BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 1

Novel ini adalah hasil nukilan Ecah sendiri....Harap kalian ENJOY!!!!

BAB 1

JAM di dinding hospital berdenting sebanyak 2 kali. Sudah pukul 2.00 pagi. Menunjukkan waktu sudah menganjak ke pagi. Mata Qaseh masih lagi tidak mahu terlelap. Dia mahu sentiasa berada di sisi datuk kesayangannya. Hembusan nafas datuknya yang lemah membuatkan Qaseh tidak langsung berasa mengantuk. Datuk bergantung hidup pada saluran pernafasan yang diberikan. Air matanya menitis lagi tatkala menatap wajah lesu Datuk. Kenapa dia diuji sebegini? Tetapi dia tidak harus cepat mengalah. Teringat pesanan arwah Mama sebelum Mama pergi dijemput Illahi.
“Qaseh, bila Mama tak ada nanti, Qaseh jagalah Atuk dan Papa. Mereka dah tua. Qaseh kena dengar cakap mereka.” Pesan Mama Qaseh, Puan Yasmin. Qaseh menganggukkan kepalanya.
“Qaseh janji akan dengar cakap Atuk dan Papa. Tapi Mama jangan cakap bila Mama nak pergi. Qaseh tak nak dengar.” Qaseh menekup telinganya dengan kedua belah tapak tangan. Puan Yasmin menarik tangan halus itu dari terus menekup telinganya.
“Qaseh…Mama akan pergi bila-bila masa saja. Sakit Mama dah teruk. Mungkin malam ni atau esok. Mama tak tahu.” Puan Yasmin menggenggam erat jari jemari anak tunggal kesayangannya itu.
“Mama jangan cakap macam tu. Qaseh dah tak ada kawan kalau Mama pergi.” Qaseh mula menitiskan air mata. Puan Yasmin adalah satu-satunya teman rapat Qaseh. Mendengar masalah anak yang semakin meningkat remaja. Menolongnya melalui zaman remaja yang banyak ranjau dan liku-liku yang perlu ditempuhi. Sedang dia bahagia dengan situasi hidupnya sekarang, mereka sekeluarga dikejutkan dengan berita penyakit Puan Yasmin. Puan Yasmin menghidap penyakit Barah Payudara. Sudah di tahap kritikal. Setiap minggu, Puan Yasmin membuat rawatan yang dicadangkan oleh doktor yang bertanggungjawab ke atas kes Puan Yasmin.
“Mama rasa dah tak lama Mama akan hidup, Qaseh. Berjanjilah pada Mama yang Qaseh akan sentiasa menjaga Atuk dan Papa.” Puan Yasmin memegang wajah Qaseh. Cepat sahaja kepala Qaseh mengiakan kata-kata Mamanya. Mata Puan Yasmin memandang ke sekeliling. Kemudian, dia asyik memandang ke siling sahaja. Puan Yasmin menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya. Itulah hembusan nafas terakhir Puan Yasmin.
“Mama…Mama…” panggil Qaseh. Puan Yasmin kaku. Tidak bergerak. Qaseh meraung disisi Mamanya. Datuk yang terdengar raungan Qaseh, bergegas ke dalam kamar menantunya. Tersandar Datuk pada pintu bilik apabila terlihat menantunya terkulai layu. Air matanya juga turut menitis melihat cucu kesayangan. Datuk masih ingat akan janji yang dibuat kepada Puan Yasmin. Datuk berjanji pada Puan Yasmin. Dia akan menjaga Qaseh sebaiknya. Tidak akan dibiarkan sesiapa pun menyakitinya walaupun sebesar kuman. Datuk segera menelefon anaknya.
“Zam, kau kat mana sekarang?”
“Zam kat pejabat, Ayah. Kenapa? Ada apa-apa terjadi pada Min?” tanya Tuan Nizam, cemas.
“Zam balik sekarang juga.” Datuk masih cuba berselindung. Tuan Nizam sudah tidak senang duduk.
“Kenapa, Ayah?” Tuan Nizam cemas.
“Kau lekas-lekaslah balik.”
