BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, March 4, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 44

BAB 44

LONGLAI Nurradiah melangkah turun ke tingkat bawah. Kesemua mata yang ada disitu tertumpu ke arah Nurradiah. Hafiz masih lagi mengendong Adam yang sudah diam. Semasa Nina membawa Adam turun, dia masih lagi menangis dengan kuat. Sebaik sahaja berada di dalam dakapan Hafiz, terus sahaja diam. Betapa hebatnya aura seorang ayah. Nina terus mendapatkan Nurradiah.
“Kenapa dengan Adik tu, Ma?” tanya Nina. Dia memapah Nurradiah ke sofa. Mereka sama-sama melabuhkan punggung. Nurradiah tidak menjawab sebaliknya airmata yang menghiasi tubir mata. Pantas diseka airmata yang menitis.
“Dahlah tu. Jom makan. Hafiz pun dah lama tunggu.” Nurradiah terus bangun dan menuju ke meja makan. Diceduk nasi untuk Syed Mahfuz dan Nina. Hafiz masih lagi tidak menyenduk lauknya. Dia leka melayani karenah si kecil Adam.
“Makanlah dulu, Fiz. Biar Auntie yang jaga Adam.” Nurradiah menghulur tangan kepada Adam. Anak kecil itu berpaling dari neneknya. Menyembamkan muka ke dada Hafiz.
“Eh, tak nak pulak dengan nenek. Rindu sangat ke pada Ayah?” pipi gebu itu dicubit Nina.
Kali pertama Hafiz berjumpa dengan Adam, dia dapat merasakan satu perasaan yang belum pernah dirasainya. Mungkin itulah perasaan seorang ayah mempunyai anak. Sejak itu jugalah, Hafiz sudah membahasakan dirinya sebagai Ayah. Sudah dinyatakan niatnya itu kepada ahli keluarga yang lain. Mereka hanya menyetujui sahaja jika panggilan itu tidak akan mengurangkan sahamnya sebagai lelaki bujang. Hafiz tidak kisah kerana hatinya memang sudah dimiliki oleh hanya seorang gadis sahaja dari dulu lagi. Tidak kisah orang kata kurang saham atau jatuh standard. Bagi dia, itu semua tidak penting. Yang penting, Adam perlu merasai kasih sayang seorang ayah.
“Bang, apa keputusannya Abang pergi jumpa dengan Inspektor Hairy tadi?” tanya Nurradiah seraya mengangkat muka memandang Syed Mahfuz yang sedang menyuapkan makanan ke mulut. Lama Syed Mahfuz terdiam. Mengunyah makanan yang ada di dalam mulutnya dengan perlahan sehingga lumat. Mengikut sunnah Nabi, makanan yang dikunyah sehingga lumat akan senang untuk dihadam.
“Dia orang dah tangkap Imran masa dia sedang cuba untuk melintasi sempadan Bukit Kayu Hitam - Thailand. Ramai saudara-mara Imran masih ada di sempadan. Dia orang boleh tangkap dia kat sempadan tu sebab sehari sebelum tu, Imran ada pergi jumpa Norell senyap-senyap. Minta duit dari Norell. Ugut Norell kalau Norell tak bagi duit, Imran akan cederakan Nuriman, Atikah dan Ain. Nasib baik Zahar ikut Norell dari belakang. Sebab Norell kata dengan Zahar yang dia nak pergi jumpa client. Setahu Zahar, Norell tak ada apa-apa appointment petang tu. Terus je Zahar report polis.” Jelas Syed Mahfuz. Kasihan melihat ketiga-tiga anak buahnya itu. Mempunyai seorang ayah yang tidak berperikemanusiaan. Nurradiah menggeleng perlahan.
“Nasib baik Nuriman ada kat Australia. Jauh dari sini. Jadi, tak lah tahu sangat perihal keluarga dia. Kesian pada Atikah dan Ain lah. Masing-masing masih sekolah lagi.” Keluh Nurradiah. Hafiz diam. Tidak mahu masuk campur. Siapa Imran? Dia juga tidak mengenali siapa itu Imran. Yang dia tahu, Imran itulah penyebabnya kematian Hariz. Tetapi Hafiz redha. Dia tahu ketentuan Illahi tidak boleh dilawan.
“Abang dah beritahu pada Zahar dan Norell. Jangan beritahu apa-apa pada Nuriman. Dia tengah final exam. Tinggal lagi 2 semester je dia nak habis. Abang pesan, biar dia dah habis final exam for final semester and balik ke sini, baru kita beritahu. Terang satu-persatu pada dia.” Sambung Syed Mahfuz lagi.
“Jadi, macam mana dengan tangkapan Imran tu, Bang?”
“Dia dah dibawa semula ke penjara. Mereka akan dakwa dia atas kes cubaan membunuh dan kes bunuh. Jika disabitkan kesalahan, hukuman dia boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori.” Syed Mahfuz menerangkan kembali apa yang dijelaskan oleh Inspektor Hairy kepadanya.
“Astaghfirullahil A’zim.” Ucap mereka serentak.
“Apa yang membuatkan Imran tu nekad sangat ya, Bang.” Terfikir juga Nurradiah akan penyebabnya. Syed Mahfuz menggeleng. Tanda tidak tahu.
“Esok Abang nak pergi jumpa Imran kat penjara. I want to clarify something with him.” Ujar Syed Mahfuz. Nina menyuap perlahan ke mulutnya. Terasa tiba-tiba selera mula menghilang.
“Baguslah tu, Bang. Tanya dia apa yang membuatkan dia bermusuh dengan keluarga kita sampai macam tu sekali.” Nurradiah memberikan sokongan. Mereka kembali menundukkan wajah untuk menyambung menjamu selera.
Jam berdenting di dinding sebanyak 10 kali. Hafiz melihat jam di tangan. Sudah pukul 10 malam. Melihat Adam dipangkuannya yang sudah lena dibuai mimpi. Nurradiah tersenyum melihat Hafiz. Segera menuju ke arah anak muda itu. Ingin mengambil Adam dan dibawa ke bilik tidurnya.
“Tak apa, Auntie. Biar Fiz bawa Adam ke bilik.” Ujar Hafiz. Nurradiah mengangguk.
Perlahan-lahan dia mengangkat Adam dan menuju ke bilik Nurradiah. Diletakkan anak kecil itu di atas katil bayi miliknya. Adam bergerak sedikit. Ditepuk punggung Adam perlahan-lahan. Kemudian, lama bibir Hafiz melekap pada pipi Adam. Esok tuntutan kerjanya semakin banyak. Ada mesyuarat yang tidak berkesudahan perlu dihadiri. Mungkin selama beberapa hari tidak dapat melawat Adam. Jadi, masa yang ada ini tidak disia-siakan.
“Anak Ayah jangan nakal-nakal tau. Jangan susahkan Nenek dan Atok. Dengar cakap Mama. Ayah sayang Adam sangat-sangat.” Seolah-olah mengerti akan pesanan Hafiz itu, dilihatnya Adam sedikit mengangguk. Kemudian, diukir senyuman kecil di bibir mungil itu.
Syed Mahfuz yang berada di ruang tamu beralih ke arah Hafiz yang baru sahaja turun dari tingkat atas. Hafiz menyalami Nurradiah yang bertembung dengannya di tangga. Syed Mahfuz sudah berdiri. Hafiz menuju ke arah lelaki tua itu dan tunduk menyalami Syed Mahfuz. Nina sudah lama pulang dijemput oleh Sofyan.
“Balik dulu, Uncle…Auntie.” Ucap Hafiz. Mereka sama-sama mengangguk. Nurradiah menghantar Hafiz sehingga ke muka pintu. Sebelum Hafiz melangkah keluar dari pintu pagar, sempat dia berpaling memandang bilik tidur Aishah. Lampu bilik itu tertutup. Gelap. Tidurlah, sayang. Lepaskanlah dia dari mimpi mu yang semalam. Biarlah dia bersemadi di sana dengan tenang. Biarlah dia pergi. Bangun dari tidurmu yang berpanjangan, rintih Hafiz. Dia melepaskan keluhan. Berjalan melepas pintu pagar automatik. Segera masuk ke dalam kereta dan dihidupkan enjin keretanya. Dan menderum pergi. Membelah malam yang kedinginan.


PAGI-pagi lagi, pemandu yang selalu membawa Syed Mahfuz ke pejabat sudah ada dihadapan rumahnya. Syed Mahfuz keluar dengan mengendong beg bimbit. Diserahkan kepada Pak Amat. Lelaki tua itu terus mengambil dan memasukkan ke dalam kereta. Diletakkan di kerusi belakang. Syed Mahfuz membuka pintu belakang dan terus masuk ke dalam perut kereta. Diikuti oleh Pak Amat. Dia menghidupkan enjin kereta.
“Amat, kalau saya mintak tolong awak ni, akan menyusahkan awak tak?” soal Syed Mahfuz lembut. Pak Amat mengerutkan dahi.
“Ada apa, Tan Sri?” Pak Amat bertanya kembali. Sudah beberapa bulan yang lepas, Syed Mahfuz mendapat gelaran Tan Sri selepas dikurniakan pangkat darjah kebesaran itu daripada Yang Dipertuan Agong.
“Kita ke Penjara Sg. Buloh. Kalau itu tak menyusahkan kamulah, Amat.” Ujar Syed Mahfuz. Dia tidak mahu dikatakan menggunakan khidmat pemandu dan mengambil kesempatan. Untuk urusan peribadi pun, menggunakan khidmat pemandu.
“Boleh, Tan Sri. Tak ada masalah. Tak menyusahkan saya pun. Kan ini memang dah kerja saya.” Ujar Pak Amat sambil tersenyum.
“Baiklah, Amat. Terima kasih.” Ucap Syed Mahfuz.
“Sama-sama, Tan Sri.” Pak Amat menjadi segan dengan kebaikan Syed Mahfuz. Keretanya terus ditala menuju ke arah destinasi yang ingin ditujui oleh Syed Mahfuz.
Kereta yang dipandu oleh Pak Amat berhenti betul-betul dihadapan Penjara Sg Buloh tersebut. Perlahan-lahan Syed Mahfuz melangkah turun. Pak Amat beredar dan mencari tempat untuk diparkir. Syed Mahfuz masuk ke dalam kawasan penjara tersebut. Menulis sesuatu diatas buku log kedatangan pelawat. Sudah dinyatakan kepada pegawai yang menjaga penjara tersebut. Ingin berjumpa dengan banduan bernama Imran Hamidin bin Kamal Sazli. Setelah kebenaran diberikan, Syed Mahfuz melangkah masuk ke dalam bilik telefon yang dikhaskan untuk bercakap dengan banduan-banduan. Bilik itu diasingkan dengan kaca tebal yang berada di tengah-tengah ruangan. Syed Mahfuz melabuhkan punggung di atas kerusi yang disediakan. Masih menunggu kedatangan Imran. Kelihatan Imran berjalan menuju ke arahnya dengan selamba sambil diiringi oleh seorang pegawai polis. Dihenyakkan punggung menghadap Syed Mahfuz yang memandang Imran dengan perasaan simpati. Dia mencapai gagang telefon yang melekat di dinding. Imran masih tidak melakukan apa seperti yang dilakukan oleh Syed Mahfuz. Dia memandang telefon dengan perasaan jengkel. Syed Mahfuz mengunjukkan jari ke arah gagang telefon. Mahu tidak mahu, Imran angkat jua.
“Apa hal kau datang sini?” tanya Imran kasar.
“Im…” Syed Mahfuz tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara.
“.…Abang tak tahu nak cakap apa.” Sambung Syed Mahfuz lagi. Imran mendengus kuat.
“Kalau kau tak tahu nak cakap apa, buat apa datang sini jumpa aku? Buang masa aku jelah.” Kasar bicara Imran. Syed Mahfuz tersentak.
“Baiklah. Abang nak Im terus terang dengan Abang. Kenapa Im buat macam ni? Apa salah kami? Keluarga kami, sampai Im nekad sekali macam ni? Kenapa Im nak bunuh Abang? Apa sebabnya? Abang perlu tahu sebabnya.” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Syed Mahfuz. Tiba-tiba sahaja Imran dihujani pelbagai persoalan. Imran tergelak lucu. Tersenyum sinis memandang Syed Mahfuz. Tetapi sekejap cuma. Matanya tiba-tiba mencerlung memandang Syed Mahfuz yang segak berpakaian itu.
“Kau nak tahu kenapa aku sampai nak bunuh kau?” soal Imran. Dilihatnya Syed Mahfuz mengangguk pantas.
“Kau patut tanya bapak kau, Syed Mahathir. Semua ni terjadi disebabkan bapak kau. Kalau tak kerana bapak kau, benda ni takkan terjadi. Aku takkan kahwin dengan Norell. Mesti aku dah bahagia dengan Nisah. Kau nak tahu kenapa aku berdendam sangat dengan keluarga kau? Syarikat yang kau usahakan sekarang ni separuhnya milik bapak aku, milik keluarga aku. Yang diwariskan kepada aku. Tapi, bapak kau main taktik kotor hingga menyebabkan syarikat bapak aku bankrup. Lepas tu, bapak kau beli syarikat bapak aku dengan mengatakan bahawa akan menolong bapak aku menaikkan semula syarikat tu. Entah mana silapnya, bapak aku terjerat sama dalam permainan bapak kau. Bapak kau memang berhati busuk.” Luah Imran akan segala yang terbuku di dalam hatinya. Syed Mahfuz menggeleng.
“Itu sama sekali tak benar dengan tuduhan Im tu. Sebenarnya, Papa Im telah serahkan syarikat miliknya kepada kami kerana dah tak sanggup dikelilingi oleh hutang. Along, lintah darat, semuanya kejar Papa Im, mintak duit. Memang pada mulanya, Papa Im ingin turut sama menaikkan semula syarikat itu, tapi kemudian dia menarik diri. Dan, serahkan segala urusan syarikat dan pentadbirannya kepada SM Holdings. Dia juga telah berikan surat hakmilik syarikat yang sah kepada kami. Jadi secara hitam putihnya, KamalSazli Enterprise hak milik SM Holdings. Ayah takkan main taktik kotor untuk mendapatkan syarikat Papa Im. Dia tahu kesusahan seseorang itu membina empayarnya sendiri di dalam bidang perniagaan. Siapa tak kenal Kamal Sazli? Usahawan muda yang berjaya mencipta nama dalam sekelip mata. Tapi, Papa Im silap langkah. Oleh kerana keinginannya untuk menjadi kaya dengan segera, dia telah terjebak dalam skim anjuran lintah darat. Im tak boleh salahkan Ayah. Memang secara rasminya syarikat Papa Im tu milik kami. Bukan niat Abang untuk menjatuhkan maruah dan merendahkan martabat Papa Im. Tapi, itu yang sebenarnya terjadi.” Panjang lebar Syed Mahfuz menerangkan. Imran mengetuk meja dengan kuat.
“Ahhh…persetan dengan kamu semua. Kau dengan adik kau, sama je. Dua-dua tak boleh pakai. Tambahan lagi, adik kau tu memang bodoh. Dia ingat aku cintakan dia. Selama aku kahwin dengan dia, sekalipun aku tak pernah cintakan dia.” Imran tergelak kuat. Sinis memandang Syed Mahfuz.
“Im jangan cakap macam tu tentang Norell. Kalau Im tak cintakan Norell, mana datangnya Nuriman, Atikah dan Ain? Mereka bukan anak luar nikah. Mereka anak yang sah hubungan antara Im dan Norell.” Bentak Syed Mahfuz. Geram melihat sikap Imran. Sekali lagi Imran tergelak kuat.
“Kawal diri kamu.” Marah pegawai polis yang berada berdekatan situ. Kebanyakan banduan yang sedang bercakap dengan ahli keluarga mereka, turut mengalih pandang ke arah Imran yang sedang menekup mulut menahan tawa.
“Kau jangan nak berlagak baik dengan aku. Norell tu pelacur. Entah jantan mana yang dia tidur, lepas mengandung kata tu anak aku. Gila!” tingkah Imran. Menyerbu darah merah ke muka Syed Mahfuz. Sakit hati apabila adik sendiri dikatakan sebegitu.
“Im jangan samakan Norell dengan Nisah. Norell bukan Nisah. Dan Nisah takkan menjadi Norell. Im ingat Abang tak tahu yang Nisah mengandungkan anak luar nikah hasil hubungannya dengan Im sebelum Im kahwin dengan Norell? Abang tahu. Tapi disebabkan Ayah dan Papa Im yang beria-ia nak sangat Im kahwin dengan Norell, Abang redha. Abang bantah pada mulanya. Tapi Ibu halang Abang. Ayah dan Ibu kata, Im anak yang baik. Dengar cakap. Sangat taat. Abang mula percaya pada kata-kata mereka. Im jangan tuduh Norell sembarangan. Norell bukan perempuan murahan. Dia berasal dari keluarga yang baik-baik. Dia tahu jaga dirinya. Norell anak, adik, isteri dan ibu yang baik. Im ingat Abang tak tahu yang Im selalu pergi jumpa Nisah dan anak lelaki kamu bila ada masa. Im...Abang tak bodoh. Abang cuma butakan mata dan pekakkan telinga hanya kerana Norell. Kerana cinta Norell terhadap Im.” Sela Syed Mahfuz. Lembut dan penuh berdiplomasi cara dia berbicara. Terbelalak biji mata Imran mendengar kata-kata Syed Mahfuz. Bukan Syed Mahfuz tidak kenal akan Hanisah, setiausaha Imran sebelum syarikat mereka menjadi satu gabungan dan Imran terpaksa diturunkan sedikit pangkatnya. Tetapi Imran masih salah seorang pegawai tinggi dalam syarikat itu walaupun dia diturunkan pangkat. Disebabkan gabungan syarikat dan penurunan pangkatnya, membuatkan Imran bertekad untuk membalas dendam.
“Tapi kenapa Im libatkan Hariz? Dia tak ada kena mengena dalam permainan dendam kesumat Im ni.” Sebak suara Syed Mahfuz meluahkan rasa.
“Memang aku tak libatkan dia. Tapi nak buat macam mana. Dah dia gatal sangat naik kereta kau. Sebenarnya aku yang buat kereta tu untuk kau mampus dalam kemalangan. Tapi liat jugak nyawa kau ni kan. Sebaliknya menantu kau pulak yang mampus.” Sejurus berkata begitu, Imran sekali lagi meledak tawanya. Pegawai polis itu datang menghampiri Imran. Ditepuk bahu Imran dengan kuat.
“Kawal diri kamu. Sekali lagi kamu begini, saya akan bawak kamu balik ke sel dengan segera.” Pegawai polis itu berkata. Imran menyusun sepuluh jarinya dan tersengih seperti kerang busuk. Pegawai polis dan Syed Mahfuz menggeleng serentak. Dia berkalih pandang ke arah Syed Mahfuz.
“Im, cakap baik-baik sikit. Hariz tu menantu Abang.” Ujar Syed Mahfuz.
“Im, cakap baik-baik sikit. Hariz tu menantu Abang.” Ejek Imran dengan tawanya. Tidak lagi seriuh tadi, tapi gelaknya masih menyakitkan hati.
“Aku memang nak kau rasa macam mana kehilangan orang tersayang. Mula-mula aku hilang Papa. Dan kemudian, Mama pula. Kau fikir aku rasa macam mana. Takkan aku tak ada perasaan dendam pada keluarga kau? Kerana bapak kau jugak, keluarga aku jatuh miskin. Rumah aku disita. Keluarga aku hidup merempat. Kami tak pernah hidup susah.” Muka Imran menahan marah. Segalanya sudah dimuntahkan. Dia sudah puas.
“Pasal rumah Im disita, memang kami tak ada kena-mengena. Papa Im dah tak nak ada kaitan dengan syarikat dia. Jadi, dia menarik diri dari menjadi pemegang saham yang kedua terbesar selepas Ayah. Hal rumah disita, Papa Im dah tak bekerja dan tak mampu untuk menanggung pembayaran rumah itu kepada bank. Jadi, pihak bank telah membuat keputusan untuk menyita hartanah itu. Itu sebabnya kami meminta Im bekerja dengan syarikat kami. Supaya dapat menanggung segala perbelanjaan. Supaya dapat tebus balik rumah pusaka tu.” Jelas Syed Mahfuz sedayanya. Dia tidak mahu Imran terus menyalahi keluarga mereka.
“Dahlah. Aku dah malas nak dengar. Bagi aku, kau dan keluarga kau tetap parasit yang telah menjahanamkan seluruh hidup keluarga aku.” Imran menghempaskan gagang ke tempatnya semula. Dia terus sahaja bangun dan melangkah keluar sambil diiringi oleh pegawai polis yang bertugas. Syed Mahfuz juga turut meletakkan gagang telefon. Beristighfar dia melihat perangai Imran itu.
Perlahan-lahan Syed Mahfuz melangkah keluar dari kawasan penjara tersebut. Dia masuk semula ke dalam kereta yang dipandu oleh Pak Amat itu. Kereta itu bergerak menuju ke lebuhraya. Menuju ke destinasi seterusnya iaitu pejabat.

BERSAMBUNG....

3 tukang komen paling setia:

keSENGALan teserlah.. said...

hafiz...saba tok memiliki aty seorang aisyah..huhu...
jaat tol si imran nieh..pehal larh..smbung2..

ceritaku MEMORIKU said...

ne cer hafiz n aishah.
nk cer dorang due.
ahakzzzz
agagag.smbung2
-na'dz

nurhakim said...

eeeee....
geram tul lah ngn imran 2...
brdendam tul lah ngn fmily syed mahfuz 2...
cian plk smpai hariz jdi mngsa..
pe2 pn best...
cpat smbng tau kak ecah..
t bt epi aisyah ngn hafiz lak ek..
hihiii