situ. Anyzah sempat memberikan senyuman paling manis kepada Syafiq.
“Jatuh hati aku tengok dia, Riz.” Kata Syafiq sambil melabuhkan punggung semula. Hariz menggeleng.
“Kau tu dengan siapa tak jatuh hati. Dengan Kak Yah pun jatuh hati.” Gurau Hariz. Mereka sama-sama tergelak kecil.
“Itu sebab dia buat nescafe paling sedap.”
“Wei, jom! Lunch.” Sambung Syafiq.
“Lunch dah? Pukul berapa sekarang ni?” terkejut Hariz. Dia melihat jam di tangan. Baru pukul 10.30 pagi.
“Kau tengok jam aku sekarang baru pukul berapa?” Hariz mengunjukkan jam yang dipakainya kepada Syafiq.
“Maksud aku bukanlah sekarang. Tengah hari nanti.” Selamba Syafiq berkata.
“Boleh saja. Kalau ada orang nak belanja.” Sindir Hariz.
“Yelah…yelah…aku belanja.” Syafiq terasa. Dia tahu selama dia keluar makan dengan Hariz, hanya Hariz yang membelanjanya.
“Pukul 12.30 aku tunggu kau kat lobi.” Ujar Syafiq.
“Ok.” Jawab Hariz ringkas.
“Oklah. Aku blah dulu. Kerja banyak tak siap lagi. Kang amuk pulak Tuan Syed tu. Habis masuk headline news esok:Majikan amuk, pekerja cedera parah” Kata Syafiq secara berseloroh. Hariz tergelak besar. Syafiq bangun dan beredar ke pintu. Sebelum melangkah keluar, dia berpaling semula memandang Hariz.
“Aku boleh belanja kau. Dengan syarat.” Syafiq berkata. Hariz setia mendengar.
“Kau kena kenenkan aku dengan Anyzah.” Ujar Syafiq.
“Banyak lah kau. Kalau aku kena debik sekali dengan boyfriend dia ke husband dia ke, baru padan dengan muka aku.” Hariz menggeleng-geleng pantas. Tidak mahu dia terlibat. Cukuplah dia pernah terlibat dengan Fareez semasa hendak memperkenalkan sahabatnya itu dengan Natrah, gadis yang paling dicintai sahabatnya itu. Seminggu mukanya lebam, ‘makan’ penumbuk bekas kekasih gadis itu. Tapi kerana sahabat, dibiarkan sahaja. Lama-kelamaan, pengorbanannya itu terbalas. Natrah bercinta dengan Fareez. Tetapi hanya seketika kerana gadis itu meninggal dalam satu kemalangan.
Tiba-tiba sahaja Hariz memegang pipi kanannya. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi sebuah persahabatan. Dan, dia sanggup mengorbankan apa sahaja demi abang dan adik tersayang. Walaupun pengorbanan itu memerlukan dia mengorbankan hati dan perasaannya. Syafiq memetik jari. Memandang Hariz yang berangan sebentar.
“Tak apalah kalau orang dah tak nak tolong kan. Biarlah aku ni membujang sampai tua.” Kata-kata Syafiq itu membuatkan Hariz ketawa besar. Syafiq segera melangkah keluar dengan muka masam.
Hariz keluar dari biliknya dan berhenti dihadapan meja Kamazarina.
“Tuan Syed ada dalam bilik?”
“Ada, Encik Hariz. Ada apa-apa yang perlu saya bantu, Encik Hariz?” tanya Kamazarina.
“Tak apalah. Saya nak pergi jumpa dia.” Hariz meninggalkan meja Kamazarina dan menuju ke arah bilik Syed Mahfuz. Dia berhenti pula dihadapan meja Sakinah.
“Kinah, saya nak berjumpa dengan Tuan Syed.”
“Sebentar ya, Encik Hariz.” Sakinah mengangkat gagang telefon dan bercakap dengan seseorang. Selepas meletakkan gagang tersebut, dia mengangkat muka dan berkata sesuatu.
“Encik Hariz boleh masuk sekarang.”
“Terima kasih, Kinah.” Ucap Hariz.
“Sama-sama.” Perlahan sahaja Sakinah menjawab.
Pintu bilik Syed Mahfuz diketuk perlahan. Arahan masuk diberikan. Hariz membuka pintu itu dan masuk ke dalam bilik yang terbesar di dalam bangunan tersebut. Syed Mahfuz tersenyum memandangnya.
“Silakan duduk, Hariz.” Pelawa Syed Mahfuz.