“Zam tengah mesyuarat ni. Ada apa-apa yang berlaku ke, Ayah?” tanya Tuan Nizam. Dia tidak boleh meninggalkan mesyuarat yang sudah banyak kali tertangguh kerana Tuan Nizam menemani Puan Yasmin membuat rawatan. Tuan Nizam tidak boleh mengharap kepada Ayahnya untuk membawa Puan Yasmin ke hospital. Datuk pun sudah tua. Kesihatan juga perlu dijaga. Semenjak kebelakangan ini, Datuk seringkali sakit dada. Risau juga Tuan Nizam melihatnya.
“Min dah tak ada, Zam.” Tuan Nizam jatuh terduduk pada kerusi dalam bilik mesyuarat. Setiausahanya bergegas ke arah Tuan Nizam. Terlepas telefon bimbit. Kesemua pekerja-pekerjanya memandang Tuan Nizam dengan tanda tanya di benak mereka. Tuan Nizam sudah tidak tentu arah. Dia mahu segera sampai ke rumah.
“Tuan…Tuan tak apa-apa ke?” tanya setiausaha Tuan Nizam, Sakinah. Tuan Nizam memandang muka Sakinah dan kemudian menggeleng. Tuan Nizam berdiri.
“I’m sorry. I have to go now. Next meeting, I will inform Kinah. Meeting adjourned.” Pekerja-pekerja Tuan Nizam mengangguk dan mereka bersurai. Tuan Nizam berjalan ke arah bilik pejabatnya. Sakinah membuntuti Tuan Nizam sehingga ke biliknya.
“Kinah, awak tolong fax kan dokumen ni kepada Datuk Yap.” Arah Tuan Nizam sambil meletakkan dokumen tersebut di atas mejanya.
“Baik, Tuan.” Sakinah berlalu ke tempatnya semula. Tuan Nizam mengemas mejanya dan bersiap untuk pulang ke rumah. Min… Kenapa tak tunggu Abang balik? hatinya berkata-kata. Tetapi cepat-cepat dia mengucap. Ajal dan maut semuanya ketentuan Illahi. Dia tidak boleh melawan takdir. Tuan Nizam cukup bersyukur bertemu dengan Puan Yasmin. Dia seorang yang penyayang dan baik hati.
Tuan Nizam mengambil keretanya di tempat letak kereta. Dia menghidupkan enjin dan menderum pergi. Tuan Nizam asyik berangan sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya. Senyuman, gelak ketawa dan tangisan Puan Yasmin bermain-main di fikiran. Bagaimana hidupnya nanti tanpa Puan Yasmin?
Tiba-tiba, ada sebuah kereta yang datang dari arah belakang dengan laju. Kereta tersebut terbabas dan melanggar kereta Tuan Nizam. Kereta Tuan Nizam berpusing sehingga ke tepi jalanraya. Ada sebuah lori membawa muatan yang datang dari arah yang sama berlanggar dengan kereta Tuan Nizam dan menyebabkan kereta Tuan Nizam diheret sejauh 10 meter. Tuan Nizam masih hidup tetapi badannya berlumuran darah. Dia berdarah dengan banyak. Mulutnya terkumat kamit mengucapkan kalimah Allah s.w.t. Diselang seli dengan menyebut nama Puan Yasmin. Beberapa kereta yang lalu-lalang di situ segera melaporkan tentang kejadian yang berlaku.
Datuk asyik melihat jam di tangannya. Di mana anaknya? Belum sampai lagi. Orang ramai mula mengerumuni rumahnya. Jenazah Puan Yasmin diletakkan di ruang tamu. Memudahkan tetamu yang datang melihat wajahnya buat kali terakhir. Bacaan Yasiin bergema di seluruh ruang. Qaseh tersandar lesu di dinding. Matanya tidak lepas dari menatap wajah Mamanya. Air matanya juga tidak henti mengalir. Saudara-mara yang datang juga tidak mampu melenyapkan rasa sedihnya. Sahabat baik Datuk datang. Mereka berpelukan seketika. Pelukan dileraikan. Datuk berasa sedikit lega dengan kedatangan sahabatnya itu. Tan Sri Firdaus bersalaman dengan Datuk.
“Zam tak balik lagi, Uncle?” tanya Tan Sri Firdaus. Tuan Nizam dan Tan Sri Firdaus berkawan sejak kecil lagi. Tan Sri Firdaus amat memahami perangai Tuan Nizam. Kalau hal penting berkaitan keluarga, kerjanya sanggup ditinggalkan.
“Entahlah, Fir. Uncle dah call dia awal-awal lagi. Tapi sampai sekarang tak balik lagi. Ke mana pula dia pergi?” Datuk risau dengan anaknya. Masih juga tidak muncul.
“Uncle, mana Qaseh?” Tanya Puan Sri Marlisa pada Datuk. Datuk mengarahkan ibu jarinya ke arah Qaseh yang berada di tepi dinding. Puan Sri Marlisa menuju ke arah Qaseh. Puan Sri Marlisa melangkah masuk ke dalam rumah. Kesemua mata memandang ke arah tetamu yang baru sahaja masuk itu. Tetapi tidak Qaseh.
“Qaseh…” panggil Puan Sri Marlisa. Qaseh berpaling ke arah orang yang memanggil namanya.
“Auntie.” Qaseh memeluk Puan Sri Marlisa. Lama mereka berpelukan. Puan Sri Marlisa mengusap rambut Qaseh yang mengurai panjang. Dari kecil dia melihat anak ini sehinggalah dia meningkat remaja. Hatinya sudah menganggap Qaseh sebagai anak kandungnya.
Sebuah kereta polis berhenti dihadapan rumah Tuan Nizam. Datuk mengerutkan dahinya. Hatinya mula berasa kurang enak.
“Saya pergi tengok, Uncle.” Kata Tan Sri Firdaus dan berjalan ke arah dua orang anggota polis.
“Assalamualaikum.” Salah seorang daripada anggota polis tersebut memberi salam. Datuk hanya memandang dari jauh. Hatinya berasa tidak enak.
“Waalaikumussalam.” Tan Sri Firdaus menyambut salam mereka.
“Eh! Pak Long.” Nampaknya anggota polis itu mengenalinya.
“Rizwan.” Mereka bersalaman. Begitu juga dengan anggota polis yang seorang lagi. Tan Sri Firdaus tersenyum ke arah mereka berdua. Senyuman itu dibalas.
“Kenapa ni, Riz?”
“Macam ni, Pak Long. Hmm…ini rumah Tuan Nizam bin Rashid?” tanya anggota polis yang bernama Rizwan itu.
“Ya, kenapa?” Tan Sri Firdaus memandang muka mereka dengan serius.
“Tuan Nizam terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital. Kami harap warisnya dapat menuntut jenazah di hospital.” terang anggota polis tersebut.
“Innalillah….” Ucap Tan Sri Firdaus. Tidak menyangka Tuan Nizam juga pergi meninggalkan anak daranya yang keseorangan. Qaseh tidak ada adik beradik yang lain. Dia anak tunggal. Qaseh adalah racun dan dia jugalah madu kepada Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Bagaimana hidup anak itu nanti setelah mengetahui kedua-dua orang tersayang pergi meninggalkannya pada hari yang sama.
“Nanti Pak Long beritahu keluarganya.”
“Kalau macam tu kami balik dululah, Pak Long.”
“Baiklah. Terima kasih.” ucap Tan Sri Firdaus. Dua anggota polis itu bersalaman dengan Tan Sri Firdaus. Lemah sahaja Tan Sri Firdaus berjalan ke arah Datuk dan bapanya.
“Kenapa, Fir?” tanya bapa Tan Sri Firdaus, Tuan Syed. Tan Sri Firdaus hanya senyap. Tidak berkata apa-apa. Dia mengurut tengkuknya.
“Kenapa, Fir? Ada apa yang tak kena?” tanya Tuan Syed kurang sabar.
“Zam dah tak ada.” Kata-kata Tan Sri Firdaus membuatkan kaki datuk lemah. Anaknya juga pergi meninggalkan dia dan cucunya itu.
“Macam mana boleh jadi macam ni?” tanya Tuan Syed tidak puas hati. Baru sahaja sebentar tadi Tuan Nizam menelefonnya untuk memberitahu tentang Puan Yasmin.
“Accident.” ringkas jawapan Tan Sri Firdaus. Datuk runsing. Bagaimana dia hendak memberitahu Qaseh? Anak itu mesti tidak boleh menerima dua kematian serentak. Tuan Syed menepuk bahu Datuk.
“Kalau kau tak boleh beritahu, biar Fir beritahu.” Datuk memandang muka Tuan Syed dan segera menggeleng.
“Tak apa, Syed. Aku boleh.” Datuk mengumpul kekuatannya daripada Tuan Syed. Datuk berjalan perlahan-lahan sehingga ke muka pintu. Dijenguknya ke dalam rumah.
“Idah…” panggil datuk. Anaknya, Rafidah berpaling memandang muka Ayahnya.
“Ya, Ayah.”
“Tolong panggilkan Qaseh.” Arah datuk. Rafidah segera bangun dan menuju ke arah anak adiknya.
“Qaseh…Atuk panggil.” Kata Rafidah. Puan Sri Marlisa memimpin Qaseh untuk bangun. Rafidah memimpin tangan Qaseh dan dibawa ke arah datuknya. Datuk mencapai tangan Qaseh dan dibawa keluar dari rumah yang semakin sesak. Digenggam erat jari jemari cucunya.
“Kenapa, Atuk?” tanya Qaseh. Pelik dengan sikap datuk. Air mata Datuk menitis. Qaseh semakin pelik. Qaseh memandang ke sekeliling. Mencari Tuan Nizam.
“Atuk, mana Papa?” pertanyaan Qaseh membuatkan Datuk semakin sebak. Tuan Syed memegang bahu Datuk.
“Atuk….Qaseh tanya ni. Mana Papa?” air matanya menitis. Qaseh sendiri tidak tahu mengapa air matanya mengalir.
“Papa dah tak ada, sayang.”
“Papa pergi mana?” Qaseh bertanya seperti orang keliru. Tetapi air matanya turun dengan laju. Datuk hanya mendiamkan dirinya. Qaseh melepaskan tangan Datuk. Dia berjalan sehingga ke pintu pagar. Tan Sri Firdaus mengejar Qaseh.
“Qaseh nak pergi mana ni?” Tan Sri Firdaus risau melihat keadaan Qaseh yang tidak terurus dan berjalan tanpa kasut. Hanya berkaki ayam.
“Qaseh nak Papa. Qaseh nak Papa. Uncle bawaklah Qaseh jumpa Papa.” Qaseh memegang lengan Tan Sri Firdaus dengan kuat.
“Qaseh. Bawak bersabar.” Tan Sri Firdaus cuba menyedarkan Qaseh kembali. Digoncangkan badan Qaseh. Tiba-tiba sahaja, Qaseh jatuh pengsan. Tan Sri Firdaus sempat menyambut Qaseh. Datuk berlari ke arah mereka.
“Kita bawa dia masuk ke dalam rumah dulu.” saran Tuan Syed. Cepat-cepat Tan Sri Firdaus mengendong Qaseh masuk ke dalam rumah.
“Ya ALLAH. Kenapa ni, Bang?” tanya Puan Sri Marlisa.
“Kita bawak dia ke bilik dulu.” Tan Sri Firdaus mengendong Qaseh sehingga ke biliknya. Puan Sri Marlisa membukakan pintu bilik Qaseh. Dibaringkan Qaseh ke atas katil. Kasihan melihat anak itu lemah sahaja semenjak pemergian ibu tersayang. Kini, dia sekali lagi menerima tamparan apabila ayahnya juga pergi meninggalkan dia keseorangan di dunia ini.
“Lisa jaga Qaseh.” arah Tan Sri Firdaus. Puan Sri Marlisa duduk di atas katil sebelah Qaseh. Tan Sri Firdaus turun semula ke bawah.
“Uncle jangan risau. Lisa tengah jaga Qaseh.” Datuk mengangguk. Rafidah menerpa ke arah Ayahnya.
“Kenapa dengan Qaseh, Ayah?”
“Idah. Ayah harap kau bersabarlah, ya.” Datuk tidak mahu Rafidah terkejut kerana Rafidah sedang mengandungkan anak keduanya.
