BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 21, 2008

Dari KL ke Luxembourg 21

BAB 21

AWAL pagi lagi, Qaseh sudah siap mengemas beg pakaiannya. Fareez sedang membersihkan badan. Nasib baik Qaseh tidak terlepas Subuh. Dia dan Maria bersembang sehingga lewat tengah malam. Macam-macam yang diceritakan kepada Maria. Bagaimana pertemuannya dengan Fareez boleh terjadi sehingga membawa mereka berdua ke alam perkahwinan yang tidak pernah dijangka. Qaseh juga bercerita tentang Aishah. Sahabat baiknya di Malaysia. Pengalaman bekerja di Malaysia. Penerimaan rakan-rakan sekerja yang tidak begitu menyukai Qaseh pada mulanya Qaseh melakukan tugasan yang pertama. Ramai rakan sekerja wanita yang cemburu kepadanya. Habis semua diceritakan. Maria tergelak besar setiap kali Qaseh menyelitkan sedikit lawak di dalam cerita yang disampaikan.
Qaseh membawa turun bagasinya serta bagasi Fareez ke tingkat bawah. Maria menolong Qaseh memasukkan bagasi-bagasi mereka ke dalam kereta. Auntie Rosemarie sedang menyiapkan sarapan. Fareez sudah siap berpakaian dan turun ke tingkat bawah untuk bersarapan sebelum bertolak ke Luxembourg. Bijirin dan roti pound tersedia di atas meja. Jem strawberi dan peanut butter serta cookies juga tersedia. Fareez mengambil sudu yang dijadikan sebagai pisau roti menceduk sedikit jem strawberi dan peanut butter. Kemudian dicalitkan ke atas roti tersebut. Dia memang suka mencampuradukkan jem. Untuk menambahkan perisa. Adik Maria, Devon juga turun untuk menikmati sarapan yang dibuat oleh ibu mereka.
Maria dan Qaseh masuk ke dalam rumah setelah memunggah masuk bagasi-bagasi tersebut. Maria terus menuju ke arah meja makan dan duduk bersebelahan dengan adiknya yang sedang leka menikmati sarapan tersebut. Qaseh menatang dulang yang berisi cawan dan teko. Diletakkan ke atas meja. Qaseh menuang air kopi ke dalam cawan dan dihulurkan kepada Fareez. Cawan itu bersambut. Kemudian, dia menghulurkan cawan-cawan yang berisi air kopi yang masih berwap itu kepada Maria dan Devon. Qaseh duduk bersebelahan Fareez. Dia mengambil mangkuk dan menuang susu serta bijirin ke dalam mangkuk tersebut. Dinikmati sarapan itu dengan perlahan-lahan. Sudah lama tidak bersarapan begini. Sebelum dia berkahwin dahulu, hanya kedai sahaja tempat dia bersarapan bersama Aishah. Selepas berkahwin, Qaseh tidak tahu dia akan bersarapan di rumah atau masih bersarapan di kedai. Roti canai dan nasi lemak yang menjadi pilihan. Sudah lama dia tidak bersarapan dengan mengambil pemakanan yang sihat.
Selesai sahaja bersarapan, Fareez dan Qaseh meminta diri untuk bertolak. Mereka takut sampai lewat ke Luxembourg. Qaseh memeluk Auntie Rosemarie. Rindunya pada wanita itu terlerai jua apabila dia dan Fareez berbulan madu di situ. Menitis air mata daripada tubir mata yang sudah berkedut itu. Qaseh mengelap air mata itu.
“ I hope you will be happy with your marriage, my child.” Kata-kata Auntie Rosemarie itu mengundang rasa terkejut Qaseh. Tetapi dikawalnya. Sekali lagi mereka berpelukan. Qaseh meleraikan pelukan itu dan berjalan ke arah kereta Maria. Fareez menyalami wanita tua itu. Qaseh memasuki perut kereta. Fareez juga turut masuk ke dalam perut kereta. Devon menemani Maria untuk menghantar Qaseh dan Fareez ke Luxembourg.
Sesampai sahaja mereka di Luxembourg, Maria menghantar mereka berdua ke Bamboesch. Rumah Fitri Azharina tidak jauh daripada tempat itu. Devon memunggah keluar bagasi-bagasi mereka berdua. Fareez masih tercari-cari arah rumah Fitri Azharina. Maria sempat berpelukan dengan Qaseh.