“Terima kasih, Datuk.” Kata-kata Hariz itu membuat Syed Mahfuz terperanjat besar. Dia mengerutkan dahi memandang Hariz yang selamba mengucapkannya.
“Mana kamu tahu saya dapat pangkat Datuk?” tanya Syed Mahfuz ingin tahu.
“Nathan yang beritahu saya.” Ujar Hariz sambil tersenyum.
“Kamu jangan beritahu sesiapa tau. Hanya kamu dan cawangan Sungai Petani saja yang tahu. Saya tak naklah orang panggil saya Datuk. Saya lebih selesa orang panggil saya Tuan Syed.” Begitu merendah dirinya Syed Mahfuz. Kalau orang lain yang baru sahaja mendapat pangkat Datuk, sudah pasti dicanangnya satu Malaysia.
“Baiklah, Tuan. Saya akan simpan rahsia ni.”
“Ada apa yang kamu nak jumpa saya ni, Hariz?” tanya Syed Mahfuz. Hariz berdehem kecil.
“Mengenai projek pembinaan perumahan Desa Setia.” Kata-kata Hariz membuatkan kening Syed Mahfuz bertaut.
“Apa kaitan kamu dan projek tu?” tanya Syed Mahfuz. Dia sendiri tidak tahu akan penglibatan Hariz dalam projek tersebut.
“Memang saya tak ada kaitan. Tapi, Nathan dan Fiza yang minta saya jelaskan perihal masalah projek ni kepada Tuan Syed.” Jelas Hariz. Barulah Syed Mahfuz mengangguk. Kemudian dahinya dikerutkan lagi.
“Kenapa mereka tak jumpa saya terus saja?” Syed Mahfuz tertanya-tanya.
“Mereka tak pasti siapakah dalang yang sebenarnya. Jadi, mereka minta saya beritahu dulu kepada Tuan Syed kerana mereka masih menyiasat lagi kes ini.” Jelas Hariz. Terangguk-angguk lelaki separuh itu mendengarkan penjelasan tersebut.
“Kenapa dengan projek tu? Ada apa-apa masalah?” Hariz hairan dengan pertanyaan Syed Mahfuz. Tidak tahu apa-apakah dia berkenaan masalah projek itu?
“Masalah besar, Tuan. Kerajaan memberhentikan projek itu.” Hariz berkata dengan penuh hati-hati. Tidak mahu Syed Mahfuz mendapat kejutan. Ternyata sangkaan Hariz salah. Mata lelaki itu terbelalak memandang Hariz.
“Apa?!” Syed Mahfuz sedikit terjerit. Hariz bertambah hairan dengan reaksi yang diberikan oleh Syed Mahfuz. Dikerutkan sedikit dahi. Hariz menerangkan satu persatu apa yang diberitahu oleh Nathan dan Fiza kepadanya.
“Macam mana boleh jadi macam tu?” Syed Mahfuz melurutkan cermin matanya.
“Saya dapat tahu dalangnya adalah Encik Imran. Kenny dan Darwin hanya menurut arahan Encik Imran. Tadi, Nathan dan Fiza dah mengesahkan bahawa Encik Imran memang melakukan urusan jual beli tanpa pengetahuan Tuan Syed.” Hariz berkata-kata. Syed Mahfuz mengeluh besar. Langsung tidak disangka sama sekali Imran terlibat dalam kegiatan haram ini.
Syed Mahfuz segera mengangkat gagang telefon dan mendail nombor telefon seseorang. Tidak dipeduli Hariz yang masih berada di dalam ruang pejabatnya. Harus diselesaikan perkara ini secepat mungkin. Panggilan telefonnya berjawab.
“Hello…he..hello…Norell?” tergagap-gagap Syed Mahfuz bertanya. Talian tidak begitu jelas. Seketika kemudian, Syed Mahfuz terdengar suara serak basah itu bercakap.
“Abang dengar projek perumahan Desa Setia tu dah diberhentikan. Betul ke?” tanya Syed Mahfuz. Straight forward. Baginya, kerja adalah sangat penting dan keutamaan buat dirinya. Bertanya khabar, kemudian sahaja.
“Kenapa Norell tak beritahu pada Abang?” lembut sahaja Syed Mahfuz bertanya kepada adiknya itu. Dia menyerahkan cawangan syarikat di Sungai Petani kepada adik bongsunya, Sharifah Norell. Syarikat ini adalah hasil titik peluk Syed Mahfuz. Dia menyerahkan cawangan syarikat itu kepada adiknya adalah kerana adiknya itu tidak mempunyai kerja. Daripada diberikan kepada orang lain, lebih baik dia menggunakan khidmat adiknya sendiri. Walaupun begitu, gaji tetap dibayar setara dengan gaji Pengarah di dalam pasaran ekonomi sekarang. Cawangan itu diserahkan oleh Syed Mahfuz sebelum Sharifah Norell berkahwin. Belum pernah syarikat itu mengalami masalah sebegini besar. Terdengar wanita itu mengeluh.
