BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 21, 2008

Dari KL ke Luxembourg 23

BAB 23

AMIRUL melambai ke arah Qaseh. Diberinya flying kiss. Qaseh melambai kembali dan bergerak meninggalkan perkarangan sekolah. Amirul menyertai rakan-rakannya yang sedang menunggu di pintu pagar sekolah. Dia gembira dapat bersekolah di Malaysia tetapi pada masa yang sama dia merindui juga rakan-rakan di Luxembourg. Qaseh memandu keretanya dan menuju ke destinasi yang ditujui. Fragile Advertising Company. Sudah 4 tahun syarikat itu diterajui. Perkembangannya juga semakin meningkat. Tiba-tiba telefon bimbit berdering. Dia memasang hands free kit. Senang untuk bercakap sambil memandu. Dia tidak mahu kena saman akibat bercakap telefon.
“ Hello?”
“ Kau kat mana ni?” tanya satu suara.
“ Aku dalam perjalanan. Tunggu kejap. Nanti aku sampai.” Qaseh mematikan talian. Aishah yang menelefonnya. Mereka sudah berjanji hendak bersarapan bersama. Semenjak berbadan dua ini, Aishah kerap kali mengadu lapar. Suaminya, Zahrien, juga sudah mula berjinak di dalam bidang pengiklanan. Kebanyakan projek besar yang diterima oleh syarikat Encik Sulaiman itu akan diserahkan kepada Zahrien.
10 minit kemudian, kereta Qaseh tiba dihadapan restoran yang dijanjikan. Dia masuk ke dalam restoran tersebut. Tercari-cari wajah Aishah. Qaseh terlihat tangan seseorang melambai ke arahnya. Dia pasti itu Aishah. Segera Qaseh menuju ke meja Aishah.
“ Apasal kau lambat?”
“ Macam biasalah. Aku kena hantar Mirul.” Kata Qaseh sambil memesan makanan. Selepas pelayan itu beredar, Aishah meneruskan lagi pertanyaannya.
“ Bukan ke hari ni giliran Fareez hantar Mirul?” tanya Aishah.
“ Cah…dalam soal anak, tak ada mengikut giliran.” Milo tarik yang dipesan, sampai. Qaseh menghirupnya perlahan-lahan.
“ Aku tak faham. Kau sendiri yang kata. Kau orang nak hantar Mirul ke sekolah mengikut giliran.” Aishah turut menghirup teh ‘O panas dihadapannya. Panas. Nasib baik tidak melecur lidah.
“ Hari ni Fareez sibuk…kot. Tu yang dia tak boleh hantar Mirul ke sekolah.” Dalih Qaseh. Sebenarnya, dia tahu giliran Fareez untuk menghantar Amirul ke sekolah. Selepas Amirul siap bersarapan, bayangan Fareez sudah tidak kelihatan. Mungkin Fareez terlupa gilirannya hari ini.
“ Hish! Aku tak fahamlah.” Dengus Aishah.
“ Bila kau dah bersalin nanti, kau akan faham.” Roti telur yang dipesan oleh Qaseh sudah siap dihidang dihadapannya. Dipotong kecil-kecil menggunakan sudu dan garfu. Dicecahkan roti tersebut ke dalam kuah dhal bercampur sambal dan kari ayam. Disuapkan ke mulut.
“ Kau bila nak beranak yang baru?” tanya Aishah.
“ Boleh tak kita jangan cerita pasal tu sekarang ni? Kau bukannya tak tahu pasal aku dan Fareez. Hidup kami tak sehaluan. Aku ke kiri. Dia ke kanan. Aku tak nak kerana aku dan Fareez, hidup Amirul di tengah-tengah. Terumbang-ambing. Tak tahu samada ke kiri atau ke kanan.” Qaseh berkata. Dia melepaskan keluhan. Aishah faham sangat perasaan seorang wanita yang mengejar cinta dalam keadaan yang gelap gelita. Tiada cahaya yang menerangi dan menyuluhnya. Seorang diri di tengah lautan. Tanpa nakhoda. Jika karam, tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang ambil peduli.
“ Kalau kau dah tahu tak sehaluan, kenapa kau terima juga lamaran mereka?” Aishah masih tidak berpuas hati.
“ Aku nak cuba hidup berkeluarga. Rasa menjadi seorang isteri dan ibu.” Penjelasan Qaseh tidak dapat diterima oleh Aishah.
“ Kan ramai lagi lelaki yang sanggup berikan kau semua tu? Yang sanggup melafazkan kata-kata cinta kepada kau.” Aishah mengerut dahi memandang Qaseh yang hanya tersenyum kecil.
“ Memang ramai. Tak terkira. Tapi, aku bukannya sekadar hendak cinta saja. Aku nakkan kebahagiaan yang dinikmati oleh orang lain. Contoh terdekat, kau. Kau bahagia dengan Zahrien. Aku tumpang gembira. Aku juga inginkan kebahagiaan seperti tu.” Kata Qaseh. Aishah mengeluh perlahan.
“ Kau bahagia ke? Boleh dikatakan setiap kali aku jumpa kau, muram saja. Itu kau kata bahagia? Apa definisi bahagia pada kau?” Aishah bertanya. Dia tidak mahu Qaseh terus menderita akibat perkahwinan ini.
“ Bahagia tak perlu didefinisi. Bahagia datang sendiri. Cinta juga datang sendiri. Tanpa paksaan. Sepertimana kau bahagia dengan Zahrien, aku juga rasa bahagia dengan perkahwinan ini.” Terang Qaseh dengan jelas. Pada hakikatnya, dia sendiri tidak tahu bagaimana perasaannya ketika ini. Bahagiakah dia?
“ Kau rasa Fareez akan bahagiakan kau? Akan menyintai kau?” soal Aishah lagi. Bukan niatnya hendak mengguris perasaan Qaseh. Tetapi dia tidak mahu Qaseh terlalu mengharap.
“ Aku tak rasa. Tapi aku yakin. Aku yakin satu hari nanti dia akan membahagiakan aku. Dia akan menyintai aku sepenuh hati dia. Aku yakin sekeping hati milik dia akan menjadi milik aku jua.” Qaseh berkata dalam penuh ketegasan. Aishah mengeluh.
“ Kau nak dia melutut pada kau?”
“ Tak perlu. Cukuplah dengan kata-kata dari hati yang ikhlas.”
“ Jadi, aku dah tak boleh mempersoalkan kebahagiaan kau.” Aishah menggenggam jari jemari Qaseh.
“ Terima kasih, Cah. Kerana memahami.” Qaseh membalas genggaman itu. Aishah mengangguk perlahan.
Selesai bersarapan, mereka menuju ke destinasi masing-masing. Qaseh memarkirkan keretanya di tempat yang dikhaskan. Dia membuka pintu belakang keretanya dan mengambil beg bimbit serta fail-fail pelanggan. Dia berjalan ke arah pintu pejabatnya. Terkial-kial dia menolak pintu tersebut. Dahulu, dia hanya menyewa bilik pejabat di tingkat atas sahaja untuk memulakan syarikatnya. Tetapi sekarang, dia sudah mampu membeli seluruh bangunan. Arman, budak pejabat yang baru sahaja melintasi pintu pejabat tersebut, tolong membukakan pintu. Qaseh masuk dan mengucapkan terima kasih kepada Arman. Qaseh berjalan menuju ke biliknya yang terletak di hujung sekali. Dilempar beg bimbit ke atas sofa yang tersedia di dalam biliknya. Dia sengaja meletakkan sofa di dalam bilik itu. Apabila pelanggan datang nanti, mereka akan berasa selesa dengan persekitaran yang wujud di dalam biliknya.
Fernaizza masuk ke dalam bilik Qaseh dan menyampaikan pesanan. Rutin hariannya. Selepas menyampaikan pesanan, Fernaizza keluar dari bilik Qaseh dan meneruskan kerjanya. Tiba-tiba, telefon Qaseh berdering. Qaseh menjawab panggilan tersebut.
“ Hello?”
“ Hello…Boleh saya bercakap dengan Qaseh Soraya?” tanya pemanggil yang tidak dikenali itu.
“ Saya bercakap. Boleh saya tahu siapa di sana?” tanya Qaseh kembali. Dia kurang pasti suara siapakah itu. Suara Adib? Tidak mungkin kerana Adib tidak mengetahui nombor pejabatnya. Fareez? Lagilah tidak mungkin kerana Fareez tidak pernah menelefonnya. Siapa agaknya? Dia masih tercari-cari identiti si pemanggil tersebut.
