BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 2

BAB 2

HARI ini Qaseh memulakan kerja di syarikat pengiklanan, W&S Advertising Company. Setelah sebulan dia bercuti untuk menjaga Datuk, kini dia kembali dengan aktiviti asalnya. Mereka iklan untuk pelanggannya. Hari ini adalah hari pertama dia bekerja. Penampilannya mestilah nampak menarik. Pekerja-pekerja lelaki di syarikat itu memandangnya seperti hendak memakan orang. Pekerja-pekerja wanita pula, hanya menjeling kepadanya. Tetapi dia tidak ambil peduli. Dia datang ke situ dengan niat untuk bekerja. Bukan mencari pasal.
“Ok, Qaseh. Inilah tempat awak.” Bosnya menunjukkan bilik pejabatnya. Dia memegang jawatan sebagai Pengarah Seni di syarikat tersebut.
“Cah…Nanti tolong kenalkan Cik Qaseh pada semua pekerja kita.” Arah bosnya, Encik Sulaiman Akhlaken, kepada Aishah, setiausahanya.
“Baik, bos.” Aishah berjalan ke arah Qaseh.
“Mari, Cik Qaseh. Saya kenalkan rakan-rakan kita.” Mereka berjalan beriringan dan Qaseh diperkenalkan kepada semua orang.
“Tak payahlah bercik-cik dengan saya. Panggil saja saya Qaseh.” Kata Qaseh. Aishah hanya tersenyum. Tidaklah sombong seperti Pengarah Seni sebelum ini. Hatinya berkata-kata.
“Kenapa dia orang semua pandang saya macam nak telan saya saja?” Qaseh bertanya kepada Aishah. Tergelak gadis itu apabila mendengar soalan daripada Qaseh.
“Mungkin rupa awak ni macam orang putih. Sebab tulah, agaknya.” Jelas Aishah. Qaseh terangguk-angguk.
“Hah! Ini kawan baik saya, Raheyla.” Kata Aishah apabila mereka berhenti dihadapan satu meja.
“How are you? Just call me Eyla.” Raheyla bersalaman dengan Qaseh. Raheyla segera menarik Aishah jauh daripada Qaseh.
“Orang putih mana kau dapat ni?” tanya Raheyla. Tergelak besar kawannya itu.
“Dia bukan orang putih lah. Mukanya saja macam orang putih. Kacukan, agaknya.” Aishah menggeleng melihat gelagat kawannya itu.
“Kenapa, Cah?” tanya Qaseh kebingungan.
“Awak ni berdarah kacukan ke?” Aishah mendapatkan kepastian daripada Qaseh. Gadis itu tersenyum sehingga menampakkan lesung pipitnya.
“Ya. Sebelah mak saya. Atuk saya Melayu. Nenek saya French. Tapi kalau sebelah bapa saya, ada campuran Bugis-Arab dan Melayu.” Terang Qaseh. Ternganga mereka berdua mendengarnya. Banyak betul campurannya. Mereka senang dengan Qaseh. Raheyla meneruskan kerjanya kembali. Qaseh berjalan ke arah bilik pejabatnya. Aishah sudah kembali ke tempatnya. Interkom di tempat Aishah berbunyi.
“Cah…Tolong panggilkan Cik Qaseh masuk ke bilik mesyuarat.” Arah Encik Sulaiman.
“Baik, bos.” Aishah segera berjalan ke arah bilik Qaseh. Diketuk pintu bilik tersebut. Arahan masuk diberikan.
“Kenapa, Cah?”
“Encik Sulaiman nak jumpa Cik Qaseh.”
“Kan saya dah kata. Tak payah bercik-cik dengan saya. Panggil Qaseh saja dahlah. Saya tak biasa orang panggil saya Cik. Lain kali, Ecah panggil saya Qaseh. Paham? Ini arahan daripada saya.” Kata Qaseh sambil tersenyum. Aishah hanya mengangguk. Kemudian mereka sama-sama tersenyum. Qaseh keluar dari biliknya dan berjalan menuju ke bilik mesyuarat. Perlahan-lahan pintu itu diketuk.
“Masuk.” Encik Sulaiman memberikan arahan. Qaseh menguak pintu bilik mesyuarat itu. Dilihatnya Encik Sulaiman tersenyum dan disebelah Encik Sulaiman ada seorang lelaki juga tersenyum kepadanya.
“Mari saya kenalkan.” Encik Sulaiman dan lelaki tersebut bangun. Qaseh berjalan menuju ke arah Encik Sulaiman.