“Abang dengar lagi, ini semua kerja Imran.” Sambung Syed Mahfuz.
“Abang dah kata dari dulu lagi. Semua kerja projek-projek besar ni yang melibatkan kerajaan, Abang serahkan pada Norell untuk Norell uruskan. Bukannya bagi pada Imran. Abang tahu Imran tak boleh dipercayai. Tapi, Abang tak boleh nak kata apa-apalah. Sebab dia suami kamu.” Bidas Syed Mahfuz. Terdiam sahaja Sharifah Norell tanpa membalas apa-apa kata Syed Mahfuz. Semuanya ada kebenaran. Sudah berkali-kali Syed Mahfuz berpesan kepadanya bahawa hal-hal yang melibatkan kerajaan haruslah Sharifah Norell sendiri yang uruskan. Tidak mahu menimbulkan apa-apa masalah kelak dengan kerajaan. Nasi sudah menjadi bubur. Apa yang boleh dilakukan lagi selain bertawakal dan merayu agar kerajaan tidak ambil tindakan untuk menyaman syarikat mereka? Mintalah dijauhi daripada saman-menyaman ini.
“Dah. Kamu jangan nak menangis pulak. Kamu tu ketua syarikat. Kena tabah. Kena tunjuk teladan.” Nasihat Syed Mahfuz. Hariz hanya mendengar setiap perkataan yang keluar dari mulut ketua yang berada dihadapannya itu.
“Tak apa…tak apa. Hujung minggu ni, Abang dan Kak Nur turun Sungai Petani. Kita bincang macam mana nak selesaikan perkara ni.” Syed Mahfuz berusaha memujuk adiknya. Hariz berpeluk tubuh.
“Apa?! Imran menghilangkan diri?” kata-kata Syed Mahfuz itu langsung tidak mengejutkan Hariz. Dia sudah tahu akan kehilangan Imran. Tetapi sengaja tidak diberitahu. Biarlah Syed Mahfuz mendapat tahu dari Sharifah Norell sendiri. Bukan tidak mahu mengkhabarkan berita itu tetapi Hariz tahu Imran adalah adik ipar Syed Mahfuz. Tidak elok memburuk-burukkan saudara mara majikan sendiri.
“Kamu tak cuba jejak dia?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Sdyed Mahfuz. Haris hanya memasang telinga.
“Macam nilah. Abang akan upah penyiasat dan siasat kat mana dia berada. Dah. Kamu jangan banyak fikir. Kamu tu bukannya sihat sangat.” Nasihat bertubi-tubi keluar dari mulut Syed Mahfuz. Selepas beberapa ketika, Syed Mahfuz meletakkan telefonnya.
“Nampaknya, saya seorang saja yang tak tahu tentang perkara ni.” Ujar Syed Mahfuz. Dipegang kepala yang terasa sedikit berdenyut.
“Bukan macam tu, Tuan Syed. Kami tak nak bimbangkan Tuan Syed. Lagipun masa kejadian ni berlaku, Tuan Syed ada kat China.” Terang Hariz penuh berhati-hati. Syed Mahfuz mengangguk. Kadangkala dia melurut dagu yang ditumbuhi janggut putih.
“Saya kena siasat perkara ini daripada awal.” Kata Syed Mahfuz perlahan. Hariz mengangguk. Dia meminta diri untuk keluar setelah membincangkan masalah yang dihadapi oleh cawangan syarikat Syed Mahfuz.
Hariz melintasi meja Kamazarina. Setiausahanya itu hanya tersenyum. Telefon berdering. Kamazarina segera menjawabnya.
“Encik Hariz…” panggil Kamazarina. Hariz berpaling. Tangannya sudah ada di tombol pintu.
“Ya?”
“Puan Fiza.” Kata Kamazarina dan menunjukkan gagang telefon kepada Hariz. Hariz faham akan maksud itu.
“Saya jawab kat dalam.” Hariz segera melangkah masuk. Dia menuju ke meja yang bertimbun dengan fail-fail projek yang masih belum diselesaikan lagi. Pening kepalanya bertambah apabila melihat bilik pejabat yang semak seperti sarang tikus. Lampu merah berkedip berkali-kali di telefon yang berada di atas meja. Hariz segera menekan butang hijau. Dia tidak mahu Fiza menunggu dengan lebih lama.
“Yes, Fiza?” Hariz menjawab panggilan itu.
“Encik Hariz....saya tak tahu macam mana nak cakap.” Tergagap-gagap Fiza berkata. Tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara.
“Kenapa?” tanya Hariz pelik.
“Encik Imran telah mengeluarkan sejumlah wang yang banyak daripada akaun syarikat pada hari dia menghilangkan diri.” Kata Fiza. Terbeliak mata Hariz. Tidak disangkakan sampai begitu sekali adik ipar Syed Mahfuz.
“Bukan ke memang dalam account Encik Imran ada lebih dari 2 juta?” Hariz bertanya. Fiza melepaskan keluhan.
“Memang. Tapi itu adalah hasil dari komisyen yang diterima oleh Encik Imran dari penjual barangan pembinaan yang penipu itu.” Jelas Fiza.
“Ini adalah modal syarikat yang dikeluarkan.” Sambung Fiza lagi.
“Berapa banyak?” tanya Hariz. Diurut sahaja dada yang terasa sesak.
“5 juta.” Ringkas jawapan Fiza.
“Apa?!! Kenapa awak tak beritahu Datuk terus tentang perkara ni? Boleh bankrap syarikat ni kalau dia buat macam tu.” Hariz mengurut kepala. Walaupun dia tiada kaitan dengan projek usahasama dengan kerajaan itu tetapi dia turut risau akan permasalahan yang dialami oleh cawangan syarikat tersebut.
“Sebenarnya, Puan Norell pun tak tahu akan perkara ni.” Balas Fiza.
“Baiklah. Saya akan beritahu Datuk a.s.a.p.” ujar Hariz.
“Terima kasih, Fiza.” Sambung Hariz lagi.
“Sama-sama, Encik Hariz.” Mereka sama-sama mematikan talian telefon. Interkomnya berbunyi. Hariz menekan butang merah.
“Ya, Kama?” jawab Hariz perlahan.
“Cik Aishah di talian satu.” Kata Kamazarina. Hariz terus menjadi ceria. Terlupa sebentar pada masalah itu.
“Terima kasih, Kama.” Hariz tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja. Walaupun kepada setiausahanya. Dia segera menekan butang talian satu.
“Hello…” jawab Hariz perlahan.
“Assalamualaikum.” Halus suara itu menjawab.
“Waalaikumussalam.” Jawab Hariz kembali.
“Kenapa awak telefon saya di pejabat?” tanya Hariz.
“Saya ganggu awak ke?” Aishah bertanya kembali. Soalan dijawab dengan soalan.
“Taklah. Saya tak sibuk pun.” Hariz berselindung. Tidak mahu gadis itu tahu akan kesibukan yang melanda secara tiba-tiba dipejabatnya itu.
“Saya…saya…saya…” tergagap-gagap Aishah.
“Boleh kita dinner sama?” tanya Hariz laju.
“Boleh. Kita nak jumpa di mana?” tanya Aishah pula. Lega apabila Hariz yang bertanya. Tidak perlu susah payah Aishah mengatur ayat.
“Saya pergi ambil awak kat rumah?”
“Tak payahlah. Saya tunggu awak kat butik.”
“Ok. Saya pergi ambil awak kat butik.” Hariz mematikan talian. Dia tersenyum sendirian. Agaknya bagaimanalah wajah Aishah tadi? Mesti malu-malu dan merah padam. Terlayang-layang wajah gadis itu sebentar. Dia jauh dalam lamunannya.

BERSAMBUNG.....

6 tukang komen paling setia:

MaWaR_RiMbA said...

saya mmg meminati hasil tangan Ecah, n sentiasa menantikn sambgnnya....

❤❤sωɨт ɦɑииɑ❤❤ said...

best2 r ecah..
suspen pun ader..
nk lgii...

keSENGALan teserlah.. said...

adoyy...
suspen,,suspen..
smbubg2..

ceritaku MEMORIKU said...

suspen tol.
agagag.
suke2.
wat2 lah hariz sakit dpan aisyah ke.mesti sweet.
agagag
-na`dz

Kiara said...

semua cite yg kak ecah tulis memang BEST...

eija said...

kak ecah xda sbgn lg ke?