“Kenapa ni, Ayah? Idah tak faham.” Rafidah memandang muka datuk. Datuk tidak sampai hati hendak memberitahu Rafidah. Dia tahu Rafidah rapat dengan Tuan Nizam. Sejak kecil lagi, Rafidah yang menjaga Tuan Nizam selepas ibu mereka meninggal dunia. Tuan Nizam adalah anak bongsu daripada 3 adik beradik. Apa sahaja kata Rafidah, Tuan Nizam akan mematuhinya. Rombongan peminangan Puan Yasmin pun diketuai oleh Rafidah. Daripada Tuan Nizam kecil sehinggalah meningkat dewasa, semuanya diuruskan oleh Rafidah.
“Zam...”
“Kenapa dengan Zam, Ayah?” Datuk tidak berkata apa-apa. Dia membisu.
“Ayah, kenapa dengan Zam? Ayah cakaplah. Kenapa dengan Zam?” Rafidah mengoncangkan badan Datuk. Datuk menangis. Rafidah tergamam. Pertama kali melihat Ayahnya menitiskan air mata selepas 20 tahun ibu mereka meninggalkan mereka semua.
“Zam dah tak ada, Idah. Dia dah pergi tinggalkan kita.” Kata-kata Datuk membuatkan kaki Rafidah lemah.
“Apa yang berlaku?” Rafidah memandang wajah Datuk dengan tenang. Walaupun hatinya tidak setenang wajahnya.
“Kemalangan jalanraya.” Mata Datuk kemerah-merahan menahan tangis. Rafidah terduduk. Saudara mara mereka mengerumuni Rafidah. Mereka menyabarkan Rafidah yang sedang menangis teresak-esak. Khairudin memeluk isterinya. Datuk juga menangis melihat keadaan anaknya itu.







MALAM itu genaplah 100 hari Tuan Nizam dan Puan Yasmin pergi meninggalkan anak yang tiada tempat bergantung. Rafidah mengadakan kenduri untuk Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Qaseh seperti orang yang hilang kewarasan. Berhari-hari mengurungkan diri di dalam bilik. Berjumpa dengan saudara mara tidak mahu. Makan pun tidak mahu. Dia hanya menerima kunjungan Puan Sri Marlisa sahaja. Ini kerana Puan Sri Marlisa ada iras-iras wajah Puan Yasmin. Qaseh tidak lagi menangis. Semuanya dipendamkan di dalam hati. Air matanya bagaikan sudah kering. Puan Sri Marlisa memandikan Qaseh. Dia menyikat rambut Qaseh. Lembutnya rambut Qaseh, hati Puan Sri Marlisa berkata-kata di dalam hati. Qaseh memegang gambar ibu dan bapanya. Dilekapkan di dada. Kemudian diciumnya gambar itu. Dia melakukan perbuatan itu berulangkali.
“Qaseh...” panggil Puan Sri Marlisa. Qaseh memandang wajah Puan Sri Marlisa tanpa sebarang reaksi. Perasaan dan emosinya pergi bersama kedua ibubapanya. Dia seperti ‘mayat hidup’.
“Qaseh tak boleh macam ni tau. Ramai orang risaukan Qaseh. Mak Ngah Idah, Pak Ngah Din, auntie, uncle dan terutama sekali Atuk. Qaseh tak kesiankan Atuk? Atuk tak tidur malam. Asyik jaga Qaseh.” Puan Sri Marlisa separuh berbisik di telinga Qaseh. Qaseh memandang wajahnya di cermin solek. Dia seperti tersedar dari tidurnya yang panjang. Selama ini, matanya terbuka tetapi jiwanya tidur. Hatinya mati. Entah kenapa dia tidak memikirkan Datuk.
Agak lama kemudian dia tersenyum. Perlahan-lahan diletakkan gambar Tuan Nizam dan Puan Yasmin ke atas meja solek. Puan Sri Marlisa sedikit lega dengan perbuatan Qaseh.
“Jom kita turun, auntie.” Qaseh beralih ke arah Puan Sri Marlisa. Senyuman terukir di bibir mungil Qaseh. Mereka berpegang tangan dan berjalan keluar dari bilik Qaseh. Perlahan-lahan mereka menuruni anak tangga. Kesemua tetamu yang berada di situ hanya tersenyum melihat perubahan diri Qaseh. Qaseh ternampak Datuk tersenyum ke arahnya. Dia berlari mendapatkan Datuk. Dipeluk seeratnya. Air mata Datuk tumpah jua apabila melihat cucu kesayangannya sudah pulih.
“Qaseh minta maaf, Atuk.” Qaseh meleraikan pelukannya. Datuk mengerutkan dahi. Dia bersyukur cucu kesayangannya telah kembali semula kepada dia.
“Kenapa Qaseh minta maaf?”
“Qaseh banyak menyusahkan Atuk. Banyak buat Atuk risau. Qaseh janji Qaseh tak buat lagi.” Air matanya mengalir. Datuk mengesat air mata Qaseh.
“Cukuplah, Qaseh. Jangan menangis lagi.” Mereka berpelukan sekali lagi. Puan Sri Marlisa dan Rafidah turut mengalirkan air mata.






DATUK terbatuk kecil. Mengejutkan Qaseh dari lamunannya yang panjang. Sudah 14 tahun kejadian itu berlaku namun ingatannya tetap segar. Qaseh memandang wajah Datuk yang lemah. Hampir 7 tahun Qaseh pergi melanjutkan pelajarannya di Luxembourg. Pergi membawa hati yang perlu ditenangkan. Ditinggalkan Datuk keseorangan di Malaysia. Semenjak kebelakangan ini kesihatan Datuk kurang baik. Qaseh risaukan Datuk. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk balik ke Malaysia. Rafidah pula sibuk dengan anak-anaknya yang masih bersekolah. Sudah tentu tidak ada masa terluang dengan Datuk. Tuan Syed, Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa bukanlah selalu datang menjenguk Datuk. Mereka pun sibuk dengan kerja mereka.
Datuk membuka matanya sedikit. Dipandang ke sekeliling bilik. Tiba-tiba matanya tertancap pada satu wajah. Tersenyum.
“Atuk, Qaseh ni.” Datuk cuba untuk bangun. Tetapi Qaseh melarangnya.
“Atuk rehatlah. Doktor kata Atuk jangan banyak bergerak.” Datuk mematuhi kata-kata Qaseh. Dia kembali memejamkan matanya. Qaseh menyandarkan badannya di atas sofa yang disediakan di dalam wad tersebut.
Letih kerana perjalanan yang memakan masa selama 14 jam, belum lagi hilang. Kemudian dia berkejar pula ke hospital setelah mendapat panggilan daripada Rafidah. Qaseh mahu membuat kejutan kepada datuknya tetapi sebaliknya dia yang menerima kejutan daripada Datuk.
Pintu bilik wad dikuak. Qaseh memandang ke arah pintu tersebut. Rafidah masuk ke dalam perlahan-lahan. Tidak mahu menganggu Datuk. Dia berjalan menuju ke arah Qaseh. Qaseh melihat jam ditangan. Sudah pukul 8 pagi. Lama juga dia berangan! Desis hatinya.
“Awalnya Mak Ngah datang.”
“Macam nilah selalu. Atuk macam mana?”
“Atuk dah sedar. Tapi dia masih lemah. Dia dah tidur balik.” Rafidah mengangguk mendengar kata Qaseh. Qaseh menyalami tangan Rafidah.
“Mak Ngah sihat?”
“Macam nilah, Qaseh. Nak kata sihat sangat pun tak. Nak kata sakit pun tak. Qaseh macam mana? How’s Luxembourg?” Rafidah sudah lama tidak berjumpa dengan anak saudaranya itu. Terasa rindu pula.
“Cold. A bit windy. But I like it there. So beautiful. It’s undescribable. Qaseh paling suka pergi Canton Grevenmacher.” Qaseh bercerita sambil membayangkan keindahan negeri yang menjadi tempatnya menyambung pelajaran. Melupakan segala kedukaan.
“Canton Grevenmacher tu kat mana?”
“Dalam area Dutch juga. Tapi antara banyak-banyak Canton, Qaseh suka Canton Wiltz dan Grevenmacher lah.” Dia terasa rindu pula pada tempat yang banyak menyimpan kenangan manisnya. Tempat yang banyak mendengar kisah hidupnya sebagai seorang anak yatim piatu. Dia bersyukur Datuk masih hidup. Hilang sedikit derita di hatinya.
“Apa yang ada kat Grevenmacher tu?” Rafidah terasa seronok pula mendengar cerita anak saudaranya. Dia ingin mengajak suaminya pergi ke sana satu hari nanti. Dia akan memaksa suaminya mengambil cuti. Semenjak suaminya memulakan perniagaan sendiri, masa yang diluangkan untuk keluarga semakin terhad.
“Bourglinster, a castle. Very beautiful castle. Uhh! I like it there. And then, a little village named Ehnen. Actually, it’s a wine museum lah. Lepas tu ada perkampungan untuk pertanian. Kampung tu lebih kurang macam leisuring park. Kita boleh berekreasi kat situ. Nama kampung tu, tak silap Qaseh lah, Masthum ke Machtum. Tak pasti. Sebab pelik sangat nama tu. Lepas tu ada tempat nama Wormeldange dan Wasserbillig. It’s very beautiful. Tak boleh digambarkan dengan kata-kata. Mak Ngah kena pergi sana dan saksikan sendiri keindahan negara tu. It’s so amazing. Dalam satu hari, I have toured the canton. Tapi kat sana banyak church.” Rafidah terlalu seronok mendengar cerita Qaseh sehinggakan lupa tujuannya ke hospital.
“One day, I have to go there.” Rafidah berjanji akan pergi ke tempat yang diceritakan oleh Qaseh. Qaseh tersenyum melihat Mak Ngahnya.
“Ajaklah Pak Ngah Din.”
“Huh! Pak Ngah kau tu? Jangan haraplah. Sampai Mak Ngah tua pun belum tentu dia nak pergi melancong. Kalau pergi haji, nak lah dia.” Rafidah mendengus. Qaseh ketawa kecil.
“Pergi haji pun apa salahnya, Mak Ngah.” Qaseh menghabiskan sisa tawanya.
“Betul jugak tu. Mak Ngah pun dah teringin sangat nak tengok keindahan Mekah tu. Bila Mak Ngah ajak, ada je alasan Pak Ngah kau tu. Dahlah. Kalau bercakap dengan Qaseh, satu kerja pun tak jadi.” Rafidah mengambil buah-buahan yang dibawanya dan dibasuh dengan air. Dikupas kulit buah oren dan dipotongnya. Disuakan kepada Qaseh. Qaseh mengambil satu ulas buah oren. Kemudian, Rafidah mengambil jambangan bunga yang dibawanya dan ditukarnya dengan yang lama.
“Hari-hari ke Mak Ngah buat macam ni?”
“A’ah, Qaseh. Bila Atuk bangun, mesti dia nak makan buah. Lepas tu, Atuk kan suka tengok bunga yang segar. Sebab tulah, hari-hari Mak Ngah kena bawak bunga.” Qaseh hanya mengangguk mendengar penjelasan Mak Ngahnya. Datuk tersedar apabila mendengar mulut Rafidah yang tidak henti-henti bercakap.
“Ayah...” panggil Rafidah. Dia menaikkan sedikit katil Datuk. Senang untuk Datuk makan buah-buahan. Qaseh berjalan mendekati Datuk. Tersenyum memandang ‘kekasih lamanya’.
“Atuk... Atuk apa khabar?” Qaseh hampir menitiskan air matanya melihat keadaan Datuk yang semakin lemah.
“Atuk sihat sikit. Bila Qaseh balik?” kata Datuk dengan lemah. Qaseh duduk di atas katil Datuk dan menghadap wajah orang yang amat dirinduinya. “Semalam. Qaseh sampai pukul 6.30 petang. Dari KLIA, terus datang ke hospital. Sebabnya, Qaseh dah tak sabar nak jumpa kekasih lama Qaseh. Tapi...Atuk tak bangun pun. Terpaksalah Qaseh tunggu lagi satu hari.” Datuk tersenyum mendengar kata-kata Qaseh. Leka dia bersembang dengan datuknya. Banyak pengalaman dan cerita yang hendak dikhabarkan kepada Datuk. Datuk sekali-sekala tergelak mendengar cerita Qaseh. Rafidah juga tidak ketinggalan.

BERSAMBUNG......

1 tukang komen paling setia:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)