BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, May 25, 2009

Kau Milikku 14

BAB 14

TERSEDAR dari lamunan, Dizyan melangkah ke arah meja solek. Memerhatikan wajahnya. Kenapa lelaki itu pernah muncul dalam hidup Dizyan? Air mata menitis setitis di atas tangan. Kerana perbuatan lelaki itu yang langsung tidak boleh diterima oleh Dizyan, menyebabkan dia membenci lelaki yang bernama Aneeq sehingga kini. Tidak akan sekali-kali dimaafkan perbuatannya. Luka yang berdarah di hati Dizyan, masih ada nanahnya. Tidak ada seorang pun ahli keluarga yang tahu akan perkara yang telah terjadi ke atas dirinya. Kecuali Yasmin. Tidak juga diceritakan kepada Misha. Selepas kejadian yang menimpa diri Dizyan itu, Yasmin berjumpa dengan Aneeq. Bersemuka. Dan hampir Yasmin menumbuk muka Aneeq. Dizyan langsung tidak ingin berjumpa dengan Aneeq. Bagi Dizyan, Aneeq sudah mati ketika dia mengaku akan perbuatan yang telah dilakukannya itu. Kini, hati Dizyan berbelah bahagi. Samada hendak menerima tawaran kerja itu atau tidak. Jika dia menerima, ini bermakna dia akan selalu berjumpa dengan lelaki tidak guna itu. Jika tidak, dia terpaksa bekerja dengan Abahnya. Menjadi seorang peguam, bukanlah cita-cita yang diimpikan selama ini. Tetapi kalau sudah terpaksa, apa yang boleh dilakukan.
Pintu bilik diketuk perlahan. Segera Dizyan mengelap air mata yang menitis. Tombol pintu dipulas. Terjengul wajah ibu kesayangan. Tersenyum sahaja memandang wajah keruh Dizyan. Puan Hajjah Karissa melabuhkan punggung di atas katil Dizyan. Masih tersenyum. Dizyan mengalihkan badan menghadap Puan Hajjah Karissa.
“Yan dah siap ke? Jomlah kita turun sarapan.” Ajak Puan Hajjah Karissa lembut. Dizyan masih tidak memberikan sebarang reaksi. Hanya diam membisu.
“Umi...Yan rasa, Yan tak jadi nak kerja kat RUFA Tower tu. Yan nak kerja dengan Abah.” Dizyan memberitahu apa yang terlintas difikirannya. Tiada reaksi terkejut yang ditunjukkan Puan Hajjah Karissa.
“Yan pasti Yan nak kerja dengan Abah?” tanya Uminya. Lambat-lambat Dizyan mengangguk.
“Yan, Umi tak paksa kalau Yan nak kerja dengan Abah. Tapi, Yan kena fikir masak-masak dulu. Dulu Yan jugak yang beria-ia tak nak kerja dengan Abah. Sekarang bila Yan dah dapat kerja, Yan nak kerja dengan Abah pulak.” Ujar Puan Hajjah Karissa. Dizyan hanya menundukkan wajah. Tidak mahu berkata apa-apa.
“Yan...Umi tak nak Yan tak gembira kerja dengan Abah. Umi yakin Yan takkan gembira. Sebab Yan pernah beritahu Umi, menjadi seorang peguam bukanlah cita-cita impian Yan. Yan ingat lagi kan?” Puan Hajjah Karissa sudah berdiri dan menuju ke arah anak gadis tunggalnya itu.
“Yan kena fikir melalui hati dan akal. Bukan melalui perasaan. Kadangkala perasaan kita tak menentu. Dan, kadangkala boleh mengelirukan kita. Yan fikirlah. Berikan keputusan yang terbaik untuk diri Yan.” Ujar Puan Hajjah Karissa. Tersenyum sambil mengusap perlahan wajah Dizyan. Kemudian, dia melangkah keluar dari bilik Dizyan.
Dilepaskan sedikit keluhan. Memejamkan matanya serapat yang mungkin.

‘Ini adalah cita-cita kau. Disebabkan ingin mengejar kerjaya sebegini, kau sanggup melawan kata-kata Abah kau. Kini, kau sanggup melepaskan satu-satunya perkara yang boleh memberikan kebahagiaan kepada kau dalam sekelip mata. Mengapa? Kerana lelaki itu bekerja di satu syarikat dengan kau? Biarkan saja! Satu hari nanti, dia pasti akan menerima balasannya. Balasan di atas perkara yang telah dilakukannya terhadap kau. Kau harus terus menggapai cita-cita yang menjadi impian kau selama ini. Dimana Dizyan Farhana yang aku kenal dulu? Dizyan yang aku kenal, tidak pernah cepat mengalah.’ Kata hati Dizyan membisikkan kata-kata semangat. Benar! Satu hari nanti, dia pasti akan menerima balasannya. Seperti ada satu semangat baru yang telah meresap dalam jiwa Dizyan. Ditarik dan dilepaskan nafas perlahan-lahan. Dia berdiri dan mencapai tas tangan serta fail yang diperlukan oleh pihak atasan untuk menyimpan rekodnya sebagai pekerja. Dizyan keluar dari bilik dan menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah. Kelihatan kedua ibubapanya serta Asyifa sedang enak menjamu sarapan. Puan Hajjah Karissa tersenyum.
“Marilah sarapan dulu, Yan.” Ujar Tuan Haji Azmin. Dizyan melangkah ke arah mereka bertiga di ruang makan setelah meletakkan tas tangan dan fail di atas kerusi dekat pintu utama. Asyifa menghulurkan sepinggan bihun goreng. Dituang nescafe yang masih berasap ke dalam cawan. Dihulurkan kepada Dizyan. Begitu berselera Dizyan menjamu makanan yang terhidang.
“Yan nak jugak pergi kerja dengan orang. Sampai sanggup melawan cakap Abah.” Tuan Haji Azmin memulakan bicara. Dizyan mengangkat muka memandang Abah yang disayangi.
“Tapi, Abah tetap doakan yang terbaik buat Yan. Jagalah diri Yan baik-baik. Jangan buat perkara yang boleh memalukan kami semua.” Nasihat Tuan Haji Azmin akan Dizyan simpan dan turuti. Bukan kepada Dizyan sahaja yang dipesannya termasuklah Izham dan Asyifa walaupun Asyifa bekerja di firma guaman miliknya.
“Pesanan Abah tu, Yan takkan lupa sampai bila-bila.” Janji Dizyan. Tuan Haji Azmin mengangguk kepalanya yang separuh botak itu.
“Hah! Teringat pulak Umi pasal kes Datuk...apa nama? Alaa...yang dengan perempuan orang putih tu? Kes berebut hak anak tu.” Ujar Puan Hajjah Karissa tiba-tiba. Asyifa seperti berfikir sesuatu.
“Ohh...Veronica Lhullier vs Datuk Karim tu? Kes tu dah selesai. Datuk Karim yang dapat hak. Sebab anak tu dah umur 18. So, Syifa tanya budak lelaki tu, dia nak tinggal dengan ibu atau bapa dia? He choose to be with his father. Tapi, dia akan selalu pergi melawat ibu dia kat U.S. Yalah, dah bapa dan mak tiri dia yang jaga dari kecil. Memang dia kata dengan Syifa yang dia rindukan ibu dia. Tapi, dia tak sanggup nak tinggalkan bapa dia jugak.” Jelas Asyifa sambil menyuap sesudu bihun goreng ke mulut. Puan Hajjah Karissa mengangguk dan tersenyum.
“Alhamdulillah. Pandai jugak budak tu pilih, ya.” Tukas Puan Hajjah Karissa.
“Betul didikannya. Dia akan pilih siapa yang dia mahu lah.” Ujar Tuan Haji Azmin pula. Mereka yang lain hanya mengangguk. Mengiakan kata-kata lelaki itu.
“Yan dengan Syifa kenal kan Hawa?” tanya Puan Hajjah Karissa. Mereka mengangguk, serentak.
“Kenapa, Umi?” Dizyan pula bertanya.
“Kesian dengan dia. Hari tu dia kena rogol masa on the way balik rumah dari mengajar mengaji kat sekolah.” Tersentak Dizyan mendengar kata-kata Puan Hajjah Karissa.
“Macam mana boleh kena rogol, Umi Rissa?” giliran Asyifa pula bertanya.
“Dia naik basikal macam biasalah. Rumah dengan sekolah tak jauh. Buat apa naik kereta. Naik basikal, jimat. Yang Umi tahu dari Mak Kiah, katanya, Hawa dah nak dekat sampai rumah, tiba-tiba je ada orang keluar dari semak dan tangkap dia. Kata Mak Kiah, 2 orang. Kita kudrat perempuan. Manalah boleh lawan dengan lelaki. Walaupun lelaki tu kurus dari kita. Sekarang ni Hawa dah pregnant. Orang kampung, biasalah kalau dah tengok perempuan tu mengandung tanpa bernikah. Macam-macam lah dikatakannya. Jadi, Mak Kiah bawak Hawa tinggal dengan dia kat Singapore. Terpaksalah Hawa berhenti dari mengajar.” Terang Puan Hajjah Karissa panjang lebar. Tuan Haji Azmin sudah selesai menjamu selera. Ditolak pinggan serta cawan yang diminum ke tepi. Menyandarkan badan ke kerusi sambil melurutkan dagu yang sudah ditumbuhi janggut putih.
“Orang zaman sekarang ni tak takut dosa.” Tuan Haji Azmin berkata.
“Betul tu, Bang.” Puan Hajjah Karissa bersetuju. Dada Dizyan berdegup pantas. Serasa ingin meletup. Dapatkah mereka menerima hakikat apa yang telah terjadi ke atas diriku sepanjang ku berada di rantauan orang dulu? Gumam Dizyan sendirian di dalam hati.
“Eh, cerita...cerita jugak. Yan nak kena masuk office pukul berapa?” pertanyaan Puan Hajjah Karissa mengembalikan Dizyan ke alam nyata.
“Pukul 9, Umi.” Ujar Dizyan. Puan Hajjah Karissa menjenguk ke arah jam antik yang terletak di sudut rumah. Lagi 45 minit, jam 9.
“Hmm...pergilah cepat. Nanti lambat pulak. Dahlah office kamu tu kat tengah-tengah K.L. Kamu nak redah jam lagi.” Dizyan mengangguk selepas mendengar kata Puan Hajjah Karissa.
Dizyan tunduk menyalami kedua ibubapa dan Asyifa. Dia segera menuju ke rak kasut. Mengambil kasut tumit tinggi yang sedondon dengan rona baju yang dipakai. Membunyikan alarm kereta. Diletakkan tas tangan dan fail yang dibawanya ke kerusi penumpang sebelah. Dia masuk ke dalam kereta. Dihidupkan enjin kereta MyVi Limited Edition berwarna Tangerine Orange. Kereta itu dihadiahkan oleh Abah sempena dia berjaya menamatkan pembelajarannya dan bergelar seorang graduan. Kereta itu terus menderum pergi membelah kawasan perumahan yang agak lengang.


HARTANTY sudah tiba di pejabat awal pagi lagi. Selepas menerima panggilan daripada Faizal. Menurut arahan Faizal, dia harus pergi ke pejabat awal. Belum pernah Hartanty tiba di pejabat sebelum pukul 9. Selalunya 10 ke atas, baru nampak batang hidungnya muncul di ruangan pejabat itu. Diletakkan tas tangan di dalam laci dan melabuhkan punggung di kerusinya. Dihidupkan suis komputer. Telefon pejabat berdering. Terkejut Hartanty. Siapa pula yang menelefonnya seawal ini? Ditekan punat merah yang berkelip itu dan diangkat gagang telefon.
“Hello?” jawab Hartanty lembut.
“Tanty, awak masuk dalam bilik saya. Ambil kontrak tu atas meja dan baca arahan yang telah saya tulis. Mesti ikut semua arahan tu. Faham?!” tiada ucapan salam dan sebagainya, terus sahaja Faizal memberikan arahan. Hartanty sempat mencebik.
“Baiklah, bos.” Ujar Hartanty selembut yang mungkin.
Geram juga dengan ketuanya itu kadangkala. Tahulah dia itu ketua, tetapi sesuka hati sahaja hendak memberikan arahan. Kemudian, Faizal terus mematikan talian tanpa berkata apa-apa. Hartanty menghempas gagang telefon. Nasib baik tiada sesiapa pun yang sudah sampai ke pejabat. Dia bangun dari kerusinya dan menuju ke bilik pejabat Faizal. Dikuak pintu itu perlahan. Berjalan menuju ke meja sederhana besar itu. Terlihat kontrak dan kertas putih yang terselit di antara helaian kontrak tersebut. Ditarik perlahan-lahan. Dibacanya. Berkali-kali Hartanty menepuk dahi.
“Aduh!!! Mampus aku kalau Cik Dizyan tahu pasal hal ni.” Gumam Hartanty. Dia harus mengikuti setiap arahan. Jika tidak, dia akan dipecat. Sudah Faizal nyatakan sekali di dalam surat tersebut.
“Hish...bos ni pun. Entah apalah yang didendamkan sangat dengan Cik Dizyan ni. Nak kata ex-lover? Tak mungkin. Tengok dari gaya Cik Dizyan, bukanlah taste bos.” Leter Hartanty keseorangan.
Pintu pejabat Faizal diketuk. Hartanty tersentak. Peluh sudah memercik di dahi. Lagak seperti orang baru sahaja menghabiskan sepuluh pusingan larian. Dipusingkan badannya perlahan-lahan ke belakang. Dizyan tersenyum kecil. Gadis itu melepaskan keluhan lega. Takut juga datang ke pejabat di awal pagi sebegini. Dengar cerita dari rakan sepejabatnya, sudah banyak kali mereka terserempak dengan perkara-perkara di atas paranormal ini.
“Awal Cik Dizyan datang?” ujar Hartanty dan berjalan ke arah Dizyan sambil membawa kontrak. Ditutup semula pintu bilik Faizal.
“Encik Faizal memang suruh saya datang pukul 9.” Dizyan berkata dan tersenyum. Murah dengan senyuman gadis gempal ini. Hartanty membalas senyuman itu.
“Jom kita ke bilik mesyuarat. Senang untuk tandatangan kontrak.” Kata Hartanty. Dizyan mengangguk. Dia membuntuti Hartanty ke bilik mesyuarat yang terletak bersebelahan dengan bilik pengerusi dan pemilik syarikat. Hartanty membuka pintu bilik mesyuarat dan memasang suis lampu. Bilik itu menjadi terang-benderang. Hartanty melabuhkan punggung di kerusi kepala meja iaitu kerusi yang selalu diduduki oleh Faizal atau Datuk Farid.
“Silakan duduk.” Pelawa Hartanty. Dizyan melabuhkan punggung di sebelah gadis itu.
“Ini kontraknya. Cik Dizyan bacalah dulu sebelum sign. Saya pergi buat air, kejap.” Ujar Hartanty dan segera bangun untuk menuju ke pantri. Dizyan mengangguk perlahan. Beberapa minit kemudian, Hartanty kembali semula ke bilik mesyuarat dengan membawa 2 gelas cawan. Satu diletakkan dihadapan Dizyan. Satu lagi dihirup perlahan. Panas!
“Cik Dizyan dah baca?” tanya Hartanty apabila dilihatnya Dizyan sudah menutup kontrak tersebut. Takut juga jika Dizyan menolak akan syarat-syarat yang ditetapkan.
“Dah.” Jawab Dizyan perlahan.
“Jadi, macam mana? Cik Dizyan setuju?” tanya Hartanty takut-takut.
“Saya setuju.” Dizyan menjawab lagi. Lega. Hartanty mengurut dada.
“Bolehlah kita sign contract.” Hartanty menarik kontrak itu dan membuka di muka surat yang harus ditandatangani. Dilihatnya Dizyan menandatangani kontrak tersebut. Sekali lagi dia melepaskan keluhan lega. Dia menarik kontrak itu. Hartanty berdiri dan membawa kontrak itu bersama.
“Mari, Cik Dizyan. Saya tunjukkan office Cik Dizyan.” Ujar Hartanty lagi. Dizyan mengangguk dan turut bangun. Keluar dari bilik mesyuarat tersebut. Membuntuti Hartanty sehingga ke mejanya. Hartanty mencapai tas tangan yang ada di dalam laci.
“Mari, Cik Dizyan.” Kata Hartanty. Dizyan menjadi pelik. Dimanakah tempat duduknya sehingga Hartanty terpaksa membawa tas tangan sekali? Tetapi, Dizyan masih tidak berkata apa-apa. Apabila dilihatnya Hartanty menekan butang lif untuk ke tingkat bawah. Dia menekan butang G untuk lobi. Kemudian, mereka sama-sama turun dari lif yang dinaiki itu. Melintasi kaunter penyambut tetamu. Auzra tersenyum ke arah Dizyan. Senyuman itu dibalas.
“Kat mana Cik Dizyan parking kereta?” tanya Hartanty. Dizyan mengerutkan dahinya.
“Ermm...kat sebelah tower ni.” Ujar Dizyan lambat. Dia bingung.
“Okay. Cik Dizyan bawak kereta Cik Dizyan. Saya bawak kereta saya.” Hartanty berkata lagi.
“Kita nak kemana sebenarnya ni, Cik Hartanty?” giliran Dizyan pula bertanya. Sudah tidak mahu bermain teka-teki.
“Panggil Tanty saja. Nanti saya akan terangkan pada Cik Dizyan bila kita dah sampai tempat tu. Cik Dizyan tunggu kat depan tower ni, ya.” Hartanty tidak mahu mengulas lebih lanjut. Dia terus berjalan laju meninggalkan Dizyan yang terpinga-pinga. Hartanty mengambil lif yang lain untuk turun ke Basement. Dizyan berjalan keluar dari bangunan yang gah itu dan pergi mengambil keretanya. Menunggu dihadapan tower tersebut.
Kelihatan kereta Hartanty yang juga MyVi berwarna putih keluar dari bangunan tersebut. Dihonkan sekali supaya Dizyan mengikutinya. Kedua-dua MyVi tersebut membelah kesibukan jalanraya yang penuh sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu untuk masuk ke dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur. Kiri kanan penuh dengan kenderaan. Nasib baik jalan yang mereka ingin lalui bertentangan dengan jalan ke Kuala Lumpur. Tetapi jalanraya menghala Jalan Duta, juga sesak. Dizyan memasang radio. Untuk mengelak rasa mengantuk. Dia pasti akan rasa mengantuk jika memandu sewaktu jalanraya sesak. Lagu kegemarannya berkumandang di corong radio. Nyanyian Lady Gaga bertajuk Poker Face. Kereta Hartanty membelok ke arah Damansara Utama sebelum memasuki jalan menuju ke Kota Damansara. Semakin berkerut dahi Dizyan.
“Ini kawasan rumah. Ada ke pejabat kat sini?” gumam Dizyan sendirian di dalam kereta. Dilihatnya Hartanty memberhentikan kereta dihadapan sebuah rumah banglo. Dizyan memarkirkan keretanya di sebelah kereta Hartanty. Dia turun dari keretanya dan berjalan ke arah Hartanty yang tersenyum kecil.
“Kita buat apa kat sini, Tanty?” tanya Dizyan curiga.
“Cik Dizyan jangan marah saya, tau. Sebelum tu, Cik Dizyan baca dulu surat ni.” Ujar Hartanty dan menyerahkan surat yang ditulis oleh Faizal itu. Terbelalak biji mata Dizyan.
“Apa?! Saya kena kerja dekat rumah dia sebagai pembantu rumah?” ulang Dizyan akan ayat yang ditulis Faizal itu. Wajah Hartanty sudah berkerut. Ditundukkan wajahnya.
“Habis, kenapa suruh saya sign contract segala?” nada suara Dizyan sedaya-upaya cuba dikendurkan. Menahan marah.
“Itu untuk memastikan Cik Dizyan tidak melawan kata-kata Encik Faizal atau berhenti secara tiba-tiba.” Jelas Hartanty. Rasa serba salah menyerbu di hati.
“Tanty, awak dah bersekongkol dengan bos awak untuk menipu saya. Saya boleh menyaman awak berdua atas kes penipuan. Awak tahu tak saya ni anak Tuan Haj....” ayat Dizyan tergantung. Tidak jadi diteruskan. Dia terfikir semula. Dia mencari kerja inipun untuk berdikari sendiri daripada bergantung hidup dengan Tuan Haji Azmin selamanya.
“....pendek kata saya kenal lah peguam terkenal di Malaysia tu.” Dizyan berkata. Wajahnya dialihkan ke arah lain. Hartanty mengangkat muka memandang Dizyan.
“Cik Dizyan kenal Tuan Haji Azmin dan Asyifa Dahari?” tanya Hartanty. Dia menelan air liur apabila dilihatnya Dizyan mengangguk pantas.
“Cik Dizyan, maafkan saya. Saya terpaksa ikut arahan Encik Faizal. Kalau tidak, dia akan pecat saya.” Berkali-kali Hartanty memohon kemaafan. Sebenarnya, Dizyan tiada perasaan amarah pada Hartanty. Tetapi dia paling benci ditipu. Sepertimana Aneeq pernah menipunya.
“It’s ok, Tanty. Benda dah jadi pun. Tapi, nampaknya Encik Faizal awak tu memang berhajat nak mengenakan saya. Tak apa. Saya akan ikut rentak permainan dia. Nanti, kita tunggu dan lihat. Siapa yang akan tersungkur di akhir permainan.” Janji Dizyan bersungguh. Hartanty memandang wajah gadis disebelahnya itu tidak berkelip. Sesungguhnya, Dizyan tidak hanya bermain kata. Dia akan mengotakan janjinya. Hartanty terlihat senyuman sinis yang terukir di bibir Dizyan. Hartanty juga turut tersenyum. Nampaknya lelaki ini sudah bertemu buku dengan ruas.


BERSAMBUNG.....


7 tukang komen paling setia:

Siti Fatimah said...

Hai, sy seronok bc novel awak.... :D

kesian kt dizyan. die kene rogol ngn aneeq ke. faizal tu tak sudah2 nk kenekan die. kesian kt die... uhuhuhuhu.....

nurhakim said...

eeeee
geram tul lah ngn faizal 2...
asal lah p sruh yan jdi org gji plk????
xptt tul lah...
antra aneeq & yan plk apa sbnarnya yg jdi???
xsbar nk thu..
smbng cpat2 tau kak ecah..

sYaFaRiNa said...

kuang ajau btol si faizal ni...
saman bru tau...
huhuhu
sorry ecah ter'emo' plak..

Anonymous said...

eeii x baik gila faizal tu
sape nak join sy lempang laju2 si faizal tu? heh
alaa dah x tau sape hero yan ni
aneeq ke faizal? haha

keSENGALan teserlah.. said...

haaaa..
mesty plan si aneeq rogol dizyan dlu tuh..
adehh..kejam gle aneeq...benci2..
nseb bek si faiza smpat selamatkan..
huhu..dizyan jd orng gaji faizal??
haha....pasnieh mesty byk peperanagan berlaku..hehe..
hope si dizyan tuh ajar si faizal cukop2..
kasi dye tunduk kat yan..
hehe...smbung2..

::cHeeSeCaKe:: said...

erm, dizyan kapel ngn aneeq ke dulu? pastu aneeq rogol die ek? seannye dizyan, xpasal je jd pmbntu umah..wat penat nye study overseas..huhu..best2..nk lg..!

Vanessa Newton said...

Thiis is a great post