“ A week is not enough.” Kata Maria sambil meleraikan pelukan.
“ I will come again. When I’m not busy with my company.” Qaseh tersengih. Maria tersenyum.
“ Promise me you will come?” Maria meminta Qaseh berjanji dengannya. Lambat-lambat Qaseh menyatakan janji. Maria tersenyum senang.
“ Did you told Auntie Rose about my marriage?” tanya Qaseh. Dari tadi lagi dia hendak bertanya. Tetapi segan hendak bertanya di hadapan Fareez dan Devon. Maria tersentak.
“ No.” Maria menggeleng dan menundukkan wajah.
“ Maria…”
“ A bit.”
“ You promise me not to tell Auntie Rose.” Qaseh pura-pura marah. Maria menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“ Sorry.”
“ That’s all you can say, sorry.” Qaseh mendengus. Kemudian, Qaseh tergelak. Maria tahu dia sudah dikenakan oleh Qaseh.
“ You fooled me.” Mereka berpelukan sekali lagi.
“ I’m going to miss you again.” Ujar Maria sambil mengusap rambut ikal Qaseh. Qaseh menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan.
“ Me too.” Mereka meleraikan pelukan dan Maria masuk ke dalam kereta. Dia mesti sampai ke Wiltz sebelum petang kerana dia sudah berjanji dengan Adib untuk bertemu.
Kereta Maria meninggalkan mereka berdua di Bamboesch. Fareez perlu mencari telefon untuk bercakap dengan Fitri Azharina. Fareez mencari pondok telefon yang berdekatan. Qaseh melongo di sebelah bagasinya.
“ He..he..hello?” tergagap-gagap Fareez menjawab. Suara yang menjawab panggilan telefon itu seperti terputus-putus. Dia tidak dapat mendengar dengan jelas. Fareez meletakkan gagang telefon ke tempatnya semula. Kemudian didail nombor yang tertera di atas kertas yang dipegangnya. Diteliti semula nombor di skrin telefon awam itu. Memang nombor telefon bimbit Fitri Azharina.
“ Hello?” kali ini Fareez dapat mendengar suara yang menjawab panggilan itu dengan jelas.
“ Hello…”
“ Kak Rina?” tanya Fareez. Inginkan kepastian daripada orang yang menjawab panggilannya itu. Dia takut tersalah dail.
“ Fareez? Fareez kat mana ni?” tanya Fitri Azharina. Fareez yakin dia sudah bercakap dengan kakaknya itu.
“ Kat Bamboesch. Akak ada kat mana?” tanya Fareez kembali.
“ Akak ada kat ofis. Tengah tunggu panggilan dari Fareez lah ni. Fareez tunggu kat situ. Nanti Akak datang. Give me 20 minutes, top.” Mereka memutuskan panggilan. Fareez berjalan semula ke arah tempat Qaseh menunggu. Dia berdiri tidak jauh dari Qaseh. Matanya meliar. Kemudian dia mendekati Qaseh. Memeluk tubuh.
“ Kau jangan cerita kat Kak Rina tentang hubungan kita. Kalau aku dengar kau buka mulut, nahas!” amaran keras daripada Fareez membuatkan Qaseh kecut perut.
20 minit kemudian, kereta Fitri Azharina berhenti betul-betul dihadapan mereka. Fareez menolong Qaseh memunggah masuk bagasi-bagasi ke dalam but kereta. Qaseh pelik dengan Fareez. Hendak tunjuk baik dihadapan kakaknya. Masa mereka berbulan madu di Wiltz, segala-galanya terpaksa Qaseh buat seorang diri. Mereka semua masuk ke dalam kereta.
Kereta Fitri Azharina melalui kawasan perumahan double storey. Qaseh sangkakan rumah kakak iparnya itu di situ tetapi kereta Fitri Azharina tidak berhenti di kawasan perumahan tersebut. Sebaliknya berhenti di kawasan perumahan banglo. Fitri Azharina dan Fareez sudah turun. Membiarkan Qaseh terpinga-pinga seorang diri di dalam kereta. Kemudian Qaseh turun dari kereta. Dia mendekati Fitri Azharina.
“ Rumah siapa ni, Kak?” tanya Qaseh sambil memerhati ke sekeliling rumah. Banglo ini begitu selesa. Dengan gayanya yang ala-ala cottage house. Mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang lalu di hadapan banglo itu. Rumah itu memang citarasa Qaseh yang sukakan rumah gaya sebegini.
“ Rumah Akak la, yang.” Fitri Azharina tersenyum. Qaseh terpegun dengan rumah kakak iparnya itu. Walaupun banglo itu lebih kepada citarasa Inggeris tetapi masih mengekalkan senibinanya yang antik. Qaseh menapak masuk ke dalam rumah. Sekali lagi dia terpegun. Barangan perabot di dalam rumah itu lebih bercitarasakan orang-orang yang lebih berumur. Lama tetapi antik. Barangan itu tidak ternilai harganya kepada Fitri Azharina. Dia mengumpulnya sewaktu dia aktif mengembara ke seluruh Eropah.
Fitri Azharina tersenyum melihat gelagat adik iparnya itu. Fareez sudah naik ke tingkat atas untuk merehatkan badannya yang keletihan. Semasa mereka berada di Wiltz, setiap hari ada sahaja aktiviti yang akan mereka lakukan bersama-sama Maria dan Adib. Qaseh masih berada di ruang tamu. Dia duduk di sofa yang diletakkan di beranda rumah. Mengambil angin yang meniup sepoi-sepoi bahasa.
“ Mama…Mama…” panggil seorang anak kecil. Qaseh memandang tubuh kecil yang berlari-lari dan memeluknya seerat-eratnya seperti tidak mahu melepaskan Qaseh pergi. Amirul meleraikan pelukan. Tersengih sehingga nampak barisan giginya yang putih sambil memandang Mama ‘baru’nya. Fitri Azharina memandang anak itu dengan perasaan sebak. Sudah lama Amirul teringin memanggil seorang wanita yang digelar Mama. Rindukan belaian dan kasih sayang seorang Mama. Air mata bertakung di tubir mata Qaseh. Fitri Azharina tidak tertahan lagi. Air mata sudah tumpah. Menyaksikan adegan dihadapannya, Fitri Azharina yakin Qaseh dapat menjadi Mama yang terbaik buat Amirul. Fitri Azharina segera mengelap air mata yang semakin laju. Seakan-akan tidak mahu berhenti.
“ Qaseh lapar ke? Akak masak untuk kamu berdua, ya?” kata Fitri Azharina sambil berlalu ke dapur untuk menyediakan makan malam buat adik dan adik iparnya.
Qaseh hanya memerhati gerak geri Fitri Azharina yang begitu lincah di dapur. Qaseh turut menolong Fitri Azharina menyediakan makan malam. Walaupun sudah ditegah oleh Fitri Azharina, tetapi Qaseh masih tetap menolong Fitri Azharina.
“ Akak pro dalam masakan apa?” tanya Qaseh sambil mengupas bawang besar dan bawang putih.
“ Biasalah. Western. Tapi Akak reti jugak nak masak masakan kampung. Qaseh pulak?” tanya Fitri Azharina semula.
“ Kampung style. Tapi ala carte pun reti lah sikit-sikit.” Jawab Qaseh. Tangannya ligat bekerja sambil mulutnya juga turut bercakap. Fitri Azharina senang dengan adik iparnya itu. Semasa Qaseh bekerja dengannya, gadis itu tidak banyak bercakap. Asyik dengan kerjanya sahaja. Tidak mempedulikan orang disekeliling. Kadangkala dia risau dengan Qaseh. Mungkin Qaseh bukan jenis yang suka bersosial.
Fitri Azharina menyediakan kuali untuk menumis sambal. Dia hendak memasak makanan kegemaran adiknya. Sambal tumis ikan bilis dan sambal telur. Sesekali mata Fitri Azharina memerhati kecekapan Qaseh melakukan kerja-kerja dapur. Walaupun Qaseh belajar diluar negara, tetapi dia tidak kekok untuk menolong di dapur. Bukan seperti Shilea. Hendak menyediakan meja, berat tulang. Inikan memasak. Lagilah pemalas. Tidak boleh menyalahkan Shilea juga. Dia dibesarkan di dalam keluarga yang mempunyai orang gaji. Tidak seperti Qaseh. Segala-galanya dibuat sendiri.
“ Dah, Kak.” Kata Qaseh sambil memandang Fitri Azharina yang masih merenungnya sedari tadi.
“ Hmm…Apa yang dah?” tanya Fitri Azharina terpinga-pinga. Lamunannya segera terbang apabila disergah begitu.