“Qaseh, kenalkan inilah pelanggan kita yang paling penting, Encik Fareez. Encik Fareez, ini Pengarah Seni kami yang terbaru, Cik Qaseh Soraya.” Mereka berdua bersalaman. Sama-sama tersenyum. Hati Qaseh berdegup laju. Kacaknya dia ini. Untung betul siapa dapat dia. Tetapi cepat-cepat Qaseh menangkis perasaan tersebut. Aku ke sini untuk kerja, bukannya menggatal. Kata hati kecilnya.
“Mulai sekarang, Qaseh akan uruskan tentang pengiklanan syarikat Encik Fareez.” Terbeliak biji mata Qaseh mendengar kata-kata Encik Sulaiman. Baru hari pertama bekerja, sudah diberikan pelanggan yang paling penting untuk diuruskan.
“Encik Sulaiman yakin yang dia dapat uruskan iklan syarikat saya?” Fareez memandang Encik Sulaiman. Qaseh memandang wajah Fareez. Adakah Fareez hendak memperkecilkan bakatnya sebagai seorang Pengarah Seni? Dia akan tunjukkan dirinya yang sebenar. Ini Qasehlah. Tiada orang boleh melawannya dalam bidang pengiklanan.
“Nampaknya Encik Fareez tak yakin dengan saya.” Qaseh berkata. Serius dia memandang Fareez. Berlagaknya mamat ni, hati Qaseh berdetik. Dengan muka yang sinis, Fareez memandang Qaseh.
“Bukan saya tak yakin dengan awak cuma saya tak yakin dengan perempuan. Sebelum ini pun, Pengarah Seni syarikat pengiklanan yang lain pun perempuan. Bukannya nak buat kerja, hanya kaki menggoda. Kata pandai sangat mereka iklan tapi semuanya, rubbish. Ada hati nak jadi isteri orang kaya, konon.” Kata-kata Fareez tajam menghiris pendengaran Qaseh. Qaseh memandang muka Fareez dengan penuh kebencian. Dia berjanji tidak akan jatuh cinta kepada Fareez selagi dia terpaksa bekerjasama dengan Fareez. Walaupun Fareez semacho Christopher Plummer.
“Nanti dulu, Encik Fareez. Saya yakin Qaseh bukan macam tu. Encik Fareez cubalah bekerjasama dengan dia dulu.” Encik Sulaiman menenangkan suasana yang semakin tegang. Kalau Qaseh tahulah dia terpaksa bekerja dengan manusia macam ini pada hari pertama dia memulakan pekerjaannya, sudah pasti dia tidak akan menerima jawatan tersebut. Biarlah datang bergolek depan mata. Akan ditolaknya bulat-bulat.
“Kita cuba dulu, Encik Fareez. Kalau Encik Fareez tak suka dengan kerja saya, Encik Fareez boleh pecat saya. Deal?” Qaseh menghulurkan tangannya. Fareez memandang sepi tangan itu. Tidak lama kemudian, dia menyambut huluran tangan itu.
“Deal.” Mereka seperti sudah membuat perjanjian. Walaupun tidak rasmi, tetapi kata-kata yang dijanji harus ditunaikan sekiranya Qaseh tidak menjalankan kerjanya dengan betul. Encik Sulaiman menggeleng. Qaseh belum tahu lagi tentang perangai pelanggan mereka yang seorang ini. Cerewet. Nampaknya, dia kena cari pengganti Pengarah Seninya dengan segera. Qaseh pasti tidak tahan dengan perangai Fareez.
“Awak baca dulu tentang syarikat saya. Saya bagi awak 3 hari untuk siapkan storyboard. By Thursday, I want to see the storyboard. Whether you ready or not, you have to show it to me. Understood?” Fareez seperti memberikan arahan kepada Qaseh.
“Ok.” Qaseh keluar dari bilik mesyuarat dan menuju ke arah Aishah.
“Hii…Geramnya.” Qaseh melepaskan geram kepada Aishah. Terkejut Aishah dengan dengusan nafas Qaseh. Marah benar si Qaseh.
“Kenapa ni, Qaseh?”
“Tak pernah aku jumpa client macam manusia ni.” Aishah tergelak dengan kata-kata Qaseh. Pasti Fareez yang dimaksudkannya. Pintu bilik mesyuarat terkuak. Encik Sulaiman dan Fareez sedang ketawa. Tentulah ada perkara lucu yang diceritakan itu. Fareez melihat Qaseh sedang berdiri dihadapan meja Aishah.
“Saya dengar ada orang tu nak bekerja bersungguh-sungguh dan nak buktikan pada saya yang dia tu berbakat. Tapi saya tengok dia siap bersembang lagi.” Qaseh tahu kata-kata Fareez itu ditujukan kepadanya.
“Cah, mana data syarikat manusia tu?” perlahan sahaja Qaseh berkata-kata. Dia tidak mahu Fareez mendengarnya. Nanti apa pula kata Fareez. Walau apapun, pelanggan adalah keutamaan sesebuah syarikat. Dia tidak boleh melepaskan pelanggan yang banyak memberikan keuntungan pada syarikat dia bekerja. Dia tidak mahu kerananya pelanggan itu berhenti menggunakan perkhidmatan syarikat itu. Tahan sahajalah.
“Kejap. Ecah pergi cari. Nanti Ecah hantar kat bilik Qaseh.” Aishah bangun dan menuju ke kabinet di belakangnya.
“Encik Fareez dah nak balik? Selamat sampai!” Qaseh segera berlalu ke bilik pejabatnya. Encik Sulaiman tersenyum. Dari mula lagi dia mengambil Qaseh bekerja, dia tahu gadis itu seorang yang keras kepala.
“Encik Fareez jangan ambil hati dengan Qaseh. Dia bergurau saja tu.” Encik Sulaiman tidak mahu mereka berterus-terusan bertegang urat. Fareez mengangguk. Fareez meminta diri untuk pulang. Fareez melintas dihadapan bilik Qaseh. Gadis itu langsung tidak memandang mukanya. Tetapi wajahnya ceria sahaja. Tidak langsung muram. Walaupun baru sahaja gadis itu kena tegur dengan Fareez. Fareez kagum dengan Qaseh. Kalau perempuan lain, kena tegur sikit sudah hendak menangis.
Aishah memasuki bilik Qaseh dengan membawa data syarikat Fareez yang diperlukan oleh Qaseh. Diletaknya fail tersebut di atas meja.
“Terima kasih, Ecah.”
“Kenapa, Qaseh? Gaduh dengan Encik Fareez ke? Kau jangan ambil hati. Dia memang macam tu. Kalau dengan perempuan, ada saja benda yang dia tidak puas hati.” Aishah cuba menenangkan hati Qaseh yang sedang membara. Qaseh mendengus perlahan.
“Aku tak taulah macam mana girlfriend dia boleh tahan dengan perangai dia.” Qaseh menyelak fail tersebut. Syarikat Fareez berkembang maju. Bangga dia dengan anak Melayu yang dapat bersaing dalam arus pembangunan yang semakin membangun.
“Kau tak tau tahu cerita ke?” Aishah berbisik. Dipandangnya ke kiri dan ke kanan. Seperti ada rahsia besar sahaja.
“Cerita apa?” Qaseh pun turut meniru perbuatan Aishah. Kemudian mereka sama-sama tergelak.
“Encik Fareez tu pernah kahwin. Tapi wife dia lari dengan kawan baik Encik Fareez sendiri.” Aishah duduk dihadapan Qaseh. Terangguk-angguk kepala Qaseh mendengar cerita daripada Aishah. Macam wartawan pula kawannya ini. Baru sehari dia memulakan kerja, dia rasa senang dengan suasana baru.
“Patutlah aku rasa tak hairan.” Qaseh kembali menyemak fail yang tebal itu. Mahu dia baca dalam 3 hari? Tak tidurlah, jawabnya.
“Kenapa?”
“Sebab dengan perangai dia macam tu. Dia ada anak ke dengan wife dia tu?” Qaseh pula yang seperti mengalahkan seorang wartawan.
“Ada. Tapi dia hantar ke Luxembourg. Duduk dengan kakak Encik Fareez yang belajar kat sana. Sebulan sekali Encik Fareez pergilah jenguk anak dia kat sana.” Macam Joyah pula Qaseh melihat Aishah.
“Berapa umur Encik Fareez?”
“Tahun ni masuklah 28.”
“Hmm…patutlah pun.”
“Apa yang patut?”
“Dah tua. Kakak dia tak kahwin ke?” tergelak Aishah mendengar kata-kata Qaseh. Ada sahaja si Qaseh ini.
“Tak.”
“Macam mana Ecah boleh tahu tentang semua hal ni?” Qaseh pelik dengan maklumat yang Aishah dapat. Seperti ada sumber yang memberikan maklumat.
“Hehe… Sepupu aku kerja kat syarikat Encik Fareez. Setiausaha dia.” Aishah tersengih. Qaseh tersenyum.
“Eh! Tak apalah. Aku balik ke tempat dulu. Nanti Encik Sulaiman cari, nahas pula.” Aishah keluar dari bilik Qaseh. Qaseh menyandarkan badannya ke kerusi empuk. Diselaknya satu persatu. Macam mana dia nak baca? Hanya 3 hari diberikan kepadanya. Siap kena buat storyboard sekali. Pening kepalanya. Tiba-tiba Qaseh terfikir satu cara. Dia berjalan keluar dari biliknya dan berjalan menuju ke arah Aishah.
“Cah…. Siapa yang uruskan Encik Fareez sebelum ni?” tanya Qaseh. Aishah berfikir sebentar. Kemudian dia teringat.
“Kevin. Kenapa?”
“Tak ada apa-apa.” Qaseh segera berjalan ke arah Kevin, lelaki cina yang dimaksudkan oleh Aishah. Qaseh berdiri dihadapan meja Kevin. Tekun sekali Kevin melakukan kerjanya. Dia terperasan ada orang dihadapannya. Kevin mendongak memandang pegawai atasannya itu.
“Cik Qaseh. Ada apa yang boleh saya tolong Cik Qaseh? Duduklah Cik Qaseh.” tanya Kevin. Fasih berbahasa Melayu. Terkejut juga Qaseh pada mulanya.
“Saya nak tanya Kevin. Sebelum ini Kevin yang uruskan syarikat Encik Fareez, ya?” Qaseh duduk bertentangan dengan Kevin. Pekerjanya itu mengangguk.
“Tentu Kevin tahu selok belok tentang perjalanan syarikat Encik Fareez. Saya nak minta tolong Kevin terangkan pada saya tentang syarikat tu. Tolonglah saya, Kevin. Dia bagi saya masa 3 hari untuk siapkan storyboard dia. Kalau saya baca semua pasal syarikat dia, lepas tu nak fikir pula pasal storyboard. Pening saya. Tolong saya, Kevin.” rayu Qaseh. Dia amat berharap Kevin akan menolongnya.
“Baiklah, Cik Qaseh.” Kevin bersetuju dan dia mula bercerita tentang perjalanan syarikat Fareez. Qaseh sudah tahu serba sedikit. Kalau ada yang dia tidak faham, dia akan merujuk kepada Kevin. Hanya Kevinlah harapannya sekarang.
“Terima kasih, Kevin. Kalau ada apa-apa yang saya tak faham, saya akan rujuk kepada awak. Saya harap kita dapat bekerjasama. Maklumlah, saya baru saja memegang jawatan sebesar ini. Jadi, belum ada apa-apa pengalaman. Saya minta tunjuk ajar awak, Kevin.” kata Qaseh. Kevin tersenyum mendengar kata-kata ketuanya.
“Boleh saya tanya awak sesuatu, Kevin?”
“Boleh, Cik Qaseh. Apa yang Cik Qaseh nak tanya?”
“Kenapa awak dah tak uruskan iklan syarikat Encik Fareez? Saya ke yang menjadi penyebabnya awak tidak menguruskan lagi projek ini?” tanya Qaseh. Risau juga jika kerana dia Kevin ditolak ketepi.
“Saya yang minta tukar dengan Encik Sulaiman. Sepatutnya saya uruskan sampai habis. Tapi tak tahanlah, Cik Qaseh. Encik Fareez tu cerewet. Leceh bekerja dengan dia. Memang kerja kita ni susah dan remeh. Tapi kerja dengan dia, lagi remeh. Benda kecil pun yang orang tak boleh nampak dengan mata kasar, dia boleh nampak. Itulah sebabnya bila saya tahu akan ada Pengarah Seni yang baru, saya minta tukar dengan Encik Sulaiman. Encik Sulaiman setuju.” Jelas Kevin panjang lebar. Qaseh nampaknya kena bersedia dari segi mental dan fizikal.
“Oh, ye ke? Terima kasihlah, Kevin. Kerana menakutkan saya.” Seloroh Qaseh. Kevin tertawa kecil dengan kata-kata ketuanya. “Tak apalah, Kevin. Saya masuk dulu.” Ujar Qaseh. Kevin mengangguk perlahan sambil tersenyum. Qaseh berjalan masuk semula ke dalam bilik pejabatnya. Dia memeluk tubuh. Sedang memikirkan iklan yang sesuai untuk syarikat Fareez.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: