BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, January 16, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 31

BAB 31

Tidak pernah terlintas di fikiran Aishah bahawa satu hari nanti dia yang akan mereka majlis dan baju pengantinnya sendiri. Tidak pernah disangka pada umur 30 tahun dia akan menamatkan zaman bujangnya. Sahabat-sahabat Aishah yang lain pada umur 25 sudah menjadi seorang ibu. Aishah tersenyum sendirian sambil melukis baju pengantin yang dibayangkan selama ini. Tangan kiri sedang asyik melukis manakala tangan kanan digunakan untuk menongkat dagu. Pintu kamar diketuk. Aishah tersentak. Segera disimpan kertas yang dilukisnya ke dalam laci sisi sebelah katil. Arahan masuk diberikan. Terjengul wajah Nadira yang tersengih. Aishah membalasnya. Tetapi kemudian dikerutkan sedikit dahi.
"Dira tak kerja ke hari ni?" tanya Aishah. Setahu dia, sesudah Subuh Nadira akan keluar ke pejabatnya. Kata Nadira, tidak mahu bersesak nanti dengan kenderaan yang semakin banyak apabila jam menginjak ke pukul 7 pagi.
"Nilah yang Dira nak cakap dengan Akak ni." ujar Nadira dan melabuhkan punggungnya ke atas katil menghadap Aishah. Tetapi kemudian Nadira diam membisu. Tidak berkata sepatah perkataan pun.
"Dira nak cakap apa? Cakap jelah." Aishah berkata dan membetulkan duduknya sedikit.
"Ermm...sebenarnya...." Nadira tidak jadi meneruskan ayatnya. Aishah sudah menjadi kurang sabar. Direnung wajah Nadira yang kurang ceria itu.
"Kenapa ni?" tanya Aishah lembut. Prihatin dengan keadaan adiknya itu.
"Akak nanti kalau ada apa-apa yang boleh Dira tolong Akak kat butik tu, Akak cakap je dengan Dira." kata Nadira. Semakin berkerut dahi Aishah.
"Habis kalau Dira tolong Akak kat butik, kerja Dira kat Astro tu macam mana?" Aishah bertanya lagi. Nadira memainkan jari jemarinya.
"Dira dah resign." ujar Nadira perlahan.
"What?! Why?" Aishah bertanya. Meninggi sedikit suaranya. Tidak percaya dengan kata-kata Nadira itu.
"Dira selalu balik mengadu kat Fuzey yang ada budak perempuan satu team dengan Dira selalu buli Dira. So, Fuzey suruh Dira berhenti je. Now, I'm unemployed." terang Nadira. Wajahnya sengaja diceriakan.
"Bagus jugak Fuzey suruh Dira berhenti. Lagipun dengan kerja Fuzey sekarang ni, dia mampu nak jaga makan minum Dira dan anak-anak dengan sempurna. Nak tambah lagi satu pun boleh." ujar Aishah sambil berseloroh. Nadira menjeling geram.
"Beranilah dia kalau pandai-pandai nak tambah kuota. Kalau dia teringin nak masuk headline paper, cubalah." Nadira berkata dan memeluk tubuh.
"Headline paper?" tanya Aishah, kurang faham.
"Yalah. 'Suami nak tambah satu lagi, isteri amuk'." barulah Aishah faham dengan kata-kata Nadira dan mereka sama-sama ketawa berdekah-dekah.
"Hmm...nanti Akak tengoklah. Kalau ada apa-apa yang boleh Dira tolong, Akak call Dira jelah." Aishah berkata sambil mengesat air matanya kerana terlalu banyak ketawa.
"Ermm...Dira ada satu soalan ni nak tanya Akak." tiba-tiba sahaja nada suara Nadira bertukar serius. Aishah tersenyum lembut.
"Apa yang serius sangat ni?" Aishah bertanya. Nadira seperti berfikir sesuatu. Nak tanya ke tak nak, fikir Nadira. Kalau tanya, takut tersinggung. Kalau tidak tanya, nanti sampai bila-bila pun tidak akan ada jawapan yang pasti.
"Kenapa Akak nak kahwin jugak dengan Abang Hariz?" tanya Nadira. Dia melepaskan keluhan perlahan. Lega dapat menanyakan soalan yang sudah bersarat di otaknya itu.
"Kenapa Dira tanya?" soalan berbalas soalan.
"Kak, Dira concern tentang Akak. Dira tak nak Akak terima Abang Hariz sebab Akak nak balas dendam kat Abang Hafiz. Jadi Akak nak kecewakan Abang Hafiz dan kahwin dengan Abang Hariz." Nadira membuat andaian sendiri. Aishah hanya tersenyum.
"Kak, Dira serius ni." ujar Nadira lagi.
"Akak pun serius nak kahwin dengan Abang Hariz." Aishah pula berkata.
"Akak cintakan Abang Hariz?" Nadira masih bertanya. Tidak putus asa. Aishah tidak memberikan sebarang respon. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.
"Lebih dari Akak cintakan Abang Hafiz?" desak Nadira lagi.
"Dira, soal hati dan perasaan ni susah untuk Akak terangkan. Sometimes, tanpa kita luah dan terangkan pun, orang boleh agak tentang perasaan kita." ujar Aishah. Nadira mengangguk perlahan. Dia faham. Mungkin susah untuk Aishah terangkan soal hati dan perasaannya.
"Memang Akak tak boleh cintakan Abang Hariz sepertimana Akak cintakan Abang Hafiz. Tapi selagi kita tak mencuba, selagi tulah kita tak tahu kan?!" Aishah berkata, perlahan. Nadira kemudian tersenyum. Dia sudah mengerti akan perasaaan kakaknya itu.
"Kak Na pergi mana, Kak Adik? Dah lama Dira tak nampak." tanya Nadira. Sudah hampir sebulan tidak bertemu kakaknya yang seorang lagi.
"Macam mana Dira nak nampak. Dira pun dah tak tinggal sini. Kalau Dira duduk sini pun masa Fuzey pergi outstation, pagi-pagi lagi dah keluar pergi office. Tengah malam baru balik." Aishah berkata. Dia berjalan menuju ke balkoni dan melabuhkan punggung di kerusi balkoni tersebut. Nadira juga turut melakukan perkara yang sama.
"Yelah. Kalau Dira tak keluar awal, alamatnya pukul 10 lah baru Dira sampai." Nadira menyilakan kakinya ke atas kerusi.
"Kak Na kan dah jadi macam Dira. Suri rumahtangga sekarang ni. Jadi, mana je Abang Sof pergi, dia kenalah ikut." jelas Aishah. Dia menebarkan pandangan ke hadapan. Menghidu aroma angin yang bertiup.
"Ni Kak Na pergi mana pulak kali ni?"
"Zurich." jawab Aishah ringkas.
"Berapa lama?" tanya Nadira lagi bertubi-tubi.
"2 bulan atau 3 bulan, kot. Akak pun tak pasti." rambut Aishah berterbangan. Dikuakkan rambutnya itu kebelakang.
"Habis, Qayyum dan Aqeem ikut lah?"
"Tak." Nadira pelik dengan jawapan Aishah.
"Haa???"
"Seminggu rumah nenek sana, seminggu rumah tok sini." jelas Aishah lagi.
"Oho...pandai dia, ya. Dia pergi berjalan, dia susahkan nenek dan atuk budak-budak tu." ujar Nadira sedikit tidak berpuas hati.
"Memang mula-mula Kak Na nak bawak, tapi Mama dan Mummy Abang Sof tak bagi. Kata dia orang, tak payahlah. Tu yang Kak Na tak bawak." Aishah menjelaskan sebelum Nadira tersalah faham. Nadira mengangguk tanda mengerti. Mereka sama-sama diam membisu.


TARIKH perkahwinan Aishah dan Hariz makin hampir. Nurradiah dan Farehan sama-sama setuju tidak mahu membuat majlis pertunangan sebaliknya pada hari akad nikah, Aishah dan Hariz akan bertunang sekejap pada waktu pagi sahaja. Mereka tidak mahu Aishah dan Hariz bertunang lama-lama. Sudah lama mereka berkawan. Semakin hari semakin kuat resah hati Aishah. Dia yakin dengan keputusannya itu tetapi kenapa dadanya terasa berdebar?
Telefon bimbitnya menjerit kuat. Tersentak dan memandang ke arah telefon tersebut. Dilihat nama di skrin. Debaran dada semakin kuat. Dijawab panggilan itu.
"Hello?" jawab Aishah lemah.
"Fiz nak jumpa Aishah sekarang jugak." ujar Hafiz dengan nada suara yang tegang. Seperti satu arahan baru sahaja diberikan.
"Tak perlulah, Fiz. Tak elok kalau orang nampak kita bersama." tolak Aishah perlahan.
"Shah nak Fiz pergi butik Shah atau Shah jumpa Fiz kat luar?" Hafiz seolah-olah mengugut. Aishah tiada pilihan lain.
"Okay...okay. Kat mana?" Aishah bertanya. Malas mahu memanjangkan lagi bicara.
"Maju Junction." ujar Hafiz perlahan dan terus sahaja mematikan talian. Aishah termangu. Termenung sebentar. Apa yang hendak dikatakan kepada Hafiz nanti? Dia buntu. Dicuba buang bayangan Hafiz dan meneruskan kerjanya.
Tepat jam 11 pagi, Aishah keluar dari butik dan menuju ke kereta. Ditalakan kereta ke arah jalanraya. Fikirannya menerawang. Kereta dihadapan berhenti kerana jalan yang sesak. Aishah tidak begitu fokus dengan pemanduan. Tiba-tiba dia menekan brek secara mengejut. Sikit lagi keretanya akan berlanggar dengan kereta hadapan. Aishah mengucap di dalam hati. Dia terlalu banyak berfikir. Kedengaran bunyi hon bertalu-talu. Terus sahaja dia memberikan tumpuan kepada pemanduan. Kereta Aishah menyusur keluar dari jalanraya tersebut dan menuju ke arah Jalan Sultan Ismail. Keretanya melepasi bangunan Sime Darby dan UniAsia. Dia membelok ke arah kanan dan memarkirkan keretanya di tempat letak kereta di Maju Junction.
Hafiz sedang menunggu Aishah di Starbucks, Maju Junction. Aishah melangkah masuk ke dalam kedai itu. Dilihatnya Hafiz sabar menunggu kedatangan Aishah. Dilepaskan keluhan perlahan dan berjalan menuju Hafiz. Aishah berdehem kecil. Hafiz memanggung kepala melihat gadis dihadapannya itu.
"Duduklah." pelawa Hafiz. Aishah melabuhkan punggung dalam keterpaksaan.
"Apa hal yang penting sangat ni, Fiz?" tanya Aishah berterus-terang. Hafiz tidak terus menjawab sebaliknya dia mengalihkan pandangan ke luar.
"Fiz...." panggil Aishah, lembut.
"Fiz dengar Shah terima pinangan Hariz." ujar Hafiz perlahan dalam keadaan hingar-bingar dengan bunyi kereta yang lalu lalang dihadapan Maju Junction tersebut. Walaupun berkeadaan begitu, Aishah masih boleh mendengar dengan jelas kata-kata Hafiz itu.
"Jadi?" tanya Aishah kembali.
"Fiz nak tahu. Kenapa Shah terima Hariz?" Hafiz bertanya pula.
"Fiz...sekali saya dah buat keputusan, saya takkan berpatah balik dan menyesal. Saya takkan tarik balik kata-kata saya tu." ujar Aishah dengan tegas. Matanya mencerlang merenung wajah Hafiz yang masih tenang mendengar kata-kata Aishah itu.
"Aishah marahkan Fiz?" tanya Hafiz lagi.
"Kenapa saya nak marah Fiz pulak?" soalan berbalas soalan.
"Sebab Fiz bawak balik Lisa." jawab Hafiz sengaja menduga hati Aishah. Aishah tersentak.
"Jangan jadi bodohlah, Fiz." kata Aishah sinis. Dia menebarkan pandangan ke seluruh kedai.
"Tapi, Fiz masih sayangkan Shah." Hafiz berkata. Aishah memandang wajah Hafiz. Berdebar-debar hatinya. Masih berdebar seperti waktu pertama kali mereka bertembung mata.
"Sayang tak bermaksud cinta." Aishah meninggikan sedikit suaranya. Melawan bunyi bising kenderaan di luar. 2-3 pasangan yang berada di situ, melihat mereka berdua.
"Dan, kahwin tak bermaksud cinta." sambung Hafiz pula.
"Saya cintakan Hariz."
"Jangan tipu Fiz, Shah. Fiz tak suka penipu." kali ini Hafiz pula yang meninggikan suaranya. Aishah terdiam. Memang dia tipu. Tapi dia tipu kerana memikirkan Ellisa. Dia tidak sanggup melihat penderitaan seorang wanita. Kerna dia juga seorang wanita.
"Fiz takkan faham." Aishah berkata ringkas.
"Memang Fiz tak faham. Cuba Shah jelaskan pada Fiz." paksa Hafiz lagi.
"Tak guna jelaskan apa-apa pada Fiz." kata Aishah dan ditundukkan wajahnya. Mereka sama-sama diam membisu. Seketika kemudian, Hafiz berkata sesuatu.
"Karena wanita ingin dimengerti." ujar Hafiz perlahan.
"Huh??" Aishah mengangkat wajah memandang Hafiz.
"Tajuk lagu Ada Band, Karena wanita ingin dimengerti." Hafiz berkata. Mengingatkan Aishah pada lagu kegemarannya.
"Ohh..." Aishah berkata perlahan. Melepaskan dengusan. Masih Hafiz ingat lagu kesukaannya pada masa dahulu.
"Memang Fiz takkan faham. Sebab wanita ini ingin dimengerti." ujar Hafiz lagi. Aishah terdiam. Tidak mahu berkata apa-apa lagi.
"Fiz doakan Aishah dan Hariz bahagia." ucap Hafiz ikhlas seketika kemudian.
"Ini je sebab yang Fiz nak jumpa saya?" tanya Aishah. Hafiz mengangguk perlahan. Aishah mendengus geram. Dia mencapai tas tangannya dan berkira-kira untuk beredar. Tetapi kemudian terhenti sebentar apabila Hafiz berkata sesuatu.
"Bahagiakanlah Hariz. Dia lebih berhak bersama Shah." Hafiz berkata-kata dengan sebuah senyuman yang sukar dimengertikan.
"I will." ujar Aishah ringkas dan terus melangkah pergi.

BERSAMBUNG....

4 tukang komen paling setia:

keSENGALan teserlah.. said...

ngeeeee...
complicated...!!!
ape jd lpas nieh???
nk taw...
kak ecah,,smbung pliiisss...

ceritaku MEMORIKU said...

kak ecah.
smbung2.
agagagag.
npe complicated sgt about both of them?
smbung2
-na'dz

nurhakim said...

xsabar nk thu apa yg jdi lpas nie..
kak ecah cpat2 smbng tau..hope2 shah kwen ngn hafiz..first love 2..huhu

MaWaR_RiMbA said...

kak ecah...lama plak kali nie, tertggu2 la nk tau ape jd pasni..