“ Qaseh dah tumis sambal. Untuk ikan bilis dan telur.” Ujar Qaseh. Dia memasukkan sambal yang sudah siap ditumisnya ke dalam mangkuk. Fitri Azharina tercengang. Sekejapnya dia memasak. Bila Qaseh memasak? Dia sendiri tidak tahu.
“ Dah siap?” tanya Fitri Azharina seperti orang bodoh. Qaseh mengangguk. Qaseh menyediakan meja untuk mereka semua menjamu makanan tengah hari. Selepas menyediakan meja, Qaseh memanjat tangga dan menuju ke tingkat atas untuk memanggil Fareez. Diketuk pintu bilik. Tidak berjawab. Dipulas tombol pintu. Tidak berkunci. Segera dia masuk ke dalam. Fareez tiada di atas katil. Kemana dia? Qaseh tercari-cari wajah suaminya itu. Terdengar deruan air dari bilik mandi. Qaseh berjalan ke arah pintu bilik untuk keluar. Dia akan datang semula memanggil Fareez selepas Fareez sudah siap mandi.
Belum pun sempat Qaseh hendak melangkah keluar, pintu bilik air terbuka. Fareez keluar dari bilik air dengan hanya memakai tuala separas pinggang. Fareez terkejut dengan kehadiran Qaseh di dalam bilik itu. Merah padam muka Qaseh menahan malu. Malu melihat suami yang sudah sah dinikahi bertuala sahaja.
“ Hish! Kau ni tak reti ketuk pintu dulu ke?” marah Fareez sambil memegang tualanya dari terlucut. Qaseh mengalihkan mukanya memandang tempat lain.
“ Minta maaf, Bang. Qaseh dah ketuk tapi Abang tak jawab. Qaseh ingat Abang tidur lagi.” Qaseh memberikan penjelasan. Fareez mendengus geram.
“ Apahal ni?” tanya Fareez.
“ Kak Rina ajak turun makan.” Kata Qaseh. Matanya masih terarah ke pintu bilik yang terbuka luas.
“ Hah, apa lagi? Keluarlah. Aku nak pakai baju.” Fareez memerhatikan tubuh Qaseh yang masih tegak berdiri di bucu katil. Segera Qaseh keluar dari bilik itu. Dia menutup semula pintu yang ternganga luas. Tangannya mengurut dada. Kus semangat, bisik hati Qaseh.
Fareez menyumpah di dalam hati. Belum pernah Qaseh tengok dia berkeadaan sebegitu. Darah merah menyerbu ke muka. Pantas dia berpakaian dan turun ke tingkat bawah untuk makan tengah hari bersama mereka bertiga. Fareez sudah bersiap sedia duduk di meja makan. Qaseh yang berada di dapur sedang leka membuat kerja-kerjanya. Tidak perasan akan kehadiran Fareez yang sedari tadi asyik memerhatikan gerak geri Qaseh. Qaseh menceduk nasi ke dalam mangkuk dan di bawa ke ruang makan. Diletakkan mangkuk nasi di sebelah kiri meja. Lauk pauk di tengah meja, air basuh tangan, air untuk minum serta cawan dan pinggan sudah ada di atas meja makan tersebut. Qaseh berhati-hati menceduk nasi ke dalam pinggan suaminya. Fitri Azharina baru sahaja turun ke tingkat bawah setelah selesai bersolat Zuhur. Amirul berlari-lari anak menuju ke ruang makan. Dia menarik kerusi dan duduk bersebelahan dengan Ayahnya. Qaseh menceduk nasi ke dalam pinggan Amirul dan kemudian pinggan Fitri Azharina.
“ Qaseh nak kemana tu?” tanya Fitri Azharina sambil tangannya mencapai senduk gulai kari ikan.
“ Ermm….Qaseh nak…Ermm…” Qaseh tidak tahu hendak berkata apa. Hendak berbohong, tentu akan disedari oleh kakak iparnya itu.
“ Duduklah makan sekali.” Ajak Fitri Azharina apabila dilihatnya Qaseh hendak mengorak langkah menuju ke ruang tamu. Qaseh berpaling semula. Dia berjalan ke arah meja makan dan duduk disebelah Amirul. Fitri Azharina menghulurkan pinggan berisi nasi yang diceduknya kepada Qaseh. Dia dapat menghidu sesuatu yang tidak kena dalam perhubungan Qaseh dan Fareez. Tetapi dia tidak tahu puncanya.







SELAMA seminggu mereka berada di Luxembourg, bermacam-macam soalan yang keluar dari mulut Fitri Azharina. Disiasatnya sedalam yang boleh. Qaseh tahu kakak iparnya itu cuba mengetahui rahsia yang menyelubungi perkahwinan mereka. Tetapi tidak semudah itu Qaseh akan membuka pekung di dada. Dia menjawab soalan Fitri Azharina seringkas yang mungkin. Paling tidak pun, senyuman sahaja sebagai jawapan kepada persoalan yang ditanya.
Qaseh mengemas bagasinya dan juga bagasi Fareez. Setelah siap mengemas, dia mengintai di bilik sebelah. Terlihat kakak iparnya sedang memasukkan baju Amirul ke dalam bagasi yang sudah ternganga luas. Sesekali dia mengelap mukanya yang basah. Qaseh tersenyum kecil. Dia membuka pintu bilik Amirul dengan luas dan masuk ke dalam bilik tersebut. Fitri Azharina yang baru sahaja tersedar akan kehadiran Qaseh, segera mengelap mata yang kuyup. Tangannya masih ligat melipat baju Amirul dan dimasukkan ke dalam bagasi anak saudaranya itu. Qaseh turut menolong Fitri Azharina. Qaseh memandang wajah Fitri Azharina.
“ Kenapa, Kak?” tanya Qaseh sambil matanya sesekali melirik ke arah Fitri Azharina yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
“ Tak ada apa-apalah.” Jawab Fitri Azharina. Memandang Qaseh yang masih lagi merenungnya.
“ Akak jangan nak tipu. Qaseh tahu. Mesti ada apa-apa ni.” Paksa Qaseh. Dia mahu Fitri Azharina meluahkan apa yang sedang terbuku di benaknya.
“ Mmm…Akak…Mmmm….Nanti Akak rindukan Mirul.” Akhirnya Fitri Azharina menjawab secara jujur. Qaseh tersenyum dan menggengam erat jari jemari Fitri Azharina.
“ Bila Akak senang nanti, Akak baliklah Malaysia. Boleh jumpa Mirul.” Kata Qaseh. Fitri Azharina mengangguk. Mereka menyambung semula kerja yang tergantung sebentar tadi.
Keesokan paginya, Qaseh memasukkan bagasi-bagasi ke dalam but kereta Fitri Azharina sambil dibantu oleh Amirul. Fitri Azharina sedang membekalkan makanan untuk mereka bertiga.
“ Apa yang Akak masak ni? Susah-susah saja.” Kata Qaseh. Mencapai bekas makanan dari pegangan kakak iparnya.
“ Akak bekal makanan untuk Mirul dan Fareez. Dia orang tak biasa makan makanan dalam kapal terbang.” Fitri Azharina membuka pintu kereta dan masuk ke dalam kereta serta menghidupkan enjin. Tanpa memandang muka Qaseh yang sedang tercegat di luar pintu kereta, Fareez terus sahaja meluru masuk ke dalam perut kereta. Qaseh mengeluh di dalam hati. Amirul sudah duduk di dalam kereta.







KERETA Fitri Azharina meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan banglo. Keretanya juga sudah melepasi kawasan perumahan double storey. Qaseh pasti akan merindui semula suasana di Luxembourg. Hampir 4 tahun dia meninggalkan negara ini. Selepas ini dia akan kembali meneruskan kehidupannya sebagai isteri di rumah baru yang Fareez beli setelah mengahwini Shilea. Kini, dia akan menjadi puan besar di dalam rumah itu. Alam perkahwinannya akan dinikmati di rumah itu. Akan adakah sirna kebahagiaan untuk dirinya? Persoalan itu yang selalu berlegar di fikirannya. Dia akan tahu jawapan selepas mereka kembali ke Malaysia.
Mereka akan tinggal seminggu di rumah Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa. Tetapi semalam Fareez berkata kepada Fitri Azharina bahawa sebaik sahaja mereka pulang ke Malaysia, Fareez akan membawa Qaseh tinggal di rumahnya itu. Dia tidak mahu lama-lama tinggal di rumah Ummi dan Walid. Katanya, tidak mahu menyusahkan mereka. Dia sebagai isteri kepada seorang lelaki, hanya menurut kata-kata suaminya.
Qaseh sudah tidak sabar untuk menempuh hidupnya sebagai seorang isteri kepada lelaki yang pernah berkahwin dan beranak satu. Bolehkah dia menjadi ibu yang baik? Bolehkah dia menjadi seorang isteri yang taat dan setia? Adakah kehidupan mereka akan menjadi seperti pasangan lain? Adakah mereka akan menjadi Laila dan Majnun dalam kisah cinta ini? Akankah Fareez membina sebuah taj mahal untuk dirinya? Sepertimana Shah Jehan bina untuk Mumtaz. Ataupun kisah mereka seperti Romeo and Juliet? Terpisah kerana darjat. Pelbagai soalan yang ada di benaknya masih belum ada jawapan. Biarlah masa yang akan menentukan. Hidup dia sudah diatur oleh pencipta-Nya sejak Qaseh dilahirkan lagi.
Qaseh yang berada di kerusi belakang kerapkali mengeluh. Matanya masih memandang pemandangan di luar. Fitri Azharina memandang Qaseh melalui cermin pandang belakang. Fareez sibuk dengan dunia mp3 dan bukunya. Fitri Azharina mengalihkan pandangan kepada adiknya di sebelah. Fareez seperti leka membaca buku sambil mendengar muzik. Amirul awal-awal lagi sudah tertidur. Semalam dia tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu teruja untuk mengikuti Ayah dan Mamanya pulang ke Malaysia. Kepala Amirul diusap perlahan oleh Qaseh. Dia sudah mula menyayangi anak ini seperti anaknya sendiri. Kasih sayang Qaseh sudah mula tumpah kepada Amirul. Beginilah agaknya perasaan seorang ibu kepada anak yang dikasihi. Qaseh pasti akan menjaga Amirul dengan sebaik mungkin. Dia tidak akan membiarkan seekor nyamuk pun hinggap di badan Amirul.
Kereta Fitri Azharina menuju ke destinasi mereka iaitu lapangan terbang. Kawasan perumahan yang didiami oleh Fitri Azharina agak jauh daripada lapangan terbang. Ia memakan masa hampir sejam lebih untuk sampai ke sana. Lapangan terbang terletak di Findel. Qaseh menyandarkan kepala ke kerusi. Matanya masih menikmati pemandangan yang menghijau.
Dua jam kemudian, kereta Fitri Azharina menyusuri masuk ke kawasan letak kereta. Qaseh mengejutkan Amirul. Anak kecil itu menggosok matanya. Dia memandang Qaseh yang sedang tersenyum ke arahnya. Qaseh keluar dari kereta dan menurunkan bagasi. Fareez meletakkan bagasi-bagasi tersebut ke atas troli. Fitri Azharina menghantar mereka sehingga ke balai berlepas. Fareez melakukan prosedur seperti biasa. Menyerahkan tiket untuk pengesahan, meletakkan bagasi-bagasi ke atas kaunter untuk pemeriksaan kastam. Sebelum masuk ke balai berlepas untuk pemeriksaan pegawal keselamatan, Qaseh memeluk Fitri Azharina. Kakak iparnya itu memeluk pula Amirul sekuat hati. Dia pasti akan merindui celoteh anak ini. Amirul mengelap air mata Fitri Azharina.
“ Ibu janganlah menangis. Kalau Ibu nangis lagi, Mirul tak nak balik Malaysia lah.” Ugut Amirul. Fitri Azharina tersenyum dan mengangguk. Segera dilap baki air matanya. Fareez tunduk menyalami Fitri Azharina. Qaseh sudah menyerahkan tiketnya kepada pegawai yang bertugas.
“ Kamu jagalah Qaseh baik-baik. Jangan buli dia. Dia anak yatim piatu.” Nasihat Fitri Azharina perlahan di telinga Fareez. Adiknya itu hanya mengangguk dan tersenyum kecil.
Fareez berjalan masuk sambil memimpin tangan Amirul. Fitri Azharina melambai ke arah mereka bertiga. Bayangan Qaseh, Fareez dan Amirul lenyap di sebalik pintu automatik yang memisahkan balai berlepas dan kawasan menunggu. Amirul menjenguk ke arah pintu yang terbuka dan sempat memberikan flying kiss kepada Fitri Azharina. Air mata Fitri Azharina tidak tertahan dan sekali lagi tumpah membasahi pipinya.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: