BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 13, 2009

Seindah Al-Hamra BAB 1

BAB 1

ANGIN bayu lembut menghembus wajah Durrah. Rambutnya yang lurus, panjang mengurai turut berterbangan mengikut arus angin. Sesekali dipejamkan mata. Cuba merasai kedamaian yang dibawa oleh angin tersebut. Setiap hari pasti laju sahaja ayunan langkah Durrah menuju ke bendang sawah yang berada di belakang rumahnya. Ingin melarikan diri dari tekanan perasaan yang menghimpit dada. Kedamaian yang dicari gagal meresap ke jiwa. Setiap ceruk sawah itu pasti mengingatkan dia pada bekas tunangannya, Nizam. Disilangkan tangan ke dada. Gagal mengusir seraut wajah yang setiap kali menjadi igauan tidur. Lenanya pasti diganggu oleh kejadian itu. Masih diingat lagi peristiwa dia berhadapan dengan Nizam.
“Kalau Abang sukakan Sal, kenapa tak beritahu terus pada Dura? Kita boleh putuskan saja pertunangan ni.” Bentak Durrah. Nizam memegang lengan Durrah. Gadis itu merentap lengannya dengan sekuat hati. Tidak tega membenarkan bekas tunangan menyentuh dia lagi.
“Dura…dengar dulu penjelasan Abang ni.” Sedaya-upaya Nizam menarik lengan Durrah semula. Meronta-ronta gadis itu minta dilepaskan.
“Abang, lepaskan Dura.” Durrah masih cuba melepaskan diri.
“Abang takkan lepaskan Dura selagi Dura tak dengar penjelasan Abang.” Nizam berkeras. Setitis airmata menuruni pipi gebu Durrah. Ingin Nizam mengelap airmata itu tetapi dia masih sedar akan batasnya. Semakin lama semakin laju airmata itu menuruni pipi Durrah.
“Abang…tolonglah lepaskan Dura. Tak elok kalau orang kampung nampak. Tambahan lagi, kalau isteri Abang nampak. Kecoh satu kampung ni nanti, Bang. Abang takkan malu. Sebab Dura yakin Sal takkan malukan Abang. Sal akan salahkan Dura. Sal memang tak sukakan Dura. Dura yang akan malu nanti, Bang.” Durrah cuba membuka genggaman tangan Nizam. Terlalu kuat kudrat lelaki itu jika dibandingkan dengan dirinya yang hanya seorang perempuan. Dia mengelap airmata yang seperti seakan tidak mahu berhenti itu.
“Abang!!!” jeritan seorang wanita membuatkan mereka berdua berpaling memandang perempuan yang menjerit itu. Genggaman tangan Nizam semakin longgar tetapi masih tidak dilepaskan lagi lengan Durrah itu. Sebaik sahaja Durrah terasa genggaman itu longgar, dia terus melepaskan diri dan berdiri jauh dari Nizam.
“Apa yang Abang dan perempuan ni buat kat sini?” lantang Salina bertanya. Nada suaranya keras. Durrah tidak berkata apa-apa sebaliknya memandang ke tempat lain. Agak berat mulut Nizam untuk berkata sesuatu.
“Hei, perempuan. Kau ada hati lagi nak goda suami aku? Kau tu yang tak reti jaga laki. Tu yang laki kau ni, suka kat aku.” Perli Salina. Muka Durrah memerah menahan amarah yang sedang membakar hati. Tunggu masa untuk memuntahkan lahar. Tapi disabarkan hati yang terluka. Panas hati Nizam mendengarkan setiap ayat yang keluar dari mulut Salina.
“Sal!!!” Nizam berkata separuh menjerit.
“Sal…Sampai hati Sal cakap Akak macam tu.” Ujar Durrah. Setitis airmata kembali menghuni tubir matanya.
“Ahhhh..…air mata buaya. Sal takkan percaya air mata macam tu. Abang, balik.” Arah Salina. Wajah Nizam semakin memerah apabila mendengarkan arahan sebegitu.
“Sal, Abang ni bukan adik atau anak Sal tau. Abang ni suami Sal. Cuba Sal hormat sikit pada Abang.” Tegas Nizam berkata. Salina mencebik. Nizam berpaling ke arah Durrah yang mengelap airmata dengan hujung lengan bajunya.
“Dura….” Nizam masih cuba menerangkan perkara yang sebenar.
“Sudahlah, Bang. Abang balik jelah. Dura dah tak nak tengok muka Abang.” Bertegas sekali Durrah berkata. Dia terus sahaja melangkah pergi. Meninggalkan dua insan yang mempunyai pelbagai perasaan terhadap gadis yang bernama Durrah Hamra ini.
Durrah tersentak apabila tubuhnya dilanggar oleh seseorang. Dia memanggung muka melihat siapakah gerangan itu. Hasan sedang tersengih memandangnya.
“Kak, cuba tengok ni ikan puyu. Hasan dapat dari bendang sana.” Unjuk Hasan ke arah Durrah ikan puyu yang ditangkap bersama rakan-rakannya. Ikan itu diletakkan di dalam balang jernih. Kelihatan ikan itu sedang berenang-renang.
“San, dah berapa kali Akak pesan. Jangan main kat bendang. Nanti naik pacat macam mana? Kamu jugak yang merengek. Nanti Ayah bising.” Durrah sudah memesan berkali-kali kepada adik bongsunya itu.
“Hasan takkan menangis punya. Hasan kan kuat.” Hasan mengangkat lengan seolah-olah ingin menunjukkan dia mempunyai susuk badan seperti orang yang membina badan.
“Hmm...yalah tu. Sudah, pergi mandi. Kalau nampak dek Mak nanti, kamu berlumpur macam ni, dia membebel seminggu.” Ujar Durrah. Tergelak kecil melihat wajah Hasan yang sudah dipalit dengan lumpur bendang.
Rakan-rakan Hasan sudah lama pulang apabila melihat Durrah sudah bercekak pinggang dihadapan mereka sebentar tadi. Kalau hendak diikutkan kakak-kakak Durrah, Murfiqah dan Zuhairah lebih garang. Tetapi Hasan lebih takut kepada Durrah. Sebab sedari kecil, hanya Durrah sahaja yang menjaganya setelah Murfiqah dan Zuhairah berkahwin. Terkedek-kedek Hasan berlari masuk ke dalam bilik air yang terletak di dalam dapur. Durrah menebarkan semula pandangannya ke arah sawah bendang yang menghijau. Melunjurkan kaki di atas pangkin, bawah pohon nipah. Teringat dia kepada perbincangannya bersama orang tuanya semalam.
“Mak...Dura ingat Dura nak pergi K.L.” Durrah berkata perlahan. Dia duduk bersimpuh di atas lantai sambil menghadap Hasanah yang sedang melipat baju. Durrah turut menolong Maknya itu. Karim yang sedang leka menonton televisyen, terarah matanya kepada anak gadis yang sedang mendapatkan keizinan si ibu.
“Pasai pa hang nak pi K.L? Hang dah tak suka ka dok sini?” tanya Hasanah. Terhenti sebentar kerja-kerjanya tadi. Memandang wajah Durrah yang sedikit menunduk.
“Dura nak cari kerja.” Ujar Durrah, mengangkat muka. Menentang wajah Hasanah.
“Awat? Kat sini dah tak dak kerja ka yang hang nak pi sampai ke K.L nu?” Hasanah bertanya lagi.
“Bukan lagu tu, Mak.” Durrah sudah tidak tahu hendak berkata apa lagi. Mendiamkan diri adalah jalan yang terbaik.
“Biaqlah, Nah. Dia nak pi sana pun. Kalau dok sini pandang muka budak bertuah dua orang tu pun, buat sakit hati dia ja nanti.” Seperti dapat membaca apa yang ada di dalam fikiran Durrah, Karim meluahkan kata-kata. Hasanah mengeluh.
“Hang nak pi sana ni, hang ada ka kawan kat sana?” tanya Hasanah lagi. Durrah mengangguk pantas. Karim dan Hasanah mengerutkan dahi, serentak.
“Sapa?” Karim bertanya pula.
“Mak Lang Piah kan ada kat sana.” Durrah berkata. Mengingatkan kembali Karim kepada adiknya yang sudah bekerja di Kuala Lumpur sebaik sahaja tamat SPM. Terlihat Karim mengangguk perlahan. Terlupa pula pada adik yang seorang itu.
“Mak ni bukannya apa, Dura. Dah tak dak oghang nak tolong tengok Hasan. Dia bukan nak dengaq cakap Mak atau kakak-kakak hang tu. Dia dengaq cakap hang ja.” Luah hati Hasanah. Durrah menundukkan wajah. Keputusan untuk memujuk ibunya, tidak memihak kepada dia.
“Hang nak tau dak pasai pa Mak hang ni lagu ni?” Karim bertanya. Durrah mengangkat muka memandang wajah tua Karim itu.
“Yalah. Dah tak dak sapa-sapa nak tolong dia masak. Nak tolong kemas ghumah. Tolong dia kat kilang keropok tu.” Ujar Karim. Hasanah mengangguk perlahan. Sedikit sebanyak ada benar juga kata-kata suaminya itu.
Sebenarnya, dia tidak mahu Durrah berjauhan dari dia. Dia mahu anak kelimanya itu senantiasa ada dihadapan mata. Hanya Durrah sahaja yang boleh diharapkan. Tidak bolehlah selalu mengharapkan pertolongan Murfiqah dan Zuhairah. Mereka juga ada keluarga sendiri yang perlu diuruskan. Ada anak-anak kecil yang masih memerlukan perhatian. Berbanding Hasan yang sudah boleh menguruskan diri sendiri. Hendak mengharapkan Salina? Sebelum berkahwin sahaja, sudah malas. Inikan pula selepas berkahwin. Kasihan juga pada Durrah. Disebabkan peristiwa buruk itu yang berlaku, pertunangan dia dan Nizam terpaksa diputuskan. Keluarga Nizam tidak sanggup untuk menanggung malu dan menyatakan kesudian Nizam untuk memperisterikan Salina. Walaupun Nizam sudah berkali menolak cadangan itu.
“Mak…Mak sayang tak pada Dura?” pertanyaan Durrah itu mematikan lamunan Hasanah yang sudah berterbangan jauh.
“Pasai pa Dura tanya lagu tu? Mestilah Mak sayangkan Dura. Kalau dak, dah lama Mak kahwinkan Dura dengan anak Lebai Ayob tu.” Hasanah memandang wajah sayu anak gadisnya itu. Durrah menarik nafas dan dilepaskannya perlahan-lahan. Dia perlu menyakinkan Hasanah sekali lagi.
“Mak tolonglah lepaskan Dura pi kerja kat K.L tu. Dura dah tak sanggup dok kat sini, Mak. Hari-hari Nizam dok cari Dura. Nak jelaskan apa perkara yang berlaku. Salina pulak asyik hina Dura. Dura dah tak sanggup, Mak. Dura dah letih nak layan karenah depa berdua.” Airmata yang berguguran sudah tidak dapat ditahan lagi. Perasaan yang berkecamuk sudah tidak dapat dibendung. Hasanah melepaskan keluhan. Kasihan melihat anak yang banyak menderita kerana perbuatan adiknya itu. Karim juga tidak dapat menumpukan perhatian ke kaca televisyen. Lebih banyak memandang isteri dan anak silih berganti. Dia tahu perasaan Hasanah cepat lembut.
“Bila hang cadang nak pi K.L tu?” Hasanah bertanya perlahan, cukup membuatkan Durrah tersenyum dalam tangis. Karim juga turut tersenyum kelegaan. Walaupun dia tahu, pasti berat untuk Hasanah melepaskan Durrah.
“Minggu depan, Mak.” Jawab Durrah pantas. Hasanah tidak berkata apa-apa lagi. Sebaliknya hanya mengangguk dan meneruskan kerja-kerja melipat baju. Durrah juga turut menolong Hasanah menyelesaikan kerjanya.
Bayu yang meniup baru terasa dinginnya. Tidak sabar untuk Durrah menjejakkan kaki ke kota metropolitan yang selalu menjadi bualan anak-anak kampung ini yang baru sahaja pulang setelah selesai menamatkan pengajian di peringkat tertinggi. Teringin sekali Durrah hendak menjejakkan kakinya ke menara gading. Tetapi dia tidak berpeluang untuk berbuat demikian kerana keluarganya bukanlah asal daripada keluarga orang yang senang. Kadangkala mereka hendak makan pun seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Karim yang bekerja sebagai pesawah. Manakala Hasanah kadangkala mengambil upah menjahit baju dan langsir. Kalau tidak menjahit, Hasanah akan menolong suaminya di sawah atau mengambil upah membersihkan rumah-rumah orang yang berada di kawasan kampung mereka itu dan kampung seberang. Kasihan Durrah melihat kedua orang tuanya yang terpaksa bekerja keras untuk menampung kehidupan mereka anak-beranak. Nasib baiklah Murfiqah, Zuhairah, Yussof dan Hussin sudah berkahwin. Kini, Salina pula. Jadi, Karim dan Hasanah hanya menanggung Durrah dan Hasan. Tetapi sampai bila harus Durrah bergantung harap pada mereka berdua? Durrah yang bekerja di kedai runcit Pak Amat itu hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM150 sebulan. Tidak mencukupi. Karim baru sahaja disahkan menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Duit yang sedia ada harus ditolak ketepi untuk membeli ubat-ubatan Karim. Jika Durrah bekerja di Kuala Lumpur, duit yang dia akan dapat semasa bekerja nanti bolehlah dikirimkan kepada Karim dan Hasanah untuk buat membeli perbelanjaan dapur.
Durrah asyik tersenyum sahaja mengenangkan pemergiannya ke Kuala Lumpur tidak lama lagi. Dia akan berjumpa dengan Nizam buat kali terakhir pagi esok sebelum dia berangkat ke Kuala Lumpur lusa. Dia akan menyelesaikan segala-galanya. Dia sudah tidak mahu memikirkan kenangan cintanya bersama Nizam. Biarlah kenangan itu disimpan jauh di dalam lubuk hati yang paling dalam. Senja sudah berlalu pergi. Malam pula melabuhkan tirainya. Biarlah langit malam yang menghuni hatinya kini, berlalu meninggalkan Durrah Hamra yang masih mencari cinta sejati.


KEESOKKAN paginya seawal jam 9, Durrah sudah berada di tempat pertemuan pertama kali dia terserempak dengan Nizam. Dan, di saat itu. Hati Durrah kuat mengatakan bahawa Nizam adalah pilihannya yang terbaik. Pilihan pertama dan terakhir. Tetapi apakan daya. Sudah ketentuan Nizam tidak tertulis untuk menjadi suaminya. Durrah leka memerhati pondok yang banyak memberikan kenangan indah dan pahit buat diri dia. Setiap kali bertemu dengan Nizam, dia pasti tidak akan keseorangan. Dia akan membawa Salina atau Hasan bersama. Berkali-kali Karim dan Hasanah berpesan supaya membawa bersama adik-adiknya sebagai peneman. Mereka tidak mahu orang kampung akan bercerita yang bukan-bukan. Derapan kaki menyentakkan Durrah dari lamunan. Dipandang sekilas ke arah Nizam yang tersenyum lebar. Mungkin gembira apabila Durrah bersetuju untuk berjumpa dengannya. Dia duduk menghadap gadis yang dicintainya sejak zaman sekolah itu.
“Abang gembira sangat sebab Dura sanggup nak jumpa dengan Abang.” Ujar Nizam. Wajahnya benar-benar ceria. Tetapi Durrah langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dia hanya keras diam membatu. Nizam cuba untuk mencapai jari jemari Durrah tetapi dengan pantas Durrah menepis kasar. Reaksi Durrah yang dingin itu mengundang tanda tanya di benak Nizam.
“Kenapa, Dura? Dura tak gembira jumpa Abang?” tanya Nizam. Durrah memandang ke arah lain. Tidak langsung ingin memandang bekas kekasihnya itu.
“Memang Dura tak gembira. Mulai sekarang, Abang kena ingat. Hubungan kita bukan macam dulu lagi dah. Dura kakak ipar Abang. Dan Abang, adik ipar Dura. Jaga perbatasan hubungan kita. Jangan melampaui. Sebab Dura dah tak tahan dengar Sal jaja cerita Dura. Kata Dura ni tak tahu malu. Selalu menyendeng dengan Abang. Nasihat sikit isteri Abang tu. Jangan selalu cerita buruk pasal orang. Keburukan dia, semua orang tahu.” Durrah menjeling tajam. Nizam mengerutkan dahi. Tidak faham akan tujuan sebenar Durrah ingin berjumpa dengannya.
“Kenapa Dura tak beritahu sendiri pada Sal? Kenapa beritahu pada Abang?” Nizam bertanya lagi. Cuba mencari wajah ayu milik Durrah. Gadis itu hanya mengelak dari wajahnya menjadi tatapan Nizam. Tidak selesa begitu.
“Kalau Dura nasihatkan dia, mesti dia tak nak dengar. Kalau Abang yang nasihat, mungkin ada hasilnya. Lagipun dari dulu lagi dia memang sukakan Abang. Tapi, Abang bertunang dengan Dura. Itu yang membuatkan dia tak puas hati. Sampai Abang termasuk perangkap dia.” Durrah berkata sambil cuba menahan airmata dari menitis. Perih hatinya mendengar Nizam dan Salina ditangkap basah dalam rumah mereka sendiri. Buat apa Nizam mengikuti Salina hingga ke sana, tidak pula Nizam memberikan jawapan yang pasti. Hanya Salina sahaja yang mereka cerita supaya lebih sedap di pendengaran orang kampung. Hati Durrah retak seribu. Tidak mungkin bercantum kembali.
“Sal kata pada Abang yang Dura demam. Jadi, Abang nak pergi tengok Dura sendiri.” Jelas Nizam. Buat pertama kalinya, dia dapat menjelaskan keadaan sebenar kepada Durrah.
“Huh...alasan. Lelaki!” Durrah bangun dan berdiri menghadap sawah padi yang terbentang luas.
“Dura percayalah cakap Abang.” Paksa Nizam. Dia memegang bahu Durrah dan dipusing untuk menghadapnya. Durrah menepis kasar lengan Nizam yang sasa itu.
“Sudahlah, Bang. Abang pun dah jadi suami orang. Kita tak mungkin punya hubungan seperti dulu lagi. Abang mungkin cinta Dura yang pertama, tapi Abang bukan yang terakhir.” Ujar Durrah sebelum melangkah meninggalkan Nizam yang terpinga-pinga. Langkah kaki Durrah terhenti. Dia beralih memandang Nizam yang membelakangkannya.
“Lepas ni, Abang jangan ganggu Dura. Dura akan pergi dari sini. Abang jangan ganggu Mak dan Ayah dan bertanyakan tentang Dura. Cukuplah dia orang rasa susah dengan perbuatan Sal. Abang jagalah Sal baik-baik. Didik dia supaya menjadi seorang isteri yang solehah. Sebab itu tanggungjawab Abang sekarang. Selamat tinggal, Abang. Dura harap kita tak pernah kenal.” Ucap Durrah sebelum berlalu meninggalkan Nizam di pondok itu keseorangan.

Hati Durrah tidaklah sekeras mana. Tetapi digagahkan jua. Langkah kaki yang semakin menjauh meninggalkan kekasih hati, membuatkan airmata Durrah turun tanpa henti. Menangislah sesungguhnya, wahai Durrah. Kerana takdir ini sudah tertulis buat dirimu. Jangan disalahkan takdir. Jodoh yang tidak mempertemukan kau dan Nizam untuk bersama. Kerana kau lebih berhak untuk seseorang yang berada di suatu tempat. Dan, kau akan jejakinya, hati Durrah memberikan semangat. Terasa seperti semangat baru meresap ke dalam diri Durrah. Selamat tinggal, kampung. Terima kasih, Mak...Ayah kerana kalian telah memberikan Durrah satu harapan yang baru. Harapan untuk terus maju ke hadapan.

BERSAMBUNG....

6 tukang komen paling setia:

::cHeeSeCaKe:: said...

bestnye cite ni..
smbung2..sy nk beli la dan sbnarnye..
nti tjuk cite tu tuka ke X??

epy elina said...

hohohoho....
sdih r crta ni...
x sngka adik sndri pun sngup mgkhianati kak sndri..
prmulaan yg bgus n gud job...
smbung2x...

Aishah Hamzah said...

cheese cake: x pasti lagi ler....nnt kalo de pape perubahan,sye inform.

keSENGALan teserlah.. said...

uuiii..
best2...
smbung2..

Anonymous said...

ecah...org pon nk bli la dan sebenarnya tu...nti dh kuar inform taw...minat sgt citer tu..kalu bleh nk bli ngan ecah sendri la...nk autograph!!!hehehehehe

❤❤sωɨт ɦɑииɑ❤❤ said...

best2..nak lagi ecah..

psst..tahniah sbb e-nvl DS akn diterbitkan..klu dh publish, jgn lupo bagitaw Hanna k...^_~