BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 16

PETANG itu, Rafidah berjanji hendak memasakkan makanan kegemaran Qaseh dan Datuk. Qaseh sedang leka mengemas bilik arwah Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Dikemas almari baju. Album-album lama yang berada di dalam almari itu dikeluarkan. Satu persatu dibeleknya. Gambar dia daripada kecil hinggalah dia meningkat remaja. Qaseh memang gemar bergambar dari kecil. Cuma semenjak pemergian kedua ibubapanya, dia jarang mengambil gambar. Betapa mesra mereka bertiga dahulu. Mereka selalu bergambar bertiga. Benarlah kata-kata orang tua dahulu. Jangan ambil gambar bertiga, nanti ada yang pergi meninggalkan kita. Air mata Qaseh menuruni pipinya dengan laju. Menitik di atas album yang sudah usang. Gambar Papa dan Mama tersenyum riang semasa menyambut kelahirannya jelas tergambar di dalam gambar tersebut walaupun warna semakin pudar. Sewaktu menyambut hari lahir Qaseh yang ke-6, dia pernah di masukkan ke hospital dan menerima 6 jahitan di dahi.
Zaman kanak-kanak Qaseh memang menarik. Dia pernah memanjat pokok rambutan di kebun Datuk. Jadi, Qaseh mahu mencuba bakatnya memanjat pokok di hadapan rumah. Tetapi entah apa silapnya, dia terjatuh. Nasib baik dia terjatuh ke atas rumput. Pokok itu lagi rendah daripada pokok rambutan yang dipanjatnya di kebun Datuk. Dia tergelincir. Seminggu dia tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah. Masih ada bekas parut jahitan di dahinya. Tetapi dia menutupnya dengan rambut. Tidak mahu orang bertanyakan peristiwa parut itu. Cukuplah dia, Datuk, Papa dan Mama sahaja yang tahu. Masih diselak lagi album tersebut. Gambar-gambar di dalam album itu ditatapnya sepuas hati. Ditutup album tersebut. Diletakkan di atas lantai dan diambil album kedua daripada dalam almari tersebut.
Tiba-tiba, matanya tertancap pada satu sampul surat berwarna coklat yang berada di bawah album-album tersebut. Diambil sampul surat itu. Hatinya tertanya-tanya. Apakah isi kandungan surat tersebut? Qaseh menghampiri katil Papa dan Mama. Dia duduk di birai katil sambil tangannya masih lagi memegang sampul surat tersebut. Perlahan-lahan dikoyak sampul surat itu. Dikeluarkan isi kandungan sampul surat. Sebuah surat perjanjian. Ditandatangani oleh Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Saksinya juga turut menurunkan tandatangan di atas surat perjanjian itu. Mata Qaseh terbeliak. Dia kenal dengan saksi tersebut. Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa. Segera dibaca isi kandungan surat itu. Dia ingin tahu apakah isi kandungan surat wasiat itu.
Qaseh terpana. Dia tidak sangka. Papa dan Mama telah membuat satu perjanjian semenjak dia berusia 2 tahun lagi. Berulangkali isi kandungan surat itu dibaca. Memang tidak silap lagi. Papa dan Mamanya telah berjanji akan mengahwinkan anak-anak mereka berdua setelah umur Qaseh mencecah 25 tahun. Dan surat itu juga menyatakan sebahagian daripada harta Tuan Nizam dan Puan Yasmin akan diberikan kepada Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa setelah kedua ibubapa Qaseh tiada lagi. Harta itu adalah sebagai bayaran kepada Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa setelah Qaseh dijadikan menantu mereka. Perjanjian apakah ini? Air mata Qaseh menitis laju. Lebih laju dari tadi.
Datuk yang melintas di hadapan bilik anak dan menantunya berhenti sebentar di hadapan pintu bilik itu. Dijenguk ke dalam bilik yang pintunya terbuka sedikit. Qaseh berada di dalam. Pintu bilik Tuan Nizam dan Puan Yasmin terkuak. Qaseh mengalihkan pandangan ke arah pintu tersebut. Datuk tercegat di hadapan pintu bilik itu. Datuk melihat wajah Qaseh yang kuyup. Matanya jatuh pada tangan Qaseh yang memegang surat itu dengan erat. Nampaknya, Qaseh sudah tahu akan hal itu. Hal yang disembunyikan selama ini. Datuk berjalan ke arah Qaseh. Punggung Qaseh masih melekat di katil itu. Datuk duduk bersebelahan Qaseh. Diserahkan surat itu kepada Datuk. Dia masih lagi menunggu penjelasan dari mulut Datuk. Dia mahukan kepastian. Datuk memegang surat itu. Dia memandang wajah cucunya. Kesian anak ini. Tidak tahu apa-apa, bisik hati kecil Datuk.
“ Surat apa ni, Atuk?” tanya Qaseh. Datuk hanya bertindak mendiamkan diri. Datuk tidak memberikan sebarang reaksi positif.
“ Atuk…Qaseh tanya ni. Ini surat apa?” berkerut-kerut dahi Datuk cuba menjawab pertanyaan cucunya.
“ Apa yang Qaseh baca dalam surat ni adalah benar.” Akhirnya Datuk memberi jawapan yang pasti. Qaseh terpempan. Air matanya turun lagi.
“ Uncle Fir dan Auntie Lisa….” Tergantung pertanyaan Qaseh. Datuk memandang ke arah jendela yang terbuka luas. Ditarik nafas dalam-dalam. Dia mahu menceritakan perkara sebenar.
“ Betulkah dia orang akan ambil harta peninggalan Papa dan Mama bila Qaseh dah menjadi menantu mereka?” pertanyaan Qaseh kali ini benar-benar membuatkan Datuk yakin dia harus menceritakan perkara sebenar.
“ Dia orang tak ambil harta Papa dan Mama. Dia orang nakkan Qaseh jadi menantu mereka tanpa apa-apa bayaran. Mereka berdua sayangkan Qaseh macam anak mereka sendiri. Qaseh jangan salah sangka di atas kebaikan mereka.” Terang Datuk. Qaseh semakin jelas dengan keadaan sebenar. Dia menantikan butir bicara seterusnya dari Datuk.
“ Sebenarnya…” Datuk mula menceritakan perihal sebenar kepada Qaseh.
“ Papa kawan dengan Uncle Fir sejak kecil lagi. Sebab Atuk kawan dengan Atuk Syed. Jadi, secara tak langsung mereka pun menjadi kawan baik. Segala hal diceritakan kepada Uncle Fir. Uncle Fir sangat memahami Papa. Selepas Papa dan Mama berkahwin, mereka masih lagi menjadi kawan baik. Mama dan Auntie Lisa juga berkawan. Satu hari, Papa dan Mama ajak Uncle Fir dan Auntie Lisa pergi pejabat peguam tanpa pengetahuan Atuk. Mereka buat wasiat inilah. Mahu tak mahu, kawan punya pasal. Uncle Fir dan Auntie Lisa terpaksa menandatangani perjanjian ini. Bukan kemahuan mereka. Hanya sesetengah syarat saja yang Uncle Fir dan Auntie Lisa ikut.” Jelas Datuk panjang lebar. Terangguk-angguk Qaseh mendengar cerita Datuk. Ditatap lagi wajah tua itu.
“ Siapa yang tahu kewujudan surat ni?” tanya Qaseh lagi.
“ Hanya Papa, Mama, Uncle Fir dan Auntie Lisa. Sekarang, Qaseh.”
“ Termasuk Atuk?”
“ Termasuk Atuk.” Datuk tersenyum kepada Qaseh. Qaseh memeluk datuknya, erat. Datuk melepaskan keluhan besar.
“ Mak Ngah Idah?”
“ Mak Ngah Idah tahu Papa buat wasiat tapi tak tahu isi kandungan surat ni.”
“ Baguslah! Atuk jangan beritahu orang lain tentang surat ni. Biar jadi rahsia kita berdua.” Ujar Qaseh. Datuk mengangguk.
“ Yalah.”
“ Atuk janji dulu.” Kata Qaseh. Datuk tergelak dengan perangai kanak-kanak yang ditunjukkan Qaseh.
“ Iya. Atuk janji.” Mereka berpelukan sekali lagi. Sedang mereka berpelukan, Rafidah masuk ke bilik arwah adiknya. Sudah seminggu, Rafidah sekeluarga bermalam di rumah Tuan Nizam dan Puan Yasmin.
“ Ayah…Fir dan Lisa datang.” Kata Rafidah. Datuk memandang Qaseh. Mereka sama-sama berdiri. Datuk dan Qaseh jalan beriringan menuruni anak tangga menuju ke ruang tamu dimana tetamu-tetamu mereka sedang menunggu. Mereka tidak mahu tetamu-tetamu itu menunggu dengan lebih lama lagi.






PUAN SRI MARLISA bersalaman dengan Qaseh dan datuk. Qaseh tersenyum kepada Puan Sri Marlisa. Tetapi Qaseh terkesan sesuatu. Puan Sri Marlisa nampak gelisah tetapi Tan Sri Firdaus nampak lebih tenang.
“ Apa hajat Fir dan Lisa datang?” tanya Datuk, lembut. Mematikan lamunan Qaseh. Qaseh memandang wajah Datuk yang duduk di sebelahnya.
“ Saja nak melawat, Uncle.” Tan Sri Firdaus tersenyum. Perbualan mereka terhenti sebentar apabila Rafidah datang membawa sejag air oren. Rafidah menyusun gelas-gelas tersebut dihadapan tetamu-tetamu mereka itu. Qaseh menuangkan air ke dalam gelas-gelas tersebut. Rafidah melabuhkan punggungnya di sebelah Qaseh.
“ Uncle tak percaya Fir saja datang nak melawat Uncle. Ni mesti ada sebab lain. Ah! Tak usahlah berahsia dengan Uncle. Cakap sajalah. Lisa?” Datuk mengalihkan pandangannya ke arah Puan Sri Marlisa. Puan Sri Marlisa membalas pandangan Datuk kembali.
“ Kami datang ni memang ada hajat.” Ayat Puan Sri Marlisa terhenti. Dia cuba mencari kekuatan untuk terus menyampaikan niat mereka kepada orang-orang dihadapannya. Memandang suami disebelah. Tan Sri Firdaus tersenyum dan mengangguk. Puan Sri Marlisa menarik nafas dalam-dalam dan mengatur ayat supaya sedap di pendengaran mereka semua tentang apa yang cuba disampaikannya.
“ Kami nak meminang Qaseh untuk Fareez.” Akhirnya terluah juga ayat-ayat yang dipendamkan selama ini. Rafidah terkejut. Datuk dan Qaseh nampak tenang. Syarat terakhir di dalam wasiat. Qaseh teringat kembali akan wasiat yang baru dijumpainya sebentar tadi.
“ Qaseh minta diri dulu.” Terus sahaja kaki Qaseh melangkah ke arah tangga dan didaki tangga itu untuk menuju ke biliknya yang terletak di tingkat atas.
“ Kenapa, Bang? Kita salah cakap ke?” tanya Puan Sri Marlisa, gelisah. Tan Sri Firdaus menyabarkan Puan Sri Marlisa. Dia tahu isterinya amat risau kalau-kalau Qaseh menolak lamaran mereka.
“ Qaseh dah ada yang punya ke, Uncle?” pertanyaan Tan Sri Firdaus menimbulkan rasa kasihan di hati Datuk. Dia tidak sampai hati hendak menolak peminangan tersebut. Tetapi dia harus bertanya kepada Qaseh terlebih dahulu.
“ Macam nilah, Fir. Fir dan Lisa balik dulu. Bagi Qaseh masa. Biar dia fikirkan.” Kata Datuk. Mereka berdua mengangguk.
“ Jemputlah minum, Fir…Lisa..” kata Datuk.
Selepas tetamu-tetamu tersebut beredar, Datuk terus menuju ke bilik Qaseh. Diketuknya pintu bilik Qaseh. Tiada jawapan. Diketuk sekali lagi. Mungkin Qaseh tidak dengar. Masih tiada jawapan. Datuk mengetuk sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Diharapnya Qaseh akan dengar.
“ Qaseh…” panggil Datuk sambil memulas tombol pintu bilik Qaseh. Tidak berkunci. Datuk segera masuk. Tiada kelibat Qaseh di dalam bilik itu. Datuk memeriksa bilik air. Masih tiada tanda-tanda Qaseh berada di dalam bilik itu. Datuk berjalan keluar dari bilik Qaseh. Datuk melintasi bilik arwah anak dan menantunya. Datuk menjenguknya sekali lalu. Tiba-tiba, matanya menangkap sesusuk tubuh yang berada di atas katil tersebut. Disini rupanya, desis hati Datuk.
“ Qaseh…” panggil Datuk. Qaseh yang pada mulanya membaringkan diri segera duduk apabila perasan akan kehadiran Datuk.
“ Apa Atuk cakap pada Uncle Fir dan Auntie Lisa?” tanya Qaseh. Dia ingin tahu perkembangan daripada perbincangan itu.
“ Atuk cakap, beri masa pada Qaseh.” Datuk duduk di sebelah cucunya di birai katil. Qaseh mengeluh.
“ Qaseh dah fikir masak-masak. Qaseh…terima.” Kata-kata Qaseh begitu mengejutkan Datuk. Dipandangnya wajah cucu itu. Tidak berkelip.
“ Betul ke apa yang Qaseh buat ni?” tanya Datuk. Inginkan kepastian daripada Qaseh. Dia tidak mahu Qaseh menyesal di kemudian hari. Qaseh mengangguk perlahan.
“ Qaseh tak menyesal?” tanya Datuk lagi. Qaseh menggelengkan kepalanya. Datuk juga turut mengeluh.
“ Jangan kerana wasiat Qaseh turutkan. Ikut kata hati Qaseh. Kalau Qaseh rasa apa yang Qaseh buat ni betul, Atuk akan menerima lamaran mereka. Tapi kalau akan membuatkan hati Qaseh merana di kemudian hari, Atuk tak setuju.” Panjang lebar Datuk cuba menyakinkan cucunya itu supaya tidak silap membuat keputusan. Qaseh menarik nafas dan dilepaskannya perlahan-lahan. Dia mengumpul segala kekuatan.
“ Qaseh yakin Qaseh tak menyesal.” Kata Qaseh tegas. Penuh keyakinan dan semangat. Datuk tersenyum memandang Qaseh. Perangai cucunya itu serupa Tuan Nizam. Tidak akan berpaling ke belakang setelah membuat sesuatu keputusan. Mereka memang tegas. Datuk tersenyum. Qaseh membalas senyuman itu dengan hati yang gusar. Adakah keputusannya betul mengahwini Fareez? Kemudian hatinya mengeluh. Dia tidak patut meragui keputusannya. Dia harus tegas dengan segala keputusan yang diambilnya.




ROMBONGAN peminangan dilakukan cara yang penuh dengan adab Melayu. Acara peminangan sekali dengan bertunang dibuat di rumah arwah Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Itu permintaan Qaseh.
Aishah membetulkan selendang yang melitupi sebahagian rambut Qaseh. Wajah Qaseh dirias oleh Aishah sendiri kerana Aishah mempunyai kepakaran dalam mengandam. Nampak kecantikan Qaseh semulajadi. Mengatasi mekap yang dipakainya. Qaseh terduduk malu di birai katil. Menanti kehadiran keluarga bakal mentuanya. Rombongan pihak lelaki masih belum sampai. Qaseh sudah resah menanti. Datuk yang berada di bawah juga resah menanti. Sebagaimana perasaan cucunya, begitu jugalah perasaan Datuk.
“ Mana dia orang ni?” kata Datuk. Mundar mandir dia di ruang tamu. Risau jika pertunangan itu tidak berjalan seperti yang dirancang.
“ Itu pun dia orang, Ayah.” Kata Rafidah sambil berjalan ke arah pintu rumah. Dia menjemput tetamu-tetamu yang baru tiba itu masuk ke dalam rumah. Keluarga pihak lelaki membawa barang hantaran masuk.
“ Uncle Fir dan Auntie Lisa dah sampai, Kak.” Kata Nuralis sambil menjenguk ke tingkat bawah. Melihat tetamu-tetamu yang mula memenuhi ruang. Qaseh yang berada di dalam bilik hanya menundukkan mukanya. Aishah tersenyum. Dia juga seperti Nuralis. Terjenguk-jenguk ke bawah. Keriuhan suara di bawah membuatkan Qaseh tidak senang duduk. Apa yang dibincangkan? Dia ingat majlis pertunangan, senang. Rupanya, rumit juga.
“ Hajat kami ingin memetik bunga di taman larangan Tuan Rashid. Adakah bunga itu sudah dimiliki oleh sang kumbang?” tanya Tuan Syed, berkias. Datuk tersenyum. Memang sahabatnya itu pandai berkata-kata dalam kiasan.
“ Bunga yang berada di taman larangan saya, belum ada kumbang yang ter‘sangkut’.” Kata Datuk yang juga berkias.
“ Kalau begitu, bunga Tuan Rashid sudilah menerima sang kumbang kami?” tanya Tuan Syed. Walaupun sebelum ini dia tahu Datuk sudah menerima pinangan itu tetapi dia ingin bertanya sekali lagi. Manalah tahu Qaseh berubah fikiran. Datuk mengangguk sambil tersenyum. Mereka semua lega dengan anggukan yang diberikan oleh Datuk.
“ Tuan Rashid bolehlah tetapkan syarat.” Ujar Tuan Syed.
“ Apa pulak bertuan dengan aku ni, Syed. Idah?” Datuk beralih ke arah anaknya yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Rafidah yang tahu mengenai syarat yang diperkatakan oleh Tuan Syed. Datuk tidaklah arif sangat bila berkaitan hal-hal syarat ini. Rafidah mengengsot sedikit ke hadapan supaya tetamu-tetamunya dapat mendengar dengan jelas syarat-syarat mereka. Rafidah menelan air liur apabila semua mata memandang ke arahnya. Dia menyusun ayat untuk dituturkan dengan senang supaya keluarga pihak lelaki faham akan permintaan mereka.
“ 15 dulang berbalas 12 dulang. Hantaran RM 15,555.55 sen. Bagaimana? Setuju?” tanya Rafidah. Antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh Rafidah. Mereka yang mendengar terangguk-angguk.
“ Kalau hantaran mahal sangat, kami boleh kurangkan.” Kata Rafidah. Dia tidak mahu keluarga pihak lelaki fikir mereka ingin menjual anak.
“ Kami setuju.” Kata Tuan Syed dan Tan Sri Firdaus. Puan Sri Marlisa tersenyum. Lega kerana perbincangan hampir selesai.
“ Bila tarikh yang sesuai untuk pernikahan mereka berdua?” tanya Tuan Syed lagi. Rafidah memandang wajah Ayahnya. Datuk melurut-lurutkan janggut yang sudah ditumbuhi rambut-rambut putih.
“ Aku tak kisah. Ikut kamu lah.” Kata Datuk. Dia sebenarnya tidak kisah. Dia ikut sahaja kata bakal besannya.
“ Apa kata kalau 3 bulan dari sekarang?” cadang Tuan Syed. Terbeliak biji mata Datuk dan Rafidah. 3 bulan dari sekarang?
“ Cepatnya.” kata Rafidah.
“ Lagi cepat, lagi bagus kan, Idah. Saya dah tak sabar nak jadikan Qaseh menantu saya.” Kata Puan Sri Marlisa. Rafidah memandang wajah Datuk. Datuk tersenyum dan mengangguk kepada Rafidah.
“ Baiklah, kami setuju dengan cadangan tu.” Kata Datuk.
“ Jadi, boleh kita teruskan dengan acara pertunangan?” tanya Puan Sri Marlisa setelah selesai perbincangan mereka mengenai tarikh pernikahan Qaseh dan Fareez. Kesemua tetamu bangun tetapi hanya Puan Sri Marlisa, Fitri Shaliza, Fitri Marlis dan Rafidah sahaja yang menaiki tangga untuk ke tingkat atas. Yang lain, hanya menunggu di bawah.
“ Qaseh…” panggil Rafidah. Qaseh mendongakkan mukanya memandang wajah Rafidah yang tersenyum. Puan Sri Marlisa sudah berdiri dihadapannya. Qaseh perlahan menghulurkan tangan dan Puan Sri Marlisa mencapai tangan Qaseh. Disarungkan cincin tersebut ke jari manis Qaseh. Ini bererti gadis itu sudah dimiliki.








SELESAI sahaja majlis pertunangan, mereka semua dijamu dengan masakan Rafidah. Aroma masakan tersebut menusuk hidung sesiapa sahaja yang menghidunya. Qaseh juga turun ke bawah untuk menikmati hidangan bersama tetamu-tetamu. Selepas menjamu selera, tetamu-tetamu tersebut meminta diri untuk pulang. Qaseh masuk ke dalam rumah beriringan dengan Aishah. Entah kenapa, Qaseh rasa bahagia sangat apabila sudah bergelar tunangan orang. Walaupun, Fareez tidak pernah meluahkan kata sayang kepadanya. Mungkinkah dia memang ada perasaan cinta kepada Fareez?
“ Akhirnya, jadi kenyataan jugak.” Kata-kata Aishah tidak dapat difahami oleh Qaseh. Dia memandang Aishah.
“ Apa maksud kau?”
“ Encik Fareez milik kau.” Kata-kata Aishah membuatkan wajah Qaseh merona merah. Menahan malu.
“ Ada-ada sajalah kau ni. Kau pulak bila nak kahwin dengan Zahrien?” tanya Qaseh. Membidas sahabatnya itu.
“ InsyaAllah. Kalau tak ada aral melintang, mungkin hujung tahun ni.” Kata Aishah. Qaseh memeluk sahabatnya itu. Tandanya mengucapkan tahniah. Aishah tergelak. Mereka menaiki tangga menuju ke bilik Qaseh. Leka mereka berdua bersembang sehingga tidak sedar waktu yang berlalu. Aishah melihat jam di tangan.
“ Eh! Aku balik dululah. Malam nanti aku nak dinner dengan Zahrien.” Kata Aishah seraya bangun dari duduknya. Qaseh mengangguk.
“ Kenapa Zahrien tak datang?”
“ Hari ni, adik dia bertunang juga.”
“ Oh, ye ke? Kau tak pergi?”
“ Taklah. Sebab aku dah kata kat dia yang aku nak pergi majlis pertunangan kau.” Aishah mencapai beg tangannya.
“ Apa kata Encik Sulaiman dan Puan Widya?”
“ Dia orang ucapkan tahniah. Dia orang tak kisah. Sebab aku dah beritahu awal-awal lagi yang aku nak pergi majlis kau. Manalah tahu adik dia pun nak bertunang hari yang sama.” Jelas Aishah. Qaseh tersenyum sambil mengangguk perlahan.
“ Kalau kau nak aku tolong apa-apa, jangan lupa call aku.” Kata Qaseh.
“ Kau tolong aku ke atau aku tolong kau?”
“ Hah?” Qaseh terpinga-pinga.
“ Kan lagi 3 bulan je kau nak kahwin.”
“ Iyalah. Tapi kalau kau nak suruh aku tolong ikut kau shopping, jangan lupa call aku.” Ujar Qaseh lagi.
“ Aku ingat. Apa-apapun, tahniah sekali lagi aku ucapkan.” Aishah berkata. Mereka berpelukan seketika.
“ Oklah, aku minta diri dulu.”
“ Ok. Nanti hari Isnin, kita jumpa, ya?”
“ Ok.” Aishah terus sahaja beredar. Meninggalkan Qaseh keseorangan di dalam kamar tidurnya.
Qaseh asyik membelek cincin pertunangannya. Bahagia dia menjadi milik seseorang. Tetapi adakah bahagia ini akan ada selama-lamanya apabila dia menjadi isteri orang itu? Dia mahu saat dan kenangan ini dikekalkan begini. Pasti Papa dan Mamanya bangga kerana dia tidak lama lagi akan menjadi menantu sahabat baik mereka. Menjadi isteri kepada seorang lelaki dan menjadi ibu kepada anak-anaknya. Qaseh begitu ingin kongsi saat ini bersama Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Tidak lama lagi mereka akan ada cucu. Itulah yang diiginkan oleh setiap datuk dan nenek. Tetapi perasaan itu tidak akan dapat dirasai oleh mereka. Setitis air mata jatuh di atas telapak tangannya. Adakah Fareez akan melayannya dengan baik? Adakah Fareez akan membelai dirinya seperti mana yang dibayangkan oleh Qaseh setiap hari? Qaseh memang membayangkan seorang putera akan membawanya jauh dari derita ini. Membawanya ke alam yang belum pernah dirasai. Seketika kemudian, dia tersenyum sendirian. 3 bulan dirasakan terlalu singkat. Dia belum bersedia hendak meninggalkan Datuk dan Rafidah. Tetapi Qaseh tahu. Lambat-laun masa itu akan datang jua. Masa untuk dia berdikari sudah sampai.


BERSAMBUNG....


0 tukang komen paling setia: