BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 28, 2009

Kau Milikku 2

BAB 2

“PERGI mampuslah dengan kau punya nightmare. Apa...kau ingat ni cerita I Know What You Did Last Summer? Atau Texas Chainsaw Massacre? Or Friday Night The 13th? Ohh...atau kau ingat ni Urban Legend, The Exorcist? Eh, hello...kau ni banyak sangat kot tengok cerita-cerita macam tu sampaikan kepala otak kau tu dah tak betul. Pergi mampuslah, gila!!!” talian yang dimatikan itu benar-benar membuatkan darah Faizal menyerbu ke mukanya. Kalaulah Dizyan yang berada dihadapannya ketika itu, mahu nahas Dizyan dikerjakan dek Faizal itu. Bagaimana aku nak ajar perempuan blue hyppo itu? Aneeq menepuk bahu Faizal dengan kuat menyebabkan Faizal tersentak dari lamunannya.
“Macam mana? Kau dapat takutkan dia tak?” Aneeq bertanya. Faizal tersengih. Kesemua ahli kumpulannya masih menanti butir bicara dari Faizal.
“Hey, tengok oranglah. Ni Faizal kan. Mestilah dia takut. Lepas aku cakap je, terus dia hang up.” Ujar Faizal separuh riak. Asrul memandang sinis.
“Ye ke dia hang up? Ke kau kena sembur se-das dengan dia dulu? Aku kenallah Yan tu macam mana.” Asrul tergelak kecil. Rizal hanya mengangguk seperti burung belatuk hendak menyiapkan tukangan sahaja, lagaknya.
“Yang kau ni Rul, nak sebelahkan si blue hyppo tu apa hal? Kau dah lupa prinsip geng kita?” Aneeq menolak perlahan bahu Asrul.
“Ohh...lupa pulak aku. Kau kan suka kat dia. Tu lah sebabnya kau tak bagi orang lain aniaya dia kan?” ejek Aneeq. Ahli kumpulan yang lain hanya mentertawakan Asrul.
“Aku back up dia bukan sebab aku suka dia. Aku hanya satu study group dengan dia je. Aku tak naklah tengok kau orang semua ni aniaya dia. Bukan aku tak tahu kau orang punya perangai kalau nak naya orang.” Asrul membela diri. Sememangnya dia tiada perasaan pada Dizyan. Tetapi disebabkan dia bercinta dengan teman baik Dizyan, Misha. Dan Misha pernah memberi amaran kepada Asrul jangan sekali-kali ikut sama perangai geng-gengnya menganiaya Dizyan. Jika tidak, Misha akan memutuskan hubungan mereka berdua. Dan sudah tentu, Asrul tidak mahu semua itu berlaku.
“Whatever.” Aneeq berkata dan melabuhkan punggung disebelah Nazem.
“Sudahlah. Kita ke sini nak bincang macam mana nak kenakan dugong sesat tu.” Ujar Faizal. Meleraikan mereka berdua dari bertikam lidah.
“Aik?! Dugong sesat pulak. Kalau tak, selalunya blue hyppo.” Sampuk Hakimy.
“Ahh...suka hati akulah. Blue hyppo ke, dugong sesat ke, godzilla ke. Suka hati akulah nak panggil apa pun.” Malas Faizal melayan kata-kata gengnya itu.
“Aku blah dululah, Fez. Aku ada date.” Ujar Asrul. Sudah malas mahu masuk campur urusan mereka semua ini. Dia hanya bersalaman dengan Faizal. Lelaki itu hanya mengangguk perlahan.
“Date dengan dugong tu ke?” sinis sekali Aneeq berkata. Asrul berpaling memandang Aneeq yang tersengih seperti kerang busuk.
“Sekurang-kurangnya aku ada girlfriend, walaupun dia tu dugong. Bukan macam kau.” Sela Asrul. Berdesing telinga Aneeq mendengar kata-kata pedas itu.
“Kurang ajar!!!” Aneeq sudah berdiri dengan penumbuknya. Berjalan pantas untuk menghayun tumbukan itu. Asrul sempat mengelak. Rizal dan Hakimy sudah memberikan pertolongan. Tidak mahu pergaduhan ini menjadi besar dan memecahkan ahli kumpulan mereka.
“Sudah!!! Baik kau blah je, Rul.” Faizal berkata lantang. Asrul segera beredar.
“Yang kau ni Neeq, nak menyakitkan hati dia buat apa? Apa yang kau dapat? Balik-balik hati kau jugak yang sakit.” Faizal menepuk bahu Aneeq. Menyabarkan sahabat yang seorang itu.
“Dahlah. Kita lupakan je hal tadi. Sekarang ni fikir macam mana nak kenakan dugong sesat tu balik. Berani dia tengking aku. Dia belum kenal siapa aku. Ni Fezrull Faizal lah anak Datuk Farid.” Ujar Faizal dengan bangga. Yang lain hanya turut tersenyum sinis mengenangkan perkara yang bakal berlaku terhadap gadis yang bernama Dizyan Farhana.
Sedang mereka melepak di taman KLCC, kelihatan dari jauh Ku Zhety melangkah dengan lenggang lenggoknya menuju ke arah mereka bertujuh. Di wajahnya bertempek bedak setebal 14 inci. Tersenyum menggoda ke arah Faizal.
“Tu awek opera cina kau dah sampai.” Sinis sekali Najib berkata. Mata yang lain semua tertuju ke arah Ku Zhety. Ada yang menahan tawa, ada yang tersengih.
“Wei, opera cina pun awek aku tu.” Tetapi Faizal tetap tertawa mendengar kata-kata Najib itu. Ku Zhety melabuhkan punggung disebelah Faizal dan sempat menjeling ke arah Najib. Tahu sangat mereka mengumpat tentang dirinya. Dan dikepalai oleh Najib.
“Yang, jom tengok wayang. I boringlah nak hang out dengan kawan-kawan you ni.” Kata Ku Zhety dengan perangai gedik yang tidak habis itu. Yang peliknya, Faizal sedikit pun tidak rasa jelek dengan sikap Ku Zhety itu.
“Habis, kalau I hang out dengan you, kawan-kawan you tu nak hang out dengan siapa?” Faizal menjuihkan bibirnya ke arah rakan-rakan Ku Zhety yang berdiri tidak jauh dari tempat mereka melepak.
“Kalau kau orang suka, pilihlah yang mana satu kawan aku tu yang nak dijadikan date ke, girlfriend ke.” Laung Ku Zhety ke arah ahli kumpulan Faizal.
“Oii cik adik. Kau ingat kawan-kawan kau tu, macam beli ikan kat pasar. Mari...mari...mari...beli seekor percuma lapan.” Ejek Najib seperti tauke jual ikan di pasar. Dengan tidak tertahannya, yang lain menghamburkan tawa mereka. Ku Zhety menjeling geram.
“You pergilah hang out dengan kawan-kawan you. Lagipun, I dah lama tak lepak dengan dia orang ni. Asyik dengan you je.” Faizal menolak cadangan Ku Zhety itu.
“Alaa...you memang tak sayangkan I.” Rajuk Ku Zhety.
“Kalau dia tak sayangkan kau, dah lama dia tinggalkan kau. Macamlah kat sekolah kita tu, tak ada yang lebih cantik dari kau. Kalau setakat muka macam tepung gomak ni, berlambak dia boleh dapat.” Najib berkata pedas. Faizal menggeleng perlahan. Dia tahu mulut Najib laju berkata-kata. Tetapi dia juga tidak menyalahkan Najib. Lelaki itu lebih mengenalinya kerana mereka berkawan sejak kecil lagi. Lebih kenal akan citarasanya terhadap wanita.
“Jib...you ni....Argh!!!!” terus sahaja Ku Zhety beredar. Malas hendak bertekak dengan Najib. Dia tahu kalau dia berlawan mulut dengan Najib, pasti Najib akan menang. Dan yang lebih sakit hati lagi, Faizal tidak akan menyebelahinya.
“Jib, cakap tu berlapik lah sikit.” Faizal menegurnya perlahan.
“Aku dah tak tahan gila dengan awek kau tu. Macam-macam hal. You tak sayang I....You tak cintakan I.” Najib mengejek dalam lenggok gedik Ku Zhety itu. Faizal hanya mampu tersenyum. Tidak tahu hendak berlawan kata apa-apa lagi.
“Sekarang ni kita sama-sama fikir nak kenakan si dugong sesat tu.” Ujar Faizal.
“Esok tak boleh nak balas dendam kat dia, sebab hari Jumaat. Tak ada assembly. Aku cadangkan, kita kenakan dia hari Isnin lah. Waktu perhimpunan. Lagipun kelas dugong tu, ada P.J kan.” Aneeq berkata. Seolah-olah memberikan satu cadangan yang agak bernas buat mereka. Sudah tahu apa yang difikirkan oleh Aneeq itu.
“Okay, set. Kita kenakan dugong tu cukup-cukup hari Isnin ni.” Faizal turut bersetuju dengan cadangan Aneeq. Kemudian, mereka satu kumpulan tertawa kuat menyebabkan orang disekeliling yang lalu-lalang memerhatikan mereka.


ISNIN adalah hari yang dipanggil sebagai Monday Blues. Hari yang paling malas untuk melakukan sebarang kerja dan merupakan hari permulaan bagi setiap minggu. Dan, seperti biasa, setiap hari Isnin akan diadakan perhimpunan di laman sekolah atau kalau hari Isnin itu hujan, akan diadakan di dewan sekolah. Dizyan dengan malas melangkah ke arah laman sekolah setelah beg yang sarat dengan buku dan baju untuk pendidikan jasmaninya itu diletakkan di dalam kelas. Ditemani Misha dan Yasmin.
“Sha, Yas...aku dahagalah. Aku pergi beli air kejap.” Ujar Dizyan. Sahabat-sahabatnya hanya mengangguk. Mereka kembali meneruskan perkara yang menjadi topik hangat perbualan mereka sejak tiba disekolah tadi. Laju kaki Dizyan melangkah ke arah kantin yang cerah dengan lampu. Cuaca yang agak mendung pagi itu seperti hendak hujan sahaja. Minta-mintalah hujan. Boleh duduk dalam dewan. Kalau di laman sekolah, pasti baju sekolah mereka berpasir setiap kali diminta duduk di situ. Dalam dewan tidaklah terlalu kotor, doa Dizyan dalam hati.
“Kak Nah, air sirap satu.” Ujar Dizyan pada tukang masak kantin tersebut. Tersenyum sahaja wanita yang bernama Kak Nah atau Rusnah itu.
“Ni air sirap kamu.” Kak Nah menghulurkan air sirap yang dibungkus di dalam plastik dan diikat tepi kepada Dizyan. Gadis itu menyambutnya dan menghulurkan pula not seringgit untuk membuat pembayaran. Sebaik sahaja Dizyan berpusing, badannya terasa terhuyung-hayang. Segera dia berpaut pada rel besi yang dijadikan penghadang untuk memisahkan kaunter minuman dan makanan. Matanya melekap pada baju putih yang sudah diwarnai rona merah. Dilihat pula pada air sirap yang sudah separuh penuh itu. Mendongak memandang gerangan dihadapan yang melanggarnya itu. Tersengih seperti kerang busuk.
“Kau!” jerit Dizyan. Faizal membuat muka selambanya.
“I’m your worst nightmare. Aku akan kacau bilaukan hidup kau selama-lamanya.” Faizal berkata sinis. Bibirnya sengaja disengetkan untuk menampakkan karekter jahat.
“Worst nightmare kepala hotak kau. Yang kau nak kacau hidup aku ni kenapa, gila? Aku nak kau ganti balik air aku. Baju aku ni, aku nak kau basuh sampai putih balik.” Kuat Dizyan berkata. 2-3 orang pelajar tingkatan 3 dan 4, hanya memerhatikan mereka tidak berkelip.
“Kau tunggu jelah time assembly nanti. Kau nak minum banyak sangat air nak buat apa? Dalam badan kau tu dah ada banyak air.” Kata-kata Faizal membuatkan telinga Dizyan menjadi panas.
“Patutlah macam ikan buntal.” Aneeq pula menyambung kata dari belakang Faizal. Mereka sama-sama mengalih pandang ke arah ahli-ahli kumpulan Faizal yang baru tiba seorang demi seorang.
“Hey! Ikan buntal aku pun, aku comel lagi dari kau yang macam tapir tak ada hidung.” Dizyan masih meninggikan suara. Yasmin dan Misha yang menuju ke arah kantin segera berlari apabila mendengar suara Dizyan yang melaung tinggi itu. Aneeq mengepal penumbuk.
“Ini sudah lebih, buntal.” Aneeq berkata. Ingin sekali dia menghayunkan penumbuk ke arah Dizyan. Segera dihalang oleh Faizal yang berdiri menghadap gadis comel itu.
“Hey, Aneeq! Kau dengan perempuan beranilah. Dasar lelaki dayus. Patut pun Yan cakap kau ni tali barut Faizal.” Tiba-tiba Yasmin masuk campur. Mereka yang lain tersentak dan memandang ke arah Yasmin yang berdiri dihadapan mereka.
“Apa hal pulak minah saleh celup ni nak masuk campur?” Aneeq menyindir. Dia tahu Yasmin ada darah campuran. Tapi dia juga tahu Yasmin tidak suka dipanggil minah saleh.
“Mulut kau ni kan memang tak ada insurans. Agaknya kalau kau mati terbakar, mulut kau yang dulu-dulu disambar dek api.” Yasmin berkata pedas.
“Yang kau orang nak masuk campur dalam urusan aku dengan kawan dugong kau ni, apasal?” tanya Faizal. Buat-buat bersuara lembut.
“Yan ni kawan kita orang. Kalau si tali barut kau tu boleh masuk campur, takkan aku tak boleh.” Bidas Yasmin. Ada kebenaran juga kata-kata gadis itu. Mereka semua terdiam. Dizyan hanya tersenyum sinis. Mata Yasmin dan Misha melekap pada baju putih Dizyan.
“Apa dah jadi dengan baju kau ni, Yan?” tanya Misha tiba-tiba.
“Nilah mamat saleh celup ni punya pasal.” Unjuk Dizyan ke arah Faizal yang berdiri dihadapan mereka itu. Mencerlung mata Faizal. Dia tidak suka dipanggil mamat saleh celup. Dia memang ada darah campuran sebelah bapanya. Tapi, memang tidak dinafikan Faizal mempunyai raut wajah yang cukup menawan sehingga dapat mencairkan hati mana-mana gadis termasuk Dizyan. Ada juga cikgu-cikgu wanita yang masih bujang juga cuba untuk mengurat Faizal.
“Dahlah tu, Yan. Jom kita pergi toilet. Cuci baju kau ni. Nanti lagi kotor pulak.” Misha berkata. Tidak mahu pertengkaran itu berlanjutan. Mereka bertiga segera beredar ke tandas wanita. Harus cepat kerana sebentar lagi juga akan diadakan perhimpunan. Seorang pelajar pun tidak dibenarkan tidak menghadiri perhimpunan. Kecuali pelajar itu memang tidak datang ke sekolah.
“Kau orang dah ready?” tanya Faizal kepada ahli kumpulannya.
“Dah, bos. Tunggu show time je nanti.” Ujar Aneeq pula. Yang lain hanya mengangguk dan tersenyum jahat. Kemudian, mereka semua menuju ke laman sekolah untuk berhimpun.
Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti oleh seorang demi seorang guru memberikan kata-kata yang biasa didengari di dalam perhimpunan setiap minggu. Kesemua pelajar diminta duduk di atas lantai yang berpasir itu. Dan juga seperti biasa, ada pelajar yang menguap, ada yang bersembang sesama sendiri. Yang paling pasti, hanya 2-3 orang sahaja yang benar-benar mendengar setiap guru yang dikehendaki bercakap itu, menyampaikan pesan. Dizyan, Yasmin dan Misha adalah pelajar-pelajar yang tidak terkecuali bersembang sesama sendiri.
“Dizyan, Yasmin, Misha....sila senyap! Pandang ke depan dan dengar cakap cikgu tu.” Seorang pengawas tingkatan 6 bawah, berkata tegas. Mereka terus terdiam dan memandang ke hadapan.
“Dizyan Farhana binti Azmin. Diminta ke bilik guru disiplin, sekarang.” Ujar salah seorang pengawas lelaki tiba-tiba. Semua mata tertumpu ke arah Dizyan. Gadis itu terpinga-pinga tidak faham. Ahli kumpulan Faizal sudah tersengih. Dizyan terus mengangkat punggung dan beredar dari laman perhimpunan. Misha dan Yasmin saling berpandangan.
Pintu bilik guru disiplin, diketuk perlahan. Arahan masuk diberikan. Dizyan segera melangkah masuk dan menutup semula pintu bilik tersebut. Kelihatan guru disiplin itu tengah sibuk mencatit sesuatu di atas kertas. Dizyan hanya berdiri tercegat di hadapan meja guru disiplin yang dikenali sebagai Cikgu Alias. Lelaki tua itu membuka cermin matanya dan memandang ke arah Dizyan dengan pandangan yang sangat tajam.
“Kamu tahu kenapa saya panggil kamu ke sini?” tanya Cikgu Alias, tegas. Dizyan menggeleng perlahan. Takut untuk bertentang mata dengan guru yang sangat dikenali kerana ketegasannya.
“Saya dapati kamu telah melakukan vandalisma.” Terus sahaja Dizyan mendongak memandang Cikgu Alias dengan pandangan tidak percayanya.
“Vandalisma?”
“Ya. Kamu telah menconteng di dinding tandas dengan menggunakan perkataan-perkataan yang kurang elok. Dan, telah memalukan rakan satu sekolah kamu.” Ujar Cikgu Alias lagi. Membetulkan cermin mata yang sudah melorot jatuh.
“Hah?!” Dizyan masih tidak faham.
“Saya nak kamu lihat di dinding tandas perempuan. Dan, sebagai hukumannya, saya nak kamu bersihkan tandas itu selepas waktu sekolah.” Dizyan sudah tidak dapat melawan kata. Bersihkan tandas? Hukuman yang sangat ringan. Ingatkan hendak dihukum apalah tadi.
“Baiklah, cikgu.” Dizyan berkata dan meminta diri untuk beredar dari bilik guru disiplin yang berhawa dingin itu. Kakinya laju melangkah ke kelas. Perhimpunan sudah tamat. Kesemua pelajar diminta untuk kembali ke kelas.
Dizyan melabuhkan punggung disebelah Kartika. Misha dan Yasmin menyerbu ke arah Dizyan. Nasib baik guru subjek yang seterusnya tidak masuk ke kelas kerana tidak hadir. Kalau tidak, habis ditegurnya mereka.
“Kenapa kau kena panggil dengan Cikgu Alias?” tanya Yasmin tidak sabar. Dizyan mengeluh.
“Katanya, aku buat vandalisma.” Ujar Dizyan ringkas. Ternganga mulut mereka berdua.
“Ish...tak percayalah aku.” Yasmin pula berkata.
“Jom temankan aku kejap pergi tengok kat toilet.” Ajak Dizyan. Yasmin dan Misha mengangguk. Terus sahaja mereka menuju ke arah tandas yang dikatakan Dizyan membuat vandalisma.
Tiba sahaja dalam tandas, mulut masing-masing melopong. Habis satu dinding tandas dengan nama Ku Zhety dan rakan-rakannya dijaja di atas dinding tersebut. Siap melukis lagi gambar Ku Zhety. Dizyan menelan air liur. Dia memanglah pandai melukis tapi tidaklah secantik ini lukisannya. Di bawah lukisan itu siap ada initial namanya lagi. D.F.A.
“Ini mesti tak lain dan tak bukan, kerja si Faizal dengan geng dia tu.” Ujar Yasmin tiba-tiba. Misha mengangguk tanda setuju.
“Yan....Yan!!!” panggil seorang pelajar dan berlari ke tandas. Dilihatnya Kartika tercungap-cungap menahan mengah.
“Kenapa, Tik?” Dizyan bertanya.
“Seluar...seluar...seluar kau. Seluar P.J kau.” Ujar Kartika cemas. Dizyan resah.
“Kenapa dengan seluar aku?”
“Faizal and the boys gantung seluar kau kat sarang tebuan yang ada kat pokok belakang sekolah tu.” Kartika berkata lagi. Mata Dizyan terbelalak. Segera mereka berempat berlari ke arah pokok yang dinyatakan oleh Kartika itu. Dizyan memandang ke arah pokok yang ada sarang tebuan itu. Memang seluarnya tergantung disitu.
“Yan, kalau kau tak pakai baju P.J, nanti kena denda lari satu padang sekolah 10 kali.” Sela Misha. Yasmin dan Kartika kasihan melihat Dizyan yang selalu dianiayai oleh geng-geng Faizal.
“Aku lebih rela kena denda dari ambil seluar aku balik dan kena sengat dengan tebuan ni.” Dizyan berkata lemah. Yasmin menepuk-nepuk bahu Dizyan.
“Sabarlah, Yan. Satu hari nanti, geng-geng keparat tu mesti akan terima balasan mereka balik kerana naya orang-orang macam kau ni.” Nasihat Yasmin. Misha dan Kartika mengangguk tanda setuju. Dizyan hanya tersenyum. Lega kerana mendapat sahabat seperti mereka.

BERSAMBUNG....

3 tukang komen paling setia:

::cHeeSeCaKe:: said...

ee..too muchla faizal n da geng ni
sean tol yan..
andai la 1 ari nti,si faizal tu terjatuh hati kt si yan ni..
jgn senang2 je yan terime..ajar die skit..(ehehe..emo plak)
akk,smbung lg ye..!bestla novel2 akk..

nurhakim said...

best lah kak ecah...
t bla diaorg bsar jgn lah aneeq ngn faizal berebut nk raih cnta dizyan plk..hihii
pe2 pn bt best2 tau kak ecah..

Bie Hassan said...

best betul la kak ecah...
tp faizal n geng dia da melampau sngt...
kecian dizyan...