“ Soraya tak ingat saya lagi?” tanya pemanggil itu. Qaseh seakan-akan tidak percaya yang dia akan mendengar suara itu lagi. Terkaku dia sebentar. Suaranya tidak terkeluar dari celah kerongkongnya.
“ Mungkin Soraya dah lupakan saya.” Pemanggil itu merendahkan nada suaranya. Qaseh menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus perlahan-lahan.
“ Apa yang awak nak?” Qaseh bersuara kasar.
“ Soraya, maafkan Wad. Sebab Wad tinggalkan Soraya sewaktu Soraya benar-benar perlukan Wad.” Kata-kata maaf terucap dari lelaki yang bernama Ashwad. Kekasih pertama Qaseh. Qaseh mendengus kasar.
“ Saya dah lama maafkan awak.” Qaseh tidak mahu memanjangkan perbualan. Dia tidak sanggup mendengar sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut manis lelaki itu. Cukuplah dengan janji-janji melayunya dahulu.
“ Tak semudah itu Soraya maafkan Wad. Wad tahu Soraya masih marahkan Wad.” Ashwad mahu kata-kata maaf yang terucap adalah ikhlas lahir dari hati Qaseh.
“ Apa yang awak nak sebenarnya?” tanya Qaseh. Lebih kasar dari tadi. Ashwad terdiam. Lama kemudian, barulah dia bersuara.
“ Kita keluar. Wad nak sangat jumpa Soraya.” Beria-ia Ashwad menyatakan kehendaknya berjumpa dengan Qaseh. Terkejut Qaseh dengan kehendak Ashwad itu. Permintaan Ashwad dirasakan tidak munasabah.
“ Tak payahlah kita berjumpa lagi. Saya dah kahwin. Suami saya tak benarkan saya keluar dengan lelaki lain.” Qaseh tidak mahu berjumpa dengan Ashwad. Berjumpa Ashwad, bermakna hatinya akan berdarah kembali. Biarlah luka lama sembuh dahulu. Luka daripada perbuatan Fareez, masih berparut.
“ Saya kenal suami Soraya. Nama dia Fareez, kan?” tercengang Qaseh dibuatnya. Bagaimana Ashwad tahu?
“ Macam mana awak kenal suami saya?”
“ Kenal Adib?” tanya Ashwad kembali.
“ Kenal. Dia sepupu suami saya.” Hati Qaseh tidak keruan.
“ Kalau Adib sepupu Fareez, saya pun sepupu Fareez jugalah.” Luruh jantung Qaseh apabila mendengar ayat yang terluncur dari Ashwad.
“ Saya adik kepada Adib.” Jantung Qaseh berdegup pantas. Adik kepada Adib? Dia dapat merasakan hari-hari yang akan dilaluinya tidak semudah yang disangkakan.
“ Jadi, apa yang boleh saya bantu awak?”
“ Keluar dengan Wad. Wad nak berjumpa dengan Soraya.”
“ Kenapa awak nak berjumpa dengan saya?” tanya Qaseh.
“ Wad perlu jelaskan beberapa perkara kepada Soraya.”
“ Saya tak perlukan penjelasan daripada awak.” Ujar Qaseh. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu mengingati kisah lama.
“ But I have to clarify everything to you.”
“ Sudahlah. Saya tak nak berjumpa awak. Anggaplah kita tak pernah kenal.” Qaseh tetap tidak mahu berjumpa dengan Ashwad. Kalau dia bertemu dengan lelaki itu, pasti akan ada memori lama yang tersingkap.
“ Soraya, please. Wad merayu pada Soraya. Ada perkara yang Wad nak bincangkan.” Ashwad sedaya-upaya merayu kepada Qaseh. Dia berharap sangat Qaseh bersetuju untuk berjumpa dengannya.
“ Cakap jelah dalam telefon. Saya belum pekak dan tuli lagi sampai tak faham apa yang awak cuba nak katakan.” Qaseh berkata sambil mendengus geram. Masih tidak faham lagikah? Aku tidak mahu berjumpa kau, getus hati kecil Qaseh.
“ Wad lebih suka face to face.”
“ Ashwad, saya dah bersuami. Saya tak nak nanti disebabkan perjumpaan kita ini menyebabkan saya dan suami saya perang besar.” Qaseh tidak mahu berlaku pertengkaran diantara dia dan Fareez. Cukuplah Fareez sudah menyeksa zahirnya. Dia tidak mahu Ashwad penyebab utama mereka bermusuh sepanjang perkahwinan ini. Lagipun K.L bukannya besar sangat. Pergilah ke ceruk mana sekalipun, pasti akan terjumpa dengan orang yang mengenali diri kita.
“ Tolonglah, Soraya.”
“ Kenapa awak nak paksa saya keluar dengan awak?”
“ Perlukah Wad memberi sebab?”
“ Ya, perlu. Sebab awak ajak keluar isteri orang. Wanita yang dah tak ada kaitan lagi dengan hidup awak.” Pertuturan Qaseh semakin kasar. Dia sudah bosan melayan karenah Ashwad.
“ Sampai macam ni sekali Soraya bercakap dengan Wad. Kenapa Soraya? Apa yang menyebabkan Soraya berubah?” tanya Ashwad lembut. Melembutkan kembali hati Qaseh yang semakin mengeras.
“ Apa yang menyebabkan saya berubah? Peredaran masa. Semakin saya meningkat dewasa, semakin saya tahu. Dunia luar tidak semudah yang disangkakan. Kalau kita tak cukup kuat, kita akan dibuli. Sehingga kita malu untuk berdepan dengan kehidupan yang lebih mencabar. Awak tanya saya, apa yang menyebabkan saya berubah? Banyak…Banyak sekali. Salah satu sebabnya, adalah awak. Awak yang menyebabkan saya berubah. Awak tinggalkan saya terkapai-kapai dalam kegelapan. Awak hancurkan hati saya bila awak kata mak awak dah tunangkan awak dengan gadis pilihan mereka. Awak terima. Siapa saya di hati awak pada ketika itu? Adakah saya hanya sebuah boneka? Kalau dah buruk, boleh campak sesuka hati.” Qaseh memuntahkan segalanya isi hati yang telah lama dipendamkan. Ashwad terdiam. Dia tidak boleh berkata apa-apa. Dia tidak tahu hendak berkata-kata. Mulutnya seperti terkunci.
“ Macam mana Soraya tahu pasal Wad ditunangkan?” tanya Ashwad.
“ Awak kenal Syafeqah?” tanya Qaseh kembali. Soalan dibalas dengan soalan.
“ Kenal. Dia kakak kepada bekas tunang saya.”
“ Dan dia juga kakak angkat saya. Yang banyak memberikan semangat buat saya untuk meneruskan hidup ini. Dia tak tahu yang awak pernah bercinta dengan saya. Dia juga tak tahu yang adik dia telah ditunangkan secara senyap-senyap. Syafeqah meminta maaf dari saya. Tapi dia minta maaf dari saya pun buat apa? Bukannya dia yang bersalah.” Jelas Qaseh satu persatu. Ashwad tidak berkata apa-apa lagi. Dia diam seribu bahasa. Tidak lama kemudian, Ashwad menyambung kata-kata.
“ Maafkan Wad, Soraya. Wad telah banyak lukakan hati Soraya. Wad tahu, Wad taklah baik mana pun. Tapi Wad perlu jumpa dengan Soraya. Wad bersalah sangat dengan Soraya. Kerana tak berikan penjelasan yang baik untuk Soraya terima.” Rayu Ashwad lagi. Suara Ashwad bisa mencairkan hati perempuannya pada satu masa dahulu. Tetapi tidak kini. Dia bukanlah Qaseh yang dahulu. Dia Qaseh yang baru. Qaseh yang tahu menilai mana yang baik dan mana yang buruk untuk dirinya.
“ Tolonglah, Soraya. Kalau Soraya takut nak cakap dengan Abang Fareez, biar Wad yang beritahu dia.” Ashwad masih memaksa.
“ Jangan. Saya tak mahu awak cakap apa-apapun pada Fareez.”
“ Jadi, Soraya setuju nak keluar dengan Wad?” tanya Ashwad.
“ Nanti saya tanya suami saya dulu. Tapi saya tak janji.” Kata Qaseh. Dia tidak tahu bagaimana dia hendak memberitahu Fareez bahawa dia harus berjumpa dengan seseorang. Tambahan orang itu tidak lain tidak bukan sepupunya sendiri. Dengan Adib yang rupanya boleh tahan pun, Fareez seperti orang cemburu apabila terlihat dia dan Adib ketawa bersama. Kalau dengan Ashwad lagilah dia cemburu. Ashwad lagi kacak dari Adib.
“ Baiklah. Saya akan telefon Soraya lagi setengah jam. Untuk mengetahui jawapan dari Soraya.” Ashwad segera mematikan talian. Tidak sempat Qaseh berkata apa-apa. Qaseh menggaru kepala. Dia tidak tahu cara untuk memberitahu Fareez. Menipu, bukan cara Qaseh. Dia tidak sanggup menipu suaminya sendiri. Digaru lagi kepala. Mengeluh. Sekejap berdiri, sekejap duduk. Gelisah. Qaseh memandang gagang telefon. Hendak telefon atau tidak? Akhir sekali dia membuat keputusan.
“ Hello?” satu suara bergema di gegendang di telinga Qaseh. Dia kenal akan tuan punya suara.
“ Hello. Ermm…Didi, saya ni, Qaseh. Boleh saya bercakap dengan Encik Fareez?” tanya Qaseh.
“ Ooo…Puan Qaseh. Sekejap, ya?” Hadirah menyambung terus panggilan ke bilik Fareez. Fareez menekan butang yang berwarna merah untuk menjawab panggilan yang disambung terus ke biliknya.
“ Hello?”
“ Aaa…Emm…Assalamualaikum, Bang.” Tergagap-gagap Qaseh berkata. Tiada respon daripada Fareez.
“ Abang?”
“ Hmm…. Apahal kau telefon aku ni?” tanya Fareez dengan nada suara yang kasar. Qaseh terdiam.
“ Apa yang kau nak cakapkan ni? Aku tak ada masa lah nak layan kau.” Kata Fareez kasar. Qaseh menelan air liur.
“ Saya nak minta kebenaran Abang. Saya nak keluar dengan kawan.” Perlahan-lahan Qaseh mengatur ayat. Tiada respon sekali lagi dari Fareez. Qaseh fikir Fareez tidak mendengarnya.
“ Bang? Abang dengar tak?” tanya Qaseh takut-takut.
“ Aku dengar. Tak pekak lagi. Pergilah. Apasal nak tanya aku pulak?”
“ Abang kan suami saya. Saya kena minta kebenaran dari Abang.”
“ Hei, dengar sini! Aku dah pernah cakap dengan kau. Kau nak buat apa sekali pun dengan hidup kau, tak ada kaitan dengan aku. Kau nak pergi melingkup pun, aku apa peduli.” Tajam ayat-ayat yang baru meluncur dari mulut lelaki yang bernama suami itu. Terhiris hati Qaseh.
“ Tak apalah, Bang. Itu je saya nak beritahu Abang. Satu lagi, Bang….Abang boleh tolong ambil Amirul tak?” tanya Qaseh. Fareez tidak memberikan sebarang jawapan tetapi sebaliknya menghempas gagang telefon dengan kuat. Qaseh meletakkan gagang telefon ke tempat asal dengan perlahan. Air matanya bertakung di tubir mata. Sampai bila Fareez hendak menyeksa perasaan Qaseh sebegini? Air matanya menitis. Dilap semula. Dia harus kuat menghadapi dugaan dan cabaran. Dia tidak boleh selemah itu. Qaseh yakin dia dapat mencairkan hati keras Fareez.







QASEH memandu keretanya menuju ke Subang Parade untuk berjumpa dengan Ashwad. Ashwad hendak berjumpa di tempat biasa mereka. Qaseh buat-buat lupa tempat yang membawa banyak kenangan kepada mereka. Dia memarkirkan keretanya di dalam Subang Parade. Dia turun dari kereta dan menuju ke arah lif. Qaseh masuk ke dalam lif dan menekan butang ‘G’. Lif berhenti di tingkat ‘G’ dan ramai pengunjung kompleks membeli-belah itu berpusu-pusu keluar dari lif tersebut. Qaseh segera menuju ke Restoran Swensens. Qaseh mencari tempat duduk yang jauh dari pandangan orang ramai. Dia tidak mahu terserempak dengan rakan-rakan yang selalu mengunjungi Subang Parade. Qaseh gelisah di tempat duduknya. Ashwad masih belum sampai.
Tiba-tiba matanya terpandang pada seraut wajah yang cukup dikenali. Makin kacak pula dia. Ashwad tersenyum. Senyuman inilah yang selalu membuatkan Qaseh separuh gila apabila teringatkan Ashwad. Tetapi sekarang senyuman itu tidak bermakna lagi. Senyuman itu dianggap sebagai senyuman seorang sahabat. Ashwad menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Qaseh.
“ Baiklah. Apa perkara yang awak nak bincangkan dengan saya tu?” tanya Qaseh. Dia mahu mereka habis berbincang secepat mungkin dan Qaseh boleh pergi dari situ. Dia tidak mahu melihat muka Ashwad lagi.
“ Banyak perkara Wad nak cakap dengan Soraya. Sebab mengapa Wad tinggalkan Soraya dulu.” Ashwad mengatur butir bicaranya. Dia tidak mahu tersilap langkah. Qaseh mengeluh.
“ Tak perlulah. Benda dah berlalu. Saya dah tak nak dengar. Saya pun dah jadi isteri orang.” Qaseh seboleh-bolehnya tidak mahu mengungkit hal lama. Biarlah ia berlalu. Yang sudah itu, biarkan ia sudah.
“ Wad mesti jelaskan pada Soraya. Selagi Wad tak beritahu pada Soraya, selagi itulah Wad rasa tak tenang.” Pelayan restoran tersebut mendekati meja mereka. Dia meletakkan menu dihadapan Qaseh dan Ashwad. Ashwad memesan makanan. Qaseh hanya memesan air. Tiada selera untuk makan apabila berhadapan dengan lelaki yang amat dicintainya dahulu. Pelayan itu beredar dari situ.
“ Wad tinggalkan Soraya dulu sebab Wad ditunangkan dengan orang lain. Wad tak nak tapi mak Wad yang paksa. Wad dah cakap yang Wad dah ada pilihan hati. Mak Wad tetap paksa. Kalau Soraya tak percaya, Soraya tanya Adib. Dia yang banyak menjelaskan perkara sebenarnya kepada mak Wad.” Jelas Ashwad. Qaseh memandang Ashwad dengan wajah tiada perasaan. Ashwad mengalami masa yang sukar. Pelayan itu menghantar minuman mereka.
“ Benda tu saya dah tahu. Ada apa-apa lagi yang perlu saya tahu?”
“ Tapi lepas Wad putus tunang, Wad malu nak jumpa Soraya. Wad tahu, Wad dah banyak lukakan hati Soraya. Tapi percayalah, Soraya. Tak pernah terlintas di hati Wad untuk melukai diri Soraya.” Sambung Ashwad lagi. Qaseh memandang air dihadapannya.
“ Ashwad, saya dah tak nak dengar penjelasan dari awak. Benda tu semua dah tak penting buat saya. Saya pun dah jadi milik orang. Eloklah awak lupakan saya.” Qaseh berkata. Dikacau air jusnya itu dengan straw.
“ Tapi Wad masih rindukan Soraya.”
“ Awak cubalah faham. Walaupun saya pernah cintakan awak dulu, tapi itu tak bermakna awak masih boleh ada perasaan terhadap saya. Awak tak malu ke ada perasaan pada isteri sepupu sendiri?” soal Qaseh lantang. Dia mahu menyelesaikan segala-galanya kepada Ashwad hari ini juga. Dia tidak peduli mata yang memandang mereka.
“ Ok. Wad akan cuba buangkan perasaan ini jauh-jauh. Supaya Wad dapat terus berkawan dengan Soraya.” Ujar Ashwad. Qaseh menarik nafas kelegaan. Kena cakap kasar baru hendak faham. Cakap lembut, buat-buat tidak faham. Qaseh tersenyum kecil.
“ Tapi, Wad ada satu soalan nak tanya pada Soraya ni.”
“ Apa dia? Silakanlah.”
“ Wad dengar Soraya pernah nak cuba bunuh diri. Betul ke?” tanya Ashwad. Qaseh membeliakkan mata. Bagaimana Ashwad tahu? Siapakah yang kepoh sangat? Air liurnya seperti tidak mahu turun di celah kerongkong.
“ Siapa beritahu awak?"
“ Nad…” ringkas jawapan Ashwad. Qaseh mendengus. Memang Tengku Nadirah tidak boleh menyimpan rahsia.
“ Itu dulu. Masa saya tak fikir dengan jelas.” Ujar Qaseh. Mereka sama-sama terdiam. Suasana bingar menyelubungi mereka. Tetapi tiada siapa pun diantara mereka berkata-kata buat seketika.
“ Soraya bahagia?” tanya Ashwad tiba-tiba.
“ Apa maksud awak?”
“ Soraya bahagia dengan kehidupan Soraya sekarang? Dengan Abang Fareez?” tanya Ashwad sambil memandang wajah Qaseh. Qaseh tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan Ashwad. Dia sendiri tidak ada jawapan untuk persoalan itu.
“ I’m happily married.” Ujar Qaseh. Dia membalas pandangan tajam Ashwad. Ashwad tersengih. Dia tahu Qaseh tidak suka orang lain mengambil tahu akan kehidupan peribadinya.
“ So, Soraya buat apa sekarang?” tanya Ashwad sekadar berbasa-basi.
“ I have my own business.”
“ Wow! I don’t believe this.”
“ What do you mean by that?” Qaseh tidak senang dengan kata-kata Ashwad. Terasa seperti Ashwad sedang menyindir.
“ Soraya seorang yang lemah-lembut. Sukar nak bayangkan Soraya menjalankan perniagaan sendiri.” Ashwad tersenyum. Qaseh membalas senyuman itu. Biar dia tahu siapa aku. Ini Qaseh lah, getus hati kecil Qaseh.
“ Awak buat apa sekarang?” Qaseh mengajukan soalan yang serupa kepada Ashwad. Lelaki itu tersenyum dengan seribu makna.
“ Masih ingat cita-cita Wad?” Ashwad memutarkan kembali memori Qaseh. Qaseh mengangguk perlahan.
“ Wad dah mencapai cita-cita Wad.” Qaseh tumpang gembira. Dia tidak menyangka Ashwad akan menunaikan cita-citanya. Menjadi seorang juruterbang. Berada di tengah-tengah awan biru memang menjadi cita-cita Ashwad sejak kecil. Dia terasa dirinya seakan-akan terbang membelah awan.
“ Itulah sebabnya masa Soraya dan Abang Fareez kahwin, Wad tak dapat datang. Wad kena fly. Pergi Tokyo. Wad cuba mintak tukar jadual dengan orang lain. Kebanyakan pilot cuti hari tu. Kalau ada pun, jadual dia orang dah ketat. Sorry tak dapat hadir.” Jelas Ashwad. Terangguk-angguk Qaseh mendengar penjelasan yang dibuat Ashwad. Qaseh menyentuh cincin perkahwinannya perlahan. Diputar-putarkan.
“ It’s ok.” Kata Qaseh.
“ Awak kerja dengan airlines yang mana?” tanya Qaseh.
“ MAS.” Jawab Ashwad ringkas.
“ Hmm…Awak kenal tak pilot nama Ghazi Iskandar?” tanya Qaseh lagi.
“ Kenal. Dia captain pilot. Pangkat lagi tinggi dari Wad.”
“ Ohh…”
“ Macam mana Soraya kenal dia?” tanya Ashwad pula.
“ Dia bekas tunang kawan saya.”
Makanan yang dipesan oleh mereka pun sampai.
“ Soraya tak makan?”
“ Tak.”
“ Pesanlah. Wad belanja.”
“ Tak apalah. Saya dah kenyang.”
“ Jangan macam tu, Soraya. Soraya tak sudi ke Wad belanja?”
“ Bukan saya tak sudi tapi….” Ayat Qaseh dipotong oleh Ashwad.
“ Anggaplah Wad macam kawan Soraya. Wad tahu kita tak boleh macam dulu lagi. Tapi sekurang-kurangnya, kita boleh berkawan.” Ada betul juga kata-kata Ashwad. Qaseh berasa bersalah. Dia memesan juga makanan. Ashwad menolak pinggannya ke tepi dan menunggu makanan Qaseh tiba.
“ Kenapa tak makan?” tanya Qaseh apabila dilihatnya Ashwad hanya menghirup air jus. Dia mengangkat muka memandang Qaseh.
“ Tunggu makanan Soraya. Kita makan sekali.” Ashwad masih seperti dahulu. Sikap gentlemannya masih ada. 15 minit kemudian, makanan Qaseh tiba. Mereka menjamu selera. Selepas menjamu makanan, Ashwad memesan pula pencuci mulut. Dipesan sekali untuk Qaseh kerana dia sedia maklum dengan pencuci mulut kegemaran Qaseh. Ada seseorang menghampiri meja mereka dan menyapa.
“ Wad….Qaseh?” Qaseh mengangkat mukanya memandang lelaki yang datang tanpa diundang itu.
“ Adib?” Qaseh gelabah. Tiba-tiba Qaseh teringat sesuatu. Fareez sudah berjanji dengan Adib untuk makan tengah hari bersama. Mungkinkah Fareez terlihat semua itu? Adib perasan akan perubahan wajah Qaseh.
“ Qaseh jangan risau. Dia belum sampai.” Adib berkata-kata untuk menenangkan hati Qaseh yang seperti dilanda ombak ganas.
“ Apa Ong buat kat sini?” tanya Ashwad. Ashwad memanggil Adib dengan panggilan Ong. Singkatan untuk Along.
“ Ong ada janji dengan Abang Fareez. Wad buat apa kat sini?” Adib bertanya kembali. Memandang Qaseh dan Ashwad bersilih ganti.
“ Wad jumpa kawan sekolah Wad.”
“ Oh! Kau orang berdua kenal?” Adib bertanya seperti orang bodoh. Sudah tentulah mereka kenal diantara satu sama lain. Kalau tidak, masakan Qaseh duduk berhadapan dengan Ashwad.
“ Mestilah kenal. Inilah Soraya, Ong.” Kata Ashwad sambil memperkenalkan Qaseh sebagai Soraya.
“ Soraya?” tanya Adib lagi. Pinta kepastian.
“ Takkan Ong tak tahu nama penuh Soraya. Nama dia kan Qaseh Soraya.” Barulah Adib teringat sesuatu. Qaseh pernah memberitahu nama penuhnya. Tapi Soraya? Inikah Soraya yang selalu diceritakan oleh Ashwad kepadanya? Adib memandang Qaseh sekilas. Qaseh hanya menundukkan wajah.
“ Yang selalu Wad cerita kat Ong tu?”
“ Yalah. Yang inilah.” Adib memandang adiknya dan Qaseh bergilir-gilir. Betapa kecil dunia ini. Qaseh semakin gelisah. Berapa banyak agaknya cerita yang dikhabarkan kepada Adib oleh Ashwad mengenai dirinya? Maria pernah bercerita kepada Adib mengenai kekasih lama Qaseh. Tetapi tidak disangkakan kekasih lama Qaseh adalah adiknya sendiri.
“ What a small world.” Adib tergelak. Ashwad turut tergelak. Qaseh tersenyum dalam kepayahan. Apalah nasibnya? Pernah bercinta dengan adik sepupu suaminya sendiri dan diminati oleh abang bekas kekasihnya.
“ Tak apalah, Wad. Ong pergi dulu. Kawan Ong dah tunggu tu. OK, Qaseh. Saya pergi dulu.” Adib tersenyum. Qaseh membalas senyuman itu. Adib beredar dari situ. Ashwad memandang Qaseh.
“ Boleh saya tanya awak satu soalan?” tanya Qaseh. Ashwad memandang gadis dihadapannya. Dia mengangguk perlahan.
“ Macam mana awak tahu saya kenal dengan Adib?”
“ Masa kenduri cukur jambul anak Kak Fit, Soraya ada ambil gambar dengan Adib. Wad ternampak dalam album dia. Bila Wad tanya Along, dia kata kawan satu course dia dulu masa kat Luxembourg.” Terang Ashwad.
“ Ohh…” mereka masing-masing menghadap makanan dihadapan mereka dan menjamu selera.

BERSAMBUNG.......

0 tukang komen paling setia: