BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 26, 2010

SEINDAH AL-HAMBRA BAB 22

BAB 22

SUDAH 2 hari Adam bernikah dengan Durrah tetapi sekalipun Adam tidak pernah bercerita mengenai perkahwinannya itu kepada Zurin. Dia lebih suka menceritakan tentang masa depan mereka. Kadangkala sengaja Zurin menyebut nama Durrah dihadapan Adam. Ingin mengetahui reaksi lelaki itu. Bukan Adam tidak tahu usaha Zurin untuk Adam menceritakan perihal pernikahan tersebut. Tetapi nampaknya usaha Zurin itu hanya sia-sia sahaja. Dia tidak berminat untuk bercerita apa-apa perkara. Sebenarnya, dia tidak mahu melukakan hati Zurin. Adam tahu kalau dia mula bercerita mengenai Durrah, pasti hati wanita Zurin terusik.
Jemarinya diketuk perlahan di meja. Kerusi berodanya dipusing-pusingkan perlahan. Pandangan ditebarkan ke panorama yang terbentang luas di Kuala Lumpur itu. Satu keluhan dilepaskan. Pintu biliknya diketuk kuat. Mata Adam tertuju ke muka pintu selepas arahan masuk diberikan. Terjengul wajah Pengurus Pemasaran merangkap sahabat baik Adam, Zafran. Mereka sudah mengenali diantara satu sama lain sejak zaman sekolah rendah lagi. Tetapi mereka terputus hubungan apabila Adam melanjutkan pelajaran ke London. Kini, mereka berjumpa semula apabila Zafran memohon untuk bekerja sebagai Pengurus Pemasaran di Antara Holdings.
Tersengih sahaja Zafran menuju ke arah Adam. Tanpa pelawaan dari Adam, terus sahaja Zafran melabuhkan punggung menghadap Adam. Hanya senyum simpul terukir di bibir Zafran membuatkan Adam bingung dengan perilaku Zafran.
“Buang tebiat ke apa kau ni? Tersengih-sengih macam kerang busuk.” Adam memerli. Bukan dia tidak tahu tujuan Zafran ke biliknya.
“So, macam mana dengan first night kau beristeri?” soal Zafran.
Adam memandang sahabat dihadapan dengan wajah yang tiada perasaan. Disandarkan badan ke kerusi empuknya.
“Macamlah kau tu tak kahwin lagi. Biasa je. Macam orang lain jugak.” Jawab Adam. Malas mahu bercerita panjang mengenai perkahwinan bukan diatas kerelaannya. Zafran mengerutkan dahi.
“Yelah...aku ni tak sama dengan kau. Aku kahwin sekali. Kau tu dua kali. Jadi mesti ada bezanya.” Usik Zafran. Ingin ketawa melihat reaksi sahabat yang mencuka. Zafran sudah mengetahui cerita sebenarnya di antara Adam dan Zurin. Begitu juga dengan perihal isteri terbaru Adam, Durrah.
“Aku memang kahwin dua kali. Tapi cinta aku hanya sekali je.” Adam berkata.
Zafran hanya mencebik. Digoyangkan kerusi beroda tersebut. Tidak terlalu banyak kerja yang harus disiapkan, mungkin sebab itulah Zafran lebih senang ‘merayap’ ke bilik Adam.
“Kau jangan cakap besar, Dam. Tak mustahil kalau satu hari nanti kau ‘terjatuh’ cinta pada second wife kau tu.” Zafran menyambung kata. Pantas Adam menggawangkan tangannya dihadapan muka Zafran.
“Apa yang kurangnya pada dia? Aku tengok dia lemah lembut, sopan orangnya. Merendah diri. Macam-macamlah yang ada dalam diri seorang perempuan melayu. Pendek kata, macam perempuan melayu terakhir.” Sambung Zafran.
Giliran Adam pula mencebik. Zafran sudah berjumpa dengan Durrah sewaktu Zafran ingin menghantar barang yang dipinta oleh Adam. Sememangnya tiada kekurangan dalam diri gadis itu. Sehinggakan hati Zafran juga berdegup pantas melihat kelembutan wajah Durrah. Hatinya juga berkata-kata, tidak mustahil suatu hari nanti Adam akan jatuh cinta kepada gadis tersebut.
“Aku setia pada Zurin, okay. Hati aku takkan berubah pada dia.” Zafran tersentak apabila mendengar Adam berkata tiba-tiba. Zafran mendengus.
“Kau belum cuba, belum tahu.” Zafran masih cuba untuk memancing minat Adam. Tetap seperti tadi, Adam hanya menggeleng.
“Tak perlu aku cuba, aku dah tahu. Aku takkan boleh cintakan dia. Mungkin aku boleh sayangkan dia. Tapi cinta? Aku rasa tak mungkin.” Adam masih bertegas. Zafran melepaskan keluhan perlahan. Susahnya untuk menyakinkan hati lelaki dihadapannya itu. Kasih dan sayang serta cintanya terhadap Zurin tiada galang ganti.
“Cuba kau tengok Dura tu betul-betul. Aku rasa dia boleh jadi isteri yang baik. Dia juga boleh berikan zuriat yang soleh dan solehah untuk kau. Cuba kau melihat dengan mata dan menilai dengan hati kau intan permata dihadapan mata kau. Jangan sampai satu hari nanti intan permata tu bertukar menjadi kaca. Jatuh berderai sehingga kau tak boleh cantumkannya kembali.” Nasihat Zafran sebelum dia bingkas bangun. Menepuk sahabat bahu yang tengah memikirkan kata-katanya.
“Okaylah. Aku balik bilik dulu. Banyak kerja nak selesaikan. Fikirkan kata-kata aku tu, Dam.” Ujar Zafran sebelum melangkah keluar dari bilik sederhana besar itu.
Adam mengurut kepalanya yang terasa berpusing. Benarkah Durrah itu adalah pilihan yang terbaik untuk melahirkan zuriat Adam Hariz, penyambung kepada generasi Datuk Hafiz? Soalan itu berlegar-legar di ruang fikiran. Bukan sahaja Datin Aisyah menasihatkannya perkara yang sama, Zafran juga berfikiran seperti itu. Disandarkan kepala ke kerusi. Memejamkan mata untuk seketika. Kata-kata Zafran kembali terngiang di telinga.


SEBAKUL baju yang baru sahaja dikutip dari halaman rumah, sudah siap dilipat oleh Durrah. Disimpan baju-baju milik Karim dan Hasanah ke dalam almari di dalam bilik mereka. Kemudian, Durrah menyapu sampah dihalaman rumah yang dipenuhi dengan dedaunan kering berguguran. Peluh memercik di dahi. Sudah lama Durrah tidak mengeluarkan peluh. Rumah Datin Aisyah banyak menggunakan penghawa dingin biarpun di ruang tamu dan ruang makan. Bilik Durrah yang dahulu juga ada penghawa dingin walaupun dia hanyalah pembantu di rumah itu. Tetapi Durrah jarang menggunakan penghawa dingin. Dia lebih selesa menggunakan kipas.
Dilap peluh yang laju menuruni dahi. Melabuhkan punggung di atas pangkin yang selalu menjadi kegemaran Durrah untuk bersantai sambil melepaskan lelah setelah selesai mengemas rumah. Matanya ditebarkan ke arah sawah bendang yang menghijau di belakang rumah. Fikirannya melayang. Tiket bas yang sudah dibeli, sengaja disorok di dalam beg pakaian. Khuatir juga jika Hasanah terjumpa tiket tersebut. Nanti mesti Hasanah bertanya kepada Durrah. Mahu dielakkan diri daripada disoal oleh emaknya itu. Bagaimana dia hendak ke terminal bas jika dia hendak menaiki teksi tanpa pengetahuan Hasanah? Satu keluhan kecil dilepaskan. Teringat perbualannya bersama Hasanah semalam.
“Hang nak balik K.L naik apa?” Hasanah menyoal.
Durrah yang sedang leka mengemas meja setelah selesai makan malam, mengalih pandang ke arah Hasanah. Dia menggigit bibir. Tidak tahu alasan terbaik untuk diciptanya. Durrah tidak pandai berbohong. Jika dia berbohong, pasti nampak kecanggungannya.
“Adam mai ambil ka?” sekali lagi soalan itu terpacul di mulut Hasanah.
“Ya, Mak. Tapi dia suruh Dura pi pekan. Dia tunggu kat sana.” Jawab Durrah tanpa memandang wajah Hasanah. Dahi wanita itu berkerut.
“Pasaipa nak kena tunggu kat pekan? Dia tak boleh mai ambil hang kat sini ka?” suara Hasanah sudah meninggi. Tidak senang dengan jawapan Durrah. Jijik sangatkah keluarga mereka sehingga Adam tidak sanggup menjejakkan kakinya di rumah usang milik mereka?
“Mak jangan salah paham. Abang Adam ada gheja kat pekan. Tu sebabnya dia suruh Dura turun pi pekan. Dia takut lepaih dia habih gheja, dah lambat nak mai ambil Dura kat sini. Bukan dia tak mau mai sini.” Durrah menjelas. Hatinya terasa perit kerana terpaksa menipu Hasanah.
Durrah memerhatikan Hasanah melalui ekor matanya. Kelihatan Hasanah mengangguk perlahan. Tangan Durrah pantas mencuci pinggan mangkuk yang kotor di dalam sinki tersebut.
“Mak nak turun tulat kan dengan Kak Iqah dan yang lain-lain?” giliran Durrah pula menyoal. Sengaja Durrah menukar topik. Mahu perbualan mereka mengenai Adam, terhenti di situ sahaja. Sekali lagi Hasanah mengangguk.
“Dura ikhlas jadi isteri Adam?” tiba-tiba persoalan mengenai Adam kembali menerjah gegendang telinga Durrah.
“Awatnya yang Mak tanya ni?” walaupun tangan Durrah lincah mencuci pinggan kotor itu, jiwanya tidak tenang. Meronta-ronta.
“Dia cintakan Dura?” soalan yang sama tetap diulang oleh Hasanah.
“Mak...Dura tak tau dia cintakan Dura atau dak. Sebenaqnya Dura yang dah mula cintakan Abang Adam. Tapi Dura tau, dalam hati dia tak ada Dura ni. Hanya kekasih dia ja.” Durrah sudah mula bosan apabila setiap kali terpaksa menerangkan perasaannya yang sama kepada Hasanah. Tetapi dijawab juga soalan tersebut kerana tidak mahu mengecilkan hati Hasanah.
“Habih, pasaipa hang kahwin jugak dengan dia?” sekali lagi suara Hasanah meninggi. Satu keluhan kecil dilepaskan.
“Tak salahkan, Mak kalau sekali-sekala Dura pentingkan diri sendiri. Kalau selalu Dura nak kena pikiaq pasai orang lain, apa salahnya kali ni Dura pikiaq pasai diri sendiri.” Luah Durrah. Kerja mencuci yang dilakukan sebentar tadi, terhenti.
“Hang tak boleh pikiaq lagu tu, Dura. Mungkin Nizam bukan jodoh hang. Jadi, hang kahwin dengan Adam pasai hang nak balas dendam pada Sal? Bukan lagu ni cara dia. Sekarang ni, hang lukakan hati kekasih Adam tu. Satu hari nanti, orang lain pulak yang lukakan hati hang.” Hasanah tidak puas hati dengan jawapan Durrah. Tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh Durrah itu.
Airmata Durrah mengalir tanpa dapat ditahan. Sedikit terasa dengan kata-kata Hasanah. Dimasa ini, dia sangat perlukan sokongan untuk terus berdiri teguh. Mengharungi cabaran hidup berumahtangga dengan lebih bersemangat. Hasanah bingkas berdiri dan menuju ke arah Durrah. Dipeluk erat anak gadisnya itu. Diusap rambut yang panjang mengurai itu.
“Maafkan Dura, Mak. Dura memang pentingkan diri sendiri.” Durrah mengongoi dalam pelukan Hasanah.
“Sudahlah tu, Dura. Hang pun dah selamat jadi isteri orang. Sekarang ni, hang kena usaha untuk rumahtangga hang.” Nasihat Hasanah. Durrah rasa seperti orang yang baru. Semangat dan doa Hasanah meresap dalam dirinya.
Durrah tersentak dari lamunan apabila terdengar suara Hasanah melaung dari dapur. Terjenguk-jenguk Hasanah mencari kelibat Durrah. Pantas dia menuju ke arah Hasanah. Ditinggalkan penyapu lidi yang dipegangnya tadi dibawah tangga rumah. Langkahnya laju masuk ke dalam dapur.
“Mai tolong Mak buat lepat pisang ni. Nanti esok hang boleh bawak balik K.L. Bagi kat mak mentua hang.” Hasanah sudah kembali melabuhkan punggung ke atas lantai. Bersedia untuk membalut lepat pisang tersebut. Durrah mencuci tangannya sebelum turut menolong Hasanah.



TELEFON bimbit Adam berkali-kali berbunyi nyaring. Tetapi langsung tidak dihiraukan. Melihat sekali imbas ke arah skrin telefon bimbit. Dia mendengus perlahan. Akhirnya, dijawab juga panggilan tersebut apabila dirasakan bunyi telefon itu sangat menganggu konsentrasi dia untuk melangsaikan kerja yang tertangguh. Ditekan punat hijau dan menunggu si pemanggil berkata sesuatu. Telefon disangkutkan ke bahu dan tangannya masih pantas menyelesaikan kerja.
“Abang...” panggil suara halus di hujung talian apabila sepatah kata pun tidak keluar dari mulut Adam.
“Hmm...” hanya itu sahaja jawapan Adam. Diam. Tiada lagi kata-kata seterusnya daripada si pemanggil.
“Ada apa ni? Cakaplah cepat. Abang sibuk.” Adam berkata, kasar.
“Abang kata nak ambil Dura kat Hentian Duta hari ni.” Ujar Durrah.
Cuba mengingatkan Adam akan janjinya. Tiba-tiba mata Adam membeliak. Ditepuk dahinya. Dia benar-benar terlupa akan janjinya itu. Adam mendehem perlahan.
“Abang minta maaflah, Dura. Abang terlupa. Sekarang ni Abang sibuk sangat. Dura baliklah dulu. Naik teksi atau bas ke. Nanti duit tambang claim kat Abang. Abang bayar balik.” Ujar Adam memberi cadangan.
Gadis itu tidak berkata apa-apa. Hanya mendiamkan diri sahaja. Adam menjadi gelisah. Seketika kemudian, kedengaran suara Durrah memberikan persetujuan.
“Dura balik rumah Mama atau rumah Abang?” sekali lagi Durrah bertanya. Adam menggigit bibir.
Jika Durrah pulang ke rumah Datin Aisyah keseorangan, pasti Mamanya itu akan bertanya yang lebih-lebih. Tetapi jika Durrah ke rumahnya, pasti Zurin akan terkejut dengan kehadiran orang yang tidak dikenali di dalam rumahnya sebaik sahaja wanita itu pulang dari kerja nanti. Ahh...kusutnya fikiran! Adam menggaru kepala yang tidak gatal. Dia bingkas berdiri dari kerusi empuk yang didudukinya. Berjalan menuju ke arah tingkap kaca yang melayarkan pemandangan Kuala Lumpur. Berdiri menghadap tingkap kaca tersebut sambil menyeluk tangan kanannya ke dalam poket seluar.
“Ermm...balik rumah Mama lah. Nanti Abang ambil Dura kat rumah Mama.” Akhirnya Adam menjawab. Tiada respon daripada Durrah. Hanya kedengaran hembusan nafas gadis itu.
“Nanti kalau Mama tanya, Dura nak jawab apa?” satu lagi soalan terpacul dari Durrah. Adam mendengus.
“Pandai-pandailah Dura kelentong Mama. Okaylah. Abang sibuk ni. Banyak kerja. Malam nanti, kita jumpa. Lagipun Abang ada perkara yang nak dibincangkan dengan Dura.” Tanpa sempat Durrah membalas kata-kata Adam, lelaki itu sudah pun mematikan talian. Sekaligus mematikan telefon bimbitnya. Tidak mahu dikacau sesiapa.
Jika Datin Aisyah lihat Durrah pulang seorang diri, pasti tidak teragak-agak Mamanya itu menelefon Adam walaupun Adam tengah sibuk. Datin Aisyah tidak mempedulikan itu semua.


BERSAMBUNG....

1 tukang komen paling setia:

Anonymous said...

keji betol perbuatan adam tuh...kalau ye pun die tak suke perkahwinan tuh, jangan lah layan dura cmtuh....layan macam dura tuh orang gaji plak, nak main claim2.....takpe, hopefully nanti bile dura dah betol2 terluke dan tak hingin lagi dah ngan adam, baru padan muke die....

mentang2 skang dura yang suke kat adam, not the other way round, nak jual mahal plak....takpe2, tunggu la balasannye nanti...